Khamis, 21 Disember 2023

NAK JADI SASTERAWAN NEGARA

SMAHADZIR

 

Pagi masih berkabus. Cahaya matahari belum lagi tertebar luas malah masih menyelit di celah dedaun lalu membentuk jaluran suam ke bumi. Unggas-unggas hutan berceridau bebas dan mulai berterbangan bersimpang-siur untuk mencari rezeki kurniaan Tuhan.

            Warung kopi Pak Ca pagi itu agak sepi. Di sebuah meja panjang mengadap ke arah jalan raya, duduk Junuh dan Semaun. Kedua-dua sahabat baik itu begitu asyik sekali menjamah sarapan pagi. Dua cawan kopi keras dan beberapa biji karipap di dalam piring kecil di hadapan, ditatap berselera. Radio yang diputarkan Pak Ca bersenandung lagu Bahasa Jiwa Bangsa. Sesekali jari jemari Junuh mengetuk muka meja mengikut rentak lagu yang berkumandang. Semaun pula kadang-kadang terangguk-angguk sambil kaki di bawah meja bergoyang-goyang.

            Hari masih pagi lagi. Kabus sejuk menyelubungi suasana di sekitar. Jalan di hadapan warung sibuk sekali. Warga Kampung Bemban bergegas mengejar masa sendiri untuk menggarap punca rezeki masing-masing.

            Sebuah kenderaan usang beroda dua tiba-tiba berkeriut dan berhenti betul-betul di depan warung. Macam semalam juga. Pemandunya terhegeh-hegeh turun dengan bergaya sekali masuk ke dalam warung dan terus melabuhkan punggungnya di sisi Junuh. Junuh bagaikan kurang senang seraya melirik wajah Semaun. Sambil mengengsot sedikit punggungnya menghampiri Semaun, mata dikejitkan. Kemudiannya masing-masing tersengih lebar.

            “Selamat pagi, Tok Lebam!” sapa Pak Ca sewaktu tertancap pemandu kenderaan usang itu di sebelah Junuh. “Tok nak minum apa pagi ni?” soalnya pula.

            “Minuman yang keras ada?” tanya Tok Lebam.

            “Hish, minuman keras mana boleh minum, tok? Haram hukumnya!!” sampuk Semaun.

            “Siapa kata minuman yang keras tak boleh minum?” jegil mata Tok Lebam kurang senang. “Minuman yang keras tu maksud aku air batu. Kenapa haram, kenapa tak boleh diminum pula?”

            Termonyeh-monyeh Semaun dibuatnya.

            “Oooo, jadi tok nak minum minuman yang ada aislah?” tanya Pak Ca.

            “Yalah! Aku nak minum milo ais gelas besar!” ujar Tok Lebam seraya mengipas-ngipas badannya dengan kain tuala lasam yang diuraikan dari belitan di kepalanya.

            “Aik? Pagi-pagi limunpun panas?” Junuh pula bersuara.

            “Kalau tubuh kita sihat walafiat, bila-bila masapun badan akan terasa panas dan berpeluh!” jawab Tok Lebam.

            Junuh menggeleng pendek. Semaun terkerisin besar menyerlahkan gigi karatnya dek tembakau kasi kerana rakannya turut jadi mangsa kepetahan Tok Lebam.

            “Tok memang macam seorang Sasterawan Negara la!” tiba-tiba Pak Ca bersuara lagi. Ketika itu pelanggan di warungnya sudah semakin ramai. Meja di bahagian depan kaunter bayaran sudah penuh sementara beberapa orang lagi sedang berdiri menunggu pesanan dibungkus untuk dibawa pulang.

            “Betul kata Pak Ca tu, tok!” sambung Semaun seraya tersengih. “Kepetahan tok berbahasa memang tak boleh ditandingi di kampung ni. Tok bijak dan memang pakar bahasa dan layak jadi Sasterawan Negara!”

            Tok Lebam sedikitpun tidak tersenyum dengan pujian yang dilemparkan oleh Semaun. Dia tahu, pemuda itu seolah-olah menyinisnya. Junuh segera melirik wajah Semaun yang sekadar terkebil-kebil kerana tiada sebarang respon balas dari Tok Lebam. Sejurus kemudian dia tersenyum geli hati.

            “Hei, kenapa kamu tersenyum-senyum macam kambing jantan tu?” Tok Lebam terkesan senyuman Junuh lalu pantas bertanya. “Kamu ingat aku tak faham kenapa kamu senyum? Oooo, kamu perli aku ye? Kamu sinis aku ye? Kamu ingat aku ni apa?”

            Junuh terkesima dan mulai berdebar melihat mata Tok Lebam yang jelas merah kurang senang. Dia bimbang kemarahan orang tua tiga suku abad itu meledak lagi.

            “Apa, kamu semua ingat aku ni tak layak jadi Sasterawan Negara ke? Orang tua yang pandai berbahasa macam aku ni tak layak jadi Sasterawan Negara?” suara Tok Lebam mencerlus lagi.

            Semua tetamu warung Pak Ca segera memandang ke arahnya. Masing-masing menggeleng dan tersenyum-senyum. Mereka tahu, Tok Lebam memang begitu. Di mana saja suka bercakap pasal bahasa. Tidak kira dengan siapa - orang tua, orang muda, kanak-kanak kecil, orang perempuan hatta dengan kambing atau ayam itik sekalipun.

            Pernah ayam milik Lebai Soud di kepala simpang dipulas tengkok hidup-hidup kerana tidak mahu menjawab pertanyaannya. Pernah juga anak kambing Pak Su Dollah dicampak ke dalam tong sampah kerana tak mahu menjawab soalannya dalam bahasa Melayu.

            Nasib baiklah, setakat ini belum ada lagi orang-orang kampung yang menjadi mangsa kemarahannya yang keterlaluan atau mencederakan sesiapa.

            Junuh masih diam. Kopi keras di dalam cawan perlahan-lahan ditogok. Semaun juga begitu. Habis karipap di dalam piring, ketayap dari meja sebelah pula dicapai lalu dikunyah rakus. Berselera sungguh menjamah kuih buatan tangan Munah Janda itu.

            Mata Tok Lebam masih melekat ke muka Junuh di sisinya. Merah berkaca. Semaun pula bagaikan pacat terkena abu. Gelisah dan resah kebimbangan. Dia tidak mahu lagi kejadian yang sama berulang. Di warung ini juga minggu lepas. Gara-gara mulut gatal Junuh menafikan kelayakan Tok Lebam sebagai seorang Sasterawan Negara, akibatnya dua biji pinggan berisi mi rebus melayang hinggap ke mukanya. Ternonong-nonong dia mencari baldi air kerana matanya dimasuki kuah pedas mi rebus itu.

            Kalau ikut rasa hati, mahu Tok Lebam itu dibelasahnya dengan kayu beluti. Tetapi, mereka berdua atau sesiapa saja di kampung itu tidak mampu berbuat apa-apa. Undang-undang yang ada tidak dapat menahan Tok Lebam. Orang tua itu seolah-olah lebih berkuasa mengatasi segala undang-undang. Kedudukannya ditakuti, dilindungi dan dihormati oleh undang-undang. Silap-silap haribulan, dia dan Junuh pula yang akan dipersalahkan. Ini yang kadangkala menakutkan warga Kampung Bemban.

            “Kalau aku jadi Sasterawan Negara, aku akan mertabatkan bahasa Melayu kita ke puncak dunia!” Tiba-tiba Tok Lebam memulakan ucapannya pagi itu.

            Pak Ca gesit menggeleng. “Biarkan dia!” ujarnya memberi amaran kepada semua yang ada. “Biarkan dia bercakap, jangan dibangkang atau disangkal. Nanti ada yang makan cawan dan piring!”

            Semua tersenyum dan ada juga yang terus angkat kaki dari situ kerana tidak mahu terlibat jika ada sesuatu yang terjadi nanti. Namun, ramai juga yang semakin mendekat untuk melihat telatah Tok Lebam yang dirasakan lebih menghiburkan dari telatah Maharaja Lawak dalam televisyen.

            “Orang bijak berbahasa macam aku, memang layak jadi seorang Sasterawan Negara!” suara Tok Lebam bergema lagi, semakin bersemangat kala dilihatnya orang ramai seolah-olah tertarik dengannya. “Tapi, kamu semuanya buta, semuanya tongong! Kamu semua tak nampak permata depan mata. Akulah permata itu. Akulah tokoh yang boleh dianggap macam sebutir permata di perlimbahan!”

            Semua yang ada di warung Pak Ca tersenyum-senyum. Mereka tahu, kata-kata yang keluar dari mulut Tok Lebam sebentar tadi adalah kata-kata yang sama seperti semalam, seperti dua hari semalam atau hari-hari sebelum itu. Tok Lebam memang gemar mengulangi kata-kata yang sama di mana-mana saja. Namun begitu, tidak pula menimbulkan jelak di hati mereka untuk mendengar lagi hari ini.

            Sebenarnya, Tok Lebam memang petah bercakap. Bekas guru bahasa Melayu itu bukan calang-calang orang untuk diajak berdebat soal bahasa. Semua dia tahu, semua dalam kepalanya. Malah dia bertambah-tambah petah sejak ditinggalkan oleh isteri-isterinya. Dan kata-katanya akan bertukar menjadi maki hamun jika sekiranya dia diungkit kisah lama bersama isteri-isterinya dulu. Itu semua warga Kampung Bemban tahu.

            Sebab itulah, apabila ingin melihat Tok Lebam mengamuk, soal isteri-isterinya dibangkitkan. Tok Lebam semakin bersemangat dengan sorak-sorai yang bergema. Dia merasakan seolah-olah sorak-sorakan itu ditujukan kepadanya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan.

            “Apa lagi alasan kamu untuk tidak mahu melantik aku jadi Sasterawan Negara?” soal Tok Lebam lagi beberapa jenak kemudian sambil melirik wajah Semaun.

            “Kami bukan tak mahu lantik tok jadi Sasterawan Negara tapi, jawatan kosong sebagai Sasterawan Negara dah tak ada, tok!” jawab Semaun bersahaja.

            “Semuanya dah diisi oleh sasterawan yang lebih layak!” tokok pula Junuh.

            “Kerana mereka layak, mereka telah dilantik jadi Sasterawan Negara!” Man Janggut di sisi Lah Misai turut tumpang sekaki.

            Mata Tok Lebam mulai merah. Ramai benar menafikan kelayakannya. Namun dia masih mendiamkan diri seolah-olah mencari jawapan yang sesuai untuk diketengahkan. Sejenak berkelintar menyeluruhi tetamu warung Pak Ca.

            Di luar warung, hari sudah cerah. Matahari sudah memancarkan cahaya panasnya ke seluruh juzuk Kampung Bemban. Simpang siur warga kampung di jalan raya sudah lengang dan diganti pula oleh deruan pelbagai jenis kenderaan.

            “Tok, nak tambah air lagi?” tiba-tiba Pak Ca bertanya.

            “Tak payah, aku tak haus!” ujar Tok Lebam keras. “Percayalah…. kalau aku jadi Sasterawan Negara, aku akan minta kerajaan letakkan bahasa Melayu di tempat yang atas sekali, aku akan minta kerajaan betulkan semua papan tanda, nak kerja di pejabat kerajaan atau swasta mesti lulus dan boleh bercakap bahasa Melayu dengan betul dan nak masuk universiti pun mesti lulus bahasa Melayu,”

            “Sungguh hebat, tok!” satu suara tiba-tiba mencelah. Entah dari siapa.

Tok Lebam kian bersemangat. “Itu tak hebat mana jika mahu dibandingkan dengan yang ini!” ujarnya. “Ha… kalau aku jadi Sasterawan Negara, aku nak semua pemimpin mesti pandai berbahasa Melayu sebelum masuk bertanding jadi YB. Tak pandai berbahasa Melayu dengan fasih tak boleh jadi YB. Semua warga negara pun mesti fasih berbahasa Melayu, kalau tak fasih berbahasa Melayu tak boleh jadi warga negara Malaysia!”

            “Tapi, tok tak layak jadi Sasterawan Negara. Nak jadi Sasterawan Negara bukan saja mesti pandai jaga bahasa tapi juga mesti pandai jaga isteri,” Junuh tiba-tiba menempelak. Dia seolah-olah mahukan supaya sesi itu cepat selesai kerana kalau mahu diikutkan telatah Tok Lebam itu, sampai ke malampun tak akan tamat.

            Wajah Tok Lebam gesit berubah, pudar dan jerau mendadak. Jelas dia kurang senang bila diungkitkan perkara itu.

            “Jawablah tok, kenapa bini-bini tok dulu lari meninggalkan tok?” Junuh semakin galak menyiram minyak ke dalam api. Semaun terteguk-teguk air liur.

            “Apa boleh buat, mereka dah jadi bini orang lain!” ujar Tok Lebam agak lirih dan mendatar. “Empat orang bini aku dah menceraikan aku. Mereka memang tak patut. Mereka tu bodoh dan bangang. Kalau mereka tak menceraikan aku, dah tentu hidup mereka sekarang senang lenang. Aku ni seorang Sasterawan Negara yang hebat dan berkuasa!”

            “Apa buktinya tok hebat dan berkuasa?” tanya Junuh lagi.

            “Ha, tengok! Aku boleh menyanyi! Siapa boleh halang aku menyanyi, siapa boleh marahkan aku. Ini menunjukkan aku berkuasa dan hebat! Aku memang hebat!”

            Sejurus kemudian Tok Lebampun terus menyanyi sambil menari-nari. Lagu Bahasa Jiwa Bangsa versi lama, kemudian beralih pula ke lagu R Azmi. Bercampur baur tidak ketahuan butir kalimat. Begitu gembira sekali dia.

            Tiba-tiba matanya merah. Serentak juga cawan kopi di depannya di hempas ke muka meja. Meja di hadapannya gesit diangkat dan disorongkan ke depan lagi. Semaun yang berada di situ terlentang menghempap dinding. Tetamu warung Pak Ca yang lain segera bercempera meninggalkan warung.

            “Kamu memang cari fasal, Junuh!” marah Pak Ca tatkala melihat keadaan kerusi dan meja di dalam warungnya yang berselerak di sana sini.

            Junuh hanya mendiamkan diri.

            “Sudahlah tok!” tiba-tiba seorang lelaki berpakaian lengkap pegawai polis separuh memujuk meluru mendekati Tok Lebam. “Negara kita dah ada Sasterawan Negara yang lebih berkelibar, yang lebih layak dapat gelaran tu!”

            “Aku tak peduli!!” bantah Tok Lebam gerah. “Aku nak jadi Sasterawan Negara juga!!!”

            “Kalau tok nak jadi juga Sasterawan Negara, ayuh ikut saya!” pelawa pegawai polis itu seraya tersenyum.

            “Ke mana?” tanya Tok Lebam ingin tahu.

            “Tanjung Rambutan!” jawab pegawai polis itu. “Di sana ada jawatan Sasterawan Negara untuk tok!”

            Tok Lebam tersengih lebar. Tangannya segera dicapai oleh dua orang lagi anggota polis lalu dibawa ke sebuah land rover biru gelap yang sudah tercegat megah di sisi basikal tua miliknya di luar warung.

            Sewaktu menjejakkan kakinya ke dalam land rover itu, Tok Lebam menyanyi lagi. Sebuah lagu Hindustan. Kemudian tersengih, menyerlahkan gigi kuningnya yang sudah banyak berkarat dan rongak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA