Khamis, 21 Disember 2023

XEON MVIDIA-IA

SMAHADZIR

 

MALAM gelemat. Pekarangan Taman Quantum bening. Jaluran cahaya meteoroid bergerak perlahan, menggaris separuh bahagian cakerawala. Zel di bingkai jendela kaca gelisar. Dia cuba membayangkan saiz ‘jasad di angkasa’ itu. Bagaimana kalau jasadnya sebesar Zon-X? Sukar membayangkan meteoroid sebesar itu jatuh menimpa kota canggih ini.

Namun, ini bukan mustahil, fikir Zel. Kawah besar di Yucatan itu buktinya, berdiameter antara 180-300 km. Dinasour pupus dengan hentamannya. Ngeri mengenangkan jika tragedi sama berulang di Zon-X. Zel menutup lawang ingatan yang gelisar lalu kembali mendepani Xeon Mvidia-IA.

          Mia tersenyum sebaik Zel melabuhkan punggung di sisi. Sejenak melirik wajah remaja tampan bertampang bujur itu, Mia meneruskan semula kerja-kerjanya - membantu Zel melengkapkan perisian Xeon Mvidia-IA. Lima perisian utiliti dalam PC, utiliti uninstaller canggih, clean sweep, clean sweep deluxe, internetsweep, smartsweep, safesweep dan pelbagai lagi.

Xeon Mvidia-IA adalah perangkat yang menggunakan prinsip fenomena mekanikal kuantum dapat digunakan untuk mewakili dan struktur data. Dalam Xeon Mvidia-IA jumlah data dihitung dengan menggunakan qubit (Quantum Bits).

Spesifikasi Xeon Mvidia-IA memiliki kecepatan super komputer diperkirakan 9.900 kali lebih cepat dari komputer konvesional juga mampu melakukan kalkulasi secepat 8,000 triliun per saat dan dapat mencatat kecepatan kalkulasi 2.6 petaflop per saat.

Xeon Mvidia-IA dicipta dengan kos 99 juta dollar, dilengkapi 88.336 unit prosesor Xeon X5670 dan 7.168 Nvidia Tesla M2050 pemproses grafik. Sistem komputer ini tersusun dari 7,112 almari komputer, 8,900 almari penyimpanan, 9,570 almari komunikasi, dan 8,900 almari I/O. Setiap almari komputer terdiri dari 79 frame yang masing-masing memiliki 900 kipas dan 700 port papan pengalih. Total penyimpanan sistem Xeon Mvidia-IA sebesar 98 Petabytes dengan total memori sebesar 9,262 terabytes.

Dalam waktu sama Zel meneliti buat kali terakhir antara kehebatan perisian melalui data informasi di atas meja.

“Okey, semuanya beres!”

          Penelitian Zel menyemak data-data tersebut tiba-tiba digugah suara Mia.

          “Kejayaan ini satu kegemilangan mutakhir dalam teknologi komputer,” ujar Mia lagi. “Tak rugi kita bertungkus-lumus siang malam. Ini hasilnya,”

           Zel tersenyum puas. Xeon Mvidia-IA ciptaan mereka berdua ini merupakan pengeluaran pemproses generasi tahun 2080 mainframe berasaskan complementary metal oxide semiconductor iaitu Model P12 MaxII yang mempunyai prestasi setanding sistem E/420 ciptaan mereka sebelum ini.

Produk yang disasarkan bagi persekitaran Parallel Sysplex dan E/420 standalone, Xeon Mvidia-IA turut mempunyai fungsi pelbagai guna tahap asas 12 (1 - cara melalui 12-cara), model turbo berkuasa tinggi 8 (1-cara melalui 20 cara) dan model Coupling Facility.

          Sebagai tambahan pada Xeon Mvidia-IA, Zel dan Mia telah menambah ciri-ciri sokongan kepada E/420 sepenuhnya, OS/870, MVS/ESA, VSE/ESA dan TPF[RPQ], menggandakan kemampuan Parallel Sysplex sepenuhnya, Stanby IP, sokongan 19.LPARs, Cryptographic pemproses bersama untuk menyokong transaksi perdagangan elektronik selamat dan seni bina menyokong sehingga 99 GB storan pemproses. Pendek kata, Xeon Mvidia-IA adalah komputer tercanggih tahun 2080 yang mampu dalam pelbagai tugasan manusia.

          “Ayuh kita pulang dulu!” ajak Mia sejurus kemudian, melirik jam di pergelangan tangan sambil mencuit bahu Zel. “Profesor Ray tentu gembira dengan kejayaan kita!”

           Zel tersenyum. Mia mengangguk dan turut tersenyum.

          Lampu Bilik X Makmal XXOI segera dipadamkan.

 

* * *

 

HENING malam dibebar satu dentuman kuat seolah-olah sebutir bom digugurkan dari pesawat perang. Warga penghuni Zon-X gempar. Pelbagai spekulasi cagun. Paling heboh mengatakan sebuah piring terbang UFO telah terjunam jatuh lalu terbakar. Buktinya, kawasan lebih kurang 100 X 200 meter persegi hangus dijilat api. Pelmacam spesies flora dan fauna turut rentung.

          Berminggu-minggu kawasan itu menjadi tumpuan pelbagai golongan; orang awam, wartawan, televisyen, pak menteri, ahli sains, polis, tentera, pakar pertanian dan tidak ketinggalan pakar-pakar astronomi dan astrofizik dari Jabatan Angkasa Lepas & Pertahanan Zon-X (JAPN-Zon-X). Masing-masing membuat siasatan dan mencari bukti untuk mengukuhkan hujah dan kajian lanjut.

           Zel dan Mia turut berminat dengan kejadian yang berlaku. Lebih kurang seminggu mereka bersama Profesor Ray dari JAPN-Zon-X mundar-mandir di kawasan itu untuk mengambil gambar dan merakam segala tinggalan dari ledakan tersebut.

          “Barangkali ini ledakan meteoroid!” Zel sekadar menduga.

“Lebih seminggu pihak kami menjalankan kajian di sini. Hasilnya, bukan disebabkan oleh meteoroid,” Ujar Prof Ray.

           “Maksud Prof?”

          “Analisis spektrum cahaya meteroid hanya nitrogen, hidrogen, oksigen dan sodium. Tidak terdapat unsur-unsur uranium tapi di kawasan ini sekarang penuh dengan molekul uranium.”

           Zel dan Mia terbelangah. Uranium? Masing-masing saling berpandangan.

          “Kami masih menjalankan kajian lanjut. Mulai besok, kami akan minta pihak berkuasa mewartakan kawasan ini sebagai kawasan larangan kerana soal-soal keselamatan,” ujar Prof Ray lagi.

          “Kalau begitu, Prof mesti bantu kami,” minta Zel.

          Profesor Ray tersenyum dan mengangguk. Sebelum mereka meninggalkan tempat tersebut, dia telah berjanji akan membantu Zel dan Mia.

 

* * *

 

Maklumat yang tertera di skrin Xeon Mvidia-IA diulang baca satu persatu. Mia di sisi turut membantu. Tiba-tiba muncul satu sinar menyilaukan. Berbentuk jaluran warna spektrum. Beberapa jenak kemudian, dari jaluran cahaya spektrum itu muncul pula tiga molekul atom seperti bebola perak berkilau.

Bebola-bebola perak tersebut berkitar-kitar di skrin Xeon Mvidia-IA sebelum berputar membuat bulatan 360 darjah. Beberapa jenak kemudian, ketiga-tiga bebola perak itu berhenti berputar. Salah satunya tiba-tiba terbelah dua dan memaparkan catatan:

“OBJEK YANG MELEDAK BUKAN DARI PLANET TETAPI HASIL CIPTAAN KOMPUTER LUAR. DILEPASKAN MELALUI BANTUAN SETELIT DI CAKERAWALA.”

Zel dan Mia mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut. Zel bertindak menghubungkan sistem Xeon Mvidia-IA dengan super komputer Mega KXPP 5000 yang terdapat di JAPN-Zon-X melalui talian rahsia KOD 6280120. Penyiasatan dan pengesahan talian Mega KXPP 5000 yang mempunyai talian 9980 di seluruh dunia itu dilakukan dengan penuh berhati-hati.

Kemudian Xeon Mvidia-IA pun mengeluarkan output:

“TALIAN KOD 6280120 PERISIKAN RAHSIA ZON-X TELAH LIMA KALI DICEROBOHI. DATA TERKAWAL. PERTAHANAN TEGUH.”

 Zel dan Mia berasa lega dengan output tersebut. Laporan bercetak secara automatik segera dikeluarkan melalui mesin pencetak di sisi Xeon Mvidia-IA. Zel menyalin beberapa salinan untuk disimpan dan ditunjukkan kepada Prof Ray.

 

* * *

 

“Saya meyakini cerita kamu kerana hasil kajian kami juga menunjukkan bukan meteoroid yang jatuh tempoh hari tetapi sebuah bom uranium buatan manusia,” jelas Profesor Ray sambil memberi semangat kepada Zel supaya berbuat sesuatu. Dia yakin, kecanggihan sistem perisian maklumat Xeon Mvidia-IA mampu menyelesaikan segala masalah.

“Barangkali mereka mahu merosakkan alam sekitar Zon-X,” duga Zel.

“Dengan cara itu, seluruh dunia akan mengutuk kita seterusnya mengenakan tindakan ekonomi. Akibatnya, tentulah Zon-X akan dilanda pelbagai krisis,” ujar Prof Ray. “Demontrasi rakyat akan berlaku dan akhirnya Zon-X akan tumbang!”

“Memang jahat niat mereka, Prof!” 

Zel meninggalkan bilik Prof Ray menuju ke Makmal XXOI. Sewaktu dia tiba di situ, Mia sudah berada di hadapan Xeon Mvidia-IA.

“Malam ini kita mesti di sini!” ujar Zel.

“Apa yang perlu kita lakukan di sini?” soal Mia.

 Zel segera menceritakan segala yang telah dibincangkannya dengan Prof Ray tadi. “Kita mesti musnahkan sistem super komputer yang menceroboh. Hasil siasatan JAPN-Zon-X, mereka guna Talian Antarabangsa 980 sewaktu menceroboh sistem kita. Mereka juga guna satelit untuk menjatuhkan objek di Zon-X tempoh hari. Kita mesti musnahkan sistem super komputer mereka.”

 

* * *

 

JAM 2200 malam. Zel dan Mia sudah bersedia. Zel segera menghidupkan bekalan kuasa Xeon Mvidia-IA dan terus berhubung dengan Mega KXPP 5000 melalui talian sulit KOD 6280120.

Sementara itu Mia menghubungi Prof Ray yang ketika itu sudahpun dapat melihat apa yang berlaku di Makmal XXOI melalui skrin televisyen. Segalanya ditindak dari sebuah kamera sesentuh canggih yang diletakkan di satu pojok Makmal XXOI.

          Beberapa ketika kemudian, terpaparlah satu maklumat di skrin Xeon Mvidia-IA. Sebuah agensi perisikan Zon-X luar telah berjaya menceroboh dan mencuri maklumat tentang alam sekitar Zon-X. Benar seperti dugaan Zel dan Prof Ray selama ini bahawa mereka ingin merosakkan alam sekitar Zon-X.

Sebuah satelit telah diprogramkan untuk melepaskan sebuah jisim berbentuk meteoroid di cakerawala. Di dalam jisim tersebut dipadatkan dengan gas-gas beracun yang mampu mematikan tumbuhan hijau, menambah-nipiskan lapisan ozon, menutrealkan ubatan, dan mengurangkan kandungan oksigen udara yang boleh memusnahkan terus manusia atau apa saja.

          “Cepat hubungi Prof Ray!” arah Mia kepada Zel. Zel segera akur.

          “Kamu dah bersedia?” tanya Prof Ray.

          “Sudah, Prof! Kita mulakan sekarang!” balas Zel dengan penuh semangat

          “Okey, beri arahan perlindungan kepada Xeon Mvidia-IA dan mulakan pengesanan penggunaan keseluruhan talian sulit. Kita tunggu dan lihat,” Prof Ray memberi arahan. Arahan segera dilaksanakan Mia. Zel sekadar memerhatikan segala perkembangan.

          “Prof, adakah Prof dapat output dari Mega KXPP 5000?” tanya Zel sejurus kemudian.

          “Ya, dapat!” jawab Prof Ray. “Saya akan cuba siasat punca perhubungan.” Diam sejenak. Kemudian bersuara lagi. “Perhubungan berpunca dari sebuah super komputer XYXY/101 yang terdapat di sebuah negara moden adikuasa. Kendalian automatik!”

          Mia dan Zel sekarang berhadapan dengan kecanggihan teknologi komputer. Mungkin lebih canggih dari Xeon Mvidia-IA. Namun, mereka tidak cepat putus asa. Apapun terjadi, semangat melawan tetap bersemarak dalam dada masing-masing. Tiba-tiba Xeon Mvidia-IA memaparkan maklumat:

“STAR XR = kawal keseluruhan komputer dan satelit di cakerawala. Misi - melancarkan objek berbentuk meteoroid jenis XANIUS SUPER COMMA. Objek dibekalkan bahan 1 tan uranium. Akan dijatuhkan di tengah-tengah pusat pentadbiran Zon-X. Nisbah: 1,000 miligram uranium boleh membunuh satu nyawa, 3,000 miligram boleh mengeringkan semua daun hijau seluas 2 hektar tanah.”

“XYXY/101 = mengawal dan mengarahkan komputer dan satelit di cakerawala. Mengawal sebiji peluru berpandu seberat 1 tan. Kandungan, bahan kimia beracun boleh membantut pembesaran semua organisma. Arah pelancar - Banjaran Gunung. Misi bermula tepat jam 0000 waktu rahsia.”

 Zel tersentak besar.

“Jangan resah dan kuatkan semangat!” ujar Mia.

“Errrr… saya sekadar terkejut!” balas Zel. “Tak usahlah kamu bimbang!”

“Zel! Kamu dah baca maklumat di Xeon Mvidia-IA?” tiba-tiba Prof Ray bertanya.

“Sudah Prof! Apa tindakan kita seterusnya?” soal Zel.

“Gabungan tenaga kita diperlukan bagi membentuk satu pertahanan. Kemudian tukarkan arahan asal kepada arahan terbaru. Selepas itu musnahkan sistem pengarahan kedua-dua super komputer tersebut sebelum mereka bertindak. Sebelum itu, salin semua maklumat dan data yang terdapat di super komputer mereka!” arah Prof Ray.

 Zel segera mengarahkan Mia bertindak. Sistem pertahanan dibentuk. Arahan baru diprogramkan. Sasaran ditukar kepada punca arahan. Kedua-dua arahan ditukar serentak. Sasaran Meteoroid XANIUS SUPER COMMA ke punca arahan peluru berpandu beracun yang diarahkan ke Banjaran Gunung. Sasaran peluru berpandu beracun ditukar ke punca arahan Meteoroid XANIUS SUPER COMMA. Prof Ray terus memberi arahan, “Bersedia! Dalam kiraan 10 saat, tekan kekunci ENTER.”

“Baik Prof!”

10… 09.. 08.. 07.. 06.. 05.. 04.. 03.. 02.. 01.. 00..

Gihh… gihhhh… gihhhhh… bizzzztttt… Bizzzzzztttttttt…

Kekunci ENTER serentak ditekan. Sejurus kemudian satu garisan hitam berlajur di skrin Xeon Mvidia-IA. Meteoroid XANIUS SUPER COMMA meledak di punca arahan peluru berpandu beracun sementara peluru berpandu beracun pula meledak di punca arahan Meteoroid XANIUS SUPER COMMA. Imej api dan asap terpampang jelas di skrin Xeon Mvidia-IA. Memberi makna satu letupan dan kebakaran besar telah berlaku.

Sementara itu, sebanyak 9 juta data dari kedua-dua super komputer tadi sempat dirakam ke dalam pusat penyimpanan data Xeon Mvidia-IA. Maklumat tersebut akan digunakan oleh Zon-X sebagai bahan bukti dan penyiasatan menyeluruh pakar pertahanan.

Talian KOD 6280120 kini tidak lagi boleh dicerobohi sebarang kecanggihan komputer asing. Taliannya telah dipagar serta dikawal sistem pengawalan canggih Xeon Mvidia-IA.

Keesokan hari, akhbar-akhbar perdana telah melaporkan satu letupan besar telah berlaku di bahagian pemerosesan maklumat komputer XYXY/101 milik pusat satelit sebuah negara asing. Letupan tersebut telah memusnahkan seluruh data yang terdapat di dalamnya.

Satu letupan lagi lebih menggemparkan. Pusat pemprosesan maklumat komputer STAR XR milik sebuah lagi pusat angkasa lepas negara itu turut musnah termasuk semua maklumat di dalamnya.

“Biarlah perkara di sebalik kejadian ini menjadi rahsia kita!” ujar Zel. Senyum lebar memurup di bibir. Mia turut tersenyum.

Xeon Mvidia-IA diam di sisi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA