Khamis, 21 Disember 2023

ASRAR-NYA, RAHSIA TUHAN

SMAHADZIR

 

“SEMUA orang pasti akan mati. Menemui Al-Khalik! Itu tidak dapat dinafikan. Tetapi mengapa harus mereka? Mengapa bencana kekejaman itu harus menimpa negara Islam kita. Negara yang sedang berusaha bangkit dari penindasan dan ingin bebas merdeka seperti negara lain.”

Ucapan protes itu dalam beberapa hari terakhir kerap meluncur dari mulut Hambali. Sejak musibah kekejaman dan pembunuhan menghentam bumi Palestin, dia memang sering berurai air mata. Setiap kali menyaksikan tayangan televisyen yang menyuguhkan suasana di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, dia terus tersentuh. Dia tidak tahan melihat mayat yang bergelimpangan, dia tidak mampu menahan titisan air mata sewaktu tayangan televisyen memperlihatkan seorang anak meraung di sisi mayat ayah dan ibunya yang disergap mortar tentera rejim Israel.

Hambali akhir-akhir ini memang berubah jadi sensitif. Sikap angkuhnya, tidak cakna, yang diperlihatkannya selama ini, terhadap apapun peristiwa, termasuk urusan pergaulan dengan lingkungan di tempat tinggalnya, kini boleh dikatakan tiada lagi. Lenyap. Berubah 180 darjah.

“Untuk apa mencari kekayaan di dunia ini. Ah, dalam sekejap, hanya hitungan minit, semua milik kita itu boleh hilang sirna tidak berbekas, kita akan dijemput Khalik bila-bila masa saja,” katanya penuh nasihat.

Sifat angkuh, pilih-pilih rakan dan jiran tetangga dalam pergaulan yang diperlihatkan Hambali selama ini hilang entah ke mana. Sikap ramahnya, terhadap sesiapa juga yang dikenalinya menjadi tanda tanya besar bagi jiran tetangganya.

Meski hampir semua jirannya juga menyaksikan tayangan televisyen tentang musibah dan segala dampak yang diakibatkan oleh keganasan tentera Israel terhadap Palestin, Hambali selalu saja menceritakan apa yang dilihatnya itu kepada para jirannya.

“Kita ini mulai sekarang harus banyak beramal, membantu antara sesama. Saya benar-benar ngeri melihat bagaimana bom-bom pemusnah digugurkan dari udara. Menghancurkan rumah-rumah, bangunan, kereta, dan mengorbankan ramai orang. Ngeri. Ini peringatan Tuhan. Peringatan bahawa kiamat itu benar adanya, akan datang suatu ketika nati, melumatkan semesta alam.”

Hambali tidak hanya bercakap, tetapi juga memberikan bantuan. Dia menyerahkan sumbangan dalam bentuk wang kepada panitia pengumpul sumbangan untuk diserahkan ke Palestin. Dia juga memberikan pakaian-pakaian yang masih layak dipakai. Bahkan menghantarnya sendiri ke pusat bantuan Palestin di pejabat Aman Malaysia.

“Sumbangan itu saya berikan dengan penuh kerelaaan. Memang begitu seharusnya. Di antara harta, di antara milik kita ada milik orang lain. Untuk membersihkan harta benda yang kita miliki, kita harus mengeluarkan hak anak yatim, hak fakir miskin, hak insan-insan duafa, serta sumbangan sosial untuk masjid dan lainnya,” kata Hambali penuh semangat. Dia mengakui, soal hak orang lain itu memang pernah tidak dia endahkan, meski isterinya sering mengingatkan.

“Yang tidak pernah saya lupakan hanya membayar zakat fitrah, zakat yang harus dibayarkan setiap menjelang akhir bulan Ramadan, menjelang Hari Raya Idul Fitri,” katanya.

Perubahan luar biasa yang terjadi pada sikap Hambali menjadi pembicaraan hangat di lingkungannya, lingkungan taman perumahan tempat tinggalnya. Bahkan beberapa warga di luar taman perumahan tempat tinggalnya juga mulai mengenali namanya berkat keaktifannya ikut mengumpulkan sumbangan bagi korban mangsa kekejaman. Hambali kini memang rajin datang ke pejabat Aman Malaysia, tidak sekadar bercerita tentang apa yang dia lihat di layar televisyen, tetapi dia juga ikut aktif membantu menerima sumbangan dari orang ramai.

“Oh.., rupanya orang itu tinggal di sini juga. Dulunya saya ingat dia hanya penyewa di sini,” kata Zaman, salah seorang penduduk tetap di taman perumahan tersebut.

Dan ramai jiran, terutama yang tinggal sebelah menyebelah rumah dengan Hambali selama ini memang tidak menganggap lelaki tinggi besar itu seorang yang berhati mulia. Tak seorang pun di taman perumahan tempat tinggalnya itu yang mahu bertegur sapa dengan kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu.

“Seperti dia seorang saja yang hidup di atas muka bumi ini. Angkuh. Kalau berjalan bahu diangkat tinggi, tidak pernah mahu tegur orang,” kata Ramli, salah seorang jirannya.

“Saya sangat hairan, kenapa dia mampu berubah total,” kata Pak Nordin, tetangga lainnya.

 

* * *

 

Gopoh. Demikian dia dipanggil. Meski telah memasuki usia separuh baya, dalam kalangan para remaja dia amat populer, terutama remaja lelaki, kerana lelaki ini memang sering bergaul dengan remaja. Sebenarnya dia adalah seorang jurulatih bola sepak. Hampir setiap hari, Tuan Gopoh - sesuai dengan cara bercakap dan jalannya yang selalu tergopoh-gapah sewaktu berada di padang. Pagi melatih kanak-kanak yang dia sebut sebagai anak sekolah rendah, tengah hari melatih remaja usia tanggung yang rata-rata duduk di bangku sekolah menengah, dan petangnya melatih para belia kampung.

Berkulit hitam legam, kerana selalu berjemur di padang, dengan tubuh gempal dan tinggi semampai, penampilan Gopoh sebagai pelatih cukup meyakinkan. Dalam kalangan anak didiknya dia sering dijuluki sebagai Berti Vogts, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Jerman. Gopoh dan Vogts memang memiliki kemiripan.

Bezanya Berti Vogts berkulit putih, Gopoh berkulit hitam. Berti Vogts sering memperlihatkan wajah garang, manakala Gopoh pula lebih sering kelihatan ceria. Dan meski hanya jurulatih kelas kampung, Bang Gopoh - demikian dia sering dipanggil anak didiknya - selalu memperhatikan penampilan yang bergaya.

Meski berpendapatan setakat cukup makan, Gopoh selalu tampil rapi. Di luar padang, pakaiannya selalu kemas, diseterika licin. Dia sering tampil dengan baju lengan panjang dan seluar gelap. Tetapi di padang, dia hampir tidak pernah lepas dari training suit. Dengan wisel terkalung di leher, didampingi satu atau dua pembantunya, dia kelihatan penuh wibawa. Instruksinya begitu diperhatikan anak-anak didiknya. Tetapi itu ketika latihan atau pertandingan, di luar padang dia berubah penuh canda.

Inilah yang membuatkan para pemain bola tidak pernah bosan, lebih-lebih lagi tertekan, dalam mengikuti latihan dan pertandingan.

Tetapi itu dulu. Kini, bahkan dalam beberapa minggu terakhir Gopoh hampir tidak pernah lagi muncul di padang, baik ketika latihan mahupun pertandingan. Anak-anak didiknya, seperti telah kehilangan ghairah. Dua pembantu Gopoh yang diserahkan tugas membentuk para pemain yang ada, sama ada kanak-kanak sekolah rendah, pemain remaja, dan kelompok belia, bagaikan kurang wibawa. Hasilnya dalam beberapa pertandingan terakhir, pasukan yang tadinya hampir tidak putus meraih kemenangan demi kemenangan, akhir-akhir ini jadi bulian.

Ramai orang bertanya-tanya. Bahkan Pak Camat yang tadinya amat bangga dengan pasukan asuhan Gopoh, akhir-akhir ini juga jarang muncul di arena pertandingan. Ada apa dengan Gopoh sebenarnya? Ke mana dia?

Persoalan yang dilontarkan Pak Sukimin, Ketua Kampung ini, bukan sekali dua kali mencuat. Ramai orang sebelumnya juga mengajukan persoalan yang serupa. Tetapi makin ramai yang bertanya, seperti jawapan yang diinginkan makin jauh. Tak seorang pun tahu ke mana ghaibnya Gopoh.

“Apakah kamu sudah tanya Pak Camat?” tanya Alip pada Yamin, salah seorang pembantu jurulatih yang selama ini rajin mendampingi Gopoh di padang.

Pak Alip, penyumbang tetap kelab bola sepak kampung itu memang tidak habis fikir apa mahunya Gopoh sebenarnya.

“Apa lagi yang kurang. Semua keperluan sudah tersedia. Bola masih banyak, padang ada. Dan sebagai jurulatih kampung, rasanya apa yang diterima Gopoh lebih dari cukup. Kamu berdua juga kan!?” katanya lagi.

Kata-kata Pak Alip di hadapan pengurus bola sepak kampung, dua pembantu jurulatih, serta Ketua Kampung, di dewan masyarakat, tidak jauh dari pejabat ketua kampung itu membuatkan semua yang hadir mengerutkan dahi.

“Habis, sekarang kita nak buat apa?”

Sewaktu semua orang tidak habis fikir itulah, sewaktu semuanya ingin tahu alasan Gopoh meninggalkan kampung tanpa sebab, tanpa seorang pun tahu ke mana dia pergi, pada saat itulah Mukmin, setiausaha belia datang sambil tersenyum-senyum. Jelas saja kehadirannya mengundang persoalan.

“Mahu tahu tentang Gopoh kan?” katanya bersahaja.

Semua bereaksi sama, ingin mendapat jawapan segera. Semua seperti tidak sabar menunggu, tidak seorang pun yang ingin tutup telinga.

“Gopoh ada di Tebing Gaza, di Palestin. Tadi dia menelefon Pak Camat, memberitahu yang dia telah menjadi salah seorang sukarelawan Aman Malaysia di sana. Mungkin bulan depan dia akan pulang ke sini,” kata Mukmin.

Semua kelihatan lega. Semua memiliki fikiran sama, pasukan bola sepak kampung akan kembali bersemangat. Tetapi itu terjadi dua minggu lalu. Kini orang ramai yang mengenali Gopoh kembali dihenyak tanda tanya.

“Gopoh selamat ke tidak ya!” kata Sawabi.

Tak seorang pun dapat menduga. Tak seorang pun yakin mampu meminta maklumat dari mana. Gopoh, entah siapa nama sebenarnya, hanya beberapa orang saja yang tahu, di mana dia pernah akrab, tinggal, diperlukan kerana memiliki kebolehan di bidang sukan.

“Mudah-mudahan dia selamat. Dia orang baik, dia tidak pernah menyusahkan orang lain,” kata Pak Dawi.

Tak seorang pun menimpali. Diam, sunyi. Semua seperti menyedari, sukar berharap, kerana dari berbagai tayangan televisyen, dari berbagai pemberitaan akhbar dan radio, Tebing Barat hampir ranap dilanyak bom-bom pemusnah tentera Israel. Tetapi semua, dalam hati masing-masing, berharap keajaiban terjadi.

“Gopoh...” kata Pak Selamat, kemudian dia diam tanpa meneruskan apa maksudnya.

“Itulah asrar-Nya, rahsia Tuhan!” Pak Shuib yang sejak tadi diam seribu bahasa ikut buka bicara.

“Jangan suka berprasangka. Jangan menuduh masyarakat di sana telah banyak dosa, lalu Tuhan marah. Mereka yang terkorban dalam kekejaman tentera Israel itu semuanya mati syahid, insya-Allah! Mereka terus masuk syurga, dengan rahmat-Nya…”

Wajah Pak Shuib jelas tegang. Tak seorang pun ingin menyela. Semua diam. Hambali juga tidak ingin menimpali. Padahal dari tadi Hambali paling banyak bicara. Pak Selamat, jiran sebelah rumah Pak Shuib juga diam. Semuanya seperti ingin mendengar kata-kata Pak Shuib berikutnya, sejak kekejaman di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza terjadi.

Sejak serangan bertubi-tubi tentera Israel menghancurkan dua wilayah itu, Pak Shuib memang jarang bercakap. Dia yang sebelumnya terkenal ceria, sejak kejadian itu berubah drastik, melankolik. Pak Shuib wajar terpukul, kerana anak saudaranya seorang doktor sukarela yang bekerja di sana turut terkorban dalam serangan itu.

“Mereka itu… semua mati syahid, insya-Allah..” lalu matanya berkaca-kaca. Air matanya pun menitis perlahan. “Apa kurangnya Gopoh. Dia santun, baik, taat beribadah, tetapi nyata dia juga jadi korban,” katanya sambil menyeka air mata dengan lengan bajunya. Semua yang ada di situ seperti mengamini kata-kata Pak Shuib.

“Saya yakin ramai lagi orang seperti Gopoh yang ikut jadi korban. Saya juga yakin ramai saudara orang lainnya yang terkorban, seperti Dr Kamal, anak saudara Pak Shuib itu,” kata Pak Selamat.

Pak Shuib terdiam, yang lainnya juga. Sunyi sekejap, tetapi kemudian Pak Aris memecah keheningan. “Tetapi kenapa kekejaman itu harus terjadi di Palestin. Kenapa tidak di tempat lain?”

“Ya, kenapa Tuhan tidak membunuh saja para pengganas macam Amerika? Kenapa Tuhan tidak menghabisi para pembunuh macam Israel?” soal Pak Bani menimpali.

“Kenapa di negara yang sudah tertindas, di negara yang banyak rakyatnya menderita kerana kemiskinan, kenapa di negara yang ramai umat Islam, negeri para ambia. Kenapa?” kata Makmun, ketua belia yang sejak tadi hanya diam. “Apakah itu juga asrar-Nya, rahsia Tuhan?” tokoknya lagi.

Pak Shuib yang dipandangnya tidak memberikan sebarang reaksi. Tak ada jawapan.

“Mudah-mudahan bantuan yang mengalir untuk Palestin, untuk membina semula Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan rakyatnya benar-benar mampu dinikmati umat Islam di sana. Mudah-mudahan tidak diselewengkan. Tidak dimakan oleh tikus-tikus bertali leher,” kata Pak Razak.

Kemudian hening. Semua mata tertuju ke layar televisyen di pojok ruang pejabat ketua kampung, yang sedang menyiarkan warta berita. Satu sama lainnya saling berpandangan sesama sendiri ketika seorang tokoh yang pernah dihadapkan ke mahkamah kerana kes penyelewengan wang bantuan rakyat sedang memberi penjelasan, menyatakan sedia membantu rakyat Palestin, menyatakan perang terhadap rejim Israel.

“Bukankah dia yang pernah dipenjara, kemudian dibebaskan. Boleh ke? Boleh ke dia jadi pembela dan pembanteras penyelewengan? Bukankah dia pernah menyelewengkan wang bantuan untuk rakyat dulu? Barangkali ini juga asrar-Nya, rahsia Tuhan… dia sudah bertaubat…”

Hening. Tak seorang pun ingin bersuara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA