SMAHADZIR
SEHELAI daun kemboja lepas dari tangkainya, melayang dibawa angin, lalu jatuh di pangkuan Pak Said. Lelaki tua yang bersimpuh di sisi sebuah batu nisan itu gesit memungutnya, kemudian memasukkan daun tersebut ke tempat sampah di sisinya. Selepas itu, Pak Said kembali meneruskan tugasannya. Menggerakkan tangannya yang keriput, menggosok nisan batu marmar di hadapannya, membersihkan debu dan segala noda yang menebal di permukaan nisan. Selesai membersihkan satu nisan, dia berpindah ke nisan lainnya pula.
Tidak pernah dia pilih kasih. Sama ada nisan
itu hanya berupa selonggok tanah hitam dengan sebongkah batu sungai tertancap
di hujungnya, atau sudah diperindahkan dengan batu marmar, pualam dan seramik.
Dia akan menjaga dan membersihkannya hingga benar-benar kelihatan berkilat.
Setiap hari Pak Said melakukan pekerjaannya itu dengan hati yang ikhlas.
Tetapi, sudah berapa lamakah dia menghabiskan
waktu dan usianya untuk tugas rutin itu? Awalnya, Pak Said hanya membantu
rakannya. Namun, sejak rakannya itu meninggal dunia dua puluh tahun yang silam,
dia yang hidup sebatang kara, tanpa seorang pun anak di sisinya, menjalani
rutin itu sendirian. Rumahnya juga terletak hampir di hadapan lokasi kubur,
membuatnya dengan mudah meluangkan waktu, bila-bila saja dia mahu melaksanakan
tugas rutin itu.
Setiap hari. Ya, setiap hari!
Sejak kedua-dua pipinya masih mekar dan
tegang. Sejak kedua-dua biji matanya selalu membuatkan hati Mak Besah
isterinya, terpesona. Hingga kini! Tanpa dia sedari, mulai bila dan bagaimana
prosesnya, pipi dan seluruh kulit tubuhnya telah mengeriput, membentuk lipatan
seperti kertas kusut. Satu persatu gigi putihnya - yang menurut pujian
almarhumah isterinya bak biji mentimun - mulai keropos dan ompong. Juga rambut
ikalnya yang hitam dan lebat kini berubah warna keperak-perakan.
Tidak hanya itu. Kawasan kubur yang dulu
lengang dan lapang, kini sudah semakin sesak, berhimpitan seperti komplek
perumahan. Entah berapa puluh orang yang saban hari datang ke kubur untuk
berziarah dengan pakaian yang bagus-bagus sambil memandu kereta mewah, dengan
motor atau berjalan kaki saja. Malah ada yang datang setelah dibungkus oleh
kain kafan, datang untuk tinggal selama-lamanya di tanah perkuburan itu.
“Oh! Sudah berapa banyak hari telah aku
habiskan untuk menjaga dan membersihkan kubur-kubur ini?”
Pak Said menerawang ke langit senja. Dia
beringsut sambil membetulkan pakaian ‘kebesarannya’: seluar hitam kusam panjang
dan baju lengan panjang yang selalu digulung sampai ke siku.
Tiba-tiba dia tersenyum sendiri.
Setiap hari, dia selalu membuatkan batu-batu
nisan di seluruh kawasan kubur itu berkilau, bersih dari debu dan noda. Tetapi,
setiap hari pula, pakaian yang selalu dipakai dan dimilikinya adalah pakaian
kusam, tanpa kilau cahaya, tetap bersih dari debu dan noda.
“Biarkan saja! Bukankah pakaian kusam tidak
menunjukkan bahawa jiwa pemakainya juga kusam? Bukankah begitu, ya Tuhan?”
Pak Said selalu mententeramkan hati, bertanya
tentang segala hal kepada-Nya, setiap kali sujud tahajud pada malam-malam
heningnya, bertemankan kerlip cahaya lampu minyak di sudut ruang tidurnya.
Buat Pak Said, hidup adalah sebatas melewati
hari demi hari, merunduk ke bumi. Menciumi bau tanah yang bakal menguburkan
jasadnya sambil memperlebarkan titian siratholmustaqim
agar dia mampu dengan mudah bertemu dengan-Nya.
Kerana itu, Pak Said tidak pernah membiarkan
mimpi dan khayalan merajah fikirannya. Dia jalani hidup apa adanya dengan
seteko air di atas dapur minyak satu-satunya yang dia miliki. Dia hirup dengan
nikmat secangkir teh atau kopi hangat setiap pagi dan petang, di anjung
rumahnya yang bersih. Dia lahap kelazatan sebungkus nasi yang selalu dibelinya
di warung hujung jalan dekat kawasan kubur.
Lelaki tua itu tidak pernah mengeluh. Berapa
pun rezeki yang menghampiri: selembar, tiga lembar, atau empat lembar wang
kertas yang diberikan
oleh pengunjung kubur, dia terima dengan senang hati. Yang penting, selalu ada seteko air di atas dapur
minyaknya yang menyala. Selalu ada secangkir teh atau kopi hangat pada pagi dan
petang, juga sebungkus nasi agar perutnya tidak merengek minta diisi.
Dan, lebih-lebih lagi, Pak Said akan
tersenyum sendiri. Senyum renta dengan gelayut kerut pada kantung mata. Dia
usap lembut nisan batu marmar yang baru saja selesai dibersihkannya. Lalu, dia
berpindah ke segunduk tanah dengan nisan berupa bulatan batu sungai yang
tertancap di kedua-dua hujungnya. Dia cabut dengan hentakan lembut beberapa
helai rumput yang mulai tumbuh, seperti mencabut pakaian kusam dari tubuhnya.
“Pakaian yang kusam memang bukan bererti
membungkus jiwa yang kusam. Pakaian yang halus, licin dan berkilau, juga tidak
selalu menunjukkan jiwa pemakainya yang bening bercahaya. Bukankah begitu, ya
Tuhan?”
Lelaki renta itu menggumam. Sendirian.
Dia mengenali lebih dari sepertiga penghuni
kubur itu semasa hidup mereka. Dia juga mengenali dan hafal dengan sikap dan
tingkah laku para pengunjung ketika mereka berada di dalam kawasan kubur. Dia
ingat, dan selalu berusaha menguburkan luka hati, setiap kali muncul bayangan
perlakuan kasar dari satu-dua orang di antara mereka.
Satu-dua orang yang mengaku dan tampil
sebagai orang berilmu atau orang terpelajar, tetapi selalu bersikap kasar dan
meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Pak Said.
Pak Said, lelaki tua penjaga kubur, sering
terpana melihat tuan-tuan dan puan-puan orang terpelajar yang senang bercekak
pinggang, memerintahnya dengan kasar, seperti para mandor di ladang getah
tempat ayahnya bekerja dulu. Hujung-hujungnya, dua atau tiga lembar wang kertas
RM1.00 saja yang dijatuhkan ke telapak tangan Pak Said.
Oh, tidak! Bukan dua atau tiga lembar wang
kertas RM1.00 itu yang membuatkan Pak Said berulang kali merinding dan
menelungkupkan wajahnya ke balutan tuala nipis di lehernya, pada malam-malam
gelap ketika dia duduk merenung sendirian di dalam kubur. Bukan juga kerana
kewujudannya sebagai makhluk-Nya telah diinjak-injak dan dilumatkan oleh sesama
manusia yang memandang hina kepada dia yang bekerja sebagai penjaga kubur di
kawasan itu menggantikan arwah rakannya.
Tidak! Hati lelaki tua itu merinding dan
bergetar hebat, kerana pada malam-malam yang gelap gelita, dia selalu mencium
aroma wangi yang menebar, dan mendengar suara zikir dari dalam kubur. Suara
dalam zikir itu seperti suara yang selalu menyapanya dengan ramah, lembut dan
hormat. Suara seorang ahli agama, seorang ustaz yang alim, terpelajar, yang
benar-benar seorang yang berilmu agama dan mengamalkan ilmunya ke jalan yang
diredhai-Nya.
Ya! Meski hanya seorang lelaki tua, duda
miskin, berpakaian kusam dan bekerja sebagai penjaga kubur, sapaan pemilik
suara dalam zikir itu telah membuatkan Pak Said merasa berharga sebagai
makhluk-Nya, merasa benar-benar sebagai seorang manusia. Bukan seekor semut
yang mampu dengan mudah dipijak bila-bila saja dan oleh sesiapa saja. Bukan
juga seekor ayam, kambing atau kerbau yang boleh dipenggal lehernya, bila-bila
saja dan oleh sesiapa saja.
“Apakah salah, jika aku tetap ingin dihargai
sebagai manusia, jasad yang mempunyai roh? Apakah salah, ya Tuhan? Jasad dan
roh ini adalah ciptaan-Mu, dan milik-Mu. Jadi, tidak seorang pun makhluk-Mu
yang lain yang berhak melecehkan, meludahi, dan melumatkan maruahku sekehendak
hati mereka. Betul tidak, ya Tuhanku?”
Pak Said kembali sujud mencium sejadah yang
juga kusam, pada malam-malam hening yang membuat gemerincing kegundahan dan
kesedihannya semakin terasa nyaring. Kegundahan dan kesedihan yang selalu ingin
segera dia buang jauh-jauh. Terbang melayang, dan ghaib ditelan ufuk. Seperti
keinginannya membuang jauh-jauah ingatan tentang percikan-percikan ludah milik
seorang kaya yang pernah meluncur ke wajahnya!
Jasad orang kaya itu, kini telah hancur lebur
dimakan belatung, kala jengking raksasa, ribuan ular berbisa, cacing tanah
gabai dan anai-anai. Juga, barangkali tulang belulangnya telah berkeping-puing,
kerana dentuman dahsyat yang sering didengar Pak Said pada malam-malam pekat
gelintin ketika dia duduk merenung sendirian di kubur. Dentuman dahsyat itu,
berasal dari sebalik batu nisan marmar berkilau yang selalu dijaga oleh Pak
Said!
* * *
Tidak seperti senja-senja kelmarin, kali ini nampak murung dan redup. Tetapi, selembar daun kemboja kembali lepas dari tangkainya, melayang lembut di udara, dan jatuh ke rambut perak di kepala Pak Said.
Harum aroma kopi masih menebar dari rongga
mulut lelaki tua itu, ketika mendesiskan suara sambil mengusap nisan marmar di
hadapannya.
“Seharusnya aku benci, marah dan dendam
kepadamu. Nasib baik, itu bukan kilau jiwa Pak Said, lelaki tua penjaga kubur
yang bersembunyi di sebalik seluar hitam panjang dan kemeja kusam ini.”
Pak Said duduk menggeromok, memungut
daun-daun kemboja yang kembali berjatuhan di pangkuannya.
“Tetapi, kenapa kamu wariskan tanah berdebu
dan berjelaga itu kepada penerusmu? Akibatnya, wajahku kembali basah oleh
luncuran-luncuran ludahnya yang busuk, siang tadi. Tetapi tenanglah, aku tetap
akan menguburkan perasaan benci, marah dan dendamku. Kepadamu, juga kepada
sesiapa pun. Kau lihat buktinya? Aku bersihkan nisanmu hingga berkilau seperti
nisan-nisan yang lain. Kulafazkan zikir dan doa keampunan ketika dari dalam
kuburmu terdengar ledakan seribu halilintar, desisan seribu ular berbisa dan
pesta pora seribu kala jengking gabai yang menyemburkan api hingga setinggi
pokok kemboja ini.”
Suara lelaki tua itu lirih, serak, hampir
berbisik, tetapi mengalir deras seperti aliran sungai pada musim tengkujuh.
Dielusnya nisan di hadapannya dengan tangannya yang semakin renta dan keriput.
Kemudian dia bangkit dan berpindah duduk dengan kaki berselonjor dan belakang
bersandar pada pokok kemboja.
Matanya terpejam.
Telah berapa hitungan harikah dia habiskan
waktu dan usianya untuk menjaga kubur, membersihkan nisan-nisan dari debu, noda
dan jelaga hingga berkilauan?
Pak Said, lelaki tua penjaga kubur itu, tidak
pernah tahu dan tidak pernah menghitung apakah jumlah hitungan hari yang dia
habiskan sendiri, telah sama dengan jumlah hitungan rambut perak di kepalanya.
Yang dia tahu, dia cuma menjalani hidup apa
adanya. Dengan seteko air di atas dapur minyak yang selalu menyala. Dengan
secangkir teh atau kopi hangat, juga dengan sebungkus nasi yang membuatkan
perut dan ususnya tidak pernah meraung minta diisi.
Pak Said menyapu pandang ke nisan-nisan yang
mengelilinginya. Semua terasa dingin dan bisu. Ceridau burung pipit dan
teriakan parau helang yang biasanya gemar melintas di sekitar kubur,
seolah-olah mati terhimpit bumi. Bahkan, dengung nyamuk pun enggan menggoda
relung telinga Pak Said.
Ada rasa nyeri yang tiba-tiba menusuk jantung
Pak Said. Ada kesedihan, kesepian, dan kehampaan yang memagut hati Pak Said,
dan kali ini tidak mampu dia buang jauh-jauh agar ghaib ditelan ufuk.
Air mata lelaki tua itu meleleh, tanpa dia
tahu untuk apa dan siapa dia harus sedih dan menangis. Apakah untuk penderitaan
panjang penghuni kubur di bawah nisan marmar itu? Atau untuk bau ludah busuk
yang entah berapa kali meluncur ke wajahnya, melumatkan harga dirinya sebagai
makhluk-Nya? Atau untuk apa?
Pak Said kembali memejamkan mata, hingga
seseorang yang entah dari mana datangnya, berpakaian putih dan memancarkan
cahaya putih berkilauan seperti cahaya lampu neon berkekuatan ribuan watt,
datang mendekatinya. Orang itu menghulurkan tangannya, menggamit tangan Pak
Said, mengganding dan membawanya pergi, dan, oh!
Lelaki tua itu merasakan dirinya melayang,
tinggi, dan tinggi. Ringan sekali. Dia bingung dan terpana ketika tangannya
mendakap dada, tetapi tidak terasa menyentuh apa pun. Cuma udara kosong. Dan,
dia semakin bingung dan terpana, di bawah sana, nampak tubuhnya duduk terkulai
berselonjor kaki dengan belakang bersandar pada pokok kemboja.
Habis, lelaki tua itu!? Siapakah lelaki tua
berseluar hitam kusam panjang dan berkemeja yang berjalan perlahan-lahan
memasuki kubur, kemudian duduk berteleku membersihkan nisan yang satu dan
berpindah ke nisan yang lain? Oh, tidak! Bukan cuma seorang lelaki tua, tetapi
dua, sepuluh. Seribu!
Seribu?
Ya, ribuan fatamorgana dari jelmaan ribuan
hari yang telah dijalani dengan ikhlas oleh Pak Said, lelaki tua penjaga kubur
yang tidak pernah menghitung hari yang dia habiskan untuk menjaga nisan-nisan
dari segala noda, debu dan jelaga, muncul satu persatu. Berjalan
perlahan-lahan, lalu duduk bersimpuh di sisi nisan yang satu ke nisan yang
lainnya.
Persis sama seperti yang dilakukan oleh Pak
Said. Menjalani hidup dengan apa adanya. Merunduk ke bumi. Menciumi bau tanah
yang bakal menguburkan jasadnya yang akan dibungkus oleh kain kafan.
Selama bertahun-tahun. Ya, selama
bertahun-tahun, sebagai lelaki tua penjaga kubur!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan