Selasa, 26 Disember 2023

TAMBAH RUMAH

SMAHADZIR


Kotak fikir Haji Usfan berligar-ligar sambil bersandar pada dinding ruang tamu. Matanya berkelintar ke seluruh ruang tersebut biarpun ketika itu keriuhan suara anak cucunya bagaikan suara gerapak katak musim hujan. Riuh-rendah dengan pelbagai ragam dan gelagat.

            Baginya, itu merupakan satu nikmat anugerah Allah yang tidak boleh dihalang. Memang Allah mensyariatkan perkahwinan bagi memakmurkan bumi ini dengan zuriat-zuriat beriman. Dia sedar hakikat itu.

            Tetapi yang menjadi masalahnya sekarang ialah ruang rumahnya yang seolah-olah kian sempit itu. Kalau dulu, sewaktu tiga orang anaknya belum berkeluarga, rumah itu amat selesa dan luas. Tetapi kini bila mereka sudah beranak-pinak, ruang rumah itu mendadak saja dirasakan sempit dan merimaskan. Haji Usfan memicit-micit dahi melihat kerenah cucu-cucunya yang berlari dan kadang-kadang terguling-guling kerana tersandung sesama sendiri.

            Memang rumah itu sudah menjadi sempit jika hendak dibandingkan dengan jumlah cucu-cucunya yang semakin bertambah dan membesar. Anak Rodi empat orang, semuanya lelaki. Anak Hambali pula ada enam orang. Tiga lelaki dan tiga perempuan.

            Manakala anak Zuhairan pula ada lima orang. Empat lelaki dan seorang perempuan. Jumlah kesemua cucunya ialah lima belas orang. Itu tidak dicampur lagi dengan emak bapa mereka. Pendek kata, memang rumah itu benar-benar sudah sempit dan melemaskan.

            Tiba masa tidur, ada yang bergelimpang di ruang tamu kerana tidak cukup bilik. Dua bilik yang ada sudah dipenuhi oleh Rodi dan Hambali anak-beranak. Terpaksalah Zuhairan tidur di ruang tamu, di celah-celah kerusi empuk bersama anak-anak bininya.

            Dua tiga orang lagi cucu lelakinya yang sudah besar panjang terpaksa tidur di ruang dapur. Mereka tidak kisah tidur di mana sekalipun. Kalau disuruh tidur di atas pangkin bawah rumahpun mereka sanggup asalkan dapat pulang ke kampung untuk bertemu dengan datuk nenek.

            “Cuti hujung tahun nanti macam mana?” tanya Haji Usfan malam itu. Ketika itu dia dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu. “Kamu semua tak nak ambil cuti tahun ke?”

            “Itu mesti, ayah! Rugilah kalau tak ambil!” balas Hambali yang duduk di sisi Rodi.

            “Ayah harap kamu semua dapat pulang sebab Pak Ngah Melan kamu nak mengahwinkan anaknya!” ujar Haji Usfan.

            “Si Maheran ke ayah?” tanya Zuriani, isteri kepada Hambali.

            Haji Usfan mengangguk. “Bakal suaminya seorang guru. Sekarang ni mengajar di Perak!”

            “Berkahwin juga dia akhirnya!” ujar Rodi. “Dulu bukan main malu lagi dengan lelaki…”

            “Dah sampai seru!” celah Hambali sambil tersenyum.

            “Jadi, kamu semua nak balik ke tidak?” tanya Haji Usfan lagi bagaikan inginkan kepastian.

            “Oo… mestilah balik, ayah! Bukankah Maheran tu sepupu kami. Kalau tak balik, kecil pula hatinya nanti!” ujar Hambali sambil menjeling ke arah isterinya Siti Zaleha. Siti Zaleha tersenyum sahaja.

            “Kamu pula macam mana, Ran?” tanya Haji Usfan lagi.

            “Kami sebenarnya sudah sepakat, ayah! Kami memang nak balik. Pak Ngah Melan dah beritahu saya tentang perkahwinan Maheran tu!” terang Zuhairan.

            “Kalau begitu, ayah terpaksa juga perbesarkan rumah ni. Biar kamu semua selesa sikit. Ayah kasihan tengok cucu-cucu ayah tu bergelimpangan tak tentu tempat. Kalau ayah perbesarkan rumah ni, taklah mereka berebut tempat nak tidur, nak baring-baring siang haripun senang,” balas Haji Usfan panjang lebar.

            “Alaa, buat apa susah-susah, ayah! Rumah yang ada nipun dah cukup selesa. Lagipun, bukannya kami balik selalu,” Rodi bagaikan kurang bersetuju.

            “Itu kata kamu! Kata ayah kamu tu lain pula!” tiba-tiba Mak Seniah mencelah seraya menatang dulang ayan berisi cawan dan sejag kopi panas. Dulang itu diletakkan di hadapan Haji Usfan lalu melabuhkan punggungnya di sisi Hambali.

            “Saya rasa betul cakap Rodi tu, ayah!” sokong Hambali. “Buat apa ayah nak perbesarkan rumah ni. Lebih baik duit yang ada tu hantar emak ke Mekah. Saya dengar, makpun teringin juga nak ke sana!”

            “Betul juga tu, ayah!” Zuhairan menokok sokongan. “Lagipun, kalau ayah perbesarkanpun tak guna juga. Lepas kami balik, kosong juga rumah ni,”

            “Alah, apa salahnya. Untuk kesenangan kamu semua juga,” kata Haji Usfan tegas. “Ayah bukannya fikirkan soal tu tapi soal cucu-cucu ayah yang ramai tu. Mereka tak ada tempat langsung nak bermain. Bergerak sikit, terlanggar sesama sendiri. Berlari sikit, tersandung kaki kawan. Bila waktu tidur, ayah tengok masing-masing macam tongkang pecah. Sana satu, sini satu. Ada yang kepalanya ke sana, ada yang kepalanya ke sini. Kadang-kadang tu, kepala masuk celah kangkang orang lain,”

             Rodi, Hambali dan Zuhairan mengangguk dan masing-masing terhimbau untuk ketawa dengan penjelasan ayah mereka. Mereka memang tidak menafikan hakikat tersebut. Namun, itu bukanlah tidak selesa namanya. Bagi mereka, apalah salahnya jika alami suasana begitu sekali sekala. Lagipun, itulah salah satu bentuk kemanisannya bila pulang ke kampung.

            Sebaik sahaja anak-anak cucunya pulang ke kota empat hari selepas itu, Haji Usfan mulai sibuk mencongak itu dan ini. Dia sudah membayangkan rupa bentuk rumah yang bakal ditambah nanti. Rumah atas akan diturunkan ke bawah. Tangga tak payah ada. Kalau ada tangga susah pula nak kawal cucu-cucunya yang nakal dan masih kecil itu.

            “Apa yang abang terkumat-kamit tu?” tanya Mak Seniah kala melihat Haji Usfan terkumat-kamit di ruang tamu suatu malam.

            “Saya sedang mengira jumlah modal yang nak digunakan untuk perbesarkan rumah ni!” jawab Haji Usfan.

            “Banyak ke bang?” tanya Mak Seniah.

            “Tak tahu lagi! Ini kena tanya tukanglah!”

            “Tukang mana yang abang nak ambil?”

            “Eh, tukang mana lagi, Deraman Tukanglah! Bukan ke dia saja tukang rumah yang ada di kampung kita ni?”

            Mak Seniah mengangguk-angguk.

            “Saya bercadang nah jatuhkan ruang anjung ni bawah. Lantainya simen. Tambah lagi dua bilik. Setiap bilik ada bilik mandi. Ruang dapur kita panjangkan ke belakang. Besarkan ruang rehat. Saya juga bercadang nak buat tiga buah garaj kereta, senang sikit kereta anak-anak kita nak letak nanti!” panjang lebar Haji Usfan membariskan cadangannya.

            Mak Seniah tidak berkata apa-apa. Baginya, memperbesarkan rumah ada juga baiknya. Dalam soal ini, dia bersikap biasa saja. Semuanya terserah kepada Haji Usfan. Baik kata suaminya, baiklah katanya. Haji Usfan mencapai sehelai kertas lalu mencoret-coretkan sesuatu. Sejurus kemudian, kertas itu direnyuk-renyuk, digumpal-gumpal dan diletakkan ke sisi. Sehelai lagi kertas diambil. Dicoret-coret lagi. Lepas itu direnyuk-renyuk dan digumpal-gumpalkan pula seperti tadi. Ini menimbulkan kehairanan di hati Mak Seniah.

            “Apa hal ni, bang? Lukis-lukis renyuk, lukis-lukis renyuk!” tanya Mak Seniah tak dapat ditahan-tahan.

            “Kan saya nak perbesarkan rumah ni! Saya sedang lukis bentuk bahagian yang nak kita tambah itulah!” terang Haji Usfan.

            “Cakap saja pada tukang rumah, dia tahulah apa yang nak dibuatnya!” usul Mak Seniah.

            “Nanti apa yang kita cakap, lain pula yang dibuatnya!”

            Mak Seniah diam.

            Haji Usfan mengeluh sejenak. “Hai, susah juga nak buat rumah baru ni…”

            “Nak tambah ke nak buat rumah baru?” celah Mak Seniah sedikit menyinis.

            “Dua-duapun boleh!” Haji Usfan bersahaja.

            “Mana yang lebih baik?”

            “Kalau nak ikut, buat rumah baru lagi baik!” Haji Usfan tersenyum kecil namun beriak nakal.

            Mak Seniah pantas pula terkesan. “Dah buang tabiat?”

            “Apa salahnya kalau mampu!” balas Haji Usfan bersahaja.

            “Abang masih mampu dan teringin lagi ke nak buat rumah baru?” Mak Seniah sekadar menduga.

            “Eh, takkanlah saya tergamak nak tinggalkan awak, Seniah?”

            “Orang lelaki, bang! Cakap selalunya bukan serupa bikin!” Mak Seniah mencebek.

            “Jangan samakan orang lain dengan saya, Seniah! Mereka lain, saya lain!”

            “Lain apa ke bendanya, bang? Sama saja. Orang lelaki sama saja!” tekan Mak Seniah serius.

            “Dah berpuluh tahun kita kahwin, Seniah! Takkan awak masih lagi tak percayakan saya?” balas Haji Usfan cuba mententeramkan suasana yang dirasakan mulai panas itu. Dia tahu, Mak Seniah masih ada perasaan cemburu walaupun sudah tua.

            Mak Seniah diam tetapi bibir kedutnya mengukir sedikit senyum. “Buat yang perlu saja, bang! Jangan sampai membazir pulak,” pesannya lembut.

            Haji Usfan mengangguk dan senyum.

 

* * *

Siapa yang tak kenal dengan Deraman Tukang di Kampung Bongor ini. Boleh dikatakan semua rumah orang-orang Kampung Bongor dialah yang tukangkan. Nama Deraman Tukang juga sudah gah sampai meruah ke kampung sebelah iaitu Kampung Alor. Kerap juga orang-orang Kampung Alor itu mengundangnya untuk bertukang di sana.

            “Lepas ni kamu kena buat rumah saya pula!” ujar Haji Usfan suatu hari sewaktu bertemu dengan Deraman Tukang di warung kopi Lebai Senawi di hujung kampung.

             “Boleh Haji! Saya baru saja menyiapkan rumah Pak Senik dua hari lalu. Err, bila boleh mula?” tanya Deraman Tukang bagaikan sudah bersetuju.

            “Kamu belum lagi tahu apa yang perlu kamu buat!” ujar Haji Usfan sambil menghirup kopi pekat di hadapannya.

            “Ha, apa yang perlu saya buat? Nak buat rumah baru ke atau nak besarkan rumah yang ada tu?” tanya Deraman Tukang bagaikan tidak sabar.

            “Saya cuma nak besarkan sikit ruang anjung, ruang dapur, buat garaj kereta dan tambah dua lagi bilik tidur!” jelas Haji Usfan.

            Deraman Tukang mengangguk-angguk sambil otaknya berkelintar mengira-ngira jumlah kayu, simen, papan, dan sebagainya yang bakal digunakan. Dari pengalamannya, dia dapat mengagak modal yang terpaksa disediakan oleh Haji Usfan.

            “Kalau boleh, kamu datang ke rumah saya dan saya akan tunjukkan luas mana tambahan yang perlu. Ha, lepas tu, kamu kiralah berapa harganya!” ujar Haji Usfan lagi.

            Deraman Tukang terus mengangguk.

            Seminggu selepas itu Deraman Tukang menjadi sibuk dengan tugasannya. Saban hari dia berulang-alik ke rumah Haji Usfan. Pagi datang, petangpun datang. Kadang-kadang, malampun datang lagi untuk berbincang dengan Haji Usfan mengenai apa-apa yang tidak cukup dan perlu ditambah.

            “Kamu ada apa-apa cadangan bentuk tambahan yang kamu nak buat tu?” tanya Haji Usfan suatu malam sewaktu Deraman Tukang datang lagi ke rumahnya sebaik dia selesai menunaikan solat Isya.

            “Saya cadangkan Haji besarkan rumah ni ikut fesyen sebuah rumah di Kampung Alor!” cadang Deraman Tukang.

            “Rumah siapa?” tanya Haji Usfan.

            “Rumah Norma Lebai Soud!”

            “Norma Lebai Soud? Eh, yang mana satu ni?” Haji Usfan mengesip-ngesipkan biji matanya memikirkan nama tersebut. Boleh dikatakan semua orang Kampung Alor dikenalinya. Tidak pernah pula dia dengar nama Norma Lebai Soud seperti yang dikatakan oleh Deraman Tukang itu.

            “Norma ni janda, Haji! Janda anak dua. Baru saja berpindah ke kampung tu selepas suaminya mati!” jelas Deraman Tukang.

            Haji Usfan mengangguk-angguk. “Patutlah saya tak pernah dengar namanya!”

            “Ha, kalau Haji nak tengok fesyen rumah dia, kita boleh pergi ke sana esok. Memang cantik, Haji. Kalau Haji nak tambah ikut fesyen tu, modalnya sekitar RM58000 saja!” ujar Deraman Tukang lagi.

            “Boleh juga!” balas Haji Usfan sambil tersengih.

            Selepas Haji Usfan melihat fesyen rumah Norma Lebai Soud, semakin galaklah Deraman Tukang bertandang ke rumah Haji Usfan. Kononnya untuk berbincang lagi dengan Haji Usfan tentang jenis kayu, warna cat, jenis ubin dan pelbagai lagi.

            Haji Usfan tidak kisah soal kedatangannya. Hendak datang bilapun, datanglah! Nak datang tengah malampun Haji Usfan tak kisah asalkan kerja-kerja membesarkan rumahnya itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

            “Suka ke Haji dengan fesyen rumah janda tu?” tanya Deraman Tukang.

            “Memang cantik!” Haji Usfan mendecit dan mengangguk.

            “Apa yang cantik? Orangnya ke atau rumahnya?”

            Haji Usfan tersengih lebar. “Dua-dua sekali!”

            “Abang ni, dengan Deraman Tukang tu, saya nampak dah macam belangkas dan abang pula sampai tak kisah nak makan ke, nak mandi ke,” rungut Mak Seniah suatu petang selepas Deraman Tukang pulang.

            Haji Usfan tersengih. Dia faham sangat perangai isterinya itu yang kuat membebel jika tidak kena dengan seleranya. “Apa salahnya, Seniah? Kami bukannya apa, cuma berbincang soal nak besarkan rumah kita ni saja!” ujarnya lembut.

            “Banyak ke modalnya?” soal Mak Seniah ingin tahu.

            “Taklah banyak sangat, tapi saya sanggup!”

            “Berapa?”

            “Emmm, lebih kurang RM58,000!”

            “Banyak tu bang!” Mak Seniah hampir melopong.

            “Tak apa, asalkan puas hati,” balas Haji Usfan bersahaja.

            “Abang kenalah juga fikirkan hal saya sama!”

            “Hal awak? Eh, hal apa pula ni?” tanya Haji Usfan sedikit melongo.

            “Sayapun teringin juga nak ke tanah suci macam abang,” jawab Mak Seniah.

            “Alaa, duit saya banyak lagi, Seniah! Janganlah awak bimbang pula,” balas Haji Usfan sedikit megah.

            Mak Seniah terdiam. Dia sedar, suaminya itu memang mempunyai simpanan yang cukup. Selama inipun, makan minum, pakai dan segala peralatan rumah tersedia dengan sempurna walaupun kebun getah Haji Usfan tidak sebanyak mana.

            Memang Haji Usfan pandai berjimat. Itu Mak Seniah cukup faham. Suaminya itu tidak pernah berbelanja tidak tentu arah kecuali yang benar-benar perlu sahaja. Kalau keluar ke pekanpun, jarang Haji Usfan makan atau minum di kedai kecuali jika benar-benar lapar sehingga terketar-ketar kepala lututnya.

            Mak Seniahpun tahu, memang sudah lama suaminya itu bercadang hendak membesarkan rumah mereka. Kata Haji Usfan, rumah yang mereka duduk sekarang sudah didirikan lebih dari sepuluh tahun tanpa sebarang pengubahsuaian.

            Tambahan, anak cucu pula semakin bertambah sedang rumah tak pernah bertambah. Lantai banyak yang dah usang, begitu juga dengan tiang, dinding, alang geta, kasau dan sebagainya biarpun dari jenis kayu yang tahan lama. Mak Seniah sedar, rumah yang ada sekarang akan menjadi sesak terutamanya apabila anak-anak cucu di kota pulang serentak.

            Seperti tiga minggu yang lalu ketika Rodi, Hambali dan Zuhairan pulang anak-beranak, rumah itu menjadi sesak, padat dan susah hendak mengatur langkah.

            Ada saja yang kena pijak. Bilik tidur juga kurang menyebabkan anak cucu terpaksa tidur di mana saja yang ada ruang sampai ruang dapurpun terpaksa digunakan.

 

* * *

“Ingat tu, Junuh! Kena siap sebelum bulan dua belas nanti. Anak-anak cucu saya nak balik. Nanti tidur di atas pangkin bawah rumah pula,” kata Haji Usfan berseloroh.

            “Soal itu jangan bimbang Haji! Dua minggu sebelum bulan dua belas, mesti beres,” jawab Deraman Tukang bagi pihak Junuh untuk meyakinkan Haji Usfan.

            “Kalau tak siap, saya potong duit upah!” balas Haji Usfan.

            “Janganlah macam tu, Haji!” ujar Junuh. “Kalau Haji potong duit upah, anak bini saya nak makan apa?” Rokok daun yang digulungnya diletakkan di celah bibir, api mancis ditala kemudian disedutnya sekali. Jelas kelihatan asap berkelun-kelun keluar dari lubang hidung kemudian melenyap di atas kepala.

            “Saya melawak saja, Junuh! Janganlah ambil hati pula!” balas Haji Usfan sambil tersenyum.

            Kerja-kerja menambah rumah Haji Usfan bermula suatu pagi. Deraman Tukanglah yang pergi memilih dan membeli barang-barang keperluan rumah tersebut di sebuah kilang papan berdasarkan apa yang dimahukan oleh Haji Usfan.

            Sebagai permulaan, Haji Usfan tidak perlu mengeluarkan wang dahulu kerana tauke kilang papan tersebut telah memberi kredit kepada Deraman Tukang. Ini bukanlah pertama kali Deraman Tukang membuat rumah.

            Jadi, tauke kilang papan itu amat percaya dengannya. Selalunya, setelah sesebuah rumah siap 50%, barulah bayaran akan dibuat dan bayaran sepenuhnya akan dibuat sebulan setelah rumah tersebut siap 100%. Begitulah selalunya yang akan dilakukan oleh Deraman Tukang.

            Menurut kata Haji Usfan, bahagian kanan rumah yang menghadap ke sebelah kebun getahnya akan diperbesarkan untuk dibuat bilik. Sementara bahagian dapur pula akan dipanjangkan lagi ke belakang.

            Di sebelah kiri rumah, akan dibuat sebuah garaj kereta yang besar, yang boleh memuatkan tiga buah kereta. Ini bermakna, dua batang pokok sawa di situ terpaksa ditebang.

            Terpulanglah kepada Deraman Tukang sama ada hendak tebang atau tidak. Kalau dia tak mahu tebang, dia boleh cabut dan tanam balik di mana-mana yang dia suka. Haji Usfan tak kisah. Yang penting, garaj kereta itu mesti dibina juga. Pandai-pandailah Deraman Tukang menguruskan soal dua batang pokok sawa itu.

            Deraman Tukang dibantu oleh dua orang rakannya, Junuh dan Semaun. Junuh merupakan pekerja yang sudah lama bekerja dengannya. Sementara Semaun pula masih baru. Dia ditugaskan sekadar menyelesaikan kerja-kerja sampingan seperti mengetam kayu, mengecat, membancuh simen, menebuk lubang dan ketuk-mengetuk paku.

            Kerja-kerja yang memerlukan pengalaman yang luas seperti mengukur dan menggergaji selalunya dilaksanakan oleh Junuh dan Deraman Tukang sendiri. Namun begitu, dua tiga hari selepas Deraman Tukang memulakan tugasnya, kelibat Haji Usfan jarang ada di rumah. Mak Seniah sendiri tidak tahu ke mana suaminya menghilang.

            Tetapi Deraman Tukang tidak kisah. Kerja-kerjanya tetap diteruskan juga sebaik mungkin walaupun tanpa diperhatikan oleh Haji Usfan.

            Haji Usfan pula amat berpuas hati tatkala melihat kerja-kerja yang dilakukan oleh Deraman Tukang dan pekerja-pekerjanya itu.

             “Awak tengoklah, Seniah! Teliti betul kerja-kerjanya. Patutlah dia jadi rebutan orang, sampai orang Kampung Alor pun cari dia bila nak buat rumah!” ujarnya pada suatu malam kepada Mak Seniah.

            “Sebab itulah abang menghilang saja!” balas Mak Seniah tanpa memberi respon kepada ungkapan yang diluahkan oleh suaminya.

            “Nak buat apa saya jaga dia. Saya ni bukannya mandur. Lagipun, dia tahulah apa yang patut dia buat!” balas Haji Usfan.

            “Setidak-tidaknya abang kena perhatikan juga kalau-kalau ada masalah yang timbul. Saya ni bukannya tahu apa-apa!” tegas Mak Seniah.

            “Kalau saya tak ada, awak tengok-tengoklah sama bagi pihak saya. Saya ni sibuk!” ujar Haji Usfan.

            “Sibuk apanya?”

            “Eh, bukankah saya ni imam nikah, Seniah! Kalau ada orang menikah, sibuklah saya!”          

            “Jadi, abang menghilang dua tiga hari ni, kerana itulah?”

            “Habis, kerana apa lagi?”

            “Tapi, saya tak dengar pula ada orang kahwin di kampung kita ni?”

            “Bukan di kampung kita tapi di kampung sebelah!” Haji Usfan bersahaja.

            “Siapa yang kahwin?”

            “Err, anak Lebai Soud… errr… kalau tak salah saya, Norma namanya!” jawab Haji Usfan acuh tak acuh. “Eh, kenapa awak tanya banyak sangat ni? Selalunya awak tak macam ni!”

            Mak Seniah diam. Entah kenapa hatinya berasa ada sesuatu yang tak kena namun dipendamkan saja. Haji Usfan berasa lega dengan suasana tersebut.

            “Dah banyak modalnya?” tiba-tiba Mak Seniah bertanya membuatkan Haji Usfan yang sedang mengelamun itu tersentak sedikit.

            “Awak tanya apa tadi?”

            “Saya tanya, dah banyak ke modal yang abang dah keluarkan untuk tambah rumah kita ni?”

            “Err, tak banyak! Abang baru bagi pada Deraman tu sebanyak RM5,000 saja. Itupun untuk bayaran upah kerja. Bila dah siap 50% nanti, barulah abang akan bagi lagi!” balas Haji Usfan sedikit gugup. Tangannya gesit saja berpura-pura ligat mengira catatan-catatan yang terdapat di dalam kertas di depannya. Kadang-kadang, dia mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan-lahan seakan-akan berfikir sesuatu. Kadang-kadang pula dia membelek-belek bahagian rumah yang masih melopong. Tidak berdinding dan boleh nampak kebun getahnya di luar.

            “Kenapa bagi sikit sangat?” tanya Mak Seniah lagi.

            “Deraman kata cukup!”

            “Saya takut abang yang sengaja bagi sebanyak tu!”

            “Takkan saya tergamak pula nak buat macam tu, Seniah!”

            “Manalah tahu! Silap-silap haribulan, cuti nanti tidur dalam reban ayam pulak cucu-cucu kita tu,” sindir Mak Seniah.

            Haji Usfan tidak bersuara. Dia terus berpura-pura mengira. Entah berapa helai kertas diconteng-contengnya. Tangannya galak menari-nari bagaikan seorang akauntan saja lagaknya.

            Bulan November sudah berlangsung seminggu. Kerja-kerja membesarkan rumah itu terus dijalankan oleh Deraman Tukang dan pekerja-pekerjanya. Tetapi kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka agak lambat sikit dari dahulu.

            Kadang-kadang lepas Zuhur baru Deraman Tukang, Junuh dan Semaun datang. Haji Usfan tidak tahu kerana dia jarang ada di rumah. Boleh dikatakan, sehari suntuk dia menghilang dan kala hampir Isya, barulah dia pulang. Bila ditanya oleh Mak Seniah, dia mengatakan dia ke Jabatan Agama Negeri kerana urusan kerja.

            Tempat untuk dibina garaj kereta belumpun berusik. Dua batang pokok sawa masih gagah berdiri. Rumah juga masih melopong. Ruang anjung yang diturunkan ke bawah sekadar berdinding separuh batu tanpa berdinding papan.

            Antara tiang terpaksa digantungkan plastik agar tidak dimasuki tempias hujan. Dua buah bilik yang telah diubah suai masih belum diusik. Dinding di bahagian bilik-bilik itu juga belum ada lagi.

            Pada sebelah malam, Haji Usfan dan Mak Seniah terpaksa tidur di ruang dapur sahaja. Hanya ruang itu saja yang belum diusik walaupun ada rancangan mahu dibesarkan ke belakang lagi. Kini rumah itu tak ubah macam tongkang pecah, pelohong sana sini.

            Kalau ada pencuri yang tahu, senanglah kerja mereka. Sungguh sakit mata Mak Seniah memandangnya. Kayu dan papan lapis berselerak sana sini. Peralatan menukang juga tidak keruan tempat duduknya. Begitu juga dengan guni-guni simen, bersepah di merata tempat.

            “Bila nak siap rumah ni?” Mak Seniah mulai gelisah dengan keadaan kerana tidak lama lagi anak cucunya akan pulang untuk bercuti panjang.

            Kebetulan pula ketika itu musim buah durian dan rambutan sedang meranum. Setiap malam matanya sukar untuk dilelapkan. Sedang Haji Usfan nyenyak saja tidurnya.

            Ini yang menghairankan hatinya. Sepatutnya, suaminya itu lebih berasa gelisah dengan suasana rumah mereka.

 

* * *

Pagi sudah meninggi. Matahari sudah sepenggalah namun ceridau unggas-unggas sekitar rumah masih membingitkan terutama jerijit di jantung pisang.

            Haji Usfan, pagi-pagi lagi sudah meninggalkan rumah kerana katanya ada tugas di masjid Kampung Alor. Mak Seniah tidak banyak soal. Lantaklah, memang sudah tugas suaminya tetapi pagi itu dia sedikit hairan kerana Deraman Tukang masih belum datang lagi. Selalunya, lebih kurang pukul lapan, mereka bertiga sudah datang untuk bekerja.

            Menjelang jam dua belas tengah hari, tiba-tiba sebuah motosikal memasuki halaman rumah Haji Usfan. Mak Seniah gesit bangun sebaik sahaja di halaman rumah terdengar suara orang memberi salam. Dia segera ke ruang anjung untuk mengetahui siapa tetamu yang datang.

            “Ha, kamu Junuh! Ingatkan siapa tadi!” ujar Mak Seniah sebaik plastik penutup ruang tersebut diselak dengan tangan kanannya. “Apa halnya kamu datang ni? Tak bekerja ke kamu hari ni?”

            “Deraman suruh cuti, makcik!” ujar Junuh.

            “Eh, kenapa pula? Kalau asyik cuti saja, bila pula rumah ni nak siap?” Mak Seniah semakin resah.

            “Memang tak akan siap, makcik! Rumah ni tak akan siap biarpun setahun lagi!” balas Junuh bersahaja.

            “Kenapa kamu kata begitu?” Mak Seniah kehairanan.         

            “Makcik tanyalah dengan Haji sendiri!” balas Junuh.

            “Errr, kenapa nak tanya dia pula?” Mak Seniah melopong.

            “Dia dah buat rumah lain, makcik! Sebab itulah rumah ni tak siap?” ujar Junuh bersahaja.

            Lopong Mak Seniah semakin lebar.

 

* * *

Dua hari sebelum majlis pernikahan sepupu mereka, Hambali, Rodi dan Zuhairan balik anak-beranak. Menjalar tiga buah kereta di halaman rumah Haji Usfan. Cucu-cucu Haji Usfan yang kecil-kecil ligat berkejar sana-sini. Ada yang terus masuk ke dalam rumah melalui bahagian hadapan yang masih pelohong. Beberapa ekor ibu ayam yang sedang mencari makan di situ bertempiaran terbang.

            “Hati-hati sikit, nanti terpijak pula paku yang bersepah-sepah tu!” jerit Mak Seniah kepada cucu-cucunya.

            “Apa hal ni mak?” tanya Hambali sebaik sahaja melangkah kaki ke ruang dapur.

            “Panjang ceritanya, Bali,” ujar Mak Seniah lemah.

             Rodi dan Zuhairan turut melangkah masuk. Begitu juga dengan isteri masing-masing. Mata mereka terus saja mengitari ruang dapur dan ruang anjung yang terpelohong.

            “Apa halnya, mak? Kenapa rumah ni tak siap-siap lagi?” tanya Rodi separuh hairan.

            Mak Seniah sekadar mendengus rengsa.

             Hambali terduduk. Cucu-cucu Mak Seniah yang lain sudah mula mencapai kayu dan macam-macam alat menukang di ruang anjung. Ada yang mula menggayakan main perang. Mulut masing-masing bising berbunyi seperti bunyi senapang meletup.

            “Nak tidur macam mana ni, mak?” tanya Zuhairan tidak dapat menahan rasa gelisahnya. “Kenapa ayah tak siapkan cepat-cepat rumah ni? Kalau saya tahu rumah ni begini, tak hendak saya balik anak beranak!”

            Keluhan Mak Seniah mencerlus lemah.

            “Apa dah jadi sebenarnya, mak?" Rodi membuka mulut, sungguh-sungguh ingin tahu.

            “Kalau tak cukup duit, kenapa tak beritahu kami?” Hambali pula menokok.

            “Memang tak cukup duit, Bali!” Mak Seniah mulai bersuara. “Kalau ayah kamu buat rumah ni, duitnya lebih dari cukup. Tapi ayah kamu dah buat rumah lain...”

            “Buat rumah lain?” Hambali gesit terbelangah. “Apa maksud, mak?’

            “Ayah kamu dah menikah lagi!” ujar Mak Seniah. Jelas wajahnya pudar mendadak.

            Masing-masing bagaikan kurang percaya. Namun akhirnya mereka dapat menerima hakikat yang ayah mereka memang sudah berkahwin lagi. Isteri barunya ialah Norma Janda di Kampung Alor.

            Malam itu terpaksalah anak cucu Mak Seniah tidur berhimpit-himpit di ruang dapur. Mereka tak sampai hati hendak tidur di masjid kerana bimbangkan hati Mak Seniah tergores. Biarlah ayah mereka dengan rumah barunya yang lebih selesa itu. Memang Haji Usfan ada hak untuk memenuhkan quortanya beristeri lagi satu.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA