SMAHADZIR
“URGHHHHH!!!!”
Itu yang nyalar terpacul. Tidak diketahui
asal usul. Sekonyong-konyong saja Urghhhh wujud di sini, warawiri di sini,
terkucil di sini, menggerumuk di sini, di tengah kemajuan dan kecanggihan Kuala
Lumpur ini, dengan urghhhhhnya yang tidak pernah lekang dari bibir. Tengok LRT
- urghhhhh.., tengok KLCC – urghhhh.., dengar MSC - urghhhh.., dengar Stadium
Bukit Jalil - urghhhh…
Pendek kata, apa saja tentang kemajuan dan
kecanggihan negara yang beribu-kotakan Kuala Lumpur ini menyergap mata dan
telinganya, bibirnya akan mencerlus dengan bunyi urghhhhhh…
Itulah sebabnya dia dipanggil Urghhhh. Dia
amat membenci kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Kebencian itu dilahirkan
dalam dengusan urghhhhh yang panjang. Semakin besar bencinya, semakin
panjanglah urghhhhhhhhhhnya.
Setiap kali meluahkan urghhhhhhhhnya, diri
seakan-akan terpelanting disepak oleh kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur.
Itulah Urghhhh.
Hari
ini Urghhhh tidak seperti semalam atau dua hari yang lalu atau juga hari-hari
sebelum hari ini dan semalam. Hari ini Urghhhh dijerba ketakjuban yang amat
sangat. Dunia Kuala Lumpur yang dibenci dengan urghhhhhhhhnya sudah menjadi
sebuah dunia kontradiksi yang sungguh-sungguh menakjubkan membuatkan Urghhhh
tidak berdaya mengeluarkan urghhhhhhnya seperti selalu.
Hari ini urghhhhhhhhh milik Urghhhh telah
hilang di kerongkongan. Urghhhh sendiri tidak tahu kenapa dia gagal melontarkan
urghhhhhhhhnya, meluahkan kebenciannya terhadap Kuala Lumpur.
Sungguh
menakjubkan. Sungguh menghairankan. Urghhhh sungguh hairan dan takjub kerana
suasana dan wajah Kuala Lumpur yang amat dibencinya itu tiba-tiba saja berubah.
Dia sendiri tidak tahu bagaimana tiba-tiba saja tercampak ke situ. Urghhhh
seperti tidak percaya!
Bermimpikah aku? Inilah yang sedang bermain
di benak Urghhhh, galak, miang dan menggelinyau. Urghhhh jadi nano dan yongyat
memikirkan ketakjuban ini. Cagunnya mendadak, seolah-olah sebuah mimpi yang
tidak pernah wujud dalam diri.
Urghhhh
memejamkan matanya rapat-rapat. Terpisat-pisat. Terkesip-kesip. Tidak puas,
digenyeh-genyeh pula setiap juzuk kelopak mata berkedut dengan telapak
tangannya yang sudah kecut berut itu.
Sekejap dijegil-jegil pula untuk
menyakinkan bahawa ini bukan sebuah mimpi namun Kuala Lumpur tetap begitu juga,
tidak seperti semalam atau dua hari lalu atau hari-hari sebelum itu. Suasana
tetap tidak berubah. Segalanya bukan sebuah ilusi tetapi realiti yang menjerba
ruang lingkup diri.
Kabus
berjerubu seputih kapas. Onggok-onggok wap sejuk yang menyengat barangkali
sisa-sisa molekul dari kesejukan malam masih melekat di seluruh tubuh Urghhhh,
lalu menyentuh-nyentuh kulit ari yang hitam melegam bagaikan sumbu pelita ayam
itu. Juga menyentuh-nyentuh ke serata juzuk liang roma yang berkematu bagaikan
sisik tenggiling yang sedang tercacak, membuatkan Urghhh bersedakap dan
menggeletar kecil menahan tusukan kedinginan hawa.
Tubuh
Urghhh benar-benar sejuk. Tidak ubah seperti terkurung di dalam bilik pejabat
berhawa dingin diputar maksimum. Lapisan epidemis mula berkeriput, membentuk
sisik-sisik kasar yang makin gabai di sesetengah juzuk.
Urghhhh
semakin yakin. Dirinya kini sedang terkujur di bawah satu lengkungan sebuah
bilik empat persegi bersinar indah yang tinggi mencapai awan di tengah-tengah
kota raya Kuala Lumpur yang lebih canggih dari Kuala Lumpur yang pernah
dilewatinya dulu.
Walaupun malam tadi Urghhhh hanya terlelap
di atas sebuah bangku simen di Changkat Pavilion yang beratapkan gumpalan awan
bolong, bulan dan bintang yang malas. Dia juga bergebarkan jujuh kasar embun
jantan yang deras dari langit yang membuatkannya berkerekot sepanjang malam
santak dinihari menjelang. Begitulah nyalarnya.
Nyedar
tidur Urghhhh semalam juga dalam keadaan perut berkeleneng yang bukan kepalang,
setelah seharian dalam kepanasan serta bergelandangan ke setiap cerok
kecanggihan Kuala Lumpur.
Dari stesen kereta api, mengalir ke Masjid
Negara, dari Masjid Negara merayap pula ke bangunan Daya Bumi, terus ke Dataran
Merdeka, Dewan Bandaraya, menyelinap di antara lorong dan simpang menuju ke
Menara Berkembar Petronas lalu bergegas pula ke Stesen LRT di pinggir Pasar
Seni, segalanya itu membuatkan dirinya rengsa.
Sementelahan kala itu sebutir nasi pun
tidak masuk ke dalam perut. Malah Urghhhh sungguh-sungguh letih, kerana terlalu
banyak warawiri ke sana ke mari sambil menadah tempurung kepada orang-orang
yang ditemui sepanjang perjalanan yang dilewatinya tadi.
Memang
menyedihkan, entah di mana silapnya hari itu, tiada seorang pun yang sudi
mencampakkannya walau sekeping wang syiling. Barangkali juga kerana kegawatan
ekonomi dan gejala Covid-19 membuatkan orang jadi kikir.
Hingga akhirnya, mahu tak mahu terpaksalah
juga Urghhhh menadah mulut di paip awam tepi Jalan Raja Laut, buat mengalas
perut dan menampung lapar yang amat menggelecak itu. Dan akhirnya Urghhhh
tertidur di Changkat Pavilion dengan berbantalkan lengan sendiri sambil cuba
berusaha mengusir derita yang menghenyak diri.
Kesejukan
di bilik empat persegi bersinar yang baru dijengah ini, Urghhhh berasa serupa
saja. Kalau bangku simen di Changkat Pavilion yang dia tidur semalam dibuat
dari campuran simen dan batu, kini tubuhnya juga terkujur di atas lapisan batu.
Cuma batu yang Urghhh perasan ini agak
sedikit lunak dan gebu yang mengampu agak sopan tubuh tuanya. Dan sejuk yang menggerbak
dari permukaan batu itu, tak ubah kesejukan batu-batu ubin dari Turki atau
Langkawi, agak nyaman menampung tulang temulang yang nyalar saja menggerutup
dan mengeliot itu.
Tetapi,
ini semua Urghhhh tidak kisah. Yang menghairankan benaknya, siapa yang telah
membawanya ke sini? Ya, siapa? Siapakah yang begitu mengambil berat tentang
dirinya sampai sanggup membawanya ke sini? Sehinggakan sedikit pun Urghhhh
tidak sedar atau merasa tubuhnya diangkat atau ditandu orang.
Malah Urghhhh juga tidak mengalami apa-apa
mimpi pun semalam. Tidur nyedar sekali, macam orang mati. Kepulesan tidak
terganggu persis dipukau. Urghhh sungguh hairan! Urghhhh sungguh takjub dengan
keadaan ini.
Sejurus
kemudian, Urghhh menggosok-gosok perut kempisnya. Eh, hairan lagi! Perut yang
nyalar berkeroncongan minta diisi itu tiba-tiba sebu dan tepu pula. Rasa
kenyang bagaikan baru menjamah makanan membuatkan Urghhh semakin dihenyak
kehairanan dan ketakjuban menggila. Bila pula aku makan?
Kelintar
mata Urghhhh terpelanting warawiri seluruh pojok dan jihat - kiri, kanan, depan
dan belakang. Namun jagat Kuala Lumpur tetap juga temaram dan sebam. Segalanya
ilam-ilam pada pandangan mata tuanya.
Objek yang terkelih tidak jelas dan amat
mengelirukan. Semuanya kelihatan berbalam-balam, berjerubu dan udam sekali.
Aduh, kota Kuala Lumpur apa pula ini? Benak Urghhhh terus dihenyak kehairanan
dan ketakjuban.
Ah,
barangkali pandanganku ini sudah terlalu renta! Mungkin sudah serenta tubuhku
yang semakin rengsa! Sebab itu segalanya kabur dan suram, udam dan temaram juga
ilam-ilam. Mungkin juga ini bukan Kuala Lumpur yang aku benci dan jelak itu.
Mungkin juga satu ilusi dalam sebuah jagat
kontradiksi. Mungkin. Takkanlah seorang gelandangan renta hina dina dengan
pakaian sebam cepuah campeng compang begini mahu dibawa ke bilik empat persegi
bersinar indah begini! Begitu Urghhhh memutuskan.
Tiba–tiba
Urghhhh merasa ada sesuatu yang telah lenyap dari pendengarannya. Telinganya
dipeluk sepi sejak di bilik ini. Khali bungkam kendati secuit suara dan bunyi.
Kalau kota Kuala Lumpur tentulah bingar dengan lengking hon dan geru enjin
kenderaan yang memualkan. Kuala Lumpur apa pula kalau segala tempat hanya
dikelilingi gumpalan awan sebam dan ilam.
Lagipun, tak mungkin pula hanya aku seorang
saja di sini? Mana pula perginya warga kota Kuala Lumpur yang berjuta-juta itu?
Lalu copeng telinga dicapang gabai-gabai, cuba menangkap dan mengamati
bunyi-bunyi atau suara-suara di sekitar. Kosong. Khali. Sunyi juga. Hanya desis
sendalu bisu kejur yang membeku serata juzuk. Tidak ada satu apapun yang
mencium deria dengarnya.
Urghhhhhhhhhhhhhh!!!!!!
Barulah
urghhhhhhhhhhnya terpersil keluar tanpa dapat dibendung lalu dalam suasana
khali bungkam itu Urghhhh cuba menguasai diri. Dihimpun sisa-sisa kekuatan yang
masih melepa di dalam anggota. Disatu, dikuatkan dengan sepenuh hati lalu
digumpalkan menjadi gemal semangat untuk mengetahui lebih jauh apa yang ada di
sekitar bilik empat persegi bersinar indah itu.
Urghhhh
cuba bangun dari perbaringan. Terketar-ketar pada mulanya seperti pengidap parkinson. Dalam keadaan bergelentar,
dibaur segala apa yang terdaya, Urghhhh cuba mencegatkan sedikit harapan yang
masih bersinar.
Dijegilkan bundar-bundar dua kelopak mata,
menyeluruhi seluruh pojok, dilontarkan busar mata itu berpusar-pusar, serentak
ditunjal-tunjal ke kejauhan. Segalanya dilakukan untuk memberi keyakinan kepada
diri sendiri apa benarkah dia tidak berilusi, apakah ini kota Kuala Lumpur yang
selalu tercangip diwarawiri.
Tiba-tiba
dalam keadaan sebam, ilam, temaram dan udam itu dapatlah Urghhhh melihat
sesuatu yang bercahaya beberapa kaki di hadapannya. Memerlip-merlip bagai buruj
tujuh. Gesit Urghhh mengatur langkah gontai ke arah itu. Dengan harapan yang
masih bersisa itulah dijamah pantas benda yang bercahaya itu dengan hujung jari.
Sekonyong-konyong
pula Urghhhh disentak gamam menjola-jola. Suatu perasaan lain pula cagun dalam
diri. Kepalanya mendadak terasa bengang, yongyat, berpusing-pusing. Urghhhh
terkejur bertagal-tagal. Beberapa jenak kemudian, seluruh penglihatannya mulai
pulih kembali seperti semalam.
Semakin lama semakin jelas. Segala yang
temaram, udam, sebam dan ilam-ilam tadi dapat dikelihnya dengan jelas. Barulah
Urghhhh tahu bilik empat persegi bersinar indah ini ialah sebuah kotak
aluminium terapung-apung di bumantara Kuala Lumpur.
Urghhhh dapat melihat bandar raya Kuala
Lumpur dari bilik empat persegi itu jauh-jauh di bawah sana. Di sebalik
gumpalan awan gemawan yang putih serlah, bangunan KLCC, Dayabumi, Stesen
Keretapi Tanah Melayu, Masjid Negara, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya dapat
dilihat kendati berbalam-balam kerana terlalu jauh.
Pendengarannya juga menjadi lebih segar dan
Urghhhh dapat mendengar segala apa yang berbunyi di sekitar tempat itu. Deruman
kenderaan yang berjejal-jejal di jalan raya, lengking hon juga dengung suara manusia
penghuni bandar raya itu mengasak-ngasak gegendang. Suasana baru ini membuatkan
Urghhhh tersengih sendiri. Benarlah, aku masih berada di Kuala Lumpur yang aku
benci itu!
“Selamat
datang, Tuan Urghhh! Selamat datang ke pelancaran sistem pengangkutan tercanggih
alaf baru!” Tiba-tiba satu suara lunak seorang perempuan gemersik nadanya
mencecah gegendang telinga Urghhhh. Mendadak dia dijerba kelinglungan dan
kemamar.
“Pengangkutan
tercanggih alaf baru? Errr, apa maksudnya?” Urghhhh terkebil-kebil, Lopong dua
ulas bibir kedut tidak berupaya dikacip.
“Ya,
pengangkutan tercanggih alaf baru!” suara itu
menjawab tenang. “Tuan sekarang
berada di atas sebuah sistem pengangkutan yang paling canggih di Kuala Lumpur
ini. Pengangkutan ini dinamakan LRT Udara yakni satu sistem pengangkutan yang
akan bergerak tanpa landasan. Seperti sebuah kapal terbang, sistem ini akan
membawa tuan keluar dari Kuala Lumpur yang tuan benci ini. Tidak berpemandu…”
“Pergerakannya lancar, tidak terganggu.
Tuan telah dipilih untuk merasmikan pelancaran sistem ini bagi pihak warga
Kuala Lumpur yang terkucil oleh henyakan kemajuan dan kecanggihannya. Tuan
boleh pilih destinasi yang tuan suka dan sistem pengangkutan ini akan membawa
tuan ke situ!”
“Ta… ta… tapi… tapi kau siapa? Hanya
suara tanpa muka. Tampilkan diri untuk aku kenal kau siapa!” dalam kegamaman
itu Urghhhh terus bertanya seraya biji mata berkelitar cergas menyeluruhi
ruang.
Berjenak-jenak dia tercangak-cangak mencari
arah suara yang datang. Tetapi hanya gumpalan awan gemawan saja yang mampu
tertayang di matanya. Gumpalan-gumpalan awan gemawan itu seolah-olah
berkitar-kitar di sekeliling, melontarkan silir dingin berkesiur-kesiur.
“Tuan
Urghhhh tidak perlu tanya soal itu. Yang penting tuan harus gembira kerana
telah terpilih dari segelintir warga terkucil itu untuk perasmian sistem
pengangkutan tercanggih ini!”
“Ya…
ya… aku memang gembira! Tetapi, berilah kesempatan untuk aku mengenali siapa
kau sebelum aku memilih destinasi pilihanku!”
“Sabar dulu, Tuan! Jangan risau dan gusar.
Akulah antara gadis tercantik yang telah diarahkan untuk mengiringi tuan
sepanjang perjalanan di atas sistem pengangkutan tercanggih ini,” suara
perempuan itu terus bergema mematikan segala persoalan singkat yang bertamu di
hati Urghhhh.
“Errr… kenapa kau panggil aku tuan? Aku
cuma seorang gelandangan cabuk, melarat dan keparat yang terkucil dihenyak
kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Tidak ada apa-apa keistimewaan pada
diriku yang mewajarkan kau memanggil aku tuan!” Urghhhh mulai mencungkil. Benak
semakin dijerba kehairanan dengan pelbagai persoalan yang belum berjawab.
Segalanya membuncah-buncah saraf serebrum.
“Seorang
juru iring perlu memanggil orang yang diiringnya dengan panggilan tuan. Lagipun,
tuan adalah antara yang terpilih dan aku juga antara yang terpilih untuk
mengiringi tuan!”
Urghhhhhhhhhh!!!!
Terpacul lagi sebutan itu dari mulut merut
Urghhhh. Urghhhhhhhhhnya yang kedua sejak berada di sini.
Khali sejenak.
“Apa yang harus aku buat sekarang?”
tiba-tiba Urghhhh melampiaskan pertanyaan.
“Baiklah Tuan Urghhhh! Ikut saja arahan aku.
Di hadapan tuan sekarang ada berbagai punat. Tekan punat biru. Lawang bilik
sistem pengangkutan tercanggih alaf baru ini akan terbuka,” suara itu bagaikan
memberi perintah pula.
“Untuk
apa pula pintu itu nak dibuka?” Urghhhh bertanya lagi penuh kehairanan.
“Ikut
sajalah arahan aku. Sekejap nanti tuan akan dapat jawapan pasti!” cerlusan
suara perempuan itu lunak, manja dan mesra.
Dengan
hati yang menggelugut dan fikiran yang kecut, tanpa memikirkan apa-apa lagi,
Urghhhh terus menekan punat biru yang bercahaya di dinding aluminium bersinar
itu. Tekadnya sudah bundar total, apa nak jadipun jadilah. Mungkin ada sesuatu
yang dia perlukan apabila menekan punat itu nanti, bisik hati.
Beberapa
saat kemudian, berkeriot sebuah pintu di sisi kanan tempat Urghhhh berdiri.
Pegun Urghhhh gesit terpantul. Lidah kejur mendadak. Sinar emas yang memancar
dari jenang lawang itu amat memijarkan mata. Urghhhh dijerba gemuruh dada
menggerutup kala seorang wanita yang amat cantik tiba-tiba kelihatan muncul
melalui lawang tersebut.
Urghhhh sungguh tergamam jola, perempuan
itu sejuta kali lebih cantik dari Tipah, si pelacur sambilan yang pernah dia
jatuh cinta, tetapi tidak pernah pula mendapat layanan. Malah sejuta kali juga
lebih muda dari Munah, si peminta sedekah yang ego itu, yang sering menjuihkan
bibir kala diajak Urghhhh jalan-jalan sekitar Taman Tasik Titiwangsa.
Bertegok-tegok
Urghhhh menelan air liur terpegun dengan kecantikan perempuan tersebut. Urghhhh
dapat rasakan, kecantikan perempuan itu tak ubah bintang-bintang filem Bollywood
yang gah dipuja warga Kuala Lumpur kini. Alis mata lentik, berpantis. Bibir
kecil mungil ghairah merah. Potongan badan bak kerengga ramping.
Dan Urghhhh semakin terpana kala perempuan
muda jeita itu mulai melangkah mendekatinya. Biji mata Urghhhh terpaku pada
jejari kaki putih serlah. Kuku bersinar gaseng. Betis bunting padi malinja.
Semakin lama semakin rapat dan gesit pula merangkul lengannya.
“Ayuh Tuan Urghhhh! Ayuh ikut aku… errr… kita
jalan-jalan!” Tidak terlalu lama untuk perempuan jelita itu menekan satu punat
lain di hadapan Urghhhh. Sistem pengangkutan tercanggih alaf baru terus
bergerak perlahan-lahan. Dari atas bumantara, Urghhhh dapat melihat bandar raya
Kuala Lumpur yang semakin ditinggalkan.
“Tuan Urghhhh tentu suka kalau kita
jalan-jalan makan angin sekitar KLCC!”
Urghhhhhhhh!!! Rasa benci dengan mercu
tanda kemajuan dan kecanggihan itu gesit membuar namun gesit pula melenyap kala
perempuan jelita tersebut merangkul lengannya buat kali kedua, penuh kemanjaan
dan kasih sayang. Hati Urghhhh bagai dielus-elus dengan rasa riang yang terlalu
sukar hendak digambarkan.
Inilah pertama kali dia berdua-duan dengan
seorang perempuan cantik seperti bintang Bollywood itu. Kalau boleh biarlah
kala ini ada mata empat orang saksi yang melihat supaya cepat ditangkap Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dinikahkan.
Urghhhh rela dan reda andai tangkapan itu
terjadi. Biarlah dia didakwa di mahkamah syariah kerana berdua-duan dengan
perempuan jelita itu. Sungguh-sungguh Urghhhh rela.
Pergerakan
terus lancar. Tidak terlalu laju persis Mercedez dipandu berhemah. Perempuan
itu cuma memurup senyum memandang ke arah Urghhhh. Ada sedikit gigir kecil yang
Urghhhh dapat rasai, bagaikan sedang membelah silir lunak dan awan-awan kemulus
juga sitratus yang berketul-ketul di angkasaraya. Tetapi amat perlahan sekali
derumannya.
“Errr,
apa kata kalau kita ke Putrajaya, Tuan Urghhh!” perempuan jelita tersebut
tiba-tiba bertanya. Lehernya dilentukkan ke pundak Urghhhh.
Urghhhhh
lekas tersenyum. Air liurnya meleleh-leleh tidak dapat ditahan. “Aku ikut saja
ke mana kau pergi!” ujarnya seraya turut melentukkan lehernya ke pundak
perempuan jelita itu.
“Kebetulan,
di sebuah hotel bertaraf sepuluh bintang di sana ada satu jamuan makan. Tuan
boleh makan banyak-banyak!” Lagi sekali perempuan jelita itu tersenyum.
Kali ini lebih manis dan bersari untuk
Urghhhh, seolah-olah sebilah pedang tajam meradak jantung hati lelaki tua renta
itu. Aduh! Seribu kali lebih manis dari senyuman sumbing Tipah dan Munah.
Alangkah seronoknya kalau senyuman itu berkekalan, tidaklah aku kesunyian dan
kesepian dalam hidup, hati miang berbisik.
“Hotel?”
Urghhhh terlunga dan terjeda.
“Ya,
hotel! Aku tahu tuan lapar. Aku juga tahu tuan jarang dapat makan yang
sedap-sedap. Kehidupan tuan yang terkucil di tengah kemajuan dan kecanggihan
membuatkan tuan tidak berpeluang menjamah makanan yang lazat-lazat seperti
orang lain. Betulkan?”
Urghhhh
tidak mampu menjawab kerana itu semua benar. Pendapatannya sebagai gelandangan
cabuk sekadar mampu membeli sekeping roti canai, segelas sirap dan sepinggan
nasi berlauk temenung goreng campur kuah kari semalam dari kedai mamak.
Kadang-kadang, jika rezeki murah, dapatlah
Urghhhh menjamah dua keping capati dan segelas besar susu lembu. Itupun
bukannya selalu. Rezeki murah begitu tidak lagi menjelma sejak era gawat
Covid-19 ini.
“Aku kasihan pada tuan! Sudahlah daif
dan melarat, nak kahwin pun tak mampu!” Merdu sungguh suaranya, walaupun
bernada sinis, menusuk lunak dan lembut ke telinga Urghhhh bagai suara nyanyian
seorang puteri kayangan saja lagaknya.
Kepala Urghhhh dielus-elus bagaikan seorang
ibu mengelus anak kecilnya. Oh, indahnya dunia ini jika setiap detik aku
dibelai dan disenandungkan oleh suara perempuan semerdu ini. Aku rasa, aku
ingin hidup seribu tahun lagi. Hati Urghhhh kian galak menggelinyau, dalam rasa
keterpesonaan yang amat sangat.
Lidahnya
jadi kelu. Suaranya jadi bisu. Urghhhh sungguh-sungguh tidak tahu apa yang
harus dilakukan. Fikirannya bagaikan kosong terawang-awang, teroleng-oleng
diseligi kitar di bumantara, kecuali rasa harmoni, damai dan hanyut dalam
gelodar asmara ciptaan perempuan jelita tersebut.
“Sebentar
saja lagi kita akan tiba di Putrajaya. Tuan Urghhh bolehlah menikmati apa saja
yang tuan dambakan selama ini di hotel itu!” suara perempuan itu menerjah lagi
gegendang telinga Urghhhh.
“Eh,
aku tak pernah dambakan apa-apa!” tukas Urghhh acuh tak acuh.
“Bohong!
Tuan usahlah berbohong dengan aku! Aku tahu apa yang tuan inginkan!” tingkah
perempuan itu sambil tersenyum sinis.
“Ya,
ya! Aku berbohong! Maafkan aku!” Urghhhh tersengih-sengih. Terasa malu pula
kerana berbohong tadi.
“Ah!
Lupakanlah itu semua tuan! Aku akan membawa tuan ke tempat yang tuan inginkan
itu! Sekejap lagi kita akan sampai,” perempuan itu bagaikan faham apa yang
sedang berlegar di benak Urghhhh. Kata-kata itu juga gesit melenyapkan rasa
malu dan segan di hati orang tua itu.
“Memang
selama ini aku teringin dan bercita-cita untuk ke tempat yang banyak makanan.
Di situ, aku boleh makan hingga perut buncit. Aku teringin nak makan sate, ayam
tandoori, nasi beriani yang mahal,
makanan yang tak pernah aku jumpa. Aku juga inginkan tempat yang enak untuk
tidur. Ada tilam yang empuk, ada dayang-dayang yang menyanyikan aku lagu.
Sesungguhnya, seumur hidup aku belum pernah lagi aku rasa itu semua,” Urghhhh
berterus terang.
“Usah
tuan bimbang! Di situ segala-galanya ada. Sebut saja hajat tuan, semuanya akan
tercapai,” jelas perempuan jelita tersebut, senyum manis masih murup di bibir
mungil.
“Wow,
seronoknya!” Urghhhh bagaikan mahu menjerit mendengar penjelasan perempuan
cantik itu. Aku nak makan puas-puas, aku nak tidur enak-enak, dia mula memahat
harapan.
Akhirnya sistem pengangkutan tercanggih
alaf baru itu berhenti. Bunyinya sedikit menggegarkan. Punggung Urghhhh serasa
melekat. Malas sekali mahu turun dari pengangkutan itu. Dia lebih suka
berdua-duaan dengan perempuan jelita pengiring itu biar lama mana sekalipun.
Urghhhh sungguh-sungguh rela dan sanggup.
Selama inipun dia amat sukar untuk bermesra apalagi untuk bercinta dengan
perempuan. Bukan kerana malu tetapi keadaan dan situasi diri yang tidak
mengizinkan.
Sehinggakan rakan sejawat seperti Munah
yang hodoh dan jelek itupun amat payah mahu menyerahkan cinta padanya. Inikan
pula perempuan lain. Memikirkan itu, alangkah ruginya jika kesempatan
berdua-duaan dengan perempuan cantik itu dibiarkan berlalu begitu cepat.
“Kita
dah sampai tuan!”
“Urghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!”
Urghhhhhhh terpanjang yang pernah dicerluskan
oleh Urghhhh. Urghhhh sungguh kesal kerana perjalanan masa terlalu pantas.
Seboleh-bolehnya biarlah lama sikit. Biarlah berhari-hari atau berbulan-bulan
bersama perempuan jelita itu. Setagal kemudian, Urghhhh segera dipimpin turun
melalui sebuah tangga dengan sopan penuh beradat.
“Inilah Putrajaya!”
Urghhhh mengangguk kecil, terpegun dengan
kecanggihannya. Urghhhhhhhh bersembunyi di balik kerongkong.
Perempuan jelita tersebut terus membawa
Urghhhh ke sebuah bangunan berupa hotel bertaraf sepuluh bintang di tengah-tengah
kecanggihan Putrajaya itu.
Sampai di hadapan satu pintu, pintu itu
gesit pula dikuakkan luas. Urghhhh di persilakan masuk dengan hormat ke dalam
sebuah bilik. Dia menurut saja dengan akur.
Sebaik menjijakkan kaki ke dalam bilik tersebut,
biji mata Urghhh segera berkelintar menyeluruhi suasana sekeliling. Urghhhh
dapat rasakan satu keadaan yang terlalu asing sekali. Bilik itu tidak seperti
bilik hotel bertaraf sepuluh bintang, berserabut, pontang-panting dan
berselerak di sana sini.
Dalam keasingan itu, tiba-tiba menjelma
satu perasaan baru dalam kotak fikirnya. Dia merasa amat mencurigai kata-kata
perempuan jelita tadi kerana di depannya sekarang bukanlah makanan-makanan yang
diinginkan sebaliknya larung-larung dan kain putih yang disusun bertingkat-tingkat.
Serata juzuk dinding tergantung
kalimah-kalimah Allah Muhammad dan syahadah. Di satu pojok pula beberapa buah
liang lahud sudah tergali dengan longgok-longgok tanah merah di sisi. Fikiran
Urghhhh mula dihenyak tanda tanya.
Urghhhhhhhhhhh…
bilik apakah ini? Seolah-olah bilik menunggu detik dimasukkan ke dalam lahud
saja rasanya! Urghhhh mulai menggelentar, beraduk rasa geman, nyeri dan entah
apa lagi perasaan beragaman. Gigir tubuh kian menggelugut, lebih-lebih lagi
kala mata tertancap beberapa orang lelaki hampir sebaya di sisi larung-larung
tersebut. Ya Allah, bilik apakah ini sebenarnya? Perempuan jelita? Hoi puteri
jelita, bilik apakah iniiiiiiii??????
Urghhhhhhhhhhhh…
Ya Tuhan! Di mana sebenarnya aku sekarang? Urghhh tergamam dan terkedu. Gesit
dicari perempuan jelita itu tetapi sudah tiada lagi. Lenyap entah ke mana.
Tiba-tiba terjangan silir sendalu bertukar garang menjadi langkisau dari arah
pintu yang masih terkuak lebar, menjinjing bersama gerbak kemenyan yang
memengitkan hidung. Bersama-sama langkisau itu juga bersipongang kalimah innalillahhiwainnaillahhirajiun merodok
gegendang telinganya.
Urghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan