SMAHADZIR
HARI terang. Angin berkesiur damai dan tenang. Warga alam
bagaikan harmoni kala disapa dan dibelai angin yang segar itu. Sementara awan
merah melajur cantik di ufuk masyrik.
Namun begitu, alam mujarad nampak
cabuh. Tiga scoliosis pinggir wad ortopedik berdialog megah berbaur riang
mendepani tiga pesakit kecil. Sesekali berbahang, menyerlah ego masing-masing.
Conginetal ketawa berpinak-pinak
keriangan. Neuromuscular tersenyum galak. Cuma Idiopathic sedikit pudar.
Alasannya menyerang Silia Sara Farzana dianggap jenaka.
Silia Sara Farzana seorang anak gadis
kecil comel, berambut lurus dan mengurai tetapi sayang idiopathic telah
mencacatkan ketempawanan dirinya.
“Hei, kenapa kaum perempuan lebih
ramai jadi mangsa pilihan kamu hah?” Conginetal betanya dalam gelak masih
meleret. “Nisbah 2-1 : 4-2. Malang sungguh kepada nasib yang diterima oleh kaum
perempuan!“
“Alah… dia tu cuma mampu berani dengan
kaum yang lemah saja!” Neuromuscular seperti menyinis.
“Tapi kamu amat bijak. Bukan saja
bijak malah licik,” balas Conginetal sedikit keras.
“Maksud kamu?” mata Idiopathic terkesip-kesip
sembari kening berkerut.
“Kamu buat-buat lupa agaknya. Ujian
pakar ortopedik berhubung otot, saraf dan konginetal tak ada hubung kait.
Memang kamu bijak sungguh menyembunyikan dirimu dari dikesan, Idiopathic!”
Idiopathic segera memurupkan senyumnya
dengan pujian tersebut. “Bukan aku seorang saja yang bijak begitu... errrr... Infantile,
Juvenile dan Adolescent pun begitu juga,”
“Mereka tu spesies kamu juga, kan?
Kaum keluarga kamu juga, kan?” tanya Conginetal.
Idiopathic gesit mengangguk. “Soal
bijak bukan saja spesies atau keluarga aku, kamu pun sama saja...”
“Hei, apa maksud kamu?” cantas Conginetal
seolah-olah ingin tahu.
“Mangsa kamu
Emiliya Natasya tu, umur tiga tahun baru dapat dikesan ibu bapanya. Itupun
sewaktu dia pandai berjalan. Lebih mengharukan, Emiliya Natasya dikatakan
bermasalah pada saraf tulang belakang, jantung konginetal dan ketumbuhan saraf.
Hmmm, kamu memang bijak, pintar, licik dan satu lagi anugerah untuk kamu ….
kejam!!” balas Idiopathic agak kasar dan keras.
“Tapi aku boleh dirawat,” balas Conginetal
bersahaja.
“Rawatan melalui pembedahan tu?” Neuromuscular
hampir ketawa. “Kamu ingat pembedahan tak ngerikah? Hei, bukan senang nak
dirawat, tau tak? Bergantung kepada di peringkat mana kamu dikesan. Kalau
lewat, kemungkinan besar kurang berjaya,”
Conginetal diam sejenak. “Hei, kamu
pun apa kurangnya? Jangan pandai mengata aku saja!” dia bersuara sejurus
kemudian, kurang senang. “Mengata dulang paku serpih!”
“Siapa maksud kamu, hah?” tanya Neuromuscular,
pura-pura tidak tahu.
“Siapa lagi, kamulah! Eleh, pura-pura
pula dia,” balas Idiopathic seraya mencebek.
“Eh, kenapa pula dengan aku?” Neuromuscular
mengerutkan sedikit keningnya.
“Cuba kamu ingat kembali. Apa yang
kamu dah buat pada Ahmad Faisal yang keletah waktu berumur tiga tahun tu?” Conginetal
cuba mencungkil.
“Salahkah?”
“Bukan saja salah malah lebih kejam
dari kami semua, tahu tak!” suara Idiopathic bernada gerah. “Ahmad Faisal jadi
lumpuh kerana diserang pada otot-otot dan saraf. Sekarang berkerusi roda,”
Neuromuscular tersengih bangga. “Salah
ibu bapa dia juga. Kalau dibantu dengan brace
boleh melambatkan perkembangan tulang yang bengkok. Ahmad Faisal tak mungkin
lumpuh begitu,”
“Brace
bukan kaedah yang tepat,” Conginetal menyangkal waras.
Neuromuscular
terus bungkam.
* * *
Wad ortopedik Hospital
Alor Setar sesak dengan pesakit dan para pelawat. Kakitangan hospital sibuk dan
cekatan tugasnya melayani pelbagai kerenah.
Doktor
Haryati mengatur langkah memeriksa pesakit dari katil ke katil. Melihat kad
pemeriksaan pada katil bernombor 8, sekilas mata doktor muda itu mencuplik
pandang ke wajah Silia Sara Farzana.
Umur sekitar
empat tahun, tenang menunggu kedatangan Doktor Haryati. Kedua-dua ibu bapa
setia di sisi. Menanti berita penuh debar sama ada anak mereka terpaksa dibedah
atau tidak.
“Bagaimana
doktor?” bapa bertanya sebaik Doktor Haryati selesai mencatatkan sesuatu di
atas kertas pemeriksaan.
“Kebengkokan
tulang Silia Sara Farzana sekitar 45 darjah saja, encik! Masih boleh dirawat
dengan brace,” tenang doktor itu
menjawab.
“Maksud
doktor, tak perlu dibedah?” ibu pula bertanya tidak sabar.
“Hmmm, begitulah!” jawab Doktor Haryati sembari tersenyum.
Ibu dan bapa menadah syukur. Silia Sara Farzana tidak
berkata apa-apa. Dia redha saja. Ini pemberian Allah yang tidak mampu disekat.
“Pembedahan cuma perlu jika kebengkokan melebihi 50 darjah.
Kalau mencecah sampai 70 darjah, pembedahan belakang dan depan perlu
dilakukan,” Doktor Haryati polos menjelaskan.
Ibu dan bapa mengangguk.
“Syukurlah, Silia Sara Farzana masih boleh diwarat dengan brace,” tambah Doktor Haryati lagi
seraya tersenyum tenang. “Pembedahan ada komplikasinya, encik! Mungkin berlaku
pendarahan atau masalah pernafasan selepas dibedah. Kecederaan pada tulang
belakang agak tinggi, berlaku pada saraf. Ada kalanya pula boleh jadi lumpuh,”
Ibu memeluk Silia Sara Farzana, rasa terharu menyesak dada.
Bapa menitiskan air mata syukur.
Doktor
Haryati dengan dua jururawat beredar. Katil bernombor 9 dilewati. Emiliya
Natasya berwajah sugul. Conginetal yang dialami sejak lahir cuma dikesan kala
berumur tiga tahun. Emiliya Natasya di sini keseorangan, tidak ditemani
sesiapa. Ibu bapa kembali ke alam baqa waktu dia berusia dua tahun lalu
dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Doktor Haryati meneliti satu persatu catatan jururawat di
atas kad pemeriksaan. Setagal melirik wajah comel Emiliya Natasya. Air mata
bergenang, jelu mengenang nasib diri anak yatim piatu itu.
“Selain rawatan scoliosis, jantung dan buah pinggang dia
perlu dirawat. Boleh mengakibatkan kelumpuhan!” jelas Doktor Haryati sebelum
meninggalkan katil Emiliya Natasya.
Jururawat pengiring sekadar mengangguk perlahan namun
nampak akur.
Di katil nombor 10, Ahmad Faisal terbaring meniarap. Nampak
jelas neurofibroma di belakangnya berbonggol-bonggol. Itu satu neuro-muscular
yang serius. Ibu tunggal di sisi kelihatan resah. Pengorbanan menjaga Ahmad
Faisal begitu menyiksakan lebih-lebih lagi tempat bergantung harap sudah berpindah
ke tangan perempuan lain lalu tanggungjawab terhadap isteri pertama dan anak
terabai. Mengingatkan lara diri, si ibu mengeluh berat dan sebak.
Doktor Haryati memurup senyum kala tiba di hadapan katil.
Si ibu membalas senyum dan gesit bertanya, “Errrr, bagaimana dengan penyakit
anak saya, puan doktor?” Jelas nadanya tidak dapat ditahan-tahan.
“Err… sebenarnya kebengkokan tulang belakang yang dialami
Ahmad Faisal ni bukan berpunca dari tulang!” ujar Doktor Haryati waras.
Si ibu
tunggal kehairanan dengan kata-kata tersebut. “Errr… maksud doktor?”
“Otot-otot yang lemah!” jawab Doktor Haryati.
“Saya kurang faham!”
“Berpunca dari masalah saraf seperti cerebral palsy dan penyakit otot seperti muscular dystrophy,” jelas Doktor Haryati.
Wajah ibu tunggal gesit pudar mendadak. “Errrrr… maksud doktor,
secara tak langsung kelemahan otot-otot ni menyebabkan tulang jadi bengkok?”
Doktor Haryati mengangguk nipis. “Saya dapati neurofibroma
Ahmad Faisal agak serius. Dia memerlukan pembedahan,”
Si ibu meneguk liur. Mendadak suasana wad ortopedik nampak
suram. Gesit merenung tunak belakang anak kesayangan yang semakin membonggol
besar. Sejenak kemudian jagat suram terus.
* * *
Pagi tenang. Awan putih
comel berambal di pundak langit. Dahan pohon angsana pinggiran padang Sekolah
Kanak-kanak Istimewa bergoyang lembut. Bawah naung redup. Tiga kanak-kanak
riang melihat rakan-rakan lain bermain tanpa hirau kecacatan diri. Mesra dan akrab.
Idiopathic merenung wajah Silia Sara Farzana ceria. Betapa
gadis mungil itu pasrah dan redha dengan segala fitratullah dan masyi’atullah.
Conginetal di sisi masih erat berpaut pada tubuh Emiliya Natasya. Biar
dijadikan lemah namun tabah dan redha juga seperti Silia Sara Farzana.
Cuma Neuromuscular
agak kesal. Benar aku ini kejam, bisik hatinya. Angkara durjana Ahmad Faisal
terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk ke sana ke mari. Tulang
belakangnya tidak mampu menyokong badan.
“Ayuh kita ke sana!” Silia Sara Farzana menuding ke hujung
padang seraya mencuit bahu Emiliya Natasya. Teman angguk dan akur. Ahmad Faisal
mengekor.
Roda kerusi
bergolek cepat.
Rujukan:
Scoliosis didefinisikan
sebagai kebengkokan pada bahagian sisi tulang belakang yang dapat dilihat
dengan jelas dari belakang. Scoliosis boleh dibahagikan kepada tiga iaitu
neuromuscular, conginetal dan idiopathic. Neurofib-roma merupakan salah satu
daripada jenis neuromuscular scoliosis. Sementara indiopathic juga boleh
dibahagikan kepada tiga jenis iaitu infantile, juvenile dan adolescent.
Infantile dapat dikesan sejak seseorang itu dilahirkan sehingga berusia tiga
tahun. Juvenile dapat dikesan apabila sesorang pesakit berumur 5 hingga 9
tahun. Sementara adolescent pula dapat dikesan sewaktu berumur antara 10 hingga
13 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan