SMAHADZIR
BAGAIMANA aku
menjadi rapat dengan Nina Atkinson?
Ini semua takdir-Nya. Allah S.W.T telah menemukan aku dengan Nina
Atkinson. Sewaktu aku sedang berehat di sebuah bangku simen di kawasan rehat hadapan
Alan Gilbert Learning Common, Universiti Manchester, tiba-tiba aku disapa oleh
seorang gadis Mat Salleh.
“Hello, apa khabar!” sapanya mesra.
“Err... er... baik... baik...” jawabku acuh tak acuh dengan hati
sedikit berdebar.
Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Nina Atkinson, berasal dari Liverpool, sekarang menuntut di universiti yang sama
denganku tetapi berbeza fakulti. Aku di fakulti kejuruteraan, dia di fakulti sains sosial. Kami berbual
panjang tentang status pengajian, aktiviti hujung minggu, buku-buku dan filem-filem
yang diminati. Sehinggalah pada pembicaraan, mengapa dia ingin tahu secara
mendalam tentang agama Islam.
“Kenapa tiba-tiba kamu nak tahu tentang agama Islam?” soalku dengan
penuh rasa ingin tahu.
“Saya sekadar nak tahu, saya nak buat perbandingan antara agama saya dan
juga agama Islam!” ujar Nina Atkinson tegas dan waras.
“Sekadar nak tahu dan buat perbandingan?”
“Ya... selama ini saya tercari-cari perbezaan antara agama saya iaitu
Kristian dan Islam. Err... saya rasa antara agama Kristian dan Islam tidak ada
bezanya... penganutnya menyembah Tuhan yang sama...” ujarnya dengan
bersungguh-sungguh.
“Apakah kamu yakin antara Islam dan Kristian tidak ada bezanya dan kamu
yakin kita menyembah Tuhan yang sama?” soalku.
Nina Atkinson mengangguk-angguk.
Aku tersenyum nipis, “Pandangan orang Islam dan Kristian tentang Tuhan ada
banyak persamaan. Kedua-dua pihak berpendapat Tuhan adalah muktamad, maha
kuasa, memiliki pengetahuan tidak terhingga, berada di semua tempat, suci, adil
dan tepat. Islam dan Kristian percaya terdapat satu Tuhan tunggal yang mencipta
alam ini. Oleh itu, dalam konteks ini Kristian dan Muslim menyembah Tuhan yang
sama...”
“Jadi betullah pemahaman saya, Islam dan Kristian ada Tuhan yang sama...”
balas Nina Atkinson.
“Errr, bagi saya... ada perbezaan penting antara pandangan orang Kristian
dan Islam tentang Tuhan. Walaupun orang Islam anggap Allah mempunyai ciri-ciri
belas kasihan, penuh rahmat dan penyayang; tapi Allah tak tunjukkan ciri-ciri
lain yang sama dengan Tuhan orang Kristian,” tegasku.
Wajah Nina Atkinson sedikit berubah dengan kata-kataku itu.
“Perbezaan penting antara agama Kristian dan agama Islam mengenai Tuhan
ialah konsep ‘penjelmaan’,” ujarku lagi. “Orang Kristian percaya bahawa Tuhan
menjadi manusia iaitu Yesus Kristus. Orang Islam menganggap konsep ini satu
pencacian kepada Tuhan yang suci. Orang Islam tidak akan menerima pandangan
bahawa Allah menjadi manusia dan mati untuk dosa dunia ini. Kepercayaan pada
penjelmaan iaitu Tuhan wujud sebagai Yesus Kristus adalah muktamad dalam
pemahaman konsep Tuhan bagi orang Kristian. Tuhan menjadi manusia supaya Dia
dapat bersimpati dengan kita, dan lebih penting lagi, supaya Dia dapat memberi
penyelamatan, iaitu pengampunan dosa.”
“Jadi, maksud kamu... orang Kristian dan orang Islam tidak menyembah Tuhan
yang sama?” soal Nina Atkinson.
“Ya!” jawabku dengan tegas.
“Kenapa kamu berkata begitu?”
“Sebab terdapat beberapa perbezaan yang kritikal antara orang Kristian
dan orang Islam mengenai Tuhan,” balasku.
“Saya tak faham…”
“Menurut Islam, konsep Tuhan adalah zat yang Maha Tinggi Yang Nyata dan
Esa. Dia adalah Pencipta Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui. Dia tidak
mempunyai anak dan tidak juga diperanakkan. Dia bersifat qadim, tidak seperti makhluk yang dijadikan-Nya. Dia abadi yang menentukan
takdir dan mentadbir semesta alam...” ujarku. “Bagi kami orang Islam, Allah
adalah Esa atau tunggal, Allah yang menjadi tempat bermohon. Dia berfirman
dalam surah Al-Ikhlas ayat 1-4, bermaksud: “Dia tidak berputera dan tidak
diputerakan dan tidak ada seorangpun yang serupa dengan-Nya.” Lagi dalam surah
Al-Baqarah ayat 163, bermaksud: “Tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali Dia
yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Umat Islam mentauhidkan atau
mengesakan Allah sebagai Tuhan yang satu dan tiada sekutu bagi-Nya.”
Rasanya tidak perlulah aku menceritakan tentang kaedah mentauhidkan Allah
iaitu dengan cara tauhid rububiyyah,
tauhid uluhiyyah, tauhid zat, tauhid
sifat dan tauhid af’al. Aku juga
tidak perlu menerangkan kepadanya bahawa dalam rukun iman, Islam menuntut kepada
umatnya supaya mentauhidkan Allah. Beriman kepada Allah iaitu mempercayai
kewujudan dan keesaan Allah, baik dalam kekuasaan-Nya mahupun dalam hal-hal
menyembah kepada-Nya. Kemurnian dan keikhlasan iman perlu kepada pengakuan dan
persaksian melalui konsep syahadah
iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah yang Maha
Agung, Maha Berkuasa, Maha Mencipta dan maha atas segala sesuatu, serta
mengakui sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W adalah pesuruh-Nya. Ini adalah perkara
paling utama dalam rukun Islam yang perlu ditunaikan untuk menjadi seorang
Islam yang beriman.
“Itulah bezanya Tuhan antara orang Islam dan Kristian. Orang Kristian
percaya dan yakin kepada tritunggal atau trinity
iaitu Tuhan mempunyai tiga oknum yang terdiri daripada Tuhan Bapa iaitu Allah,
Tuhan Anak iaitu Nabi Isa dan Rohul Kudus,” ujarku lagi sejurus kemudian.
“Ya, memang benar kata kamu,” akui Nina Atkinson. “Tuhan Bapa ialah
pencipta alam sejagat dan tinggal di syurga. Tuhan Anak ialah Nabi Isa yang
diutus ke dunia untuk disalib sebagai penebus dosa orang-orang Kristian. Roh
Kudus pula ialah roh suci dari Allah yang menyerap masuk ke dalam para penulis
Injil dan para pendeta...”
“Falsafah ketuhanan orang Kristian yang demikian boleh disebut sebagai
monotheisme,” cantasku gesit. “Sebab oknum kedua-dua dan ketiga merupakan
sebahagian daripada Tuhan Bapa. Boleh disimpulkan, Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan
Rohul Kudus mempunyai zat, sifat dan perbuatan yang sama. Tapi bagi kami orang
Islam, Nabi Isa bukanlah anak Tuhan. Nabi Isa adalah seorang rasul yang dipilih
oleh Allah sebagai pembimbing kebenaran sebagaimana Nabi Muhammad, Nabi
Ibrahim, Nabi Lut dan lain-lain lagi.”
Nina Atkinson mengangguk-angguk dengan hujah yang aku kemukakan. Aku rasa
gadis tomboi Mat Saleh itu sudah mulai faham bahawa banyak perbezaan antara
Tuhan orang Kristian dan Islam.
“Errr... lagi satu saya nak tanya kamu,” ujar Nina Atkinson setagal
kemudian.
“Tentang apa?” soalku.
“Tentang demontrasi yang berlaku di hadapan kedutaan Amerika di Kuala
Lumpur semalam,”
“Kenapa dengan demontrasi itu?”
“Kalau kamu di Kuala Lumpur, kamu tentu terlibat kan?”
“Sudah pasti saya terlibat,”
“Err… bagaimana dengan demontrasi menyokong gerakan LGBT pula?”
“Buat apa saya nak sokong LGBT?”
“Kenapa kamu berdemontrasi menyokong perjuangan hak asasi rakyat Palestin
tetapi kamu tak pula turut berdemontrasi menyokong hak-hak LGBT?”
Aku sungguh terkejut dengan soalan yang terluah dari dua ulas bibir
mungil gadis Mat Saleh itu. Namun fikiranku masih waras untuk membezakan antara
perjuangan menyokong hak rakyat Palestin dengan perjuangan menyokong LGBT.
“Saya rasa kamu tak adil dalam hal ini,” Nina Atkinson bersuara sejurus
kemudian. “Sepatutnya kamu juga harus menyokong hak-hak asasi LGBT,”
“Perjuangan rakyat Palestin dan perjuangan LGBT berbeza... jauh berbeza
umpama langit dengan bumi,” tegasku waras. “Rakyat Palestin telah dikejami
sekian lama. Warga lelakinya dibunuh dengan kejam, wanitanya diperkosa dengan
rakus, kanak-kanak lelaki dan perempuan ditembak tanpa belas kasihan, orang-orang
tua disepak terajang dengan zalim, rumah-rumah kediaman dihancurkan, makanan
dan air dicatu dan banyak lagi penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh
rejim Israel. Sebab itulah, kami sebagai saudara segama turut bersimpati lalu
bersama-sama berdemontrasi menentang kekejaman yang berlaku terhadap Palestin.”
“Saya tak nafikan...” ujar Nina Atkinson. “Kamu berdemontrasi kerana
menyokong perjuangan hak asasi rakyat Palestin dan kamu juga harus
berdemontrasi menyokong perjuangan hak asasi LGBT. Kami juga dizalimi...”
“Kenapa kamu kata ‘kami’? Kamu juga salah seorang yang menyokong LGBT?”
soalku tercolek ingin tahu.
“Ya, saya lesbian!” akui Nina Atkinson terus-terang.
Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar dari mulut Nina
Atkinson itu.
“Saya rasa tak ada apa-apa salahnya saya lesbian. Ini adalah hak saya
sebagai seorang manusia. Saya bebas berbuat apa saja asalkan jangan mengganggu
hak-hak orang lain,”
“Baguslah jika apa saja yang kamu lakukan tidak mengganggu hak-hak orang
lain. Itu namanya kamu menghormati hak-hak orang lain. Err... tapi dalam Islam,
lesbian, homoseks, gay, LGBT...
adalah sesuatu yang salah, luar fitrah semulajadi kejadian manusia normal...”
“Lesbian itu hak asasi saya,” cantas Nina Atkinson cepat dan bernada tegas.
“Kamu harus ingat, setiap manusia dilahirkan merdeka dan mempunyai hak dan
martabat yang sama. Malaysia seharusnya mencontohi Albania dan Sierra Leone,
menandatangani Pengisytiharan PBB menyokong hak LGBT. Mozambique menyediakan
perlindungan hak LGBT dalam bentuk undang-undang tanpa diskriminasi, dan
perbincangan mengenai undang-undang mengiktiraf perkahwinan sejenis telah
diadakan di negara itu.”
“Saya bukannya
nak menghalang hak kamu sebagai lesbian tapi ada sebabnya mengapa saya katakan bahawa
lesbian itu bukanlah sesuatu yang baik untuk kamu lakukan,” ujarku.
“Kenapa kamu
kata begitu?”
“Kamu adalah
manusia yang dijadikan Tuhan secara normal, fitrah... justeru harus akur dengan
kejadian semulajadi seorang wanita. Lelaki adalah pasangan kamu, bukannya sesama
jenis. Lagipun, aktiviti lesbian, gay,
homoseks... amat berbahaya untuk kesihatan pengamalnya...”
“Bukan soal
kesihatan yang perlu kita bincangkan tapi soal hak asasi manusia, hak asasi
pengamal LGBT,” tegas Nina Atkinson.
“Saya faham.. tapi
kamu juga harus sedar... agama Kristian juga tak suka penganutnya mengamalkan
perbuatan lesbian, homoseks, gay...”
balasku, waras. “Err... setahu saya... dalam Perjanjian Baru, secara tegas
berkata homoseksual adalah dosa. Tuhan Yesus membenci dosa homoseksual, sama seperti
Dia membenci dosa-dosa lain, tapi Dia tetap mengasihi mereka yang terlibat.
Tuhan mahu para gay dan lesbian ini
diperlakukan dalam bimbingan kasih-sayang, sehingga mereka dapat bertaubat dan
dipulihkan dari dosa homoseks.”
Mendengar penjelasanku itu, Nina Atkinson gesit menundukkan pandangannya ke
bawah sembari mengeluh panjang dan dalam. Sejurus kemudian dia
mengangguk-angguk. Dengan segera aku mengambil kesempatan untuk menamatkan
perbincangan kami hari itu.
“Baiklah... kita
tamatkan dulu perbincangan kita,” ujarku. Serasa bukanlah tempat dan masa yang
sesuai untukku bersembang panjang dengan Nina Atkinson tentang LGBT, agama dan
sebagainya hari itu. Bagiku, ada hari-hari lain yang boleh kami panjangkan
perbincangan tentang apa saja yang berlaku di sekitar dunia hari ini.
Ya, sejak hari
itulah hubungan Nina Atkinson denganku menjadi akrab. Melalui usaha-usahaku
yang tidak pernah kenal jemu telah membawa Nina Atkinson ke pangkal jalan.
Dunia lesbian telah ditinggalkan dan kini aku rasa dia tidak lagi menyemai
bibit-bibit cintanya kepada kaum sejenisnya tetapi sudah beralih kepada kaum
Adam sebagaimana yang telah ditetapkan Allah sebagai fitrah manusia.
Kini Nina
Atkinson tidak lagi berambut pendek tetapi sudah berambut panjang mengurai
melepasi paras bahu. Sungguh ayu pada pandangan mataku.
Apakah cinta Nina
Atkinson sudah berputik padaku?
*
* *
Setelah
lebih dua tahun menuntut di Fakulti Kejuruteraan Universiti Manchester,
tiba-tiba kehadirannya menjadi begitu bermakna sekali dalam hidupku. Pada mulanya
aku sedikitpun tidak berminat untuk meneruskan hubunganku dengannya apalagi
mendalami dirinya lebih dekat. Bagiku, walaupun aku telah membawa gadis Barat
itu keluar dari dunia lesbian, tetapi tidak ada apapun kelebihannya jika mahu
dibandingkan dengan gadis-gadis Melayu yang ada di universiti ini.
Namun begitu, entah kenapa pada
suatu ketika, tiba-tiba saja keakraban dengannya telah mengundang bunga-bunga
indah dalam hati. Tidak pernah diduga yang pintu hati ini akan terbuka untuk
dia.
Nina Atkinson!
Dengan kebiruan sinar matanya, aku
bingkas dari kekecewaan masa silam. Jagat luas yang dahulunya amat kabur di
pandangan mata, cerlang gemilang bagaikan disiram warna-warna salji yang
menjurai dari langit lepas. Aku lihat pohon-pohon pinus, maple, honeysukcle dan sebagainya bagaikan memercupkan
dedaun segar sekitar pekarangan kampus Universiti Manchester.
“Hari ini saya nak tanya kamu banyak
perkara,” ujar Nina Atkinson suatu hari sewaktu kami sedang makan di kafeteria Alan Gilbert Learning Common.
“Nak tanya apa?” soalku ingin tahu.
“Jurusan apa yang menjadi minat kamu
sehingga begitu jauh sekali merantau?”
“Err, saya ke sini untuk mendalami ilmu
kejuruteraan!”
“Saya harap kamu akan pulang ke
Malaysia dengan kejayaan,” ujarnya.
Lunak sungguh suaranya, terluah
manja dari dua ulas bibir merah delima merkah yang amat mempersonakan. Tidak
hairanlah aku terpikat, wajahnya sekali imbas persis Corin Nemec, heroin filem In The Living Years. Dia petah
berbicara, lincah dan tegas menyusun setiap ungkapan. Dia mempunyai ciri-ciri
seorang gadis berpelajaran, open minded
dan luas pengetahuan. Sungguh aku senang dengan gadis begitu.
“Bagaimana dengan kamu sekarang?” soalku pula.
“Maksud kamu?”
“Sejak meninggalkan dunia lesbian...”
Nina Atkinson tersenyum lebar. “Saya
bersyukur kerana berjaya meninggalkan dunia dosa itu,” ujarnya. “Semuanya
kerana usaha kamu juga,”
“Bukan kerana usaha saya tapi kerana kamu telah mendapat
bantuan dari Tuhan. Dalam Islam, ini dipanggil hidayah. Kamu telah mendapat
hidayah,” tegasku. “Tuhan telah memberikan kamu hidayah untuk kamu kembali ke
dunia realiti, Tuhan tak mahu kamu terus hidup dalam dunia dosa
berpanjangan...”
Nina Atkinson mengangguk-angguk.
Ketika itu jam sudah hampir pukul enam petang. Ramai pelajar
bersantai di situ. Angin petang mendayu segar. Hubungan kami selepas itu terus
akrab. Meski beban kuliah sengoti diberesi namun masih punya waktu untuk
bertemu dan bertukar-tukar fikiran tentang pelbagai hal terutamanya tentang
agama, LGBT, ekonomi dan bahasa. Tanpa pertemuan demi pertemuan dengan gadis
ayu itu aku merasakan hidup ini tidak memberi apa-apa erti.
Sungguh, kehadiran Nina Atkinson
telah mengubah corak hidupku secara total. Aku sudah bijak melarik warna
bianglala menjadi untaian gebar tidur. Setiap malam bila bulan senyum di dada
langit, aku tahu ada dingin wayu yang manja menanti. Cinta itu terlalu
menggunung di dalam dada bagaikan aku mahu memutar paksi bumi lebih pantas
dengan tanganku kerana tidak sabar-sabar menunggu hari esok. Aku mahu menganyam
dedaun asmara menjadi raga kasih.
Dengan raga kasih itu aku mahu
menjinjing rindu galak jutaan kejora supaya mengerdip sampai bila-bila. Padaku,
cinta Nina Atkinson laksana malam yang berinsut di ranting kasih yang perdunya
adalah rendang asmara. Cinta yang terpahat di dasar hati sudah seperti desiran
angin yang dinginnya hububan rindu. Setiap bait kata-kata yang terucap dari
bibir merah delima merkahnya sentiasa melemaskan aku dengan kesyahduan dibelai
rasa yang menggoda. Aku sentiasa saja lelah di alam fana. Itulah Nina Atkinson.
Gadis itu sebenarnya sebutir manikam
yang amat berharga dalam hidupku. Aku mengharapkan kasih yang sudah subur
bersemi itu berkekalan buat selama-lamanya malah tidak ingin langsung
kehilangannya walau sedetik. Lebih jauh lagi, cinta ini telah menghidupkan
semula sebuah hidup yang telah mati dulu. Kenangan lara silam yang begitu getir
meratah hidup, yang acap membuncah melarakan, kian melenyap dan akhirnya lupus
dari bermain di ingatan.
Terima kasih Nina Atkinson!
“Nina… apa kata kalau cuti semester
nanti kamu mendamaikan perasaan jauh dari Manchester ini?”
“Maksud kamu?”
“Meninggalkan tanah Queen Elizaberth
ini…”
“Ke mana?”
“Ke negara saya Malaysia, ke kampung
halaman saya di Batu Berdinding!”
“Batu Berdinding? Hmmm, sedap nama
itu… apa yang menarik di sana?”
“Keindahan kampung yang masih belum
tercemar secara total dengan anasir pembangunan atau masih lagi ala tradisi…”
“Wow, fantastique!”
“Air sungainya mengalir tenang,
jernih bening dan sejuk, dipenuhi batu-batu dan jeram yang indah. Alam semula
jadi belum banyak terusik dan kamu tentunya tak mahu ketinggalan melihat
kepelbagaian flora dan fauna yang unik di sana!”
“Memang saya amat menginginkan
suasana itu. Emmmm, lagi?”
“Yang lebih penting, kampung itu
telah meninggalkan sebuah peristiwa sejarah yang tetap erat terpahat dalam
setiap hati warga Malaysia, khususnya!”
“Maksud kamu?”
“Tempat di mana Dato Sagor bersama
orang-orangnya menentang penjajah dari negara kamu suatu ketika dulu. Di situ
penentangan terhadap British bermula dan di situ juga mengalir darah pahlawan
Melayu Datok Maharaja Lela ke dalam tubuh ini!”
“Wah-wah, kamu berdarah pahlawan dan
pejuang rupanya! Err, tapi kamu kata keturunan kamu berdarah Arab...”
“Itu sebelah ibu. Darah Dato Sagor di
sebelah bapa!” Aku bersahaja dan tersengih lebar. “Err, di situ nanti kamu
boleh mendapatkan maklumat dari buku-buku sejarah yang masih ada!”
“Hei Arfik! Kamu sudah lupa agaknya.
Saya ini bukan pelajar sejarah tapi pelajar fakulti sains sosial!” Nina Atkinson
ketawa kecil namun panjang.
Wajahku pudar mendadak. Betapa mudah
aku terlupa akan hakikat sebenar.
“Jangan bimbang, Fik! Saya akan ikut
kamu ke kampung kelahiran kamu itu!”
Aku gesit memurup senyum senang.
Kerana kesudian tersebut, aku mulai menganyam namanya pada kepak camar yang
terbang di gigi alun. Aku merenda senyumnya pada setiap kelongsong malam dan
aku lagukan kasihnya pada setiap nyanyian mimpi. Dialah gadis tempawan yang
mercup membelai hati tidak keruan ini.
“Kamu sebahagian dari hidupku, Nina!
Saya tak mungkin dapat hidup andainya kamu tiada di sisi!” Begitu aku luahkan
perasaan hati yang menggelodar kala kami di permatang sawah melihat mega ungu
melatari ufuk langit di kampung kelahiranku, Batu Berdinding.
Burung-burung berterbangan
bersimpang-siur pulang ke sarang masing-masing setelah kekenyangan memagut
rezeki yang melimpah di bumi milik Tuhan. Angin petang bertiup segar dan
mendamaikan. Beberapa orang petani kelihatan nun di kejauhan berduyun-duyun
menuju ke rumah. Suasana sawah yang menghijau kian bertukar kejinggaan.
“Jangan suka bergurau, Arfik!”
“Saya tidak pernah mahu bergurau
dalam soal ini, Nina!”
Nina Atkinson diam sejenak.
Dilontarkan pandangan mata ke arah perbukitan di hujung sawah. Pohon-pohon
kelapa yang subur di kakinya seakan-akan biru kehitaman kerana ditabiri cahaya
matahari yang pudar.
Sejurus kemudian dia merenung
wajahku bagaikan memohon sebuah pengertian.
“Kamu seolah-olah tidak gemar saya
menghuraikan hakikat sebenar hati saya!” aku menduga.
“Bukan begitu, Arfik!”
“Habis, kenapa kamu masih menganggap
saya bergurau?”
Nina Atkinson mengeluh berat dan
rengsa. Aku jadi gelisar dengan keadaan.
“Cakap Nina! Apa sebenarnya yang ada
dalam hati kamu itu. Jangan biarkan saya jadi tidak menentu setelah kamu titipkan
sebuah harapan yang begitu menggunung tinggi!”
“Kamu harus akui hakikat ini, Arfik!
Bukankah Islam melarang tegas penganutnya berkahwin dengan orang bukan Islam?”
suaranya bergetar menyelusup ke dalam telingaku.
“Itu saya tahu, Nina! Malah saya sedar
sejak lama…”
“Itulah hakikat yang harus kamu
akui!”
“Memang saya akui hakikat itu!”
“Jadi, bagaimana kita boleh
berkahwin kalau itu hakikatnya?”
“Bukan sesuatu yang sukar, Nina!
Kita masih boleh mendirikan rumah tangga andainya kamu memeluk Islam!”
Nina Atkinson tersenyum. “Beri saya
sedikit masa, Arfik! Saya masih ada keluarga yang berpegang teguh dengan agama
leluhur. Tentunya mereka tak sekali-kali akan membenarkan saya menukar agama,”
“Saya akan bersabar, Nina! Dalam
masa yang sama saya akan selalu berdoa akan agar kamu akan mendapat hidayah
dari Tuhan untuk memeluk agama Islam,” ujarku.
“Terima kasih, Fik! Kamu tak memaksa
saya supaya menganut agama Islam, kan?”
“Dalam Islam tidak ada paksaan, Nina!”
Ya, aku tidak akan memaksanya. Lakum diinukum waliyadiin. Sebagai manusia, dia mempunyai hak untuk
meyakini agama mana yang dia suka. Agama Islam juga tidak pernah memaksa
penganut agama lain. Syurga dan neraka itu sudah jelas. Kebatilan dan kebenaran
juga sudah jelas. Yang menentukannya hanya akal anugerah-Nya.
“Sabarlah, Fik! Tapi saya yakin, satu hari nanti saya
akan menerima Islam sebagai cara hidup saya. Waktu itu kita akan hidup
bersama,”
“Kenapa kamu kata begitu?”
“Sebenarnya, sejak saya mengenali kamu, saya selalu
membaca tentang agama Islam. Hati saya kian tertarik dan saya yakin, saya akan
memeluk agama Islam suatu hari nanti,”
Kata-kata terakhir Nina Atkinson itu
membuatkan jagat Batu Berdinding yang aku kelih seakan-akan gemilang dan bersinar.
Aku bagaikan dapat merasakan yang pekarangan kampus Universiti Manchester akan
indah lebih lagi seindah kebun bunga matahari di Luxembough.
Nyata, Nina Atkinson tidak kental
Kristian Protestannya. Ya Tuhan, biarlah cinta kami itu subur bersemi. Biarlah
cinta antara kami bersinar gemilang. Biarlah kasih kami terus murup berkembang.
Aku akan menunggu saat itu, Nina
Atkinson!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan