Selasa, 26 Disember 2023

DI TENGAH API YANG MENJULANG

SMAHADZIR

 

HIDUP adalah memilih. Pada pilihannya kali ini dia berharap apa yang akan terjadi kemudian hari justeru lebih baik dari apa yang dia jalani kini. Dia masih mencintai lelaki itu. Dia tidak ingin lelaki itu larut terjerumus dalam zina. Dia telah melihat lelaki itu berzina dan dia tidak hanya wajib memberi nasihat, tetapi juga mencari jalan keluar terbaik.

Duduk di bahagian belakang teksi yang meluncur deras di lengang malam, dia lebih banyak menunduk menyembunyikan kesedihannya sebalik jilbab. Segala keindahan telah lama lenyap dari hatinya, sejak lelaki yang kini duduk di sebelahnya resmi menjadi suaminya. Seorang lelaki tampan yang awalnya pendiam dan romantis, dulu sering menatapnya tanpa berkedip.

Tetapi kini telah menyulut api di rumahnya. Api yang kian lama kian besar, menggulung hari-harinya menjadi serpihan abu, menjulang tinggi bak neraka jahanam. Bermula ketika lelaki itu pulang tengah malam sembari mabuk ditemani perempuan seksi bergaun singkat, rambut perang dan bau pewangi menyengat.

Dia menyambut lelaki itu di hadapan pintu dan berhasrat memapahnya ke dalam rumah. Tetapi lelaki itu menampar mukanya sembari meludah. Itulah api pertama yang disulut lelaki tersebut, hanya tiga bulan selepas hari pernikahan.

Setiap ketika dia terus berdoa agar api tidak menghanguskan rumahtangganya. Dia tahu, jika tidak segera dipadamkan, api akan terus berkobar semakin besar. Apa yang terjadi jika rumahtangganya yang masih seumur jagung hangus terbakar api? Apa yang akan dikatakan oleh kedua-dua orang tuanya tentang hal itu? Apa yang akan dikatakan rakan-rakannya yang hadir di majlis pernikahannya beberapa waktu lalu?

Tetapi lelaki itu terus menyulut api. Hampir setiap malam pergi, pulang subuh dengan mata merah, mabuk. Mungkin kalah judi. Tetapi dia sering mencium aroma pewangi perempuan di tubuh lelaki itu. Aroma pewangi menyengat yang selalu membuatnya mahu muntah. Berkali-kali dia cuba menasihati lelaki itu. Tetapi lelaki itu meradang dan memaki-hamunnya.

Dia tahu, ada perempuan lain yang singgah di hati lelaki itu. Perempuan dengan gaun singkat, rambut perang dan pewangi menyengat. Dia tidak kenal perempuan itu, tetapi tahu perempuan itu cantik.

Kadang-kadang dia merasa cemburu dan ingin berpenampilan seperti perempuan itu. Memakai gaun singkat, mengecat rambut, memakai pewangi menyengat lalu pergi ke kafe, bar atau kelab malam. Dia tidak tahu apakah dengan berbuat begitu lelaki tersebut akan memadamkan api di rumahnya.

Apakah lelaki itu akan memeluknya dalam satu dakapan mesra.

Tetapi segala keinginan itu mustahil dilakukan lantaran ingat bahawa dia memakai jilbab bukan disebabkan oleh lelaki itu. Dia telah memakai jilbab jauh sebelum kenal lelaki itu. Dia faham bahawa menutup aurat hukumnya wajib bagi setiap muslimah. Dia tidak ingin menggugurkan kewajibannya hanya kerana lelaki itu mulai berpaling mencintai perempuan bergaun singkat tersebut.

Tiba-tiba dia mendapat satu ilham. Dia ingin merengkuh perempuan itu menjadi sebahagian dari keluarganya bersama lelaki itu. Siapa tahu semua itu akan menjadi permulaan terbaik untuk mewujudkan sebuah keluarga sakinah mawadah warahmah, meneruskan keturunan, menjalankan sunah Rasulullah SAW.

Dia sedar tindakannya ini mungkin akan menuai protes keras dari berbagai pihak, terutama orang tua. Tetapi dia sudah sedia menanggung semua risiko. Hidup adalah memilih. Pada pilihannya kali ini dia berharap apa yang akan terjadi kemudian hari akan lebih baik dari apa yang dia jalani ketika ini. Dia masih mencintai lelaki itu. Dia tidak ingin lelaki itu larut terjerumus dalam dosa zina. Dia telah melihat lelaki itu berzina dan dia tidak hanya wajib memberi nasihat, tetapi juga mencari jalan keluar terbaik.

Ah, dia menyesal kenapa kesedaran itu terlambat cagun? Dia melihat lelaki itu seperti sudah kalap, marah besar sejak dia menjemputnya dari sebuah kelab malam lantaran sudah dua malam tidak pulang. Dia sangat bimbangkan keselamatan lelaki itu yang sering mabuk, pulang dini hari. Apapun mampu menimpa lelaki itu ketika mabuk kerana sebahagian kesedarannya hilang. Dia tidak ingin lelaki itu mendapat celaka ketika sedang terjerumus dalam lembah kesesatan.

Tetapi dia bingung, tidak tahu dari mana harus memulai pembicaraan. Dia merasa darahnya terus berdesir dan degup jantungnya berdetak kencang. Tiba-tiba dia diamuk kebimbangan andai teksi yang kini dia tumpangi lebih gesit sampai ke rumah sebelum dia memulai pembicaraan. Dia tahu, seperti biasa lelaki itu akan mengurung diri dalam bilik sebaik tiba di rumah. Dia akan kehilangan kesempatan bicara dengan lelaki itu, entah sampai bila.

“Besok pagi aku akan menceraikan kamu!” Tiba-tiba lelaki itu bersuara.

“Kenapa mesti bercerai? Kita masih mampu…” Dia tidak meneruskan kata-katanya kerana lelaki itu lebih cepat memotong.

“Kemas semua barang dan pulanglah ke rumah orang tua kamu. Aku tidak mahu melihat kamu lagi!” lelaki itu bersuara tegas. Aroma alkohol menyuar dari mulutnya.

“Kita mampu bincangkan masalah ini dengan tenang,”

“Apa lagi yang harus kita bincangkan?!”

“Tentang perempuan itu. Saya tahu kamu mencintainya. Atas izin Allah, saya tidak keberatan kamu menikah dengannya tanpa menceraikan saya.”

Lelaki itu tertawa. Mulutnya menyeringai. Hidungnya kembang-kempis seperti menahan sesuatu yang mulai bergejolak di dadanya. Tetapi lelaki itu tidak segera bersuara. Membuatkan malam di dalam teksi terasa mencengkam. Dia menunggu lelaki itu bersuara. Tetapi cukup lama lelaki itu diam.

“Aku harus menceraikan kamu. Itu syarat agar aku mampu menikahinya.” Lelaki itu tiba-tiba memecah kebisuan.

Kata-kata yang sangat mengejutkan. Langit seperti runtuh menimpa kepalanya. Matanya nanar menatap cahaya lampu di kanan kiri jalan. Seketika kemudian dia merasa ada sesuatu yang mulai mengambang di sudut matanya, basah, panas. Dia buru-buru mengusap matanya dengan hujung jilbab. Dia tidak ingin wajahnya terbakar.

“Izinkan saya bertemu dengan perempuan itu.” Dia berkata lirih, mendatar, setelah setagal mampu menguasai diri.

Kembali lelaki itu tertawa. Matanya kelihatan mulai menyala. “Dia tidak mahu bertemu denganmu. Itu lebih baik!” jawab lelaki itu seperti bicara pada dirinya sendiri.

Dia tidak mampu bersuara lagi. Perasaannya hancur berkeping-keping. Segala rancangan yang sudah disusun rapi, kini hancur berantakan seperti abuk kayu dari mata gergaji.

Lelaki itu akan menceraikannya. Ya, perceraian itu akan segera terjadi. Perceraian yang sangat menyakitkan, yang tidak disukai Allah. Tetapi benarkah lelaki itu bersuara dengan penuh kesedaran?

Bukan di bawah pengaruh alkohol yang memabukkan? Allah, apa yang harus kulakukan ketika ini? Apa yang akan terjadi dengan hidupku? Apa hikmah sebalik semua ini? Kenapa niat baik tidak selalu berbalas dengan kebaikan pula? Allah, Engkau Maha Tahu segala niat jahat dan niat baik, aku pasrah pada-Mu. Perlahan-lahan dia menunduk. Hatinya terus meratap.

Dia tersentak sewaktu teksi memasuki halaman rumah. Dia segera mengangkat kepalanya. Tiba-tiba dia merasa hatinya begitu tenang, damai. Ketenangan dan kedamaian yang sudah lama tidak dia rasakan. Usai membayar tambang teksi, dia segera turun. Dia tidak tahu kenapa lelaki itu tetap duduk di dalam teksi. Dia menduga lelaki itu akan pergi semula, entah ke mana.

Mungkin kembali ke kelab malam atau menemui perempuan tersebut, kekasihnya. Dia membiarkan teksi itu meluncur menembus malam remang dan lengang bersama lelaki itu. Dia terus melangkah ke dalam rumah. Dia harus cepat-cepat mengemas barangnya, sebelum lelaki itu pulang besok.

 

* * *

 

Semalaman dia tidak dapat tidur. Selesai solat Subuh dia terus mengemas barang-barang miliknya. Tidak terlalu banyak, hanya beberapa buah beg berisi pakaian. Kini dia tinggal menunggu lelaki itu pulang sahaja.

Tetapi hingga siang hari lelaki itu belum juga pulang. Dia mulai cemas, bimbang, bingung, apakah perlu menunggu lelaki itu atau tidak. Bagaimana jika lelaki itu tidak pulang? Betapa sia-sia menunggu. Dia kemudian memutuskan untuk tidak menunggu lelaki itu. Dia beranjak menghampiri telefon. Dia perlu teksi untuk membawa barang-barangnya. Dia segera menelefon agen teksi yang nombornya sudah tersimpan dalam diarinya.

Duduk di bangku anjung rumah dia menunggu teksi yang akan membawanya pergi. Mungkin inilah kali terakhir dia duduk di bangku itu. Dia cuba menikmati pohon-pohon bunga di halaman rumah. Selama ini dia yang menjaga pohon-pohon bunga itu. Dia tidak tahu siapa kelak yang akan menjaganya.

Ah, pohon-pohon bunga itu kelihatan hijau segar. Dia ingin menghampiri pohon-pohon bunga itu. Tetapi tiba-tiba langkahnya terhenti ketika mendengar deru kereta memasuki halaman rumah. Dia berharap itu adalah teksi yang akan menjemputnya.

Tetapi dugaannya meleset. Yang dia lihat bukan teksi melainkan kereta ambulan dengan beberapa orang turun tergesa-gesa. Firasatnya mengatakan sesuatu yang buruk telah terjadi. Dia ingin menghampiri kereta itu, tetapi mendadak dia seperti kehilangan seluruh tenaga. Yang mampu dia lakukan hanya berdiri mematung hingga salah seorang penumpang ambulan datang menghampiri.

“Maaf, suami puan tidak sempat diselamatkan. Terlalu banyak darah yang keluar,” kata orang itu dengan wajah pucat berkeringat. “Saya yang melanggarnya. Tetapi demi Allah, sebelumnya saya tidak melihat suami puan. Tiba-tiba suami ibu melintas jalan. Saya tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Menurut beberapa saksi, suami puan sedang mabuk ketika kemalangan itu berlaku. Tetapi bagiamanapun, mungkin sayalah yang salah. Saya sedia mempertanggungjawabkan perbuatan saya...” suara orang itu kian lirih dan sayup.

Dia hanya menunduk, tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Bahkan tidak tahu apa perasaan yang sedang berkecamuk di hatinya ketika itu. Apakah sedih? Ataukah gembira? Segala macam perasaan bercampur-aduk tidak karuan. Tetapi satu hal yang pasti, dia tahu, Allah pasti mempunyai rencana lain untuk dirinya. Entah apa?

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA