SMAHADZIR
Tiga puluh tahun lalu, gelaran ratu cantik
yang cukup tersohor itu telah menjadi miliknya. Dengan gelaran gah itu, Fatehah
dijulang tinggi. Namanya harum, meniti saban hari dari bibir ke bibir warga
santak meruah ke negara jiran. Wajah ayunya selalu terpampang di dada-dada
akhbar dan majalah. Dengan mahkota ratu cantik itu, sekian lama Fatehah
mengharung hidup di tengah-tengah kota metropolis Kuala Lumpur, mengumpul duit
dan harta.
Kendati
begitu, semakin lama semakin kerdil pula rasa diri. Sewaktu memerhati dan
menyusur kembali gelaran yang telah pudar ini, tiba-tiba saja Fatehah diterpa
rasa serba salah tidak menentu. Perasaannya jadi yongyat, hatinya berkecamuk
libang-libu dan seluruh jiwa raganya terasa nano lebih-lebih lagi kala
mengenangkan wajah gemulah ayah yang saban detik mengirap ke sepasang mata
dengan suara sayu sedih.
“Ayah
memilih Fatehah untuk nama kamu. Nama itu ayah petik dari sebuah surah, indah
amat nama itu. Murni amat maknanya. Biarlah nama itu seindah peribadi. Seindah
akhlak yang termaktub dalamnya. Tidak ada apa yang akan ayah warisi kecuali
ilmu agama. Gunakanlah akal anugerah Tuhan dengan sebaiknya dan jadikan agama
itu sebagai pendinding dari sebarang kekufuran serta kefasikan. Ingat Fatehah!
Hanya agama saja yang dapat membantu kamu berjalan dalam dunia yang gelita ini.
Iman kamu harus teguh, ilmu kamu harus kukuh dan amal kamu harus utuh dalam
diri. Insya-Allah, kamu akan sentiasa dalam redha-Nya.”
Begitu
pesan panjang lebar gemulah Haji Dasilah suatu hari lebih tiga puluh tahun
lalu. Hari itu adalah hari terakhir gemulah menyampaikan pesanannya. Seisi
keluarga bagaikan terkesima dengan kata-kata yang terbit dari bibir Haji
Dasilah yang sekian lama kejur di pembaringan. Pesanan itu juga seolah-olah
ingatan kepada Fatehah dan seisi keluarga bahawa Haji Dasilah yang menjadi
penaung dan tempat bergantung harapan hidup selama ini tidak akan lama bersama
mereka.
Suatu
malam yang kusam, wajah langit sebam. Tiada sebutirpun bintang mengerdip galak
seperti selalu. Angin pula seolah-olah mati membuatkan alam diapung khali.
Cengkerik bisu. Bulan hilang digebar awan gemawan. Fatehah dipanggil untuk
berada di sisi Haji Dasilah. Si ayah menguit tangannya agar anak gadis itu
menghampiri tempat pembaringan. Gontai sekali Fatehah mendekati Haji Dasilah.
Dengan
suara lirih dan tertahan, Haji Dasilah bersuara, “Fatehah! Kamu anak ayah yang
cantik. Wajah kamu seiras wajah arwah ibu kamu yang telah pergi lebih lima
tahun lalu. Turutilah akhlak molek ibu kamu itu. Wajah kamu yang cantik itu
akan lebih cantik lagi jika dihias dengan amal ibadah sepanjang masa. Harumnya
akan menggerbak menyuar ke langit tujuh. Semua manusia akan memuji kamu dengan
kecantikan abadi itu. Inilah kecantikan sebenar dan berkekalan.”
Fatehah
mengangguk, memahami bahawa Haji Dasilah telahpun memutuskan keputusannya. Dia
yang sulung ini telah diletakkan satu tanggungjawab amat berat di pundak. Dia
menjadi cerminan luhur kepada empat orang adik perempuan yang tentunya
mengharapkan kakak sebagai pengganti ayah dan ibu. Ibu sudah lama pergi. Ayah
pula akan menyusul. Hanya kepada dia adik-adiknya itu akan bergantung harap
demi sebuah kehidupan hari mendatang.
Cukup
hari menujuhnya, Fatehah bagaikan bermimpi bahawa ayahnya benar-benar sedang
berada dalam keadaan fana, menyerah kepada Khaliknya.
Malam
itu bulan menyembunyikan diri, seolah-olah tidak sanggup melihat Fatehah dan
adik-adiknya meratapi kehilangan seorang ayah. Gerimis kecil merengek sejak
lepas senja bagaikan turut sama jelu dengan kepergian Haji Dasilah. Gumpalan
awan gelintin memekup kerdip lesu jutaan buruj yang bergantungan di dada
langit. Angin sesekali garang menerpa, melengking dan menampan dedaun sekitar
rumah seakan mahu menghalang pemergian Haji Dasilah ke rahmatullah. Tetapi, orang tua lewat 70-an itu tetap pergi juga,
pergi dalam tenang dan lapang. Menyerah kepada Pencipta.
Fatehah
terpaksa juga merelakan kehilangan tempat bergantung kasih dan harap itu
walaupun dengan perasaan yang sungguh berat. Dia tiada kendati sekumin upaya
untuk menghalang kepergian itu. Apa yang dia mampu lakukan hanyalah memanjat
ratusan demi ratusan doa menujah jendela langit mengiringi perjalanan gemulah
yang panjang dan baru. Pintu langit seolah-olah terkuak lebar menerima ketukan
tangan Haji Dasilah di pintunya. Elusan lunak dan mesra gumpalan awan walau
gelintin seolah-olah mendakap karib tubuh gemulah yang telahpun fana dalam
fananya.
Lebih
setahun Haji Dasilah pergi, Fatehah bagaikan masih bermimpi. Sukar amat untuk
menerima hakikat bahawa jasad Haji Dasilah sebenarnya telah reput kerana
dikambus dalam tanah. Tulang temulangnya barangkali sudah luluh sedang pesanan
serta amanatnya masih membelai dan membelit diri. Serasa amat berat untuk
dipikul di pundaknya. Meleweh dengan beban yang amat merengsakan.
Arus
dan gelora hidup berolak rakus serta ganas itulah yang menghanyutkan Fatehah ke
lubuk metropolis Kuala Lumpur. Kesempitan dan keperitan mencanai sebuah
kehidupan di desa pingitan telah menghimbaunya menghargai kecantikan rupa paras
bentuk tubuh anugerah Tuhan kepada diri. Dia berjinak-jinak dengan dunia modelling memperagakan pelbagai fesyen
tradisional dan moden. Selepas itu bertukar ke dunia ratu cantik sehingga
berjaya meraih gelaran itu ke ribaan. Fatehah menjadi pemuja hedonistik
berlebihan, membanggakan mediocrity, manifestasi
wacana fenimisme ala Madonna telah mulai murup subur meresapi diri.
Jagat
kemewahan ditelusuri sehingga iman yang terpancang kukuh di dasar nubari
terlerai-berai. Antara pasang dan surutnya air, antara air yang mengalir keras
di hulu dan berakhirnya dengan tenang di hilir itulah juga yang mengejutkan
Fatehah dari tidur panjang. Realiti antara hidup ada mati, kembang ada layunya,
baru ada buruknya, segalanya bersifat sementara. Sementara juga semua makhluk
di sisi-Nya.
Suatu
ketika, gelaran ratu cantik yang megah dilambung pujian, simbahan kemewahan
bertali arus dipasang surut arus masa, sirna dari diri. Kala diri Fatehah
menjangkau tua, dia tidak lagi dipedulikan. Gelaran yang pernah menjadi bualan
warga dan khalayak kini sudah dirangkul oleh gadis lain yang lebih mungil dan
cantik darinya.
Fatehah
kehilangan. Fatehah kelenyapan, segalanya lupus dari kemegahan. Umpama ikatan
kolek di tengah samudera, terlerai dan pengikatnya putus di hujung lalu kolek
itu mulai hanyut entah ke mana. Kehilangan dan kelenyapan yang sungguh. Dia
merasa amat bersalah sekali kerana telah mengabaikan pesanan serta amanat
gemulah ayah.
“Sungguh,
kecantikan lahiriah hanya sementara. Bila tiba ketikanya, akan sirna dari diri.
Tatkala itu, segala kemegahan, pujian, yang membanggakan diri, akan sirna.
Hanya kecantikan amal ibadah yang akan kekal abadi hingga akhir hayat.”
Mengiang kata-kata gemulah Haji Dasilah ke sepasang telinga serentak wajahnya
mengirap mesra.
“Hei
Fetty! Apa yang kamu menungkan ni?”
Fatehah
mendadak tersentak. Segala ngeluyur benak berjela panjang gesit bubar. Dia
bagai kelinglungan dan kemamar kala pundaknya dicuit tangan rakan serumah
sewaan. Namun begitu, anak matanya sempat meloncat jauh ke rusuk awan gemawan
yang bergumpal-gumpal di dada langit melalui kuakan tingkap kaca di pinggir
diri.
“Apa
yang kamu menungkan, Fetty?” Merry yang dahulunya Mariam, bertanya lagi. Rasa
ingin tahu amat menggelodar hati. Bagaikan tidak sabar mahu mendengar
penjelasan Fatehah.
“Maaf,
Merry! Maaf… namaku bukan lagi Fetty!” begitu jawapan Fatehah, tegas dan waras
tanpa menjawab pertanyaan rakan baiknya itu.
“Errr,
aku… aku tak faham apa maksud kamu!” Merry terkejut.
“Mulai
hari ini, nama aku bukan lagi Fetty! Ingat, Merry! Aku sudah kembali ke nama
asal pemberian arwah ayahku iaitu Fatehah!” jawab Fatehah.
Merry
terkesima dan melongo. Fatehah senyum senang. Dia mendongak lagi ke langit,
mencari gumpalan awan yang dirasakan semakin gelintin. Pantulan keluhan
menyusuri rengkongan tekaknya. Irama keluhan itu bersahut-sahutan dari setiap
arah dan kemudian melenyap dalam ruang jagat yang kian udam.
“Fatehah!
Dalam perjalanan ayah di alam fana ini, ayah telah bertemu dengan dua buah
rumah. Satunya terang dan gerbak harumnya segenap ruang. Inilah rumah manusia
yang teguh beriman kepada-Nya. Sepanjang hayat mencantikkan diri dengan amal
ibadah dan memperbanyakkan bekalan ke akhirat. Inilah kecantikan dan keindahan
sebenar dan berkekalan. Dan sebuah rumah lagi, gelap dan kohong. Inilah rumah
manusia semasa hidupnya di dunia terlalu ghairah memuja kecantikan lahiriah
semata-mata. Amalan diredha-Nya tiada, iman kepada-Nya hilang entah ke mana,
ilmu yang baik tuntutan-Nya terhumban jauh dibawa arus. Dosa pahala haram halal
dipandang sama. Rumah manakah antara kedua-dua rumah ini yang bakal menjadi
pilihanmu untuk didiami esok, Fatehah?”
Wajah
gemulah Haji Dasilah bagaikan mengirap bergentayangan, suaranya seolah-olah
cagun mengiang menggugah kedamaian gegendang telinga. Fatehah gesit bungkam,
berjenak-jenak. Anak matanya berkaca dan bergenang. Beberapa titis air mata
menjujuh lesu ke pipi. Sewaktu dia menyeka air jernih itu, ribuan kesalan mulai
menyelusup ke dalam kalbu. Taubat nasuha melepa kemas di dasar nubari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan