Isnin, 11 Disember 2023

pantun: KEMAHIRAN KATALIS KEMAJUAN NEGARA KE PUNCAK GAPURA JAYA

Air seruntun bercampur turi,
    Ubat pangeran di dalam cawan;
Dengarlah pantun hamba berperi,
    Tentang kemahiran katalis kemajuan.
 
Tumbuh subur rumpun sendayan,
    Pokok keladi pinggiran huma;
Keyakinan pelabur ikat perjanjian,
    Kemahiran menjadi tonggak utama.
 
Pisau belati genggaman raja,
    Anak pangeran istana lama;
Tingkat kreativiti dalam bekerja,
    Tanda kemahiran teraju utama.
 
Gurindam syair nazam teromba,
    Puisi tradisi pusaka bangsa;
Pekerja yang mahir tahunya serba,
    Peka teknologi masa ke masa.
 
Indah situasi di kota lama,
    Karya puitis garapan teruna;
Kemahiran komunikasi paling utama,
    Idea nan kritis dapat dibina.
 
Dayang bunting sebatang kara,
    Mencari rezeki menjual tapai;
Kemahiran penting untuk negara
    Kemajuan pertiwi megah dicapai.
 
Jambu batu perlu dibaja,
    Biar sampai setinggi terap;
Kemahiran membantu produktif pekerja,
    Kemajuan tercapai mudah digarap.
 
Dari Maran ke Tanjung Tualang,
    Membeli joran mengail kerisi;
Tanpa kemahiran cabaran menghalang,
    Banyak cabaran dunia globalisasi.
 
Puteri raja dipinang pangeran,
    Dibawa ke pura merentas paya;
Kemahiran pekerja kehendak pasaran,
    Untuk negara menempah jaya.
 
Anak besan tepian perigi,
    Menyiang seluang bersisik kasar;
Kemahiran insan berkualiti tinggi,
    Bantu peluang ekonomi besar.
 
Bersama rakan ke Masjid Zahir,
    Membaca kitab meratib zikir;
Negara perlukan tenaga mahir,
    Meredah abad teknologi mutakhir.
 
Mencari rokan di Tanjung Puri,
    Dapat seikat daun mempelas;
Mahir berpasukan pemain industri,
    Kerjasama erat perlu dan jelas.
 
Ikan pari di panas bara,
    Di atas simen dijemur gelama;
Potensi industri dalam negara,
    Kemahiran memain peranan utama.
 
Berwarna putih bunga seroja,
    Di naung angsana dipetik teruna;
Hubungan positif rakan sekerja,
    Matlamat dibina tercapai sempurna.
 
Menabur baja petani disaran,
    Di tepi biara jerami dipunggah;
Kemahiran pekerja industri pengeluaran,
    Kemajuan negara terjulang megah.
 
Ikan kelah disambar joran,
    Buat hidangan bercampur nanas;
Penyelesaian masalah perlu kemahiran,
    Memberi sumbangan idea nan bernas.
 
Sajian penganan sekeluarga rasai.
    Bersama puding resipi lama;
Kemahiran kepimpinan perlu kuasai,
    Nilai penting pupuk kerjasama.
 
Lorong di pekan ke kedai kusyen,
    Diturap simen sampai ke titi;
Kemahiran pengurusan cekap efisien,
    Penghasilan dijamin kerja berkualiti.
 
Harum setanggi di sanggul puteri,
    Senyum menawan meskipun buta;
Inovasi tinggi pemain industri,
    Untuk kemajuan negara tercinta.
 
Anak pangeran mengubah haluan;
    Pancang dipacak jalan ke paya,
Mantapkan kemahiran untuk kemajuan,
    Negara ke puncak gapura jaya.
 
SMAHADZIR
Banting, Selangor

1 ulasan:

  1. #asalusulsegalasesuatusebelumhukum-kisah Nabi Syits, Tarian, Musik & Nyanyian.... (Wanita)

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA