Selasa, 26 Disember 2023

NGOK

SMAHADZIR

 

SEBUAH negeri antah berantah, negeri yang para penghuninya sukakan hukum jahiliyah, Negeri Ngok. Mengamalkan hukum jahiliyah ini dalam semua aspek kehidupan. Terletak di sebuah mandala bawah sinar matahari. Panasnya sepanjang tahun. Hujannya sepanjang tahun. Anginnya juga sepanjang tahun, bertiup, menari-nari dan selalu menggoyang-goyangkan dedaunan di seluruh negeri. Negeri subur, rakyatnya makmur.

Angin sentiasa menerjang tembok-tembok panjang dan tebal sempadan. Pijaran matahari menerobos bumi, menyeruak ruang jagat. Tetapi udara kini kian panas, bergerak dan berputar kencang. Sebahagian beranggapan sebagai sambutan alam atas peralihan kekuasaan kerajaan.

Kisahnya bermula setelah seorang nabi wafat kemudian kepemimpinan Dinul Islam jatuh ke tangan Maharaja Ngok; pilar-pilar Dinul Islam diruntuhkannya dan dicampuradukan dengan ajaran monarki, padahal Khuza’ah berserta seluruh warganya merupakan keturunan nabi yang masih menganut agama Tuhan. Apa yang nyatanya ialah sejak kepemimpinan Maharaja Ngok ini, konstitusi, pilar-pilar dan aspek-aspek Dinul Islam dihancurkannya kemudian diganti dengan sistem pemerintahan Dinul Ngok yang berpedoman kepada ajaran monarki.

Negeri Ngok mengamalkan sistem aristokrasi, timokrasi dan oligarki  juga demokrasi. Pengertian demokrasi di negeri ini termasuk dalam demokrasi secara langsung. Rakyat boleh mengikuti semua urusan negara atau secara langsung menentukan tindakan kerajaan tetapi pada akhirnya urusan peribadi juga dimasukkan sehingga timbullah perbuatan anarkis.

Kisah panjangnya begini…

Dulu Negeri Ngok ini pemerintahannya dipegang oleh para cerdik pandai, menjalankan pemerintahan berpedoman pada keadilan. Pemerintahan aristokrasi itu tidak lagi dijalankan untuk kepentingan umum, dan tidak lagi berpedoman pada keadilan sehingga terjadilah perubahan dari aristokrasi kepada timokrasi.

Dalam timokrasi ini segala tindakan pemerintah hanya dilaksanakan untuk kepentingan pemerintah itu sendiri. Sehingga kekayaan dan pendapatan negara jatuh ke tangan hartawan dan menimbulkan milik peribadi, milik partikuler. Hingga satu ketika diwujudkan undang-undang yang menentukan bahawa yang berhak memegang pemerintahan itu hanyalah orang-orang kaya saja.

Dari timokrasi berubah pula menjadi oligarki. Dalam oligarki, yang memegang pemerintahan ialah orang-orang kaya yang mempunyai hasrat ingin menjadi lebih kaya lagi. Setelah rakyat yang sebahagian besar terdiri dari orang-orang miskin menyedari keadaannya maka mereka memberontak melawan hartawan yang memegang pemerintahan.

Setelah pemerintahan jatuh ke tangan rakyat maka yang diperhatikan adalah kepentingan rakyat itu sendiri atau kepentingan umum. Negara di mana pemerintahannya dipegang oleh rakyat dan kepentingan umum yang diutamakan dinamakan demokrasi. Tetapi pada akhirnya timbullah kemerdekaan dan kebebasan yang tidak terbatas, yang pada akhirnya orang ingin merdeka semerdeka-merdekanya, ingin bebas sebebas-bebasnya. Keadaan menjadi anarki, setiap orang dapat berbuat sesuka hatinya sendiri yang mengakibatkan suasana kacau balau.

Dalam keadaan demikian, hasrat dari penguasa adalah menjaga supaya tidak ada persaingan terhadap dirinya, lalu berlakulah tirani, amat menekan kehidupan rakyat.

Itu sejarah ringkas Negeri Ngok.

Sebelum Negeri Ngok menjadi tirani, untuk memusyawarahkan dan memutuskan segala urusan masyarakat dan negeri, didirikan sebuah Lembaga Majlis Permusyawaratan yang diberi nama Darun Ngok. Di Darun Ngok inilah terbentuknya parlimen, majlis kabinet kementerian Negeri Ngok dengan berpedoman kepada undang-undang dan hukum yang bersumber dari nenek moyang jahiliyah mereka.

Darun Ngok berfungsi sebagai tempat untuk memusyawarah, memutuskan segala urusan kenegaraan dan pemerintahan, seperti memusyawarahkan masalah ideologi, politik, undang-undang, ekonomi, sosial, budaya, agama, pendidikan, perkahwinan, kesihatan, akhlak, moral, waris, denda, kepolisan, ketenteraan, perang, ilmu pengetahuan, teknologi dan sebagainya.

          “Ada apa dengan Negeri Ngok ini?”

          “Maharaja Ngok telah mengambil-alih kekuasaan!”

          “Itu bagus!”

          “Itu tidak bagus…”

          “Kita mesti ubah kerajaan dulu,”

“Maharaja Ngok lebih baik dari pemimpin dulu,”

“Lebih baik kita kekalkan kerajaan lama,”

Pelbagai pandangan, pelbagai pendapat.

          Pasca peralihan kerusi kekuasaan, sebuah khabar panas segera beredar. Negeri ini - Negeri Ngok.

          “Ada jabatan apa di negeri ini dibuat oleh pemimpin baru - Maharaja Ngok?”

          “Banyak… ada Jabatan Ngok 1, Ngok 2, Ngok 3, Ngok 4, Ngok 5, Ngok 6…”

          “Apa tugas Jabatan Ngok 1?”

Mengurus makanan terutama jamuan bagi para orang besar yang datang dari luar negeri. Adapun biaya untuk jamuan ini dipungut setiap tahun dari segenap rakyat semua bangsa yang mendiami Negeri Ngok. Jabatan ini juga yang mengeluarkan surat kebenaran kepada perasuah, pelacur, peminum arak, penipu, pembohong dan semua penjahat melakukan perbuatan mereka. Jabatan ini diketuai oleh seseorang lelaki buta dan tidak tahu mengira wang.”

“Jabatan Ngok 2 pula?”

“Membiarkan kehormatan rakyat dicabul sesuka hati dan juga tidak mempedulikan ketenteramannya. Sesiapapun tidak dibenarkan mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan hanya boleh bercakap perkataan yang lucah-lucah sahaja terutama dalam majlis sewaktu Maharaja Ngok sedang berucap. Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut akan dipenjarakan tanpa berpeluang diadili di mahkamah. Jabatan ini juga akan bertindak membantu penjenayah jika mereka dizalimi orang awam. Setiap warga Negeri Ngok mesti menghormati para penjenayah kerana para penjenayah adalah sebahagian dari warganegara yang mendiami Negeri Ngok.”

“Ada apa lagi dengan Negeri Ngok ini?”

Tidak jelas siapa yang bertanya dan bertanya kepada siapa. Telah tersebar jutaan pamplet yang ditampal di semua rumah ibadah dan pusat kegiatan keagamaan. Tentu saja berita tersebut pada akhirnya bukan hanya tersebar melalui pamplet, melainkan juga dalam media cetak mahupun elektronik, dalam internet, facebook, twitter, instagram, ramai netizennya ramai follower-nya. Berita yang bukan lagi isu. Warta yang diberitakan oleh semua media massa seluruh pelosok Negeri Ngok. Isinya pendek, tetapi telah melahirkan sejumlah spekulasi dan pembicaraan setiap orang.

‘Dimaklumkan, bahawa maharaja baru telah memerintahkan melalui semua ketua agama dan orang-orang suci di Negeri Ngok, mulai saat ini, semua larangan serta syariat agama dicabut dan tidak diberlakukan!’

          Berita besar. Tentu saja, sebab untuk pertama kalinya hampir semua ketua agama sepakat dengan keputusan maharaja, tanpa melakukan protes atau demonstrasi besar-besaran. Tidak ada seorang pun yang berani menafikan perintah tersebut. Termasuk golongan agamawan dan spiritualis di seluruh penjuru Negeri Ngok. Hal inilah yang membuatkan semua rakyat setuju dengan perintah itu.

          “Setuju?”

          “Setujuuuuuuuuuu!”

          “Bagaimana peraturannya?”

          Semuanya kebingungan.

          “Apa tugas Jabatan Ngok 3 pula?”

“Mengurus masalah keselamatan istana Maharaja Ngok dan memegang kuncinya. Jabatan ini juga mengendalikan urusan harta yang dikumpulkan untuk kepentingan Maharaja Ngok dan konco-konconya. Orang yang mengetuai jabatan ini ialah orang yang dipandang lebih tinggi kedudukannya dan terhormat dari yang mengetuai jabatan-jabatan lainnya kerana dialah yang berkuasa untuk membuka dan mengunci istana Maharaja Ngok. Jabatan ini diketuai oleh seseorang lelaki yang berbadan besar, berwajah garang dan gemar membunuh.”

          “Jabatan Ngok 4?”

          “Mengurus masalah politik, ketatanegaraan, kedaulatan, kepemimpinan dan pemerintahan. Jabatan ini setara dengan Jabatan Undang-undang. Jabatan ini juga yang memilih, melantik seterusnya memperakui sesiapa sahaja yang telah dipilih untuk menjadi pemimpin. Selalunya pemimpin yang dilantik oleh jabatan ini adalah bekas-bekas banduan, penjenayah dan juga para pelacur yang pernah dipenjarakan. Jabatan ini diketuai oleh seseorang yang suka melanggar undang-undang.”

“Jabatan Ngok 5… apa tugasnya?”

“Sebagai pengurus tanggungan jiwa dan harta benda yakni asuransi jiwa dan harta, misalnya urusan membayar denda kerana kesalahan tidak mengambil rasuah, tidak merogol atau tidak membunuh orang. Jabatan ini diketuai oleh seseorang lelaki yang suka menipu, mantan peragut.”

          “Err, bagaimana dengan Jabatan Ngok 6?”

“Mengurus genderang perang. Jika ketua jabatan ini telah memukul genderang, maka segenap penduduk terutama kaum lelaki (warga Negeri Ngok) wajib bersiap-sedia menyiapkan perlengkapan perang. Jabatan ini juga yang mengendalikan urusan pasukan berkuda dan kenderaan lainnya untuk keperluan perang. Jabatan ini diketuai oleh seseorang pondan yang takut mendengar bunyi senapang.”

Semuanya semakin kebingungan.

           “Tenang, tenang!” Kebingungan itu tidak berlangsung lama. Seterusnya mereka melakukan sesuatu yang sebelumnya mereka anggap haram atau dilarang untuk dilakukan.

          “Galakan pelacuran dan perjudian!”

          “Benarkan rasuah dan kronisme!”

          “Relakan pesta seks dan festival arak!”

          “Setujuuuu!!!!!” Demikian jerit orang ramai yang sebelumnya telah menjadi penegak syariat agama. Mereka sangat gembira. Namun ketika para pencuri mahu melancarkan tindakan mereka, mereka gesit digulat bingung. “Siapa yang mesti jadi korban? Semuanya sudah jadi penjahat?” ujar mereka sambil menggaru-garu kepala. “Awas, jangan cuba-cuba berbuat jahat kepada penjahat!” Tegas ketua pencuri, yang sebelumnya adalah seorang spiritualis.

          “Siapa sasaran kami?” tanya sekelompok pemuda yang baru saja menukar kerjaya, dari pekerja sosial menjadi penyamun kelas atasan. Tentu saja ketua pencuri bingung. Tetapi setelah agak lama berfikir, dia pun tersenyum.

          “Sasaran kejahatan kita adalah para penjahat yang sudah sejak dulu jadi penjahat!”

          “Setujuuuuuuu…!”

          Para penjahat senior terkejut. Termasuk orang-orang yang sebelumnya tidak percaya kepada Tuhan, kini kesehariannya diselimuti oleh kebimbangan.

          “Malapetaka!”

          “Ya… inilah malapetaka!”

          “Ya Tuhan, negeri ini sudah menjadi negeri tirani… anarki… keadaan sudah kacau balau…”

          “Ya, kita perlu mencari seorang pemimpin sebenar...”

          Hanya berselang sepuluh tahun selepas itu, rumah-rumah ibadah dan pusat-pusat kegiatan keagamaan kembali didatangi dan disesaki orang. Mereka adalah orang-orang yang selama ini meremehkan, mengejek bahkan menganggap Tuhan tidak ada. Orang-orang yang selama ini melakukan kejahatan dan penyelewengan. Mungkin merasa telah direbut mata pencariannya, atau mungkin merasa terpanggil untuk menjadi orang beragama. Yang pasti, mereka memohon kepada Maharaja Ngok, untuk ditegakkan kembali syariat agama. Mereka berdoa supaya agama dan syariat segera ditegakkan semula.

          Mereka juga berdoa agar Maharaja Ngok segera digantikan oleh lelaki lain. Lelaki yang mendapat petunjuk dari langit kepada kebenaran. Mereka inginkan seorang lelaki yang usianya hampir mencapai empat puluh tahun. Warna kulitnya coklat, hidungnya mancung, dahinya lebar, bahagian tengahnya agak cembung dan indah dilihat. Gigi serinya berkilat indah. Berjanggut tebal. Pada pipinya ada tahi lalat. Wajahnya seperti bintang bercahaya. Postur tubuhnya tegap dan tergolong lelaki yang memiliki daging sedikit, tidak gemuk. Bicaranya gagap, jika ucapannya lambat, ia memukul paha kirinya dengan tangan kanan, sehingga ucapannya menjadi lancar. Lelaki yang akan memenuhi bumi dengan keadilan, anak keturunan manusia terbaik yang meninggalkan kekhalifahan kerana Allah dan belas kasih kepada umatnya. Lelaki yang hak ini akan diangkat kerana benar-benar diperlukan oleh bumi yang telah dipenuhi oleh kebobrokan, kejelekan, kezaliman dan ketidakadilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA