SMAHADZIR
SIAPA yang tidak kenal dengan Mohammad Faizal. Sebut sahaja nama
Mohammad Faizal semua pelajar Sekolah Menengah tengku Osman Jiwa itu sudah
dapat membayangkan wajahnya yang tampan, bergaya, kacak dan juga kemas bila
berpakaian.
Namun begitu, Mohammad Faizal adalah seorang yang suka mengganggu
pelajar-pelajar perempuan. Dia menyangkakan bahawa dialah pelajar paling kacak
di sekolah itu menyebabkan dia beranggapan yang semua pelajar perempuan suka
kepadanya. Sifat bongkak dan megah inilah yang menyelubungi fikiran Mohammad
Faizal menyebabkan dia sering saja bertukar pasangan. Ramai pelajar perempuan
yang tahu sifatnya tetapi mereka tetap juga mahu berkawan dengannya.
Selain dari memiliki rupa paras yang kacak, bergaya, tampan dan
sebagainya, Mohammad Faizal juga anak orang berada. Banyak wangnya dihabiskan
kepada pelajar-pelajar perempuan yang disukainya. Ramai guru menasihatinya
supaya mengubah sikap namun Mohammad Faizal seorang pelajar yang degil. Dia
menganggap semua teguran dan nasihat guru itu sebagai sesuatu yang berunsur
cemburu dan sengaja mengganggu kebebasannya.
Guru-guru juga tidak mampu berbuat apa-apa kerana Mohammad Faizal
tidak pernah melakukan sebarang kesalahan disiplin sekolah. Dia sekadar
berkawan dengan pelajar perempuan tanpa menimbulkan sebarang kesalahan moral
atau akhlak yang boleh membuatkan dia diambil tindakan disiplin. Lantaran itu,
pihak sekolah membiarkan saja kegiatannya.
Pada suatu hari Mohammad Faizal telah bertukar ke sebuah sekolah
lain kerana mengikut keluarganya berpindah. Sekolah itu letaknya hampir 200 km
dari sekolah lamanya. Di sekolah baru ini juga sifatnya tidak berubah. Sikap
lamanya diamalkan di sini dan ramailah pelajar perempuan yang menjadi rakan
karibnya.
Namun begitu, Mohammad Faizal yang pandai menggoda pelajar
perempuan itu akhirnya terjatuh dalam ‘perangkapnya’ sendiri. Kerana
perangainya yang kuat menggoda itu, dia akhirnya telah tergoda pada seorang
gadis manis bernama Siti Norfaizah.
Pada suatu petang, ketika
itu hari hampir senja, sebaik pulang dari kegiatan kokurikulum di sekolahnya,
seperti biasa Mohammad Faizal menunggu bas di perhentian bas tidak jauh dari
sekolahnya. Sebaik bas datang, Mohammad Faizal terus melangkah naik dan mencari
tempat duduk yang agak jauh ke belakang. Kebetulan ada sebuah tempat kosong di
situ sedang di tempat lain semuanya sudah dipenuhi penumpang. Beberapa minit
bas bergerak, tiba-tiba bas tersebut berhenti untuk mengambil penumpang.
Dalam hati Mohammad Faizal
berharap agar penumpang yang naik itu adalah seorang gadis cantik. Seperti
pucuk dicita ulam mendatang, yang menaiki bas itu memang seorang gadis cantik.
Mohammad Faizal yakin gadis tersebut adalah pelajar sepertinya juga. Ini adalah
kerana gadis itu membawa beberapa buah buku matematik dan juga fail nota studi.
Lebih mendebarkan hati, gadis jelita itu memilih duduk di sebelah Mohammad
Faizal sedangkan ada sebuah lagi tempat duduk yang masih kosong di hadapannya.
Mohammad Faizal berasa
bangga kerana gadis tersebut memilih tempat di sisinya. Dia semakin yakin
bahawa rupa parasnya yang kacak itulah yang menyebabkan gadis itu memilih
tempat tersebut. Setelah beberapa ketika bas bergerak, Mohammad Faizal mula
memancing bual. Dia memberanikan diri menegur gadis itu.
“Kamu ni seorang pelajar
ke?” tanya Mohammad Faizal dengan ramah.
Gadis itu tidak menjawab
sebaliknya sekadar tersenyum manis dan mengangguk kecil.
“Errr, dari mana?” tanya
Mohammad Faizal dengan gaya seorang lelaki sejati.
“Err, saya dari rumah
kawan. Buat study group!” jawab gadis itu agak malu-malu maklumlah baru
pertama kali berbual dengan Mohammad Faizal.
“Subjek apa yang kamu
diskus tu?” Mohammad Faizal semakin berani.
“Err, matematik tambahan
dan kimia moden!” ujar gadis tersebut.
“Bermakna kamu nak ambil
SPM tak lama lagi?”
“Ya!” ujar gadis itu.
“Kalau begitu kita serupalah!” balas Mohammad Faizal. “Sayapun nak ambil SPM juga tahun ini. Tapi, bagi saya
subjek matematik tambahan dan kimia moden tak berapa susah. Saya rasa saya tak
perlu tumpukan perhatian yang lebih pada kedua subjek tu,” tambahnya lagi
beriak bangga. Sebenarnya, dia berbohong. Kedua-dua subjek itulah yang amat
memeningkan kepalnya selama ini tetapi lantaran di hadapan seorang gadis yang
cantik seperti itu, pembohongan terpaksa dilakukan bagi menutup kelemahan diri
sendiri.
“Baguslah kalau kamu
pandai dalam kedua-dua subjek tu!” balas gadis tersebut sambil tersenyum. “Saya
rasa seronok dapat berkenalan dengan seorang pelajar seperti kamu yang pandai
dalam subjek matematik tambahan dan kimia moden. Bila ada kelapangan, bolehlah
kamu ajar saya,”
“Eh, sudah tentu boleh!!”
tegas Mohammad Faizal dengan pantas. “Bila-bila masa saja saya akan ajar kamu.
Tapi, kamu bersekolah di mana?”
“Sekolah Menengah
Perempuan Tengku Maimunah!” jawab gadis tersebut.
“Sekolah tu tak jauh dari
sekolah saya. Err, saya belajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Malik!” balas
Mohammad Faizal.
Perbualan mereka jadi
terbantut kerana gadis itu sudah menekanpun at loceng di atas kepalanya. Ini
bermakna dia akan turun. Namun sebelum turun gadis itu sempat memberikan
senyuman manis kepada Mohammad Faizal. Pertemuan dengan gadis tersebut telah
membawa kenangan tersendiri bagi Mohammad Faizal. Pun begitu Mohammad Faizal
amat kesal kerana dia tidak sempat menanyakan nama atau alamat gadis jelita
itu.
Dua hari kemudian, sekali
lagi Mohammad Faizal menyertai kegiatan kokurikulum di sekolahnya. Hampir senja
barulah dia pulang. Seperti biasa, dia akan menunggu bas di hadapan sekolahnya.
Sewaktu melalui hadapan Sekolah Menengah Perempuan Tengku Maimunah. Tiba-tiba
Mohammad Faizal melihat gadis tersebut sedang menunggu bas di sebuah hentian di
situ. Gadis itu menahan bas yang dinaiki Mohammad Faizal. Kali ini Mohammad
Faizal dapat bertemu lagi dengan gadis tersebut. Gadis itu terus melemparkan
senyuman dan terus duduk di samping Mohammad Faizal.
“Tak sangka kita berjumpa
lagi hari ni!” ujar Mohammad Faizal dengan wajah yang gembira.
“Sayapun tak sangka dapat berjumpa dengan kamu lagi!”
balas gadis itu.
“Ada kelas tambahan ke
hari ni?” Mohammad Faizal ingin tahu.
Gadis tersenyum sekadar
mengangguk. “Kamu?”
“Saya ada latihan bola
sepak!” balas Mohammad Faizal.
“SPM dah semakin hampir.
Kamu seolah-olah tak takut langsung…”
“Saya studi awal subuh.
Siang saya belajar sikit saja dan buat ulang kaji subjek yang lepas. Waktu
subuh saya buat latihan soalan-soalan yang keluar tahun-tahun lepas. Err, kalau
kamu nak soalannya, saya boleh berikan pada kamu!” jelas Mohammad Faizal
panjang lebar.
“Tak payahlah!” balas
gadis tersebut agak tegas.
“Kenapa?” tanya Mohammad
Faizal.
“Cukuplah dengan apa yang
saya ada sekarang,”
Mohammad Faizal diam
sejenak. Namun lirikan matanya merayapi seluruh wajah gadis itu. Memang cantik.
Kulitnya putih gebu, alis matanya lentik, bibirnya bak delima merkah dan gayanya
mengelek buku-buku pelajaran amat mempersonakan.
“Err, kenapa kamu tenung
saya begitu?” tiba-tiba gadis tersebut bertanya.
Mohammad Faizal tersentak
sejenak. “Err, sebenarnya… sebenarnya saya nak tahu nama kamu. Dah lama kita
berkawan tapi… tapi saya tak tahu lagi nama kamu!” ujarnya agak gugup dan acuh
dan tak acuh.
“Kamu tak pernah tanya
nama saya. Bagaimana saya nak beritahu!” balas gadis tersebut sambil
tersipu-sipu.
“Jadi, siapa nama kamu?”
Mohammad Faizal bagaikan tidak sabar lagi.
“Nama saya Siti Norfaizah!
Err, kamu?” tanya gadis itu pula.
“Saya Mohammad Faizal!”
jawab Mohammad Faizal sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan
gadis itu. Mereka bertukar alamat sebelum Siti Norfaizah turun di sebuah taman
perumahan. Sebelum turun seperti sebelumnya dia melemparkan sebuah senyuman
kepada Mohammad Faizal.
Sejak itu, Mohammad Faizal
seperti gila bayang pada Siti Norfaizah. Sebelum ini sudah berpuluh gadis
pelajar yang menjadi rakan rapatnya tetapi tidak seorangpun yang benar-benar berjaya menawan hatinya.
Berbeza dengan Siti Norfaizah, hanya baru dua kali bertemu, hatinya benar-benar
telah terpaut.
Namun begitu, Mohammad
Faizal tidak pernah melihat Siti Norfaizah di hentian hadapan Sekolah Menengah
Tengku Maimunah setiap kali waktu tamat persekolahan. Setiap hari sewaktu
pulang dari sekolah Mohammad Faizal pasti melihat ke arah hentian bas hadapan
Sekolah Menengah Perempuan Tengku Maimunah itu namun dia tidak pernah terlihat
kelibat Siti Norfaizah di situ. Barangkali gadis itu pulang lewat ataupun
menghadiri kelas tambahan.
Sudah hampir seminggu
Mohammad Faizal tidak bertemu dengan Siti Norfaizah. Dia mulai gelisah. Setiap
hari wajah Siti Norfaizah terbayang-bayang di ruang matanya. Lantaran kerinduan
yang amat dalam dan sudah tidak mampu ditahan, akhirnya Mohammad Faizal
mengambil keputusan untuk datang sendiri ke rumah Siti Norfaizah mengikut
alamat yang diberikan. Dia bercadang mahu belajar bersama-sama dengan gadis
itu.
Suatu petang yang ceria,
sambil membawa beberapa buah buku teks dan helaian kertas nota subjek matematik
tambahan dan kimia moden, Mohammad Faizal mengatur langkah mencari rumah Siti
Norfaizah. Kepada seorang perempuan separuh umur penjual goreng sukun di tepi
jalan, Mohammad Faizal bertanyakan di mana rumah Siti Norfaizah.
“Assalamualaikum, mak cik!
Err, saya nak tumpang bertanya!” sapa Mohammad Faizal dengan mesra.
“Nak tanya apa, nak?”
tanya mak cik itu kembali.
“Saya nak tanya rumah Siti
Norfaizah…”
“Siti Norfaizah yang mana
satu?” cantas penjual sukun goreng itu seraya mata terkesip-kesip kehairanan.
“Err, Siti Norfaizah Binti
Abdul Rahman!” ujar mohammad Faizal.
“Faizah anak Lebai Man
tu????” mak cik tersebut terlopong mendadak. “Kamu cari dia ke?”
Mohammad Faizal tidak
menjawab sebaliknya dia hanya tersengih-sengih.
“Err, rumah Lebai Man tu
tak jauh dari sini. Dua lorong ke belakang, kamu akan jumpa rumah yang bercat
biru. Ha, itulah rumahnya!” jelas penjual sukun goreng tersebut.
Selepas mengucapkan
berbanyak-banyak terima kasih kepada mak cik itu, Mohammad Faizal segera
mengatur langkah ke arah yang ditunjukkan. Beberapa minit kemudian diapun sampai di rumah tersebut. Mohammad Faizal
dijemput masuk dengan ramah.
“Anak ini siapa?” tanya
Lebai Man.
“Saya kawan sekolah Siti
Norfaizah!” ujar Mohammad Faizal.
“Err, anak datang ni ada
hajat apa?” tanya Lebai Man lagi. Ketika itu isterinya datang membawa sedulang
air lalu diletakkan di hadapan tetamu.
“Saya nak bagi buku-buku
rujukan dan nota-nota SPM ni pada Faizah. Dia minta semua ni dari saya…”
“Err, bila kamu jumpa dia?”
cantas Lebai Man agak kehairanan.
“Beberapa hari yang lalu saya berjumpa
dengannya, pak cik!” jawab Mohammad Faizal. “Dia kata, dia lemah dalam subjek
matematik tambahan dan juga kimia moden. Sebab itulah saya bawa nota-nota ni
pada dia!”
Setelah mendengar cerita
Mohammad Faizal, terlihat wajah ibu dan bapa Siti Norfaizah begitu terkejut. Si
ibu kemudiannya menunjukkan beberapa keping gambar Siti Norfaizah.
“Benarkah gadis ini yang
kamu temui itu?” tanya Lebai Man ingin pasti.
“Err, memang benar pak cik!
Inilah Siti Norfaizah. Tapi, kenapa?” Mohammad Faizal mulai berasa ada sesuatu
yang tidak kena.
Pengakuan itu disambut
dengan titisan air mata oleh Lebai Man dan isterinya. Mohammad Faizal
benar-benar terkejut dengan keadaan itu. Ibu Siti Norfaizah akhirnya membuka
cerita lama bahawa anaknya yang bernama Siti Norfaizah itu telah meninggal
dunia setahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Kemalangan itu berlaku
sewaktu gadis tersebut sedang menunggu bas di hadapan Sekolah Menegah Perempuan
Tengku Maimunah ketika hendak pulang ke rumah sebaik lepas sekolah. Sebuah lori
papan yang tidak dapat dikawal telah merempuhnya. Siti Norfaizah meninggal di
tempat kejadian.
Mendengar cerita itu,
Mohammad Faizal amat terkejut dan berasa sungguh terharu. Kenapa Siti Norfaizah
telah memilihnya untuk berinteraksi? Sesungguhnya pertemuan mereka adalah
antara dua makhluk dari dua dunia yang berbeza. Semuanya di atas kehendak Allah
Yang Maha Kuasa. Mohammad Faizal tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya kelu dan
mulutnya terkunci rapat sehinggalah dia meninggalkan rumah Siti Norfaizah
petang itu. Fikirannya berkecamuk dengan seribu pertanyaan yang sukar untuk
dijawab terutama oleh mereka yang tidak mengalami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan