Khamis, 21 Disember 2023

SETENANG RAUDHAH YANG DIRINDUI

SMAHADZIR

 

DANIAH masih berteleku atas sejadah. Para jemaah pelbagai bangsa sudah mulai memenuhi ruang solat Masjid Nabawi. Daniah masih belum berganjak. Kedua-dua tangan terus menadah memanjat doa.

          Tanpa disedari, air mata menjujuh lagi. Keinsafan dan rasa berdosa gesit dan murup menyelinap ke seluruh ruang diri. Cepat-cepat dia mengeringkan titis-titis air di pipi. Alunan mendayu suara muadzin membuatkan dia tersedar dari lamunan.

          Selepas solat Zohor, Daniah terus pulang ke hotel penginapannya. Mentari terus gagah menebarkan sinar terik ke setiap juzuk Tanah Arab. Suasana panas buar berbahang di mana-mana.

 

 * * *

 

Fajar sidiq mesra berlabuh di ufuk masyrik. Daniah sudah siap berjubah sewaktu azan Subuh berkumandang di Masjid Nabawi berhampiran hotelnya. Dia gesit menjengah melalui tingkap bilik. Kelihatan orang ramai sudah melimpahi kiri kanan jalan raya menuju masjid. Kota ini tidak pernah lengang dan sunyi. Tempat seluruh muslimin dan muslimat bertumpu.

          Daniah bersyukur kepada Allah kerana dipinjamkan kekuatan untuk datang ke Tanah Suci ini. Dia bukan muda lagi, kesihatan juga sering terganggu. Namun, dia cukup tenang berada di sini. Tanah Suci Mekah Ar-Mukarramah dan Madinah Al-Munawarah menunaikan ibadah umrah.

          Daniah sudah memancang teguh tugu tekad, sewaktu di Malaysia lagi, mahu menyisih dan melenyapkan terus segala ingatan terhadap soal-soal keduniaan. Di sini, dia hanya ingin beribadat kepada Allah dengan rasa kusyuk yang sungguh. Biarlah hari-hari di sini, sarat amal ibadat, doa dan zikir kepada Allah. Namun, dia tidak dapat juga melarikan diri dari ketentuan takdir yang telah ditetapkan Tuhan. Fitratullah.

          Sewaktu mengambil wuduk untuk bersembahyang di Masjid Nabawi tengah hari itu, tanpa disedari, seorang perempuan hampir sebaya, menghampiri lalu memberi salam. “Err, ini Daniah Osman ke?” Perempuan itu bertanya, wajah sedikit terperanjat dan mata terkesip-kesip. Bagaikan kurang yakin.

          Setelah menjawab salam kerana namanya disebut, Daniah terus menoleh ke arah suara itu. Mendadak tergamam jola. Darah gesit tersirap. Dada akas menggerutup bergemirap. Kerana perempuan yang berada di depannya itu, masih belum dia lupa nama dan wajah walaupun sudah lama tidak berjumpa.

          “Ya, err… saya Daniah Osman. Astaghfirullah, ini Mariam Siraj ke?” dia bertanya ingin pasti.

          Perempuan itu gesit mengangguk-ngangguk sambil tersenyum. “Saya sangka, Niah dah tak kenal saya lagi, maklum, hampir 20 tahun kita tak jumpa!” ujarnya dengan wajah berseri-seri.

          “Kenal dan selalu ingat!” Terus-terang Daniah menjawab. Sementara itu dia cuba mententeramkan hati yang masih bergemirap kencang. Bahang panas tatkala itu membuatkan badannya semakin melengas berpeluh. Dia rasa gelisah, malu, segan dan macam-macam lagi perasaan yang tiba-tiba saja cagun tatkala berdepan dengan sahabat lamanya itu.

          “Err… Niah apa khabar?” tanya Mariam seraya menunak pandangan membuatkan Daniah dijerba serba salah.

          “Alhamdulillah... hmmm… Mariam apa khabar?” Daniah bertanya pula.

          “Saya juga sihat, Alhamdulillah. Niah datang dengan keluarga ke?”

          “Tidak... seorang saja!” Daniah menjawab tenang, sekali gus cuba mententeramkan gelodar hati.

          Mariam masih lagi merenungnya. Daniah sedar, dia juga tidak menyangka bertemu lagi dengan sahabat lama itu setelah sekian lama berpisah. Dia rasa resah pula. Peristiwa lama gesit saja mengirap dan galak bermain di ingatan kerana pertemuan ini.

          Inilah yang dikatakan takdir dan ketentuan Tuhan. Segala-galanya terjadi atas kehendak-Nya.

          “Saya betul-betul tak sangka dapat bertemu Niah. Saya sungguh gembira,” ujar Mariam setagal kemudian sambil mengukir senyum. “Niah nampak sihat dan manis macam dulu juga,” terus mengusik.

          Daniah tersenyum dengan usikan Mariam. Namun dia rasakan senyuman itu sungguh hambar sekali. Perasaan resah masih galak menjalar menyelongkar dalam diri. Sepatutnya dia perlu gembira dengan pertemuan itu. Sudah hampir 20 tahun mereka berpisah.

          Mariam tentunya gembira tetapi tidak baginya. Daniah resah dan benar-benar terganggu kotak fikiran dengan pertemuan itu.

          “Maafkan saya Niah. Sudah masuk waktu. Nanti kita jumpa lagi,” Mariam gesit berlalu dan beberapa saat kemudian melenyap di celah-celah jemaah yang berpusu-pusu memenuhi ruang masjid.

Daniah hanya sempat mengangguk dan sehingga selesai sembahyang dia tidak bertemu lagi dengan Mariam. Puas biji matanya berkelitar meninjau-ninjau kalau-kalau terkelih kelibat Mariam, namun hampa. Dia terus pulang ke hotel dengan perasaan berbelah bahagi, resah dan semakin bercelaru.

          Daniah masih tidak menduga dapat bertemu lagi dengan Mariam semula, bertemu setelah sekian lama terpisah. Bertemu setelah dia benar-benar ingin melupakan segala-galanya. Dalam usia setengah abad ini, dia hanya mempunyai satu azam saja, mahu terus menghadapi hari-hari tua dengan beribadat kepada Allah.

 

* * *

         

Di atas katil di bilik penginapan, Daniah menghempaskan tubuh dalam suasana diri yang sungguh resah. Rusuh dan kelut inti fikiran.

          Dia merasakan detik-detik terawal dalam hubungan persahabatan dengan Mariam berputar kembali dalam panggung ingatan, bagaimana mulanya mereka menjalin sebuah persahabatan yang sungguh akrab.

          Daniah dan Mariam pernah menuntut di universiti yang sama. Dan melalui Mariamlah, dia mengenali Lokman. Sepupu Mariam yang sama-sama menuntut di universiti itu tetapi berlainan fakulti. Kemesraan yang terjalin antara dia dan Lokman, akhirnya membenihkan sebuah percintaan yang sukar dimengertikan.

          Adat muda bermain cinta, sesaat tak berjumpa sehari rindu membara.

          Peristiwa lama itu masih tersemat di sanubari. Belum pamit. Sesungguhnya, Daniah tidak mahu lagi mengenangkan detik-detik celaka dalam diri itu. Betapa tidak, pada suatu malam yang cuma diterangi cahaya bulan telah menjahanamkan iman mereka berdua yang memang terlalu nipis. Syaitan galak ketawa keriangan dan beroleh kemenangan malam itu menyaksikan dua jiwa bersatu tanpa ikatan yang sah.

          “Astaghfirullah!” Daniah gesit menutup muka. “Ya Allah, ampunilah aku!”

          Besoknya, dia memaksa Lokman bertemu ibu dan bapanya di kampung. Mereka segera bertunang. Mereka mesti berkahwin sebelum segala-galanya terbongkar. Lokman setuju. Tetapi setelah dua bulan bertunang, Lokman mungkir janji. Seorang gadis cantik telah merampas Lokman daripadanya. Paling menyedihkan, waktu itu kandungannya sudah mula bergerak-gerak.

          Keluarganya terkejut besar bila Daniah memberitahu mereka. Ibunya hampir-hampir pengsan. Daniah sendiri menangis, kesal dengan apa yang telah dilakukan. Namun, segala-gala sudah berlaku, tidak dapat diundur lagi. Dia harus tabah menerimanya.

          Supaya maruah keluarga tidak dicerca masyarakat, Daniah dinikahkan segera dengan sepupunya, Farid, seorang guru lepasan maktab.

          Malam pertama Daniah terbiar. Daniah hairan dan tertanya-tanya sendiri. Hari-hari berikut, Farid masih lagi tidak mahu menyentuhnya dan berlanjutan hingga seminggu. Farid seringkali mengelak bila Daniah mendekati.   

“Kenapa Farid? Kenapa kau seksa aku begini?” Daniah memberanikan diri bertanya.

          Farid tunduk. Air muka jelas bayang-bayang kesal. Setahu Daniah, Farid sudah ada pilihan sendiri. Tapi kerana menghormati pilihan keluarga, jejaka itu terpaksa menikahi Daniah, walau hati terpaksa berkorban perasaan cinta terhadap gadis pilihan.

          “Maafkan aku Niah! Aku tahu aku bersalah perlakukan kau begitu. Sepatutnya, aku lepaskan saja kau,” tegas Farid.

          “Kenapa? Apa yang dah aku lakukan sehingga kau tak mahu menyentuh aku? Aku… aku isteri kau? Isteri yang sah!” Daniah membentak.    

Farid melemparkan pandangan keluar tingkap. “Aku menikahi kau kerana dipaksa keluarga kita. Itu saja. Aku berkorban menutup malu yang kau lakukan. Sepatutnya kau bersyukur dengan pengorbanan aku ini!”

          Darah Daniah gesit tersirap. Dia tersentak besar. Kini terbongkarlah segala rahsia sebalik kedinginan Farid terhadap diri. Daniah bagaikan tidak percaya bahawa Farid juga sudah tahu segalanya. “Ya Allah, kenapalah seburuk ini nasibku.” Hati merintih dengan rasa sebak. Dirasakan dunia ini berpusing ligat kala itu.     

“Maafkan aku, Niah! Aku tidak berniat nak melukakan hati kau. Tapi, aku juga ada harga diri. Sebagai seorang lelaki, aku rasa terhina dengan pilihan keluarga kita. Kenapa mereka tergamak memilih kelapa yang dah ditebuk tupai untukku hanya kerana mahu menutup malu dan dosa yang kau lakukan? Aku bukan dayus, Niah! Aku bukan dayus!” Demikian tegas Farid, bernada kesal.

          Daniah tidak menyangka usia perkahwinannya sesingkat itu. Dia diceraikan. Penceraiannya menjadi buah mulut masyarakat kampung. Anak luar hukum dalam kandungan, telah benar-benar membenamkan nama dan maruah seluruh ahli keluarga. Rata-rata orang kampung sudah tahu. Akhirnya dengan berat hati Daniah terpaksa membawa diri keluar dari cemuhan mereka.

          Daniah mengambil keputusan terus ke kampung Mariam di Kelantan. Hanya Mariam saja, satu-satunya sahabat yang tahu kejadian menimpa diri. Selepas bersalin, bayi itu diserahkan kepada Mariam. Dia tidak pernah terlintas hendak bertemu lagi dengan Mariam atau anaknya selepas itu. Biarlah anak itu tidak mengenalinya sebagai ibu kandung. Dan Mariam juga sudah berjanji akan merahsiakan segala-galanya. Begitu juga Hashim, suami Mariam.

Sekali lagi dia tersedar dari lamunan bila suara gemersik azan berkumandang dari menara masjid. Setelah selesai mengambil wuduk, perlahan-lahan langkah diatur menuju masjid. Daniah mahu solatnya itu hanya untuk Allah. Kusyuk dan tidak ternoda oleh apa-apa bayangan sekalipun.

          Selesai menyempurnakan solat sunat dua rakaat, perlahan-lahan juga Daniah pulang ke hotel. Entah kenapa hatinya tiba-tiba saja jadi resah dan berdengap kasar.

          Setibanya di lobi hotel, tidak diduga rupanya Mariam sudah lama menunggu. Dari jauh Mariam sudah memurupkan senyum. Selepas memberi salam, Daniah melabuhkan punggungnya di sisi Mariam. Mariam pula segera memandang wajah Daniah dengan renungan yang agak rengsa, berbaur urna rusuh dan serba salah.

          “Niah, saya ingin memohon maaf,” Mariam bersuara setelah sekian lama terdiam.

          Daniah segera merenung figura Mariam. Kotak fikir gesit disergap tanda tanya.

          “Berat bagi saya mengatakan,” sambung Mariam. “Saya terpaksa kerana kasihankan dia. Dia dah besar sekarang.”

          Daniah tergamam jola. Dia tahu rahsia itu akan terbongkar juga akhirnya. Dalam soal ini Daniah tidak salahkan Mariam. Segalanya sudah ditetapkan takdir. Dia harus menerimanya dengan tabah, penuh rasa menyerah.

          “Niah tentu boleh faham. Sukar buat keputusan. Lama sekali kami memikirkannya. Terang-terang saya katakan pada Niah, kami sebetulnya membuat pilihan. Ini akhirnya kami rasa pilihan terbaik. Kami terpaksa berterus-terang dengan dia. Sebagai anak, dia harus tahu siapa ibu kandungnya. Sampai bila ini semua mesti dirahsiakan,” Mariam mengatur satu persatu gelodar rasa.

          “Habis, apa tindakannya selepas dia tahu Mariam bukan ibu kandung dia?” Daniah bertanya dalam resah menggelecak.

          “Dia bertekad mahu mencari Niah.”

          Daniah gesit resah dan digugah debar. Bagaimana kalau sudah berjumpa nanti? Bagaimana harus aku menjawab soalannya nanti? Fikiran Daniah tiba-tiba jadi buntu. Dia rasa bingong. Dia rasa serba salah. Jauh di sudut hati, dia ingin berterus-terang dengan Mariam bahawa dia juga benar-benar rindukan anaknya itu. Bukan untuk merampasnya dari tangan Mariam. Bukan untuk memisahkan kasih-sayang yang telah mereka taburkan selama ini. Tetapi kerana sifat-sifat keibuan yang tertanam di dasar nubari. Bagaimana rupa parasmu, anakku? Tanpa disedari, air matanya menitis laju. Ya Tuhanku, tenangkanlah fikiranku yang berkecamuk ini!

          Daniah tidak bertemu lagi dengan Mariam ketika menunaikan solat Asar di masjid. Puas dia mencari, tetapi tidak berjumpa. Syukurlah. Jika tidak pasti akan dihenyak dengan keresahan lagi. Dia menghabiskan masa seharian dengan membaca Al-Quran dan mendengar syarahan agama di masjid itu. Selesai solat Isya, dia terus pulang ke hotel.

 

 ***

 

Untuk kali terakhir Daniah akan berdoa lagi di Raudhah. Itulah niatnya. Besok dia akan pulang ke Malaysia. Selesai saja solat sunat, perlahan-lahan Daniah menyusur langkah ke Raudhah.

          Dari satu sudut di Masjid Nabawi, tenang Taman Syurga itu seolah-olah menunggu kedatangannya. Sampai saja di situ, Daniah terus bersimpuh penuh sopan. Kedua-dua tangannya gesit ditadahkan. Air matanya mendadak bercucuran jatuh. Dadanya sebu dan sebak. Dia menangis semahu-mahunya. Keinsafan terasa meresap ke seluruh juzuk diri.

          Entah kenapa wajah Mariam tiba-tiba saja mengirap. Sudah tiga solat Daniah tidak bertemu sahabatnya itu. Dia tertanya-tanya juga ke mana perginya Mariam. Mungkin juga Mariam sudah pulang lebih awal ke Malaysia.         

Tapi alangkah terperanjatnya Daniah, bila Mariam bersama seorang gadis menyapanya sebaik saja dia hendak bangun dari timpuhan. Dia terus memberi salam pada mereka. Mereka menyambut salamnya serentak.

          “Niah, ni saya kenalkan Hidayah, anak Niah yang saya pelihara 20 tahun dulu!” ujar Mariam dengan perasaan gembira.

          Daniah kejur khali. Lidahnya kelu tiba-tiba. Dia tak tahu apa yang harus diucapkan saat ini. Perasaan suka, sedih, pilu, resah dan malu bercampur-campur. Dada mendadak sayu dan hiba. Namun segalanya reda bila gadis itu mencapai dan mencium tangan serta merangkul tubuhnya sambil menangis. Daniah membalas pelukan itu. Air matanya juga tidak dapat dibendung lagi. Bergerimis membasahi pipi.

          “Maafkan ibu, nak!” tersedu-sedu Daniah bersuara. Lirih dan amat mendatar mengiring gerimis yang kian menjujuh di pipi.

          “Sudahlah, bu! Hidayah dah tahu segala yang terjadi. Hidayah tak salahkan ibu. Sekarang Hidayah bersyukur dapat berjumpa juga dengan ibu.”

          Mariam tersenyum dan mencelah. “Usahlah dikenangkan lagi cerita lama. Yang penting sekarang, anak kita dah ada dua orang ibu!” Tangan lembut menepuk-nepuk pundak Daniah, sarat polos.

Perlahan Daniah merungkaikan pelukan Hidayah. Hatinya merasa lega tiba-tiba. Dia sedar, dia sudah tua tapi masih belum lewat untuk menyambungkan kembali kasih-sayang antara dia dan anak kandungnya itu. Demi kebahagiaan dan kesenangan hati Hidayah, dia rela berkorban apa saja. “Masih belum terlewat,” hatinya mulai meneguh janji.

          Sesungguhnya kini, Daniah merasa amat tenang. Setenang-tenang Taman Syurga yang sudah sekian lama dia rindukan dan biarlah gerimis di Masjid Nabawi ini pencantum segala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA