Khamis, 21 Disember 2023

HANYA KERANA GELARAN

SMAHADZIR

 

PENYEBAB kemarahan Mohd Zubir Awwam sebenarnya remeh saja. Dalam diskusi kesenian di sebuah pusat kebudayaan, moderator yang menyediakan fakta perbincangan sebagai salah seorang penceramah menyebut namanya secara lengkap, Prof Madya Dr Mohd Zubir Awwam Mahyudin. Dia tampil sebagai penceramah setelah namanya dipanggil. Kemudian Mohd Zubir Awwam menyampaikan ceramahnya dengan tenang dan meyakinkan.

Ketika Mohd Zubir Awwam menyampaikan ceramahnya itu, orang yang hadir di ruang diskusi mengangguk menyatakan persetujuan. Dan ketika dia selesai dalam sesi soal jawab, hadirin bertepuk tangan tanda puas hati dengan hujah penyampaiannya.

Ketika itulah Mohd Zubir Awwam menghampiri pengerusi penganjur diskusi, Wahab Hadian, sambil mengatakan dengan tegas, “Saya akan mendakwa kamu ke muka pengadilan.”

Wahab Hadian yang kenal betul dengan senda gurau dan kelakar Mohd Zubir Awwam menyambut kata-kata itu sambil tertawa, kerana dia menyangka kata-kata itu hanya gurauan. Tetapi Mohd Zubir Awwam tidak main-main dengan kata-katanya itu. Melalui seorang peguam dia menuntut ganti rugi kepada Wahab Hadian.

Sebenarnya, sebelumnya dia telah meminta ganti rugi itu tetapi dipandang sepi oleh Wahab Hadian. Sebab itulah Mohd Zubir Awwam membawa tuntutan ganti rugi tersebut ke mahkamah. Di mahkamah, pihak pendakwa tetap menuntut lima puluh ribu seperti yang diinginkan oleh Mohd Zubir Awwam.

Sebaliknya Wahab Hadian melalui peguam belanya tetap bertegas tidak bersedia memberikan walau sesenpun terhadap tuntutan itu.

Kes mereka telah beberapa kali dibicarakan, namun belum juga selesai. Kerana itu pada suatu pagi setelah selesai perbicaraan kesekian kali dan hakim menunda sidang sehingga waktu yang ditentukan nanti, peguam pembela mendekati Mohd Zubir Awwam dan mengatakan, “Saya khuatir Wahab Hadian tidak akan bersedia memenuhi tuntutan tuan sampai bila-bilapun. Dan hakim sendiripun berkemungkinan besar akan memenangkan Wahab Hadian, kerana Wahab Hadian sebenarnya diragukan kesalahannya dalam kes ini.”

“Diragukan?” ujar Mohd Zubir Awwam separuh menjerit. “Saya telah mengatakan kepadanya sebelum majlis diskusi, agar menyebut nama saya Dr Mohd Zubir Awwam Mahyudin saja, tanpa gelaran yang lain. Tetapi moderator gila itu menyebut nama saya sebagai Prof Madya Dr Mohd Zubir Awwam Mahyudin.”

“Hanya kerana itu,” kata peguam pembela. “Yang seharusnya kamu dakwa adalah moderator dan bukan Wahab Hadian selaku pengerusi penganjur diskusi.”

“Semestinya dia,” tegas Mohd Zubir Awwam. “Sebagai pengerusi penganjur diskusi, Wahab Hadian harus mengatakan kepada moderator bahawa yang disebut hanyalah nama saya tanpa Prof Madya. Saya sudah pun bersara dari universiti dan tak layak lagi memakai gelaran Profesor Madya. Tetapi permintaan saya ternyata tidak dipenuhi Wahab Hadian, padahal sebelumnya sudah saya katakan, saya akan dakwa dia di mahkamah, atau menuntut ganti rugi kalau dia menyebut nama saya sebagai Prof Madya. Saya kan telah memberi sanksi terlebih dahulu kepada dia, tetapi dia masih tetap menyebut Prof Madya di depan nama saya. Kesalahan ini disengajakan dan bukan satu kelalaian. Takkan dia tak tahu, sudah jelas ada dalam peraturan. Seseorang Profesor Madya tidak boleh dipanggil ‘Professor’. Etikanya adalah salah. Jika seseorang itu sudah memiliki PhD cukuplah dengan memanggilnya ‘Dr.’ sahaja. Jika belum memiliki PhD atau bukan doktor perubatan, bolehlah dipanggil dengan saudara, encik, tuan atau puan saja. Ungkapan yang tepat untuk saya adalah ‘Dr’ sebab saya berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah, tetapi Prof Madya tak boleh dipanggil lagi kerana saya sudah bersara dari menjadi pensyarah di universiti,” tambahnya lagi panjang lebar.

Peguam terdiam lama. Kemudian sambil menatap wajah Mohd Zubir Awwam dia mengatakan, “Kamu dan Wahab Hadian adalah tokoh-tokoh kebudayaan di sekitar daerah ini. Mengapa perkara begini tidak diselesaikan saja secara baik-baik?” ujarnya tenang dan waras.

“Saya telah berusaha menyelesaikannya secara baik-baik dengan mendatangi Wahab Hadian dan meminta ganti rugi lima puluh ribu ringgit. Tetapi dia keberatan. Sebab itu saya tidak punya pilihan lain kecuali membawanya ke mahkamah,” tegas Mohd Zubir Awwam.

Peguam yang semakin hari semakin ragu bahawa tuntutan Mohd Zubir Awwam akan dapat dimenangkan oleh hakim, meninggalkan Mohd Zubir Awwam setelah mendengar kata-kata mantan pensyarah universiti tersebut.

Di pinggir jalan Mohd Zubir Awwam berdiri menunggu teksi. Sementara itu Wahab Hadian juga sedang menunggu teksi di seberang jalan. Wahab Hadian lebih beruntung kerana tidak lama kemudian sebuah teksi menghampirinya. Setelah tawar menawar dia menaiki teksi tersebut.

Tetapi kemudian dia turun pula. Sambil menjerit memanggil nama Mohd Zubir Awwam, dia melambaikan tangannya. Mohd Zubir Awwam yang mendapat tawaran itu tidak menolak, dan segera menghampiri Wahab Hadian. Lalu kedua-dua mereka masuk dalam satu teksi meninggalkan kawasan mahkamah.

“Kamu dah keterlaluan, Zubir!” kata Wahab Hadian. “Takkan kerana sebutan Prof Madya itu saja kamu tuntut lima puluh ribu ringgit dari aku?”

“Kamu juga keterlaluan, Wahab!” balas Mohd Zubir Awwam. “Takkan gelaran yang tidak aku sukai itu disebut-sebut juga ketika memanggil nama aku. Aku kan dah pencen dari jawatan pensyarah di universiti. Gelaran Prof Madya juga tak boleh digunakan lagi di luar universiti. Takkan itupun kamu tak tahu. Sepatutnya moderator itu kamu beri peringatan bahawa aku akan membawa perkara ni ke mahkamah kalau gelaran Prof Madya masih juga disebut ketika memanggil nama aku.”

“Mengapa kamu keberatan betul disebut Prof Madya?” soal Wahab Hadian ingin tahu.

“Kan aku dah cakap, sekarang aku dah pencen dari menjadi pensyarah di universiti. Aku dah tak boleh lagi menggunakan gelaran itu. Sekarang, gelaran Prof Madya tu bukan lagi milik aku,” jawab Mohd Zubir Awwam polos.

“Betul. Tetapi kan gelaran itu kamu perolehi dengan susah payah?”

“Jadi sebab itu gelaran tersebut harus disebut setiap kali menyebut nama aku walaupun aku dah pencen?”

“Tentu saja. Untuk menghormati taraf akademik kamu.”

“Tetapi etikanya salah, Wahab! Kalau aku sebagai penyandang gelaran itu keberatan, apakah kamu harus memaksa supaya aku memakainya juga?”  soal Mohd Zubir Awwam.

“Tidak.”

“Tahu pun kamu, sebab itu, mengapa harus disebut juga oleh moderator itu?”

“Kerana aku terlupa nak sampaikan pesan kamu kepadanya,” ujar Wahab Hadian.

“Sebab itu kamu yang salah. Kamu yang harus menanggung akibatnya.”

Wahab Hadian diam. Mohd Zubir Awwam juga diam. Pemandu teksi terus memandu dengan mata terkebil-kebil. Setelah kedua-duanya berdiam diri selama lebih kurang sepuluh minit, Wahab Hadian bertanya: “Kamu nak ke mana sebenarnya ni, Zubir?”

“Ke pusat kebudayaan,” jawab Mohd Zubir Awwam.

“Kebetulan. Aku juga nak ke sana.”

Kemudian kedua-duanya berdiam diri lagi sehingga mereka tiba di pusat kebudayaan.

“Aku mahu melihat pameran,” kata Mohd Zubir Awwam memecah keheningan suasana di antara mereka.

“Aku juga akan ke sana,” ujar Wahab Hadian.

Kedua-dua tokoh kebudayaan itu kemudiannya berjalan bersama menuju ruang pameran tanpa berkata sepatahpun. Setibanya di ruang pameran, kedua-duanya menyaksikan lukisan-lukisan yang dipamerkan dengan tekun. Satu setengah jam kedua-duanya di sana.

“Aku nak ke kantin dulu,” kata Mohd Zubir Awwam yang sudah berada di ambang pintu kepada Wahab Hadian yang masih asyik memerhatikan lukisan terakhir di depan pintu.

“Kita sama-sama saja ke sana,” sahut Wahab Hadian sambil mengalihkan perhatiannya dari lukisan dan mengekori langkah-langkah kaki Mohd Zubir Awwam menuju kantin.

Di kantin itu mereka duduk berhadapan sambil masing-masing menghadapi secawan kopi.

“Orang lain berlumba-lumba pasang gelaran di depan nama masing-masing. Ada yang sanggup membeli gelaran, tanpa perlu bertungkus-lumus belajar siang malam,” Wahab Hadian memulakan perbualan.

“Kerana gelaran yang mereka banggakan itu jadi inflasi,” balas Mohd Zubir Awwam dengan tenang sambil menghirup kopinya.

“Inflasi atau tidak, orang akan lebih menghormati kamu.”

“Ye ke, Wahab?” Mohd Zubir Awwam mengerutkan sedikit keningnya.

“Ya, aku kata benda yang betul,” jawab Wahab Hadian.

“Aku kira sebaliknya. Orang jadi sinis.”

“Mengapa?” tanya Wahab Hadian tercolek ingin tahu.

“Sebab nilainya tidak lebih dari perhiasan,” jawab Mohd Zubir Awwam. “Aku tak suka perhiasan. Cincin pemberian almarhum ayahku pun tak pernah aku pakai,”

“Baiklah,” balas Wahab Hadian. “Suka atau tidak suka kepada perhiasan, itu urusan kamu. Tetapi mengapa sampai sebanyak itu kamu tuntut ganti rugi? Apakah perhiasan yang dipakaikan di depan nama kamu itu begitu merugikan kamu?”

Mohd Zubir Awwam diam.

“Realisitik le sikit, Zubir! Aku kira kamu sekadar mahu cari publisiti murahan. Lalu orang semakin mengenali kamu. Kemudian orang akan menganggap kamu sebagai tokoh kebudayaan yang rendah hati.”

“Jangan terlalu prejudis, cepat menuduh,” balas Mohd Zubir Awwam kurang senang.

“Habis, apa yang kamu mahu sebenarnya, Zubir?”

“Sebenarnya, aku tak mahu apa-apa pun. Aku tak perlukan wang lima puluh ribu ringgit tu!” Mohd Zubir Awwam bersahaja.

“Habis kenapa kamu tuntut sebanyak tu di mahkamah?”

“Kerana kamu telah memasang perhiasan itu dengan maksud yang lain.”

“Maksud yang lain?”

“Tanyalah diri kamu sendiri.”

Wahab Hadian diam. Mohd Zubir Awwam menatap wajah Wahab Hadian dengan tajam seakan-akan menuntut sesuatu.

“Kerana aku mengatakan, agar orang lebih menghormati kamu dengan gelaran itu?”

“Ya.”

“Kan itu benar?”

“Justeru di situ letak kesalahannya. Aku tidak memerlukan penghormatan orang kerana gelaran itu,” tegas Mohd Zubir Awwam.

Wahab Hadian tidak dapat menahan diri lagi. Dengan nada separuh menjerit dia bersuara, “Kamu memang munafik, Zubir!!!”

Mohd Zubir Awwam menatap Wahab Hadian dengan tenang, tanpa gejolak kemarahan sedikitpun. Mereka saling bertatapan. Akhirnya Wahab Hadian menundukkan kepalanya.

“Seorang tokoh budaya, dengan begitu mudah menuduh orang dan menyebutnya munafik. Bagaimana pula akan kamu katakan kepada orang ramai yang sering kamu sebut tidak berbudaya itu?” tanya Mohd Zubir Awwam dengan ketenangan yang mengagumkan.

Wahab Hadian kembali menatap wajah Mohd Zubir Awwam. “Zubir, sebenarnya apa yang kamu mahu? Kamu mahu agar aku minta maaf? Kamu ingin aku menyembah kaki kamu, agar kes itu ditarik balik?”

“Errr, begitukah cara kamu berfikir? Minta maaf, lalu segalanya selesai,” soal Mohd Zubir Awwam bernada sinis.

“Habis, aku tak tahu apa yang kamu inginkan.”

“Betul kamu tak tahu?”

“Sungguh, aku memang tak tahu apa yang kamu mahukan.”

“Jujurlah terhadap diri kamu, Wahab!”

“Demi Allah aku tak tahu,” suara Wahab Hadian seperti merayu.

“Baiklah kalau begitu. Aku tak memerlukan penghormatan seperti yang kamu sangka itu. Menyenangkan orang lain boleh saja. Menghormati orang juga tak ada salahnya. Berlakulah dengan wajar. Jangan melebihkan sesuatu. Hargailah manusia sebagaimana seharusnya. Bobot manusia tidak akan bertambah sarat dengan atribut dan perhiasan. Itu saja,” ujar Mohd Zubir Awwam dengan nada yang tenang.

Wahab Hadian menatap wajah Mohd Zubir Awwam.

“Aku tak berkhutbah atau berceramah. Aku cuma berkata dari hati ke hati kepada seorang rakan yang hampir terperosok ke dalam jurang hanya kerana kegemarannya pada martabat palsu, imitasi dan dibuat-buat.”

Lalu kedua-dua rakan itu berdiam diri. Hening di sekitar mereka. Tidak lama selepas itu kedua-duanya menghirup kopi terakhir dari dalam cangkir masing-masing.

“Puas?” tanya Mohd Zubir Awwam.

Wahab Hadian mengangguk-angguk.

“Kita akan ke mahkamah lagi,” kata Mohd Zubir Awwam. “Mungkin kamu menang, kerana hakim menganggap tuntutan aku tak munasabah. Tetapi mungkin juga aku yang akan menang, kerana hakim dapat melihat dengan jernih apa yang tersirat di sebalik tuntutan aku itu. Bersiap sedialah dengan wang lima puluh ribu ringgit itu,” kata Mohd Zubir Awwam sambil meninggalkan Wahab Hadian seorang diri di kantin.

Baru beberapa langkah Mohd Zubir Awwam berjalan, dia berpaling sambil menatap wajah Wahab Hadian yang kelihatan lesu.

“Kalau aku menang, sebaik saja wang lima puluh ribu ringgit itu aku terima, sesaat kemudian semua wang itu akan aku kembalikan kepada kamu semula. Aku sama sekali tak memerlukannya. Kamulah barangkali yang paling menginginkan wang itu,” ujar Mohd Zubir Awwam sambil mengangguk-angguk kecil.

Tanpa melihat bagaimana reaksi Wahab Hadian terhadap kata-katanya itu, Mohd Zubir Awwam berpaling semula dan meneruskan langkahnya. Matahari terik yang membakar tubuhnya tidak menghalang Mohd Zubir Awwam untuk melangkah terus, langkah yang baginya menuju sebuah kemenangan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA