Khamis, 21 Disember 2023

GAYAT

SMAHADZIR

 

SEJAK melompat ke parti kerajaan dan dilantik menjadi Timbalan Menteri, YB Semaun merasa gayat. Selalu berasa takut jatuh dari kedudukannya. Takutnya melebihi rasa takut kepada Covid-19. Bahkan sering ketakutan terhadap bayangannya sendiri. Pernah, ketika pulang dari suatu majlis bersama isterinya, tiba-tiba dia menggigil ketakutan kerana melihat bayangnya di permukaan daun pintu rumahnya. Ketika itu dia hendak masuk rumah, dan tiba-tiba di hadapannya, di permukaan daun pintu itu, muncul bayang yang besar dan hitam. YB Semaun lupa bahawa bayangan tubuhnya itu muncul kerana suluhan lampu penerang di pagar hadapan rumah.

“Awak ini kenapa, bang?! Melihat bayang sendiri pun macam melihat hantu pocong?!” gerutu isterinya kehairanan.

YB Semaun hanya mendengus berat, tidak ada sebarang kata-kata yang terkeluar dari kerongkongan.

“Awak mungkin sakit, bang! Sebaiknya besok pagi awak jumpa doktor! Saya bimbang awak terkena Covid-19, maklumlah banyak sangat jumpa orang,” ujar isterinya setelah masuk bilik tidur.

YB Semaun menjegilkan biji mata ke arah isterinya. Tanda kurang senang.

“Tubuh awak tu memang nampak segar bugar, bang! Tapi siapa tahu ada Covid-19 dalamnya. Covid-19 sekarang ni tak ada simptom!”

YB Semaun berasa tersinggung. Wajahnya mendadak merah padam. “Jadi awak sangka aku ni sakit? Awak sangka aku dah dijangkiti Covid-19?!”

Isterinya tidak menjawab. Tidak baik bertengkar dengan suami ketika menjelang tidur. YB Semaun benar-benar marah. Kalau yang menuduh dia sudah dijangkiti Covid-19 itu bukan isterinya, pasti dia sudah melayangkan sebiji pelempang ke muka.

“Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyakitkan hati, bang!” ujar isterinya dengan suara lembut.

YB Semaun diam.

“Tetapi saya sangat risau melihat abang sering saja ketakutan tanpa sebab yang jelas! Sebelum parah, sebaiknya abang segera pergi jumpa doktor! Awak seorang pemimpin, bang! Tak baik bagi seorang pemimpin membiarkan dirinya tak normal! Maaf, bang! Sikap penakut abang tu rasanya memang sudah tak wajar!”

YB Semaun mendesah panjang. Rasa kantuk sudah menyerangnya. Dia tidak berghairah melayani kata-kata isterinya. Segera dia memejamkan mata. Tetapi dia sukar tidur. Fikirannya berkecamuk. Dia sedar, sejak dia melompat ke parti kerajaan yang memerintah, memang dia bersikap penakut. Penyebabnya tidak jelas. Dia cuma mampu mengagak saja, sikap penakutnya itu kerana ada kebimbangan yang berlebihan. Dia selalu bimbang kalau tiba-tiba saja warga kawasan pengundinya melancarkan tunjuk perasaan memaksanya letak jawatan. Dia sangat bimbang kalau nasibnya sebagai Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat sama seperti John Howard. Perdana Menteri Australia itu dipaksa letak jawatan oleh masyarakat kerana dinilai tidak berkelibar jadi seorang pemimpin.

“Aku sangat bimbang kehilangan kuasa, kerana dulu untuk meraihnya aku terpaksa melompat parti, melupakan segala caci-cemuh masyarakat yang mengundi aku!” gumamnya.

Dia menarik nafas panjang dan dalam, kemudian bergumam lagi. “Selain itu, kehilangan kuasa kerana terpaksa tentu sangat menyakitkan dan memalukan! Aku tak mahu terlalu cepat menjadi bekas Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat, sebelum masa jawatanku berakhir secara resmi!”

Isterinya sudah nyenyak di sampingnya. Bahkan, suara dengkuran isterinya mulai bersipongang. YB Semaun merasa terlalu sukar untuk tidur. Matanya terbuka lagi. Fikirannya terus berkecamuk. Banyak hal tiba-tiba seperti menari-nari dalam benaknya. Ramai orang yang dulu dianggapnya sebagai rakan baik, kini seperti sudah membencinya. Mereka sering melontarkan kritikan pedas kepadanya. Di antara mereka bahkan ada yang suka menghinanya di hadapan khalayak ramai.

Dia teringat kejadian menyakitkan di warung kopi Wak Samdol, pada suatu petang. Ketika itu dia pulang ke kawasan mengundi dan sedang menikmati secawan kopi bersama beberapa potong pisang goreng. Tiba-tiba Pin Deras, kaki bodek dalam partinya, melontarkan kata-kata pedas kepadanya. “Kalau YB selaku Timbalan Menteri tak mampu adakan padang bola untuk bermain di hadapan taman perumahan kami pada tahun ini juga, sebaiknya letak jawatan saja! Masih ramai orang yang lebih mampu jadi Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat!”

Sejak saat itu dia jadi sangat membenci Pin Deras. Tetapi dia juga selalu takut kepada bekas ketua pemuda ‘tong kosong’ itu. Dia menyangka, Pin Deras sudah mengincar jawatan Wakil Rakyat darinya. Maka sejak itu dia selalu berusaha untuk tidak bertemu dengan Pin Deras. Bahkan jika dia hendak masuk ke warung kopi Wak Samdol, sedangkan di dalam warung kopi itu ada Pin Deras, dia terus membatalkan niatnya.

YB Semaun makin sering ketakutan, kerana orang yang suka berkata pedas seperti Pin Deras makin ramai jumlahnya. Bahkan beberapa orang penyokong dekat yang separti, yang juga turut melompat parti bersamanya, yang seharusnya menghormatinya, tiba-tiba sering bersuara menyakitkan. Misalnya, Ramli yang mempersoalkan projek-projek yang dilaksanakan. “Kami dengar YB paksa setiap kontraktor bagi duit pada YB. YB kata, duit itu untuk parti. Tak kan peruntukan yang kerajaan bagi untuk YB setiap tahun tak cukup sampai nak ambil duit para kontraktor? Kontraktor pun nak bela anak bini juga...”

Persoalan yang dikemukakan oleh Ramli itu jelas sangat menyakitkan. Sebab memang benar YB Semaun ada minta dari setiap kontraktor. YB Semaun telah membohongi masyarakat bahawa wang yang diminta dari para kontraktor itu adalah untuk parti sedangkan untuk poketnya sendiri.

“Rasanya ramai orang sudah membenciku, kerana aku menjadi Wakil Rakyat dan Timbalan Menteri lompat parti. Di antara orang ramai yang membenciku, mungkin rakan-rakan dekatku sendiri, yang selalu menginginkan peletakkan jawatanku!” gumamnya lagi. Lalu dia dilanda ribut ketakutan lagi, sehingga kening dan tengkuknya berkeringat suam.

Isterinya tiba-tiba terjaga dari tidur. Lalu melihatnya dengan kehairanan. “Laaa, belum tidur lagi, bang? Masih marahkan saya ke? Tadi saya kan dah minta maaf?”

YB Semaun cuma terkebil-kebil. Matanya masih terbeliak luas, meski agak letih, menatap langit-langit bilik. Begitulah, dia sering tidak mampu tidur, kerana sepanjang malam terus menerus merisaukan nasibnya sebagai Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat.

Pagi itu YB Semaun hendak berangkat ke dewan orang ramai. Tetapi dia mendadak menggigil ketakutan melihat banyak batu sebesar telur itik berserakan di hadapan pintu pagar rumahnya.

Isterinya hairan melihatnya pucat dan sedang duduk lemas di kerusi anjung. “Awak sakit ke, bang? Sebaiknya segera ke klinik! Ayuh kita berjumpa dengan doktor! Wajah abang nampak semakin pucat ni! Saya takut abang memang dah dijangkiti Covid-19,”

YB Semaun mendesah panjang. Degup jantungnya bergerapak hebat. Dia menyangka akan ada bahaya besar bakal menimpanya. Entah bahaya macam apa. Mungkin ramai orang akan datang berbondong-bondong ke rumahnya dengan wajah yang marah. Batu-batu yang berserakan di pintu pagar itu pasti dimaksudkan sebagai peringatan keras baginya. Batu-batu itu dianggapnya sebagai pengganas yang tidak boleh dianggap remeh.

Dia teringat kejadian yang pernah menimpa seorang bekas Wakil Rakyat yang melompat parti sepertinya juga. Dulu, di hadapan rumah bekas Wakil Rakyat itu, tiba-tiba ada banyak batu berserakan, dan esoknya, ternyata ramai orang marah dan mengamuk. Mereka menuntut reformasi, alias harus ada pergantian Wakil Rakyat, supaya tidak ada lagi Wakil Rakyat yang lompat parti, tidak ada lagi pilih kasih dalam pemberian kontrak, tidak ada lagi potongan 10% untuk Wakil Rakyat dari para kontraktor yang berjaya dapat kerja, dan macam-macam lagi.

“Tak usah pergi ke dewan orang ramai, bang! Awak tu sakit! Ayuh ke klinik saja!” desak isterinya lagi dengan wajah yang cemas.

Tetapi YB Semaun tetap tidak mahu ke klinik. Dan dia juga tidak jadi berangkat ke dewan orang ramai. Segera dia masuk ke dalam rumah dan kemudian merebahkan badannya atas katil di biliknya. Tetapi dia tidak berjaya melelapkan matanya. Dia merasa kedudukannya sebagai Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat sudah terancam.

Isterinya tetap mendesaknya supaya segera pergi ke klinik. “Kalau awak tak mahu pergi ke klinik, biar doktornya datang ke mari, bang! Yang penting awak harus segera diperiksa oleh doktor!”

YB Semaun tidak menanggapi kata-kata isterinya. Lalu isterinya segera menelefon Dr Leman Akhlaken. Tidak lama kemudian Dr Leman Akhlaken pun tiba. Ketika Dr Leman Akhlaken masuk ke ruang tamu, YB Semaun pura-pura tidur. Matanya dipejamkan rapat-rapat.

“Bang! Bangun! Dr Leman Akhlaken dah sampai!” kata isterinya sambil menarik-narik lengannya.

Beberapa jurus kemudian YB Semaun pun bangkit dari katil dan longlai melangkah menemui Dr Leman Akhlaken di ruang tamu.

“Sakit apa, YB?” taya Dr Leman Akhlaken.

YB Semaun hanya mendesah panjang.

Isterinya menjawab pertanyaan Dr Leman Akhlaken dengan lugas: “Dah lama dia sering tak boleh tidur, dan sering ketakutan tanpa sebab yang jelas, doktor! Itulah penyakit yang dideriti suami saya! Saya bimbang dia dah dijangkiti Covid-19. Tolong beri ubat yang terbaik ye, doktor!”

Dr Leman Akhlaken tersenyum. Dan setelah berdehem dua kali, segera memberi nasihat. “YB sebagai Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat mungkin terlalu letih! Perlu berehat banyak-banyak. Biasanya, seorang pemimpin memang sukar tidur, dan sering ketakutan tanpa sebab yang jelas, kerana terlalu banyak berfikir! Jadi, ubatnya cuma satu, segera berehat saja! Tak usah nak fikirkan lagi soal jawatan Timbalan Menteri dan Wakil Rakyat tu!”

YB Semaun gesit dilanda syakwasangka. Dia berasa curiga, barangkali Dr Leman Akhlaken juga termasuk orang yang sedang berusaha ingin mengambilalih jawatannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA