Selasa, 26 Disember 2023

KEREPEK DAUN KESUM

SMAHADZIR

 

“UNTUK berjaya sebagai seorang usahawan, perlu tanam banyak ‘benih’. Dalam dunia perniagaan sekarang, kejayaan bukan hanya bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar yang terdapat di tahap paling atas piramid tetapi mencari seseorang yang mungkin tidak terkenal pun, tetapi mempunyai idea-idea yang boleh menolong memajukan perniagaan. ‘Lonely Boy 15’ - budak belasan tahun yang tidak siapapun tahu tetapi boleh mencipta apps, idea-idea tak masuk akal dan bijak dengan media sosial. Carilah mereka ini seramai boleh untuk memajukan perniagaan dengan dunia media sosial sekarang ini.”

Kata-kata Guy Kawasaki itu menjadi jamung pencerah untuk Azhar meneruskan hasratnya berniaga secara online. Siapakah ‘Lonely Boy 15’ bagi Azhar. Tak lain tak bukan ialah Amir, anak bapa saudaranya sendiri, bekas graduan Universiti Selangor (UNISEL) jurusan multimedia. Dari Amir-lah Azhar banyak belajar tentang internet atau dunia maya.

“Sebenarnya kamu nak jual apa, Har?” soal Amir ingin tahu.

“Aku cadang nak jual kerepek daun kesum ,” jawab Azhar bersahaja.

“Ni tentu kerepek buatan emak kamu, kan?”

Azhar tersengih. “Setakat ni hanya emak aku saja yang buat kerepek ni, Amir! Orang lain belum lagi…”

“Bagus, Har! Kalau kita buat sesuatu yang orang lain tak buat, bermakna tak adalah persaingan,” balas Amir seolah-olah memberi sokongan kepada Azhar.

“Sebab itulah aku pilih kerepek daun kesum ni sebagai produk jualan aku di internet. Lagipun, kerepek daun kesum buatan emak aku ni sedap dan belum ada orang jual lagi di mana-mana,”

“Tak kisahlah apapun yang kamu nak jual,” balas Amir. “Yang penting kamu perlu pastikan adakah orang yang mencari kerepek daun kesum di internet. Kalau ada, berapakah jumlah carian sehari atau sebulan untuk kerepek daun kesum tu. Siapakah peniaga lain yang menjual kerepek daun kesum secara online? Website atau peniaga manakah yang kerap tersenarai bila kamu buat carian di internet. Mampukah kamu saingi mereka? Apakah strategi kamu untuk menyaingi mereka? Dan macam-macam lagi. Selepas tu kamu kena buat strategi pemasaran.”

            “Semuanya aku dah buat, Amir! Strategi pemasaranpun aku dah buat,” ujar Azhar. “Aku juga dah merekabentuk iklan ringkas bagi tujuan pengedaran di kawasan tempat tinggal kita tu. Dalam iklan tu, aku terangkan mengenai khidmat penghantaran secara percuma untuk tempahan di sekitar kawasan kita. Aku sasarkan setiap kawasan rumah dengan penghantaran serendah RM5.00 dan paling murah berbanding tempat lain. Buat permulaan, aku sasarkan target hanya di kawasan kita dulu. Aku jual kerepek daun kesum saja. Masa penghantaran untuk kawasan kejiranan pula bergantung kepada masa yang ditetapkan oleh pelanggan. Perkhidmatan aku dalam bentuk SMS, whatsapp dan telefon,”

“Wau... strategi yang bagus! Aku yakin kamu akan berjaya, Har!” Amir meluahkan kekagumannya mendengar strategi pemasaran Azhar. “Lepas ni luaskan pula media iklan supaya pasaran kamu lebih besar. Untuk perniagaan di internet aku cadangkan kamu guna teknik blogging ketimbang buat website. Kamu boleh rekabentuk wordpress blog hampir serupa laman web. Kamu boleh juga guna wordpress untuk buat lebih dari itu. Aku cadang kamu guna wordpress berbanding blogger sebab platform wordpress lebih canggih. Terma-terma yang ada juga nampak lebih komersial untuk digunakan bagi menampakkan sifat profesional perniagaan kamu tu,”

“Itu akan aku fikirkan kemudian, Amir!” balas Azhar. “Buat permulaan ni aku nak guna facebook, whatsapp dan instagram dulu.”

 

* * *

 

Berita tentang rancangan Azhar mahu menjual kerepek daun kesum secara online telah gah diperkatakan oleh orang-orang kampung dan kawasan taman perumahan sekitar yang mengenalinya. Ada yang memberi semangat dan tidak kurang juga yang mencebek. Yang tidak pernah rasa kerepek daun kesum pula seolah-olah tak sabar lagi ingin membuat tempahan.

            “Apa? Azhar nak jual kerepek daun kesum secara online?” Karim bagaikan tidak percaya dengan berita yang cagun di telinganya. “Kalau kawan-kawan sepejabat saya tahu, malulah saya mak... adik seorang Pegawai Bank jual kerepek daun kesum secara online,”

“Kenapa kamu nak rasa malu pula? Bukannya adik kamu tu mencuri?” balas Mak Piah sedikit kurang senang. “Nabi kitapun berniaga, apa yang nak dimalukan?”

Karim terdiam dengan kata-kata emaknya namun setagal kemudian dia bersuara juga, “Errr, tapi... boleh berjaya ke jual kerepek daun kesum secara online? Dia yakin ke perniagaan jual kerepek daun kesum tu boleh maju? Kepada siapa dia nak jual? Dah ada ke pasarannya?” Pelbagai pertanyaan ditujukan tetapi hanya kepada Mak Piah. Waktu itu Azhar tidak ada di rumah.

            “Manalah emak tahu, Karim! Kamu tanyalah sendiri dengan adik kamu tu! Dia yang beria-ria benar nak jual kerepek daun kesum secara online!” ujar Mak Piah.

            “Emak tak halang?”

            “Eh, nak halang buat apa? Apa salahnya dia nak cari duit secara halal?” balas Mak Piah.

            “Buat apa pilih kerepek daun kesum ? Siapa yang nak makan kerepek daun kesum tu? Lainlah kalau dia jual tudung muslimah ke, jubah ke, kasut atau peralatan sukan ke, buku ke, kitab agama ke, pakaian kanak-kanak ke, barangan kemas ke, perabot ke, produk kecantikan ke? Mak tak terfikirkah soal tu?”

            “Kamu tanyalah dia sendiri, Karim! Mak tak tahu menahu dan emak juga tak pernah tanya semua tu! Yang emak tahu, adik kamu tu nak usahakan perniagaan kerepek daun kesum secara online. Katanya, dia tahu apa yang dia nak buat!”

            Karim diam dan selepas itu dia menjadi anak Mak Piah yang sering pulang ke kampung walaupun sebelum ini jarang benar berbuat demikian walaupun jarak tempat tinggalnya dengan kampung sekitar 40 km sahaja kecuali musim cuti hari am atau hujung bulan.

            Pagi ini Karim pulang lagi biarpun baru minggu lepas dia pulang bersama Mazniah dan dua orang anak mereka. Kali ini Karim kelihatan bersungguh-sungguh benar. Dia pulang bersendirian. Tidak seperti selalu, pulang dengan Mazniah dan anak-anak mereka.

            Mak Piah tahu, baliknya anak sulungnya itu kali ini adalah untuk ‘berperang mulut’ habis-habisan dengan anak bungsunya. Mak Piah arif benar sikap Karim yang suka membanggakan diri dengan kerjayanya sebagai Pegawai Bank itu. Kononnya, tarafnya sebagai pegawai bank akan jatuh jika orang tahu adiknya Azhar hanya bekerja sebagai peniaga kerepek daun kesum .

            “Kenapa tak bawa Mazniah dan anak-anak kamu sama?” tanya Mak Piah sebaik sahaja Karim keluar dari kereta Honda HRV-nya.

            “Saya pulang sekejap saja, mak!”

            “Eh, apa halnya? Tergesa-gesa sangat mak tengok!”

            “Saya rasa tak puas hati selagi tak dapat gambaran yang sebenar dari Azhar, mak!”

            “Baguslah kalau begitu! Tapi, janganlah kamu bergaduh pula adik-beradik dek soal kerepek daun kesum tu!” Mak Piah bagaikan memberi ingatan.

            Karim diam dan sekadar angguk. Sejurus kemudian dia bergegas ke dapur dan mencapai gelas lalu menuang air. Karim meneguk seteguk dua kemudian meletakkan semula gelas itu di atas meja.

            “Mana Azhar, mak?” tanya Karim.

“Entah! Katanya nak ke perpustakaan kampung. Agaknya ke situlah dia,” ujar Mak Piah bersahaja.

            “Mana emak tahu dia ke sana?” tanya Karim ingin pasti.

            “Selalunya, di situlah tempat dia habiskan masanya!”

            Karim mendengus kuat. Sejurus kemudian dia segera keluar dari ruang dapur lalu turun ke tanah. Resah dan risau juga Mak Piah melihat gelagat anak sulungnya itu.

            “Kamu nak ke mana pula tu, Karim?” laung Mak Piah. Kala itu Karim sudah berada di hujung halaman.

            “Nak cari Azhar, mak!”

            Mak Piah sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Dia hanya memerhatikan langkah Karim yang agak gesit itu menuju ke arah perpustakaan desa yang letaknya sekitar sepelaung saja dari rumah.

            Sebagai seorang emak yang melahirkan, Mak Piah dapat merasakan yang Azhar bercita-cita besar ingin mengubah nasibnya. Apalah yang mampu dia lakukan hanya dengan sijil SPM yang dimilikinya jika dia terus bekerja makan gaji dengan orang. Dalam zaman terlalu ramai graduan yang tidak mempunyai pekerjaan, Azhar terpaksa bersaing pula dengan mereka. Sudah tentulah orang-orang sepertinya akan lebih sukar lagi untuk maju. Lantaran itulah Azhar berhasrat berniaga sendiri.

“Mak, saya bercadang nak berniaga sendiri. Sampai bila saya harus jadi kuli orang. Kalau saya terus menjadi kuli orang, hidup saya tak akan berubah, mak!” ujar Azhar suatu ketika dulu kepada Mak Piah.

            “Kamu nak berniaga apa, Azhar?” tanya Mak Piah ingin tahu.

            “Belum tahu lagi, mak! Sekarang ni saya sedang memikirkan tentang produk yang saya nak jual tu. Lepas ada produk yang saya nak jual, saya kena fikirkan pula platform apa yang saya nak guna. Saya bercadang nak berniaga secara online. Jadi saya kena pilih platform atau channel pemasaran... facebook, instagram, twitter, blog, email, minisite dan banyak lagi…”

            Mak Piah gesit saja terkebil-kebil mendengar istilah-istilah dunia maya yang diperdengarkan oleh Azhar.

            “Mak tak usahlah terkebil-kebil begitu,” ujar Azhar sembari tersengih. “Zaman sekarang ni semua orang berniaga guna internet. Kita tak perlu ada kedai, tak perlu banyak modal nak mulakan perniagaan...”

            “Habis, kamu tak nak bekerja di syarikat Puan Julia lagi?”

            “Bukan begitu, mak!” ujar Azhar. “Buat sementara ni memang saya nak bekerja dengan Puan Julia tu! Saya nak kaut ilmu pengetahuan tentang perniagaan melalui online dan juga pengalaman darinya. Selepas semuanya ada dalam dada saya, barulah saya nak usahakan sendiri. Saya nak berjaya macam Puan Julia. Saya yakin mak, kalau dia boleh berjaya kenapa tidak saya? Yang penting ada kemahuan, keyakinan, kerajinan, wawasan dan juga percaya kepada kebolehan diri sendiri!”

            “Kamu ada ke modalnya, Har?” tanya Mak Piah seraya mengesip-ngesipkan matanya.

            “Ada menanglah ada, mak! Tapi, tak banyak. Buat sementara ni, saya nak bekerja kumpul modal dulu. Kemudian buat perniagaan tu secara kecil-kecilan...” jelas Azhar bersungguh-sungguh.

            Mak Piah mengeluh panjang. “Suka hati kamulah, Har! Emak ikut saja apa yang kamu fikirkan baik untuk masa depan kamu!”

            Sesungguhnya Mak Piah tidak tahu, bagaimana rupanya perniagaan online yang hendak dilakukan oleh Azhar. Selepas perbualan singkat itu, dia tidak pernah bertanya lagi kepada Azhar. Azharpun tidak pernah membuka mulut. Tetapi Mak Piah tahu, Azhar lebih banyak berbincang dengan Amir.

            Barangkali, dari Amir-lah Azhar beroleh sokongan semangat di samping dari majikannya sendiri iaitu Puan Julia, pengusaha jus delima dan makanan sejuk-beku yang berjaya itu. Malah, menurut perkiraan Mak Piah, boleh jadi juga Amir dan Puan Julia yang telah membuka jalan kepada Azhar supaya berniaga secara online itu.

            Mak Piah tidak mahu menghalang cita-cita Azhar. Ini bukanlah bermakna dia tidak berlaku adil kepada Karim. Tetapi Mak Piah lebih memikirkan nasib Azhar jika hendak dibandingkan dengan Karim. Karim sudah beroleh jawatan besar di Kuala Lumpur dan apa yang dia tahu, gaji anak sulungnya hampir mencecah empat ribu lima ratus sebulan. Yang masih terkial-kial adalah Azhar, anak bongsu. Dengan bekerja sebagai penghantar makanan sejuk-beku di samping membantu Puan Julia dalam soal pemasaran online, berapalah sangat gaji Azhar.

            Namun begitu, satu sifat yang terpuji pada Azhar ialah suka berjimat cermat. Di samping membantu Mak Piah menangani ekonomi rumahtangga, Azhar juga pandai mengendalikan soal kewangannya. Dia jarang berbelanja besar, pakaiannya jenis murahan dan tidak terikut-ikut dengan gelagat remaja-remaja lain yang kebanyakannya lebih suka berfoya-foya, bergaya dan melahu ke sana ke mari tanpa tujuan.

            Sejak dahulupun memang Mak Piah bersimpati dengan nasib yang telah menimpa Azhar. Azhar terpaksa menamatkan persekolahannya setakat tingkatan lima saja yakni selepas SPM. Mak Piah tidak mampu lagi meneruskan pengajian Azhar biarpun anaknya itu masih berminat untuk belajar. Kebetulan waktu itu suami Mak Piah baru saja kembali ke rahmatullah. Ayah kepada Karim dan Azhar itu meninggal dunia kerana mengidap penyakit kencing manis. Sudahlah hasratnya ke pusat pengajian tinggi terbantut, Azhar terpaksa tinggal sahaja di kampung. Bukannya Mak Piah tidak membenarkan Azhar ke bandar seperti rakan-rakannya yang lain tetapi Azhar sendiri yang tidak sanggup meninggalkan Mak Piah berseorangan di kampung.

            Azhar lebih suka bekerja berhampiran dengan kampung meskipun kawan-kawannya yang lain sudah ke bandar-bandar besar seperti Ipoh, Johor Bharu, Kuala Lumpur, Seremban dan juga Pulau Pinang. Ada yang bekerja di kilang dan tak kurang juga bekerja dengan kerajaan. Mak Piah tahu, Azhar tidak dapat merasa ini semua. Malah anaknya itu kelihatan tertekan dengan nasib yang tidak menyebelahinya. Mak Piah dapati Azhar cuba mengelak daripada bertemu dengan rakan-rakannya kalau mereka balik bercuti di kampung. Ini kerana dia tidak mampu bergaya seperti mereka.

Mengenangkan hakikat itu, seboleh-bolehnya Mak Piah mahu mempertahankan hasrat Azhar berniaga sendiri itu. Sudah banyak kali Karim menghalang hasrat murni Azhar mahu berniaga. Kononnya, dunia perniagaan memerlukan modal yang banyak, pasaran yang besar dan macam-macam lagi alasan yang mampu melemahkan semangat.

            “Kamu tak kasihankah tengok adik kamu tu, Karim?”

            “Eh, apa yang saya kata ni satu kenyataan, mak!”

            “Itu emak tahulah tapi kalau dia perlukan modal, kamu bantulah dia...”

            “Dia nak berniaga apa mak? Mak ingat senang ke nak berniaga? Mana Azhar nak cekau duit buat modal? Mak ingat sikit ke nak pakai duit…”

            “Itu mak tak tahulah! Yang mak tahu, Azhar benar-benar nak berniaga sendiri. Dia tak nak makan gaji lagi...”

            “Mak tak usahlah dengar cakap dia! Pelajarannya tak tinggi, manalah dia tahu selok belok perniagaan, pemasaran, kunci kira-kira dan macam-macam lagi. Saya yakin, dia akan dikelentong dek orang. Akhirnya, abukpun tarak!”

            “Kamu hina adik kamu sendiri, Karim!”

            “Saya tak hina dia, mak! Tapi, ini satu kenyataan. Azhar tak ada pelajaran yang tinggi…”

            “Dia tak ada pelajaran tinggi sebab kamu juga, Karim!”

            Karim terteguk-teguk air liur. Terkedu kemudiannya.

            “Kerana nak biayai pengajian kamu di universitilah yang menyebabkan pengajian adik kamu tu terbantut… dia bukannya tak pandai atau tak nak sekolah tapi terpaksa kerana emak tak mampu!”

            Mak Piah masih ingat semuanya. Memang perkara itulah yang sedikit sebanyak telah menghantui fikiran Karim selama ini dan mungkin buat selama-lamanya. Dia memang tidak mudah melupakan pengorbanan Azhar sehingga dia berjaya meneruskan pengajian di universiti. Kalau Azhar meneruskan pengajian sebaik tamat SPM dulu, barangkali pengajiannya juga mungkin terganggu.

            “Nasib seseorang tu dah ditentulah Tuhan, mak! Kenapa emak nak ungkitkan lagi soal tu?” Karim seolah-olah kurang senang dengan kata-kata emaknya.

            “Mak bukan ungkit, Karim! Tapi emak nak ingatkan kamu supaya bantu-bantulah adik kamu tu jika dia perlukan pertolongan. Duit kamupun dah banyak, kan Karim! Mak dengar, gaji yang kamu dapat tiap-tiap bulanpun makan tak habis. Ditambah pula dengan gaji Mazniah, kamu dah cukup senang, Karim!” Mak Piah sekadar mengingatkan.

            “Sekadar cukup makan saja, mak!” Karim bersahaja.

            “Jangan bohong dengan mak, Karim! Kamu memang dah cukup senang kan? Duit kamu dalam bankpun dah banyak, kan?”

            “Emak jangan tanyalah soal duit dalam bank. Lagipun, duit banyak gunanya, mak! Mak bukannya tak tahu, zaman sekarang ni memerlukan duit. Berjalan setapakpun nak pakai duit!”

            “Semua orang tahu fasal itu, Karim! Semua orang perlukan duit tapi jangan sampai jadi hamba duit. Err, tak cukupkah gaji kamu suami isteri tu! Banyak mana lagi yang kamu mahu?”

            Pastinya Karim tidak mampu menjawab soalan tersebut. Itulah senjata Mak Piah dalam usaha mengelukan lidah Karim. Selebihnya Mak Piah akan mengagung-agungkan pengorbanan Azhar.

            Namun segala ngeluyur benak Mak Piah gesit berkecai kala Karim terjengul di muka pintu. Jelas muka anak sulungnya itu merah padam dengan peluh memercik di dahi. Mak Piah membiarkan sahaja Karim berehat sekejap. Kemudian Mak Piah mengajak Karim ke dapur. Ketika itu dia sudahpun menghidangkan minuman petang berupa karipap dan sukun goreng bersama seteko kopi di atas meja di ruang tersebut.

            “Err, ada kamu jumpa dengan Azhar di perpustakaan tu?” Mak Piah meluahkan pertanyaan sebaik kopi dari teko dituangkan ke dalam sebiji cangkir di hadapan Karim.

            Karim sekadar mengangguk namun lemah dan kelihatan rengsa.

            “Ha, dia buat apa di situ?”

            “Entahlah! Saya tengok dia sedang berbincang dengan Amir,”

            “Kamu tak tanya dia?”

            “Tak... saya tak nak ganggu,”

            “Dia tahu kamu datang cari dia?”

            “Dia nampak saya... dia tersengih dan mengangguk saja!”

            “Barangkali dia berbincang tentang perniagaan kerepek daun kesum online yang dia nak buat tu agaknya,”

            Karim tidak bersuara sebaliknya bersahaja mengunyah sukun goreng namun matanya agak tajam melirik ke arah Mak Piah. Mak Piah pula tersenyum sahaja dengan gelajat anak sulungnya itu. Tetapi dari riak muka Karim, dia tahu anak sulungnya itu kecewa benar dengan kesungguhan Azhar mahu berniaga kerepek daun kesum secara online tersebut. Rupanya keazaman adiknya itu bukannya main-main.

            “Kenapa kamu nampak resah saja, Karim?” soal Mak Piah sewaktu melihat Karim asyik saja melihat jam di pergelangan tangan.

            “Kejap lagi saya nak balik, mak!” jawab Karim.

            “Eh, bukankah kamu bercuti? Mak ingat kamu nak tinggal dua tiga hari di sini!”

            “Siapa kata saya bercuti, mak? Saya pulang sekejap saja!” 

            “Habis, bila kamu nak balik?”

            “Lebih kurang pukul lima petang nanti!”

            “Kalau begitu kata kamu, sampaikan salam emak kepada Mazniah dan anak-anak kamu tu,” kata Mak Piah.

            “Insya-Allah, mak!”

            Benarlah seperti yang dikatakannya. Lebih kurang jam lima petang, Karim meninggalkan pekarangan rumah dengan wajah yang sedikit pudar. Mak Piah tidak tahu apa yang berkitar di dalam fikiran Karim dan dia juga tidak mahu halang cita-cita Azhar. Itulah yang sebenarnya paling disenanginya.

            “Eh, mana abang Karim, mak?” pertanyaan Azhar itu membuatkan Mak Piah kemamar sejenak. Sambil terpisat-pisat dia melihat Azhar sudah berdiri di ambang pintu.

            “Dia dah balik ke?” tanya Azhar lagi.

            “Hmm, abang kamu dah balik!”

            “Kenapa balik cepat sangat? Tak sempat saya nak bersembang panjang dengan dia!”

“Agaknya dia merajuk dengan kamu tak?”

“Eh, sebab apa nak merajuk dengan saya pula?” Azhar sedikit kehairanan.

“Sebab kamu tak layan dia di perpustakaan tadi!”

            “Saya bukannya tak nak layan cakap abang mak, tapi saya sedang sibuk berbincang dengan Amir tentang pasaran online. Saya bercadang nak bersembang panjang lebar dengan abang malam ni! Sebab itulah saya tak cakap apa-apa dengan dia tadi!” jelas Azhar.

            Mak Piah tidak berkata apa-apa. Azhar pula terus melangkah ke dapur. Di situ dia meneguk secawan kopi, menjamah dua keping sukun goreng kemudian duduk di kerusi mengadap muka tingkap yang terkuak lebar. Angin petang yang menderu segar sedikit menyejukkan badannya yang masih berpeluh. Peluh juga kelihatan merenik di dahinya. Sejurus kemudian Mak Piah turut melabuhkan punggung di hadapan Azhar.

            “Tiga hari lagi saya nak mulakan perniagaan saya tu, mak! Esok saya bercadang nak ke bandar untuk beli bahan-bahan yang diperlukan untuk buat kerepek daun kesum seterusnya saya juga dah dapat pembekal daun kunyit. Pembekal tu dah janji nak hantar daun kunyit ke rumah kita seminggu sekali,” jelas Azhar.

            “Siapa yang nak bantu kamu goreng kerepek daun kesum tu?” Mak Piah ingin tahu.

“Emaklah... emaklah yang akan membantu saya. Kerepek daun kesum tu emak yang akan goreng. Saya bantu apa yang patut. Buat sementara ni saya akan belajar buat kerepek daun kesum dari emak. Bila saya dah pandai, saya sendiri yang akan buat kerepek daun kesum tu tapi emak perlu pantau supaya rasanya dapat dikekalkan. Kerepek daun kesum ni resipi asli emak, buatan emak memang sedap dan saya yakin pelanggan yang makan kerepek daun kesum buatan emak tak akan beralih kepada kerepek orang lain,”

Mak Piah tersengih mendengar pujian Azhar. “Siapa yang nak beli kerepek daun kesum kamu tu?” soalnya setagal kemudian.

“Setakat ni saya dah ada lima puluh orang pembeli, mak! Mereka dah buat tempahan melalui whatsapp,” jawab Azhar.

“Jadi kita kena buat lima puluh bungkus... banyak tu...”

“Ya, mak!” cantas Azhar cepat. “Ni baru hasil dari iklan yang saya buat dalam facebook. Insya-Allah, pelanggan kita akan bertambah bila iklan melalui blog yang sedang saya usahakan ni siap nanti,”

“Kalau permintaan terlalu banyak, emak tak mampu nak goreng kerepek tu,” ujar Mak Piah.

“Itu mak jangan bimbang. Jika pelanggan kita dah terlalu ramai, saya akan ambil pembantu untuk tolong kita,”

            “Mak doakan semoga kamu akan berjaya, Azhar!”

            Azhar mengangguk senang, “Terima kasihlah, mak! Hanya doa dari emak yang saya harapkan!”

 

* * *

 

Pagi Ahad tenang. Kabus sudah lama menghilang diserap cahaya matahari yang menerjah agak panas dari pundak langit. Ceridau unggas-unggas hutan sekitar jalan yang dilalui Azhar hingar seperti ghalib.

            Pagi ini selepas menunaikan solat fardu Subuh, Azhar mulai bergerak membuat penghantaran kerepek daun kesum yang ditempah oleh pelanggan. Dengan motosikal Kriss Modenas 110cc-nya, Azhar menempuh jalan-jalan berliku, lorong-lorong sempit, kesesakan kenderaan dan juga simpang-siur para pekerja kedai, kilang dan juga warga asing.

Hari pertama memulakan khidmat penghantaran kerepek daun kesum kepada para pelanggan memang amat meletihkan. Di samping terpaksa meredah pelbagai halangan di atas jalan dan lorong, Azhar juga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Ada pelanggan yang kurang puas hati dengan cara pembungkusan yang kononnya tak cantik, ada yang mencebek kerana lambat menerima tempahan walaupun hanya satu atau dua minit saja lambatnya, dan tak kurang juga yang membatalkan tempahan pada saat-saat akhir dengan alasan yang pelbagai. Namun semangat Azhar tidak mudah cair dengan semua dugaan tersebut.

Bagi Azhar, itu adalah kendala atau hambatan kecil yang harus dihadapinya. Selagi ada sabar dan tawakal, pasti ada kejayaan, kalau orang lain boleh buat, kenapa dia tidak boleh melakukan perkara yang sama. Puan Julia merupakan idola Azhar ketika ini. Dia ingin berjaya seperti bekas majikannya itu.

            Setahu Azhar, produk jus delima Puan Julia sudah mencecah pasaran seluruh pelosok negara. Selain menjual jus delima secara online, Puan Julia juga menjual makanan sejuk-beku. Semua itu merupakan wang masuk kepada Puan Julia. Cara itulah yang akan dilakukan oleh Azhar sekarang.

            Sekali-kali Azhar tidak menyesal memilih kerepek daun kesum sebagai sumber rezekinya. Baginya, kerepek daun kesum adalah satu snek yang berkhasiat. Daun kunyit juga sudah sinonim dengan dapur di Malaysia dan telahpun digunapakai sejak zaman berzaman. Seiring dengan transformasi pemakanan rakyat Malaysia, Azhar berasa wajar untuk mengolah semula daun herba tradisi ini supaya sesuai dengan citarasa moden. Kerepek daun kesum Azhar ini masih mengekalkan khasiat semulajadi yang terdapat sejak lama dan pada masa sama mempunyai aroma menarik dan kerangupan menyelerakan menjadikannya makanan ringan yang enak dimakan tidak mengira waktu.

Azhar yakin, perniagaan kerepek daun kesum ini adalah satu perniagaan yang sangat tinggi prospeknya. Tidak semua pelanggannya ingin keluar dari rumah untuk mencari kerepek daun kesum yang dijual di pasaran. Lagipun, kerepek daun kesum agak sukar ditemui di pasaran. Lantaran itulah Azhar yakin perniagaannya akan berjaya. Cuma masa saja yang menentukan.

Alhamdulillah, lebih kurang beberapa minggu saja berita tentang perkhidmatan online kerepek daun kesum Azhar sudah tersebar seperti angin. Masuk bulan ketiga, tempahan sudah mulai meningkat dari 100 bungkus kepada 150 bungkus seminggu.

            “Kita kena upah orang bungkus kerepek daun kesum kita, Azhar!” ujar Mak Piah malam itu sebaik dia dan Azhar selesai menjamah makanan malam.

            “Iya, kerepek daun kesum kita sekarang sudah ditempah oleh kakitangan pejabat swasta dan juga kerajaan, mak,” balas Azhar. “Saya rasa, saya juga perlu cari pembantu untuk menghantar kerepek tu. Saya tak mampu nak buat seorang. Lagipun, saya akan cuba memasuki pasaran di kedai-kedai runcit. Kalau berjaya, sudah pasti tempahannya semakin banyak,”

            “Kamu buatlah apa yang baik untuk perniagaan kamu, Azhar! Mak sokong saja,” ujar Mak Piah memberi perangsang kepada Azhar.

            Lebih kurang enam bulan selepas itu, perniagaan kerepek daun kesum online milik Azhar sudah mula menampakkan pengembangan pesatnya. Seorang pembekal kerepek tiba-tiba menawarkan satu peluang baru kepada Azhar asalkan Azhar sanggup membekalkannya 20,000 bungkus kerepek daun kesum setiap bulan untuk diedarkan ke seluruh Malaysia. Tawaran ini diterima Azhar dengan perasaan yang sungguh resah kerana ketidakmampuannya menggoreng dan membungkus kerepek daun kesum sebanyak itu setiap bulan. Setakat ini Azhar hanya mempunyai dua orang pembantu saja, seorang dalam urusan pembungkusan dan seorang lagi dalam urusan penghantaran. Untuk menyediakan 20,000 bungkus kerepek daun kesum memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang pekerja kecuali Azhar mampu membeli sebuah mesin penggoreng dan pembungkus secara moden. Harga mesin penggoreng dan pembungkus itu mencecah RM40,000.00, tidak mampu disediakan oleh Azhar.

Malam itu wajah Azhar agak muram. Sebaik selesai solat Isya, dia termenung di ruang tamu sambil menyandarkan badannya ke dinding. Gelagatnya dapat dikesan oleh Mak Piah.

            “Kenapa dengan kamu ni, Har? Macam orang mati bini saja!” tanya Mak Piah lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Azhar.   

            “Tak ada apa-apa, mak!” ujar Azhar acuh tak acuh.

            “Hai, tak kan tak ada apa-apa!” Mak Piah sedikit tersenyum. “Kamu ni berangan nak kahwin agaknya?”

            “Tak adalah, mak! Takkan saya nak kahwin pula! Hidup saya sendiri masih terumbang-ambing, bagaimana nak bagi anak dara orang makan?” jawab Azhar.

            “Habis, yang kamu termenung tu, kenapa?” Mak Piah ingin mencungkil.

            “Saya memikirkan soal perniagaan saya ni, mak!” ujar Azhar polos.

            “Kenapa?” tanya Mak Piah tercolek ingin tahu.

            “Baru-baru ni saya dapat tawaran dari seorang pembekal kerepek di Kuala Lumpur. Dia minta kita bekalkan 20,000 bungkus sebulan. Inlah yang saya sedang fikirkan ni...”

            “Apa yang susahnya? Kita buat sajalah untuk dia,” Mak Piah bersahaja.

            “Tak sanggup saya, mak!” balas Azhar waras. “20,000 bungkus tu bukannya sikit, mahu terlucut tangan kita dari bahu...”

Biji mata Mak Piah gesit terbeliak. Baru dia sedar bahawa untuk menggoreng dan membungkus 20,000 bungkus kerepek daun kesum itu bukannya mudah. “Habis, apa cadangan kamu?” soalnya setagal kemudian.

Azhar tidak menjawab sebaliknya mengeluh. “Inilah agaknya yang dikatakan hambatan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya!” ujarnya lirih.

            “Sabarlah, Har! Emak yakin, masalah ni akan berjaya juga kamu atasi dan mak tak putus-putus berdoa kepada Tuhan semoga kamu akan berjaya!” ujar Mak Piah dalam usaha mententeramkan hati Azhar.

            Azhar kembali mengukirkan sebuah senyuman untuk ibunya.

            “Eh, abang kamu janji nak balik petang Jumaat ni,” ujar Mak Piah lagi cuba mengalih tajuk perbualan.

            Azhar tersengih. “Baguslah, lagipun memang abang dah lama tak balik! Err, mana emak tahu?”

            “Dia ada telefon emak tadi!” jawab Mak Piah.

            “Dia balik seorang atau dengan Kak Mazniah sekali?”

            “Entahlah! Mak rasa tentu dia akan balik bersama keluarga,”

            “Entah-entah dia nak suruh saya hentikan perniagaan kerepek daun kesum online saya tak?” Azhar sekadar menduga.

            “His, tak baik kamu berburuk sangka dengan abang kamu!” Mak Piah gesit menjegilkan biji matanya ke arah Azhar.

            “Manalah tahu, mak!”

            “Mak tak yakin yang abang Karim kamu tu nak buat macam tu lagi,” ujar Mak Piah. “Lagipun, takkanlah dia tergamak nak ganggu periok nasi adiknya sendiri!”

            Malam itu, Azhar agak gelisah dengan berita kepulangan abangnya. Dia bimbang abangnya itu akan kembali mengungkit soal malu beradikkan seorang penjual kerepek daun kesum online. Kalaulah kali ini emaknya termakan kata-kata Karim, bermakna Azhar akan kehilangan tempat untuk mencagunkan wawasan masa depannya di bidang perniagaan online.

 

* * *

 

Pagi Sabtu yang ceria dan segar. Hari untuk Azhar bercuti dari menghantar kerepek daun kesum tempahan pelanggan. Kabus masih berkelun di sekitar rumah. Ceridau unggas cagun berselerak. Masing-masing keluar dari sarang untuk mencari rezeki kurniaan Tuhan.

            Sebaik selesai bersarapan pagi, Azhar sudah mengatur langkah ke pejabat Puan Julia. Tujuannya pagi itu ialah untuk menceritakan masalah yang dihadapinya. Ketika itu Karim masih belum bangun lagi. Cuma Mazniah saja yang sudah bangun untuk membantu Mak Piah di dapur.

            “Masalah ni boleh diselesaikan, Har!” ujar Puan Julia tenang sebaik mendengar luahan masalah Azhar. “Saya cadangkan kamu ke pejabat Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC). SMIDEC ni agensi Kerajaan utama yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan industri kecil sederhana (IKS). Selain menawarkan khidmat nasihat berkaitan pembangunan industri, agensi ni juga menyediakan program latihan dan pembangunan untuk orang ramai dan pengusaha IKS,”

            Azhar mengeluh rengsa. Sudah pasti memakan masa yang lama untuk berurusan dengan SMIDEC bagi menyelesaikan masalahnya. Yang dibayangkannya sekarang ialah cita-cita dan wawasan masa depannya. Apakah cita-citaku ini akan berkubur di sini sahaja?

            Dalam perjalanan pulang pelbagai rasa menghenyak ruang dadanya. Rasa kecewa begitu menggelodar. Di atas kerusi di ruang beranda rumahnya dilabuhkan punggungnya dengan riak wajah yang pudar.

            “Hai, apa yang kamu menungkan tu?”

            Tiba-tiba satu suara mencerlus dari arah belakang Azhar. Gesit dia menoleh. Tertancaplah abangnya Karim di muka pintu menghala ke beranda. Mendadak pula perasaan Azhar semakin tertekan persis ada sebatang beluti menghempap kepalanya.

            “Apa yang kamu menungkan, Har?” tanya Karim lagi lalu perlahan-lahan menghampiri Azhar.

            “Err, tak ada apa-apa, bang!” agak gugup Azhar bersuara.

            “Takkan tak ada apa-apa!” Karim tersenyum manis. “Abang tahu, kamu ada masalah!”

            Azhar diterpa rasa serba salah hendak menjelaskan perkara yang sebenar kepada abangnya.

“Tak usahlah kamu nak sembunyikannya lagi dengan abang. Emak dah ceritakan segala masalah kamu pada abang,” jelas Karim setagal kemudian. Nada suaranya tenang dan mesra.

            Azhar terkesip-kesip biji matanya. Sejurus kemudian dia bersuara untuk mendapatkan pandangan abangnya, “Err, bagaimana pendapat abang kalau saya panjangkan masalah saya ni ke pejabat SMIDEC?”

            “Untuk apa?” tanya Karim.

            “Untuk dapatkan bantuan mesin penggoreng dan pembungkus kerepek daun kesum saya tu?” ujar Azhar.

            Karim tersenyum tenang, “Tak payahlah, Har! Abang rasa kamu tak payahlah minta bantuan dari SMIDEC,”

“Tapi... macam mana dengan tawaran dari pembekal kerepek 20,000 bungkus sebulan tu?” Azhar berasa amat rugi jika menolak tawaran tersebut. Sudah pasti tawaran yang serupa tidak akan datang lagi jika dia menolaknya sekarang.

            “Terima saja tawaran tu, Har!” tegas Karim polos.

            “Kalau terima tawaran tu, bermakna saya terpaksa beli mesin penggoreng dan pembungkus moden, bang!” ujar Azhar sungguh-sungguh.

            “Masalah tu kecil saja, Har! Kita beli saja mesin penggoreng dan pembungkus yang kamu perlukan tu,” tenang Karim mencerluskan suaranya.

            “Tapi... harga mesin tu mahal, bang! Mana saya ada duit nak beli dua buah mesin tu,” Azhar mencegatkan hakikat kemampuan dirinya.

            Karim mengangguk-angguk bagaikan faham. “Abang sungguh bangga ada seorang adik yang mahu berusaha begini. Abang tahu, Har ada semangat juang yang tinggi, ada wawasan masa depan yang jelas, ada jati diri, ada kemahuan, ada kerajinan, iltizam dan sebagainya dan abang rasa bersalah jika tak bantu adik abang,”

            Senyuman Azhar mengembang lebar lebih-lebih lagi kala belakangnya ditepuk berkali-kali oleh Karim.

            “Lepas ni kamu jangan risau lagi soal mesin penggoreng dan pembungkus kerepek daun kesum tu,” ujar Karim seterusnya. “Yang penting kamu teruskan perniagaan kerepek daun kesum online ni sehingga berjaya. Abang nak lihat kamu jadi seorang usahawan online yang mampu mencecah pasaran global. Kebetulan abang kenal dengan seorang pembekal daun kunyit, abang dah hubungi dia sebaik emak bagitahu yang kamu nak bekal 20,000 bungkus kerepek daun tu sebulan. Dia dah bersetuju nak jadi pembekal daun kunyit kepada kamu selagi kamu mahu. Err, abang juga dah berbincang dengan Kak Mazniah kamu soal mesin penggoreng dan pembungkus kerepek tu. Dia dah bersetuju. Kami akan membantu kamu. Abang akan hulurkan modal untuk kamu beli mesin penggoreng dan pembungkus kerepek yang kamu perlukan tu. Besarkan lagi kawasan edaran kerepek daun kesum kamu,” tambahnya lagi panjang lebar.

            Azhar seakan terkedu mendengar penjelasan abangnya itu. Serasa bagaikan bermimpi namun tanpa disedari kedua-dua tangannya gesit memeluk abangnya sambil menitiskan air mata gembira. “Terima kasih, bang!” hanya itu saja yang mampu dicetuskan dari bibirnya.

            “Sudahlah, Har! Mari kita ke dapur dulu makan apa yang ada sebelum kita pergi beli mesin yang kamu perlukan tu!” ujar Karim lalu merangkul bahu Azhar penuh kemesraan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA