SMAHADZIR
TERSEBUTLAH bahawa pada ketika
itu, hari sudah pagi, matahari telah mengembangkan sayapnya menyelubungi
seluruh alam. Nabi Yusuf terbangun dari tidurnya sejak subuh tadi dengan muka
yang berseri-seri, kerana kini selain udara pagi yang enak dan nyaman, cahaya
matahari kini berkemilauan dan juga kerana dalam tidurnya semalam baginda
bermimpi menarik sekali. Sambil tersenyum manis baginda pergi mendapatkan bapanya
Nabi Yaakub bertanyakan kalau-kalau ada khabar baik dari mimpinya itu: ‘Ya
bapau, aku sudah bermimpi malam tadi, sebuah mimpi yang sangat baik, lantaran
itu aku sangat berbesar hati, senang perasaan. Dalam mimpi itu aku melihat
sebelas bintang, matahari dan bulan kesemuanya sujud kepada aku. Cubalah bapa
terangkan kepada aku akan takwil mimpi itu, kerana aku tidak tahu akan
takwilnya.’
Mendengar
mimpi anaknya yang sebaik itu, Nabi Yaakub tersenyum gembira lalu berkata:
‘Hai, anakku! Mimpimu itu adalah mimpi yang benar, menjadi kenyataan sekarang
apa yang aku sangka-sangkakan selama ini terhadap dirimu, dan segala sesuatu
yang aku harap-harapkan atasmu. Itulah dia khabar gembira dari Allah S.W.T yang
akan mengistimewakan engkau dalam pengetahuan, akan memberi engkau nikmat-Nya
yang banyak. Sebagaimana juga nenek-nenekmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak sendiri
dahulu sebelum kamu ini. Aku menasihatkan kepadamu, agar engkau jangan
sekali-kali menceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, sebab aku tahu
bahawa saudara-saudaramu itu telah menaruh hati yang buruk terhadap dirimu dan
saudaramu, Bunyamin, lantaran aku mengistimewakan engkau berdua dalam
asuhanku.’
‘Aku sudah
mendengar sendiri pada hari ini bahawasanya saudara-saudaramu itu telah
membicarakan hal kamu berdua dengan pembicaraan yang sungguh tidak enak
didengar. Kalau engkau ceritakan pula mimpimu kepada mereka, pastilah akan
bertambah kedengkian mereka, mungkin kebencian mereka akan bertambah-tambah
kepadamu berdua, mungkin pula mereka akan memperdayakan engkau dengan
berbagai-bagai jalan dan akal, maklumlah mereka itu sudah dipengaruhi oleh
syaitan, sedang syaitan itu adalah musuh yang sebesar-besarnya bagi
manusia.’
Nabi Yusuf
adalah anak yang luar biasa di antara anak-anak Nabi Yaakub yang ramai itu,
kerana bagus dan elok rupanya, baik perangainya, dalam pemikirannya dan luas
pengetahuannya. Ibunya (Rahil) meninggal dunia ketika baginda dan Bunyamin
Bunyamin masih kecil, masih berumur dua belas tahun saja. Kerana kematian
ibunya inilah, maka bapanya Nabi Yaakub sangat cinta terhadap kedua-dua anaknya
ini, iaitu Nabi Yusuf dan Bunyamin. Itulah yang menyebabkan saudara-saudaranya
yang lain dengki dan iri hati terhadap kedua-dua saudara yang tidak beribu ini.
Lebih-lebih lagi setelah Yaakub mendengar dan mengetahui akan mimpi Nabi Yusuf
itu, semakin bertambahlah sayangnya kepada Nabi Yusuf dan semakin bertambah
pula pengawasannya untuk keselamatan Nabi Yusuf bersama Bunyamin. Hal ini
menyebabkan bertambah kebencian saudara-saudaranya terhadap Nabi Yusuf sendiri
berserta Bunyamin itu.
Kedengkian
Tidak Dapat Ditutup
Walau bagaimanapun, kebencian dan
kedengkian itu tidak dapat ditutup dan disembunyikan sama sekali. Begitu juga
rasa cinta terhadap seseorang, sebagaimana rasa sayang Yaakub kepada Nabi Yusuf
dan Bunyaminpun tidak dapat ditutup dan disembunyikan; pasti ketahuan dan
kelihatan juga. Begitulah, saudara-saudara Nabi Yusuf itu semuanya sudah
mengetahui betul akan sikap bapa mereka terhadap Nabi Yusuf dan Bunyamin. Nabi
Yusuf dan Nabi Yaakub sendiri mengetahui benar akan perasaan saudara-saudara
Nabi Yusuf terhadapnya.
Pada suatu
hari, mereka yang dengki dan benci kepada Nabi Yusuf itu berkumpul dan
bermesyuarat. Sama-sama mengemukakan perasaan masing-masing atas peri laku bapa
mereka yang dianggapkan tidak adil itu. Salah seorang di antara mereka berkata:
‘Sudah sama-sama kita lihat sendiri, bahawa Nabi Yusuf dan Bunyamin lebih
disayangi oleh bapa kita berbanding dengan kita semua.’
‘Aku tidak
mengerti, apakah yang telah menyebabkan bapa kita berperangai demikian,
bukankah kita sekalian ini yang besar dan tua dari Yusuf dan Bunyamin, kitalah
yang lebih kuat, bukankah kita sudah banyak berjasa menjaga dan memelihara
Yusuf sendiri, tetapi kenapa dia yang lebih disayangi? Apakah kerana Yusuf
lebih mulia daripada kita? dan tidak ada keterangan yang dapat aku percayai
yang menyatakan bahawa Yusuf lebih mulia. Apakah kerana Rahil, ibunya lebih
dekat di hati bapa daripada ibu-ibu kita sendiri? Kalau begitu apa kesalahan si
anak meskipun berlainan kecintaan terhadap ibu-ibu kita? Kalau begitu bapa kita
sungguh-sungguh keliru sekali.’
Berkata pula
seorang yang lain: ‘Kelebihan bapa terhadap Yusuf sudah terang, seperti
terangnya matahari tengah hari. Kesayangan itu timbul dalam hati dan sangat
berkuasa. Kesayangan itu tidak dapat dihilangkan hanya dengan kata-kata dan
pujukan, tidak dapat dengan kepintaran akal sebab cinta itu berdiri atas akal
itu sendiri. Selama Yusuf masih berada dalam lingkungan keluarga kita, selama
itulah cinta bapa kepadanya akan terus berlangsung, sebaliknya kita akan di
ketepikan. Tidak ada jalan lain yang dapat melaksanakan niat kita, kecuali
menghapuskan Yusuf dari pergaulan kita, dengan membunuhnya dan menghilangkan
semua bukti atas pembunuhan itu, atau kita bawa dia ke tempat yang jauh, kita
berikan kepada binatang buas atau kita kuburkan hidup-hidup di gurun pasir yang
panas itu. Lama kelamaan sayang bapa kepada kita akan timbul dengan sendirinya,
kerana Yusuf yang dicintainya sudah tidak ada lagi. Kemudian kita mohon ampun
kepada Allah S.W.T atas semua dosa yang kita lakukan itu. Sesudah itu kita
tidak akan berbuat jahat lagi.’
Lalu tampil
pula ke depan untuk berbicara iaitu Yahuza, seorang yang paling baik hatinya di
antara kesemua adik beradik itu, paling dalam pemikirannya dan tajam pula
otaknya: ‘Kita sekalian adalah anak Nabi Yaakub, keturunan dari Nabi Ibrahim
yang mulia. Kita mempunyai akal dan agama. Pembunuhan tidak dibenarkan oleh
akal dan dilarang keras oleh agama. Sedang Yusuf tidak bersalah sedikit pun,
tidak pernah berdosa, juga tidak pernah berbuat tidak baik terhadap kita. Bila
kamu sekalian ingin menjauhkan Yusuf dari kita, bawa sajalah dia ke telaga Jub,
yang letaknya jauh dari sini, tempat orang singgah mengambil air. Tinggalkan
Yusuf di telaga itu, agar dia diambil orang-orang yang lalu lintas di sana
sebagai anak angkatnya. Biar dibawa orang itu ke mana mereka pergi, sehingga
Yusuf tidak dapat kembali ke tengah-tengah kita buat selama-lamanya. dengan
jalan begini, kita terhindar dari dosa pembunuhan’ Pandangan Yahuza ini masuk
akal mereka, mereka lalu sepakat akan menjalankannya selekas mungkin.
Pagi-pagi
lagi keesokan harinya, mereka pergi bersama-sama mengunjungi Nabi Yaakub, lalu
berkata: ‘Ya, bapa kami! Percayalah bapa kepada kami tentang Yusuf. Dia adalah
saudara kami sendiri, anak bapa semuanya. Kami cinta kepadanya sebagaimana
sayang bapa sendiri terhadapnya. Biarkanlah besok pagi dia pergi bersama-sama
kami ke bukit itu, di mana udara agak sejuk dan pemandangannya indah, dengan
langit yang bersih tidak berawan, matahari yang bersinar. Kami ingin
bermain-main dengan dia, bersama-sama memanjat memetik buah, menggembala
kambing. Kalau bapa izinkan, kami sekalian akan bertanggungjawab atas
keselamatannya, kekuatan dan keberanian kami akan menjaganya, jiwa kami
sekalian menjadi pertaruhannya.’
Mendengar
perkataan itu, Nabi Yaakub menjawab: ‘Aku bimbang akan terjadi sesuatu akibat
yang kurang baik, yang tidak diinginkan. Aku tidak berkeberatan Yusuf jauh dari
aku, yang aku bimbangkan takut kalau-kalau kamu pergi dengan dia kamu terlalai,
lalu dia ditangkap serigala dan dimakannya; kamu kembali tanpa Yusuf, tentu aku
berhati sedih.’
Mereka
menjawab pula: ‘Apakah dia akan ditangkap serigala, sedang kami semua
menjaganya? Tidak seorangpun di antara kami ini penakut dan berbadan lemah.
Bila terjadi apa yang bapa bimbangkan itu, kami sekalian turut kehilangan
saudara kami sendiri.’
Kendatipun
tetap bimbang, tetapi Yaakub tidak dapat menjawab pembelaan mereka, selain
hanya berkata: ‘Kalau begitu jagalah Yusuf baik-baik jangan dilalaikan sedikitpun
dari penglihatan dan apa yang kamu kerjakan Allah S.W.T-lah yang
mengetahuinya.’
Keesokan
harinya, mereka membawa Nabi Yusuf bersama-sama ke tempat yang jauh
sejauh-jauhnya, menuju ke telaga yang sudah ditentukan mereka. Sebelum sampai
ke telaga, niat mereka yang buruk itu tidak dapat mereka bendung lagi, kerana
desakan hati yang jahat, kedengkian yang memuncak. Setelah sampai di telaga,
Nabi Yusuf ditelanjangi dan mereka masukkan ke dalamnya. Mereka lalu pulang
sambil membawa bajunya, Yusuf ditinggalkan sendirian di dalam telaga yang
dalam, menunggu nasib takdir Ilahi atas dirinya.
dengan jalan
begitu menurut sangka mereka, mereka telah dapat mengubati sakit hati selama
ini; mereka menyangka bahawa lama kelamaan bapa mereka akan melupakan Nabi
Yusuf dan tidak akan mengingatinya lagi, mereka lupa akan kekuasaan Allah S.W.T.
Mereka lupa bahawa Allah S.W.T selalu dapat melepaskan hamba-Nya yang tidak
bersalah, melindungi orang yang Dia kehendaki.
Tatkala
senja hari, mereka sudah kembali di rumah; lalu datang menemui bapa mereka
dengan kata-kata dan kalimat yang sudah mereka susun, untuk membohongi orang
tua tersebut. dengan bertangisan tersedu-sedu, sambil memegang baju Yusuf yang
sudah dilumuri dengan darah yang mereka cari sendiri untuk berbohong, lalu
berkata: ‘Ya, bapa kami! Rupanya terjadi juga apa yang bapa bimbangkan itu.
Yusuf terlalai sebentar dari pandangan mata kami kerana kami berjalan dahulu.
Tidak kami ketahui, bahawa tatkala itu seekor serigala telah menerkam Yusuf,
lalu memakannya. Hanya tinggal bajunya yang sudah berlumuran darah saja. Inilah
bajunya itu, sebagai bukti dari apa yang kami terangkan. Kami amat sedih.
Barangkali juga bapa tidak percaya kepada kami, kendatipun kami berkata
benar.’
Yaakub
menjawab dengan sedihnya: ‘Nafsu kedengkian kamu telah menyebabkan kejadian
yang mengerikan ini. Kejadian itu sudah terjadi. Tidak ada yang lebih baik
bagiku selain bersabar, sampai datang saatnya nanti, di mana akan ternyata apa
sebenarnya yang terjadi. Hanya kepada Allah S.W.T aku mohon pertolongan atas
segala-galanya.’
Satu
Ujian yang Berat
Di dalam telaga yang dalam, yang
terletak jauh di tengah-tengah padang pasir, gelap dan sunyi pula, sungguh
merupakan satu ujian yang berat bagi insan yang bernama Yusuf. Memang sudah
menjadi kudrat dan iradat Allah S.W.T yang Maha Kuasa, untuk menguji hamba-Nya
yang taat dan berbakti kepada-Nya dengan berbagai-bagai cubaan yang berat.
Bukan dengan maksud menyeksa dan menyakitinya. dengan pengertian beginilah kita
harus memahami akan segala nasib dan musibah yang menimpa diri berbagai-bagai
Nabi, Rasul dan orang-orang suci lainnya.
Dibandingkan
dengan lain-lain ujian yang pernah diderita oleh para Nabi dan Rasul, mungkin
cubaan yang dialami Nabi Yusuf ini agak ringan juga. Hanya yang paling berat
dirasakan oleh Nabi Yusuf, adalah kerana yang melakukan pekerjaan ini terhadap
dirinya bukanlah orang lain, tetapi adalah adik beradiknya sendiri dan sedarah
dengan baginda yang menjadi musuhnya. Nabi Yusuf tetap tenang dalam telaga yang
gelap dan dalam itu, sebagai seorang yang mulia, tahan uji serta tabah.
Matanya
mulai melihat keliling dinding telaga yang curam dan dalam. Tidak ada yang
dapat dilihatnya kerana gelap, selain air yang tenang dan jernih dari telaga
itu. Bagaimana perasaan Yusuf dan apakah gerangan yang menjadi pemikirannya
ketika itu, susah kita menekanya. yang terang, ingatannya selalu pergi kepada
bapanya yang begitu sayang dirinya. Terbayang dalam fikiran Nabi Yusuf
bagaimana sedih bapa yang ditinggalkannya, sedih yang tidak dapat dibayangkan
dengan pena atau lisan.
Laparpun mulai
menyerang perutnya. Tetapi di mana dia akan beroleh makanan? dan berapa lamakah
dia akan dapat menahan lapar? Semuanya itu diserahkannya bulat-bulat kepada
Allah S.W.T yang Maha Kuasa lagi Amat Bijaksana. Dalam menanggung rasa sedih
dan lapar yang sedang memuncak itu, tiba-tiba terdengar jelas wahyu Ilahi
menembusi jiwanya: ‘Sabar dan tabahlah engkau, hai Yusuf! Aku Tuhanmu akan
memberi jalan lepas kepadamu, Aku pertemukan engkau dengan saudara-saudaramu
itu, tetapi sesudah bertahun-tahun kemudian.’
Setelah
menerima wahyu yang demikian bunyinya, hilanglah kesedihan dan kesengsaraan
batin yang diderita Yusuf. Baginda menunggu bagaimana caranya bantuan Allah S.W.T
itu datang kepadanya. Sejurus kemudian, telinganya mulai mendengar detak-detik,
gerak dan geri di atas padang pasir sekitar telaga itu. Telinganya dipasangnya
sebaik-baiknya
Terbukti
bahawa suara itu semakin dekat dan semakin terang. Akhirnya ternyata bahawa
suara itu adalah suara tapak kaki manusia yang sedang berjalan. Ternyata
akhirnya, bahawa dekat tempat itu sedang lalu satu kafilah, iaitu rombongan
musafir unta di padang pasir. Bibir Nabi Yusuf mulai memperlihatkan senyuman,
kembang harapan mulai merekah dan terbuka dalam kalbunya. Saat terlepas rupanya
sudah dekat waktunya.
Terdengar
jelas, para musafir itu melepaskan tongkat mereka di tepi telaga itu, tanda
bahawa mereka mengambil tempat itu sebagai tempat istirahat. Terdengar pula
suara pemimpin kafilah memerintahkan seseorang untuk mengambil air dari telaga
itu untuk melepaskan dahaga mereka serta dahaga unta-untanya.
Sebuah
gayung air yang besar meluncur dari atas ke dalam telaga itu, tepat jatuhnya di
hadapan Nabi Yusuf; dengan segera Nabi Yusuf merangkul gayung itu serta
berpegang dengan kedua tangannya pada tali gayung. Tali ditarik orang ke atas,
akhirnya tiba di permukaan bumi. Baru saja orang yang menarik gayung itu
melihat wajah Nabi Yusuf yang sedang berpegang pada tali gayung itu, dia
menjerit sekuat hatinya kerana gembira: ‘Nah, alangkah untungnya, ini adalah
seorang anak, anak yang cantik molek.’ Segera Nabi Yusuf dikerumuni oleh semua
manusia yang turut dalam rombongan kafilah itu. dengan riang gembira dan penuh
kehairanan, dari mana datangnya anak ini.
Akhirnya
mereka sepakat akan menjual Nabi Yusuf, bila sudah tiba di kota yang mereka
tuju; kerana begitu kehendak sebahagian mereka yang ingin mendapatkan
keuntungan untuk diri sendiri, kendatipun ada pula di antaranya yang
berperikemanusiaan, ingin mengembalikan Nabi Yusuf kepada orang tuanya, atau
ingin menjadikan Nabi Yusuf sebagai anak angkat.
Kafilah itu
lalu meneruskan perjalanan menuju ke negeri Mesir. Nabi Yusuf dibawa ke pasar
hamba untuk dijual. Akhirnya Nabi Yusuf dijual dengan tidak banyak tawar
menawar, hanya dengan beberapa dirham saja. Mereka jual dengan murah, ada yang
kerana kasihan dan keikhlasan hati, ada pula yang kerana takut kalau-kalau
menjadi perkara yang berpanjangan. yang sebenarnya seluruh kekayaan yang ada di
permukaan bumi ini, belum tentu cukup untuk harga diri Nabi Yusuf yang mulia
dan suci itu. Nabi Yusuf dibeli oleh seorang pembesar negara Mesir, yang
memegang tampuk kekuasaan dalam negara itu, Futifar namanya. dan juga menjadi
salah seorang menteri yang terbesar.
dengan
gembira dan rasa beruntung, pembesar itupun segera membawa Nabi Yusuf pulang ke
rumahnya, lalu ditunjukkan kepada isterinya sambil berkata: ‘Anak ini menurut
tanda-tanda yang aku lihat pada dirinya dari keterangan tabiat dan wajahnya,
adalah seorang anak yang berasal dari orang yang mulia dan terhormat. Terimalah
dia dalam kekeluargaan kita, beri tempat yang terhormat kepadanya, jangan
diperlakukan sebagai khadam, jangan dianggap sebagai hamba belian, kendatipun
dia memang kita beli sebagai hamba. Aku yakin, bila anak ini sudah dewasa,
menjadi orang yang berumur, akan memberi manfaat kepada kita, atau mari kita
ambil dia sebagai anak angkat kita sendiri.’
Isteri
pembesar itupun turut senang dan gembira dengan adanya Nabi Yusuf di
kalangannya, seperti anaknya sendiri yang berkebetulan dia sendiri tidak punya
anak.
Begitulah
Nabi Yusuf tinggal di rumah itu seperti rumahnya sendiri. Baginda turut
mengerjakan segala sesuatu yang wajar dikerjakannya, dengan rajin dan penuh
dipercayai sebagai keluarga, bukan sebagai hamba atau khadam. Baik lakunya
terhadap anggota rumah tangganya, begitu juga terhadap tetangga dan orang-orang
yang berdekatan dengan baginda.
Nabi
Yusuf Dalam Penjara
Nabi Yusuf masuk penjara bukanlah
kerana mencuri atau membunuh, tetapi kerana desakan dari isteri pembesar yang
memeliharanya dan kerana doanya sendiri kepada Allah S.W.T, kerana tidak tahan
baginda di tengah-tengah masyarakat yang selalu menggodanya. Sungguhpun begitu
dalam penjara baginda sebilik dengan perompak dan pembunuh, penjahat-penjahat
besar yang kasar dan tidak berbudi. Disebabkan pergaulan dengan mereka, makin
kuatlah imannya, makin tabah hati dan jiwanya, makin banyak rahsia masyarakat
dapat diketahuinya, makin besar keagungan Ilahi dapat dirasakannya.
Selama
tinggal di dalam penjara itu, waktunya selalu digunakan untuk merawat
orang-orang yang sakit, memberi nasihat kepada yang bersalah dan berdosa,
mengajar berbagai ilmu dan hikmat yang suci kepada penjahat-penjahat itu, lalu
pada suatu hari datanglah kepadanya wahyu yang pertama, menyatakan baginda
diangkat Allah S.W.T menjadi Nabi dan Rasul-Nya.
Seterima
wahyu yang pertama itu segera Nabi Yusuf menjalankan tugas kerasulannya di
dalam masyarakat penjara itu dengan menyeru mereka kepada menyembah Allah S.W.T,
menjauhkan kesyirikan dan kejahatan. Dinyatakannya kepada mereka, bahawa
baginda adalah Nabi dan Rasul Allah S.W.T yang diberi perintah untuk membawa
mereka ke jalan yang benar. Tiba-tiba masuklah pula ke dalam penjara itu dua
orang pemuda. yang pertama bekas tukang kebun raja, sedang yang kedua-dua
bendahara raja. Setelah lama hidup dalam masyarakat penjara dan merasa sengsara
dan kesusahan, tiba-tiba pada suatu malam kedua-dua-dua pemuda itu bermimpi,
mimpi yang aneh dan ajaib, sehingga mereka jadi gelisah sebelum dapat
mengetahui akan takwil mimpi masing-masing.
Tidak lain
yang mereka harapkan untuk mentakwilkannya, selain dari Nabi Yusuf, kerana
hanya Nabi Yusuf yang paling mereka percayai, juga sudah mereka ketahui, bahawa
Nabi Yusuf adalah Nabi dan Rasul Allah S.W.T. dengan kenabian dan kerasulannya
itu, tentu baginda mengetahui banyak rahsia yang ajaib, begitu juga berkenaan
dengan takwil mimpi. Pagi-pagi lagi pemuda itu telah datang menghadap Nabi
Yusuf.
Mula-mula
berkata tukang kebun raja menceritakan mimpinya: ‘Aku bermimpi bahawa aku
sedang berada dalam sebuah kebun kurma yang sangat lebat buahnya, menghijau
warnanya dan seakan-akan di tangan aku ini ada sebiji gelas kepunyaan raja;
dengan gelas itulah aku memeras buah-buah kurma untuk dijadikan air
anggur.’
Berkata pula
orang yang kedua-dua, iaitu bendahara raja: ‘Aku bermimpi bahawa aku membawa
sebuah keranjang di atas kepala aku yang penuh dengan bermacam-macam roti dan
makanan. Tiba-tiba terbang melayang di atas kepala aku burung-burung helang,
lalu menyambar akan semua roti dan makanan itu, dibawanya terbang ke tempat
yang sangat jauh.’
Sebelum
menerangkan akan takwil mimpi kedua-dua-dua pemuda itu, Nabi Yusuf mengambil
kesempatan dahulu untuk menjalankan dakwahnya terhadap orang ramai dengan
berkata: ‘Aku ini adalah Nabi dan Rasul Allah S.W.T. Aku akan kemukakan takwil
mimpi kedua-dua pemuda ini dengan apa yang diwahyukan Allah S.W.T kepada aku,
wahyu yang sudah barang tentu akan kebenarannya. Bukan seperti tukang-tukang
tenung dan nujum yang hanya menggunakan pertolongan syaitan yang menjadi musuh
Allah S.W.T, dan belum tentu kebenaran terkaan terhadap tenungannya
itu. Sekarang akan aku terangkan takwil mimpi kedua-dua pemuda ini menurut
apa yang diwahyukan Allah S.W.T kepada aku, yang boleh kamu jadikan bukti atas
kebenaran apa yang aku kata dan ajarkan kepadamu...’
‘Takwil
mimpi pemuda pertama, ialah bahawa dia segera akan keluar dari penjara ini dan
kembali bekerja seperti sebelum masuk penjara iaitu menjadi tukang kebun raja.
Adapun takwil pemuda yang kedua, ialah bahawa dia akan dihukum salib,
bangkainya akan dimakan oleh burung-burung.’
Kemudian
kepada pemuda yang akan keluar dari penjara itu, Nabi Yusuf berpesan, agar
disampaikan kepada raja, bahawa di dalam penjara ini ramai orang yang tidak
bersalah yang dihukum, hanya dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar belaka,
agar hal ini mendapat perhatian raja sepenuhnya. Kebenaran takwil mimpi yang
diterangkan Nabi Yusuf ini ternyata kemudian dan Nabi Yusuf bertahun-tahun
lamanya masih tetap merengkuk dalam penjara.
Cubaan yang
Jauh Lebih Hebat
Penghidupan tenang di rumah
pembesar itu, Nabi Yusuf telah dapat melupakan akibat susah hati selama dalam
telaga, ataupun kesedihan bercerai dengan bapanya yang disayangi. Baginda
semakin besar dan usia remaja dengan tampan mukanya yang manis, sifat
perangainya yang baik, hidup yang teratur. Ditambah pula dengan hiasan yang
dipakaikan kepadanya semakin menarik dan kacak. Kerana kekacakan wajah inilah
menyebabkan baginda kembali merasakan cubaan yang jauh lebih hebat dari yang
sudah sudah.
Setelah Nabi
Yusuf melewati zaman kanak-kanak dan memasuki usia remaja, dengan kekacakan
rupanya itu telah menyebabkan timbul rasa yang tidak dapat dihalang dalam kalbu
isteri pembesar yang memelihara Nabi Yusuf. Menjadi impian baginya segala
gerak-geri Nabi Yusuf, cara datang dan pergi, cara berdiri dan duduk,
lebih-lebih lagi cara berkata-kata, ditambah dengan halus budi dan akhlaknya.
Bahkan menarik hati cara tidur dan jaga, gerak-geri pada waktu makan dan pada
waktu minum, pendek kata segala gerak dan diamnya.
Kasihnya
selama ini terhadap Nabi Yusuf menjadi semacam tumbuhnya cinta asmara. dan
cinta itu bila telah tumbuh, walau macam mana penghalangpun namun ia tidak
dapat dihalang. Berbeza dengan tumbuh-tumbuhan bumi, makin dihalang makin subur
tumbuhnya, makin kuat tunasnya dan makin dalam jalan urat dan akarnya. Dia tahu
yang dia tidak sepatutnya menaruh cinta terhadap Nabi Yusuf, anak angkatnya. Lebih-lebih
lagi dia seorang isteri pembesar yang paling tinggi di negara Mesir.
Bagaimanakah
cara dia akan menyalurkan cintanya ini? Inilah masalah yang besar yang
dihadapinya, dan inilah masalah yang sukar yang perlu dia pecahkan segera.
Cintanya semakin mendalam hari demi hari. Kerana hebatnya, kadang-kadang pada
suatu waktu cintanya itu telah mendesak mahu memecah benteng hawa dan nafsu. dengan
seluruh kekuatan jiwa dan raga yang ada padanya, dicubanya menahan cinta,
mengekang hawa. Inilah perjuangan yang dihadapi dalam rumah tangga dan dalam
dirinya sendiri saban hari dan malam dengan tidak henti-henti. Kerana kerasnya
mengerahkan seluruh kekuatan dalam perjuangan ini, kelihatanlah badannya
semakin kurus dan warnanya semakin pucat. Tetapi terus memeras kekuatan jiwanya
menahan serangan cinta dan hawa nafsu tersebut.
Malang
baginya, dia rupanya tidak menang dalam perjuangan ini, tetapi kalah dan
terpaksa menyerah kepada hawa nafsunya. Ingat dia akan kedudukannya, tetapi
diketepikan saja kedudukannya itu. Tahu pula yang kerjanya itu nanti akan
menggegarkan mahligai dan istana yang dia diami itu, bahkan akan menggoyangkan
seluruh tanah air Mesir yang dipimpin suaminya. Tetapi, dia terpaksa menyerah
kalah.
Mulai dia
mengajak Nabi Yusuf berbicara memujuk rayu. Tetapi Nabi Yusuf seorang yang
terhormat. Akhirnya si isteri itu penat dan bosan hanya dengan pujuk rayu, dia
ingin berterus-terang kepada Nabi Yusuf. Setelah dia memakai sebaik-baik
pakaian yang ada padanya, berwangi-wangian dengan minyak wangi yang paling
tersohor harumnya, tatkala di rumahnya itu hanya dia bersama Nabi Yusuf saja,
lalu ditutuplah semua pintu dan jendela, terus datang mendekati Nabi Yusuf dan
berkata: ‘Marilah Yusuf dekati aku!’
Kendatipun
Nabi Yusuf dalam usia remaja, tetapi kerana dadanya sudah dipenuhi Allah S.W.T
dengan hikmat, jiwanya sudah dikuasai oleh wahyu Ilahi sebagai seorang bakal
diangkat Allah S.W.T menjadi Nabi, dapatlah baginda mengatasi suasana genting
dan berbahaya itu.
Nabi Yusuf
menjawab ajakan itu: ‘Aku berlindung diri kepada Allah S.W.T dari apa yang
engkau kehendaki itu. Jauhkan aku akan berbuat khianat terhadap tuanku yang
telah memelihara diriku ini, tidak akan kucemarkan dia yang kuhormati ini.’
Sungguh hebat cubaan yang dihadapi dan perlu diatasi Nabi Yusuf
Mendengar
jawapan Nabi Yusuf itu dan setelah ternyata segala daya upayanya untuk
menyampaikan niatnya dengan Nabi Yusuf tidak tercapai, timbullah marah dalam
dadanya, marah yang membakar seperti cintanya yang berkobar-kobar juga.
Timbul niat
jahat dalam hatinya terhadap Nabi Yusuf, ingin membalas dendam, kendatipun
dengan cara yang jahat. Dalam berfikir-fikir tindakan apa yang harus dilakukan
Nabi Yusuf menghadapi kejadian itu, tiba-tiba datanglah wahyu Ilahi kepadanya,
di mana dinyatakan, bahawa Nabi Yusuf lebih baik lari saja dari tempat kejadian
itu. Nabi Yusuf segera menjalankan apa yang tercatat dalam wahyu itu. Baginda
lari menuju ke pintu. Tetapi bajunya dapat dipegang oleh perempuan itu dari
belakang sampai koyak!
Tepat ketika
itu tuan rumah (pembesar) datang dan membuka pintu dari luar, kelihatan dengan
dua mata kepalanya sendiri apa yang sedang terjadi dalam rumahnya, antara Nabi
Yusuf dan isterinya. Keadaan sungguh meragukan terhadap si suami, siapakah yang
menjadi pokok pangkal segala kejadian ini? Di situlah keluar sifat-sifat
kejahatan seorang perempuan, ada saja akal untuk menutup kejahatan dirinya,
untuk menyalahkan orang yang sebenarnya tidak bersalah.
Perempuan
itu lalu berkata kepada suaminya: ‘Yusuf sudah merosakkan kehormatan dirimu,
tidak menjaga akan kedudukanmu. Dia akan mengotori aku, memaksa mendatangi aku.
Maka apakah gerangan balasan yang setimpal bagi orang yang ingin mencemarkan
kehormatanmu dan isterimu sendiri, selain penjara dan seksaan yang
sepedih-pedihnya.’
Nabi Yusuf
terpaksa berterus-terang menerangkan apa yang sebenarnya sudah terjadi dan
berkata: ‘Bahawa dialah yang mendatangi diriku!’ Sejurus kemudian masuklah ke
situ anak bapa saudara perempuan itu sendiri; seorang yang bijaksana lagi
lurus, dapat menghukum dengan adil. Setelah dia mendengar berbagai-bagai
keterangan yang bertentangan itu, dia lalu berkata: ‘Bila baju Yusuf itu koyak
bahagian depan, maka benarlah perempuan itu dan Yusuflah yang berbohong; tetapi
bila baju Yusuf itu koyak bahagian belakangnya, maka Yusuflah yang benar,
perempuan itulah yang bohong.’
Setelah
dilihat bahawa yang koyak itu adalah baju Nabi Yusuf bahagian belakang, maka
teranglah sudah bahawa Nabi Yusuf tidak bersalah, hanya perempuan itulah yang
mendatanginya. Pembesar itu lalu berpaling kepada isterinya dan
berkata: ‘Memang ini adalah tipu daya perempuan dan kecemarannya, minta
ampunlah engkau atas dosamu itu, kerana sudah terang engkaulah yang bersalah.’
Kepada Nabi Yusuf pembesar itupun berkata: ‘Engkau sendiri, hai Yusuf,
hendaklah menahan lidahmu dari bercakap tentang kejadian ini, jangan kejadian
ini sampai diketahui orang ramai.’
Tetapi walau
bagaimana juga, kejadian itu ditutup tutup, namun lambat-laun diketahui orang
ramai juga. Memang sepandai-pandai orang membungkus yang busuk, akhirnya berbau
juga. Khabar ini telah tersiar luas di dalam kota, setiap hari menjadi buah
bibir setiap perempuan, bahkan telah menjadi pembicaraan setiap raja dan
keluarga istana di mana-mana: ‘Isteri Aziz (Pembesar) itu terpedaya oleh anak
peliharaannya yang berbangsa Ibrani, jatuh cinta kepadanya kerana kacaknya anak
itu, cinta yang telah membawa dia mencemarkan kehormatan istana dan
kedudukannya, menurutkan nafsu. Sedang anak itu bukan main baik dan zuhudnya,
tidak tertarik kepada kecantikan perempuan pembesar itu kerana jiwanya yang
suci, dapat menahan nafsu remajanya dengan keyakinannya yang tebal.’
Lama
kelamaan khabar itu makin tersebar luas, malah banyak ditambah di sana sini
dengan berbagai-bagai cerita, sehingga banyak pula yang sampai ke telinga
isteri pembesar itu sendiri. Sedih dan marah dia mendengar tambahan-tambahan
yang tidak benar itu. Tetapi apa yang dapat dia lakukan? Semua senjata akan
tumpul kalau berhadapan dengan suara orang ramai, suara perempuan-perempuan
pula.
Lama dia
berfikir untuk mencari jalan yang sebaik-baiknya untuk membalas kata-kata yang
tidak benar itu, tetapi jalan itu tidak kelihatan sedikit pun. Dia terus
mencari dan berfikir. Akhirnya dia mendapat akal dan jalannya. Dia mengundang
semua perempuan kota datang ke rumahnya menghadiri satu pesta besar yang
diadakannya berhubung dengan hari besar. Tempat diatur sebagus-bagusnya,
makanan disediakan seenakenaknya, minum-minuman berbagai rupa, buah-buahan yang
ranum manis.
Undangan ini
mendapat sambutan yang hangat sekali dari perempuan-perempuan yang tinggal
dalam kota, lebih-lebih lagi perempuan-perempuan yang menaruh perhatian
terhadap kejadian yang sudah menjadi percakapan orang ramai selama ini. Selain
ingin menjadi tetamu pembesar, juga ingin mengetahui keadaan isteri yang
tergoda dan juga untuk mengetahui anak muda yang bernama Yusuf itu
sendiri.
Bukan main
meriahnya pertemuan itu, perbualan dan ketawa silih berganti. Bermacam-macam
makanan dan minuman tidak putus-putus dihidangkan untuk di santap bersama-sama.
Di akhir sekali dihidangkan pula buah-buahan yang manis manis rasanya. Kepada
masing-masing yang hadir itu diserahkan sebilah pisau untuk memotong dan
mengupas sendiri akan buah-buahan yang disajikan itu.
Ketika
masing-masing yang hadir itu asyik mengupas buah dengan pisau, isteri pembesar
yang menjadi tuan rumah, memerintahkan kepada Nabi Yusuf untuk keluar ke
tengah-tengah pertemuan perempuan itu untuk memperkenalkan dirinya. Nabi Yusuf
keluar, berjalan di antara barisan perempuan yang ramai itu.
Baru saja
perempuan-perempuan itu melihat wajah Nabi Yusuf yang seperti bulan penuh,
rambutnya yang ikal licin, alisnya seperti semut seiring, matanya seperti
kejora pagi, pipinya yang seperti pauh dilayang, bibirnya seperti limau se
ulas, kekacakan terletak pada semua bahagian badannya, terletak pada tiap
gerak-gerinya, maka kagumlah mereka memandangnya, bahkan lupa akan diri
masing-masing, bercampur-aduk akal dan fikiran. dengan tidak sedar pisau yang
ada di tangan masing-masing itu bukan mereka potongkan buah-buahan yang ada di
tangan, tetapi mereka potongkan tangan dan jari mereka sendiri dan tidak pula
mereka merasa sakit perihnya.
Bukanlah ini
manusia, kata mereka dengan kagum. Tetapi adalah Malaikat yang mulia. Melihat
kejadian itu, isteri pembesar itupun bertepuk tangan kegembiraan, kerana
usahanya telah berjaya. Lalu berkata dengan megahnya: ‘Inilah dianya Yusuf yang
selalu kamu cakapkan itu, dan selalu kamu sekalian mencaci maki aku dengan
kata-kata berhubung kejadian antara aku dengan dia baru-baru ini. Sekarang kamu
sekalianpun setengah gila memandangnya, hanya pandangan yang sekejap saja.
Sedang aku setiap hari dan malam melihatnya, memandang duduk dan berdirinya,
datang dan perginya. dengan pandangan yang selintas lalu ini saja kamu telah
lupa akan diri masing-masing. Lihatlah kamu sudah memotong jari jarimu sendiri
dengan pisau. Tidakkah kamu sekalian merasa pedih dan perih dilukai oleh pisau
itu?’
‘Aku akui di
hadapanmu sekalian, memang akulah yang telah jatuh cinta kepadanya dan
mendatanginya, tetapi dia tetap enggan dan berlindung diri kepada Tuhannya, dia
berpaling dan menjauhkan diri. dengan terus terang aku akui di hadapanmu
sekalian, bahawa aku memang tidak begitu kuat untuk menahan hatiku sendiri
terhadap dirinya.’
Berbagai-bagailah
ucapan hadirin perempuan itu terhadap Nabi Yusuf sekarang. Ada yang berkata
bahawa Nabi Yusuf itu Malaikat, sudah sewajarnya kalau isteri pembesar itu
terpedaya olehnya. Ada pula yang kagum melihat ketabahan jiwa Nabi Yusuf
menghadapi isteri pembesar yang kaya dan cantik itu, sehingga baginda tidak
tersesat dan tetap enggan, kendatipun baginda tahu yang isteri pembesar itu
selain cantik dan kaya, besar pula kekuasaannya. Bila Nabi Yusuf dapat
menurutkan kehendaknya, tentu seluruh kekayaan dan kehebatan isi istana itu
dapat pula dikuasai Nabi Yusuf. Kenapa baginda tidak mahu dan tetap enggan? dan
sekiranya Nabi Yusuf menolak kehendak perempuan itu, baginda dapat melakukan
apa yang dikehendakinya terhadap Nabi Yusuf, mungkin akan dibunuh atau dibuang
jauh. Apakah Nabi Yusuf tidak takut kepada semua itu?
Mendengar
semua itu, Nabi Yusuf hanya berlindung diri kepada Allah S.W.T, bertunduk
kepala berdoa agar baginda dijauhkan Allah S.W.T dari tipu daya perempuan: ‘Ya,
Tuhanku! Penjara yang gelap lagi sempit itu lebih baik bagiku daripada dalam
istana tetapi menghadapi perempuan-perempuan cantik yang selalu menggoda itu.
Mudah-mudahan dalam penjara itu nanti dapatlah aku bertambah sabar, dapat
menghitung nikmat dan pemberian Engkau, dapat menyelami rahsia kebesaran
Engkau, ya Allah. Kalau aku di sini, ya Allah, selalu berhadapan dengan
perempuan-perempuan yang menggoda aku, aku takut dan bimbang kalau-kalau
semangatku lemah, imanku luntur, syaitan menang dalam menggodaku sehingga aku
terperosok masuk ke lembah kehinaan dengan mereka. Ya Allah, penjara lebih baik
bagiku daripada tergoda seperti ini, jauhkan juga aku dari penggodaan itu, dan
aku adalah hamba-Mu yang bodoh.’
Isteri dari
pembesar sendiripun kerana tidak tahan berhadapan dengan Nabi Yusuf, minta
kepada suaminya, supaya Nabi Yusuf dikurung saja dalam penjara. Permintaan ini
dikemukakan dengan tidak boleh ditawar-tawar lagi.
untuk
melepaskan perempuan itu dari kesengsaraan batinnya, juga untuk mengabulkan doa
Nabi Yusuf kepada Tuhannya, tidak lama kemudian Nabi Yusufpun dimasukkan ke
dalam penjara, ditutup seperti orang-orang jahat, kendatipun baginda sendiri
tidak pernah berbuat jahat. Dalam penjara itu baginda bekerja sebagaimana
banduan-banduan penjara lainnya. Semua dilakukannya dengan penuh kesabaran.
Dalam penjara itulah Nabi Yusuf menghabiskan hari muda remajanya yang kacak itu
dan di dalam penjara itu jugalah mula-mula sekali datang kepadanya wahyu Allah S.W.T
yang pertama, dengan wahyu mana baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul Allah S.W.T.
Penjara dan telaga Jub yang sebelumnya itulah rupanya menjadi tempat latihan
untuk menerima risalahnya, sebagaimana Gua Hira bagi Nabi Muhammad S.A.W.,
sengsara dalam pengembaraan bagi Nabi Ibrahim dan lain-lain.
Menakwil
Mimpi Raja
Raja sendiri akhirnya bermimpi
yang sangat aneh pada suatu malam, sehingga beliau berasa gelisah, takwil
apakah gerangan dari mimpinya yang aneh itu. Lalu dipanggilnya semua orang
cerdik pandai, tukang telek dan pembesar-pembesar kerajaan. Ditanyakan kepada
mereka itu kalau ada yang tahu akan takwilnya dengan berkata: ‘Aku bermimpi
melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus.
Aku lihat pula tujuh tangkai gandum yang subur dan tujuh tangkai pula yang
kurus kering.’
Tidak
seorangpun di antara yang dapat mentakwilkan mimpi raja. Mereka mengatakan
bahawa itu adalah mimpi perintang tidur saja dan ada pula yang mengatakan
pengaruh angan-angan sebelum tertidur. Masing-masing tidak mengetahui akan
takwil mimpi tersebut.
Sungguhpun
begitu, raja belum juga senang hatinya, tetap gelisah. Lebih-lebih lagi setelah
dikaji dan diselidiki dalam sejarah hidupnya sendiri, belum pernah baginda
bermimpi seperti itu, tidak pernah pula baginda mendengar orang lain bermimpi
demikian. Keinginannya untuk mengetahui takwil mimpi tersebut bukan
berkurangan. Setelah tukang kebun raja mendengar khabar ini, dia segera
teringat akan Nabi Yusuf yang sedang merengkuk dalam penjara yang pernah
mentakwilkan mimpinya sendiri dengan tepat. Dia dengan cepat datang menghadap
raja dan berkata: ‘Ya tuanku, di dalam penjara ada seorang pemuda yang mulia,
mempunyai fikiran yang dalam, pemandangan yang luas, dapat membukakan
keajaiban-keajaiban alam dengan akalnya, dapat mentakwilkan mimpi dengan tepat.
Tuanku utuslah aku ke sana pasti aku kembali dengan membawa takwil mimpi tuanku
itu dengan yakin kebenarannya.’
Raja gembira
mendengar pendapat tukang kebunnya itu. Baginda lalu mengutus tukang kebunnya
itu menemui Nabi Yusuf di dalam penjara. Sesampainya di penjara utusan itu
berkata: ‘Ya Nabi Yusuf, saudaraku yang mulia, aku datang mengganggu akan
ketenanganmu. Aku minta fatwa tentang mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk
dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, lantas melihat tujuh tangkai gandum
yang rimbun dan tujuh tangkai pula yang hampa serta kering. Mudah-mudahan
dengan takwil yang akan engkau berikan itu dapatlah engkau diketahui oleh umum
kaumku dan berterima kasih kepada engkau atas segala kelebihan dan kebaikan
engkau itu.’
Nabi Yusuf
menjawab dan menerangkan, bahawa takwil mimpi itu adalah bahawa negara kita
menghadapi masa tujuh tahun yang penuh dengan segala kemakmuran dan
keselamatan, berkembang biaknya segala ternakan, tumbuh subur semua tanaman,
semua orang akan merasa senang dan bahagia. Tetapi sebaik habis tujuh tahun
itu, akan menyusul pula tujuh tahun masa yang penuh dengan kesengsaraan dan
kesusahan hidup, ternakan tidak berkembang biak, tanaman tidak berbuah, udara
panas dan kering, air kurang dan manusia menderita kelaparan yang hebat. Tetapi
sesudah habis kedua-dua masa itu, akan datang pula masa selanjutnya yang makmur
dan tenteram, masa suburnya tumbuh-tumbuhan dan ternakan, masa memperbaiki
segala kerosakan negeri. Pada masa itu setiap rakyat akan dapat merasakan
lazatnya berbagai buah-buahan. Itulah takwil mimpi tersebut menurut apa yang
diwahyukan Allah S.W.T kepada aku. Oleh kerana itu, bila apa yang aku nyatakan
ini terbukti nanti, maka hendaklah pada masa tujuh tahun yang makmur dan damai
itu, digunakan sebaik-baiknya untuk menyimpan segala gandum yang masih
bertangkai, untuk digunakan bagi mengurangi kesengsaraan dan kelaparan umat
pada tujuh tahun berikutnya. Keperluan makan selama tujuh tahun pertama,
baiknya hanya dipakai sekadar perlu saja.’
Setelah raja
diberitahu tentang takwil mimpinya itu, raja mengakui bahawa takwil itu memang
terbit dari pemandangan dan fikiran yang dalam dan jauh ke hadapan. Raja
memerintahkan agar Nabi Yusuf dibawa ke hadapannya, dengan harapan
mudah-mudahan baginda mempunyai pandangan-pandangan yang lain yang berguna dan
ilmu-ilmunya yang perlu untuk keselamatan bersama. Utusan raja kembali
mendatangi Nabi Yusuf dan mengkhabarkan akan keputusan dan panggilan raja
terhadap dirinya: ‘Raja memanggil engkau, ya Yusuf, kerana raja memerlukankan
nasihat-nasihatmu dan akan mengangkat engkau ke darjat yang tinggi,’ demikian
kata utusan itu mengajak Nabi Yusuf.
dengan
tenang Nabi Yusuf memenuhi panggilan tersebut. Baginda keluar dari penjara
gelap, sudah bertahun-tahun lamanya hidup di situ dengan tidak pernah melihat
wajah bulan purnama. Sekian lama baginda hanya memakan makanan penjara yang
kering, kurang garam. Sekian lama juga hanya tidur di atas tikar yang terhampar
di atas tanah yang terdiri dari gurun pasir. Tetapi sebelum keluar baginda
minta lebih dahulu kepada raja, untuk memanggil semua perempuan yang sudah
memotong tangan mereka sendiri dengan pisau, untuk diterangkan kepada mereka
bahawa baginda sendiri tidak bersalah apa-apa dalam hal itu, hanya merekalah
yang bersalah dan berdosa. Rajapun segera memanggil semua perempuan yang
memotong jarinya itu dan berkata: ‘Bagaimanakah pandangan kamu sekalian
terhadap Yusuf, kerana beliau akan aku lepaskan dari penjara.’
Mereka
menjawab, bahawa Nabi Yusuf seorang pemuda yang suci murni, tidak pernah
bersalah dan berbuat yang tidak baik. Berkata pula isteri pembesar yang telah
tergoda dan yang memelihara Nabi Yusuf pada waktu itu: ‘Memang sudah terlalu
lama Nabi Yusuf di dalam penjara tanpa kesalahan apa-apa. Akulah yang bersalah
kerana tidak dapat menahan hawa nafsu terhadap dirinya. Aku tahu bahawa beliau
selalu menjaga kehormatanku dan kehormatan suamiku, tetap memegang teguh ajaran
Tuhannya. Akulah yang menyebabkan dia masuk penjara, Akulah yang menyebabkan
dia menanggung sengsara demikian rupa. dengan pengakuan ini aku akui bahawa
akulah yang mengajak dia menghampiri aku dan dia segan akan ajakan aku itu.’
Dilantik
Menjadi Menteri
dengan pengakuan para perempuan
dan isteri pembesar itu sendiri bersihlah Nabi Yusuf dari segala sangka dan
tuduhan selama ini. Bukan bersih semata-mata, malah bertambah baik namanya di
kalangan masyarakat ramai, setelah setiap orang yang keluar dari penjara itu
menerangkan dalam masyarakat akan sifat dan perangai Nabi Yusuf di dalam
penjara.
Atas segala
keterangan ini, raja menjadi tertarik hatinya untuk melantik Nabi Yusuf menjadi
ajudan raja, lalu raja berkata kepadanya: ‘Berdasarkan apa yang aku ketahui
tentang dirimu, budi-pekertimu, pandangan dan pengetahuanmu, maka mulai hari
ini engkau kuangkat menjadi aminku, menjadi orang kepercayaan tempat aku
bertanya meminta nasihat-nasihat. Maka engkau mulai hari ini berkuasa atas
kerajaan kita ini, engkau berkewajiban memperbaiki yang kurang baik dalam
negara dan memajukannya menurut apa yang engkau rasa baik. Semuanya aku
serahkan kepadamu untuk memutuskan dan mengendalikan-nya.’
Kerana Nabi
Yusuf sudah tahu apa yang akan terjadi sebagaimana bunyi takwil mimpi yang
sudah ditakwilkannya itu, di mana akan datang masa makmur, maka Nabi Yusuf
minta supaya kepadanya diserahkan kementerian kemakmuran, ekonomi dan kewangan,
kerana Nabi Yusuf tahu bahawa makanan dan wanglah yang menjadi pokok pangkal
keselamatan dan kesengsaraan sesebuah negara di atas dunia ini. Baginda minta
kedudukan-kedudukan itu kepada raja dengan keyakinan, bahawa baginda dapat
menghindarkan umat dari kesengsaraan dan kelaparan yang akan datang tersebut.
Permintaan
Nabi Yusuf dipenuhi raja. Baginda menjadi seorang menteri yang berkuasa penuh.
Demikianlah caranya Allah S.W.T telah menempatkan Nabi Yusuf di tempat yang
selayaknya, sesudah bertahun-tahun lamanya di dalam latihan dan penjara.
Kendatipun baginda bekas penghuni penjara tetapi semua perkataannya didengar
dan diturut orang, segala aturan yang dibuatnya dapat dijalankan rakyat dengan
patuhnya; baginda menjadi buah bibir dan kecintaan rakyat yang diperintahnya,
juga dicintai oleh raja-raja lain yang menjadi jiran negaranya. Kendatipun
sebelum ini baginda pernah dipenjarakan, dibuang ke dalam telaga,
diperjualbelikan dan sebagainya.
Sudah tujuh
tahun Nabi Yusuf memegang tampuk kekuasaan, menjalankan rencana politik dan
kemakmuran. Negeri Mesir menjadi bertambah makmur, rakyatnya semakin
bersatu-padu, taat dan berdisiplin. Masa tujuh tahun itu digunakan
sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan gandum simpanan, untuk menghadapi masa
tujuh tahun yang panas dan terik, yang sengsara dan lapar itu.
Masa tujuh
tahun berikutnya itupun datanglah. Kerana terik dan panasnya, tidak terdapat
air mengalir, sehingga matilah semua binatang dan tanaman, maka melaratlah
semua penduduk negeri. Tetapi kerana persediaan yang cukup yang telah
diselenggarakan oleh Nabi Yusuf selama tujuh tahun berturut-turut, maka tidak
seorangpun di antara rakyat Mesir yang mati kelaparan musim tersebut.
Kesengsaraan dan kelaparan tatkala itu bukan hanya menimpa negeri Mesir saja,
tetapi menimpa juga negeri-negeri yang berdekatan dan berjiran dengan Mesir
sampai ke Kanan, di mana bertempat tinggal Nabi Yaakub dengan anak-anaknya yang
dinamakan Asbat itu.
Kebaikan
perekonomian Mesir ketika yang genting itu dikenal oleh negara-negara yang
berjiran dengan Mesir. Orang ramaipun sudah mengerti bahawa Mesir dipimpin oleh
seorang menteri yang amat pintar, yang adil dan berbudi tinggi. Kerana itu,
bangsa-bangsa dan Negara-negara yang terletak di sekitar Mesir itu kendatipun
berlainan bangsa dan warna kulit, tidak malu-malu datang minta pertolongan di
Mesir untuk mengatasi kesengsaraan rakyat di negara masing-masing.
Saudara
Datang Mengadap
Pada suatu hari Nabi Yaakub yang
sudah sangat tua dan buta matanya itu berkata kepada anak-anaknya: ‘Hai
anak-anakku, kesengsaraan ini akan menimpa diri kita juga. Sebab itu cubalah
kamu pergi, beri pelanalah unta-untamu itu, pergilah menuju ke negeri Mesir, di
mana sekarang ini berkuasa seorang yang paling adil dan baik, namanya masyhur
ke mana-mana. Kerana kebijaksanaannya, Mesir tetap tidak kelaparan dan tetap
makmur. Cubalah minta pertolongan kepada pembesar yang adil berbudi itu. Tetapi
janganlah kamu pergi dengan membawa Bunyamin. Biarlah dia tinggal bersamaku di
rumah. Kalau tidak begitu dengan siapakah aku akan berhibur sedih sepeninggalan
kamu sekalian, menjelang kamu kembali. Aku doakan mudah-mudahan kamu selamat
dalam perjalanan, dilindungi oleh Allah S.W.T dan ditunjukkan-Nya pula jalan
yang lurus.’
Pada suatu
hari, penjaga pintu kamar kerja Nabi Yusuf mengetuk pintu, lalu masuk dan
berkata kepada Nabi Yusuf: ‘Di luar ada sepuluh orang lelaki, yang kelihatan
persamaan keadaan mereka dan kelihatan dari wajah mereka bahawa kedatangan itu
bukan dengan niat yang kurang baik. Mereka kelihatannya asing di negeri kita
ini, berlaku sebagai tetamu dari jauh. Itu terbayang dari bahasa dan
gerak-gerinya sebagai orang baru yang agak kehairanan. Mereka minta izin masuk,
ingin bertemu dengan engkau, hendak mengemukakan hal-hal yang mereka bawa
berhadapan mata dengan engkau.’
Setelah Nabi
Yusuf memberi izin, merekapun masuk. Semuanya adalah saudara-saudara Nabi Yusuf
sendiri, anak-anak Nabi Yaakub yang diperintahkan bapanya datang ke Mesir,
untuk minta bantuan bahan makanan. Sebagai seorang yang kuat ingatannya,
bijaksana dan pintar, Nabi Yusuf tidak lupa kepada mereka. untuk kebaikan
dan kelancaran urusan yang menyebabkan kedatangan mereka itu, Nabi Yusuf
mendiamkan apa-apa yang sudah diketahuinya itu terhadap mereka. Sedang mereka
rupanya tidak sedikitpun menyangka, bahawa yang mereka hadapi itu adalah
saudara mereka, yang dahulu pernah mereka buang ke dalam telaga Jub.
Nabi Yusuf
menyambut mereka dengan sebaik-baik sambutan dan diperlakukannya sebagai tetamu
yang istimewa dan terhormat. Mereka dipersilakan duduk di tempat yang
ditentukan, kerana Nabi Yusuf ingin mendengar berita-berita penting dari
mereka, mahu mengetahui keadaan mereka sekarang ini.
Sekarang
mereka sudah duduk bersama di sekitar Nabi Yusuf, Nabi Yusuf mulai bertanyakan
ini dan itu: ‘Kamu sekalian sudah aku sambut sebagai tetamu yang harus
kuhormati dan menjadi haklah bagiku terlebih dahulu untuk bertanyakan sesuatu
hal tentang keadaanmu dan maksud kedatanganmu ke mari. Aku ingin tahu lebih
dahulu siapakah sebenarnya saudara-saudara ini semua?’
Salah
seorang di antaranya menjawab: ‘Ya, Tuanku yang budiman! Kami ini semuanya
bersaudara. yang sebenarnya saudara-saudara kami berjumlah dua belas orang,
semuanya keturunan Nabi yang mulia, Rasul yang besar. Sepuluh orang di
antaranya kami yang dua belas bersaudara itu, diutus oleh Nabi mulia iaitu bapa
kami, untuk menghadap tuan ke mari. Cita-cita kami semuanya bergantung pada
diri tuan seorang. Adapun saudara kami yang kesebelas, kami tinggalkan bersama
orang tua kami, untuk mengurus keperluan bapa kami yang sudah tua dan mengurus
rakyat yang kami tinggalkan. Mengenai saudara kami yang kedua belas, sudah lama
tidak lagi di samping kami. Kami tidak mengetahui, apakah dia sudah diangkat
Allah S.W.T ke rahmat-Nya, ataukah dia masih melayarkan bahtera hidupnya di
bumi luas ini, semua itu tidaklah kami ketahui. Demikianlah keadaan kami yang
sebenarnya.’
Berkata pula
Nabi Yusuf: ‘Aku percaya segala yang kamu kemukakan itu benar semuanya.
Sungguhpun begitu, kebenaran sesuatu keterangan itu kurang jelas bila tidak ada
bukti yang nyata dan dapat dilihat oleh mata. untuk menenangkan hati aku, aku
minta dari kamu sekalian saksi dan bukti kebenaran dari apa yang kamu ceritakan
itu. Bukankah kamu mengatakan tadi bahawa kamu bersaudara sebelas orang
ramainya. Cubalah bawa ke hadapan aku yang seorang lagi, kerana yang ada sekarang
ini hanya sepuluh orang saja.’
Jawab
mereka: ‘Ya, Tuanku! Kami di sini jauh sekali dari kampung halaman kami, jauh
dari keluarga dan kawan-kawan kami. Tidak begitu mudah kami membawa seseorang
saksi dari kampung kami, lebih-lebih lagi kami sudah kekurangan perbekalan
untuk pulang dan kembalinya.’
Jawab Nabi
Yusuf: ‘Aku akan menyediakan perlengkapan dan perbekalan bagimu secukupnya.
Agar kamu kembali ke kampungmu selekas mungkin, bawalah ke mari saudaramu yang
masih tinggal itu, cukuplah dia seorang untuk menjadi saksi dan bukti atas
kebenaran apa yang kamu katakan tadi. Bila kamu kembali bersama dia ke mari,
aku akan menyambutmu lebih gembira dari sekarang ini dan akan aku
lipat-gandakan barang perlengkapan dan perlengkapan kamu. Hanya inilah syarat
dan permintaanku dan hanya ini jugalah janjiku kepada kamu. Tetapi bila kamu
tidak membawa dia ke mari, jangan diharapkan bahawa permintaanmu akan aku
kabulkan dan tidak ada gunanya kedatanganmu kembali nanti.’
Mereka
menjawab pula: ‘Kami sangsi bahawa bapa kami tidak dapat mengizinkan saudara
kami yang seorang itu dibawa ke mari, kami sangsi juga apakah dia cukup
bersabar hati berpisah dengan adik kami itu. Tetapi baiklah akan kami cuba
membawanya dengan keterangan-keterangan yang dapat dia percayai dan semua itu
akan kami jalankan, insya-Allah.’
Nabi Yusuf
lalu memerintahkan kepada orang-orang bawahannya untuk menyediakan perbekalan
dan perlengkapan mereka. Diberinya bekalan yang jauh lebih banyak dan bekalan
tersebut bukan saja merupakan bahan makanan seperti yang diminta mereka, tetapi
ditambah dengan emas perak untuk mereka perjualbelikan, agar mereka benar-benar
kembali ke tempat ini lagi dengan harapan yang tidak kosong. Mereka segera
bertolak kembali ke negeri mereka dengan perasaan lega, disebabkan sambutan
Nabi Yusuf yang sangat memuaskan yang menjadikan kenang-kenanganan mereka,
dengan memperoleh buah tangan dan tandamata yang sangat berharga.
Sebaik tiba
di negeri mereka, segera mereka menemui Nabi Yaakub, menceritakan pengalaman
dan apa yang sudah berlaku antara mereka dengan pembesar Mesir itu sambil
berkata: ‘Kami sudah menemui pembesar itu, ya bapa, rupanya dia adalah seorang
yang sangat baik, seorang menteri yang murah hati, dimuliakannya kedatangan
kami, ditanyakannya hal ehwal kami, diberinya kami tempat sebaik-baiknya,
dilengkapinya kami dengan perbekalan-perbekalan yang banyak dan hadiah yang
berharga. Hanya saja ada sebuah syarat yang dimintanya dari kami, iaitu bahawa
dia tidak akan memberi bahagian apa-apa lagi kepada kami dan tidak akan
mempercayai kami, sebelum kami datang kembali kepadanya sambil membawa saudara
kami kesebelas yang ditinggalkan bersama bapa. Sebab katanya kalau bukti itu
ternyata tidak dapat kami tunjukkan kepadanya, dia tidak percaya akan kebenaran
kata-kata kami itu. Oleh kerana itu izinkanlah adik Bunyamin dibawa oleh kami
esok hari ke Mesir dan akan kami jamin keselamatannya, tidak akan kami
sia-siakan lagi. dengan kedatangan kami bersama dia nanti, akan menambah
berhasilnya atas kedatangan kami itu. Percayalah bapa kepada kami.’
Sambil
mengeluh Nabi Yaakub berkata kepada mereka: ‘Tidak sanggup lagi aku
mengizinkan dia pergi bersamamu. Aku tidak sanggup berpisah dengan dia. Masih
ingatkah kamu sekalian, apa yang terjadi pada Yusuf dahulu? Janganlah kamu cuba
memperdayakanku yang kedua kalinya lagi, cukuplah sudah sekali itu saja aku
ditipu olehmu.’
Mendengar
jawapan itu, lalu mereka membuka semua bungkusan pembawaan mereka. Dikeluarkan
dari bungkusan-bungkusan itu emas dan perak. Kesemuanya mereka serahkan kepada
Nabi Yaakub sambil berkata: ‘Bapa, kami tidak berbohong, inilah buktinya atas
perkataan kami yang sesungguhnya, kami benar-benar telah bertemu dengan
Pembesar Mesir yang ternama itu. Bagaimana benarnya ucapan kami tentang hal
ini, begitu juga besarnya tentang syarat yang diminta oleh pembesar itu.
Percayalah bapa, izinkanlah dia bersama kami besok. Kalau kami tidak kembali
lagi bersamanya, kami akan tebusi dengan jiwa kami sekalian.’
Setelah
Yaakub melihat bukti-bukti kebenaran yang mereka katakan itu, baginda mulai
percaya kepada mereka dan merasakan sendiri akan syarat yang diberikan oleh
Pembesar Mesir itu. Akhirnya baginda mengabulkan permintaan itu dengan
mengizinkan Bunyamin turut serta dalam penjalanan tersebut, tetapi dengan
penjanjian dan ikrar yang keras: ‘Dia harus kembali dengan sihat walafiat,
kalau tidak, kamu akan menerima takdir yang tidak dapat direkakan hebatnya dan
kamu tidak akan diakui sebagai anakku lagi.’
Setelah
mereka menerima baik segala janji dan ikrar itu dengan bersumpah dan
mempertaruhkan keimanan mereka, lalu berkata: ‘Allah S.W.T menjadi saksi atas
segala yang kami katakan itu.’
Mereka
berangkat bersama Bunyamin yang diminta oleh Nabi Yusuf supaya dibawa. Setelah
berjalan jauh, menurun dan mendaki berhari dan bermalam, akhirnya sampailah
mereka di tempat yang dituju, lalu minta izin masuk untuk bertemu dengan Nabi
Yusuf. Baru saja Nabi Yusuf melihat akan saudaranya sendiri turut serta, bukan
main gembiranya baginda untuk memeluk dan menciumi saudaranya itu, tetapi
seluruh perasaannya disembunyikan saja. Mereka dipanggil untuk dijamu
bersama-sama dan diaturnya duduk berdua-dua. Kerana mereka berjumlah sebelas
orang, maka tinggallah Bunyamin duduk menyendiri. Melihat dia duduk sendiri
itu, Bunyamin lalu mengenangkan nasibnya yang malang itu, seraya menangis
tersedu-sedu dan berkata dengan suara yang gugup-sayup terdengar: ‘Kalau
Yusuf masih ada, tentu dialah yang duduk di sampingku sekarang ini.’
Melihat itu
Nabi Yusuf lalu tampil dan menjadi teman Bunyamin. Rumah tempat tinggalpun disediakan
untuk dua orang dan Nabi Yusuf jugalah yang tinggal bersama Bunyamin. Nabi
Yusuf serumah dan bermalam dengan Bunyamin. Nabi Yusuf lalu bercakap-cakap
dengan Bunyamin yang dicintainya itu: ‘Sukakah engkau menjadikan aku sebagai
ganti saudaramu yang telah meninggal itu?’
Bunyamin
menjawab: ‘Memang tidak ada orang yang lebih baik dari tuan sendiri. Namun
sayang, tuan bukan dianakkan oleh Yaakub dan bonda Rahil.’
Mendengar
jawaban Bunyamin itu, Nabi Yusuf tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis
tersedu-sedu sambil berdiri dan mencium Bunyamin, baginda berkata membukakan
rahsianya: ‘Aku ini adalah saudaramu yang selama ini engkau sebut-sebut dan kau
rindukan. Akulah Yusuf saudaramu itu. Aku sudah mengalami banyak pengalaman
kerana buah perbuatan saudara-saudara kita. Banyak pengalamanku yang sedih dan
pahit. Aku pernah ditimpa fitnah yang paling berat. Tetapi itu semua kulawan
dengan kesabaran dan ketetapan hati, sambil berjuang mengatasinya atas
cubaan-cubaan itu. Akhirnya Allah menunjukkan jalan bagiku, sehingga yang
sengsara kini menjadi kaya, yang pernah difitnah sekarang menjadi orang yang
berkuasa. Tetapi hal ini sekali-kali janganlah engkau ceritakan kepada
saudara-saudara kita untuk sementara waktu. Tutuplah dahulu rahsia ini
serapat-rapatnya terhadap mereka.’
Tidak dapat
diterangkan bagaimana perasaan Biunyamin pada waktu itu setelah mengetahui
bahawa yang bercerita itu adalah Yusuf saudaranya. Begitu juga perasaan Nabi
Yusuf sendiri!
Beberapa
hari sudah berlalu dengan tenang. Maka sudah sampai waktu untuk pulang. Tetapi
Nabi Yusuf ingin membuat sesuatu yang agak menggemparkan terhadap mereka.
Setelah semua perbekalan dan alat-alat yang diperlukan dalam penjalanan itu
disediakan, begitu juga buah tangan untuk dibawa pulang, lalu Nabi Yusuf
memerintahkan kepada seorang suruhannya, agar ke dalam barang-barang yang akan
dibawa oleh Bunyamin, dimasukkan dengan diam-diam sebuah timbangan kepunyaan
negara. Baru saja mereka berangkat keluar dari Kota Mesir, tiba-tiba mereka
ditahan orang sambil berkata: ‘Berhenti dan turun semua, kamu ini adalah
pencuri.’ Alangkah terkejut dan gemparnya mereka mendengar tuduhan seberat itu:
‘Apakah maksudmu menuduh kami, kami ini bukan pencuri seperti yang kamu tuduh
itu. Barang apakah yang sudah kami curi dari kamu?’
Orang itu
menjawab: ‘Kami kehilangan timbangan (cupak) kepunyaan raja, dan kami mempunyai
persangkaan, bahawa kamulah yang telah mengambilnya. Sebab itu kalian kami
tahan dan kami berkuasa untuk menahanmu.’
‘Demi Allah S.W.T
kami datang ke mari bukan untuk merosak dan mencuri,’ jawab saudara-saudana
Nabi Yusuf.
‘Kita tidak
usah bertengkar panjang-panjang, izinkan saja kami memeriksa segala bungkusan
yang kamu bawa ini. Hukuman apakah yang akan kamu jalankan nanti, bila mana
barang itu terdapat dalam bungkusanmu?’ kata orang itu lagi. Jawab
saudara-saudara Nabi Yusuf: ‘Kami ini adalah orang-orang yang mempunyai
undang-undang, mempunyai agama pula. Menurut undang-undang dan agama kami, bila
seseorang kedapatan mencuri, dia harus ditawan dan boleh dijadikan hamba oleh
orang yang mempunyai barang itu. Inilah undang-undang negeri kami yang selalu
kami patuhi dan tunduk kepadanya. Tetapi kami yakin bahawa kami tidak mencuri
apa-apa.’
Sebagai
Orang Terdakwa
Akhirnya perkara tersebut dibawa
ke hadapan Nabi Yusuf, untuk mempersaksikan janji-janji yang telah dikemukakan
mereka sebagai orang-orang terdakwa. Tiap bungkusan diperiksa dengan teliti, seorang
demi seorang. Tidak seorangpun di antara sepuluh orang pertama yang membawa
barang curian itu. Sekarang tibalah giliran Bunyamin untuk diperiksa segala
bungkusannya, iaitu pemeriksaan yang penghabisan. Baru saja bungkusan Bunyamin
dibuka, terdapatlah di situ cupak (timbangan) yang dikatakan hilang itu. Cupak
itupun segera dipertontonkan kepada mereka. Alangkah terkejut dan terperanjat
mereka, malu yang tidak terkatakan besarnya.
Nabi Yusuf
lalu berkata kepada mereka: ‘Sekarang kita tinggal menjalankan undang-undang
dan memenuhi janji yang sudah kamu ucapkan tadi. Orang yang bersalah kami tahan
dan memang sudah menjadi hak bagi kami untuk menahannya.’
‘Ya,
Tuanku,’ keluh mereka. ‘Bapanya sudah sangat tua, sudah melewati dua usia
(lapan puluh tahun lebih), bapanya sungguh berat berpisah dengannya. Dia
diizinkan dibawa oleh kami ke mari hanya untuk kali ini saja, bagi memenuhi
permintaan tuanku atas kebenaran kami, namun dengan perjanjian bahawa dia harus
bersama kami bila mana kami pulang kembali. Kami ini semuanya berjumlah sepuluh
orang. Ambillah oleh tuanku salah seorang di antara kami untuk menggantikannya
dan kami percaya bahawa tuanku adalah orang yang sangat baik hati.’
Berkata pula
Nabi Yusuf: ‘Kami berlindung kepada Allah S.W.T, bahawa kami tidak akan menahan
orang yang tidak mengambil barang kami, sebab kalau demikian halnya, bererti
kami orang aniaya.’
Sambil
menitiskan air mata, mereka meminta agar Bunyamin dapat dibawa pulang akan
tetapi permintaan tidak dapat dikabulkan. Akhirnya mereka berputus asa untuk
memperoleh Binyamin kembali. Berkatalah ketika itu seorang yang terbesar di
antara mereka, iaitu Yahuza: ‘Kita sekalian sudah bersumpah kepada bapa kita,
bahawa Bunyamin pasti pulang dengan selamat, tetapi sekarang ternyata Bunyamin
tertinggal, apakah daya kita? Apakah kita dahulu sudah menghilangkan Yusuf dari
bapa dan ketika itupun kita sama-sama bersumpah juga. Hati bapa yang luka
dan sedih kerana hilangnya Yusuf belum sembuh, air mata bapa setiap hari masih
terus mengalir. Kita telah berdosa besar kepada Yusuf dan dosa itu kita ulangi
lagi terhadap Bunyamin. Aku benjanji bahawa aku tidak akan meninggalkan
negeri ini, hingga bapa aku memberi izin untuk kembali atau Allah S.W.T
menjatuhkan hukuman atas diri aku, kerana Allah S.W.T adalah sebaik-baik
pemberi hukum. Sebab itu pulanglah engkau sekalian, tinggalkan aku dan
katakan kepada bapa nanti, bahawa Bunyamin telah mencuri, tetapi kita sendiri
tidak melihat bahawa dia mencuri dan apa yang sebenarnya tersembunyi dalam hal
ini kita tidak mengetahuinya. Baliklah bapa supaya menanyakan kepada
orang-orang di bumi tempat kita berpijak di situ dan orang-orang di kafilah
yang berada di hadapan kita ketika itu, semuanya akan menjadi saksi bahawa
perkataan kita itu benar.’
Mereka
sembilan orangpun pulang menuju kampung halaman, sedang Yahuza tinggal di
Mesir, begitu juga dengan Bunyamin ditawan oleh pembesar Nabi Yusuf. Baru
saja Yaakub melihat bahawa Bunyamin tidak pulang bersama mereka, hatinya rasa
disayat untuk kedua kalinya, bercampur geram yang tidak dapat dibayangkan. Lalu
baginda bertanya: ‘Apa pula yang kamu telah lakukan atas diri saudaramu? Mana
sumpah dan janji yang sudah kamu ucapkan itu? Cuba ceritakan apa kejadian yang
sebenarnya!’
Semua
kejadian itu mereka ceritakan. Yaakub lalu memalingkan muka menyisihkan diri
menuju ke dalam kamarnya bersembunyi diri dan berkata: ‘Hal itu sudah terjadi
juga, maka sabar jugalah yang lebih baik, kerana hanya Allah-lah yang dapat
menolong atas semua apa yang diceritakan itu. Mula-mula aku kehilangan Yusuf,
sekarang kehilangan Bunyamin dan Yahuza pula. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan
mendatangkan mereka yang telah hilang itu bersama-sama, kerana Allah S.W.T
Allah S.W.T Maha Mengetahui, Maha Kuasa dan Maha Pintar.’
Nabi Yaakub
lenyap ke dalam gelombang dan gelora sedih. Gelombang dan gelora sedih yang
datang silih berganti. Segenap tulang temulang dan urat sarafnya kini penuh
dengan kesedihan, sejak dari hujung rambut hingga ke hujung tumit; lubang kecil
sebuahpun tidak ada yang dapat ditembus angin untuk mengurangkan kepedihan yang
menyeksa batinnya. Hanya ada dua ketika saja yang boleh menggembirakannya dalam
keadaan sekarang ini. Pertama ialah ketika baginda menyembah dan bersujud
kepada Allah S.W.T, baginda bermunajat dan berserah diri kepada Allah S.W.T
dalam sembahyangnya, menuang jiwanya dengan iman, sabar dan yakin. Kedua ialah
ketika baginda mengingatkan wajah Nabi Yusuf dan Bunyamin. Ketika mengingat dan
membayangkan wajah kedua-dua orang anaknya itu timbul rasa gembira dalam
kalbunya, seakan-akan baginda benar-benar bertemu dengan kedua-dua anaknya itu,
kendatipun hanya sedetik, sesaat belaka yang segera diringi pula oleh air mata
dan sedu tangis yang tidak ada hentinya, air mata panas yang membakar jantung, bukan
air mata dingin yang dapat mengurangkan kesedihan.
‘Akan
sia-sia sajakah air mata dan sedu sedanku sebanyak itu?’ tanya Yaakub kepada
dirinya, sebaik habis baginda mencurahkan air mata dan menangis tersedu-sedu
itu. ‘Air mataku ini dijadikan Allah S.W.T tentu bukan untuk disia-siakan
belaka,’ katanya pula yang diperintah oleh rasa keimanan dan kesabaran.
Sungguhpun
keimanan dan kesabarannya sentiasa memujuk hatinya yang duka, namun badan
Yaakub bertambah kurus, matanya semakin putih, akhirnya baginda tidak dapat
bergerak lagi kerana lemah, matanya sudah tidak dapat melihat lagi disebabkan
terlalu banyak mengeluarkan air mata.
Tidak
Akan Berputus Asa
Pada suatu pagi sebaik habis
baginda sembahyang dan berdoa ke hadrat Tuhannya kembali badannya menjadi
gementar, lalu baginda menangis dan air matanyapun tercurah pula; baginda
mengeluh panjang: ‘Ya Asafa ala Yusuf,’ katanya dengan suara yang putus,
seakan-akan baginda melihat sendiri akan Nabi Yusuf yang berada jauh di
sana.
Melihat
keadaan bapanya yang demikian itu, salah seorang di antaranya memanggil
saudara-saudara yang lain untuk memeriksa bagaimanakah keadaan bapanya kini
dengan cara bagaimana untuk dapat membantu dan meringankan kesedihan hatinya
yang tidak terhingga itu. Salah seorang di antaranya lalu berkata kepada
Yaakub: ‘Hai, bapa kami. Engkau adalah Rasul yang benar, Nabi yang mulia. Wahyu
Allah S.W.T turun kepada engkau, ya bapa, dari engkaulah keluarnya nasihat dan
petunjuk. Tetapi mengapa bapa sampai demikian rupa? Sudah cukup rasanya air
mata yang bapa keluarkan, sehingga sudah kurus kering badan bapa lantaran itu
Demi Allah, sentiasa bapa teringat kepada Yusuf, sehingga keadaan bapa menjadi
sakit atau mungkin meninggal dunia.’
Berkatalah
Yaakub: ‘Semua usahamu akan sia-sia belaka, takkan ada yang dapat menyembuhkan
penyakitku ini, sebelum aku dapat bertemu dengan Yusuf dan dapat melihat
wajahnya. Kendatipun Yusuf sudah mati dimakan serigala sebagaimana ucapanmu,
tetapi selama aku masih dapat menghirup udara dan masih berada di bawah
lindungan langit yang biru, aku dapat merasakan suatu perasaan yang berada
dalam jiwa dan lubuk jantungku, wahyu Allah S.W.T telah berhembus dalam hatiku,
sehingga aku masih mempunyai kepercayaan bahawa Yusuf masih menghirup udara
yang kuhirup, masih bernaung di bawah langit biru yang melindungiku ini. Hanya
saja aku tidak mengetahui padang pasir manakah yang sedang dijalaninya sekarang
ini, entah ke timur atau ke barat tujuan perjalanannya. Inilah yang menyebabkan
kesedihan dan kepiluan hatiku. Bila kamu sekalian ingin menyembuhkan aku dari
penyakitku dan menghilangkan segala kesedihan hatiku, pergilah kamu menjelajahi
bumi Allah S.W.T yang luas ini, carilah di mana Yusuf sekarang berada, walaupun
kamu sudah mengatakan bahawa dia sudah binasa. Carilah dia dengan segala
kesungguhan dan kesabaranmu dan janganlah kamu sampai berputus asa, kerana
tidak akan berputus asa selain mereka orang-orang yang kafir.’
Kata-kata
yang keluar dari mulut Yaakub yang sudah tua itu, sungguh menusuk lubuk hati
mereka, dicucukkanlah tiap-tiap kata yang diucapkan oleh Yaakub itu dengan
rahsia-rahsia yang mereka simpan selama ini. Teringatlah mereka, bukankah Nabi
Yusuf tidak jelas matinya, kerana mereka hanya melemparkannya hidup-hidup ke
dalam telaga Jub itu? Mungkin dia dapat keluar dari telaga itu dan setelah dia
dapat keluar terus mengembara ke sana ke mari. Tetapi di manakah gerangan Yusuf
sekarang ini?
Sungguhpun
tentang Nabi Yusuf masih meragukan hati mereka, tetapi mengenai Bunyamin, jelas
masih ada, sedang dalam tawanan raja dan tempatnyapun sudah dikenalinya pula.
Timbullah gerak dalam hati mereka untuk cuba mendapatkan Bunyamin lebih dahulu,
kemudian baru berikhtiar mencari Nabi Yusuf, sebab mereka beranggapan, dengan
kembalinya Bunyamin lebih dahulu, sedikitnya dapat juga mengurangi kesedihan
hati bapa mereka.
Mereka lalu
minta izin untuk berangkat kembali ke tanah Mesir, mengadap pembesarnya yang
masyhur itu, dengan maksud untuk meminta saudaranya yang ditawan itu dengan
permohonan setinggi-tingginya, harapan yang sebesar-besarnya, lebih tinggi dari
langit dan lebih besar dari bumi.
Setibanya di
negeri Mesir, segera mereka mendapatkan pembesar (Nabi Yusuf) serta
menyampaikan permohonan: ‘Ya Tuanku Pembesar, keadaan memaksa kami untuk
kembali ke mari mengadap tuan. Kehendak kami akan menetap di sini mendatangkan
sembah dan sujud kepada tuan. Hari yang selalu berubah. Bahan-bahan yang telah
tuan serahkan kepada kami semuanya telah habis, sedang keadaan di tempat kami
masih tetap susah, sedang bahaya kelaparan masih tetap mengancam kami. Kami
sengaja datang kembali untuk minta atas segala kemurahan hati tuan, agar tuan
suka memberi sedekah lagi kepada kami, untuk dapat menahan hidup kami. Begitu
juga bila tuan masih menyukai dan berbuat baik terhadap kami, sudilah kiranya
tuan melepaskan saudara kami yang sedang tuan tahan itu, agar dengan cara
demikian dapatlah air mata bapa kami yang selalu bercucuran itu ditahannya,
begitu juga jantung dia dapat diringankan.’
Ketika itu
Nabi Yusuf berpendapat, bahawa sudah datanglah waktunya kini untuk membukakan
rahsianya yang selalu ditutupnya, bagi memaklumkan kepada saudara-saudaranya,
bahawa dialah Yusuf, agar mereka mengakui atas kebenaran dan
kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan.
Berkatalah
Nabi Yusuf kepada saudara-saudaranya itu: ‘Ingatkah kamu sekalian akan awal
cerita pada waktu kamu masih kecil-kecil? Kamu diperkudakan oleh hawa nafsu dan
dengki, menurutkan pengaruh buruk dari syaitan, sehingga Yusuf kamu buang ke
dalam telaga, kemudian saudaranya yang tinggal selalu kamu goda dan kamu
hinakan. Masih teringatkah kamu, ketika salah seorang di antaranya yang terkuat
dengan kedua-dua belah tangannya yang kuat itu memaksa Yusuf membuka semua
pakaiannya? Sedang Yusuf ketika itu menangis terisak-isak minta dikasihani,
tetapi tidak ada seorangpun di antaramu yang merasa kasihan kepadanya dan
dengan kasar kamu lemparkan dia ke dalam telaga yang jauh terpencil di
tengah-tengah gurun Sahara yang panas, dan di sanalah juga kamu tinggalkan
Yusuf sendirian menunggu nasib dan takdir Tuhannya.’
Mendengar
cerita Nabi Yusuf itu, mulailah mereka tercengang-cengang, kehairanan. dari
siapakah pembesar itu tahu akan riwayat itu semua? Apakah dari Bunyamin? Tetapi
Bunyamin sendiri tidak turut serta ketika itu, tidak pula mengetahui sedikitpun
tentang kejadian itu dan tidak seorang manusiapun yang tahu.
Setelah
menyimpulkan pendapat bahawa tidak seorangpun manusia yang mengetahui akan
kejadian itu, mereka memerhatikan benar-benar akan gerak-geri orang yang
berkata-kata di hadapan mereka, diingat-ingatkan akan bentuk dan keadaan diri
Nabi Yusuf, akhirnya yakinlah mereka bahawa semua tanda yang dapat mereka ingat,
memang bersamaan dengan orang yang berada di hadapan mereka itu, lalu
berkatalah mereka: ‘Sesungguhnya engkau inilah kiranya Yusuf.’
dengan
segera Nabi Yusuf menjawab: ‘Betul aku adalah Nabi Yusuf, dan ini Bunyamin
adalah saudaraku sendiri. Allah S.W.T telah mempertemukan kami, kerana dia
adalah hamba Allah S.W.T yang takwa dan penyabar, sedang Allah S.W.T tidak akan
menyia-nyiakan jasa hamba-Nya yang sabar itu.’
Mendengan
kisah itu, berubahlah warna muka mereka, terkejut dan lebih terperanjat, dari
mendengar petir yang dahsyat. Mulut mereka menjadi tertutup tidak dapat
berkata-kata, badan mereka menjadi kaku tidak dapat bergerak rasanya. Kalau
bumi mempunyai mulut dan mengangakan mulutnya itu, rupanya mereka rela masuk ke
dalamnya, agar ditelannya habis ketika itu juga.
Tetapi Nabi
Yusuf dengan segera menyabarkan mereka, dijelaskannya bahawa mereka tidak akan
menerima pembalasan apa-apa, kerana mereka itu saudaranya sendiri, saudara
sebapa, kendatipun dahulu mereka pernah berbuat kejahatan terhadap dirinya.
Nabi Yusuf berkata kepada mereka: ‘Aku tidak akan bertindak apa-apa atas dirimu
sekalian. Allah S.W.T telah mengampuni segala dosamu. Allah S.W.T Maha
Pengampun dan Maha Pengasih.’
Bertemu
Anak yang Dirindui
Kembali kita kepada Nabi Yaakub
yang sedang ditimpa cubaan besar silih berganti, sebagaimana halnya yang
dialami oleh Nabi Yusuf sendiri. Memang kedua-dua orang itu adalah orang-orang
suci yang lurus dalam menerima cubaan yang bagaimanapun juga hebat dan
dahsyatnya, cubaan yang tidak mungkin dapat di atasi oleh sebarang
manusia.
Demikianlah,
pada suatu pagi setelah Nabi Yaakub selesai mengerjakan sembahyang, sebaik
habis berdoa dan mengingat akan Allah S.W.T, baginda kembali menangis
tersedu-sedu, baginda seorang diri kerana tidak ada orang yang menemaninya.
Tiba-tiba tangisnya terhenti, dadanya berasa lapang, air matanya tidak
mengalir, hatinya sangat nyaman. Bagindapun hairan, dari manakah gerangan
datangnya perasaan yang demikian lega dan senang itu? Ketika itu teringatlah
baginda akan Nabi Yusuf, terbayang pula dalam ingatannya akan wajah Nabi Yusuf.
Ketika itu keluarlah senyuman dari kedua-dua belah bibirnya.
Tiba-tiba
Yaakub menjerit dengan sekuat suaranya: ‘Sungguh, aku mencium baunya
Yusuf.’
Tepat ketika
itu sampailah unta yang ditunggangi anak-anaknya dari Mesir, selain membawa
buah tangan, mereka juga membawa sehelai baju kepunyaan Nabi Yusuf. Baju itulah
rupanya yang tercium oleh hidung Yaakub sehingga baginda merasakan nikmat,
hilang segala kedukaannya.
Anak-anaknya
yang sembilan orang itupun segera turun dari unta, lalu melemparkan baju Nabi
Yusuf yang sengaja mereka bawa itu ke hadapan Yaakub, tepat mengenai hidungnya.
Seketika itu juga mata Yaakub yang selama ini buta dan kering, kini terbuka
serta dapat melihat dengan terangnya.
Di dalam
keadaan yang serba nikmat bahagia itu, mereka ceritakan kepada Yaakub segala
sesuatu yang telah terjadi dalam perjalanannya ke Mesir yang ketiga kalinya
ini, di mana mereka telah menemui pula pembesar yang budiman itu, serta
diterangkannya juga agar mereka sekalian berangkat kembali ke Mesir, untuk
menemui serta dapat hidup bersama-sama dengan Nabi Yusuf.
Berkatalah
Yaakub dengan sangat girang: ‘Apa-apa yang sudah terjadi, marilah kita lupakan,
kendatipun aku tidak dapat menghindarkan seseorang dari seksaan Allah S.W.T,
namun aku mendoakan serta memintakan keampunan kepada Allah S.W.T,
mudah-mudahan Allah S.W.T mengampuni segala dosa-dosamu sekalian begitu juga
dosaku sendiri, kerana Allah S.W.T pemberi ampun dan pengasih. Sekarang marilah
kita berangkat bersama-sama menuju Mesir.’
Setelah Nabi
Yusuf melihat bapanya datang dan sedang dikelilingi oleh saudara-saudaranya
yang berjumlah 11 orang itu, saudara-saudaranya itu sujud bersimpuh di hadapan
Nabi Yusuf sebagai tanda membesarkannya, lalu berdiri di hadapan Nabi Yusuf
dengan hormatnya. Seketika itu juga Nabi Yusuf menengadahkan kedua-dua belah
tangannya ke langit, baginda bersyukur atas nikmat dan kurnia Allah S.W.T yang
dianugerahkan pada dirinya, sambil berkata: ‘Tuhanku, Engkau sudah memberi
kekuasaan padaku dan Engkau telah mengajarkan akan takwil mimpiku, Engkaulah
yang menciptakan semuanya langit dan bumi. Engkaulah Waliku di atas dunia dan
di akhirat nanti, hendaknya Engkau mewafatkan aku dalam keadaan aku beragama
Islam dan masukkanlah aku dalam golongan orang-orang yang berbahagia.’
Demikianlah
riwayat kedua-dua-dua orang Nabi Besar yang mulia ini, iaitu Nabi Yaakub dengan
anaknya (Nabi Yusuf as.), yang tidak kurang juga hebat serta mendalam
pembawaannya, dibandingkan dengan riwayat Nabi Ibrahim dengan anaknya (Nabi
Ismail). Begitu juga riwayat para Nabi dan Rasul lainnya. Hanya dengan kesucian
dan keimanan mereka kepada Allah S.W.T sajalah yang dapat membawa mereka dengan
kejayaan dalam menghadapi perjuangan suci. dengan itu jugalah mereka dapat
mengatasi segala rintangan dan bahaya yang mereka hadapi, rintangan dan bahaya
yang jauh lebih hebat dan sukar dari rintangan serta bahaya yang dihadapi oleh
manusia pada zaman sekarang. dengan berpedoman kepada perjuangan mereka,
insya-Allah kita akan berjaya pula mengatasi segala kesukaran yang terdapat
sekarang ini dalam menghadapi perjuangan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan