Khamis, 21 Disember 2023

PRASASTI INGATAN

SMAHADZIR

 

Lantaran usaha gigihnya sejak muda menebang buluh untuk membuat wau, membuat sangkak, sangkar burung dan bubu, dia digelar orang-orang kampung sebagai ‘Pak Awang Buluh’. Kini sudah seminggu dia meninggal dunia. Rumah usang itu kelihatan sepi sejak kepulangannya ke rahmatullah. Mak Sodah isterinya juga sudah pergi lebih sepuluh tahun yang lalu. Sejak Mak Sodah tiada, Pak Awang Buluh kesunyian, tinggal sendirian meski mempunyai lima orang anak yang sudah dewasa.

Semasa hayat Pak Awang Buluh, dia sering rindukan gelak tawa anak cucunya, namun itu semua hanya terubat sekali dua saja setahun. Menjelang raya puasa atau musim buah-buahan, Pak Awang Buluh akan tersenyum lebar mengarak kitab Berzanji dengan marhabannya, menebang buluh untuk membuat wau, membuat sangkak, sangkar burung dan bubu juga mencari kayu api untuk membakar lemang. Tak ketinggalan mengejar ayam kampung peliharaannya untuk dibuat lauk, khas untuk anak cucu yang akan pulang, biasanya malam hari raya.

Kehadiran anak-anak dan cucu-cucunya disambut girang, kepulangan mereka juga dihantar dengan senyum tawar. Seboleh-bolehnya Pak Awang Buluh tidak mahu anak-anaknya bersusah hati melihat gerhana di wajahnya.

Biar derita ditanggung sendiri. Sering juga Pak Awang Buluh dipelawa supaya menjadi penghuni bandar, duduk menumpang di rumah anak-anak yang berjawatan kesemuanya. Namun dia menolaknya dengan lembut, tidak biasa katanya. Sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.

Bagi Pak Awang Buluh, seorang bapa tidak sepatutnya menumpang anak menantu, cukup dengan membesarkan mereka, diberi pelajaran dunia dan akhirat sebagai bekalan untuk mereka melayari kehidupan sendiri, memimpin keluarga, baik anak lelaki mahupun anak perempuan. Dia tidak mahu dipersalahkan jika anak-anaknya buta akhirat dan duniawi. Melihat anak-anaknya berjaya di hadapan mata sudah cukup menggembirakan hati Pak Awang Buluh.

“Seminggu lagi durian mula gugur, pulanglah bawa anak-anak!”

Isi whatsApp Pak Awang Buluh tiap kali musim buah menjengah. Pak Awang Buluh tidak pernah kedekut, baginya rezeki Allah harus dikongsi bersama bukan sahaja dengan anak cucunya tetapi dengan orang ramai juga.

Berduyun-duyun anak menantu serta cucu-cucu Pak Awang Buluh pulang melenjan rumput halaman. Pak Awang Buluh tersenyum girang. Dua hari hasil kutipan di dusun tidak merasalah Chong Meng. “Aku tak jual, dua hari untuk anak cucu aku makan, kamu cari durian orang lainlah!”

Tegas alasan Pak Awang Buluh. Seperti biasa Ah Chong dan Pak Dolah peraih durian faham kerana sudah bertahun-tahun mereka berurus niaga dengan Pak Awang Buluh.

“Bawa balik buah-buah ini, sedekahkan pada kawan-kawan, jiran tetangga. Biar ramah berbuahnya lain kali.”

Pak Awang Buluh mengisi sepenuhnya buah-buahan ke dalam bonet kereta anak-anaknya. Semusim buah, disusuli hasil perkebunan dan menjual pelbagai jenis wau, sangkak, sangkar burung dan bubu yang dbuatnya cukup menampung kehidupan Pak Awang Buluh.

Tidak pernah Pak Awang Buluh mengharapkan duit ringgit anak-anaknya. Kata Pak Awang Buluh, membesarkan anak-anak sudah menjadi kewajipannya. Tetapi kalau anak-anak menghulur sepuluh dua puluh ringgit tiap kali mereka balik menziarahinya di kampung, dia tidak pernah tolak. Akan disimpannya ke dalam bank atau di bawah tikar mengkuang penutup lantai berlubang rumahnya.

Yang nyata anak-anak Pak Awang Buluh sering kesempitan duit dan tidak segan silu minta dipinjamkan sejumlah wang yang mereka sendiri tidak pernah peruntukan untuknya. Dihulur RM100 setahun, diminta dua ke tiga ribu ringgit. Janji hanya pinjam, sebulan dua lagi akan dibayar.

Pak Awang Buluh tidak pernah bertanya apatah lagi minta dipulangkan kembali pinjaman. Tidak pernah juga dia mengeluh malah telah lama dia menghalalkan. Hingga akhir hayat Pak Awang Buluh, masih ada anak-anaknya yang berhutang padanya. Kata-kata terakhir daripadanya ialah pinjaman anak-anaknya sudah dihalalkan.

Sewaktu Pak Awang Buluh mula batuk-batuk dan demam menjelang senja dan malam, dia tidak pernah merasakan ajalnya semakin hampir. Padanya selagi ada hayat dikandung badan, kehidupan mesti diteruskan.

Harta dunia mesti terus dikumpul, wau, sangkak, sangkar burung dan bubu – tradisi budaya bangsanya mesti dibuat, tanah yang sedikit perlu diusahakan sebaiknya supaya dapat mengeluarkan hasil bagi menampung kehidupan yang entah bila akan berakhir. Pak Awang Buluh masih berharap agar dapat hidup sehari dua lagi untuk mencurahkan bakti kepada Allah.

Besar pahalanya berbudi kepada tanah kata Pak Awang Buluh. Berdosa membiarkan tanah kering kontang berhutan banat tanpa dipelihara dan bercucuk tanam katanya. Biar ada orang mengatakan Pak Awang Buluh tamak, tak sedar diri dah tua, dia hanya tersenyum. Yang pasti dia tidak pernah melupai mati dan Penciptanya.

Tiap kali ke madrasah, Pak Awang Buluh adalah orang pertama memberi salam untuk para jemaah yang ada di rumah Allah itu. Dari Subuh membawa ke Isyak, Pak Awang Buluh tidak pernah jemu melaungkan azan dengan suara garaunya meski kadang-kadang dialah imam, dialah juga makmum, bilal juga dia, siak pun dia juga. Pendek kata, apa saja tugas di surau tersebut, Pak Awang Buluh sering melakukannya.

Meski berapa tebalnya cinta Pak Awang Buluh kepada Khalik, dia tidak pernah menghabiskan masa dengan berwirid dari matahari terbit hingga tenggelam, disambung ke dinihari kembali. Katanya, perjuangan hidup di dunia mesti diteruskan

Hidup Pak Awang Buluh dari bersandarkan kepada tanah sebidang tapak rumah bersama Mak Sodah sembari membesarkan anak-anak, sehinggalah dia kini sudah mempunyai berelong-relong tanah yang kesemuanya membuahkan hasil. Pak Awang Buluh masih tidak mendabik dada memuji dirinya hebat.

Namun Pak Awang Buluh sudah mampu tersenyum lebar melihat cucu-cucunya bebas makan apa sahaja buah yang terhasil dari peluhnya sendiri.

“Tanggungjawab bapa sudah selesai. Kini bapa tidak mampu lagi membajak dan menanam apatah lagi untuk menebas. Sekarang bapa hanya mampu meraut buluh untuk membuat pelbagai jenis wau, sangkak, sangkar burung dan bubu saja. Jadi kini tugas kamu semua meneruskan usaha di kebun dan cita-cita bapa menjaga dan menyimpan semua hasil kerja tangan buatan bapa ini. Selepas bapa mati, bapa harap kamu dapat mencegatkan cita-cita bapa yang satu ini!”

Anak-anak Pak Awang Buluh mengganguk tanpa berfikir apakah mereka mampu menjadi insan setabah Pak Awang Buluh, sekuat Pak Awang Buluh, seberani Pak Awang Buluh dan mampu menjaga semua hasil kerja tangan bapa mereka itu. Apakah mereka mampu  

Pak Awang Buluh berasa puas dengan pengakuan anak-anaknya. Cuma setelah dia pergi barulah anak-anaknya terfikir siapa yang akan menjaga semua hasil kerja tangan bapa mereka yang lebih dari seratus buah itu, bagaimana harus meneruskan segala usahanya, dan dari mana harus memulakannya. Tanah yang ada jangan dipecah-pecahkan kerana setiap yang besar akan menjadi kecil akhirnya tidak berguna lagi. Itu juga pesan Pak Awang Buluh lama dulu. Siapa pula yang harus bertanggungjawab menyelenggarakannya. Itu juga harus difikir dan dibincangkan.

Hamidi, anak sulung begitu arif setiap inci hasil karya tangan berupa wau, sangkak, sangkar burung, bubu dan tanah Pak Awang Buluh. Hamidi paling rapat dengan Pak Awang Buluh dan sering membantu Pak Awang Buluh sewaktu kecilnya dulu.

Tetapi Hamidi kurang berminat untuk menyimpan semua hasil kerja tangan itu juga menjadi pekebun atau petani. Makan gaji menjanjikan pulangan yang pasti setiap bulan dan tahun katanya. Sufian, anak yang kedua telah juga memberi alasan yang hampir serupa dengan Hamidi.

Sufian sebenarnya kurang berkeyakinan dapat meraih rezeki seperti mana Pak Awang Buluh dulu kerana katanya kemahiran dan rezeki seseorang tidak sama. Kemahiran Pak Awang Buluh membuat wau, sangkak, sangkar burung dan bubu juga bekerja di kebun. Tetapi kepandaian Sufian di bandar, di pejabat berhawa dingin. Tidak berdaya dia menggantikan Pak Awang Buluh.

Hamidi dan Sufian kini berharap kepada Fikri, anak yang ketiga kerana kedua-dua adik selepas Sufian adalah perempuan. Apalah yang terdaya dilakukan oleh seorang perempuan. Meski cita-cita mereka menebal, keinginan membara namun semuanya tidak akan menjadi nyata. Bukan tidak pernah kaum hawa berjaya tetapi mereka lebih terikat dengan keluarga.

Hamidah selaku anak keempat terlalu ingin menyambung usaha Pak Awang Buluh. Namun bagaimana harus dimulakan memandangkan keluarga dan kerjayanya tidak mengizinkan. Hamidah menyarankan agar semua karya kerja tangan dan harta peninggalan Pak Awang Buluh dibahagi sahaja sama rata, sama rasa. Terpulanglah kepada tuan punya masing-masing sama ada untuk menjaga dan mengusahakannya atau tidak.

Itu cara paling mudah untuk menyelesaikan perselisihan tanggungjawab menyambung segala cita-cita Pak Awang Buluh katanya. Cara itu juga akan menyelamatkan waris-waris terkemudian agar tidak berlaku perbalahan kepada generasi baru.

Pun begitu Zuraidah selaku anak bongsu terkena tempiasnya. Dia dituduh kononnya tidak mempunyai hasrat langsung untuk mencegatkan cita-cita arwah bapa mereka. Itu sudah tentunya mengundang hiba di hati Zuraidah yang sememangnya tidak tahu bagaimana mahu mengerjakan tanah lebih-lebih lagi menjaga semua barangan kraftangan bapanya. Kebetulan waktu itu suaminya sedang mengalami penyakit asma.

Pak Awang Buluh pasti sedih jika mengetahui ini semua. Usaha murninya menyemarakkan pertelingkahan anak-anak. Bertahun-tahun Pak Awang Buluh ditemani isterinya menebang buluh untuk membuat wau, sangkak, sangkar burung dan bubu, menerangi belukar menjadi kebun, juga membajak paya menjadi sawah yang subur. Tanpa pelajaran dan pendidikan dia mampu menjadi penggiat budaya iaitu seorang pembuat wau, sangkak, sangkar burung dan bubu di samping menjadi seorang petani yang berjaya. Dengan hasil tersebutlah dia membesar dan menyekolahkan anak-anaknya.

“Semua bapa lakukan untuk bekalan anak cucu bapa…” ujar Pak Awang Buluh seraya tersenyum bila Zuraidah melarang dia terus bertungkus-lumus dalam usia lanjut.

“Bapa tidak mahu dipersalahkan cucu-cucu bapa nanti, melihat hasil karya bapa iaitu pelbagai jenis wau, sangkak, sangkar burung dan bubu ini hilang begitu saja, dan tanah atuk mereka cuma subur dengan lalang dan semak-samun. Nanti mereka kata bapa makan buah dengan biji-bijinya sekali hinggakan tidak ada satupun yang bercambah menjadi pokok,” gurau Pak Awang Buluh yang sebenarnya satu hakikat.

Akhirnya Fikri mengalah, demi kepentingan semua serta menjamin perpaduan Hamidi, Sufian, Hamidah dan Zuraidah. Fikri sedia mengorbankan kerjayanya sebagai pengawal keselamatan di bandar demi menyambung usaha arwah Pak Awang Buluh.

Fikri memang amat berminat dengan kampung. Padanya, hembusan bayu sawah, kedinginan dan keredupan kebun juga dusun berjaya mendamaikan jiwanya. Cita-cita Fikri bukan sahaja menjadi petani moden tetapi juga ingin muncul sebagai pengumpul wau, sangkak, sangkar burung dan bubu hasil tangan bapanya sendiri juga sebagai ahli perniagaan kampung. Oleh itu satu perubahan perlu dilakukan demi mencapai hasrat murni itu. Cara Pak Awang Buluh sudah ketinggalan zaman, sudah tidak laku lagi dan hasilnya tidak seberapa. Jadi sebuah ruang pameran wau, sangkak, sangkar burung dan bubu di samping sebuah teknologi moden perlu disuntik. Itu angan-angan Fikri.

Wau, sangkak, sangkar burung dan bubu perlu dikilatkan dengan varnis atau syelek supaya nampak berkilat dan tahan lama. Dusun buah-buahan Pak Awang Buluh sudah tua dan tidak subur lagi, ia perlu diganti dengan benih-benih kacukan. Nasihat wakil pertanian perlu diperolehi untuk tujuan itu. Benih, baja serta racun juga perlu diperolehi dari sana.

Hamidi, Sufian, Hamidah dan Zuraidah cuma mengangguk sembari berdoa agar cita-cita murni itu berjaya. Selain ruang pameran wau, sangkak, sangkar burung, bubu dan kebun tersebut, Fikri juga merangka untuk melangkah ke dunia perniagaan. Dia ingin membina sebuah inapdesa secara perkongsian di tanah milik Pak Awang Buluh yang sudah menjadi milik abang-abang dan adik-adiknya itu.

Pak Awang Buluh sendiri mungkin tidak faham dengan plan cadangan Fikri itu jika dia masih hidup. Namun tidak salah mencuba asalkan tanah Pak Awang Buluh yang luas tidak tersia-sia atau dikecai-kecai menjadi kecil dibahagi kepada anak-anak, kemudian nanti cucu-cucunya, akhir yang tinggal hanyalah batu sempadan berceracak sana sini.

Namun kini sudah hampir empat tahun berlalu. Tidak satu pun rancangan Fikri menampakkan hasil malah dia masih bergelar pengawal keselamatan di bandar. Rumah tua Pak Awang Buluh makin usang dimamah masa. Kini menunggu waktu untuk reban menyembah bumi. Tiang birai tepi rumah sudah mula diunggis oleh asai dan anai-anai yang sentiasa mencari peluang untuk mereputkannya.

Wau, sangkak, sangkar burung dan bubu hasil tangan Pak Awang Buluh banyak yang sudah dimakan asai dan reput. Kebun dan dusun Pak Awang Buluh menjadi hutan dan tidak berapa lama lagi mungkin bergelar belantara tebal. Pokok-pokok durian, rambutan, duku, sawa, langsat dan pulasan sudah hampir tidak kelihatan dan nampaknya pohoh-pohon kesayangan Pak Awang Buluh itu sudah berselindung sebalik lalang dan mengkirai rendang.

Di sana-sini orang-orang kampung mulai memperkatakan tentang wau, sangkak, sangkar burung, bubu, dusun, rumah dan kebun arwah Pak Awang Buluh. Mereka mula mengakui tidak salah selama hayat Pak Awang Buluh, dia berusaha memelihara hasil karyanya juga tanah-tanahnya serta rajin bercucuk tanam. Kalau dulu mereka menuduh Pak Awang Buluh tamak kini mereka mula sedar.

Meskipun usaha dan hasrat Pak Awang Buluh amat sukar dilaksanakan oleh anak-anaknya, namun ingatan kepada Pak Awang Buluh tetap segar di sanubari anak-anak, cucu-cucunya juga orang-orang kampung. Yang pasti mereka semua tetap menghargai dan menyanjung tinggi segala usaha Pak Awang Buluh. Namanya bagaikan sudah terpateri di prasasti ingatan mereka.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA