SMAHADZIR
“Huh, muka tak tau malu! Badan busuk macam sekerap ada hati nakkan anak dara aku!”
Pagi hening dibebar cemuhan Munah Janda.
Pelanggan Kedai Kopi Pak Coh tersentak. Masing-masing menunak mata ke arah Munah
Janda yang sudah seperti orang gila di luar kedai.
“Cermin sikit muka hang tu, Junuh! Muka macam
tepung gomak, tak ingin aku nak bermenantukan penoreh getah macam hang, tau
takkkkkkkkkkkkk!!”
Semua yang ada di Kedai
Kopi Pak Coh di kepala simpang Kampung Setoi itu menikus. Tiada siapapun berani
bersuara. Junuh di satu sudut tunduk membungkam. Mukanya merah padam, cawan
kopi O depan mata direnung penuh pedih. Rasa malu bukan kepalang.
“Anak
aku Si Leha tu hanya padan dan layak dengan pegawai saja. Bukan orang macam
hang! Tuiiiihhhhh!!”
Seketul
kahak kuning pekat terloncat keluar bersama ludah di hujung penghinaan terakhir
Munah Janda sebelum meninggalkan hening berjenak-jenak ruang Kedai Kopi Pak
Coh. Kampung Setoi pagi itu jadi heboh dengan kejadian tersebut. Ada yang
menggeleng-geleng, ada yang mendecit-decit dan boleh dikatakan semua warga
kampung kurang setuju dengan tindakan janda tersebut.
Walaupun Junuh memang
seorang penoreh getah, tetapi penghinaan begitu tidak sepatutnya terluah
lebih-lebih lagi di depan khalayak.
“Munah
Janda tu memang dah melampau sungguh!” rungut Pak Coh sewaktu bercerita tentang
peristiwa tersebut kepada Lebai Senapi suatu hari. “Kalau dah tak suka Si Junuh
tu, janganlah sampai maki-hamun dia di kedai aku. Aku turut tumpang malu.
Bergantang biji mata tengok kejadian tu. Dua tiga pelanggan aku tak jadi nak
beli kuih yang aku jual kerana depa malu dengan maki-hamun yang janda tu
luahkan!”
Lebai Senapi sekadar
mengeluh panjang. Tidak mampu membuat sebarang komen. Dia tahu benar perangai
Munah Janda yang memang lantang dan celupar sikit mulutnya dan dia juga tahu
tentang Junuh. Sudah lama Junuh tergila-gilakan Leha. Itu bukan satu kesalahan
besar. Adat muda memang begitulah.
Setahunya, Junuh telah
masuk meminang secara beradat tetapi ditolak oleh Munah Janda. Dia menyangkakan
peristiwa tersebut tamat di situ saja. Tidak sangka pula marah janda itu masih
membengkak dengan pinangan yang dilakukan oleh Junuh sampai sanggup memalukan
pemuda itu di kedai kopi pula.
Perbualan yang mahu
dilanjutkan jadi terbantut kerana Munah Janda tiba-tiba saja sudah berada di
depan kedai. Pak Coh tersengih-sengih seraya bangun lalu menghilang di bahagian
dapur.
“Ha, di sini rupanya Pak
Lebai!” ujar Munah Janda tatkala melihat Lebai Senapi. “Aku ke rumah Lebai tadi
tapi bini Lebai kata Lebai ke kedai. Jadi, akupun terus ke mari!”
“Apa
halnya cari aku?” tanya Lebai Senapi.
“Aku
nak jemput Lebai datang ke rumah lepas maghrib malam ni! Nak buat kenduri
kesyukuran sikit!” jelas Munah Janda sambil tersengih. Sentil tembakau kasi di
mulutnya dikunyah-kunyah.
“Eh,
aku tak dijemput sama ka?” Pak Coh tiba-tiba bersuara. Bungkusan mi goreng
permintaan Lebai Senapi diletakkan atas meja.
“Ha,
kaupun mailah! Aku memang nak jemput semua orang kampung. Kenduri ni tanda
syukur sebab cita-cita aku nak bermenantukan seorang pegawai dah dimakbulkan
Tuhan...”
“Maksud
kau, Leha tu dah dipinang orang?” Lebai Senapi sedikit terbeliak.
Munah Janda tersengih
lebar. “Dah Lebai! Seorang pegawai dari Sungai Petani. Besaq pangkatnya. Huh,
baru padan muka Junuh tu! Dia sangka aku sukakan dia. Mentang-mentang aku
selalu panggil dia mai ke rumah tolong tebas semak-samun belakang rumah, dia
sangka aku nak jadikan dia menantu! Dasar budak tak tau malu!”
“Sudahlah
Munah! Tak usahlah hang dok hina Junuh tu. Dah hang tak suka, diam sudahlah.
Buat apa nak hina dia lagi!” Lebai Senapi seolah-olah kurang senang.
“Aku
bukan hina dia Lebai! Tapi, aku nak bagi dia sedar. Cermin dulu mukanya sebelum
nak pinang anak dara orang!” dengus Munah Janda seraya mencebek. Bibirnya yang
memang tebal sejak azali itu terjuih-juih hodoh.
Lebai
Senapi dan Pak Coh diam tidak bersuara. Masing-masing tak kuasa lagi nak layan
janda separuh umur yang angkuh dan bongkak itu. Sejurus selepas Munah Janda
menghilang, Lebai Senapi turut meninggalkan pekarangan kedai Pak Coh.
Begitulah
peristiwa yang berlaku beberapa bulan lalu. Sekarang Leha sudahpun menjadi
isteri seorang pegawai bernama Leman.
Munah Janda semakin sibuk mencanangkan pangkat
besar yang dimiliki menantunya. Semua orang Kampung Setoi seolah-olah terpukau
dengan cerita Munah Janda lebih-lebih lagi apabila mereka melihat Leman sering
saja berpakaian kemas, berjenama mahal dengan dasi tersemat di dada dan sebuah
beg hitam tidak pernah lekang dari tangan. Pakaiannya pelbagai corak dan warna,
sering pula singgah di Kedai Kopi Pak Coh untuk menjamu selera selepas pulang
kerja.
Walaupun
rata-rata warga kampung kurang senang dengan sikap Munah Janda tetapi mereka
amat senang pula dengan sikap ramah dan mesra yang ditunjukkan oleh Leman.
Menantu Munah Janda ini tidak suka bermegah-megah malah selalu pula merendah
diri.
“Kerja
saya biasa saja, Pak Coh! Sekadar pegawai kecik di Sungai Petani!” ujarnya
mesra dan lunak sewaktu disoal oleh Pak Coh suatu hari.
“Janganlah
merendah diri sangat, Leman! Dari gaya kau, kami semua tau yang kau ni pegawai
besar!” balas Pak Coh.
Leman
tersengih. “Janganlah memuji tinggi-tinggi sangat, Pak Coh! Saya takut nanti
jadi riyak pula!” ujarnya bersahaja.
Namun
begitu, orang-orang Kampung Setoi sedikit hairan kerana Leman tidak mempunyai
kereta. Setahu mereka, jika seseorang itu bergelar pegawai tentunya mempunyai
kereta sekurang-kurangnya Kancil. Apa yang mereka lihat ialah, setiap pagi
sebuah van Rusa akan datang mengambil Leman untuk ke tempat kerja. Di dalam van
tersebut terdapat beberapa orang lagi lelaki yang berpakaian kemas.
Masing-masing bertali leher.
“Menantu aku tu tak suka
bermegah-megah dengan kereta. Dia lebih suka tumpang kawannya untuk ke tempat
kerja. Lebih jimat belanja dan masa!” jelas Munah Janda kala disoal oleh Sepiah
jirannya.
“Baguslah
kalau ada niat baik macam tu!” Sepiah menyokong. “Duit gaji boleh simpan untuk
anak isteri.”
“Memang
menantu aku tu begitu, Sepiah oi! Duit gajinya semua diserahkan kat Leha.
Sayang sungguh dia pada isterinya!” balas Munah Janda. Seperti selalu sentil
tembakau tidak pernah lekang dari bibir. Gigi hitamnya terserlah kala sentil
tembakau itu digonyoh-gonyoh dengan hujung jari.
Pak Coh sedikit terperanjat apabila Junuh tercegat depan kedainya seraya memesan dua cawan kopi O. Wajahnya ceria dengan kotak rokok Salem dalam poket depan baju. Di sisinya, Harun seorang pemuda berpakaian kemas. Di sebuah kerusi panjang mengarah ke jalan besar mereka melabuhkan punggung masing-masing.
“Amboi… seronok sungguh
jumpa hang hari ni, Junuh!” tegur Pak Coh sambil meletakkan dua cawan kopi O di
depan Junuh dan Harun. “Lama tak mai, ke mana hang pi selama ni?”
“Nak
pi mana pula Pak Coh? Kan Kampung Setoi ni kampung saya. Ke mana lagi saya nak
pi!” balas Junuh bersahaja. Cawan kopi dibawa ke mulut. Air yang masih berasap
di dalamnya dihirup sopan dan berhati-hati. Harun turut menghirup kopi yang
terhidang.
“Habis
tu, lama sangat hang tak mai ke sini. Aku ingat hang dah pi luar negeri!”
seloroh Pak Coh.
“Mengarutlah
Pak Coh ni! Penoreh getah macam saya ni mana mampu nak pi luar negeri. Lainlah
kalau saya ni pegawai besar macam Leman tu!”
Pak
Coh tidak jadi meneruskan perbualan kerana Setopa, Keria dan Salleh tiba-tiba
saja masuk ke kedainya. Masing-masing memesan minuman. Sewaktu melihat Junuh,
Setopa mengajak rakan-rakannya yang lain duduk di depan Junuh.
“Mimpi
apa jumpa hang hari ni!” tegur Keria. “Lama sungguh kami tak nampak kelibat
hang. Hari ni hang kena loteri kot?”
“His,
aku tak pernah sentuh benda-benda haram tu, Keria oi!” balas Junuh kurang
senang. Seketul karipap dicapai lalu disumbatkan ke dalam mulut. “Eh, aku lupa
nak kenalkan kawan baru aku dari Sungai Petani ni!” Segera rakannya yang
bernama Harun itu diperkenalkan kepada Setopa, Keria dan Salleh. Masing-masing
berjabat salam sambil bertukar senyum.
“Habis
tu, yang hang nampak macam seronok sangat ni pasai apa?” tanya Salleh pula. “Setahu
aku, sejak Leha menikah dengan Leman pegawai tu, hang moyok saja macam ayam
berak kapoq, berkurung, bertapa sampai tak nampak muka. Tup-tup hari ni keluar
dari bertapa nampak ceria semacam pula. Itu yang kami musykil sangat ni!”
Junuh
tersengih. “Aku dah tak ingat dia lagi, Leh oi! Buat apa aku nak ingatkan Leha
tu. Bukannya ada faedah apa-apa. Lagipun, bunga bukannya sekuntum. Aku seronok
dan mai ke kedai Pak Coh hari ni sebab ada sebab yang hangpa semua patut
dengaq!” ujarnya bersahaja. Sebiji lagi karipap disuapkan ke dalam mulut.
“Bagi
taulah! Menatang apa yang kami semua patut dengaq tu!” Pak Coh yang datang
membawa minuman untuk Setopa, Keria dan Salleh tiba-tiba bertanya. Kerana amat
berminat nak ambil tahu, punggung dilabuhkan di sisi Junuh.
Junuh
tidak terus menjawab sebaliknya rokok dari dalam poket baju dikeluarkan.
Beberapa batang rokok dingin itu dihulurkan kepada Setopa, Keria dan Salleh.
Sebatang diselitkan di celah bibir, dicucuh dan disedut dengan gaya pelakon
filem. Asap berkelun-kelun dari lubang hidung, cawan kopi dicapai lalu diteguk
sekali.
“Sejak aku selalu pi Sungai Petani, aku dah
tahu apa kerjanya menantu Munah Janda tu!” ujar Junuh sejurus kemudian. “Kalau
setakat kerja pegawai macam dia, kita semuapun boleh. Tak perlu masuk
universiti atau sekolah tinggi!”
“Eh, apa yang hang cakap
ni?” Pak Coh sedikit terbeliak. Wajah Harun dijeling sekilas. “Macam mana boleh
jadi lagu tu pula?”
“Pegawai macam Leman tu tak perlu sekolah tinggi atau ada
ijazah dari mana-mana universiti, Pak Coh!” balas Junuh. “Saya ramai kawan di
Sungai Petani yang kenal dengan Leman. Harun nipun pegawai macam Leman juga.
Sebenarnya Harun mai ke sinipun kerana nak ajak kita semua jadi pegawai macam
Leman tulah. Kalau semua setuju, esokpun boleh mula kerja!”
Masing-masing
saling pandang memandang seolah-olah kurang percaya dengan cerita Junuh. Wajah
Harun di sisi Junuh direnung dalam seolah-olah meminta kepastian.
“Betul
apa yang dikatakan oleh Junuh ni!” ujar Harun. “Saya kenal baik dengan Leman
walau saya tak tau di syarikat mana dia bekerja. Kami adalah Pegawai Pemasaran.
Saya Pegawai Pemasaran barangan elektrik sementara Leman tu Pegawai Pemasaran
barangan dari Siam!” tokoknya lagi bersungguh-sungguh benar.
“Errr,
betul ka hang mai sini nak ajak kami jadi pegawai macam menantu Munah Janda
tu?” tanya Keria. “Kami ni bukannya sekolah tinggi. Setakat sijil darjah enam
ada la!”
Harun
tersengih. “Nak jadi Pegawai Pemasaran macam saya atau Leman tu, tak perlukan
kelulusan tinggi. Cukup kalau pandai baca dan tulis. Yang penting ada semangat
nak maju, ada minat, tak malu, tak segan dan berani nak pasarkan barangan
kepada pelanggan. Kita juga kena pandai bercakap supaya pelanggan jadi tertarik
dengan barangan yang kita nak jual. Kita kena pandai pujuk sampai pelanggan
jadi lemah lalu membeli barangan kita!” jelasnya panjang lebar.
Pak
Coh ingin bertanya lebih lanjut tetapi jadi terbantut kerana sebiji trak polis
tiba-tiba berhenti di depan kedainya. Dua orang anggota polis segera turun.
“Pak
cik kenal orang di dalam gambar ni!” tanya salah seorang anggota polis tersebut
sebaik sahaja tiba di depan Pak Coh. Sekeping gambar milik Leman turut
dihulurkan.
“Eh,
ini gambar Si Leman, menantu Munah Janda tu… tapi awat tok tanya tentang dia
pula?” Pak Coh sedikit gugup.
“Dia
dikehendaki polis kerana mengedar dan menjual barangan seludup tanpa cukai dari
Siam!” ujar anggota polis tersebut.
Sewaktu
trak polis itu menghala ke rumah Munah Janda, Setopa, Keria, Salleh, Junuh, Pak
Coh dan Harun saling pandang memandang. Masing-masing bagaikan tidak percaya
dengan berita yang didengar. Mereka yakin, Munah Janda pasti ketar lututnya
bila menantu kebanggaan dan kemegahannya digari dan diseret ke muka pengadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan