SMAHADZIR
FILLA melepaskan puing cinta
pada setiap juzuk Monte Beroci. Biar menjadi debu berterbangan dan melenyap di
celah kehijauan tanpa cemar di situ. Filla tidak mempercayai cinta lagi. Cinta
itu dusta, cinta itu palsu dan cinta itu membuatkan diri pernah jadi nano tidak
keruan. Perasaan libang-libu berkecamuk dengan cabuh jiwa kerana cinta yang
punah, sirna tanpa rela.
Julia turut gembira dengan wajah ceria Filla. Semoga
perubahan ini berterusan. Semoga Filla dapat menerima hakikat hidup. Cinta
mencintai, bahagia kecewa adalah lumrah kehidupan. Ceria wajah Filla turut
meronai rasa senang hati Julia. Sudah seminggu mereka di sini. Ini hari kelima
keceriaan figura Filla serlah.
Dari beranda Vila Valmarana Ai Nani, Filla membiar diri
dicumbui bayu dingin yang mendesah. Mentari Vicenza pudar sebam di pundak
langit, sesekali malu-malu di tabir awan gemawan. Julia mendekat. Keasyikan
meladeni suasana indah tergugah.
“Aku harap kau gembira di sini!” cerlus suara Julia
menyapa cuping telinga. “Kau dapat melupakan kisah cinta lara silam dan
tentunya kita akan pulang dengan ceria.”
Filla
sekadar angkat pundak seraya mata menunak perabot-perabot antik sekitar ruang
rumah tetamu. Unik dan sarat kreativiti. Di situ dihumbankan lagi segala lara
yang cagun dalam diri.
“Sebelum pulang ke tanah air, kita akan ke Asolo!” Julia
mencerlus lagi, persis merayu bual. “Bandar beratus horizon. Kecil tapi cantik,
unik dan kaya sejarah!” menokok taklimat ringkas.
Filla gesit senyum. Jelas senang dengan ungkapan Julia.
“Aku lebih suka gelaran Mutiara Veneto!” ujarnya polos. “Dulu pusat Kerajaan
Roman pada kurun pertama Sebelum Masehi, dianugerahi gelaran ‘Daerah Paling
Disanjungi’ pada 1338!” Senyum memurup bangga dengan pengetahuan diri.
Julia terjegil kagum. “Hebat pengetahuan kau, Filla!”
“Impian sejak kecil!” Filla bersahaja. “Yang penting, di
situ hanya mencatat sejarah indah, tiada sejarah luka yang lara!”
Julia pantas faham retorik Filla. Ironisnya cerita lara
silam tidak wajar diingat apalagi diungkit, kelak menokok beban jiwa. Dia
sedar, Filla belum dapat melenyapkan sepenuhnya cinta tragis yang membalut
diri. Lebih lapan tahun dibumbu mesra tiba-tiba sirna tuntas. Cinta asmara yang
dibina runtuh menjadi puing bagai disergap mesiu ganas. Memang lara kisah cinta
ini. Teruna kecintaan memilih dara lain jadi suri hidup. Filla amat kecewa dan
dijerba derita jiwa santak kini.
Namun,
Julia tidak jemu-jelak menyubur semangat. Sebagai rakan baik, dia turut
menumpang jelu. Hening setagal cuma dibebar bisik-bisik suara pengunjung yang
semakin ramai. Vila Valmarana Ai Nani memang menjadi tumpuan pelbagai bangsa
dari seluruh pelosok dunia.
“Apa pun kata kau tadi, aku mahu kau senang dan bahagia
di sini!” suara Julia bergema semula. “Lupakan semua kisah cinta lama.
Anggapkan itu semua mitos yang tak pernah wujud dalam hidup!”
“Itu yang aku lakukan sekarang!” ujar Filla. Mengeluh
berat kemudiannya.
Mendepani karya GD Tiepolo (1757) yang melekat di
dinding, nyata mengundang pesona. Vila cetusan F Muttoni ini kaya dengan
lukisan. Unik dan bernilai. Begitu fikir Filla.
“Mahu dengar cerita tentang karya itu?”
Satu suara garau pekat Inggeris loghat Itali tiba-tiba
bergema dari belakang. Filla dan Julia gesit berpaling. Seorang lelaki kacak
namun kerdil tersenyum mesra persis tidak sabar mahu berkisah.
Filla dan Julia terkejut setagal. Wajah lelaki kerdil itu
dicerlung tunak.
“Maaf kerana mengganggu anda menikmati keunikan karya GD
Tiepolo. Err, nama saya Danilo!” ujar lelaki kerdil itu lagi. Tangan segera
dihulurkan tanda perkenalan. Senyum lebih mesra, murup subur.
Filla dan Julia membalas senyuman. Terkesan dengan
kemesraan dan keramahan Danilo, kendati kerdil tetapi tidak malu dengan
kecacatan diri.
“Karya ini bermitoskan cinta sepasang kekasih!” Danilo
terus berperi tanpa diminta. Yakin benar. Sekilas wajah ayu Filla dicuplik
renung mesra. “Percintaan mereka erat namun dirintang pelbagai gelora,”
Hati Filla mendadak terbetik degup. Kalimat cinta akas
mengundang resah dalam dada. Entah kenapa. Cuma Julia bersahaja mendengar akur.
Danilo anak tempatan, tentu sekali segala ceritanya sukar dinafikan. Demikian
fikirnya kala itu.
“Cinta suci mereka umpama salji. Turun bergerimis, walau
merencung namun tetap ke bumi. Lagi, mereka setia pada janji dan dibantu
bidadari ke gerbang syurga,” Danilo getol meneruskan. Wajah Filla dilirik lagi,
menyerlah rasa pesona. Hati Filla terus menggerutup. Mendadak ada gemuruh buar
menghenyak dada. Lelaki kerdil ini persis menghambat rasa cinta yang sudah
sirna.
“Anda petugas di sini?” Julia bertanya kala mereka keluar
ke pintu utama vila.
Danilo gesit menggeleng-geleng. “Tidak! Saya bertugas
sambilan di Vila Rotonda!” jelasnya tegas dan waras. “Hmmm, kalau ada masa,
anda berdua boleh ke sana. Saya sedia membantu,”
“Sudah tentu!” Julia tersenyum senang dengan budi yang
mahu ditabur. “Memang kami akan ke sana. Kalau tidak, kedatangan kami dari
Malaysia tidak bermakna,”
“Betul!” Danilo menambah dan mengangguk-angguk. “Setiap
pelancong yang datang ke mari tidak melupakan vila itu sebelum pulang,”
Julia turut mengangguk. Filla sekadar diam. Entah kenapa,
ada sesuatu yang dirasakan tidak kena dengan lelaki kerdil ini. Renungannya
mendebarkan. Lirikannya mencemaskan. Senyumannya menggemankan. Dalam diam dia
mendokan supaya drama kemesraan ini segera berakhir. Tidak sanggup lagi dia
mendepani lelaki kerdil tersebut.
“Anda berdua tentunya dari Kuala Lumpur?” Danilo menduga
sejurus kemudian.
“Tepat sekali!” Julia pantas memurup senyum.
“Kota hebat!” balas Danilo. “Saya kenal Kuala Lumpur
melalui pembacaan dan bercita-cita mahu ke sana suatu hari nanti. Boleh kan?”
Wajah Filla ditagih jawapan.
Filla serba salah untuk menjawab namun menjawab juga.
“Err, silakan!” ujarnya acuh tak acuh. Dada semakin menggerutup.
“Bagaimana pula dengan anda?” Wajah Julia pula diubah
tenung.
“Sudah tentu boleh,” Julia bersungguh. “Anda boleh
melawat KLCC, KL Tower yang tinggi menawan, Putrajaya yang megah tersergam, MSC
yang canggih terpempan dan pelbagai lagi! Tersohor satu dunia sampai mengundang
cemburu banyak negara,”
Perbualan berjalan lancar. Hasilnya, Filla dan Julia
diberi taklimat padat. Danilo sebenarnya seorang putera raja dari Milan. Kecewa
dalam cinta lalu mengatur kembara dan bekerja sambilan di Vila Rotonda dalam
usaha cuba mengenyah rasa derita. Filla tersenyum sinis. Julia mengangguk
meyakini. Namun kedua-duanya tidak dapat menahan ketawa selepas berpisah.
“Kau percaya dia putera raja Milan?” tanya Filla di
hujung ketawa yang kian mereda.
“Barangkali tak tahan daulat sebab itu dia kerdil!” balas
Julia, menyinis.
“Barangkali juga raja temberang!” Filla menokok.
Meledakkan lagi ketawa mengekek.
Malam
itu dua sahabat karib itu tidur dalam senyum berbaur ketawa kegelian. Sukar
untuk mempercayai cerita Danilo. Lelaki kerdil itu seolah-olah menagih simpati
dengan kisah diri lalu melakar cerita palsu kepada dunia. Begitu mereka membuat
hipotesis.
Keesokkan hari, Julia dan Filla bergegas ke Vila Rotonda.
Melalui seorang petugas, nama Danilo dicari untuk pengesahan. Berita yang
mereka terima amat memeranjatkan.
“Memang Danilo pernah bekerja di sini dua tahun yang
lalu,” jelas petugas tersebut. “Tapi, dia telah meninggal dunia dua bulan yang
lalu,”
Filla dan Julia terkejut. Lutut kaki gesit menggeletar,
serasa mahu kejur. Seluruh tubuh disergap rengsa mendadak namun dikuatkan
semangat.
“Mungkin pelanduk telah menyamar rusa!” Julia cuba
mententeramkan perasaan kecamuk yang mengamuk. “Barangkali juga seseorang telah
menyamar bertujuan mahu menakutkan kita,”
Filla meneguk liur. Lesi wajah sukar mahu berubah.
Pelbagai rasa galak menggelecak. Seram dan gelisar berbaur-baur.
“Ah, lupakan perkara ini!” Julia menguatkan semangat yang
masih bersisa lalu tangan Filla dihela cepat. Mereka terus mengatur langkah
bersama para pengunjung yang lain menyelusuri pelosok vila.
Mengalir sekitar vila ilham ciptaan Andrea Palladio tahun
1550 dan dilengkapkan V Scamozzi awal kurun 17 itu untuk meredakan segala cabuh
jiwa, Julia dan Filla berjaya memancang tekad. Iblis dan syaitan ada di
mana-mana dalam usaha menyesat dan menggoda anak Adam. Ayat-ayat Kursi tidak
lepas dari bibir sehinggalah mereka meninggalkan pekarangan vila antik
tersebut.
Siapa Danilo itu sebenarnya? Apakah jelmaan Danilo yang
sudah meninggal dunia? Kalau benar, kenapa diwujudkan di depan mata mereka?
Persoalan-persoalan itu cagun menghenyak kotak fikir Filla sehingga terbawa ke
Teater Olimpik. Gerbang Porta Regia bagai pudar di mata. Cuma sedikit tenang
kala merayap di Piazza dei Signori. Bandar Emas Vicenze sejak 1352 itu berupaya
mengenyah segala persoalan yang cagun dengan kilauannya.
“Jangan lupa bangun awal,” pesan Julia kala Filla di sofa
kulit melepas lelah setelah hampir seharian mengalir sekitar Filk dan Chimento
dua hari kemudian. Sungguh merengsakan walau mata amat terpesona melihat
perhiasan emas berteknik casting,
pembentukan elektro dan stamping.
Julia ke ruang dapur kecil. Filla di muka sofa asyik melayan kotak fikir
yang yongyat. Libang-libu dan menggelicau lebih-lebih lagi kala figura segak
lelaki kerdil putera raja Milan tiba-tiba mengirap ke sepasang mata. Aneh dan
misteri. Putera raja itu seolah-olah menagih simpati darinya. Filla dapat
merasakan dari lirik mata yang memarak membuar cinta.
Ngeluyur benak gesit bebar kala teman datang bersama dua
tin grape juice di tangan. Mulut
bersuara sebaik punggung lebar berlabuh pinggir Filla. “Pendapat kau tentang
Danilo?”
Filla mengeluh berat dan panjang.
“Ini sebuah misteri!” Julia menukas seraya minuman
ditogok sopan.
“Entah! Aku bingung,” Filla melepaskan keluhan rengsa.
“Kau percaya tentang roh?” Julia sekadar menduga.
Filla mengerut kening. “Maksud kau, lelaki kerdil putera
raja Milan itu roh Danilo yang sudah mati?”
“Itu tak penting!” ujar Julia. “Yang penting, motif dia
datang berjumpa dengan kita,”
“Entah!” hanya itu berupaya tercerlus dari bibir Filla.
“Aku lihat, dia seolah-olah terpikat pada kau!” ujar
Julia.
“Jangan melalut! Itu sekadar satu tukasan prejudis,”
Filla kurang senang. Namun menghambur ketawa berpinak-pinak. “Mana ada roh
orang yang dah mati mahu menjalinkan percintaan dengan orang yang masih hidup.
Hei, Julia! Universiti mana produced kau
hah?”
Julia turut ketawa, perlahan “Aku cuma terkesan dari
lirik mata dan gerak bibirnya,” nada bersahaja serlah.
“Barangkali kau punya penglihatan Nostradamus... brilliant!” Filla mencebek jengkel.
“Tentu ada sesuatu yang unik pada kau. Sebab itu menjadi
pilihan dia,” Julia menukas seraya menyimpul senyum meleret. “Ingat, syaitan
dari Barat lebih canggih dari syaitan di tanah kita,”
Filla gesit bungkam. Kiranya Julia juga menyedari hakikat
lirikan dan renungan mata Danilo. Rusuh jiwa Filla mengenangkan. Si kerdil yang
aneh. Putera raja Milan yang misteri. Roh yang nakal. Si penggoda yang bijak
menyamar. Semuanya adalah seorang Danilo yang cuba melayarkan bahtera kecewa
dan mahu berlabuh di sebuah pulau yang tidak berpenghuni.
Khali bertagal.
“Apa persepsi muktamad kau?” Filla bersuara sejurus
kemudian.
“Barangkali, dia penyambung mitos cinta Monte Berochi!”
jawab Julia. “Seorang putera raja yang memang dilahirkan hodoh dan kerdil. Ini
memaksa ayahandanya membina sebuah tembok tinggi agar putera kesayangan tidak
dapat melihat orang lain di luar tembok yang cantik dan berbadan normal.
Disebabkan desakan naluri, si putera memanjat tembok tersebut kerana ingin tahu
apa yang ada di luar. Kebetulan dia terlihat seorang gadis cantik dan terus
mengekori. Di satu tempat, dia mencurahkan rasa cintanya pada gadis tersebut.
Bagaimanapun, si putera itu amat kecewa kala si gadis menolak cintanya dengan
pelbagai cemuhan. Dia mulai sedar akan kecacatan diri, tidak dilahirkan normal
dan kacak seperti orang lain. Sungguh terhenyak dia lalu mengambil keputusan
membunuh diri,”
Filla terjeda, terlunga dan melopong dengan cerita Julia.
* * *
Asolo mengundang karar dalam
hati. Filla berasa berjaya menjauhkan diri dari bayangan wajah Danilo. Sejak di
sini, putera raja Milan yang misteri itu persis melenyap di celah beratus-ratus
horizon dan tersisih dalam himpitan longgokan Mutiara Veneto.
Mentari masih udam menebarkan molekul cahaya menyelinap antara
bayu dingin yang galak berhubub. Dari jendela Hotel Villa Cipriani, Filla
melontarkan panahan mata menyeluruhi Asolo. Memang indah. Patutlah menjadi
sumber inspirasi dan aspirasi para seniman. Robert Browning dan Eleonora Duse
dalam teater mereka memuji hebat. Giousue Carducci dalam puisinya tidak malu
menyerah cinta. Gian Francesco Malipiero dalam lagunya miang memuja. Sementara
Freya Stark dalam visi kembaranya polos meluah ungkapan mesra.
Kini,
Filla turut terpana. Dalam waktu-waktu kaki mahu melangkah pulang ke tanah
kelahiran, setiap juzuk Asolo dirakam erat dalam cepu ingatan. Filla inginkan
kepulangannya bersama satu keceriaan, bersama satu kebahagiaan dan bersama hari
baru yang segar tanpa polusi derita lantaran cinta silam yang tidak kesampaian.
Jelak di muka jendela bilik penginapan, Filla ke birai
katil. Julia masih di bilik air. Sejak pulang dari Bassano Julia begitu.
Barangkali hidangan di Restoran Villa Palma tidak cocok. Usus Melayu nyalar
disogok nasi dan sambal belacan tiba-tiba dicabuh pizza Itali. Wajar
menggelodar. Mengingatkan, mendadak Filla dijerba senyum.
Hati dan rasa bundar tidak mahu ke mana lagi. Juzuk Asolo
sudah buar ditelusuri. Perlahan-lahan Filla merebahkan badan ke atas tilam
namun kala kepala mencecah muka bantal, telefon sisi katil menggeru
menyentakkan. Filla bingkas. Mungkin panggilan dari meja resepsi. Pantas gagang
diangkat lalu ditekapkan ke cuping telinga. Sayup-sayup satu suara pekat jantan
menggegar gegendang.
“Hello! Boleh saya bercakap dengan Filla?”
“Ya, saya bercakap! Err… siapa di sana?”
Hening.
“Hello, siapa di sana?” Filla mendesak.
“Kenapa begitu mudah melupakan saya, Filla? Saya Danilo,
putera raja Milan yang amat mencintai anda,”
Danilo? Filla tergamam jola. Ya Allah, dia cagun lagi!
Hati mendadak berdebar kencang. Gesit saja wajah putera kerdil itu mengirap ke
sepasang mata. Bergentayangan.
“Saya kembali untuk mencintai anda. Percayalah, cinta
yang suci akan dibantu bidadari ke gerbang syurga!”
“Barangkali anda sudah gila, Danilo!” Filla mulai
membentak. “Saya tidak gila untuk mencintai syaitan gila seperti anda!”
“Syaitan gila?” Danilo ketawa mengilai. “Anda berkata
saya syaitan gila? Hei, Filla! Manusia lebih gila, realitinya - gila nama gila
harta gila pangkat gila kuasa gila segala. Cuma manusia tidak mahu mengakui
hakikat kegilaan diri sendiri. Mana ada orang gila mahu mengatakan dirinya
gila?”
“Hei Danilo! Saya amat jelak dengan celoteh gila anda.
Sila berambus!”
“Jangan berdusta, Filla! Anda tidak jelak dengan celoteh
saya. Sebenarnya anda tidak menyenangi kekerdilan saya. Kalau saya tinggi
kacak, sudah lama anda memburu saya. Bukan begitu?”
“Bagus, anda menyedari hakikat diri!”
Danilo ketawa kecil, beriak sinis. “Benarlah, anda juga
gila! Menggilai kecantikan zahir semata. Anda lupa, zahir nyalar berdusta. Anda
tidak sepatutnya terpukau dengan zahir, Filla!”
“Arghhhh!! Hak anda berkata apa saja. Anda juga berhak
mencintai sesiapa yang disuka tetapi ingat, saya tidak gila untuk mencintai
anda!”
“Jadi, anda tetap menolak cinta suci saya?”
“Sudah ditegaskan. Saya tidak gila untuk mencintai lelaki
kerdil tambahan gila seperti anda!”
“Bermakna anda sedang melakar sebuah kematian,”
Filla terjeda. “Kematian siapa?”
“Seorang putera raja kerdil dari Milan!”
“Usah bersenda, Danilo!”
“Anda boleh melihat realitinya melalui jendela,”
Filla segera melepaskan gagang dan gesit meluru ke muka
jendela. Maya terasa melenyap kala mata terpempan sekujur tubuh lelaki kerdil
sedang terlentang dengan sebilah pisau tercacak di dada. Pekarangan Hotel Villa
Cipriani jadi cabuh. Bingar suara ramai mengapung. Kala mayat Danilo diusung ke
ambulan, Filla menjerit tidak keruan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan