Khamis, 21 Disember 2023

LEANIGERUM TESYMANII

SMAHADZIR

SEKARAR pagi begini, aku sudah mengatur langkah mengitari mandala lapan hektar perbukitan menghijau leanigerum diseli sedikit tesymanii. Direalisasikan dari belantara tebal sejak meninggalkan jawatan pakar penyelidik sintesis organik University of Illinois, Chicago.

Bayu galak berkesiur. Miang membelai. Kalau tadi beraroma sejuk kerana dibaur molekul dingin dari jeram bertingkat yang deras mengalir di pusat bukit, tetapi kini agak suam ditusuk sinar matahari, menyelit antara dedaun lalu membentuk jaluran cahaya ke bumi. Gelicau unggas cagun berselerak. Aku tetap karar di sini dengan kesuburan leanigerum, dengan kehijauan tesymanii. Sentosa hati.

“Engkau sudah nyanyuk, profesor!”

Siapapun sukar mengerti. Entah apakah hasilnya pokok-pokok ini? Entah apa faedahnya dua spesies ini jika mahu dibandingkan dengan rambutan, durian, mangga siam, dokong, buah naga atau tanaman lain? Biar tuduhan prejudis itu bersipongang. Realitinya, mandala perbukitan seluas lapan hektar ini sudah sarat menghijau leanigerum dan tesymanii.

“Kenapa memilih dua spesies ini untuk disuburkan?”

Kerana Murni.

“Murni? Siapa Murni?”

Dia isteriku. Isteri yang telah menganugerahkan aku sepasang zuriat dambaan kasih - Kuntum dan Dahan. Sayang, dia telah pergi meninggalkan aku sewaktu ujikaji kami di peringkat pengumpulan sampel. Jelu amat mengenangkan. Ourgh…! Diam.

“Teruskan!”

Sungguh, Murni isteriku yang baik. Luhur penyayang. Sering mengingatkan aku tanggungjawab memelihara kelestarian alam supaya dapat dimanfaatkan oleh semua. Aku penyambung cita-cita dan harapannya yang berakhir dengan renggutan maut virus durjana itu.

Ya, Murni meninggal dunia kerana HIV. Siapalah aku mahu menghalang nahas itu dari menjerba perjalanan Murni sewaktu pulang dari membeli-belah di Kota Chicago. Akibat kemalangan itu dia mengalami pendarahan yang banyak. Beberapa tahun kemudian isteriku terpaksa bertarung dengan virus HIV dari darah yang dipindahkan ke tubuhnya.

Betapa rakus serangan virus durjana itu. Murni kecundang. Sungguh-sungguh aku kesal dengan kehilangannya. Kesalku menghenyak seluruh hidup kerana Murni tidak sempat melihat kejayaan ujikaji kami pada sampel (+)-calanolide diekstrak dari bintangor spesies calophyllum lanigerum. Aku… aku bersama beberapa ahli botani University of Illinois, Profesor Green - rakan dari Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat (NCI) juga Dr. Love dari agensi Arnold Arboretum Research (sebuah agensi penyelidikan sintesis organik persendirian).

Kajian in vitro yang telah kami jalankan menunjukkan (+)-calanolide A, sejenis bahan bukan nucleoside memberi tindak balas berbalik kepada enzim perencat atau transcriptase (NNRTI), bertindak aktif terhadap virus HIV-1 termasuk strain rintang terhadap ubat-ubatan seperti azt, nevirapine dan pelbagai NNRTIs.

Kami dapati, bahan itu juga menunjukkan kemampuan bersinergi bila digunakan secara in vitro bersama-sama dengan analog nucleoside seperti AZT, ddC, ddI, d4T dan 3TC; serta dengan bahan perencat bukan nucleoside seperti nevirapine; dan perencat protease seperti saquinavir dan nelfinavir.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan kompaun bahan itu boleh menembusi takungan virus dengan menembusi halangan pada bahagian otak dan memasuki otak, seterusnya berkumpul pada nidus limfa.

Ujikaji kami pelbagai - berjujukan, rawak, kawalan placebo termasuk ujian ciri-ciri keselamatan, pharmacokinetics serta kesan dua dos (+)-calanolide A dijalankan atas pesakit HIV positif. Keputusannya memberangsangkan. Diserap dan beredar baik melalui saluran darah kendati wujud sedikit loya, pening radangan dan nausea ringan.

Apakah tidak wajar aku menyesali kehilangan Murni meski dalam waktu rakan-rakan lain bergembira dengan kejayaan penemuan ini? Mereka berhak untuk bergembira setelah pelbagai kesulitan ditempuh sepanjang ujikaji berlangsung.

Penemuan penawar ini manis, kejayaan ini manis. Wajar mereka gembira. Sedang aku, wajar juga untuk bersedih. Penawar yang kami usahakan tidak sempat dinikmati Murni. Kesal dan jelu sungguh.

“Tapi, kau masih ada dua zuriat tinggalan Murni! Dahan…”

Argh… usah disebut nama anak jantan itu. Tidak seperti aku harapkan. Tidak pernah menghargai usaha-usahaku menyuburkan bintangor malah ada riak-riak tidak senang menyerlah.

 “Kau masih ada Kuntum, bukan begitu?”

Kuntum laksana ranggi cempaka putih. Tercium gerbaknya mengingatkan aku pada gemulah Murni. Cempaka putih sering terselit di sanggul, menyerlah keayuan, menggamit pesona. Oh Murni…

Mentari sudah mencanak di puncak kepala. Membahang melengas. Ada lawang perpisahan antara kita. Bintangor, aku pulang dulu...

* * *

Bilik empat persegi, kemas, dingin hawa menyengat. Meja kayu nyatuh. Kerusi pusing empuk. Dahan bersandar segar, mata meneliti fail-fail bersusun atas meja. Jam baru sembilan pagi kala hand-phone melengking.

Gesit diangkat dan ditekapkan ke telinga.

“Hello!”

Diam.

“Hello!!!”

Cit! Putus pula! Hand-phone gesit diletakkan atas meja. Mata mengitari semula fail-fail di hadapan. Namun mendadak pula benak menerawang, menghimbau wajah Tuan Usahawan dari Konsortium Cekauwang Bhd, mengirap mesra ke sepasang mata.

“Projek ini mampu menarik jutaan pelancong ke Daerah Maju, Encik Dahan! Saya yakin, nama Encik Dahan sebagai PB Daerah ini pun akan turut harum!”

“Jadi?”

“Kuasa encik diperlukan! Errr, kuasa berbayar!”

“Nanti saya fikirkan!” Senyum sarat makna.

Tuan Usahawan turut senyum. Faham retorik tersirat.

“Taman rekreasi lengkap resort dan chalet mewah yang nak dibangunkan tu melibatkan kemusnahan bintangor milik bapa saya, Tuan Usahawan!”

“Itu saya tahu, Encik Dahan! Bukit seluas lapan hektar tu terletak di pinggir kawasan maju. Sekeliling sudah membangun. Kewujudannya amat menjolok mata kalau tidak dibangunkan.”

“Saya sedar itu, Tuan Usahawan! Malah, sudah lama saya fikirkan. Bintangor bapa saya tidak menjamin pulangan besar. Pasaran nihil. Barangkali juga bapa saya sudah nyanyuk, meracau dengan impian masa depan yang kosong…”

“Orang tua memang begitulah, Encik Dahan!”

“Banyak lagi tanaman lain yang boleh diusahakan tapi bintangor itu juga jadi pilihan!”

“Sudahlah, Encik Dahan! Kita lupakan soal tu… err… saya dah berbincang dengan Datuk OB (Orang Besar). Dia setuju dengan pendapat saya. Cuma satu pesanannya: Projek Taman Rekreasi itu mesti direalisasikan secepat yang boleh!”

Dia mengangguk.

“Errr, satu lagi... Lembaga Pengarah Konsortium Cekauwang Bhd dah bersetuju melantik Encik Dahan sebagai salah seorang pemegang kepentingan taman rekreasi tu!”

Dia angguk terus.

“Encik Dahan! Ada tetamu nak jumpa encik!”

Lamunan gesit bubar. Berkecai kala melihat Siti Aisyah di muka pintu bilik.

“Suruh dia masuk!”

Seorang lelaki agam terjengul. “Selamat pagi tuan!”

“Selamat pagi eh… Encik Tong Kang! Sila duduk! Sila duduk!”

“Tuan sudah minum?”

Dalam senyum. “Baru lepas!”

“Tadi saya ada telefon tapi fikir-fikir… lebih baik datang jumpa sendiri!” bersuara mesra sewaktu punggung berlabuh di depan Encik Dahan.

“Oooo… talian yang putus tadi?”

“Sengaja diputuskan!”

“Tentu ada hal mustahak!”

Lelaki agam itu tersengih lebar. Pengusaha kuari bijak, workholic dan pemurah. Tidak terlalu lama untuk melunaskan hajat hati. Sekeping enverlope 11cm X 22cm dihulurkan kepada Encik Dahan.

“Eh, surat apa pula ni?” Pura-pura hairan.

“Bukan surat tuan, errr… ang pau!!” Encik Tong Kang tersengih lagi.

“Bukan rasuah?”

“Jangan cakap macam tu, tuan! Alaa… sikit saja ang pau untuk anak-anak tuan,”

“Kenapa bawah meja?” Encik Dahan separuh berbisik.

“Takut orang lain nampak, tuan!” Encik Tong Kang tersengih-sengih.

Encik Dahan turut tersengih. Lebih lebar. Tangan menyambut cepat. Enverlope bertukar tangan. Terbayang dalam kepala. Bukit batu kapur pinggiran laut hujung Daerah Maju yang dulunya teguh terpasak dalam bumi, sudah terpokah diledak granite Tong Kang Sdn Bhd.

Pelbagai flora dan fauna unik di bukit itu melenyap termasuk sebuah gua kaya stalaktait dan stalagmait. Jutaan makhluk spesies cheiromeles torquatus, megaderma lyra, scotophilus kuhli dan megaderma spasma kehilangan zuriat-zuriat setelah kediaman mereka berkubur bawah tanah.

Beberapa tagal bertukar khabar tentang keluarga, bussiness dan soal-soal politik semasa, Encik Tong Kang pamit. Encik Dahan gesit menyelak enverlope 11cm X 22cm. Ada kepingan-kepingan kertas biru kelabu cair di situ. Ada ubi ada batas! Ang pau untuk anak-anak! Spontan bibir memurup senyum.

* * *

TV4 mengungkap kembali pelbagai petaka yang menjerba dunia sebagai mukadimah lawang alaf baru. Gempa di Turki. Taufan di Florida. Ribut di California. Ledakan gunung berani di Kepulauan Haiti. Banjir besar di China.

Sedikit tidak terkesan. Dahan bersahaja menghirup susu high calcium sajian isteri. Cepu kepala bergentayangan pelbagai. Beraduk baur. Pertemuan beberapa malam lalu gesit cagun.

“Kuntum! Masuklah!” Hanizah mempelawa lunak sebaik menguak daun pintu teras cengal. “Eh, mana bapa?”

“Dia di rumah. Baca kitab!” senyum Kuntum bersahaja dan terus ke ruang tamu. Melabuhkan punggung di sofa kulit sisi Dahan yang asyik mengelus perut. Kekenyangan. Sekilas mencuplik tancap ke arah kakak ipar yang sudah melangkah ke dapur.

“Kamu datang just a right time. Abang baru saja balik dari kota,” Dahan mula bersuara. “Teman lama belanja makan di Hotel Lima Bintang tadi. Eh, seorang saja? Kenapa tak ajak bapa ke mari?”

“Errr… sebenarnya bapa ke bukit!” Kuntum mengeluh.

 “Dah sah, Kuntum! Memang sah orang tua tu dah nyanyuk!” Dahan gesit menggeleng dan berdecit. Beriak kesal.

“Sebenarnya, fikiran bapa terganggu!”

“Ah, bapa sengaja cari masalah, Kuntum! Masalah itu yang mengganggu fikirannya. Sepatutnya, bapa berehat saja selepas bersara. Buat ibadat banyak-banyak sebelum mati.”

“Abang tak ada hak nak menentukan kehidupan bapa baik sebelum mahupun selepas bersara. Begitu juga kecintaan bapa kepada kehijauan dan kesuburan bintangor di bukit tu!” Kuntum sungguh kurang senang. Suara sedikit gerah.

“Itu kata kamu, Kuntum!” Dahan tersenyum nipis. “Sebagai anak lelaki, abang tetap ada hak atas kehidupan bapa. Menjadi tanggungjawab abang untuk melihat bapa tidak dihenyak masalah. Bapa perlu disedarkan dari mimpi siang hari. Usaha bapa menanam bintangor di bukit tu sia-sia saja!”

“Itu kata abang! Bapa ada alasan tersendiri!”

“Apa juga alasan, pembangunan perlu diutamakan. Tilik masa depan bukit tu. Untuk apa dibiarkan tersergam di situ tanpa apa-apa kemajuan! Lagipun, abang sebagai PB daerah ni, berasa malu jika bukit tu tak dibangunkan dengan sesuatu yang berfaedah untuk semua!”

Hening.

“Beginilah, Kuntum!” Dahan terkesan perubahan pada wajah Kuntum lalu bersuara setelah bertagal membungkam. “Tak usahlah kita dua beradik bergaduh fasal bukit tu lagi. Lagipun, pentadbir daerah sudah pun memutuskan. Warga Daerah Maju memerlukan sebuah taman rekreasi untuk berehat. Secara tak langsung, akan menarik minat para pelancong ke sini. Bukit tu dikira tempat paling strategik untuk dibangunkan!”

“Kami sudah sepakat akan mengadakan demontrasi membantah sebarang kemusnahan terhadap bintangor milik bapa!” tegas dan waras Kuntum bersuara.

 “Barangkali kamu lupa agaknya! Pokok pembangunan berpaut kukuh pada tunjang kuasa dan wang! Tahu itu?” Dahan tersenyum sinis.

Denting jam antik bersipongang mengejutkan. Lamunan berjela-jela Dahan terburai. Kemamar sejenak sebelum bangun menuju bilik tidur. Terasa puas dan lega namun sedikit kesal. Kuasa dan wang juga boleh merenggangkan tali persaudaraan. Ah, biarkan!

* * *

Sering begini. Sekarar pagi begini, aku sudah mengaur langkah mengitari mandala lapan hektar perbukitan yang dulunya menghijau subur leanigerum diseli sedikit tesymanii tetapi kini sudah meriah sebuah taman rekreasi lengkap resort dan chalet. Serba mewah.

Serasa ada bayu langkisau menerjang garang. Membalun dan menghenyak. Bintangorku tiada lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA