Khamis, 21 Disember 2023

KUDRAT SEORANG PENGARANG

SMAHADZIR

 

PEREMPUAN itu, dengan blazer biru, duduk di pojok membelakangi pintu. Mungkin sedang menunggu. Mungkin ingin dibelai manja. Didekati dengan permintaan maaf romantis lalu bergurau-senda. Mungkin. Menghadapi jus oren dan menghabiskan biskut coklat dengan perlahan. Menghayatinya, seakan-akan tidak akan ada lagi ketika untuk makan minum. Tetapi apakah kebahagiaan cuma itu? Sesederhana itu? Nur Habibah Dato Paduka Osman Halimin muncul.

“Sudah lama?” soalnya.

Aku menggeleng mengisyaratkan tidak terlalu lama. Sekadar lebih kurang lima belas minit saja lamanya. Aku menarik kerusi untuknya. Membiarkannya duduk sambil menyedut bau pewangi yang menggerbak dari tubuhnya.

“Ganti pewangi?” soalku.

Nur Habibah tersenyum lesu. “Pakai pewangi yang sama pun jemu juga!” ujarnya bersahaja. Kemudian tersenyum. Meraih menu dan memilih hidangan yang berkenan di hati.

Aku menyandar. Menyemak profil. Tersentak ketika dia tengadah.

“Kamu sudah pesan?”

“Belum lagi!” jawabku.

“Laa, kenapa tak pesan? Kenapa tunggu aku?”

“Aku fikir kamu mempunyai selera yang bagus? Tolong pilihkan untuk aku sekali!”

Nur Habibah tersenyum lagi. Tangan teracung, telunjuk menuding, sambil menggelengkan kepalanya. Menulis. Menyorongkannya sambil bersandar menunggu pelayan mengambil pesanan. Aku menyemak tape, menyerap suasana tenang di restoran ketika makan tengah hari akan dimulai, dan jalanan lengang.

Kota menyembunyikan orang ramai dalam pejabat, tekun semuanya dalam usaha mencukupi keperluan hidup. Ya! Tetapi perempuan di pojok itu, yang membelakangi pintu dan sibuk dengan menu sederhana itu? Seorang penganggurkah dia? Seorang yang sedang menghabiskan cuti tahunankah? Siapakah dia?

“Ada apa, Fikri? Apa yang kamu sedang fikirkan?” soal Nur Habibah.

 

* * *

 

Di Mega Bookstore, di bahagian buku sastera, aku melihat perempuan itu lagi. Blazer krem dengan baju panjang span krem belahan belakang. Juga baju dalam tanpa leher. Berdiri, memusatkan diri pada sebuah buku. Dibaca kulit belakangnya, hingga kelihatan cover-nya. Hitam berbunga daffodil timbul. Antologi cerpen penulis Pujangga Marhaen - Jalan Lengang.

Perlahan-lahan aku mendekat. Meraih buku yang sama. Menyemak gambar kulit, memeriksa daftar isi. Ada sembilan belas buah cerpen. Tiga darinya serasanya pernah dibaca dalam majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Dia pengarang yang bagus…” aku cuba bersuara.

Dia gesit mengalihkan pandangan matanya kepadaku.

“Novel Persembahan Terakhir karangannya diakui ramai pengkaji sastera sebagai sebuah novel yang baik, mempunyai ciri-ciri yang dapat menarik minat pembaca untuk menghayati ceritanya..” tokokku mengumpan perbualan dengannya.

Dia mengangguk.

“Tema yang dipaparkan hebat, tema ketabahan dan kegigihan seorang pemuda kampung untuk mencapai kejayaan…” ujarku mulai bersemangat.

“Teruskan..” katanya, lunak.

“Err, Ikram yang tidak mempunyai pendidikan tinggi akhirnya telah menjadi seorang penggubah lagu yang terkenal berkat ketabahan dan kegigihannya. Untuk membuktikan kejayaannya, dia diberi penghargaan untuk memimpin Persembahan Orkes Perdana yang telah dihadiri oleh Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong…”

“Saya dah baca novel ni,” dia mencantas.

“Novel ni mengetengahkan gaya bahasa yang menarik, dipenuhi diksi moden seperti penggunaan bahasa Inggeris untuk menyokong latar masyarakat dalam cerita. Selain itu watak antagonisnya juga berjaya menghidupkan jalan cerita. Penulis ini berjaya menghidupkan watak antagonis dengan berkesan. Kekejaman yang dilakukan oleh watak antagonis dan kebenciannya terhadap Ikram telah berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Contohnya, Ikram dilarang makan malam adalah antara bentuk hukuman yang keras dijatuhkan oleh watak antagonisnya. Watak itu sanggup menjatuhkan hukuman tersebut tanpa perikemanusiaan. Tindakan ini berjaya menimbulkan rasa benci pembaca terhadapnya.” Panjang lebar aku mencerlus tentang Persembahan Terakhir karya Pujangga Marhaen itu

Perempuan itu memandang wajahku tunak-tunak.

“Maaf, itu serba sedikit yang saya tahu tentang Persembahan Terakhir karangan penulis Pujangga Marhaen ini. Kamu menyukainya?” aku bertanya.

Perempuan itu tersenyum. Mengangguk kecil. Meletakkannya, meraih novel Pujangga Marhaen lagi sebuah, Seleret Cahaya. Diterbitkan oleh Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd. Ya! Perempuan itu membaca kulit belakang, dan melirik. Menunjukkannya sambil mengangguk lagi.

Aku tersenyum. Aku juga pernah menulis rencananya di dalam laman web Klik-web DBP. Ya! Aku tersenyum. Aku menarik nafas, mengumpulkan ingatan. Tersenyum lagi dan mengangguk kecil.

“Kamu sudah membaca novel Seleret Cahaya ni?” soalnya kepadaku.

“Saya yang menulis biografi penulis prolifik ini dalam laman web... novel ni juga saya dah hadam plotnya.”

“Bagus tak ceritanya?” soalnya lagi.

“Bagus juga,” jawabku.

“Bagus macam mana?”

“Seleret Cahaya ni bukanlah sebuah cerita biasa kerana dalam kehalusan ceritanya tersirat berbagai erti tentang masyarakat dan pengalaman tokoh seniman dalam zamannya,” ujarku. “Tokoh seniman dalam novel ni adalah seorang penglipurlara yang hidup sebelum dan sewaktu Perang Dunia Kedua. Novel ni berkisar pada kehidupan Pak Dolah, seorang tukang cerita, yang menghadapi saat-saat hidup yang memilukan. Zaman yang berubah mengancam kedudukan dan peranan pentingnya kerana masyarakat tidak lagi meminati seni yang diwarisi, terutama generasi muda, akibat dari perubahan nilai dan kemajuan material. Perasaan dan harapan Pak Dolah menjadi bertambah pahit apabila kepandaiannya itu tidak dapat dipindahkan kepada satu-satunya anak lelakinya yang cacat akal sejak kecil.”

“Wau, hebat ceritanya,” dia memuji seraya mengacungkan ibu jarinya kepadaku.

“Sebab penulisnya hebat,” ujarku.

“Kamu juga seorang penulis rupanya,” dia tersenyum manis.

“Sikit-sikit..” Aku bersuara gembira sembari menghulurkan tangan dan perempuan itu menerimanya. Kami bertukar nama - bertukar kad nama. Aku mengukuhi kompilasi cerpen Pujangga Marhaen.

Aku merancang membelinya untuk melengkapi koleksi buku sastera, sekali gus akan membuat sebuah makalah di Dewan Sastera. Seperti biasanya. Menarik nafas memperhatikannya menjauh - ke rak majalah hiburan. Kemampuannya ada di sana. Cuma ingin dibawa oleh suspens, terumbang-ambing lupa segala. Terhibur atau menghibur diri?

 

* * *

 

Siti Nordiana menelefon, cerpen Belantara Cinta muncul di aroma. Aku terkejut. Pertama, aku belum tahu bahawa cerpen yang dikirim tiga bulan lalu itu telah tersiar. Kedua, Siti Nordiana ternyata masih ingatkan aku.

“Itu bagus, tahniah Fikri!” katanya, menggoda.

Aku tertawa. Aku tidak tahu berkata apa-apa lagi. Sebuah cerpen, yang ditulis tidak serius, disediakan untuk majalah hiburan, tetapi diperlukan sebagai sesuatu yang besar. Seharusnya cuma dianggap hiburan, diperlukan sebagai sesuatu yang menghibur. Aku memindahkan telefon bimbitku ke pipi lain.

Aku memerhatikan monitor komputer, tulisan memenuhi layar dan hilang diganti oleh konfigurasi 3-D. Aku sedang menulis novelet dengan asas autobiografi Nur Habibah Dato Paduka Osman Halimin.

“Tulisan apa adanya,” katanya, di restoran, “Biar aku lega, bebas dari beban batin. Terus terang, sudah lama aku ingin mengungkapkannya tapi tak mampu - tak ada bakat. Apakah kamu mampu, Fikri?”

“Ya! Serasanya mampu!”  

Tetapi apakah aku ingin menolong Nur Habibah melakukan katarsis atau aku usil ingin mengetahui apa yang telah terjadi di dalam masa sepuluh tahun itu? Perasaan-perasaannya, kepada Imran, setelah sepuluh tahun berpisah? Terutamanya sebaik selesai seminar yang perih itu: Berkurang atau tetap membara?

Mereka bercinta, berhasrat akan menikah. Tetapi orang tua Nur Habibah iaitu Dato Paduka Osman Halimin dan Datin Muriyani Dato Khuzair memisahkannya dengan kasar. Mengawalnya ke manapun pergi - dengan kereta dan pemandu tetap. Aku merasa senang. Tenang. Aku berfikiran: Perasaannya akan dilindungi, aman terisolasi, hingga aku akan memiliki kesempatan untuk menyelinap memasuki hatinya.

Nyatanya, meskipun Imran dijauhkan, Nur Habibah tetap merindukannya. Aku berundur, memutuskan pergi ke Kuala Lumpur, cuba merintis jalan berjaya dan merengkuhnya. Nyata - sepuluh tahun kemudian kami bertemu di dalam seminar, aku menangis ketika menyedari dia masih merindui Imran, dan memilih mengekalkan cintanya meski Imran sudah menikah dan mempunyai dua orang cahaya mata: Meleset!

Bahkan dia minta agar aku menulis sebuah novel tentang cinta abadinya kepada Imran, tentang penyesalannya kerana tidak berani menentang orang tua, dan pilihannya untuk tetap bertahan membujang. Ya! Apa lagi yang mampu dilakukan? Apakah ikut melaksanakan cinta terpendam, kepahitan gagal dicintai oleh orang yang sangat dirindui, ke dalam cinta platoniknya Nur Habibah? Sebuah empati untuk semacam melodrama kosong, yang tak punya apa-apa makna? Aku menelan liur. Memejam.

“Hello?”

Sorry, Diana, sorry. Aku sedang menulis ni! Selepas ingatan ada di dalam pen drive, separuhnya dibawa kamu ke dalam cerpen yang separuh aku ingat akannya..”

“Aku mengganggu ya?” kata Siti Nordiana bernada kesal.

“Tidak.. lagi bingung menguraikan benang.. kusut.. fakta, fantasi dan emosi. Aku.. diminta kawan menfiksikan pengalamannya menjadi anak taat, lalu kehilangan jati diri.”

“Kawan kamu yang di Restoran Siti Khadijah itu ya?”

“Apa?”

“Aku pernah melihat kamu bersamanya di Restoran Siti Khadijah tu! Ya kan?”

“Mengarut..”

“Heh, kawan atau buah hati? Ayuh, jangan berahsia pula...”

 

* * *

 

Nur Habibah bertanya tentang draf novelnya. Aku menarik nafas panjang. Bergentayangan di cepu kepala memori masa di sekolah menengah sekali lagi. Aku berkawan dengan Imran, dan sama-sama meminati Nur Habibah. Imran lebih agresif kerana memiliki segala syarat sebagai lelaki yang kacak di hadapan Nur Habibah yang juga ayu.

Mereka menjadikan aku sebagai posmen. Aku membawa surat Imran kepada Nur Habibah, aku membawa surat Nur Habibah kepada Imran, dan juga menemani mereka menonton filem Bobby atau makan ais krim di tepi sungai. Terpanggang kerana aku senantiasa ingin menendang Imran, kerana aku selalu ingin merangkul Nur Habibah. Sekali gus sedar bahawa aku cuma anak keempat seorang guru - ibu suri rumah sepenuh masa - yang menyekolahkan anaknya dengan banyak menunggak lain-lain perbelanjaan. Aku merasa terlalu kerdil. Seperti sampah. Lantaran itu aku bermimpi menjadi orang besar dan dikenangi Nur Habibah. Sekarang aku dikenangi, sekadar penampung ceria.

“Macam mana, Fikri?”

“Susah...”

“Laa… macam mana ni? Katanya mampu. Mudah...”

“Bukan begitu. Aku tak mampu membuat jarak. Aku kenal kamu, aku kenal Imran, aku tahu semua tokoh utama yang wujud dalam hidup kamu tu! Ini bukan cuma masalah orang tua dengan anak. Ini masalah Dato Paduka Osman Halimin dan Datin Muriyani Dato Khuzair - orang besar.”

“Wah, sampai ke situ perginya..”

“Sastera mesti berani menampilkan cerita sebenar meski watak boleh ditukar kepada nama lain..”

“Jadi?”

“Apakah wajar menepuk air di dulang lalu terpercik ke muka sendiri? Meski dengan nama samaran?”

“Lupakanlah…”

Nur Habibah menunduk. Kecewa. Dia menyatakan bahawa gagasanku itu mungkin benar, bahawa semua keinginannya itu mungkin kerana dia terlalu lama mengharap dan kehilangan harapan ketika mengetahui Imran tidak lagi mengingatinya.

“Barangkali memang bodoh. Dungu mengharapkannya, kecewa dan menyalahkan orang tua yang menyebabkan semua itu. Mengapa tidak melihatnya sebagai masa muda. Impian yang harus dihapuskan. Cinta untuk dilupakan. Maafkan aku, Fikri!”

Aku termangu-mangu. Apakah aku juga harus ikut melupakannya seperti sepuluh tahun lalu, mengambil keputusan meninggalkan dia bersendirian? Melenyapkan segala, mencabut akar kewujudan, dan membuang diri ke Kuala Lumpur?

Lantas apa yang tersisa bila aku menghapuskan Nur Habibah, yang menjadi motivasi aktualisasi ketika ini? Semangat aktualisasi diri. Energi dan tuntutan untuk berjaya. Sauh kebanggaan, malah mengingkari diri, ketika dibawa ke seminar itu.

Fatamorgana yang menyakitkan, sangat menyakitkan, ketika diminta cuma ditelan dan tidak diungkapkan, kerana Nur Habibah menelan pil pahit? Mengapa Imran yang bebas dan berbahagia? Apakah kini aku harus menulis dengan rasa sarat kebencian - selain kesunyian dan rindu?

Aku meraih dompet, mencari kad nama Siti Nordiana Hamdani. Berhasrat untuk sekadar mengajaknya menonton dan berbual. Aku menghubunginya. Menunggu, terus menunggu. Lalu terdengar suara yang amat mengantuk. Aku menggodanya. Siti Nordiana menguap - mungkin telefon di sisi pembaringan.

“Sorry. Aku sudah diajak tunangku ke Cameron Highlands. Dan mungkin lain kali saja, Fikri,” katanya. Telefon ditangkupkan. Seberang mendengung.

Aku memejam. Mengembalikan semula perhatian dan berhadapan dengan deretan huruf dan angka telefon bimbit di tangan. Apakah aku harus menelefon orang lain pula? Atau pulang dan kembali mengetik laptop-ku menyiapkan sajak, cerpen dan juga artikel yang masih perlu diperbaiki? Atau menyiapkan kompilasi cerpen, menulis rencana atau kritikan, menyusun artikel atau kolom, dan berpuisi. Dan macam-macam lagi aku boleh lakukan.

Bergulat dengan sepi dan berpura-pura tidak kesepian dengan menulis tentang kesepian secara teramat indah. Tertawa di dalam kesedihan. Tidak muram kerana mampu mentertawakan kesedihan? Begitukah kudrat seorang pengarang? Begitukah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA