Khamis, 21 Disember 2023

BURASAK ONLINE

 SMAHADZIR

Tekad Jenaro sudah bulat. Dia akan berniaga melalui online. Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dia tiada pendapatan lagi. Kerjanya sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang telah dihentikan tanpa gaji. Lagipun, dibenarkan kepada masyarakat berniaga secara online, terutama barangan makanan dan barangan keperluan dapur. Barangan yang dibeli oleh pelanggan boleh dihantar dari rumah ke rumah. Sebab itulah Jenaro sudah mengambil keputusan untuk berniaga.

“Sebenarnya kau nak jual apa, Jenaro?” soal Saad ingin tahu.

“Aku cadang nak jual burasak,” jawab Jenaro sungguh-sungguh.

“Burasak?” Mata Saad sedikit terbeliak kala mendengar perkataan burasak yang keluar dari mulut Jenaro.

 Jenaro gesit ketawa. “Kau orang Kedah, memang tak pernah dengar nama burasak,” ujarnya bersahaja.

“Errr, burasak itu apa bendanya? Memang aku tak pernah dengar sebelum ni!” balasnya membenarkan kata-kata Jenaro.

Burasak ni sejenis makanan tradisi orang Bugis. Dibuat dari campuran beras, kelapa, garam dan bahan-bahan lain. Kemudian dibungkus dalam daun pisang hijau muda dan hijau gelap,” ujar Jenaro.

“Pandai ke kau buat?” soal Saad.

“Mestilah pandai, aku kan orang Bugis!” jawab Jenaro sambil tersengih. “Nak buat burasak, mesti sediakan daun pucuk pisang muda dan tua yang kemudiannya dipotong bentuk segi empat. Nak mengelakkan daun pisang tua tahan dan tidak koyak, kena jemur atau layurkan dalam air panas. Kemudian rebus burasak lebih kurang tiga atau empat jam. Lagi lama lagi sedap. Sebaiknya direbus dalam periuk yang besar dengan kayu api yang marak. Bila sudah masak, keluarkan. Biar sejuk dahulu baru boleh dimakan. Hidangkan bersama ayam rendang Bugis atau bejabuk iaitu serundeng burasak dan yang paling sedap dimakan bersama burasak parang masak gulai cara Bugis,” tambahnya lagi panjang lebar.

 Saad mengangguk-angguk sembari melopong.

“Ha, nak ikat burasak pula, susun bungkusan tiga atau empat lapisan bertindih kemudian balut dengan daun pisang tua. Kemudian ambil dua burasak dijadi satu dan dibalut lagi dengan daun pisang tua dengan tali rapia. Mula balutan dari satu hujung ke hujung yang satu lagi pada jarak satu inci, bila sampai ke hujung yang satu teruskan belitan untuk membentuk huruf ‘Z’ di permukaan dan ‘X’ di bahagian tepi. Simpulkan di tempat permulaan. Buatlah sehingga semua siap dibungkus… mudah kan?” Jenaro ketawa kecil.

“Kau memang hebat, Jenaro!” puji Saad. “Patut la kau nak jual makanan tu sebab kau pandai membuatnya sendiri. Aku sokong seratus peratus usaha baik kau tu! Orang pertama yang nak beli burasak kau tu ialah aku. Selain tu, dapat juga kau membantu masyarakat yang susah nak ke pasar beli burasak, terutama yang tak ada kenderaan sendiri,” tambah bekas kerani sekolah itu lagi seolah-olah memberi sokongan kepada Jenaro.

“Sebab itulah aku pilih burasak sebagai barang jualan aku di internet. Lagipun, musim-musim PKP ni ramai orang tak boleh keluar rumah,”

“Tak kisahlah apapun yang kau nak jual,” balas Saad polos. “Yang penting kau kena luaskan juga media iklan supaya pasaran kau lebih besar. Untuk perniagaan di internet aku cadangkan kau guna teknik blogging ketimbang buat website. Kau boleh reka bentuk wordpress blog hampir serupa laman web. Kau boleh juga guna wordpress untuk buat lebih dari itu. Aku cadang kau guna wordpress berbanding blogger sebab platform wordpress lebih canggih. Terma-terma yang ada juga nampak lebih komersial untuk digunakan bagi menampakkan sifat profesional perniagaan kau tu,”

          “Kau ni buat patah semangat aku saja. Aku ni seorang pengawal keselamatan saja, sekolah tak tinggi, manalah tahu tentang tu semua. Yang aku tahu whatsApp saja... yang lain tu manalah aku tahu,” ujar Jenaro seraya mengeluh panjang.

 Saad gesit ketawa. “Aku bergurau saja. Melalui whatsApp pun bagus juga. Aku yakin kau akan berjaya, Jenaro! Tapi janganlah jual mahal pula. Jual murah sudahlah...”

”Memanglah aku nak jual murah saja,” cantas Jenaro. “Kawasan flat kediaman kita ni rata-rata masyarakatnya berpendapatan rendah. Lagipun, musim PKP ni, ada sesetengah keluarga tu tak ada langsung pendapatan.”

 

* * *

 

Untuk merealisasikan hasratnya menjual burasak melalui online, Jenaro telah membuat sebuah kumpulan whatsApp yang diberi nama ‘Burasak Online’. Untuk ahli-ahlinya, Jenaro memasukkan nama-nama dan nombor-nombor telefon yang didapati dari senarai ahli khariah surau dan juga dari rakan kenalannya. Lebih kurang enam puluh nama dan nombor telefon saja yang berjaya dimasukkannya dalam kumpulan itu.

Selepas kumpulan ‘Burasak Online’ ditubuhkan, Jenaro terus menghantar iklan perkhidmatan jualan burasaknya melalui whatsApp kepada semua ahli kumpulan. Selepas beberapa hari, berita tentang rancangan Jenaro mahu menjual burasak secara online mulai gah diperkatakan oleh orang-orang kampung dan kawasan flat kediaman sekitar yang mengenalinya. Ada yang memberi semangat dan tidak kurang juga yang kurang percaya. Mampukah seorang pengawal keselamatan menukar kerjayanya sebagai penjual burasak?

          Malam itu selepas selesai solat Isyak, berzikir dan berdoa, Jenaro terus melangkah ke dapur. Di situ dia meneguk secawan kopi, menjamah dua keping sukun goreng kemudian duduk di kerusi mengadap muka tingkap yang terkuak lebar. Angin malam yang menderu segar sedikit menyejukkan badannya yang masih berpeluh. Peluh juga kelihatan merenik di dahinya. Sejurus kemudian isterinya Mak Sodah turut melabuhkan punggung di hadapan Jenaro.

          “Tiga hari lagi aku nak mulakan perniagaan aku tu, Odah! Sudah dua hari aku buka tempahan melalui whatsApp. Sesiapa yang nak beli burasak, aku minta mereka bagi nama, berapa bungkus burasak yang mereka nak dan alamat rumah mereka. Dengan cara itu senanglah aku nak sediakan. Selepas aku tahu berapa banyak burasak yang pelanggan nak beli, barulah aku buat,” jelas Jenaro panjang lebar.

Mak Sodah mengangguk-angguk. “Err... siapa yang nak bantu abang hantar burasak-burasak tu?” Mak Sodah ingin tahu.

“Yang dekat-dekat dengan rumah, anak kita Karim boleh tolong hantarkan... yang jauh akulah yang menghantarnya,” ujar Jenaro

Mak Sodah mengangguk-angguk lagi mendengar kata-kata Jenaro. “Dah ada ke orang yang nak beli burasak abang tu?” soalnya setagal kemudian.

“Setakat ni aku dah ada sepuluh orang pembeli, Odah! Mereka dah buat tempahan melalui whatsapp,” jawab Jenaro. “Ada yang nak beli 5 bungkus, ada yang nak beli 8 bungkus, semuanya hampir 70 bungkus juga.”

“Banyak juga tu...”

“Ya, Odah!” cantas Jenaro cepat. “Ni baru hasil dari iklan yang aku buat dalam whatsApp. Kalau aku buat iklan dalam facebook, dan yang lain-lain... tentu banyak lagi tempahan,”

“Abang pandai ke main facebook?” Mak Sodah ketawa terkekek-kekek. “Setahu Odah, kalau Karim tak ajar abang buka whatsApp, entah-entah sampai mati pun abang tak tahu nak guna whatsApp tu,”

 Jenaro turut ketawa dengan kata-kata isterinya. Dia tidak menafikan. Memang dia tidak tahu banyak berkenaan telefon zaman sekarang ini yang ada pelbagai aplikasi seperti facebook, wechat, viber, skype, twitter, instagram, whatsApp dan entah apa-apa lagi yang dia sendiri tak tahu nak menyebutnya.

“Kalau permintaan terlalu banyak, tak mampu kita nak menghantarnya,” ujar Mak Sodah mematikan sejenak ngeluyur benak Jenaro.

“Itu awak jangan bimbang, Odah! Jika pelanggan kita dah terlalu ramai, aku akan upah pekerja untuk tolong kita,”

          “Jangan beranganlah, bang! Nak berniaga ikut kemampuanlah”

           Jenaro tersengih, “Tak salah nak berangan, kan?”

 

* * *

 

Hari pertama memulakan khidmat penghantaran burasak kepada para pelanggan, amat menggembirakan hati Jenaro. Semua burasak yang ditempah selamat dihantar kepada para pelanggan. Hari itu Jenaro menghantar lebih 70 bungkus burasak ke sepuluh buah rumah. Masing-masing mengucapkan terima kasih kepada Jenaro kerana menyediakan perkhidmatan menghantar pesanan ke rumah mereka. Tak perlulah mereka ke pasar lagi untuk membeli burasak. .

Masuk minggu kedua, Jenaro mulai rasa letih sedikit. Ini kerana dia terpaksa menghantar burasak kepada pelanggan yang tinggal jauh dari rumahnya. Ada yang sejauh lapan kilometer dari rumahnya. Memang Jenaro berasa amat letih sekali. Tercungap-cungap dia dibuat dek keletihan itu. Maklumlah, umurnya juga sudah menjangkau 58 tahun. Di samping terpaksa meredah pelbagai halangan di atas jalan dan lorong, Jenaro juga terpaksa menghadapi pelbagai soalan dari anggota polis dan tentera bertugas yang membuat sekatan di jalan raya. Yang paling sedihnya, ada pelanggan yang berhutang dengan Jenaro. Alasannya, tak ada duit. Namun semangat Jenaro tidak mudah cair dengan semua dugaan tersebut.

Bagi Jenaro, itu adalah kendala atau hambatan kecil yang harus dihadapinya. Selagi ada sabar dan tawakal, pasti ada kejayaan dalam apa juga kerja. Sekali-kali Jenaro tidak menyesal memilih burasak sebagai sumber rezekinya pada musim PKP ini. Baginya, burasak adalah makanan tradisi Bugis yang wajar diketengahkan kepada masyarakat moden sekarang. Burasak yang dijualnya tidak terlau mahal dan mampu dibeli oleh para pelanggannya yang kebanyakannya adalah pekerja yang berpendapatan rendah.

 Jenaro yakin, menjual burasak ini adalah satu usaha yang sangat murni mertabatnya. Ia juga termasuk dalam kumpulan petugas barisan hadapan untuk negara. Walaupun tugasnya tidak seperti doktor, jururawat, polis atau tentera, tetapi dia juga berkhidmat untuk kesenangan masyarakat. Tidak semua pelanggannya yang dapat keluar dari rumah untuk mencari burasak yang dijual di pasar.

Alhamdulillah, lebih kurang dua minggu saja berita tentang perkhidmatan ’Burasak Online’ Jenaro sudah tersebar seperti angin. Masuk minggu ketiga, tempahan sudah mulai meningkat dari 70 kepada 100 bungkus. Namun begitu, apabila semakin banyak tempahan, semakin banyak juga kendala yang Jenaro hadapi.

          “Kita kena upah orang hantar burasak kita, bang!” ujar Mak Sodah senja itu sebaik dia dan Jenaro selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah.

          “Tapi, siapa yang nak bekerja hantar burasak, Odah? Si Karim hanya mampu hantar kepada para pembeli yang dekat dengan rumah kita saja. Yang jauh, dia nak hantar dengan apa? Kita ada sebuah saja motosikal,”

“Cubalah tanya kawan-kawan Karim yang ada motor. Nak tak mereka bekerja hantar burasak,” ujar Mak Sodah memberi pandangan.

          “Saya dah tanya kawan-kawan saya, ayah... tapi tak ada seorang pun yang nak bekerja hantar burasak,” ujar Karim.

           Jenaro mengeluh panjang dan dalam. Beberapa jenak dia mencerlung tunak-tunak wajah Mak Sodah seolah-olah memohon pandangan. Tapi isterinya itu hanya terkebil-kebil saja.

“Walau macam manapun aku terpaksa hantar juga semua tempahan orang,” tegas Jenaro.

“Abang larat ke... terutama nak naik tangga tingkat lima flat tu?” tanya Mak Sodah. “Abang tu dah tua, tenaga tak macam masa muda dulu.”

“Larat tak laratpun, aku kena buat juga. Ini tanggungjawab dan amanah orang,” tegas Jenaro. “Kalau aku tak hantar, siapa lagi yang nak hantar. Berdosa aku, Odah! Menghampakan harapan orang.”

 

* * *

 

Masuk minggu kelima. Malam itu wajah Jenaro agak muram. Sebaik selesai solat Isya, dia termenung di ruang tamu sambil menyandarkan badannya ke dinding. Gelagatnya dapat dikesan oleh Mak Sodah.

          “Kenapa dengan abang ni? Macam orang mati bini saja!” tanya Mak Sodah lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Jenaro.   

          “Tak ada apa-apa!” ujar Jenaro acuh tak acuh.

          “Hai, tak kan tak ada apa-apa!” Mak Sodah sedikit tersenyum. “Abang ni berangan nak kahwin lagi agaknya?”

          “Tak adalah! Takkan aku nak kahwin pula! Sekarang ni musim PKP, nak ke mana pun tak boleh,” jawab Jenaro.

          “Habis, yang abang termenung tu, kenapa?” Mak Sodah cuba mencungkil.

          “Aku memikirkan soal perniagaan aku ni!” ujar Jenaro polos.

          “Kenapa?” tanya Mak Sodah tercolek ingin tahu.

“Aku dah ambil keputusan tak nak berniaga lagi!” ujar Jenaro lirih.

Mulut Mak Sodah gesit melopong. “Kenapa? Bukankah ramai yang tempah burasak dari abang?”

“Memang ramai tapi ramai juga yang berhutang dengan aku,” jawab Jenaro sedih. “Sampai makan pokok, macam mana aku nak berniaga?”

Biji mata Mak Sodah terkesip-kesip. Mulutnya pelohong lagi. “Kenapa abang bagi mereka hutang?” soalnya setagal kemudian.

“Tak sampai hati pula aku tengok, Odah! Mereka yang berhutang tu memang orang susah. Kebanyakannya tak ada suami, ibu tunggal... pendapatan tak ada. Anak-anak nak makan. Aku terpaksa bagi... aku niat sedekah,” suara Jenaro bernada sayu.

Bagi Jenaro, hanya itu saja pahala yang dapat dia cari dalam waktu-waktu negara dibelenggu PKP ini. Dia tidak kesal malah bersyukur kerana dapat juga bersedekah walaupun dia sendiri bukanlah orang yang berada.

Malam merangkak semakin jauh. Alam sekeliling semakin sepi kerana erat didakap PKP. Jenaro hanya mampu berdoa dalam hati. Cepat-cepatlah Covid-19 ini menghilang dari bumi nan makmur ini. Semoga PKP tiada lagi. Dalam kalangan masyarakat masih ramai yang menderita hidupnya kerana virus durjana ini. Jangan biarkan mereka terus hidup dalam kesengsaraan di tanah air sendiri.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA