Ahad, 31 Disember 2023

pantun: PEPATAH MELAYU

 

Dari barat ke Tanjung Piandang,
Bawa ragi di dalam bakul;
Berapa berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.
 
Kain cindai dijual peraih,
Sama padan permata dikarang;
Kalau pandai meniti buih,
Selamat badan sampai ke seberang.
 
Air serbat di dalam dulang,
Dahan berangan melekat sialang;
Ayam ditambat disambar helang,
Padi di tangan menjadi lalang.
 
Ikan kedak tepian lubuk,
Anak haruan berenang di baruh;
Bagaimana tidak gigit telunjuk,
Melihat hujan turunnya keruh.
 
Bunga kejora cantik berseri,
Pokok meranti tepian telaga;
Jual sutera beli mastuli,
Mendapat ganti lebih berharga.
 
Dahan gaharu dibawa ke baruh,
Tempat merbah membuat  sarang;
Kita baru mencapai pengayuh,
Orang sudah tiba ke seberang.
 
Anak kedak di dalam raga,
Bawa bekal makan di kota;
Cacing hendak menjadi naga,
Cakap sejengkal dibawa sehasta.
 
Dari Renggam ke Pulau Kapas,
Beli kundur di dalam karung;
Barang tergenggam jatuh terlepas,
Baharu dianjur sudah tertarung.
 
Tepian kali tegak jemuran,
Anak belida dimakan belibis;
Apa peduli pada kukuran,
Nyiur juga yang akan habis.
 
Naung pauh berangin sejuk,
Tempat memikat kasih tercinta;
Dari jauh diangkat telunjuk,
Kalau dekat diangkat mata.
 
Anak sepat sayang terlepas,
Tali benang mengikat palas;
Hendak dapat pisang terkupas,
Inginkan senang berusaha malas.
 
Kacak orangnya jejaka berada,
Kaya harta emas permata;
Apa kurangnya pada belida,
Sisiknya ada tulang pun ada.
 
Buah anona tua dibungkus,
Dahannya kerap bersarang tebuan;
Hati laksana serangkak dibungkus,
Sangat berharap mendapat habuan.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA