Ahad, 31 Disember 2023

DIRGAHAYU SMSAH: 60 TAHUN MENJULANG JAYA

  

1963 sejarah tercatat

sekolah ternama, gapura ilmu berjasa

katalis kejayaan, penjulang mertabat bangsa

Jenan daerah ladang getah

bangga permata berharga

kilau menyilau bercahaya

kini gemilang kemerlap membuana

kebun-kebun menghijau melaut bahagia

menggerbak makmur serata mandala

kami anak-anak didikmu

menyusun rasa menganyam kelarai bangga

di mana-mana tersergam kegemilangan

menyarati astaka kemegahan

berkat didikan berarah jitu 

 

SMSAH adalah segunung mutiara

meski 60 tahun usia

harganya tetap sekoyan kencana

megah berdiri membuah ekonomi anak-anak didik

jamung-jamung penyuluh jiwa pencinta ilmu 

warga riang mengutip ranggi-ranggi kejayaan

di tengah meriah semarak kehijauan muhibah warga

dengan puspa berwarna-warni

mesra semilir laksana taman syurgawi 

 

SMSAH adalah bentala berbudi yang tulus berbakti 

inilah gapura ilmu nilainya zamrud permata

untuk kemakmuran seluruh anak negeri

60 tahun mengharung pelbagai prahara

terus gemilang menabur budi cemerlang

-        dulu SMSAH bak gadis tempawan menyerlah senyuman

-        bak panglima gagah mengharung perjuangan

-        kini SMSAH adalah astaka jaya terbina dari darah pejuang

-        cagun terbilang dari keringat pahlawan

anak watan seantero dunia menjulang kemegahan

gemilang namamu tertulis dengan tinta kencana

agung jasamu pada bentala nusa

kami dan warga Malaysia


SMSAH adalah permata jauhari

bak air ma'al hayati

berlangkas sudah sejak bahari

suci ikhlas murni berbudi

membawa anak-anak didik ke mercu tertinggi

meredah rangkasa menjangkau realiti

ke seluruh pelosok bumi

SMSAH - Belajar dan Berbakti

 

SMAHADZIR

Banting, Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA