Isnin, 11 Disember 2023

PANTUN GUNDALAN ADAT

Deru ombak mengalih sampah,
Air keladak bercampur gaul;
Mati tidak kerana sumpah,
Hidup tidak kerana kaul.
 
Buah pedada biji selasih,
Daun pegaga di dalam loyang;
Merajuk kepada yang dikasih,
Manja kepada yang tersayang.
 
Usah digoda puteri jelita,
Nujum diraja kaya azimat;
Meminta hanya kepada yang ada,
Berkaul kepada yang keramat.
 
Tanam padi batas disekat,
Untuk selamat dipasang pukat;
Kelebihan nabi dengan mukjizat,
Kelebihan umat dengan muafakat.
 
Sungguh hebat teruna menyelam,
Ikan dibebat alun dikuak;
Raja menobat di dalam alam,
Penghulu menobat di dalam luak.
 
Hujan lebat menderu jujuhnya,
Melompat-lompat si induk katak;
Lembaga menobat dalam lingkungnya,
Orang banyak menobat dalam teratak.
 
Malam gelita keranda diusung,
Pandai kakak memasang kandil;
Yang buta penghembus lesung,
Yang pekak pelepas bedil.
 
Kayu rapuh di tepi khemah,
Jangan dibuat tangga reban;
Yang lumpuh penghuni rumah,
Yang kuat pembawa beban.
 
Tebuan berdengung di hujung baruh,
Anak teritip melekat di dinding;
Yang bingung disuruh-suruh,
Yang cerdik lawan berunding.
 
Nampak kancil tepian padang,
Anak seladang jalan berdua;
Beroleh kecil pada yang gadang,
Beroleh gadang pada yang tua.
 
Sungguh cantik kain selempang,
Anak mualim baik amalnya;
Kalau lembik buat pengempang,
Kalau alim nakkan doanya.
 
Dalam paya ada ikannya,
Selut likat  di pasang bubu;
Kalau kaya nakkan emasnya,
Patah buat penghalau lembu.
 
Gadis bersyair berwajah sombong,
Menyimpan rahsia teruna terpikat;
Bulat air teguh dek gopong,
Bulat manusia tegal dek muafakat.
 
Sangkar ruai burung tekukur,
Tergantung molek di perahu payang;
Faham sesuai benar seukur,
Bulat segolek pipih selayang.
 
Kain lusuh penutup khemah,
Gadis bermain batu seremban;
Yang lumpuh penghuni rumah,
Yang kuat pembawa beban.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA