Khamis, 21 Disember 2023

PENJUAL DOA

SMAHADZIR

 

PAK HABIB bukan seorang pengemis. Bukan seorang peminta sedekah. Bukan juga seorang gelandangan cabuk. Pak Habib bukan meminta-minta belas kasihan orang lain. Dia berjalan dari rumah ke rumah, dari pasar ke pasar, dari pejabat ke pejabat, dari masjid ke masjid dan dari mana-mana saja yang dilihatnya ada ramai orang sembari menadahkan tangan sembari melafazkan doa: “Semoga Allah memberikan keselamatan, kebahagiaan dalam hidup juga melimpahkan rezeki dan keafiatan sepanjang hayat kamu.”

Doa seperti itu dianggapnya sebagai doa yang sempurna. Sesiapapun tentu menyukainya. Bukankah setiap orang memang ingin selalu hidup selamat, bahagia, kaya dan sihat walafiat? Kalau boleh selalu hidup selamat, bahagia, kaya dan sihat walafiat sepanjang hayat.

“Kenapa abang nak kerja sebagai Penjual Doa?” soal isterinya Mek Kiyah, suatu malam, sewaktu mereka baru berkahwin dulu.

“Doa kepada Allah akan membuka pintu rezeki, selain mendekatkan kita kepada-Nya,” jawab Pak Habib tenang. “Kepentingan doa supaya kita dapat mendidik jiwa kita untuk sentiasa mengingati Dia. Allah suka kepada sesiapa saja hamba-Nya yang memohon kepada-Nya untuk sentiasa merasa rendah diri dan hanya kepada-Nya sahaja kita boleh meminta.”

“Kenapa perlu berdoa untuk orang lain pula?” soal Mek Kiyah lagi.

“Doa juga untuk membina hubungan dan pengikat tali persaudaraan sesama Islam,” jawab Pak Habib. “Sabda Rasulullah dalam hadis Bukhari: ‘Doa seseorang Mukmin terhadap saudaranya pasti diperkenankan oleh Allah.’”

Mek Kiyah mengangguk-angguk mendengar penjelasan suaminya.

“Allah sebut betapa manusia yang tidak mahu meminta kepada-Nya adalah manusia sombong yang bakal dihumban ke neraka dalam keadaan hina. Jadi, Allah menyuruh hamba-Nya meminta kepada-Nya dan mengingati-Nya. Memperbanyakkan berdoa dan meminta kerana Allah mempunyai sifat Ar-Rahman yang pemurah lagi maha pemberi,” kata Pak Habib lagi.

Begitulah Pak Habib, lelaki tua bertubuh kurus, berjubah lusuh compang-camping dan berketayap buruk, yang merasa seperti tidak punya nama, kecuali sebutan sebagai ‘Penjual Doa’ oleh masyarakat sekitar yang sering melihatnya mundar-mandir itu. Setiap hari Pak Habib akan berjalan sekitar kampung dan pekan, mendatangi rumah-rumah, kedai-kedai, pejabat-pejabat, pasar-pasar, masjid-masjid, surau-surau dan di mana-mana sahaja sembari menadahkan tangan sambil melafazkan doa: “Semoga Allah memberikan keselamatan, kebahagiaan dalam hidup juga melimpahkan rezeki dan keafiatan sepanjang hayat kamu.”

Sepanjang kehidupannya bekerja sebagai seorang penjual doa, Pak Habib tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada Allah. Masuk saja waktu solat, dia akan singgah di mana-mana surau, madrasah atau masjid untuk bersolat jemaah bersama para jemaah yang lain. Walaupun jubah yang dipakainya sudah lusuh dan bertampal sana sini tetapi jubah tersebut bersih dari sebarang najis. Pak Habib amat mengambil berat soal kebersihan dan kesucian pakaiannya terutama ketika hendak solat. Dia tidak mahu solatnya tidak diterima Allah kerana berpakaian kotor.

Pak Habib tinggal di sebuah rumah kayu kecil. Semua jiran tidak peduli, meskipun tahu, apakah dia layak disebut pengemis atau lebih wajar disebut sebagai penjual doa. Di kampungnya itu, dia hidup dengan tenang, berjiran dengan tenang, bahkan menjadi ketua keluarga dengan seorang isteri yang mandul iaitu Mek Kiyah. Mek Kiyah disuruh selalu berada di rumah, memasak dan melakukan tugas-tugas rumahtangga yang lain.

Begitulah Pak Habib, setiap pagi meninggalkan rumahnya menuju rumah-rumah masyarakat kampung yang lain, kedai-kedai, pejabat-pejabat, pasar-pasar, masjid-masjid, surau-surau dan ke mana-mana sahaja, berjalan kaki, dengan pakaian kumal yang hanya diganti setahun sekali, tetapi selalu dicucinya setiap petang ketika pulang ke rumahnya.

Dengan menjadi seorang penjual doa yang selalu berdoa selepas atau sebelum menerima wang dari orang ramai yang bersedia memberinya wang dengan atau tanpa keikhlasan, dia merasa tetap dihormati dan disanjung tinggi. Itulah sebabnya, sejak pekerjaan itu dilakukan ketika umurnya 20 tahun, sehingga berumur 58 tahun sekarang ini, tidak pernah dia merasa malu disebut sebagai penjual doa.

Baginya, sebutan itu tidaklah penting, dan hanya sekadar sebutan saja. Di rumah, juga di kampungnya, sebutan itu tidak bernilai baginya, kerana dia memang tidak pernah meminta-minta dengan atau tanpa berdoa di kampungnya sendiri, atau di hadapan jiran tetanggnya sendiri.

Bahkan, kerana pendapatannya yang agak besar juga itu, setiap hari dia pulang membawa buah tangan untuk disedekahkan kepada jiran-jiran terdekat. Buah tangan itu walaupun cuma berupa buah nanas, kacang panjang, sayur bayam, buah kedondong, belimbing buluh, pucuk paku maidin, rebung, pucuk meranti, cendawan sisir dan sebagainya yang dibelinya di pasar tetapi sudah cukup untuk membuatkan jiran-jiran dekatnya merasa seronok menerimanya.

Lebih-lebih lagi ramai jirannya yang hidup miskin, jarang sekali mampu membahagi-bahagikan buah tangan seperti itu lalu mereka tidak perlu lagi membeli buah dan sayur sendiri.

 

* * *

 

Pak Habib tersenyum girang, malam itu dia mengajak Mek Kiyah membuka tabungan. Sebatang buluh panjang dan besar yang ruasnya ditebuk sebanyak lima ruas. Batang buluh yang dijadikan tabung itu dipakukan ke tiang seri rumahnya.  Ketika dipecahkan dan dilihat, ternyata sudah penuh berisi wang. Ada wang syiling, ada wang kertas dua ringgit, ada wang kertas lima ringgit, sepuluh ringgit, dua puluh ringgit juga lima puluh ringgit. Setiap kali pulang pada petang hari, memang dia selalu memasukkan sebahagian wang dari pendapatannya sebagai penjual doa. Baginya, amalan menabung amat baik, boleh membantu jika berlaku sesuatu kesusahan yang tidak diingini.

“Kamu kira semua wang itu!” arah Pak Habib kepada isterinya.

Sambil tersenyum-senyum, Mek Kiyah segera mengira wang di dalam tabung buluh tersebut. Bau hapak wang kertas akibat kelembaban itu agak menyengat lubang hidung, setiap kali sehelai demi sehelai wang kertas itu diluruskan dan dihitung isterinya.

Pak Habib sengaja tidak mahu membantu Mek Kiyah mengira wang itu. Selain berasa malas dan letih kerana membelah tabung buluh tadi, dia merasa isterinyalah yang wajib mengiranya. Pak Habib, sejak menikah, selalu berpedoman bahawa sebagai seorang suami wajib mencari nafkah untuk keluarga, dan jika memperolehi wang maka semuanya harus diserahkan kepada isteri. Dan wang yang ditabung di dalam batang buluh besar itu, dianggap sepenuhnya milik isterinya. Terserahlah kepada Mek Kiyah mahu menggunakannya untuk apa.

“Satu ribu tujuh ratus dua belas ringgit, bang!” ujar Mek Kiyah sebaik selesai mengira tabungan itu.

Pak Habib begitu gembira mendengar laporan isterinya, tetapi agak termangu-mangu.

“Kita nak buat apa dengan wang sebanyak ini, bang?” tanya Mek Kiyah seraya biji mata terkesip-kesip.

“Terserahlah pada kamu! Semua itu wang kamu!” ujar Pak Habib ikhlas.

“Wang kita, bang!” tekan Mek Kiyah.

“Terserahlah apa kata kamu!” nada suara Pak Habib bersahaja.

Hening sejenak.

“Apakah abang tak ada keinginan nak menikah lagi?” soal Mek Kiyah setagal kemudian.

“Hah?!” Pak Habib agak terkejut mendengar kata-kata Mek Kiyah.

“Kalau abang nak menikah lagi, Kiyah tak keberatan!” ujar Mek Kiyah.

“Untuk apa menikah lagi?” soal Pak Habib.

“Err.. untuk mendapatkan zuriat! Kiyah kan mandul, bang!” jawab Mek Kiyah, polos.

“Tetapi aku hanya penjual doa! Rasanya tak layak bagiku ada dua orang isteri! Lagipun, aku sudah tua, tak mungkin ada perempuan yang sudi menjadi isteri kedua aku!” balas Pak Habib yakin.

“Jangan terlalu rendah diri, bang! Kalau abang nak menikah lagi, ada perempuan yang bersedia jadi isteri kedua abang!” ujar Mek Kiyah.

“Jangan cuba nak menggoda aku, Kiyah!” Pak Habib mendengus panjang.

“Kiyah tak menggoda, bang! Percayalah, ada perempuan berusia empat puluh dua tahun yang pernah kata mahu jadi madu Kiyah!”

“Siapa dia?” Pak Habib sungguh-sungguh ingin tahu.

“Temiyah!” Mek Kiyah bersahaja.

“Temiyah mana?” mata Pak Habib terkesip-kesip.

“Temiyah, anak Pak Seman belakang surau!”

“Ja… ja.. ngan siram minyak dalam dada aku, Kiyah!” suara Pak Habib mulai tergagap-gagap.

“Percayalah, bang! Kalau abang nak menikah dengan Temiyah, boleh abang lakukan hari ni juga!” suara Mek Kiyah bernada ikhlas.

Lalu Pak Habib pun menikah dengan Temiyah.

 

* * *

 

Sejak mempunyai dua orang isteri, Pak Habib merasa sia-sia melafazkan doa sambil menadahkan tangan di hadapan rumah-rumah, kedai-kedai, pejabat-pejabat, pasar-pasar, masjid-masjid, surau-surau dan di mana-mana sahaja. Ramai orang yang tidak peduli dan tidak mahu lagi memberinya wang sedekah.

Bahkan, tengah hari itu, ketika dia berdiri di hadapan sebuah rumah sambil menadah tangan dan melafazkan doa, tuan rumah mendadak membentaknya dengan wajah marah: “Aku tak perlu doa kamu lagi! Sebaiknya berdoalah di rumah kamu sendiri, untuk diri kamu sendiri! Dan jangan sekali-sekali kamu datang ke sini lagi! Aku tak mahu lagi mendengar doa kamu!”

Pak Habib rasa ingin menangis. Tetapi dia memilih bergegas melangkah menuju rumah yang lain. Dan ternyata, dia kembali dibentak-bentak oleh tuan rumah: “Jangan datang ke sini lagi! Aku tak perlu doa kamu lagi!”

Pak Habib tidak mampu membendung air matanya lagi. Sambil bercucuran membasahi pipi, dia melangkah lagi menuju ke rumah yang lain pula. Dan lagi dia dibentak oleh tuan rumah: “Aku tak perlu doa kamu lagi! Aku tak ada wang lagi untuk kamu!”

Begitulah Pak Habib, sepanjang hari menadahkan tangan dan melafazkan doa, tetapi tidak seorangpun yang bersedia memberinya wang. Sehingga petang tiba. Dia merasa amat letih dan sudah ketikanya untuk pulang. Dianggapnya hari itu sebagai hari yang paling malang baginya.

Dan Pak Habib menduga, betapa orang ramai tidak sudi lagi mendengar doanya dan memberinya wang sedekah mungkin kerana mereka memang tidak lagi perlu didoakan oleh orang lain.

Dan ketika Pak Habib tiba di rumah, Mek Kiyah dan Temiyah menyambutnya dengan senyuman manis, kerana kedua-duanya berharap akan segera mengira wang yang dibawa pulang.

“Hari ini aku tidak memperolehi wang!” ujar Pak Habib agak lesu, sambil bergegas ke bilik mandi.

Kedua-dua isterinya terpana. Sambil berpandangan sesama sendiri. Tidak percaya. Sama-sama mulai berasa curiga.

“Apakah mungkin kita sudah dikhianati?” tanya Mek Kiyah kepada Temiyah.

“Apakah mungkin sudah ada wanita ketiga?” Temiyah balik bertanya.

“Kita harus siasat!” ujar Mek Kiyah.

“Bagaimana caranya?” tanya Temiyah.

“Besok kita intip! Tak sukar mengintip seorang penjual doa!” kata Mek Kiyah.

Temiyah setuju.

Dan esoknya, Mek Kiyah dan Temiyah segera mengekori Pak Habib dari belakang. Dan Pak Habib, seperti biasa, tidak pernah menoleh ke belakang. Dan seperti biasanya juga, dia berjalan dari rumah ke rumah, dari kedai ke kedai, dari pejabat ke pejabat, dari pasar ke pasar, menadahkan tangan dan melafazkan doa. Tetapi Pak Habib hanya menerima bentakan-bentakan.

“Jangan berdoa di sini! Aku tak perlu doa kamu lagi!”

“Jangan datang ke sini lagi! Ini pejabat kerajaan! Semua orang di pejabat ini tak memerlukan doa kamu lagi!”

“Cepat pergi! Dan jangan datang lagi!”

Kedua-dua isterinya, yang mengintip dari belakang, terus menangis melihat suami mereka dibentak-bentak. Kedua-duanya lalu bergegas pulang.

“Mungkinkah kerana menikahiku, doanya ditolak oleh semua orang?” Temiyah mulai resah.

“Mungkin juga!” Mek Kiyah juga mulai risau.

“Aku akan minta cerai saja!” ujar Temiyah.

“Jangan putus asa! Bersabarlah! Mungkin Tuhan sedang menduga kita!” Mek Kiyah cuba menenangkan keadaan.

Dan petangnya, ketika Pak Habib pulang, kedua-dua isterinya menyambutnya dengan senyuman manis. Dia diam saja dan bergegas masuk ke bilik mandi. Dan sebaik selesai mandi, kedua-dua isterinya segera mengajaknya berbincang.

“Abang harus berehat! Sudah tiba masanya untuk pencen! Kami berdua, mulai besok, akan bekerja mencari wang!” ujar Mek Kiyah.

“Kamu mahu bekerja di mana?” soal Pak Habib seraya mengerutkan keningnya.

“Kami akan cuba menjual doa, seperti yang selama ini abang lakukan!” tegas Mek Kiyah.

Pak Habib pasrah saja. Dia memang sudah tua. Dan esoknya kedua-dua isterinya cuba menjual doa, ternyata petangnya mereka pulang dengan membawa banyak wang.

Hari-hari berikutnya, kedua-dua isterinya rajin menjual doa. Beberapa bulan selepas itu Temiyah hamil, kemudian melahirkan seorang anak lelaki. Dan anak lelaki itu diajak bekerja sebagai penjual doa. Pendapatan mereka jadi berlipat ganda. Mereka yakin bahawa di dunia ini masih ramai orang yang memerlukan doa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA