SMAHADZIR
LELAKI
tua itu berbaring di kerusi buluh yang dibuatnya sendiri beberapa tahun lalu.
Kepalanya panggung sesuai dengan bentuk kerusi. Di hadapannya ada sebuah
televisyen kesayangannya tetapi kadang-kadang menjadi musuhnya. Dia sayang
kepada televisyennya terutama jika muncul program-program kegemarannya seperti program
kebudayaan, pertanian, perikanan, penternakan, lebih-lebih lagi kerajinan atau
pertukangan buluh. Kalau televisyen tersebut menayangkan program berbentuk
budaya, sehari suntuk dia mampu duduk di situ.
Selain
itu dia juga sangat tertarik pada tayangan bercorak adat resam seperti adat
resam perkahwinan, adat resam kematian juga permainan-permainan tradisi rakyat.
Duduk sembari meluruskan kaki di kerusi buluhnya, begitu asyik dia menyelami
pelbagai budaya bangsa yang wujud di negara ini.
Akan
tetapi kalau ada warta berita dalam negeri, lalu muncul para pemimpin politik
yang tidak fasih berbahasa Melayu, memberi pendapat tentang krisis budaya dan paparan
tentang budaya-budaya bangsa yang kian langka atau pupus, dia tersentak duduk
dan mula merintih kerana tikaman kebas di persendian, tulang belikat dan
belakangnya lalu meludah kotak ajaib itu berkali-kali, kemudian dibuka
kemejanya untuk melap ludahnya kembali.
Tatkala
lelaki tua itu sedang asyik meludah kaca televisyennya kerana tayangan beberapa
adat tradisi bangsa yang kian pupus, isterinya masuk. Isterinya Zaharah,
seorang bidan merangkap jururawat yang mengetuai sebuah rumah bersalin milik peribadi,
melihat tingkah laku suaminya sambil menggeleng-geleng. Dengan sabar dia
mematikan televisyen dan mengambil kain buruk untuk mengesat air liur suaminya.
Lelaki
tua itu bangun dan menghempaskan badannya di atas tikar rotan di sisi isterinya
seraya berkata, “Zaharah, tolong panggil Pak Cha datang ke mari!”
Zaharah
segera ke luar menuju bilik menunggu rumah bersalin yang bersebelahan dengan
rumah tinggal mereka lalu tidak lama kemudian datanglah Pak Cha, tukang urut
buta yang selalu menunggu di bilik menunggu, mengurut ibu-ibu selepas bersalin,
jika diminta.
“Selamat
malam, Pak Cha!” kata lelaki tua itu.
“Selamat
malam tuan!” balas Pak Cha.
“Puan
Zaharah kata, tuan ludah lagi televisyen, ya!” kata Pak Cha.
“Habis
sudah kesabaran saya. Sekarang timbul lagi pelbagai budaya bangsa kita yang
kian pupus. Lebih separuh abad lalu, permainan tradisional seperti kaki hantu, kelereng,
cakpelong, capteh, ketuk keli, ketinting, tuju getah, tuju tin dan banyak lagi jadi
sebahagian daripada aktiviti kanak-kanak dan ia begitu menyeronokkan…”
“Zaman
dah berubah, tuan! Permainan-permainan itu kian langka dan pupus dek kemajuan
teknologi serta penggunaan gajet canggih sebagai ganti,” cantas Pak Cha.
“Sedih
sangat, permainan-permainan tu sepatutnya disemarakkan sebab boleh jadi
platform membina perpaduan, setiakawan, keharmonian, sikap bertolak-ansur dan
rasa hormat antara satu dengan yang lain walaupun berbilang kaum,” balas lelaki
tua itu pula.
“Sekarang
ni bukan saja main kaki hantu, kelereng, cakpelong, capteh, ketuk keli, ketinting,
tuju getah, tuju tin… kita sebut saja pada anak-anakpun mereka tak tahu. Zaman dah
berubah, tuan!” ujar Pak Cha bersahaja. “Pada masa kini, permainan tradisional
ini dah semakin dipinggir dalam kalangan masyarakat kita terutama generasi muda
yang terlalu mengutamakan permainan moden. Mereka juga lebih suka menghabiskan
masa dengan melayari internet, malas nak bergaul dengan orang lain dan sebagainya.”
Tuan
Dolah mengeluh berat. Lama juga dia terdiam. Setagal kemudian dia berkata,”Sedih,
sedih! Sedih saya memikirkan soal ini. Errr.. besok saya harus terbang ke Kuala
Lumpur, melihat anak perempuan saya, Dr Julia dan menantu saya Dr Imran. Tolong
urut kaki saya yang kebas ni, biar sihat sikit atas kapal terbang nanti,” kata Tuan
Dolah.
“Beres
tuan! Err, nak berangkat bersama Puan Zaharah ke?” tanya Pak Cha ingin tahu.
“Oh,
tidak. Isteri saya harus menjaga ibu-ibu yang melahirkan generasi baru dari
rahim mereka. Tugas saya ke Kuala Lumpur bukannya sebab nak jalan makan angin. Kebetulan
sempadan negeri sudah dibuka oleh kerajaan. Jadi saya nak ke sana. Sudah lama
saya tak menjenguk anak perempuan dan menantu saya di sana. Mereka juga sudah
lama tak balik sejak Covid-19 melanda dan sejak PKP dikuatkuasakan, anak menantu
saya terpaksa bekerja tanpa rehat kerana ramai warga yang terkena serangan Covid-19.
Ramai yang sudah mati, masih ramai lagi yang nazak di wad kecemasan, menunggu
masa saja untuk mati. Saya rasa, tak lama lagi kerajaan akan mengenakan semula PKP
dan sekatan rentas daerah juga negeri kerana kes covid ni akan meningkat sebab
ramai warga yang tak ikut SOP,” kata Tuan Dolah panjang lebar.
Bidan
Zaharah, membawa dua cangkir kopi dan meletakkannya di atas meja.
“Kalau
dengan Pak Cha, tak ada lain, asyik bersembang soal Covid-19 saja, tak
habis-habis” omel bidan Zaharah. “Sudah, ya! Saya nak tidur. Kalau ketawa
jangan kuat-kuat. Kalau boleh jangan berbual benda yang tak senonoh. Sambil
dengar muzik, nikmatilah seni mengurut dan seni diurut,” kata bidan Zaharah lagi
sembari tersengih kemudian bergerak mengambil kaset lagu klasik lalu
memasukkannya ke alat perakam. Pak Cha dan Tuan Dolah diam menikmati muzik.
Kenangan
mulai mengeluyur ke dimensi silam. Lelaki tua yang oleh masyarakat sekitar dipanggil
Tuan Dolah itu, sebaik tamat sekolah, meneruskan usaha orang tuanya membuat
kraftangan buluh. Dia membuka sebuah kedai kraftangan buluh kerana ayahnya
mewariskan tanah dua hektar yang telah ditanami buluh.
Ada
buluh kuning, ada buluh hitam, ada buluh hijau. Ada buluh betung dan ada buluh
yang kecil-kecil. Sebagai pengusaha, dia dapat mengahwini seorang gadis cantik
yang bekerja sebagai bidan di sebuah hospital bersalin.
Kedua-duanya
menikah dan beberapa tahun kemudian, mendirikan sebuah rumah bersalin di samping
rumah warisan orang tua yang terletak di atas dua hektar tanah yang telah
dihutani buluh.
Pada
musim kemarau dua puluh tujuh tahun lalu, serumpun buluh hitam ditebang.
Buluh-buluhnya diambil dan daun-daunnya ditumpuk di kebun menunggu kering untuk
dibakar menjadi baja. Kemudian dimasukkan ke dalam guni plastik dan dijual kepada
penanam sayur.
Bangun
pagi-pagi, Tuan Dolah terus ke kebun buluh untuk membakar longgokan daun yang
telah kering. Ketika lidah-lidah api mulai menjilat, terdengar suara bayi
menangis dalam longgokan daun buluh itu.
Dengan
segera dia menguak longgokan daun buluh itu dan betapa terkejutnya dia melihat
ada bayi yang terbungkus kain batik dan sehelai baju sejuk. Tanpa lengah, dia
mengambil bayi tersebut, membawanya ke rumah bersalin dan menyerahkannya kepada
isterinya. Bidan Zaharah menyambut bayi malang itu dan segera mengenali bahawa
bayi itu milik Nurhayati, penjual cucur udang di hadapan rumah bersalin mereka.
Tidak
lama kemudian orang ramai berkumpul di rumah bersalin itu. Semuanya ingin melihat
bayi dan ibunya. Lalu seorang anggota polis datang, menyeruduk masuk ke dalam rumah
bersalin tersebut. Dia disambut oleh bidan Zaharah dan Tuan Dolah dengan mesra.
Setelah memandang bayi mungil yang comel itu, polis bertanya di mana Nurhayati.
Kedua-dua
suami isteri itu menghantar polis tersebut ke gerobok sorong milik penjual
cucur udang. Ketika pintu di gerobok itu dibuka, kelihatan Nurhayati sedang
tidur. Dia dikejutkan kemudian keluar dan berjalan menuju rumah bersalin. Bidan
Zaharah menggeleng-gelengkan kepala mengagumi kekuatan fizikal Nurhayati.
“Bersalin
di dalam gerobok, sendirian?” tanya polis dengan biji mata terkesip-kesip.
“Tidak.
Jam empat pagi saya bersalin di timbunan daun buluh kering,” ujar Nurhayati.
“Di
atas daun buluh kering? Tak miang ke?” tanya polis itu lagi.
“Tak.
Saya lahirkan bayi itu sambil berdiri,” kata Nurhayati. “Saya dengar dari
seorang pelanggan yang minum kopi dan makan cucur udang di gerai saya bahawa
wanita Indian di hutan Amazon, beranak sambil berdiri, tetapi wanita Indian itu
memegang pokok hutan sedangkan saya biasa saja. Kedua-dua tangan saya memegang
pinggang. Lalu meluncurlah bayi saya, jatuh ke atas daun-daun buluh. Kemudian
saya bungkus dengan kain batik dan baju sejuk pemberian Puan Zaharah dan saya
timbus bayi itu dengan daun buluh,”
“Wau,
kamu memang hebat. Tak pernah saya dengar ada perempuan yang begitu kuat, bersalin
sambil berdiri dan tangan memegang pinggang dengan penuh yakin. Kamu memang
seorang perempuan muda yang hebat,” puji polis tersebut.
“Akan
tetapi, kamu perlu ditahan kerana kesalahan membuang bayi. Kamu perlu didakwa atas
kesalahan ini,” polis itu meneruskan.
Nuryahati
berdiri, “Saya tak berniat nak membuang anak saya. Saya ingin menyelamatkannya.
Saya sering melihat, pagi-pagi Tuan Dolah ke kebun buluh untuk membakar
daun-daun kering. Sebab itu saya sengaja meletakkannya di sana agar Tuan Dolah
mengambilnya. Lagipun, suami saya tak bertanggungjawab. Hisap dadah, malas dan
asyik khayal saja..,” kata Nurhayati dengan nafas yang termengah-mengah dan
mata kuyu minta simpati.
Untuk
menjaga perasaan isterinya, Tuan Dolah memeluk isterinya lalu berbisik, “Dia
bohong. Kita kena periksa DNA bayi itu. Mungkin anak haram!”
Mereka
membawa Nurhayati ke rumah lalu membaringkan Nurhayati di atas sofa dan
ketiga-tiganya duduk menghadap ibu muda yang malang itu. Setelah minuman dibawa
pembantu, anggota polis itu berkata, “Ini satu perbuatan jenayah. Saya akan
hubungi pihak hospital untuk menghantar ambulans ke mari,”
“Tak
perlu, encik! Saya yang menyuruh Nurhayati menyerahkan anak itu dengan cara
begitu. Tak ada rancangan untuk membuangnya,” kata bidan Zaharah.
Mata
Tuan Dolah terbelalak. Dia menarik nafas berat dan bertanya dalam hati mengapa
isterinya membela wanita muda tersebut.
“Kalau
begitu, soalnya jadi lain, tetapi melahirkan anak di atas daun buluh kering,
lebih-lebih lagi berdiri sambil memegang pinggang, adalah bersalin gaya kuda.
Bayi itu jatuh ke atas daun kering seperti anak kuda. Tapi anak kuda mampu
segera berdiri sendiri lalu menyusu,” kata polis.
“Tapi
bayi manusia boleh menangis ketika lidah-lidah api di rumpun buluh mulai
menjilat-jilat udara,” kata Tuan Dolah lalu tertawa terkekeh-kekeh.
“Lebih-lebih
lagi ada rancangan untuk membakar bayi itu oleh ayahnya sendiri. Waktu Tuan
Dolah menyalakan mancis api, tentulah terlintas rancangan untuk membakar bayi
itu. Tetapi untung ada jalan penyelesaiannya. Nah, dalam hubungan itu, mari
kita selesaikan saja...” kata anggota polis itu lagi.
“Selesaikan
saja?” Tuan Dolah membisik ke telinga isterinya. “Apa maksudnya?”
Isterinya
berbisik membalas, “Ssst, duit!!!”
“Oh,
itu mahunya,” kata Tuan Dolah dalam hati sambil mengangguk-angguk penuh
pengertian. “Encik, nak selesai macam mana?” soalnya pula.
“Empat
ribu setengah. Bukan rupiah Indonesia. Ringgit Malaysia...”
Begitulah
ceritanya. Nurhayati menyerahkan anaknya kepada suami isteri pemilik rumah
bersalin tersebut. Anak itu diberi nama Julia. Kemudian, berita tentang
Nurhayati tidak kedengaran lagi. Khabarnya sudah berpindah ke Indonesia.
Julia
diasuh oleh kedua-dua suami isteri yang berada itu. Dia bagaikan ratu dalam
rumah tangga kerana ayah dan ibu angkatnya tidak punya anak. Dia disekolahkan sehingga
ke peringkat universiti dan berjaya menjadi seorang doktor. Sebaik menjadi
doktor, dia ditugaskan di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Setahun kemudian dia
dilamar Dr Idham, seorang doktor muda asal Johor. Kedua-duanya menikah lalu
terus bekerja di Kuala Lumpur bersama.
Pak
Cha, dengan gembiranya mengurut urat belikat di belakang Tuan Dolah. Setagal
kemudian tugas mengurut selesai. Namun yang diurut mulai mendengkur. Tukang
urut buta itu segera mengambil tongkatnya serta beg berisi minyak lalu melangkah
keluar dari ruang tersebut.
Bangun
pagi-pagi dengan tubuh yang agak segar, Tuan Dolah terus menuju ke lapangan
terbang, membeli tiket dan terbang ke Kuala Lumpur. Tiba di tempat kerja Dr
Julia dan suaminya Dr Idham, dia agak terkejut melihat Nurhayati dan suaminya
yang sudah dimakan usia. Khabarnya mereka berdua datang untuk bertemu dengan Dr
Julia juga. Rupa-rupanya suami Nurhayati adalah anggota polis yang mengambil
duit empat ribu ringgit setengah tempoh hari. Setelah ditanya, rupanya dia
bukan anggota polis tetapi warga Indonesia yang menyamar, kekasih Nurhayati
yang juga warga Indonesia. Datang ke Malaysia jadi pembantu rumah, dapat modal
buka gerai niaga cucur udang.
Terkena
juga Tuan Dolah dan bidan Zaharah tetapi mereka masih bangga kerana mempunyai
Julia, anak daun buluh yang kini sudah menjadi seorang doktor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan