Selasa, 26 Disember 2023

AYU MEMANG AYU

SMAHADZIR

 

AYU memang ayu. Fatah Amin, Fazura - kisah Cinderalela yang difitnah ibu tiri, Nelofa - pengacara genit Melodi di TV3 bersama pelawak Nabil, Maria Mercedes, Maria - cinta yang hilang, Marimar, semua dia ikuti. Semua dia suka. Juga si manis Jambatan Ancol, janda kembang, bahkan Wiro Sableng. Siapa lagi ya? Ha... Shah Rukh Khan, Amir Khan, Pretty Zinta, Kajol dan ramai lagi. Lagi? Aktor dan aktress Indonesia melalui drama nusantara Astro. Lagi? Aktor dan aktress telenovela - Pobre Diable, Angie Capeda, Salvador Del Solar dan Arnoldo Andre. Ayu hafal - Rebeca kecewa dan tidak mahu menerima penjelasan Andres dan ini menyebabkan lelaki itu menyatakan bahawa dia mencintai Fiorella. Rebeca sakit hati dan membenci Fiorella kerana menganggap wanita itu perampas hak miliknya. Pinchon pula marah sebab Paula dan Joaquin akan berpindah dan dia mahu memberitahunya kepada Andres. Sebenarnya, banyak lagi yang Ayu ingat, hafal dalam kepalanya.

          Ayu memang mempersonakan. Genit. Dia memang ayu. Rambutnya lurus sepunggung. Panjang, gaya rambutnya Paramitha Rusady. Kulitnya bersih hitam manis. Bentuk wajahnya tidak lonjong seperti Erra Fazira, Fauziah Latiff atau Maudy Kusnadi, tapi bulat seiras Siti Norhaliza atau Desy Ratnasari. Cuma nasibnya berbeza. Ayu tidak secantik Amira Rosli, Aishwarya Rai, Priyanka Chopra, Deepika Padukone, Paramitha Rusady, Desy Ratnasari atau Maudy Kusnadi. Juga tentu tidak terkenal dan tidak juga kaya.

Bentuk matanya? Mirip mata Nike Ardila. Sayu. Tapi, Ayu tidak bernasib malang seperti penyanyi genit Indonesia itu yang meninggal dunia pada usia sangat muda. Buktinya? Sampai kini Ayu masih hidup. Segar bugar, tidak pernah mengidap penyakit serius, tidak pernah sakit, tidak pernah berjaga semalam suntuk untuk berdansa-dansi di kelab malam.

Tapi sayang, Ayu hanya seorang pembantu rumah. Pendidikan formal hanya sampai PMR. Lahir dan besar di kampung kecil di Utara Kedah. Anak kedua dari enam bersaudara, dari keluarga petani. Dan, hobinya itu tadi: menonton drama masyarakat ‘samarinda’ di TV3.

Nampaknya Ghazali salah pilih, begitu fikir isterinya. Tapi bagi Ghazali sendiri itu adalah pilihan yang tepat. Cari pembantu rumah pada masa sekarang tidak mudah. Ayu tidak cerewet, masakannya sedap, soal cuci baju dan seterika beres, meski sering ditunda-tunda lantaran dia lebih mementingkan menonton televisyen atau drama berbanding menyelesaikan pekerjaannya, tapi akhirnya beres juga. Bersih rumah juga langsai. Lantai merelit dan harum. Kaca jendela bersih dari debu.

“Tapi bang, Ayu tu cantik. Terliur juga kalau salah-salah pandang. Saya bimbang, jangan-jangan abang dah terpikat pada dia,” protes isterinya pada suatu malam.

          Ghazali hanya tersenyum kala itu. Dalam hati dia berkata, memang itulah yang kusuka. Itulah pembantu rumah idamanku. Yang memang aku cari-cari selama ini. Boleh buat sumber hiburan kala fikiran sedang rusuh oleh tugas pejabat yang membeban. Buat dipandang-pandang okeylah.

          Suatu hari bulan Julai, Ayu membaca akhbar Harian Metro, terbitan Berita Harian Sdn Bhd - dia paling suka baca akhbar itu, lantaran banyak maklumat tentang pelbagai kejadian pelek. Ketika itu isteri Ghazali, Puan Laila tiada di rumah, Ghazali pula sedang bekerja di pejabat, si kecil Hana dan Epit sedang tidur. Ayu tertarik pada satu maklumat di dalam akhbar tersebut. Dia segera mencari sebatang pen dan secarik kertas, lalu mencatat.

Pada hari berikutnya, setelah dia menerima gaji yang tidak seberapa besar, Ayu pergi ke kedai gambar di hujung taman perumahan. Puan Laila kehairanan kerana cara berpakaian Ayu begitu cantik sekali. Bergincu, berbedak dan wanginya semerbak mengharum. Takkan nak pergi ke kedai hujung sana pun pakai macam tu? Mengalahkan artis nak buat pertunjukkan pentas!

Ghazali terlalu sibuk dengan pekerjaannya. Puan Laila pula sering merungut lantaran gelagat Ayu yang semakin berubah. Jika ditanya, Ayu hanya menjawab: “Niaga sambilan! Cari wang lebih!”

Niaga?

“Ayu, kerja kamu dah selesai?” tanya Puan Laila yang kini sudah berusia 44 tahun.

“Sudah, puan!” Ayu mengangguk.

“Cuci pakaian?”

“Sudah semuanya. Seterika juga sudah. Masak sudah,” jawab Ayu.

“Habis kamu mahu ke mana tu?” soal Puan Laila.

“Niaga,” jawab Ayu tanpa sebarang ekspresi.

“Niaga apa, Yu?” Puan Laila gesit melotot hairan. “Kamu di sini digaji sebagai pembantu rumah. Nak berniaga buat apa lagi? Niaga apa sebenarnya kamu ni, Yu?” tambah wanita sedikit temban itu lagi.

“Laa, yang penting kerja saya kan dah selesai. Hanya sebentar saja, puan! Jam lima nanti saya sudah sampai di rumah!” ujar Ayu.

“Saya tak kisah. Tapi kalau ada apa-apa risiko, kamu tanggung sendiri.”

“Ini niaga barangan halal, puan!”

Puan Laila tidak berkata apa-apa lagi.

Itulah mulanya. Dalam seminggu Ayu pergi ‘niaga’ tiga empat kali. Puan Laila kian kesal. Tapi Ayu tetap bersahaja. Hairannya lagi Ayu sering dapat telefon dari seseorang yang mengaku bernama Azam. Wah, Ayu bercinta dengan Azam mungkin. Ini berbahaya, fikir Puan Laila. Kalau terjadi sesuatu, misalnya hamil, aku akan dipersalahkan oleh keluarganya.

Hingga pada suatu ketika... terjadilah sebuah kejutan.

 

* * *

 

Jam dinding menunjukkan pukul tujuh lebih tiga puluh minit. Ghazali dan isterinya duduk-duduk santai di ruang tengah sambil membaca majalah. Hana dan Epit sedang bermain kereta mainan di lantai. Di layar televisyen Norazlina Redzuan, gadis penyiar TV3 itu, selesai membacakan pelbagai berita dalam Buletin Utama. Dan, Ayu duduk di lantai, dekat anak-anak majikannya, sambil menantikan slot Akasia - sebuah drama baru yang akan ditayangkan oleh TV3.

Lagu sound track mengalun. Di layar televisyen muncul judul drama: Setia Ke Hujung Nyawa. Paduan animasi pengantar awal sebuah drama. Bintang-bintang utama tampil, satu-satu - Amar Asyraf, Nelydia Senrose, Ryzal Jaafar, Talha Harith, Raja Ema, Zila Bakarin. Lalu sekilas pelakon pembantu. Ayu berpeluh muka, walau ruang itu dingin oleh pendingin udara. Sekilas wajahnya tampil. Hatinya berbunga-bunga. Senang, gembira, bangga, dan sebagainya. Ghazali dan Puan Laila tidak mempedulikannya.

Episod pertama dimulai. Ghazali dan Puan Laila meletakkan majalah di tangan masing-masing. Mereka mengalihkan perhatian ke televisyen, meski masih setengah-setengah.

Sebuah adegan: di sebuah rumah mewah seorang lelaki berusia 40 tahun duduk di kerusi. Seorang pembantu warga Indonesia dengan genit memicit-micit bahu dan lengan lelaki itu.

“Neng, picit ini! Bahu ni! Nah, begitu,” kata lelaki itu.

“Saya ini pembantu serba boleh, lo! Mampu memasak juga mampu mengurut. Mahu dipicit yang mana, dong? Jempolnya atau kelingkingnya? Picit halus mampu, picit kasar mampu, picit semua tempat juga mampu,” ujar pembantu rumah yang dilakonkan oleh Ayu itu.

“Ayu!” seru Ghazali dan Puan Laila sambil terpana. “Itu kamu, ya?”

“Iya,” jawab Ayu tersipu-sipu.

“Kamu berlakon drama ya?” Puan Laila hampir tidak percaya.

“Iya, puan! Untuk tambah pendapatan,” jawab Ayu.

“Jadi itu yang kamu katakan niaga itu?” ujar Puan Laila.

“Ya, puan!”

Astagfirullah’azim, Ayu,” Ghazali menggeleng-geleng. “Saya tak sangka kamu boleh berlakon. Sejak bila?”

“Baru lagi, encik!”

Mereka pun lalu menyaksikan drama di televisyen itu dengan penuh perhatian, sambil sesekali berkomentar pendek tentang lakonan Ayu. Tentu berbagai macam perasaan berbaur di hati Ayu, Ghazali, dan Puan Laila. Sampai akhirnya episod pertama selesai. Program di televisyen berganti dengan Nighline.

“Luar biasa. Tidak sangka kamu pandai berlakon. Macam mana mulanya, Yu?” tanya Ghazali masih dengan kehairanannya.

“Saya kirim permohonan lengkap dengan gambar. Itu, yang di akhbar Harian Metro tu: diperlukan beberapa gadis untuk drama. Tidak tahunya saya dipanggil. Lalu diuji bakat. Saya diterima jadi pelakon. Peranan pembantu rumah yang genit dan miang,” jelas Ayu bangga. “Kata pengarahnya, saya sesuai pegang peranan itu.”

Ghazali dan Puan Laila geleng-geleng kepala.

“Hari ini saya nak beritahu Encik Ghazali dan Puan Laila. Kerana saya asyik sibuk shooting, maka dengan terpaksa saya mahu mengundurkan diri sebagai pembantu di sini. Saya nak jadi pembantu rumah dalam drama saja,” ungkap Ayu.

Ghazali dan Puan Laila berpandangan sesama sendiri.

“Maafkan saya, saya yakin nasib saya akan berubah. Mulai besok saya akan pindah dari sini. Saya akan tinggal bersama beberapa orang rakan saya yang lain.”

“Ayu... Ayu, nasib kamu memang akan berubah,” ujar Ghazali. “Kamu cantik, manis, kulit kamu bersih, rambut kamu panjang, wajah kamu bulat....”

“Hai, lebih-lebih pula dia,” cantas Puan Laila bagaikan kurang senang.

 “Cemburu ke?” Ghazali tersengih.

“Tentulah!” si isteri mencemek.

“Dengar dulu, ini mungkin untuk yang terakhir saya menasihati Ayu,” kata Ghazali. Lalu dia pun meneruskan, “Tubuh kamu tinggi semampai. Kamu memang tidak layak jadi pembantu rumah. Kamu lebih layak jadi artis. Watak tidak jadi soal. Lama-lama kamu mampu jadi pelakon utama. Kami doakan, semoga kamu jadi artis terkenal suatu hari kelak. Tapi jangan lupa sama kami di sini. Sering-seringlah datang ke mari. Anggaplah ini rumah kamu juga.”

“Apa? Kalau sudah terkenal, tak payahlah kamu ke mari sini lagi, Yu!” tegas Puan Laila.

“Lagi-lagi cemburu,” balas Ghazali. “Oh, iya, Yu, saya boleh datang ke tempat kamu, kan?”

“Makin miang, ya abang ni!!” Puan Laila kian jengkel.

Ayu pun mulai berlakon. Dia berdiri dan menghampiri Ghazali. Dengan genit dia memicit-micit bahu Ghazali sambil berkata, “Saya pembantu yang serba boleh, lo! Bisa masak, bisa micit. Tuan kepingin saya picit apa ya? Jempol atau kelingkingnya?”

“Ayu!” bentak Puan Laila gerah. Dengan jengkel dia mencubit lengan Ayu. Ghazali tertawa terbahak-bahak.

Ya, pembantu rumah idamanku harus pergi dari rumah ini. Ah, Ayu memang ayu, bisik Ghazali dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA