SMAHADZIR
AHLI sejarah telah meletakkan
kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun bermula dengan penegasan identiti diri.
Apabila seseorang individu itu kenal diri mereka sebaiknya, timbullah keyakinan
dalam diri bahawa mereka secara tersendirinya adalah seorang yang hebat. Jika
tidak dirasai kehebatan dan kewibawaan dirinya, maka di situlah mula generasi
belia kita mengikuti orang lain yang dirasakan lebih hebat. Kata kunci di sini
adalah ‘kagum’, iaitu kekaguman kepada kewibawaan orang lain menjadikan kita
berasa diri kurang, seterusnya meletakkan harapan dan kepercayaan kepada
‘hero-hero’ di luar bangsa sendiri.
Belia sejati
sebagaimana dinyatakan sajak Arab, bermaksud: “Bukan pemuda (sejati) mereka
berkata dulu bapaku (begitu dan begini), tetapi ialah yang mengatakan inilah
aku.” Ertinya belia tulen ialah belia bukan hanya bernostalgia dengan
kegemilangan datuk neneknya atau sejarah masa lalu tetapi belia yang
‘berbangga’ dengan sumbangan bermakna atau belia yang mencipta sejarah
tersendiri.
Sejarah
telah mencatatkan bahawa Melaka pernah muncul sebagai Empayar Melayu terbesar.
Sejarah penyebaran Islam besar-besaran di Nusantara juga bermula di
Melaka. Bahasa Melayu juga menjadi lingua franca di rantau
tersebut, digunakan oleh sesiapa sahaja yang datang menyinggah,
saudagar-saudagar dan pendatang-pendatang asing lain. Mana mungkin bahasa itu
dipertuturkan secara meluas sekiranya bangsa itu lemah! Kemakmuran dan
kehebatan Kesultanan Melayu Melaka boleh dilihat kepada betapa pesatnya
perkembangan tamadun Melayu Melaka.
Generasi belia adalah aset berharga kerana merekalah
tonggak kekuatan serta pewaris kepemimpinan masa depan negara. Keadaan
masyarakat akan datang bergantung pada keadaan dan pembinaan belia hari ini.
Jika keadaan belia hari ini baik dan pembinaannya sempurna, besar kemungkinan
masyarakat pada masa akan datang akan juga menjadi baik dan begitulah
sebaliknya.
Pembabitan dengan aktiviti penagihan dadah, berzina,
pembuangan bayi, minum arak dan gejala sosial lainnya berpunca daripada
kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu yang boleh menjatuhkan kualiti
akhlak manusia setaraf binatang. Oleh
itu, golongan belia perlu memastikan kehidupan di dunia ini mendapat
perlindungan Allah SWT kerana antara tujuh golongan dilindungi Allah di akhirat
ialah pemuda yang hidup beribadah kepada Allah.
Ramai di antara kita adalah
pemuda yang beruntung kerana diberi nikmat pendidikan tinggi dan harta
melimpah. Masih tidak terlambat untuk membina satu wawasan dan berusaha keras
bagi mencipta sejarah tersendiri dan meninggalkan sesuatu bagi umat ini. Sesuatu
yang bukan hanya dilihat sebagai legacy tetapi juga sebagai amal jariah
yang akan menjadi saham berterusan hingga hari kiamat, sejajar dengan sabda
Rasulullah SAW: “Jika mati anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali
dari tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang
mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Namun, kita tidak akan dapat mencipta sejarah dan meninggalkan legacy, sekiranya:
1. Berjiwa
kecil yakni tiada keyakinan pada diri sendiri, tidak mampu mengurus diri
sendiri, tiada semangat ‘yakin boleh’, tidak berani mencuba.
2. Berakal
kecil yakni sibuk dengan perkara remeh, sibuk dengan masalah dari melihat
peluang, tidak mampu mengekalkan idealisme wajar, tiada wawasan dalam hidup,
pesimis.
3. Beramal kecil yakni tiada kesungguhan dalam perjuangan, mudah putus asa, lokek dalam pengorbanan, berpuas hati dengan apa yang ada, mediocre dalam semua perkara.
Kita jangan bernostalgia dengan
pencapaian umat lalu, kecuali sebagai dorongan untuk berlumba mencipta sesuatu
bagi umat hari ini dan akan datang. Agar kita terus dikenang, agar doa umat
akan terus melimpahi kita, pada ketika kita bersemadi di liang lahad sendirian.
Perlulah kita ingat bahawa Allah SWT
tidak akan menyoal kita akan sumbangan mereka terdahulu, tetapi kita hanya akan
ditanya mengenai sumbangan kita sendiri. Allah SWT telah berfirman yang
bermaksud: “Mereka itu adalah umat yang telah lalu. Bagi mereka apa yang telah
mereka lakukan dan bagi kamu apa yang kamu lakukan dan kamu tidak akan ditanya
apa mereka (yang terdahulu) lakukan.” (surah Al-Baqarah : 141)
Selagi kita masih hidup, sejarah
umat ini berada dalam diri dan di tangan kita. Ini bermaksud, nasib sesuatu
bangsa akan bergantung pada apakah bentuk wawasan yang ada di minda belia
mereka. Pencapaian wawasan berkenaan pula bergantung pada usaha keras mereka.
Oleh itu, adalah penting untuk
para belia mempunyai wawasan. Wawasan ini haruslah sebuah wawasan besar bagi
diri dan masyarakatnya. Islam menuntut setiap muslim untuk menjadi seorang yang
soleh (baik) dan juga musleh (mampu membaiki orang lain). Maka
generasi belia terutama yang beragama Islam dituntut untuk berwawasan bukan
hanya berkaitan bagi dirinya sendiri seperti keinginan untuk menjadi doktor
atau ahli perniagaan berjaya tetapi juga mempunyai wawasan berkaitan kesolehan,
pembangunan dan kemajuan masyarakatnya. Mempunyai wawasan bagi hari muka adalah
dianjurkan Islam.
Allah SWT berfirman, bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman, bertakwalah pada Allah dan hendaklah setiap jiwa
itu melihat apa yang akan ia kemukakan untuk hari esok, dan bertakwalah pada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (surah Al-Hasyr
:18)
Ayat ini menganjurkan umat agar
sentiasa melihat ke hadapan dan merancang untuk hari muka, ertinya membina
wawasan untuk hari muka dan berusaha mencapainya. Belia yang tidak mempunyai
wawasan ialah belia yang potensinya akan terbazir. Belia sedemikian akan
terumbang-ambing hidupnya tanpa tujuan dan perancangan. Dalam banyak keadaan
belia seperti ini hanya akan memenuhkan hidupnya dengan hiburan dan permainan
semata-mata kerana dipengaruhi hedonisme Barat. Kegagalan belia seperti ini
sebagaimana ungkapan berikut, “One who fails to plan, plans to fail.”
Masyarakat yang mempunyai belia
seperti ini ialah masyarakat yang pasti akan menuju kehancuran. Sedangkan belia
yang hanya berwawasan bagi manfaat dirinya dan hidupnya hanya dipenuhi sesuatu
bagi memenuhi keinginan peribadi semata-mata, ialah belia yang mementingkan
dirinya sendiri.
Maka jadilah belia yang berwawasan. Apa juga wawasan yang tinggi, besar dan bermanfaat adalah sesuatu yang digalakkan. Namun wawasan berkenaan mestilah dipandu oleh prinsip-prinsip berikut:
1. Wawasan
dalam rangka ibadah pada Allah SWT sejajar dengan firman-Nya: “dan Aku tidak
jadikan Jin dan manusia kecuali untuk beribadah pada-Ku.” (surah Az-Zariyat :
56)
2. Sesuatu itu
hanya akan menjadi ibadah apabila dilakukan dengan hati ikhlas kerana Allah SWT
dan mengikut hukum ditetapkan oleh-Nya, sejajar dengan Islam. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (surah Ali-Imran : 19)
3. “dan barangsiapa mencari Islam sebagai agama (cara hidup), maka tidak akan diterima darinya dan dia di akhirat dari golongan yang rugi.” (Ali-Imran : 85). Ia adalah wawasan yang merealisasikan peranan sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah. Firman-Nya: “Apabila Tuhan kau berkata pada malaikat, bahawa Aku akan mencipa di bumi ini seorang khalifah.” (surah Al-Baqarah : 30)
Peranan utama khalifah di muka
bumi ialah untuk memakmurkan bumi ini dengan aturan yang telah ditetapkan Allah
SWT, terkandung dalam ajaran Islam. Dalam kata-kata ringkas, wawasan seseorang
belia haruslah merangkumi dua aspek iaitu untuk menegakkan agama dan
memakmurkan dunia. Bukan salah satu darinya.
Bagi generasi belia terutama yang
beragama Islam, wawasan sedemikian adalah satu kewajiban agama. Pengabaian
terhadapnya merupakan pengabaian terhadap perintah Allah SWT. Sesiapa yang
melakukannya dicela dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Namun
wawasan sahaja tidak mencukupi. Wawasan berkenaan haruslah didokong oleh
keperibadian yang baik. Hanya belia berperibadi sesuai sahaja akan benar-benar
mampu menjayakan wawasan berteraskan prinsip di atas.
Dalam mendokong satu wawasan murni, belia Islam haruslah memastikan bahawa ia memiliki ciri-ciri asas iaitu akidah murni dari penyelewengan, ibadah benar dan bersih khurafat dan akhlak mulia. Ciri-ciri asas ini, didokong pula oleh ciri-ciri tambahan seperti:
1. Sentiasa
berusaha mempertingkatkan diri dalam semua bidang dan berusaha mencapai
kecemerlangan dalam bidang diceburi. Ciri ini diasaskan kepada sabda Rasulullah
SAW: “Manusia bijak ialah manusia yang sentiasa menghisab dirinya dan berusaha
untuk hari matinya. Manusia lemah ialah manusia yang sentiasa mengikut nafsunya
dan sentiasa berangan-angan terhadap Allah SWT.”
2. Komited pada
usaha untuk membangun masyarakat. Ciri ini diasaskan kepada dalil: “dan
hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan,
menyuruh kepada makruf dan mencegah dari mungkar dan merekalah orang-orang
berjaya.” (surah Ali Imran : 104)
3. Mampu
bekerja secara kolektif dan berorganisasi. Ciri ini diasaskan kepada dalil:
“Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam
barisan seolah-olah satu binaan tersusun kukuh.” (surah As-Saf : 4)
4. Sedia
memimpin. Ciri ini didasarkan dari dalil: “Tuhan kami kurniakanlah kepada kami
isteri-isteri dan zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan jadikanlah kami
pemimpin bagi orang-orang bertakwa.” (surah al-Furqan : 73) Pengajaran dari
ayat ini ialah Allah menggalakkan umat Islam membina sifat dan kemampuan
kepimpinan yang dimanifestasikan dari amalan berdoa. Walaupun Islam tidak
menggalakkan umat Islam menuntut jawatan kepimpinan tetapi ia tidak menghalang
mereka dari membina kemampuan kepimpinan dalam diri mereka berdasarkan ayat
ini.
5. Kompeten
dengan keperluan semasa. Ciri ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang pakar.” (Muslim)
6. Berminda luas dan berfikiran global dan universal. Ciri ini didasarkan pada dalil: “dan tidak kami utus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (surah Al-Anbiya’ : 107) Islam adalah agama universal, diturunkan untuk seluruh umat manusia bukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu atau umat Islam sahaja.
Seterusnya Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam
sabdanya: ‘Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang
bermanfaat kepada orang lain.’ (Riwayat Al-Tabarani)
Hadis ini
menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang
hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga,
masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia beginilah yang menjadi
cita-cita negara untuk membentuk warga kreatif, pencetus dan pembina tamadun
dihormati dan disegani masyarakat dunia.
Justeru,
golongan belia harus memastikan kehidupan mereka di dunia ini mendapat
perlindungan Allah SWT. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan
oleh Abu Hurairah r.a bermaksud: ‘Bahawa terdapat tujuh golongan manusia
dilindungi Allah SWT pada hari akhirat iaitu:
1. Pemimpin adil
2. Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah SWT
3. Orang yang mengingati Allah SWT ketika bersendirian lalu
menitis airmatanya
4. Orang yang hatinya bergantung kepada masjid
5. Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT
semata-mata
6. Lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik tetapi
mengatakan aku takut kepada Allah SWT
7. Orang bersedekah dan memyembunyikannya sehingga tangan
kirinya tidak tahu apa dibuat oleh tangan kanan.
Lantaran
itu, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan generasi belia negara kita
sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya menjadi
generasi belia pencipta sejarah, berjaya memainkan peranannya sebenar dalam
memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 10, bermaksud: “(Ingatkanlah peristiwa)
ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai
Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah
kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan