Ahad, 31 Disember 2023

KE AKHIRAT MEMBAWA BARANGAN YANG DIMURKA ALLAH

SMAHADZIR

KASIHAN manusia ini, ramai antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia. Kerja dunia yang sementara bersungguh-sungguh mereka mengerjakannya. Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama, hiduppun tidak sampai ke tua, ramai yang mati muda.

Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka ini ditipu oleh angan-angannya. Mereka memburu nama dan glamour dengan bermacam dan berbagai cara. Ramai orang kerana hendak nama dan glamour, sanggup memanjat gunung, menyeberang sungai yang alirannya deras, merenangi lautan, mengembara ke kutub utara atau selatan, menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang sungguh mahal dan lain-lain lagi.

Apakah dapat bersembahyang atau tidak, tidak diambil kira, mereka melakukannya dengan bersusah payah untuk sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Sama ada ketika mengejar nama dan glamour itu melanggar syariat atau as-sunnah tidak dipedulikan, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa membuat berita, yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.

Begitulah manusia pada hari ini, kerana nama dan glamour sanggup mati untuk mendapatkannya. Tetapi kalau kerana Allah sanggup berbuat bermacam-macam alasan untuk tidak melakukannya. Susahlah, sibuklah, tidak ada masa dan kerana itulah solat Subuhpun ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat tetapi setelah matahari naik. Begitulah orang memperkecilkan Allah kerana berbagai-bagai alasan. Kerana nama dan glamour tidak ada yang mustahil, boleh sahaja melakukan apa saja.

Segala yang diusaha dan diperolehi di dunia ini bakal ditinggalkan, tidak boleh dibawa ke mati. Sedangkan usaha untuk akhirat adalah kekal abadi. Tetapi untuk akhirat itulah yang dicuaikannya. Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa apa-apa. Bekalan ke sana waktu di dunia telah dilupakan seperti tidak beribadah atau beribadah secara sambil lewa sahaja, tidak berjiwa langsung. Pemurahnya tidak ada, bermaaf-maafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah dilupa. Sabar dan redha tak usah dikata, bukan budaya hidupnya mengutamakan orang lain. Ziarah-menziarahi bukan budayanya, menghormati hukum-hakam Allah dalam hidupnya bukan disiplinnya.

Islamnya hanya syahadah dan sedikit-sedikit ibadah lainnya, itupun bukan dari jiwa. Bertimbang-rasa tidak dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga yang ada, dia memikirkan kepentingan diri dan keluarga atau kroni-kroninya sahaja. Orang miskin, susah, dapat bala peduli apa! yang dibawanya ke akhirat ialah sifat sombong, tamak, bakhil, pemarah, zalim, megah, riyak, ujub, di samping lupa Allah, tidak takut dan tidak cintakan Penciptanya.

Sewaktu hendak mati masih dalam angan-angan lagi ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamour. Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang, masih mengangkat diri, ajalpun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan, dengan kata-kata lain tidak membawa sifat takwa sebagai bekalan. yang dibawanya hanya sifat-sifat mazmumah yang bernanah dalam jiwanya.

Aduh malang sekali, dia pergi ke dunia akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke neraka, barang-barang yang dibawa untuk ke syurga tidak ada, maka rugilah dia sepanjang masa buat selama-lamanya. Semoga kita dijauhkan Allah dari memiliki sifat-sifat seperti ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA