SMAHADZIR
RESTORAN baru dibuka dan Lokman merasa belum waktunya mengeram di bangku
meja juruwang yang terpajang dekat pintu utama. Orang yang secara langsung akan
berurusan dengan Lokman masih lagi asyik melahap sepiring kuih, nasi lemak,
kemudian menghirup secangkir kopi panas, di sudut paling dalam.
Ya, Lokman sedang berkemas sendiri. Membetulkan
letak kerusi-kerusi, menyusun aneka macam kuih yang tersedia di atas meja,
sembari sesekali memberikan arahan kepada setiap pekerjanya yang kebetulan lalu
di sisinya. Dalam pada itu masuk tiga orang pelanggan, yang kelihatannya mahu
berjogging pada awal pagi yang cukup cerah itu.
Aizam, pekerja restoran yang sedang menyusun pinggan-pinggan
besar berisi makanan di atas rak makanan bergegas meninggalkan pekerjaannya
untuk menyongsong kehadiran pelanggan-pelanggan tersebut. Dengan wajah yang
berseri Aizam iringkan rombongan itu sehingga ke meja nombor satu.
Bagai telah berunding, ketiga-tiga pelanggan
tersebut memilih tempat itu serta mengambil kedudukan mengitari meja. Mereka
mengadakan dialog singkat dengan Aizam, dan berakhir setelah salah seorang di
antara mereka, yang pakai kaca mata, bersuara: “Roti bakar bubuh mentega dan
susu tiga. Teh manis satu, dan nescafee O dua.”
Aizam serta-merta menganggukkan kepala seraya
menghadiahkan seulas senyuman khas. Dan dengan suara yang lunak diulanginya
pesanan para pelanggan itu, lalu kembali ke tempatnya semula untuk meramu
pesanan mereka.
Puas sekali Lokman menyaksikan sikap simpatik
yang ditampilkan Aizam. Lokman berfikir, kalau mereka yang membantunya mampu
mempertahankan cara-cara yang spesifik itu, dia optimis, usahanya kali ini
nescaya akan berjaya sesuai dengan impiannya. Restorannya memang masih di peringkat
permulaan. Usianya baru satu setengah bulan lebih kurang. Jadi jelas belum mampu
dinilai berjaya, meskipun dari hari ke hari jumlah pelanggan selalu bertambah.
Pelanggan yang bersendirian di pojok sebelah dalam
berseru meminta dua butir telur separuh masak. Mali, pekerja yang baru
menjengul dari arah dapur terus menimpal, “Yiaapp, telur separuh masak,
siap!!!”
Dan dengan penuh keyakinan Mali bertindak
gesit, meletakkan piring yang ditenteng, segera mengusahakan apa yang
dikehendaki tetamu itu. Sekali lagi Lokman puji penampilan pekerja-pekerja restorannya.
Lokman berjanji dalam hati, takkan melupakan
jerih payah mereka. Akan mengambil berat soal kebajikan mereka secukupnya,
sesuai dengan jasa yang telah mereka berikan melalui layanan terhadap pelanggan
restoran.
* * *
Lokman baru saja menghenyakkan punggung di bangku meja wang ketika seorang perempuan
separuh umur, berpakaian baju kurung agak lusuh, mundar-mandir di halaman restoran.
Tidak lama kemudian perempuan tersebut menghampiri pintu masuk restoran. Dia
hentakkan kakinya ke lantai hadapan restoran yang dibuat dari marmar kasar,
kemudian beberapa lama meneliti telapak kakinya. Barangkali dia bimbang ada
kekotoran yang akan mengotorkan ruang hadapan restoran yang baru disapu itu.
Selepas itu perempuan tersebut memerhati seputar
kawasan restoran. Lokman mencerlung tunak-tunak ke arah perempuan separuh umur
itu dengan penuh tanda tanya. Apakah yang dicari oleh perempuan tersebut?
Apakah dia bakal menjadi salah seorang pelanggan restorannya pagi itu?
Tidak lama kemudian perempuan separuh umur
itu semakin hampir dan berdiri di hadapan meja Lokman. Selaku peniaga yang selalu
berusaha arif Lokman menggangguk sembari tersenyum mesra. Perempuan separuh
umur itu membalas meski tidak sehangat caranya. Tetapi maklumlah, ada pepatah
mengatakan: pembeli adalah raja!
“Kakak bukannya hendak minum atau makan di
sini, dik!” perempuan separuh umur itu berkata sedikit mengejutkan Lokman.
“Ah, tak apa, kak!” balas Lokman. Lokman
memang tidak ingin berprasangka buruk terhadap sesiapa pun. Juga kepada perempuan
separuh umur itu. Mana tahu perempuan tersebut memerlukan tandas untuk membuang
air kecil atau besar.
“Untuk pengetahuan kakak, saya juga gembira
hanya dikunjungi atau sekadar mahu berbual-bual. Dengan sesiapa saja, termasuk
dengan kakak,” tokok Lokman lagi berdiplomasi.
“Itu sesuatu yang wajar dipuji,” sambut perempuan
separuh umur itu. “Kini jarang ada peniaga seperti adik. Mereka memilih diam
berbanding berbual dengan pelanggan. Padahal berbual juga ada hikmahnya, betul
tak dik? Buat mengurangi tekanan atau, sekurang-kurangnya memperluaskan pergaulan
dan memperkukuhkan siraturahmi, kan!”
Lokman belum sempat memuji sanjungan serta
buah fikiran yang bernas itu, perempuan separuh umur tersebut kembali bersuara:
“Tetapi, kalau tidak makan atau minum, mungkin akan menyusahkan adik,
barangkali!”
“Ah, itu perkara kecil..”
“Sebenarnya, kakak mohon sedikit pertolongan
dari adik...”
“Err, pertolongan apa yang kakak harap dari orang
macam saya? Tetapi percayalah, semampunya pasti akan saya kabulkan.”
“Terima kasih. Err, kakak perlukan wang
sekitar lima puluh ringgit, dik! Justeru itu beri kakak apa saja pekerjaan yang
mungkin senilai dengan wang sebanyak yang kakak perlukan.”
“Kakak ni bergurau ke?”
“Sama sekali tidak, dik! Kakak betul-betul
memerlukan wang sebanyak yang kakak sebutkan tadi.”
“Baiklah,” kata Lokman. Lokman fikir dia
tidak perlu tahu kegunaan wang itu bagi perempuan separuh umur tersebut. Tidak
ubah dirinya, orang lain tentu tidak suka atau tersinggung andai ditanya
hal-hal sensitif yang bersifat peribadi.
Ya, kendati belum lagi pecah telur, namun
sekiranya perempuan separuh umur itu benar-benar memerlukan wang, tidak akan
mengurangi rasanya bila Lokman sisihkan lima puluh ringgit dari dompet duitnya.
Tiga orang pelanggan yang Lokman harapkan
akan membayar buat pertama kali pagi itu belum juga bangun dari tempat duduk
masing-masing. Pelanggan-pelanggan itu masih merokok di sudut paling dalam,
sedangkan rombongan kedua kelihatan mulai bergerak. Dengan refleks lantas Lokman
sediakan kertas memo dan pen. Dan salah seorang di antara mereka, yang bertubuh
gemuk pendek, menulis apa yang telah mereka makan.
“Tujuh ringgit empat puluh sen,” ujarnya
sejurus kemudian.
Ketiga-tiga pelanggan itu berebut hendak
membayar. Dan Lokman menerima selembar wang sepuluh ringgit dari si kaca mata
yang kelihatannya begitu bersemangat mahu membelanja kawan-kawannya.
“Oi, ada yang lupa,” sela pelanggan yang
tinggi kurus tiba-tiba. “Gudang Garam Surya sebungkus, tambah mancis api
sekotak,” lanjutnya.
“Lapan ringgit enam puluh sen.”
“Berapa semua?”
“Enam belas ringgit saja, encik!” jawab
Lokman.
Si kaca mata menghulurkan sepuluh ringgit
lagi kepada Lokman. Dan Lokman masih mencari-cari wang baki sebanyak empat
ringgit ketika si kaca mata menghayun langkah meninggalkan ruang restoran,
diikuti kedua-dua kawannya.
“Tunggu, encik!” seru Lokman. “Ini wang bakinya
empat ringgit belum diambil!!!!”
“Biarlah. Sedekah untuk kamu pagi ni!” balas
si kaca mata tanpa berpaling. Hmm, sungguhpun terselit unsur sombong pada
pembawaan si kaca mata, namun bagi Lokman, itu merupakan perbuatan yang baik. Kata
orang, bersedekah awal pagi boleh membawa rezeki yang lebih sepanjang hari.
Lokman segera mengucap syukur dalam hati. Ah,
tidak ada doa penolak rezeki. Lagipun, memang beginilah hidup dan kehidupan,
fikirnya. Tidak terduga. Orang kadang-kadang memberi tanpa diminta.
* * *
“Begini, kak!” kata Lokman kepada perempuan separuh umur yang masih setia
berdiri di hadapan mejanya. Rasanya sudah dua tiga kali Lokman suruh duduk di
kerusi, tetapi perempuan separuh umur itu tidak mahu berganjak. “Kakak tidak
usah bekerja kalau memang memerlukan wang, berapa tadi?”
“Lima puluh ringgit.”
“Ya, lima puluh ringgit. Kakak tidak perlu
kerja untuk itu. Kali ini biar saya bantu kakak,” ujar Lokman sambil meraba
dompet di saku belakang seluarnya.
“Jangan begitu, dik!” bantah perempuan
separuh umur itu.
“Kenapa?”
“Kerana cara itu akan membuatkan kakak merasa
berhutang. Kakak paling tak suka berhutang, lebih-lebih lagi mengemis.”
“Eh?! Ini ikhlas, kak! Jadi jangan dikira
berhutang. Lebih-lebih lagi mengemis.”
“Betul. Tetapi masih ramai orang lain yang
lebih afdal diberi berbanding kakak. Maaf. Cara itu akan membuatkan kakak
merasa bersalah dan berdosa terhadap golongan yang wajib dikasihani itu.”
“Tetapi, mereka tidak memerlukan bantuan saya,
kakak!” Lokman berkata lirih seolah-olah kepada dirinya sendiri, seperlahan
arus yang beransur-ansur menghanyutkannya ke alam pemikiran yang selama
hidupnya paling tidak dia sukai.
Samar-samar, ada yang menyentuh naluri kecurigaannya.
Pasti ada apa-apa di sebalik semua ini! Tetapi, apa? Mungkinkah perempuan
separuh umur itu ingin menguji Lokman? Atau mempermainkannya? Tetapi, apa
kesalahan atau dosa yang telah dilakukannya?
Hatinya berdesir tidak sedap. Perempuan
separuh umur itu pasti seorang pelarian. Buruan pihak berkuasa? Atau pesakit
hospital jiwa yang lari? Namun Lokman kembali berasa ragu.
Soalnya tidak ada tanda-tanda kejahatan serta
kegilaan pada wajah mahupun penampilan perempuan separuh umur itu.
“Memang,” kata perempuan separuh umur itu
setagal kemudian. “Tetapi dik, kakak masih ada tenaga untuk melakukan sesuatu
demi wang itu.”
Lokman seolah-olah tidak mendengar kalimat
yang mencerlus dari bibir perempuan separuh umur tersebut.
Suara berkelontangan dari arah dapur menyebabkan
Lokman harus segera ke belakang. Mali didapatinya sedang memungut gayung plastik
dan tutup tangki air minum dari lantai. Kemudian, api dapur masak 24 sumbu yang
mulai memerah menyita perhatiannya. Lokman segera kecilkan api itu, sedikit. Lokman
raba dan memegang tong minyak tanah dekat rak piring, masih banyak. Lokman menyuruh
Mali menambah minyak tersebut.
Selepas itu Lokman memeriksa bekas pencucian
peralatan dapur. Dan, dicicipinya kemasinan kuah kacang untuk cucur udang.
Sejurus kemudian Lokman mendengar Aizam
memanggil namanya di hadapan. Melalui tingkap cermin yang menghubungkan dapur
dengan ruang makan restoran Lokman lihat beberapa orang pengunjung sedang celingak-celinguk
mencari juruwang.
Aizam berjalan tergopoh-gopoh hendak ke belakang.
Dan Lokman masih saja ingin mengarahkan sesuatu kepada Mali sewaktu menyaksikan
seorang pengunjung hendak mengeloyor pergi sebelum membayar. Lokman bertindak
cepat, mengejar dan memanggil pelanggan itu.
“Kenapa aku mesti menunggu kamu sampai kiamat,
ha?!” bentak pelanggan itu, berwajah kesal.
“Maaf, encik! Ada sikit masalah di belakang
tadi,” Lokman berusaha tersenyum, mesra.
“Bagaimana, dik?” pertanyaan perempuan
separuh umur tadi menghempaskan Lokman kembali ke persoalan yang senantiasa dia
hindari dalam hidupnya: pemikiran bermuatan syak wasangka, yang cenderung
menggundahgulanakan perasaan.
“Ma... maaf. Maafkan!” bergegas dan gagap Lokman
menimpal.
“Apakah kakak juga akan kecewa, seperti di
beberapa tempat yang telah kakak pergi?”
“Tunggu!” Kini Lokman menyimpulkan, dia
sedang berhadapan dengan seorang perempuan separuh umur yang lain daripada yang
lain.
Unik, memiliki sikap, dan menjunjung prinsip
yang agak aneh namun patut diteladani anak-anak muda sekarang. “Kakak terima
sajalah wang ini. Tak apalah, kak! Saya ikhlas sedekahkan pada kakak. Kerana,
pekerjaan apa pula yang layak saya berikan pada kakak.”
Perempuan separuh umur itu termenung sejenak.
Seolah-olah memikirkan sesuatu. Dan Lokman makin leluasa mengamati perempuan tersebut.
Lokman baru tahu bahawa perempuan separuh umur itu memakai kalung gangsa menyerupai
menutup pen berwarna hitam.
Sementara di luar cuaca sudah kian benderang,
pagi tiba, sehingga Lokman dapat melihat lebih jelas kereta Avanza berwarna biru
metalik yang sejak tadi diletakkan di pinggir jalan di seberang restoran. Tiba-tiba
hatinya berdetak.
Pasti! Beberapa orang sedang mengawasinya
dengan penuh perhatian dari sebalik cermin kereta itu.
“Baiklah, dik!” akhirnya perempuan separuh
umur itu bersuara ringan setelah menerima wang RM50 yang Lokman hulurkan.
“Sesungguhnya kakak ingin tenaga kakak boleh
dinilai dengan wang yang kakak perlukan. Tetapi, kakak tidak mahu mengecewakan
orang sebaik adik. Sungguh!”
Dan setelah beberapa kali mengucapkan terima
kasih kepada Lokman sambil terbongkok-bongkok, perempuan separuh umur itu pun
mulai mengatur langkah meninggalkan ruang restoran. Lokman cuma mengangguk
nanar. Dan tidak berapa lama kemudian perempuan separuh umur itu menghilang di
selekoh jalan.
* * *
Pelanggan kantin yang makan atau minum pun datang dan pergi silih berganti seperti
kelmarin. Namun tetap tidak mengurangi intensiti lintasan bayangan perempuan
separuh umur yang datang awal subuh tadi. Kalung gangsanya menyerupai penutup
pen warna hitam. Dan Avanza biru metalik yang telah menghilang entah ke mana,
yang tadi diletakkan di pinggir jalan di seberang restoran, apakah berisi orang
yang memperhatikan dan membidikkan kamera kepadanya?
Ya, ya! Tidak lama lagi perempuan separuh
umur dan orang-orang itu akan datang menyalami Lokman, memberi hadiah.
Mengkhabarkan bahawa Lokman akan muncul di layar kaca televisyen kerana telah
melaksanakan perbuatan mulia, menolong seorang perempuan separuh umur yang
sedang kesempitan wang.
Tetapi boleh jadi juga tidak begitu,
fikirnya. Boleh jadi saja perempuan separuh umur itu benar-benar memerlukan
pertolongan; sedang kesulitan wang. Mungkin kekurangan wang untuk membeli ubat untuk
anaknya yang sedang sakit, atau...
Dan Lokman telah menghulurkan tangan kepada
orang yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Roti canai satu. Rokok Salem King Size 20
batang sebungkus!” seorang pelanggan yang hendak membayar berkata, gesit membunuh
bayangan perempuan separuh umur dan Avanza biru metalik itu dari bergentayangan
di minda Lokman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan