Selasa, 26 Disember 2023

KUDA OH KUDA

SMAHADZIR

 

PAGI-PAGI lagi, Semaun sudah datang ke rumahku. Wajahnya cerah, tersengih-sengih. Di tangannya ada kertas ungu. Aku terus mencium bau penting, atau paling tidak, terlalu serius.

         “Aku yakin, lepaih ni duit kita dalam bank akan bécambah, bégénuak dalam setbot, Raman! Pasai tu la aku cépéruih, canggah mai pagi-pagi buta ni. Lepaih ni, hang tak payah lagi nak bédé-eh macam lori balak nak ghabat, nak ghagaih bukit.”

         Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Semaun sebaik melabuhkan punggungnya atas sofa kulit di ruang tamu rumahku pagi itu. Aku gesit melopong kerana tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Semaun.

         “Kalau hang dengag cakap aku, kita kaya, Raman!” ujar Semaun lagi semakin membeliakkan biji mataku.

         “Aku tak paham apa maksud hang ni,” aku sedikit mengerutkan dahi.

         Semaun tersengih.

“Cuba hang habaq sikit apa maksud hang ni?” aku seolah-olah mendesak, tidak sabar.

         “Ni penting, Rahman! Hang dengaq baik-baik. Pagi ni aku bawak mai gagasan kuda,” ujar Semaun sebaik sengihannya lenyap dari bibir.

         “Gagasan kuda?” biji mataku gesit saja terbeliak.

Selepas itu tanpa banyak bercakap panjang Semaun terus ke persoalan pokok, dia usulkan sebuah idea baru. Yang tadinya terasa penting, atau serius, terus terasa sedikit gila, menurutku. Menurutnya? Idea hebat. Tak pernah dibuat orang dalam Malaysia ni walaupun di Sabah atau Sarawak.

Sat Semaun, hang rehat dulu. Gélut sangat aku tengok. Bécéghau dahi hang. Hang nak kopi ka nak teh?” tanyaku cuba mententeramkan keadaan.

“Apa-apa saja, rezeki, asaikan jangan kopi bakiaq dah la... akupun belum menyeghok lagi ni,” jawab Semaun agak terkocoh-kocoh.

Hang nak makan séghawa labu, tak?”

“Labu apa? Kéghaih kédékiang ka gebu? Kalau gebu aku nak la,”

 

“Labu manih gebu la… takkan yang kéghaih kédékiang aku nak buat séghawa,” ujarku. “Béghadon aku buat semalam. Seperiuk besaq…”

Pasai aku pernah makan labu yang kéghaih kédékiang. Pasai tu la aku tanya,”

“Dak aih, labu ni gebu… lémbek dok dek, boleh teruih masuk perut,”

Semaun ketawa. Kalau lagu bawak mai la, aku pun dah kébulog ni,”

Aku bergegas ke dapur. Sejurus kemudian aku datang semula ke runag tamu bersama semangkuk pengat labu untuk Semaun.

“Terima kasih Raman! Minta maaf la tak sémawa hang makan sama tadi. Sedap séghawa ni,” ujar Semaun sebaik habis makan dan meletakkan mangkuk pengat di atas meja.

Kémbang pungkog aku hang puji séghawa tu sedap…”

“Memang sedap sungguh,” cantas Semaun. “Hang ni badan saja kughuih kélépiang tapi kalau masak sedap nak mampoih,”

Aku ketawa. “Sikit-sikit boleh la, Semaun! Nak celen Chef Wan tak boleh la… belum sampai tahap tu lagi,”

“Aku pula céméghkap sikit kalau masuk dapoq,” akui Semaun.

“Eh, hang cerhita betui-betui la, awat pagi-pagi lagi hang dah téjéngoi ni?” soalku sejurus kemudian.

“Laaaa.... kan aku dah cerhita tadi... soal kuda. Ni projek besag, Raman! Bésag gajah tok mia, projek cemerlang. Aku tak main-main, aku sungguh-sungguh ni,” tegas Semaun sembari meletakkan kertas ungu yang dibawanya ke atas meja.

Gesit saja aku merasa ini pasti jadi masalah. Kalau yang satu menganggap cemerlang dan yang satu lagi menganggap sedikit gila, itulah namanya masalah. Sungguh-sungguh Semaun menjual gagasan kuda. “Sejak kemarin lagi dok ceghamok dalam kepala aku, aku dok pikiaq idea ini. Idea ni tak cekai, Raman! Aku yakin, syarikat yang aku nak buat ni bakal jadi syarikat yang mampu menghasilkan keuntungan yang besaq pada kita. Kita akan jadi kaya, untung kita bedak-bedak sama rata. Kita akan kayaaaa.... Raman oi!” semangat Semaun meluap-luap.

         “Syarikat kuda?”

“Ya! Syarikat kuda!”

Aku mengeluh panjang dan berat. Mataku terkesip-kesip.

Awat hang mengeluh pulak? Mata macam cicak beghak kapoq saja?” soal Semaun sembari membeliakkan biji matanya ke arah aku.

“Maksud hang... hang nak tubuhkan syarikat kuda di Baling ni?” aku sungguh-sungguh ingin kepastian. “Hang nak ajak aku juai kuda? Méghawit sangat aih!

Awat? Méghawit apa pulak? Tak boleh ka kita juai kuda di pekan Baling ni?” soal Semaun sambil tersengih.

Kuda yang koboi naik di padang pasiaq tu?” aku inginkan kepastian.

“Ya la... kuda mana lagi... takkan kuda kepang kot... kuda yang ada empat kaki, yang boleh lari laju macam pelesit tu!?” Semaun tersengih-sengih lagi.

Hang ni banyak akai sungguh no... patut la mata hang ceme, bakop saja... seluaq baju pun ghédot, ghémot, bau pun dah macam bapak ghandok... hang tak mandi ka pagi tadi?”

Semaun terus mengenyeh-genyeh biji matanya. “Sampai pagi aku tak boleh tidoq, asyik dok pikiaq pasai kuda ni, hang tau dak? Pagi tadi aku mandi tapi tak dan nak sabun, nak cepat,”

Aku menggeleng-geleng seraya mengeluh panjang dan dalam.

Awat hang mengeluh pula?” tanya Semaun.

“Aku macam tak percaya yang hang ni nak juai kuda,” ujarku. “Di pekan Baling ni, belum ada lagi orhang yang juai kuda dan yang nak beli kuda...”

Hang jangan jadi bodoh, Raman!” Semaun gesit mencantas. “Kalau kita nak cepat kaya, jangan jadi mak ngot, jangan juga jadi mala’on, kita kena buat sesuatu yang orhang lain tak buat. Kalau kita buat apa yang orhang lain dah buat, kita akan hadapi saingan yang sengit. Kalau kita buat sesuatu yang orhang lain tak buat, bermakna kita tak ada saingan langsung,”

“Itu aku tau, Semaun!” balasku bersahaja. “Tapi, kita kena pikiaq juga sapa pembelinya...”

“Manusialah yang akan beli kuda kita,” cantas Semaun lagi. “Kuda kita hanya akan digunakan oleh manusia dalam semua sektor, semua bidang. Aku dah kaji semua aspek, sebab tu aku berani bawa cadangan ni kat hang. Hang tak sahlah bimbang dengan apa yang aku dah rancangkan ni. Aku bukannya ghodong sesuka hati. Hang dengaq dulu. Kalau hang rasa tak nak ikut, aku tak akan paksa hang. Tapi kalau hang rasa idea aku ni baguih, hang sokong la,”

Aku mengangguk-angguk tetapi setagal kemudian aku bertanya lagi, “Betui ka hang nak buka syarikat juai kuda?”

“Ya la... hang ingat apa? Hang ingat aku nak buka syarikat juai kamben? Juai lembu? Juai ayam serhama?” Semaun tersengih. “Kepala otak aku ni briliant, Raman! Bukan otak udang tapi otak Bill Gate. Di daerah Baling, Kedah ni tak ada lagi orhang yang buka syarikat kuda. Kalau kita buka syarikat kuda ni, kitalah orhang pertama dalam negeri Kedah ni yang buka syarikat kuda. Hang paham dak?”

Aku mengeluh panjang dan dalam.

Hang tak usah mengeluh la...” ujar Semaun. “Hang dengaq dulu idea briliant aku ni!”

“Okeylah... aku dengaq!” balasku dengan nada yang jengkel.

“Langkah awai yang akan kita susun, iaitu menjadikan kuda sebagai objek pelancongan di Baling ni. Kita akan buka sebuah pusat penyewaan kuda. Dan pusat ini khusus menyewakan kuda-kuda yang kita miliki. Cuba, cuba... hang bayangkan, kawan! Daerah Baling ni jadi pelopor syarikat kuda di negara kita. Hang tak rasa bangga ka?”

Méghepet sungguh hang ni, Semaun!”

Méghepet pungkoq hang...” Semaun bagaikan kurang senang dengan kata-kataku.

“Errrr, okey... sebelum tu aku nak tanya hang sikit,” balasku dalam hasrat menduga pengetahuannya.

“Ha, hang nak tanya apa?” soal Semaun.

Hang tau ka jenis kuda yang baik dalam dunia ni?” soalku.

Semaun gesit ketawa. “Awat? Hang ingat aku ni bodoh sangat ka? Hang ingat aku ni semberono? Aku tak buat halai balai. Sebelum aku rancang nak buat projek ni, aku dah kaji semua perkara tentang kuda, Raman!”

“Kalau hang dah kaji tentang kuda, bagitau la aku kuda-kuda terbaik yang hang nak juai tu!” balasku bersahaja.

“Kalau hang nak tau, untuk syarikat yang aku rancang ni, aku hanya akan pilih kuda-kuda yang terbaik saja untuk dijuai. Aku dah pilih Kuda Akhal-Teke, Kuda Andalusia, Kuda Mustang, Kuda Don Rusia, Kuda Marwari, Kuda Quater Amerika, Kuda Quarab, Kuda Appaloosa, Kuda Spanish Mustang, Kuda Kiger Mustang dan Kuda Friesian. Ini semua kuda yang special, yang terbaik dalam dunia ni,” 

Aku terkelu mendengar nama-nama kuda yang disebut oleh Semaun. Dalam hatiku mulai yakin yang Semaun begitu bersungguh-sungguh dengan rancangannya.

Semaun bergeser, mulai duduk mendekatiku, mencoret-coret. “Ha, hang puas hati kan bila dengaq nama kuda-kuda pilihan aku tu?”

Aku hanya menganguk-angguk kecil.

Semaun tersengih. “Jika setiap orhang sewa sekoq kuda dengan harga RM50 per jam, kalau ada lima puluh orhang yang sewa setiap hari, berapa duit kita akan dapat?” Dia makin girang membayangkan wang dari perniagaan itu.

Aku masih lagi diam.

“Yakinlah, usaha ini tak akan sia-sia, Raman! Aku yakin, syarikat kuda kita ni akan diterima oleh semua rakyat Malaysia pelbagai bangsa, Raman! Kalau betui-betui maju, kita lebarkan sayap perniagaan kita dari Baling, ke seluruh Sabah dan Sarawak pula,”

Semaun menatapku, setelah meneguk kopi. Dia serius. Menunggu kalimat apa yang akan keluar dari mulutku. “Okey.. okey!! Aku faham idea gila hang yang buat aku méngkélan tu!”

Dia terperanjat, tapi tidak bersuara.

“Kalau idea hang itu nak diwujudkan, di mana kita nak buka syarikat tu. Kita perlu tempat yang strategik, Semaun!”

“Laa, awat hang bodoh piang sangat? Hang kan ada tempat yang cukup besaq dan strategik untuk buka niaga ini.”

“Maksud hang, opih aku?”

“Ya la! Awat?! Tak boleh ka?”

“Tidak, Semaun! Itu opih atau pejabat persatuan belia. Bukan opih kuda. Disewa dari duit persatuan belia, bukan duit aku. Duit sewanya dari duit ahli belia. Bukan dari poket aku sendiri!”

“Tapi, hang kan pengerusi persatuan belia daerah Baling ni. Cakap saja perniagaan ini untuk kemajuan dan keuntungan persatuan belia, kan beres.” Semaun mempolitikkan kepentingannya dengan persatuan belia yang aku pimpin.

“Gila hang Semaun! Hang nak suruh aku méngkélayi dengan ahli-hali belia? Tak boleh, Semaun.... tak boleh...!” ujarku dengan muka masam.

“Alaaah, jangan cepat sangat buntu fikiran, hang nak moncom pasai apa, Raman? Kita bukannya nak guna semua ruang. Yang bahagian belakang, di situ kan boleh!” Semaun seperti sudah mengkaji sehingga dia tahu semua bahagian pejabat itu. Memang, di situ ada ruangan kosong yang boleh dipakai untuk apapun tujuan.

“Kalau usaha ini berjaya, kita boleh sewa opih sendiri. Setuju?!”

Ini sungguh gila, tapi aku fikir soal ruangan boleh juga dipersetujui dan kalau berjaya, berkembang maju, tentu jadi salah satu sumber kewangan buat persatuan belia.

“Baiklah!”

Semaun gesit bangkit dari kerusinya, menyalami dan menggoyang-goyangkan tanganku beberapa kali, seolah-olah aku yakin dengan perniagaan itu, walau sebenarnya aku berharap agar besok dia akan lupa dan datang lagi dengan perniagaan baru, yang sama sekali tidak perlu ruang pejabat.

“Setelah betui-betui maju, kita akan buka pula syarikat juai beli kuda. Untuk sementara waktu kita akan memasyarakatkan kuda sebagai kenderaan alternatif yang bebas pencemaran,”

“Bebas pencemaran?”

“Ya, bebas pencemaran. Kuda kan tak macam bas yang mengeluarkan asap. Kalau cuma taik, itu mudah. Kita buat bekaih khusus di pungkoq kuda, kalau kudanya berak, masuk terus dalam bekaih tu. Taik kuda boleh kita kitaq semula jadikan baja, dapat juga jadi peluang niaga kita. Yang penting banyak la! Hang tak perlu bimbang kalau kita rugi atau lingkop.”

“Soal kebenaran macamana?”

“Itu soal mudah. Hang kan termasuk orang yang berpengaruh di daerah Baling ini. Sapa yang tak kenai dengan nama dan jawatan hang...”

Hang yakin ka usaha ini akan berjaya?” Aku tiba-tiba merasa kurang yakin pula. Aku bimbang, angan-angan Semaun ini sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Awat tak berjaya pulak? Strategi pertama, kita buat kempen besar-besaran, kenderaan bermotor itu adalah kenderaan yang menyebabkan pencemaran. Kita minta sokongan Jabatan Alam Sekitaq. Kita ajak depa turun padang. Lalu kita kaitkan juga dengan kenaikan harga petrol. Jalan keluaqnya tak lain tak bukan ialah berkuda. Kenderaan tanpa bahan bakaq dan bebas pencemaran. Bereskan?!”

Aku mulai faham dengan gagasan kuda ciptaan Semaun. “Tapi, semua ni kena dapatkan nasihat dari pihak kerajaan terlebih dulu. Kerajaan tentunya ada prosedur-prosedur tertentu dalam soal ni terutama tentang cara mendapatkan kuda serta penjagaannya. Dengan JPJ juga perlu diminta pandangan. Misalnya, setiap penunggang kuda kena ada lesen, kena masuk kelaih menunggang kuda terlebih dulu sebelum boleh bawa kuda ataih jalan raya. Paling penting ialah undang-undang berkuda.”

Sehingga selesai sembahyang Zuhur, Semaun masih berceloteh tentang rancangan yang melambung itu. “Cuba hang bayangkan, pekan Baling ini sudah dipenuhi kuda. Setiap pagi orhang ramai akan melihat suri rumah ke market naik kuda, budak-budak sekolah naik kuda, kakitangan kerajaan naik kuda, semua orhang naik kuda. Cuba hang bayangkan para eksekutif memacu kuda. Pakaiannya kemaih, bergaya, segak, berkot, bertai, tetapi kenderaannya kuda tanpa pencemaran. Wah, hebat, orang pakai tai, sambil berkuda... ha... ha... haa! Bayangkan, Raman! Bayangkan!”

Aku ikut tersenyum kecil membayangkan pegawai daerah dengan kudanya, pengetua sekolah, wakil rakyat, guru besar, pegawai bank, pegawai bomba, pegawai agama, semua pegawai pakai tali leher berkuda, suri rumah berkebaya dan bersanggul berkuda, ustaz dan ustazah juga berkuda. Yang paling seronok mungkin melihat anggota polis berpakaian seragam berkuda sedang mengejar remaja-remaja lumba haram kuda di tengah jalan. Ada yang tonggang-langgang kerana melanggar sekatan jalan raya. Ini pasti akan lebih menyeronokkan dari menonton Senario di TV3 atau Maharaja Lawak di Astro. Lucu juga idea Semaun ini.

Lepaih tu, kita akan buka sekolah untuk kursus bagi para calon penunggang kuda. Dan yang luluih akan segera mendapat lesen. Depa disahkan boleh menunggang kuda.”

“Tapi kita kena ada konsep yang jelas. Jangan cakap saja, nanti nanya orhang,” Aku membayangkan di depan sekolah kuda-kuda diletakkan macam dalam filem-filem koboi. Bagaimana kalau ada pelajar yang tersalah ambil kuda?

“Kalau perniagaan ni makin berkembang, pasti harga kuda semakin tinggi. Dan waktu itu, kita buka show room kuda kelaihone’. Teksi akan diganti dengan kereta kuda. Orhang-orhang kaya akan berbondong-bondong, bédédam ke show room kita untuk beli kuda pilihan. Kita akan lahirkan sebuah masyarakat yang mencintai kereta kuda.”

“Sudah hang pikiaq protes pengusaha teksi, pengusaha bas?”

Semaun menyahut dingin, sedikit cemas bimbang angan-angannya itu jadi lenyap begitu saja. “Kan aku dah katakan tadi, kita hentam depa dengan isu pencemaran. Lagipun, kita akan dapat sokongan orang ramai, NGO dan banyak lagi organisasi.”

“Kalau depa mengancam nak racun kuda-kuda kita? Kuda kita mampoih semua misalnya?”

“Ini memang risiko besaq. Aku dah pikiaq masak-masak soal tu, Raman! Kalau semua orhang dah sokong kita, kita minta kerajaan kuatkuasakan undang-undang membela hak-hak asasi haiwan. Sapa-sapa yang menyebabkan haiwan sakit, cedera atau mampoih, hukumannya 20 taun penjara, denda RM150,000.00 atau kedua-duanya sekali. Kalau ini dapat direalisasikan, depa tak akan berani buat apapun pada kuda kita. Hatta jentik sekalipun.”

Jawapan Semaun membuatkan aku sedikit lega. Tetapi aku semakin banyak argumentasi untuk menjelaskan kepada kepemimpinan belia tentang potensi meminjam, dan kelak menyewa ruang kosong pejabat persatuan belia kepada syarikat kuda yang Semaun impikan itu.

Semaun sendiri sudah melayah jauh, melepasi soal teknik dan sebagainya. “Soal kélébog dari kandang kuda bukan masalah besaq, Raman! Kita akan buat kolam khas, kita juga boleh buat baja kompos atau kita salirkan saja ke laut. Yang lebih penting kita kena buat atau kita kena bentuk satu organisasi yang bertugas untuk memantau para penunggang kuda. Ya, kita namakan Horse Watch, atau apalah yang penting ada watch-nya, tak gitu.”

          Soal lain seandainya kuda-kuda sakit, tentu harus ada hospital kuda dan doktor pakar kuda. Semuanya sudah direncanakan Semaun dengan rapi. “Ya, kalau dah cukup modai, kita dirikan sebuah rumah sakit khusus untuk kuda. Kita sediakan rawatan apa saja. Bermula dari pemeriksaan bunting kuda, beranak, dan proses pembiakannya. Ini juga peluang untuk syarikat kita berkembang. Kita akan buka sebuah syarikat yang menyediakan segala peralatan dan aksesori kuda. Pelana, kasut kuda, tali, bekaih penampung taik, tayar kereta kuda, minyak pelincir roda dan aksesori kuda lainnya.”

         “Kalau ada penyeludupan kuda liaq yang kualitinya lebih baik dari kuda-kuda kita, macamana?”

“Ini memang agak susah sikit. Tapi tak perlu diresahkan. Kita boleh minta kerajaan kuatkuasakan undang-undang penyeludupan atau mengharamkan import kuda. Kita akan serapkan dalam diri masyarakat kita untuk tak terima kuda import sebaliknya guna kuda tempatan. Kalau nak import juga, kita ketatkan cara import. Contohnya, dalam autonomi daerah, semua tindakan harus ditentukan oleh pegawai daerah. Termasuk kebenaran import kuda.”

“Caranya?”

“Mudah saja. Berikan peluang kepada masyarakat untuk bela kuda. Dan kuda induknya harus dibeli dari show room kita. Kita bagitau masyarakat yang kuda kita adalah kuda yang terbaik. Kita ada Kuda Akhal-Teke, kita ada Kuda Mustang, Kuda Don Rusia, Kuda Marwari, Kuda Quater Amerika, Kuda Quarab, Kuda Appaloosa, Kuda Spanish Mustang, Kuda Kiger Mustang, Kuda Friesian, Kuda Andalusia… Kalau hang nak tau, Kuda Andalusia ni ada sifat patuh pada arahan selain cerdaih dan juga sensitif kepada tindak balas. Bila dikendalikan dengan baik kuda ni akan mahir dengan cepat serta bagi kerjasama yang positif,” ujar Semaun panjang lebar.

Aku dijerba kekaguman lagi dengan pengetahuan Semaun tersebut. Aku yakin, memang dia telah membuat kajian yang rapi tentang kuda sebelum datang ke rumahku.

Setagal kemudian Semaun bersuara lagi, “Kalau masyarakat dah ramai jadi penternak kuda, akan mudah kita desak agar kerajaan tak keluaqkan surat kebenaran import kuda. Kita boleh bagi alasan aktiviti ini akan merosakkan perekonomian masyarakat terutama bagi para penternak kuda. Kan selesai satu masalah!”

Aku sebenarnya sudah cukup lelah dan cemuih mendengar ocehan Semaun sejak pagi, tapi sedikit tertarik juga dengan idea gilanya, sekali gus mencari penjelasan yang lebih mantap kerana aku harus yakin sebelum boleh meyakinkan orang lain dalam soal pejabat tadi. Untung isteriku pulang ke kampung, jadi aku uji juga gagasan kuda ciptaan Semaun itu.

“Semaun, aku nak dengaq lagi jenis-jenis kuda terbaik yang hang nak juai tu?”

“Laaaa... hang tak percaya aku ka?”

“Bukan tak percaya tapi aku nak keyakinan yang lebih lagi. Aku nak tau juga jenis-jenis kuda terbaik lain yang hang nak juai tu?”

“Baiklah, Raman,” ujar Semaun sambil menarik nafas panjang. “Tadi aku dah cakap tentang Kuda Arab dan Kuda Andalusia. La ni aku nak cerita pula tentang Kuda Mustang. Kuda jenis ni ialah kuda liaq banyak di barat Amerika Syarikat. Banyak orhang kata kuda ni berasai dari perkataan Sepanyol Mesteño atau Monstenco liaq atau tersesat.”

Hampir setengah jam Semaun bercerita panjang lebar tentang jenis kuda yang wujud dalam perancangannya. Sungguh, aku begitu kagum dengan pengetahuannya tentang kuda. Aku yakin, jika kertas kerjanya dibawa ke bank, agar sukar untuk organisasi kewangan itu menolaknya.

Semaun tersengih lebar sebaik sahaja menamatkan ceritanya tentang pelbagai spesies kuda yang bakal dijualnya. Dia seolah-olah dapat menangkap rasa keterujaan aku terhadap pengetahuannya tentang kuda.

Aku mengangguk-angguk beberapa jenak sebelum bertanya, “Semaun, hang kata, kita akan dirikan sebuah syarikat penyewaan kuda. Ramai pakai pekerja, macamana?”

“Itu tak jadi masalah...” jawabnya bersahaja dan penuh yakin. “Kita boleh ambek pekerja dari Bangladesh, Nepal, Vietnam...”

“Tapi aku dengaq orhang luaq ni bukannya rajin sangat... balog liat, penyegan nak mampoih…” cantasku, sengaja nak menduga semangat Semaun.

“Hiish... hang tak boleh kata lagu tu,” Semaun kurang senang. “Sapa habaq kat hang depa malaih, balog liat?

“Aku dengaq orhang kata depa macam tu...” aku bersahaja.

“Kalau depa malaih, kita balon, kita ghimbok la,” ujar Semaun bersahaja, sembari tersengih.

Hang nak mampoih ka? Hang ingat negara kita ni tak dak undang-undang ka? Kalau depa repot kata hang balon depa, hang ghimbok depa, tak pasai-pasai hang masuk lokap,” tegasku.

Semaun ketawa kecil. “Tadi tu aku melawak saja, Raman! Takkan la aku nak balon, nak ghimbok depa. Aku pun ada perasaan juga. Hang tak sah risau la soal pekerja...”

Sapa hang nak ambek kerja? La ni bukannya senang kita nak ambek orhang kerja dengan kita. Dalam hal ni aku bukannya tau sangat...”

“Tu hang tak sah bimbang la... aku ada ramai kawan yang nak kerja. Kita boleh ambek depa kerja. Soal gaji, itu boleh dibincang. Kawan-kawan aku tak berapa endah sangat soal gaji. Rendah dulu pun tak pa, syarikat kita kan baru. Jadi, soal pekerja tak usahlah hang nak risaukan sangat.”

“Kalau sampai gaji depa rendah sangat, itu sama saja hang pakai ideologi kuda. Ini sama halnya kita sedang mengkudai kawan sendiri, Semaun!”

“Err... bukan macam tu maksud aku, Raman. Ini peringkat awai. Kita akan naikkan gaji depa bila kita dah maju nanti. Selain itu kita bagi depa bonus setiap taun, kenaikan pangkat, EPF, SOCSO dan kemudahan-kemudahan lain. Cuti sakit, cuti taun, cuti beranak dan semuanya. Aku rasa soal ini bukan masalah yang besaq, Raman!”

“Tapi, aku rasa bukan senang nak bangunkan syarikat ni, Semaun! Banyak risikonya. Aku bimbang, idea hang ni akan ditertawakan oleh orhang. Hang ingat, para pemimpin yang ada sekarang ni tak nampak ka isu-isu macam ni. Soal pencemaran, soal alam sekitar dah lama depa pikiaq. Guna kuda bukan satu alternatif yang baik. Kita kena mansuhkan semua kenderaan berenjin yang menghasilkan pencemaran. Kalau kenderaan dah tak ada, macam mana nak angkut kontena ke pelabuhan. Takkan nak kerah kuda? Macamana nak ke utara, selatan, pantai timoq dan sebagainya. Takkan nak naik kuda. Berapa lama boleh sampai. Sanggup ka kuda berlari ribuan kilometer sehari. Enjin lagi boleh meletup inikan kaki kuda. Aku rasa kalau kuda berulang-alik dua tiga kali dari Aloq Setaq ke JB, mahu hancoq tapak kakinya. Lagi, mana nak dibuangnya industri kereta nasional kita? Mana nak letak kereta yang ada sekarang? Kereta-kereta lain...”

“Sudah... sudah! Hang ni buat semangat aku ghéban saja, jadi ghélah, jadi ghélai, Raman!” cantas Semaun seolah-olah tidak mahu dengar alasanku. Wajahnya jelas kecewa.

Aku tersengih. “Awat cepat sangat semangat hang ghéyup, ghuyub?”

“Dah hang cakap macam tu!”

“Aku sekadar nak duga semangat hang, Semaun!”

Semaun tersengih. “Apapun, kita cuba dulu. Nah, ini proposalnya,” katanya mantap. “Ini hang serahkan kepada pihak kerajaan. Katakan saja usaha ni sebahagian dari perkembangan ekonomi rakyat melalui persatuan belia pimpinan hang.”

Aku kembali berfikir secara rasional. Ini bukan soal main-main, fikirku. Semaun nampaknya betul-betul serius. Aku rasa tidak sanggup menerima tugas yang berat ini.

“Apa yang hang pikiaq lagi, Raman?” soal Semaun seraya matanya terkesip-kesip.

“Ini bahaya, Semaun!” ujarku. “Kedudukan aku akan tergugat. Idea hang ni bukannya tak baguih tapi mustahil nak dilaksanakan. Kalau penggunaan kuda satu alternatif terbaik dalam semua aspek, dah lama syarikat kereta motor dalam dunia ni gulung tikaq. Afghanistan dan Iraq tak kalah dalam perang. Aku rasa, kalau askar Amerika naik kuda serang dua negara tu, sampai kiamatpun depa tak akan berjaya bunuh Osama dan Saddam....”

“Habis, hang tak mau ka?” cantas Semaun.

“Ya, Semaun! Aku tak mampu nak realisasikan cita-cita hang tu!”

“Ini hanya tawaran, Raman! Lagipun, lima taun akan datang, hang tak semestinya jadi pengerusi persatuan belia lagi. Ya, kalau hang tak setuju dengan gagasan ni, aku akan cari orhang lain saja.”

Aku mengeluh rengsa.

“Raman...” Semaun menepuk pundaku cuba menenangkan kegalauan yang sedang berkecamuk. Antara memilih ya dan tidak untuk memanjangkan proposalnya kepada pihak kerajaan khususnya Menteri Belia, “Hang yakin sajalah, pihak kerajaan tak akan pandang rendah usaha murni kita yang berstatus belia ini. Depa akan bangga jika usaha ni maju. Percayalah!”

Akhirnya aku putuskan gagasan kuda ciptaan Semaun cuma sekadar cerita lucu ketika aku sedang kesepian ditinggalkan isteri yang pulang ke kampung. “Semaun, sebenaqnya, aku tertarik dengan gagasan hang itu. Tapi aku tak setuju dengan akai pelanduk hang tu mengeksploitasi persatuan belia untuk kepentingan peribadi.”

“Alaaah, idealis lagi! Kerajaan saja yang mampu keluaqkan surat sakti, Raman! Lebih-lebih lagi untuk hang yang ada jawatan dalam persatuan belia. Awat mesti takut?”

“Tak boleh, Semaun!’’ kataku tegas kerana waktu semakin beranjak ke tengah malam. Aku sudah sampai ke puncak angan-angan tentang kuda dan angan-angan itu sudah makin kehilangan lawaknya. Aku mahu masuk bilik dan tidur lelap. Minta-minta jangan mimpi kuda.

Semaun terdiam, menghela nafas panjang dan pamit.

“Okey la, aku béghalah dulu,”

Longlai dia ambil kembali proposalnya. Tanpa salam, dia meninggalkan rumahku. Kecewa sungguh.

Tapi dua tahun kemudian, usaha Semaun benar-benar wujud. Tidak jelas bagaimana ceritanya. Syarikat Kuda Baling wujud tidak jauh dari pejabat persatuan belia daerah. Tetapi sebagaimana yang aku telah jangkakan, Semaun telah memperlakukan kakitangannya seperti kuda. Dan aku tidak sedikit pun terkejut bila Semaun diadili dengan dakwaan menipu para pekerja. Namun begitu, aku sebenarnya belum puas. Syarikat Kuda Baling memang perlu ditutup, perlu dihancurkan atau dibakar saja. Tetapi mentaliti memperkudakan orang lain untuk kepentingan sendiri, mampukah dibanteras? Entah!

 

 

Glosari:

 

Aloq Setaq; Alor Setar (Ibu negeri Kedah Darul Aman)

ambek; ambil

asaikan; asalkan

ataih; atas

awai; awal, mula

awat; kenapa, mengapa

ayam serhama; ayam serama

bagitau; memberitahu, bagi tahu

baguih; bagus, baik

bakaq; bakar

bakiaq; basi

bakop; mata bengkak sebab tak cukup tidur

balon; pukul dengan tangan, tali pinggang atau rotan

balog liat; malas

banyak akai; bijak, banyak berfikir yang bukan-bukan, meragam

bapak ghandok; kambing jantan yang sudah dewasa dan bertanduk

bawak mai; bawa ke mari, datang dengan atau datang bersama

bécambah; dalam kuantiti yang banyak

bécéghau; berpeluh

bedak-bedak; membahagi-bahagikan

bédé-eh; bersusah payah nak menamatkan sesuatu kerja

bédédam; bersusun-susun atau rapat-rapat

béghadon; berbuat atau menyediakan sesuatu dengan banyak sampai

hampi-hampir membazir

bégénuak; penuh sampai melimpah

béghalah; minta diri

bekaih; bekas

bela; pelihara

besaq; besar, tidak kecil

bésag gajah tok mia; besar gajah

betui; betul

bercampuq; bercampur

bodoh piang; bodoh sungguh

bunting; hamil

canggah mai; berusaha datang

céghamok; berkecamuk, keadaan sesak dalam kepala, rumah atau

bilik yang bersepah atau tak teratur.

cekai; murah atau tidak kualiti

celen; bertanding

ceme; mata sepet

céméghkap; kata lawan bagi cekap, buat kerja banyak salah

cemuih; jemu, jelak

cépéruih; bergegas

cerdaih; cerdas, bijak

cerhita; cerita

cicak berhak kapoq; terpinga-pinga, bingung, terkedu sekejap

dapoq; dapur

dengaq; dengar

depa; mereka

habaq; beritahu

halai balai; buat sesuatu kerja secara lebih kurang, ambil ringan,

ambil mudah

hancoq; hancur

hang; kamu, awak

gélut; kelam kabut

ghabat; panjat, mendaki

ghagaih; sama dengan ghabat, panjat atau daki

ghéban; runtuh.

ghédot; berkedut

ghélah; koyak

ghélai; berderai

ghémot; kalau kereta ghémot maknanya remuk, kalau

baju ghémot maknanya tak diseterika

ghéyup; hilang, lenyap

ghimbok; pukul atau hentam orang. Secara khusus tumbuk di

bahagian perut. Dalam semua perkataan Kedah yang membawa makna pukul, ghimbok adalah yang paling teruk, maksudnya mengganyang.

ghodong; redah tanpa fikir panjang

ghuyub; kata dasarnya ghaib maknanya tak boleh nampak

juai; jual

pungkoq; punggung, jubur

kamben; kambing

kébulog; keinginan yang tinggi. Macam orang yang kebuluran

berhajatkan kepada makanan. Kalau orang Kedah nak kata dia sangat-sangat tak nak, maka dia kata, tak kébulog.

kelaih; kelas

kélébog; air berselut

keluaq; keluar

kémbang pungkog; rasa bangga dipuji

kenai; kenal

kéghaih kédékiang; terlalu keras

kemaih; kemas

kena; mesti

kitaq; kitar

kughuih kélépiang; terlalu kurus, macam papan

lagu; seperti, macam

la ni; sekarang ini

lémbek dok dek; lembik, lembut atau liut

lepaih; lepas

liaq; liar

lingkop; habis semua, bangkrap

lokap; penjara

luluih; lulus

macamana; bagaimana, macam mana

mak ngot; orang yang terlalu perlahan dalam bekerja 

malaih; malas

mala’on; orang tak berguna. Dalam bahasa Arab ialah mala'un, iaitu

orang yang dilaknat.

mampoih; mati

manih; manis

market; pasar

méghawit; meracau atau melalut

méghepet; bakunya merepek, tapi dalam Bahasa Kedah maknanya

bermimpi

melawak; bergurau

méngkélan; makan tak lepas sebab tersangkut di kerongkong

méngkélayi; bergaduh, berkelahi

menyerok; sarapan pagi, minum pagi

modai; modal

moncom; tarik muka masam

nak mampoih; nak mati

nanya; malang atau nasib tak baik, aniaya

opih; office atau pejabat

orhang; orang

orhang luaq; orang luar

paham; faham, mengerti

pasai; sebab

pasiaq; pasir

penyegan nak mampoih; malas sungguh

pikiaq; fikir

repot; buat laporan di balai polis

sapa; siapa

sat; sekejap, sebentar

sedap nak mampoih; sedap sungguh

segak; lawa, tampan

séghawa; bubur atau pengat

sekitaq; sekitar

sekoq; seekor

seluaq; seluar

sémawa; jemput, undang

setbot; almari

tai; tali leher

taik; tahi, tinja

tak dan; tak sempat

tak pa; tak apa

tak pasai-pasai; tak semena-mena, tanpa sebab yang jelas

tak sah; tak usah

tau dak; tahu tak?

taun; tahun

téjéngoi; tiba-tiba muncul atau menjelma

teruih; terus, tanpa halangan

tidoq; tidur

tikaq; tikar

timoq; timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA