Isnin, 11 Disember 2023

DOKUMENTASI Lawatan Kerja Sempena Program Silang Budaya Selangor Indonesia 2023: Semarak Budaya Serumpun

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
 
Program Silang Budaya Selangor-Indonesia 2023 merupakan sebuah program yang memberi tumpuan kepada pertukaran ilmu dan silang budaya yang melibatkan dua buah negara iaitu Indonesia dan Malaysia. Program anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini telah memberi impak yang besar bukan sahaja kepada para peserta, tetapi juga kepada organisasi budaya dan negeri Selangor itu sendiri. 
 
 
Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah bersama Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan kumpulan budaya Selangor
 
Program yang mendapat sokongan padu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah ini juga merupakan sebahagian daripada hasrat kerajaan negeri untuk menyemarakkan seni budaya dalam kalangan masyarakat Selangor.
 
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah
 
Delegasi Program Silang Budaya Selangor-Indonesia 2023 terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah merangkap Ketua Delegasi, Encik Ahmad Nazmi bin Razali, Penolong Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Seksyen Sektoral, Puan Dr Nadia Widyawati binti Madhzi, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Adat  Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Awaludin bin Md Jahid, Setiausaha Eksekutif, Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS), Encik Nuar bin Md Diah, Setiausaha Pertubuhan Media Negeri Selangor, Tunas Sinar SK Sungai Lang, Kuala Langat, Kumpulan Sri Kenchana, Kuala Selangor dan beberapa orang wartawan media RTM, ASTRO dan AKSES. Seramai lebih kurang 44 orang peserta telah terlibat sebagai delegasi dalam program ini. 
 
Selama lebih kurang lima hari di Jakarta dan Bandung, para delegasi berkesempatan membuat pertukaran ilmu budaya dari kedua-dua belah pihak. Indonesia memang merupakan sebuah negara yang kaya budaya. Kebanyakan seni budaya di Malaysia ini berasal dari Indonesia. Cuma proses asimilasi dan akulturasi yang telah membuahkan perbezaan seni budaya asal Indonesia ketimbang yang ada di Malaysia. 
 
 
Kumpulan Tunas Sinar SK Sungai Lang, Kuala Langat dan Kumpulan Sri Kenchana, Kuala Selangor sewaktu mengadakan persembahan di Kedutaan Malaysia di Jakarta
 
Pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan telah dipaparkan kepada khalayak kedua-dua buah negara dalam program ini. Dari Selangor, dua buah kumpulan telah mengambil bahagian iaitu Kumpulan Tunas Sinar Cempuling SK Sungai Lang dan persembahan muzik asli dari Kumpulan Seri Kenchana.
 
Kumpulan Tunas Sinar Cempuling SK Sungai Lang dibimbing oleh Cikgu Zarina binti Selamat dan Cikgu Salaiza binti Basri. Manakala kreografernya ialah Engsar bin Kaimon. Kumpulan ini telah ditubuhkan bulan Oktober 2017, terdiri daripada murid tahun 1 hingga 5. Penubuhan kumpulan ini kerana mahu menambah kebitaraan sekolah dalam unit kokurikulum dan disambut baik oleh guru dan murid-murid. Latihan peringkat awal penubuhan diadakan di Studio Suara Damai, yang terletak di kediaman Encik Engsar Kaimon.
 
 
Yang Berhormat Tuan Borhan Aman Shah menyerahkan cenderamata penghargaan kepada Dato Syed Md Hasrin Tengku Hussin, sempena kunjungan delegasi Selangor ke Jakarta.
 
Persembahan pertama berskala besar yang dibuat adalah persembahan pembukaan dalam Majlis Karnival Kebudayaan Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan pada bulan April 2018. Semua peralatan kumpulan ini merupakan pinjaman yangg diberikan oleh pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Kumpulan ini pernah menerima Anugerah Khas Juri dalam Pertandingan Cempuleng Peringkat Negeri Selangor 2019.
 
Manakala Kumpulan Sri Kenchana mula bergerak aktif sebagai satu kumpulan sekitar tahun 2002 hingga ke hari ini. Dianggotai oleh 5 pemuzik bersaudara yang terdiri daripada ayah dan 4 orang anak di samping anggotaanggota tambahan. Mendaftar dengan pertubuhan syarikat di bawah nama The Arpeggios Entertainment sejak tahun 2006. 
 
 
Delegasi Selangor bersama anggota Dinas Pendidikan Kota Bandung
 
Kumpulan ini mampu mempersembahkan pelbagai jenis lagu tradisional, lagu-lagu asli, kontemporari dan moden termasuk mengadaptasikan lagulagu dari pelbagai kaum dengan alatan dan lenggok persembahan secara tradisional. Di samping itu, kepelbagaian pilihan kostum dan keseragaman dengan identiti bersongkok tinggi juga merupakan salah satu kekuatan dari segi imej kumpulan yang boleh dibanggakan. 
 
Kumpulan ini pernah mengikuti siri program-program promosi oleh Kementerian Kebudayaan Malaysia, dijemput membuat persembahan di pelbagai program jelajah seni peringkat negeri Selangor, persembahan untuk majlis-majlis korporat seperti Petronas, Suruhanjaya Sekuriti, Perak Ladies Club, Batik Air, World Muslimpreneur Award dan banyak lagi, NGO dan juga jabatan-jabatan kerajaan.
 
 
Dato Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Duta Besar Malaysia ke Indonesia
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA