SMAHADZIR
HARIYATI tersenyum riang gembira, sudah sekian lama Effendi melihatnya seriang itu. Keriangan yang memajangkan kecantikannya yang mempesona. Sementara deru enjin perahu bermotor masih meraung-meraung membelah pesisir pantai, suara tawa Hariyati jadi tidak kedengaran sama sekali. Gerakan tubuhnya gemulai lembut seindah buih putih yang mengekor di belakang perahu. Gelak-tawa Hariyati bagai desisan merdu menciptakan sensasi teduh di sanubari Effendi.
Sejak Hariyati sering mendampinginya, Effendi
mulai mengagumi keindahan yang dimiliki pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah itu. Meski keakraban mereka sebagai sesama
mahasiswa mampu menyelimuti desakan hati Effendi yang sesungguhnya, namun
gelora meledak-ledak yang riuh bersorak telah menenggelamkan kekaguman Effendi
terhadap Hariyati kepada suatu perasaan yang lain, unik. Tanpa terasa perahu
bermotor itu mulai memasuki perairan Pulau Mabul. Pengemudinya melambatkan kelajuan
perahu.
Beberapa maklumat mengenai keindahan dan
segala kelebihan yang dimiliki Pulau Mabul melancar lepas dari bibirnya,
pekerjaan yang mungkin tiap hari dilakukannya. Pulau Mabul terletak di perairan Laut
Sulawesi berhampiran dengan sempadan Malaysia-Indonesia.
Effendi mengeluh jemu, terlalu sering ke
Pantai Mabul membuatnya sudah hafal dengan segala kalimat yang setiap kali
kedengaran sama itu. Sorot matanya tanpa kedip mengawasi gerak-geri Hariyati,
lenggang-lenggoknya indah setara biru cakerawala yang pagi itu berbinar indah
memayungi Pulau Mabul.
“Effendi, kenapa diam saja ni? Gembiralah.
Panorama laut sini begitu indah. Bagai sebuah fatamorgana. Sudah lama saya
mengimpikan datang ke sini. Menikmati salah satu kreasi indah Sang Pencipta.
Pasti panorama di dasar laut lebih indah lagi, kan?” Kagum Hariyati seraya
memegang pundak Effendi, bola matanya bersinar tenang menikmati hijaunya air
laut.
Ya, ini memang kali pertama Hariyati
mengunjungi Mabul semenjak dia belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Secara kebetulan beberapa orang rakan mahasiswa memutuskan untuk tidak ikut
kegiatan ilmiah di Pulau Mabul sehingga mereka memiliki kesempatan bercuti
bersama sekadar mengisi kekosongan hari kuliah. Dan kegembiraan yang luar biasa
terpancar di wajah Hariyati sebaik mereka memastikan bahawa Pulau Mabul menjadi
tempat mereka berdarmawisata.
Perahu
merapat ke bibir daratan, dibantunya Hariyati turun dari perahu. Namun buaian
ombak mendorong badan perahu ke arah pantai, menyeret dari pasir putih yang
nyaris dipijak. Hariyati mendengus kecil ketika kedua-dua belah hujung seluar jeans-nya terbenam dalam air laut hingga
ke betis kaki.
Refleks dia merenggut belakang Effendi untuk
menahan laju tubuhnya agar tidak tergelincir lebih dalam, segesit itu juga
Effendi merengkuh tubuh yang semampai itu. Debar jantungnya seketika berdegup
kencang tatkala mendapati gadis itu dalam pelukannya.
Sejenak mereka terdiam dan saling bertatapan
mata. Ada binar-binar menggelora yang tersorot dari bola mata Hariyati yang
mendadak longlai itu. Effendi juga merasa kakinya seperti hilang ditelan bumi.
“Hei,
ayuh cepat! Masih ada yang mahu turun ni!” Protes Haliza dari belakang
menyedarkan Effendi dari lamunan yang mulai menerbang. Didukungnya Hariyati
menuju pasir, tangan gadis itu menggantung manja di leher Effendi. Sedikit
gugup dan penuh sopan dilepaskannya dakapan tangannya.
“Terima kasih,” ujar Hariyati lembut dengan
pandangan yang penuh makna.
Effendi mengangguk dalam kerikuhan, kemudian
segera mengalihkan tatapannya ke perahu, berusaha menekan hasrat di hati yang
dia yakin telah menjadi benih-benih asmara.
“Wiihh,
seronok juga acara dukung-mendukung ni ye! Cinta sudah bersemi. Mesra sekali.
Lagipun di mana-mana yang namanya ke pantai itu tidak afdal kalau tidak ada
yang basah. Apa salahnya, kan? Sekali-sekala...” Goda Osman, lirikannya pada
Arif dalam sorot bergurau memperlihatkan bahawa dia sedang berusaha menyakat
Hariyati. Effendi pura-pura bisu.
“Aah,
tak ada apa-apalah! Kamu ni ada-ada saja!” tukas Hariyati segera memaklumi
kegelisahan yang menyergap diri Effendi.
Emilia
yang sedang membersihkan pasir di belakang betisnya mengedipkan sebelah
matanya, yang dibalas rakan-rakannya yang lain dengan dahi terangkat,
menyiratkan cerita kasih yang mereka curigai mungkin saja terukir di pesisir
Pulau Mabul.
Sinar
membahang mulai menyapa hari tatkala Effendi mendekati Hariyati yang sedang
memerhatikan gerakan cacing laut menyelusup ke dalam pasir di permukaan sisa
air surut dengan dua biji kelapa muda dalam pelukan lengannya.
“Minum
Fendi?” Disodorkannya lembut sembari ikut bongkok berhadapan.
“Terima kasih,” sedikit perhatian yang
diberikan Effendi membuatkan gadis itu mengalihkan kesibukannya sebentar.
“Saya
seronok dengan laut. Daerah saya di Kedah terletak di wilayah sawah padi
berhampiran dengan Gunung Jerai. Melihat laut bagi sebahagian dari kami
merupakan salah satu berkah. Kamu tak merasa aneh kan melihat saya terlalu
berlebihan mengagumi pantai ini?” Hariyati merasa resah melihat mata Effendi
yang kelihatan seperti janggal menatap jemarinya yang mungil bermain-main
dengan cacing laut yang putih itu.
Effendi menggeleng perlahan. “Saya juga
seronok dengan laut,”
Hariyati ketawa. “Melihat indahnya panorama
bawah laut di sini, membuatkan saya membayangkan diri menjadi ikan, cuba kamu
imaginasikan yang saya ada insang seperti mereka dan boleh bernafas di dalam
air. Akan saya letakkan tempat tidur di sana, tanpa dinding penghalang agar
saya boleh menikmati keajaiban laut sepuas-puasnya. Betapa indahnya jika hidup
saya dikelilingi kehidupan yang serba warna-warni itu, seperti di negeri
dongeng,” tokoknya lagi sembari menerawang.
Effendi menggeleng-geleng geli. “Ada-ada saja
kamu ni, Hariyati!”
“Saya
serius. Bahkan keindahan laut seringkali tervisualisasikan dalam mimpi bahawa
saya akan tertidur lelap di sana,” mimik muka Hariyati sungguh-sungguh.
Beberapa ketika kemudian, kedua-duanya
berdampingan menyusuri pasir putih Pulau Mabul yang membujur gagah di pelupuk
tanah milik Sabah. Juraian rambut hitam Hariyati menggerbang diterpa angin,
mengejek mentari yang bersinar garang sedang mengusir pagi dengan teriknya.
Effendi kembali membatin, ragu dan bimbang menyayat-nyayat hati. Kepulan asmara
berbalut selimut cinta dirasakannya kian genit merobek-robek lembaran hatinya.
Namun dia tidak berdaya, apalah ertinya
keagungan cinta tanpa kata dan ekspresi? Effendi risau berada dalam jurang
perbezaan. Perbezaan budaya dan kultur yang ada antara dia dan Hariyati olehnya
dianggap menakutkan. Orang Kedah dan orang Sabah memang banyak bezanya dari
segi budaya walaupun sama agama. Dia takut orang tuanya akan menolak kewujudan
Hariyati jika dia menerima huluran cintanya, dia takut mengecewakan ibu dan
ayah tercinta, dia takut mengalami peristiwa kakaknya yang menjadi sebab semua
ini, dia begitu takut, padahal dia sama sekali belum memperolehi cinta
Hariyati. Kendatipun untuk menyatakannya!!
* * *
Panas mentari sudah membekaskan rona merah di pipi Hariyati ketika mereka berdua berhenti di hutan bakau. Butir-butir keringat berkilau di dahinya, beberapa helai rambutnya tertahan membasah. Effendi menatap kasihan, tetapi tidak sedikitpun terpancar raut kepanasan atau keletihan dari dirinya, Hariyati betul-betul menikmati hari cutinya.
“Saya
mengagumi kamu Hariyati,” ujar Effendi lirih.
Hariyati gesit menoleh, dahinya sedikit
berkerut meminta penjelasan lebih lanjut dari Effendi.
“Kamu
gadis yang baik dan cantik, lebih cantik dari waktu kamu mula-mula mendaftar
diri di UMS dulu. Lelaki yang memperolehi cinta kamu pastilah orang yang paling
beruntung, setidak-tidaknya dalam sudut pandang saya,” hatinya merintih kecut.
“Lantas?” Hariyati masih belum mengerti.
“Aahh,
sudahlah,” desah Effendi seraya beranjak berdiri. Menyumpah-nyumpah diri
sendiri sebagai lelaki kecundang yang tidak mampu berbuat apa-apa. Mengapa?!
Mengapa trauma itu lebih kuat dari cinta ini? Mengapa sekeras itu dia membebat
mulut dan pita suaraku? Walau hanya sekadar ingin mengucapkan tiga patah
perkataan kata. Saya cinta kamu, Effendi menjerit-jerit menyesali diri.
Hariyati menggeleng kecewa dengan desahan
bodoh itu. Dia tahu, beberapa waktu terakhir, Effendi sering menunjukkan
tingkah-laku yang aneh kepadanya. Dia juga kini tahu, bahawa tingkah itu telah
sedikit merubah penilaiannya kepada Effendi. Kerana tingkah Effendi secara
tersirat terkandung bias-bias indah yang hanya boleh dirasakan oleh manusia
dewasa.
Dia
juga seperti mulai suka dengan gelagat-gelagat yang kerap diperlihatkan oleh
Effendi. Namun untuk mendapatkan kesan yang jelas, lelaki itu tetap
merahsiakannya, dia cukup sedih.
Tidak
terasa petang mulai menjenguk, terik mentari bergeser rona merah di pipi atap
langit. Dalam segala tawa gurau, setelah berenang, diving, snorkling dan
lunch, mereka bersiap untuk pulang.
Sisa-sisa gelisah masih membungkus jiwa
Effendi. Aku munafik, bisiknya dalam hati. Sejak tadi sesungguhnya ekor matanya
boleh menangkap makna kasih pada lirikan-lirikan Hariyati, dan dia kini tahu
Hariyati sebenarnya memiliki suatu rasa juga kepadanya. Tinggallah dia seperti
seorang lelaki bodoh. Yang tidak mampu mengapresiasikan makna dari sastera
cinta.
Enjin
perahu itu kembali meraung, bersahut-sahutan dengan sorak-sorai gembira
penumpangnya. Pulau Mabul perlahan menjauh, beberapa orang kanak-kanak kecil
melambaikan tangan sambil melompat-lompat dengan baju basah. Sisi perahu lama
kelamaan kian membiru menandakan kedalaman yang mungkin tiada terkira. Hariyati
memberanikan diri mendekati Effendi. Duduk di sampingnya sembari menggenggam
jemarinya.
Dada Effendi berdesir tidak beraturan. Tatapan mereka bertembung, Effendi menangkap suatu permintaan yang menggantung di sisi mata Hariyati yang teduh. Permintaan yang mungkin hanya mereka saja yang tahu. Diiring tiupan angin yang kencang, kedua-duanya membisu, menatap bandar Semporna yang masih berbentuk titik-titik kecil dari kejauhan.
* * *
Sebelas bulan sudah berlalu semenjak mereka mengunjungi Mabul, dan selama itu, Effendi menghabiskan kesendiriannya di Pulau Mabul. Gurat-gurat kesedihan yang mendalam mengukir di wajahnya yang kini dihiasi janggut dan kumis yang panjang tidak dijaga. Tubuhnya kian kurus tidak terurus. Singlet kusam dan seluar kumal membalut tubuhnya, kuliahnya kini terabai. Di sampingnya duduk seorang anak kecil yang senantiasa menemani ke mana dia pergi. Bahkan untuk mengurus keperluannya sehari-hari.
Effendi tenggelam dalam derita batin dan jiwa
yang tiada tara. Dalam perjalanan ke Semporna kala mereka meninggalkan Pulau
Mabul waktu itu, tanpa disangka-sangka perahu bermotor yang mereka tumpangi
melanggar potongan batang pokok kelapa yang mengapung tanpa kelihatan dengan
kecepatan tinggi. Tubuh perahu yang kecil itu tak kuasa menahan goncangan
sehingga melayang ke udara dan jatuh ke air dalam kedudukan terlungkup.
Semua
rakannya mengapung di atas laut, termasuk pengemudi perahu. Effendi yang duduk
di samping Hariyati tidak sempat menahan tubuh Hariyati yang juga turut
terlempar. Dalam hitamnya lautan Effendi berusaha menyelam mencari-cari tubuh
Hariyati yang mendadak hilang. Ketika mereka semua muncul di permukaan hanya
Hariyati saja yang tidak kelihatan.
Namun apa daya, keterbatasannya sebagai
manusia tanpa dilengkapi alat bantu tidak mampu berbuat lebih banyak. Effendi
memang tidak menyerah, dia tetap berenang ke sana-sini, menyelam berusaha
semampunya mencari Hariyati, jeritan rakan-rakannya agar dia mendekati perahu
dan pelampung diabaikannya. Dia merasa bersalah akan ketidakmampuannya menjaga
Hariyati padahal mereka duduk berdampingan. Gempuran gelombang yang cukup kuat
dan senja yang kian menghitam mengakibatkan pandangan menjadi terbatas dan laut
jadi ganas.
Effendi akhirnya nyaris tenggelam. Untunglah
ada Zaharan yang cepat-cepat menolong dan membantunya, mengapungkannya ke atas
pelampung dalam keadaan separuh tidak sedarkan diri. Setelah pulih, dia menemui
dirinya berada di Hospital Semporna, tergolek di ruang ICU. Mereka semua
berjaya ditolong oleh pasukan SAR dan beberapa kelab menyelam di Mabul.
Sayang, Hariyati tidak ditemui, pencarian
maraton selama seminggu penuh dihentikan. Hariyati disahkan meninggal dunia
oleh pihak polis, dijangka gadis itu hanyut terseret arus laut. Dia memang
tidak boleh berenang, itulah kesimpulan penyebab sehingga dia terkubur di laut
itu.
Kampus Universiti Malaysia Sabah khususnya Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) berduka.
Seluruh mahasiswa sepakat memakai reben hitam pada jaket almamater selama satu
minggu.
Duka
yang menimpa rakan-rakannya tidak mampu menandingi kepahitan yang dirasakan
Effendi. Dia sungguh tidak mampu menerima kenyataan ini, Effendi mendadak
menjadi pemurung. Dalam tidur kerap dia menjerit memanggil nama Hariyati.
Lama
kelamaan kesedihan itu mulai menggerogoti semangat hidupnya, cinta yang
semerbak harum di sanubarinya kini hanya boleh menjadi sayatan perih di hatinya
yang akan terus menghuni jiwanya hingga putaran waktu bagi hidupnya berakhir.
Cinta itu tidak pernah terucap dan tidak akan pernah terucapkan.
Segala usaha keluarga dan rakan-rakannya
untuk mengembalikan keyakinan diri dan semangat hidup Effendi tidak berhasil.
Bahkan tawaran untuk mengikuti terapi psikiater ditolak mentah-mentah dengan
penuh amarah. Dia sedar bahawa dia masih waras. Dia hanya merasa berdosa pada
dirinya sendiri dan pada Hariyati. Effendi akhirnya memutuskan untuk menyendiri
di Pulau Mabul. Berusaha menggali cintanya yang tertinggal dan tidak sempat
diucapkan.
Hamparan gelombang membiru selalu ditatap
Effendi penuh ketenangan, hatinya terus berharap Hariyati akan tenang di bawah
sana. Tidur dalam pembaringan yang memang diimpikannya, penuh warna-warni
bagaikan hidup di negeri dongeng seperti yang pernah diucapkannya.
Effendi juga tahu Hariyati pasti marah dari
pembaringannya, menatap dirinya yang terus menyiksa diri. Tetapi Effendi tidak
peduli, sebelum dia merasa yakin bahawa cintanya sudah sampai. Meski hanya
melalui tiupan angin laut. Ataupun melalui bisikan ombak samudera yang mengalir
ke tempat Hariyati tidur bahkan oleh lumba-lumba yang tidak henti-hentinya
melompat-lompat. Cinta Effendi hanya untuk Hariyati seorang, hingga maut
menjelang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan