Selasa, 26 Disember 2023

HANYA PINJAMAN

SMAHADZIR

 

ADA seorang kanak-kanak lelaki berumur sekitar enam tahun, berkemeja putih dan pullover kotak-kotak hijau dengan logo tadika di dada kiri. Di bahunya tersandang sebuah beg merah. Sebaik masuk ke dalam bas, kanak-kanak itu terus menunjukkan hasil kerjanya kepada ibunya, origami sebuah sampan yang sedikit penyok sembari menyanyikan sebuah lagu.

 

Ini sebuah sampan,

          Dibuat dari papan,

          Cantik hasil buatan,

Untuk ayah menangkap ikan.

 

          Aku tersenyum mendengar suaranya, agak sumbang tetapi penuh semangat. Kanak-kanak itu tersenyum padaku, kemudian kembali berbual dengan ibunya.

          Ibunya sesekali menyahut dengan anggukan, sementara tangannya asyik mengelap peluh di dahi. Cuaca siang itu memang panas dan kesendatan jalan membuatkan udara pengap namun tidak mengalihkan perhatianku dari kanak-kanak itu. Kureguk tiap kata dan lagu yang dinyanyikannya seperti pengembara kehausan menemui oasis di tengah gurun. Alangkah rindunya aku akan semua itu. Aku tidak ingin membandingkan anakku dengan kanak-kanak comel itu, tetapi mahu tidak mahu Khalid singgah juga ke benakku.

          Aku masih ingat, setiap kali arwah isteriku membuat pemeriksaan selama mengandungkan Khalid, bidan selalu mengatakan kehamilannya normal dan sihat. Kerana itu aku dan arwah isteriku sama sekali tidak dapat menerima hakikat sewaktu doktor memberitahu bahawa Khalid tidak normal. Dia lahir dalam keadaan down syndrome.

          Menyakitkan. Masa hadapan anakku sudah ditentukan oleh doktor hanya beberapa minit selepas kelahirannya. Khalid tidak akan membesar seperti kanak-kanak normal lain dan tidak akan menjadi orang dewasa normal yang mampu mengurus dirinya sendiri. Doktor juga menemui kelainan pada jantungnya yang harus diperbaiki dengan pembedahan. Ada juga gangguan mata dan tonsil, menurut doktor biasa menimpa anak down syndrome.

          Tekanan kualami selepas Khalid dilahirkan ditambah dengan kematian isteriku, cukup berat hingga aku harus dirawat agak lama di hospital. Aku sangat tertekan hingga tidak mampu menjaga Khalid. Tugas menjaganya kuserahkan kepada pembantu rumah sehingga aku keluar dari hospital. Doktor memperkenalkan aku dengan seorang pakar rawatan anak down syndrome. Pakar itu memberikan buku-buku dan brosur kepadaku.

          Tetapi semakin membuatkan aku tertekan. Sejak doktor menyatakan bahawa isteriku positif mengandung, aku selalu berdoa dan bermimpi tentang seorang anak yang cerdas dan lincah. Anak yang akan kubimbing mengenal Allah dan Rasul-Nya, kuajari mengaji dan solat agar mampu mendoakan kedua-dua orang tuanya. Akan kubawa menikmati keindahan alam semulajadi yang damai agar pandai bersyukur dan memiliki sifat tawaduk kepada-Nya.

          Aku akan memperkenalkannya kepada saudara-saudaranya yang yatim piatu agar hatinya lembut dan peka. Anak yang akan menjadi seorang pejuang seperti panglima gagah itu, Khalid Al-Walid.

          Kubayangkan jari mungil anakku menyusuri huruf-huruf dalam helaian mushaf al-Quran. Lalu ke mana mampu kukuburkan rasa kecewaku ketika mendapati Khalid tidak mungkin mewujudkan semua impianku. Aku hanya mampu berdoa siang malam memohon kekuatan, bermuhasabah diri, mengingati kembali apa yang telah aku lakukan sehingga Allah menghukumku dengan menganugerahkan Khalid kepadaku.

          Hingga suatu hari kalimat itu menjerbaku. Anakku adalah amanat-Nya, bukan hukuman, bukan aib. Hanya pinjaman, bukan milikku. Apakah aku berhak menyesal jika pinjaman-Nya tidak seperti kanak-kanak lain? Aku hanya ditugaskan menjaga dan mengasuhnya dengan cinta, kerana dipinjamkan Allah yang rahman dan rahim-Nya tidak pernah surut. Bukan tugasku menilai apakah Khalid layak jadi anakku atau tidak. Selepas itu aku kembali tenang.

          Tetapi kesedihan itu kerap benar merasuk hatiku. Sangat menyakitkan. Tiap kali kukeseorangan membawa Khalid bertemu doktor dan melihat ibubapa lain dengan bayi seumur Khalid, aku kembali terbenam dalam jelu. Entah untuk Khalid atau untuk diriku sendiri.

          Bulan demi bulan berlalu. Sementara bayi lain mulai tertawa dan mengeluarkan suara-suara lucu, Khalid hanya diam, memandang kosong ke hadapan.

          Tiap hari pembantu rumah dan aku harus bergantian merangsang otaknya dengan mainan pelbagai warna dan kerincingan yang bingar. Khalid baru menunjukkan reaksi ketika usianya hampir lapan bulan.

          Khalid baru belajar berjalan pada usia dua tahun. Bicaranya tidak selancar kanak-kanak lain dan kosakatanya sangat terbatas. Dia tidak mampu mandi dan berpakaian sendiri hingga usianya sembilan tahun. Harus disuapi tiap waktu makan sehingga mampu makan sendiri beberapa bulan terakhir ini.

          Yang paling menyedihkan, sukar sekali membiasakannya buang air di bilik mandi walaupun kami sudah mengajarnya selama lapan tahun dari sepuluh tahun usianya. Mengajar Khalid solat dan mengaji hampir tidak mungkin. Khalid hanya mampu mengikuti gerakan-gerakan solat tanpa mampu menghafal bacaannya.

          Setelah beberapa lama, aku menyedari kekhilafan dan mulai dari awal semula. Mengakrabkan Khalid dengan Allah SWT dan Islam. Sesuatu yang lebih mudah dilakukan dan difahami Khalid.

          “Ibu, kita sudah sampai!!!”

Suara kanak-kanak tadika itu gesit mematikan ngeluyur benakku pada Khalid. Tetapi kali ini aku tidak mampu menikmatinya tanpa merasa iri. Iri pada ibu yang tidak menyedari besarnya nikmat Allah yang dimilikinya. Ada kegeraman dan rasa kasihan pada diri sendiri yang tiba-tiba bergolak dan menenggelamkanku. Membuat dadaku sesak. Aku tidak tahu apakah aku harus menyesal atau gembira ketika kanak-kanak itu akhirnya turun bersama ibunya dari bas.

          Di bangku yang mereka tinggalkan kulihat sampan kertas itu terpenyek. Kupungut dan kuperbaiki. Tiba-tiba mataku kabur oleh air mata. Khalid tidak mampu melukis atau membuat origami. Koordinasi tangannya lemah sekali.

          Dalam kepalaku yang yongyat libang-libu, sampan kertas itu kuramas menjadi gumpalan. Aku tidak sanggup lagi menahan tangis. Dengan segera kupicit loceng bas dan turun, walaupun rumahku masih jauh.

          Aku duduk di hentian yang sepi. Menarik nafas dalam-dalam dan mengeringkan air mata. Ketika aku menengadah, mataku tertambat pada masjid di seberang jalan. Ya Allah, inikah teguran-Mu? Aku gesit menyeberang. Segera kuambil wuduk dan solat dua rakaat. Air mataku menitis ketika kubaca ayat kedua belas surah Lukman.

          Usai mengucap salam aku tercenung. Kekalutan yang sempat menguasai sudah berjaya kukendalikan. Aku merasa kosong, tetapi damai. Lalu satu-satu fragmen kehidupan Khalid mulai kembali ke benakku. Bukan gambaran muram tentang kekurangannya, tetapi keistimewaan-keistimewaan kecil yang mengimbangi dan melengkapi hidupnya.

          Khalid tidak pernah nakal dan usil, selalu mesra dan murah senyum, sangat menyayangi adik tirinya Aisyah, yang lahir empat tahun lalu. Aku dan isteri baruku bimbang juga takut kalau-kalau Khalid akan cemburu dengan kehadiran Aisyah. Tetapi dia gembira sekali membantu ibu tirinya mengurus Aisyah. Sering kudapati Khalid duduk menatap adik tirinya yang tertidur dengan ekspresi terpesona tidak terlukiskan.

          Aisyah normal dan cerdas sekali, menerima abang tirinya itu tanpa syarat. Kemesraan kedua-duanya selalu menerbitkan rasa syukur di hatiku. Mengurus Khalid memang menuntut kesabaran dan kegigihan tambahan dibandingkan mengasuh anak biasa.

Khalid telah mengajarku makna mencintai tanpa pasrah hakiki. Pada zaman ketika orang memburu segala superlatif; tercantik, terpandai, tergesit, Khalid tidak akan mampu bersaing. Dia tidak mungkin menjadi teknologi, ekonomi atau da’i tersohor.

          Tetapi apakah itu akan mengurangi cintaku kepadanya? Mengurangi kegembiraan melihat prestasi-prestasi kecilnya yang dianggap remeh dan tidak seperti orang lain yang mampu berpakaian dan makan sendiri? Aku dan ibu tirinya tidak akan memperoleh apa-apa darinya. Kemungkinan besar Khalid akan terus bergantung pada kami. Setelah kami sudah tiada lagi, mungkin pada Aisyah.

          Tetapi kami memang tidak lagi mengharapkan apapun darinya. Kami hanya menyayanginya. Kurapati gerbang rumah dan kuserukan salam. Sahutan riang menyambutku. Pintu terkuak. Aisyah menerkam memelukku sementara abangnya tersenyum lebar sambil berjalan goyah di belakangnya.

Kukeluarkan sekantung mempelam ranum. Khalid tersenyum. Matanya yang kosong mulai berbinar. Mempelam adalah buah kesukaannya.

          Aku masuk ke kamar untuk berganti baju setelah berpesan pada pembantu rumah supaya mencuci dan mengupaskan mempelam buat anak-anakku. Ketika aku keluar, mereka tidak berada di meja makan. Kupanggil mereka dan kudengar sahutan dari halaman belakang. Di hadapan sangkar besar burung serindit, Aisyah melonjak-lonjak dan tertawa melihat abangnya dengan sabar menghulurkan potongan mempelam melalui jeruji besi.

          Satu demi satu burung-burung serindit mematuk potongan mempelam dari tangan Khalid. Aku bertasbih. Mataku pedih. Sudah lama aku mengamati keistimewaan Khalid mencintai dengan keikhlasan yang bersih dari egoisme anak seusianya. Cintanya sangat tulus pada burung-burung kesayanganku dan ayam serama yang aku pelihara untuk mengajar anak-anak bertanggungjawab.

          Bahkan pada bunga-bunga isteriku di halaman rumah. Dia gembira mengurus semua itu, walaupun tidak pernah mendapat imbalan apapun dari kami. Kelembutannya terhulur bahkan pada kucing-kucing liar yang sering diberinya makan atau anak-anak jiran yang kerap mendapat bahagian dari jatah kuih dan buahnya tanpa menuntut balasan apa-apa.

          Aku memang tidak ada alasan untuk bersedih dan kecewa. Khalid mungkin tidak mampu membaca dan mengaji. Tetapi perasaannya halus dan penuh kasih-sayang. Dan aku sangat bersyukur atas kelebihannya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA