SMAHADZIR
“AKU akan melamarmu pada musim kapok merekah. Ketika
itu langit di atas Sabak Bernam ini dikelilingi kapok melayang-layang seperti
burung putih yang larut oleh hembusan angin,” kata Marjan pada suatu senja di
tepi sungai. Sepasang kakinya terjulur ke tebing yang memiliki ketulan batu.
Sesekali air memercik dingin. Melepaskan serpihan lumpur mengering atas buku
lali.
“Aku tak
ingin mendengar apa-apa janjipun.”
Ngatimah
memandang langit yang mulai dijalari warna kesumba. Dia mulai membayangkan
gumpalan kapok yang melepaskan diri dari kulit buah kapok, bukan terjun
merendah, melainkan terbang semakin jauh. Dan Ngatimah sungguh takut jika cinta
Marjan suatu ketika nanti akan menjauh seperti kapok yang dibawa angin itu.
“Aku serius,
Ngatimah. Cuba pandang mataku.” Wajahnya mendekat.
Ngatimah
tahu dari hembusan nafasnya yang menyapu pipi.
“Sudah aku
katakan, aku tidak ingin mendengar apa-apa janji.”
Ngatimah
bertahan tidak menoleh. Reranting kapok atas kepala mereka nampak seperti
coretan tangan seorang arkitek. Batang kehijauan menjulang, meraih gumpalan
awan.
“Janjiku
tidak berlebihan. Aku kira, itu tidak sampai tahun hadapan.”
Selanjutnya Ngatimah
merasakan hidung Marjan menyentuh kulit jejari tangannya. Rambutnya berkibar
oleh angin yang berhembus sepanjang sungai. Suara gemerisik air yang membentur
batu memperdengarkan simfoni seorang komposer muzik.
Dan Marjan
mencium tangannya. Dalam percakapan, Marjan menyebutnya sebagai hasrat dari
cinta. Ngatimah tahu. Ngatimah sangat faham kerana dia juga memiliki rasa cinta
pada lelaki itu. Rindu akan memenuhi rongga dadanya setiap kali Marjan tidak
berada di hadapannya ketika sedang diperlukan.
Misalnya
ketika Ngatimah ingin menyampaikan perkembangan perasaan ibunya terhadap Marjan,
sedangkan lelaki itu sedang berada di bangsal pengumpulan getah. Dan baru
petang hari dapat dia berikan khabar itu, tetapi tentu dengan letupan perasaan
yang mulai layu.
Marjan masih
mencium jejari tangannya. Misainya kadang-kadang menerobos ke dalam celahan
jejari Ngatimah. Dia suka tersengal, tetapi sedikit disembunyikan. Serasa Ngatimah
ingin terbang bersama Marjan dengan kedua-dua tangan yang gesit berubah menjadi
sayap kemudian bergulingan pula atas rumput seperti heroin filem Kuch Kuch Ho Ta Hey.
Jika
sesekali kehilangan kendali, mungkin akan merosot di tubir tebing hingga tubuh
mereka tercelup bersama-sama ke dalam sungai. Mungkin menjadi adegan yang
sangat menarik: bercinta sekali gus berenang melawan arus air.
Tetapi
tidak. Marjan telah menyelesaikan ciuman panjang itu. Memandang wajah perempuan
Jawa pujaannya itu dengan mata berbinar. Ngatimah sungguh terharu melihat api
semangat menyala di sana. Pasti tekadmu untuk melamarku begitu tinggi, fikir Ngatimah.
Seraya membayangkan sebuah pelamin, sebuah ranjang, dan sebuah percintaan yang
bebas.
Sayangnya,
mengapa Marjan menjanjikan waktunya? Padahal Ngatimah ingin semuanya mengalir
dan terjadi begitu saja. Seperti sungai di hadapannya. Ngatimah tidak ingin
kecewa jika janji itu meleset.
“Bagaimana?”
Marjan masih mengharap jawapan Ngatimah.
“Terserah
pada kamu,” Ngatimah hanya tersenyum. Selalu tidak tergamak untuk membuatkan
perasaan lelaki itu patah.
“Apa
maksudmu dengan terserah?” tanya Marjan. “Tidak bermaksud meragukan janjiku,
bukan?”
“Aku
percaya. Bukankah selama ini aku percaya padamu?”
Ngatimah
memandang mata Marjan. Ingin menangkap sesuatu yang mungkin tersembunyi.
“Ya,”
akhirnya Marjan menghela nafas seperti melepaskan beban. Dia kembali duduk di
samping gadis itu. Matanya memandang langit, seperti ingin menyambung
pemandangan berhias reranting pokok kapok yang tadi terputus oleh peristiwa
ciuman.
“Mari kita
pulang,” ajak Ngatimah.
Sebentar lagi senja akan berakhir.
* * *
Dan kini, senja cantik di tepi sungai itu, tidak
lagi ditemui Ngatimah. Dia memang mampu mengunjungi tempat yang sama, seperti
sekarang ini, tetapi tidak dengan kehadiran Marjan. Tidak dengan hembusan
nafasnya sekitar jejari tangan. Tidak dengan ucapannya yang mengandungi banyak
harapan.
Sungai masih
juga mengalir ke arah sama. Bening dan mempertontonkan samar-samar kontur di
dasarnya. Kadang-kadang mata Ngatimah berkaca-kaca jika membongkokkan badan
sambil berpegangan pada batang petai belalang yang tumbuh di tebing sungai.
Kadang-kadang dapat dilihatnya buah-buah kapok bergelatungan seperti kantung
tidur berwarna hijau, dan awan-awan berserak sebagai latar.
Tetapi,
seperti ucapan seorang ahli falsafah, sungai hari ini berbeza dengan sungai
kelmarin dan esok pagi. Air itu tidak diam. Ia terus mengalir dari hulu ke
hilir.
Yang ditemui
Ngatimah sekarang, andai mampu bicara, tidak mungkin menjadi saksi janji Marjan
senja itu. Kini dia hanya sanggup mengenangnya sendiri. Entah kenapa, merasa
sangat bahagia jika yang dikenangnya adalah peristiwa manis sebelum Marjan
menghilang. Ngatimah akan menyebutnya sebagai nostalgia bersama bekas kekasih.
“Aku akan
kirim SMS setiap detik untuk kamu.”
Setiap hari
biasanya Ngatimah menerima SMS dari Marjan. Perasaannya bahagia, kerana SMS Marjan
itu mengandungi cinta. Mengandungi rasa rindu yang dalam. Ngatimah sanggup
mengulang baca beberapa kali dan tidak ingin lama-lama dan jauh-jauh
menyimpannya.
Ngatimah
juga bersemangat membalasnya. Meskipun kemudian harus membacanya berkali-kali
kerana Ngatimah bukanlah penulis yang baik. Pelajarannya hanya setakat darjah
enam saja.
Sebelum SMS
itu benar-benar berada di depan mata Marjan, dia selalu membayangkan lelaki
pujaannya menerima dan membacanya dengan perasaan yang tidak sabar. Mungkin
tidak menunggu keringatnya kering atau mandi terlebih dulu. Ah, pasti telefon
genggam yang mulanya bersih menjadi ternoda kerana tangannya tidak sempat
dicuci sebaik pulang dari kerja.
“Mungkin
ketika Hari Raya Korban nanti aku tidak boleh pulang, kerana bangunan yang kami
bina harus segera disiapkan. Aku akan kirim bungkusan saja kepada saudaraku
yang pulang ke kampung. Ya, sekadar hadiah Hari Raya Korban. Mudah-mudahan
selepas Hari Raya Korban, aku benar-benar memiliki cuti yang panjang.”
Ngatimah
membaca SMS panjang Marjan awal bulan itu dengan rasa sedih. Seperti ada yang
tercerabut. Ketika semua orang berbahagia kerana berkumpul dengan
handai-taulan, kekasihnya tidak muncul. Seolah-olah Marjan telah merancang
untuk tidak pulang. Meskipun itu bukan kehendakmu, bisik Ngatimah, tetapi aku
menganggapnya seperti itu. Kamu telah merancang untuk tidak pulang menemuiku!
Mudah-mudahan
SMS-mu kali ini mengandungi gurau.
Sebenarnya
dulu Ngatimah ingin menghalang pemergian Marjan. Sebagai bekas pelajar Kolej
Pertanian yang drop-out kerana lebih banyak menghabiskan waktunya di
luar kelas sehingga menyia-nyiakan batas toleransi pembelajaran itu, dia lebih
diperlukan di desanya ini. Sebuah wilayah di pinggang bukit yang sangat sesuai
untuk tanaman cengkih dan kopi, selain pokok getah dan kelapa sawit. Ah, Marjan
tidak terlampau bodoh. Bahkan dalam berbicara kelihatan luas perbendaharaan
katanya. Kelihatan kaya dengan gagasan meskipun kadang-kadang terasa aneh.
Namun Ngatimah
yakin, Marjan mampu mengumpulkan para petani dan pemilik kebun untuk belajar
mengenai cara menanam benih yang baik. Atau tentang bagaimana cara menghadapi
musim yang sering tidak teratur.
Entah
mengapa, lelaki itu lebih tertarik dengan suasana pembangunan di kota. Di Johor
Bahru pula. Katanya, dia ingin mempersembahkan tarikan ototnya dengan turut
membina bangunan bertingkat puluhan, yang tingginya sampai ke awan. Ketinggian
yang akan membuatkan orang berasa gayat, gementar dan berkunang-kunang biji
mata.
“Aku seronok
membaca SMS-mu, Ngatimah. Kamu banyak memiliki cerita lucu, yang ketika aku di
kebun tidak pernah muncul. Aku jadi sering merasa rindu. Tetapi perjuangan
memang tidak ringan, tidak sederhana, dan untuk mencapai keinginan selalu
diperlukan pengorbanan.”
Ngatimah
suka menyeka air mata setiap kali perasaannya tersentuh jelu. Begitu besar
hasrat Marjan untuk menjadi seorang yang akan dihormati kerana memiliki banyak
wang. Tetapi dia tidak pernah bertanya kepadaku, bisik Ngatimah, apakah yang
sesungguhnya aku perlukan?
Dia tidak
pernah tahu, bahawa aku lebih bangga jika dia bersedia membangunkan kampungnya
sendiri. Menggarap hutan atau kebun yang pasti membuatnya lebih sihat. Tanpa
gelaran jurutera bukan bererti tidak memiliki kecekapan setaraf jurutera.
Ternyata
benar, segala janji Marjan segera menjadi serpihan kertas ditiup angin. Selepas
Hari Raya Korban, tiada khabar dia akan pulang menjenguk Ngatimah. Acap kali
ibunya menanyakan kepastian lelaki itu akan melamar, atau setidak-tidaknya
pulang menunjukkan diri bahawa masih setia terhadap kekasihnya.
Diam-diam, di
sudut malam, ketika hawa dingin meresap ke sela anyaman dinding rumah,
disaksikan bulan yang sedang purnama, Ngatimah menangis. Dia merasa lemas
dengan keadaan seperti itu. Kesepian seorang diri selama berbulan-bulan. Dia
menyesal telah mendengar janji Marjan. Kerana yang terjadi kemudian adalah yang
selama ini ditakuti.
“Marjan
berangkat ke Singapura,” kata Jurimi beberapa hari yang lalu. “Kebetulan aku
bertemu dengan dia di Tambak Johor.”
Mata Ngatimah
terbelalak, namun bibirnya terkatup sembari menggeletar.
“Apakah dia
tidak meminta izin dari kamu terlebih dahulu sebelum pergi ke Singapura?” tanya
Jurimi sejurus kemudian.
Jangankan
meminta izin atau pendapat, bahkan memberi khabarpun tidak. Mata Ngatimah
terasa panas. Tetapi tidak mungkin waktu itu juga mencurahkan perasaan sedihnya
kepada Jurimi.
Memang,
awalnya, Marjan tinggal beberapa minggu di rumah sewa Jurimi sebelum mampu
membayar bilik sewa sendiri. Sebagai penjual batik Jawa dari Indonesia, Jurimi
telah memiliki ramai pelanggan di Singapura. Alamatnya yang cukup dikenali di
Majeedi sering menjadi tujuan khabar yang datang dari kampung di pinggang bukit
ini.
Termasuk
khabar Ngatimah untuk Marjan!
Barangkali
berita Ngatimah yang terakhir, yang mengkhabarkan bahawa orang tuanya telah
berulangkali menanyakan niat Marjan untuk melamarnya, tidak sempat diterimanya.
Ngatimah menggeleng kerana Jurimi masih memandangnya. “Aku menunggu khabar
darinya, Jurimi! Lama tak kunjung tiba. SMS pun tak ada.”
“Boleh jadi, telefonnya rosak.” Jurimi sedikit cemas. “Tapi sehari kemudian aku bertemu dengannya di Tambak Johor sudah bersiap-sedia nak berangkat bersama rakan-rakannya yang aku kurang kenal. Mereka nak ke Singapura dan bekerja di sana. Khabarnya gaji di sana lebih lumayan!”
* * *
Kapok telah merekah. Angin semilir membuatkan
kelopak kapok itu berayun, sebelum menebarkan serpihan putih. Sudah ketikanya
dipetik, dikupas, dan dipisahkan antara kapok dengan biji kelentengnya. Lalu
dihimpun dalam karung-karung guni.
Ngatimah
selalu menutup hidungnya yang mancung setiap kali menangani kapok-kapok itu.
Tidak seperti Jumiah atau Suminten, yang tidak pernah bersin oleh hembusan
serat kapok yang berterbangan.
Ayahnya
sedang membaca akhbar Sinar Harian
yang terlambat dua hari tiba di kampung ini. Konflik antara Malaysia dan
Singapura tampil sebagai berita utama, berkaitan dengan air belum rawat yang
dibekalkan oleh Johor.
Ngatimah
berpura-pura tidak mendengar suara ayahnya yang sengaja membaca dengan kuat.
Dia hanya hairan kenapa Marjan lebih terpikat membangunkan negara orang,
sementara di kampung ini masih ada hamparan tanah berbukit yang ditumbuhi pokok
getah, damar, kelapa, cengkih, kopi, dan berbagai buah-buahan.
Apa yang
telah membuatkan mata lelaki itu nanar dan perasaannya terpukau dengan
Singapura? Sedangkan di sini ada seorang kekasih setia yang boleh dicium jejari
tangannya di tepi sungai, sambil memandang langit senja dengan kapok-kapok yang
melayang-layang.
Perasaan
nyeri itulah yang kemudiannya membawa kaki Ngatimah berlari ke arah kebun di
belakang rumah. Menerobos pagar yang dibuat dari batang-batang berduri pokok
salak, menyusuri jalan kecil yang semakin menurun.
Rerimbun
petai belalang, pokok durian, dan perdu halban dilalui dengan rakus. Sampailah Ngatimah
di tempat landai tepi sungai, tempat dia biasa duduk-duduk bersama Marjan lebih
dua tahun yang lalu.
Dan Ngatimah
teringat janji Marjan. Janji yang sesungguhnya tidak ingin didengarnya. Kerana
ketika ini, sambil berbaring dia mampu memandang buah-buah kapok pecah merekah,
mempamerkan gumpalan isi kapok.
Sementara
seseorang yang berjanji akan melamarnya namun tidak terdengar khabar beritanya.
Kecuali tentang nasib buruk tenaga kerja Malaysia yang sering dipandang hina
oleh warga Pulau Temasik itu. Mata wang negara itu lebih besar. Kepala warganya
juga besar. Adakah Marjan termasuk di antara mereka yang bakal terhina?
Ngatimah
menggeleng seraya tersenyum pahit. Mungkin akan terasa nyaman jika
perlahan-lahan kakinya yang menggantung di tebing sungai itu dicelupkan ke
dalam air yang mengalir gemericik. Sejuk arus bening itu akan meresap ke kulit.
Lalu
perlahan-lahan pula dia pejamkan mata, agar tidak kelihatan pemandangan yang
membuatnya selalu teringat masa-masa indah dulu. Kemudian, siapa tahu dasar
sungai itu berminat menarik tubuhnya untuk lemas dan hanyut.
Ya, siapa tahu?
Nota:
Kapok = kekabu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan