Khamis, 21 Disember 2023

AKU, LELAKI BERKEMEJA LENGAN PANJANG MERAH GENGGANG DAN SEORANG PEREMPUAN GEMUK

SMAHADZIR

 

RASANYA sukar sekali mencari kata-kata untuk kurangkai-rangkai menjadi sebuah cerita. Sudah satu jam sejak waktu subuh memudar. Aku duduk di hadapan komputer di dalam bilikku. Biasanya aksara-aksara yang menghampiriku. Aku hanya tinggal mengumpulkannya saja. Menyatu-nyatukannya menjadi kalimat-kalimat. Dan, menggiringnya menjadi sebuah cerita. Entahlah, mungkin terlalu banyak hal yang ingin kutulis, sehingga tidak satu ceritapun yang mampu kuselesaikan. Baru kumulai menggarap satu idea, idea yang lain mengusik keinginanku. Tidak mampu kukendalikan!

“Seburuk apapun hasilnya, sebuah cerita harus tuntas digarap, sebelum penulis ingin melangkah kepada cerita yang lainnya,” begitu nasihat seorang sasterawan ternama yang tulisannya dimuatkan dalam sebuah majalah sastera.

Tetapi sukar sekali kuterapkan ketika ini. Idea-idea itu menjejal ruang di kepalaku. Berputar-putar seperti gasing. Ini membuatku pening. Sementara tidak cukup aksara yang mampu kurangkai-rangkai untuk menyelesaikannya.

Ah! Kumatikan komputerku. Kutinggalkan bilikku. Mungkin televisyen mampu sedikit menyegarkan otakku?

“Artis A bercerai dengan artis B,” kubalikkan channel televisyen.

“Artis B bercinta dengan artis C,” kutukarkan channel televisyen.

“Artis A memiliki hubungan dengan artis D,” kupicit punat ke channel televisyen lain.

“Artis D mengugut akan menceraikan artis C, padahal mereka belum menikah!” Pulak?

Kupadamkan televisyen. Kufikir, berita-berita itu tidak akan membantuku sama sekali. Untuk beberapa ketika aku seperti kejang. Mundar-mandir hadapan belakang. Warawiri tidak karuan. Dan, kepalaku menjadi sendat kerananya. Yongyat... libang libu...

Aku balik semula ke bilikku. Kukemaskan cadar di atas katil. Kubaringkan tubuhku di atasnya. Mataku baru dua jam terpejam ketika azan subuh membangunkanku. Kedua-dua rakanku masih terlelap di bilik masing-masing. Ketika bangun subuh tadi, kedua-duanya baru kembali dari tempat kerja. Mereka pemuzik. Yang satu gitaris sebuah kugiran yang biasa memainkan lagu-lagu pop 50-an dari sebuah kafe ke sebuah kafe lain, hampir setiap malam. Yang seorang lagi, kreografer yang banyak menghabiskan waktunya di studio milik Raja Dangdut. Mereka seperti seekor kelelawar yang mencari makan di kegelapan malam, dan kembali ke sarang ketika pagi menjelang.

‘Huuuuaaaahhhhh!’ Mengantuk. Mataku terpejam. Tertidur.

Matahari telah menuntaskan pendakiannya ke tiang tertinggi hari, duduk di hujung awan, sinar matanya tajam menghujam ke bumi, cahayanya menyelinap melalui celah tirai jendela bilikku yang terbuka. Panas!

‘Hayyaalashsolaaaaahhh!!!’ Suara muadzin bersaing dengan jerit sorak kanak-kanak yang bermain di lorong sebelah rumah sewaanku. Kubuka mata. Beranjak ke bilik mandi. Kubasuh tubuh. Wuuuiiih... segaaaarrr! Kulihat pintu bilik kedua-dua rakanku masih rapat.

 Selepas solat zuhur, perutku mulai berkeroncongan. Cacing-cacing di dalam perutku bertingkah lagaknya para rakyat marhaen yang berdemontrasi menuntut apa saja demi kebaikan diri. Menimbulkan suara ‘krukuk krukuk krukuk’ di dalam perutku. “Ah! Begini nasib jadi orang bujang!” aku bersenandung, menyinis nasibku yang nyaris menyentuh umur tiga puluh lapan tetapi masih lagi belum berkahwin. Nasib, nasib... mana ada perempuan yang mahu dengan lelaki yang penghasilannya hanya cukup buat beli nasi bungkus!

Tetapi aku amat bersyukur dengan apa yang sudah kudapati. Ini hanya persolaan pilihan hidup. Dan, aku harus berani menanggung konsekuensinya. Menjadi penulis. Di negara ini, profesyen itu masih dipandang sebelah mata.

“Kamu tidak akan menjadi kaya dengan menjadi penulis!” begitu pendapat rakan pemuzikku. Tidak apa buatku. Untuk menjadi bahagia, tidak harus menjadi kaya. Tetapi aku akui, kadang-kadang kekayaan mampu membeli kebahagiaan. Namun, penderitaan boleh juga bermula dari kekayaan. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, penulis mati meninggalkan karya. Aku hanya seorang lulusan sekolah menengah. Setidak-tidaknya, aku tidak menyia-nyiakan pelajaran yang pernah diberikan guru-guru Bahasa Melayuku dulu. Dan, aku cukup bahagia dengan pilihanku.

“Sepinggan nasi putih, sayur kangkung dan sekeping tempe goreng berlada.”

“Minumnya?”

“Air kosong.”

“Sejuk?”

“Suam.”

Beberapa ketika kemudian pelayan warung nasi itu menghidangkan pesanan di depanku. Tersenyum. Aku membalas senyumnya.

Kupandang hidangan di depanku. Benar-benar membangkitkan selera. Lebih-lebih lagi makan sambil angkat kaki. Irama lagu Melayu kedengaran mengalun dari loud speaker peniaga kaset dan CD, yang dibuka maksimum.

Aku makan dengan lahap. Yeah, beginilah hari-hariku, makan di sebuah warung nasi di pinggiran landasan kereta api dekat stesen. Aku suka menghabiskan waktu di tempat itu. Baca buku sambil minum kopi. Atau, duduk di stesen dengan rakan-rakan senasibku, sambil mengamati hiruk-pikuk kehidupan yang berlangsung di tempat itu.

Biasanya, kata-kata mampu berhamburan begitu saja dari alam bawah sedarku. Kalau aku sedang ‘miskin’, aku sering ikut rakan-rakan senasib mendendangkan lagu Melayu dari satu gerabak ke gerabak lainnya. Tidak sia-sia aku memiliki rakan pemuzik. Mereka mengajarku banyak perkara tentang gitar. Berkat tunjuk ajar mereka, aku cukup fasih memainkan alat muzik yang satu itu. Yeah, lumayan juga buat isi perut. Tetapi hari ini tidak kulihat rakan-rakan senasibku di stesen itu.

Petugas stesen mengumumkan kedatangan kereta api dari arah utara, melalui alat pembesar suara. Sayup-sayup terdengar derap langkah roda besi menggilas landasan semakin mendekat. Bakal-bakal penumpang segera berdiri dari tempat duduk masing-masing. Aku ikut berdiri. Aku tidak tahu kenapa aku ikut berdiri. Tetapi biar saja kakiku menentukan langkahnya sendiri kali ini.

Kereta api berhenti di stesen. Orang ramai berebut ke pintu. Kakiku membawa aku ke dalam gerabak yang tidak terlalu sesak, tetapi tidak wajar pula dikatakan lengang. Tujuan? Entah. Aku berdiri tidak jauh dari pintu. Kereta api bergerak perlahan-lahan meninggalkan stesen. Irama lagu Melayu kedengaran semakin sayup sebelum menghilang dari pendengaranku. Berganti dengan suara peniaga apa saja yang bersahutan di dalam gerabak itu.

Seorang lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang berdiri di sebelahku, memuntahkan sampah nikotin dari mulutnya yang hitam. Aku terbatuk-batuk, berusaha memberikan isyarat kepadanya bahawa aku merasa terganggu dengan asap rokoknya. Lelaki yang kukira usianya hampir sebaya denganku itu, hanya melirik sekilas. Seperti ekzos lori balak, mulutnya yang hitam menyemburkan asap bertubi-tubi. Mengepul. Mengepung wajahku. Kulihat matanya sinis melirik ke arahku. Aku merasa tidak mahu terbatuk-batuk lagi.

Kereta api bergegar. Memperlambatkan kelajuannya. Sebuah stesen jelas di hadapan. Lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang di sebelahku berjalan ke hadapan pintu. Seorang perempuan gemuk yang - sebelum lelaki itu berdiri di hadapan pintu bersedia untuk turun - berdiri di sebelahnya menyedari bahawa beg tangannya telah koyak tersiat dan mendapati dompet duitnya lenyap. Perempuan tersebut sudah mencurigai - sejak sebelum dia mendapati beg tangannya koyak tersiat bahawa itu semua adalah kerja lelaki berkemeja lengan panjang tersebut.

Kereta api belum berhenti sewaktu perempuan gemuk itu menjerit lantang seraya menuding ke arah lelaki berkemeja lengan panjang yang sudah bersedia hendak melangkah turun.

“Pencuri!!! Penyeluk sakuuuuu!!! Tangkap diaaa!!!!!!”

Berpasang-pasang mata segera menancap ke wajah lelaki tersebut. Wajahnya pucat serupa mayat. Dia sedia melompat dari atas kereta api, namun dibatalkan. Seorang lelaki tiba-tiba menarik tubuhnya kembali ke dalam gerabak. Beberapa orang penumpang turun, beberapa orang penumpang yang lain pula naik. Sejurus kemudian kereta api mulai bergerak meninggalkan stesen. Lelaki yang telah mencuri dompet duit perempuan gemuk tadi dikerumuni.

Waktu seolah-olah berhenti.

“Kurang ajar! Belasah dia!!!”

“Bunuh!”

“Habiskan dia! Menyusahkan orang saja!!”

“Pakai lawa tapi pencurii!!!!!!”

Entah siapa yang bersuara.

Buk!

“Aduhhh!”

Bukkk!

“Maafkan aku!!!”

Bukkkk!! “Maafkan aku!!!”

Bukkkk!

 “Tolong ampunkan akuuuu...”

Crooootttt!

Darah mengalir dari kepalanya.

Jreb!

Pisau menancap di perutnya.

Bukkkk!

Bukkkk!

Bukkkk!

Bukkkk!

Darah! Darah!! Darah!!!

Menoda di mana-mana.

Lelaki itu tumbang. Tersungkur bersimbah darah. Masih diinjak-injak. Tidak bergerak. Mati? Masih diinjak-injak.

Orang ramai masih menjerit-jerit:

“Kurang ajar! Belasah dia!!!”

“Bunuh!”

“Habiskan dia! Menyusahkan orang saja!!”

“Pakai lawa tapi pencurii!!!!!!”

“Humbankan saja keluar... biar dia mampus!!”

Lempar ke luar?! Hiiiiyyy... aku berasa ngeri membayangkan hal itu.

Sejurus kemudian dua orang lelaki memegang tangannya. Dua orang lelaki lagi memegang kakinya. Dan keempat-empat lelaki itu menyeret tubuhnya ke hadapan pintu. Mengangkatnya. Mengayun-ayun tubuh lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang tersebut. Mengambil langkah. Beberapa orang penumpang menjerit-jerit sambil menutup mata. Beberapa orang penumpang lagi sekadar melopong. Beberapa orang penumpang pula berusaha mencegah. Selebihnya hanya menjadi penonton saja.

Dan aku? Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak. Keempat-empat lelaki itu masih mengayun-ayun tubuh lelaki berkemeja yang bersimbahan darah dan sudah kaku itu. Mungkin dia sudah pengsan atau mati? Tidak seorangpun yang dapat memastikannya. Tetapi semua orang yang berada di gerabak itu tahu, apa yang akan terjadi sewaktu keempat-empat lelaki itu mulai menghitung: “Satu, dua, ti...”

Handphone di poket seluarku bergetar. Aku terhenyak. Tersedar. Lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang masih berdiri di sebelahku. Mulutnya yang hitam masih saja mengepulkan sampah nikotin ke udara. Perempuan gemuk yang berdiri di sebelahnya terbatuk-batuk kerananya. Sedang lelaki itu masih saja tidak peduli. Padahal, penampilannya kelihatan sangat terpelajar.

Kuterima panggilan. Suasana gerabak amat bising. Sukar aku mendengar perbualan rakanku yang bekerja di bahagian penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kupasang telinga tajam-tajam. Dia bertanya bila aku akan menyerahkan naskhah-naskhah antologi cerpenku. Seharusnya, kelmarin aku sudah menyerahkannya.

Kukatakan kepadanya, aku hanya perlu menyiapkan sebuah cerpen lagi untuk melengkapi. Dan, kukatakan juga kepadanya, aku baru saja menyelesaikan sebuah cerita yang baru kutulis di kepalaku. Ceritanya tentang seorang lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang, yang dituduh penyeluk saku oleh seorang perempuan gemuk yang berdiri di sebelahnya, di dalam sebuah gerabak kereta api yang sedang bergerak.

Padahal lelaki itu tidak mencuri dompet duitnya. Atau, dia menyiat beg tangan perempuan tersebut. Para penumpang yang berada di dalam gerabak itu tidak seorangpun yang berminat mengambil tahu. Mereka lebih tertarik untuk segera melenyapkan lelaki yang kelihatan sangat terpelajar itu. Sampai mati? Mereka tidak juga merasa perlu mengambil tahu apakah lelaki itu sudah mati sebelum mereka menghumbannya dari atas gerabak kereta api yang sedang berjalan.

“Cerita yang menarik, kan?” kataku kepadanya. Dan, dia sangat menyukainya. Sampai di situ perbualan kami terputus.

“Tiketnya, encik?”

“Ups!!” Alamak, aku terlupa membeli tiket!

“Tiketnya, encik?”

Aku segera menyeluk poket seluar panjangku. Kucapai beberapa helai ringgit di situ. Kuambil sehelai lalu kuselitkan di genggaman petugas itu.

“Apa ini?”

“Tiket, encik!”

Petugas itu tersenyum. Aku mengelus dada. Lega. Tetapi kemudian, dia mengembalikan baki yang kuberikan ke tanganku. “Di stesen berikut kamu harus turun untuk membeli tiket!” Setelah berkata begitu, dia meneruskan tugasnya memeriksa tiket para penumpang yang lain.

Ah, ternyata masih ada orang yang jujur. Aku meringis. Malu. Kereta api berhenti di sebuah stesen. Aku teragak-agak mahu turun untuk membeli tiket. Mungkinkah petugas itu tidak akan kembali meminta tiket dariku? Entah. Tetapi aku malu dengan kejujuran petugas tersebut. Jadi kuputuskan untuk turun membeli tiket, sebelum aku berpindah ke kereta api yang menghala ke arah Kuala Lumpur. Aku ingin segera kembali ke rumahku. Aku sudah tidak sabar ingin menumpahkan cerita yang baru saja kutulis di kepalaku ke dalam komputer, sebelum dicetak dan kuserahkan kepada rakanku yang bekerja di bahagian penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Para penumpang berebut pintu. Aku segera melompat turun dari gerabak kereta api. Dan, pada ketika yang sama, aku mendengar suara orang menjerit lantang.

 “Penyeluk sakuuuuuu!!! Pencuriiiiiii!!!!!”

 Semua mata memandang ke arahku. Memandangku? Seorang perempuan gemuk berdiri di mulut pintu, menuding ke arahku. Ke arahku?!

“Ups!”

Kulihat lelaki berkemeja lengan panjang warna merah genggang melangkah tergesa-gesa meninggalkan stesen.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA