SMAHADZIR
MERASAKAN diri hina itu satu sifat yang mulia. Ia
satu dari sifat kehambaan. Ia timbul dari merasakan bahawa Tuhan itu Maha
Mulia. Merasakan Tuhan itu Maha Mulia ialah satu dari rasa-rasa bertuhan.
Sebaik sahaja kita dapat merasakan Allah SWT itu Maha Mulia, maka secara
spontan kita akan merasakan bahawa diri kita itu terlalu hina di sisi-Nya. Diri
kita ini terlalu lemah tanpa bantuan dari Allah. Diri kita ini tiada apa-apa
jika Allah tidak menghulurkan tangan-Nya untuk membantu.
Lawannya ialah rasa diri mulia.
Ini satu sifat yang tercela. Rasa diri mulia bukan satu sifat kehambaan tetapi
ia lahir dari sifat ketuanan yang bersarang di hati kita. Kita rasa kita tuan.
Kita rasa kita lebih dari orang lain. Rasa diri tuan itu syirik khafi (syirik
tersembunyi) hukumnya. Kita sudah hampir hendak menyamakan kedudukan dan taraf
kita dengan Tuhan. Kita hendak pakai apa yang menjadi pakaian Tuhan. Ia tumbuh
dari sifat kibir, ego, angkuh dan
sombong.
Sifat kibir, ego, angkuh atau sombong ini, semua orang ada. Hanya ada
yang kuat mengawalnya dan ada yang lemah mengawalnya. Kibir atau ego ini ibarat harimau yang sedang tidur. Bagi orang
yang kuat mengawalnya, kalau dicabar, harimau itu akan terjaga tetapi ia tidak
menerkam dan tidak membaham mangsanya. Tetapi bagi orang yang lemah
mengawalnya, kalau dicabar, akan marah dan akan bertindak terhadap orang yang
mencabarnya.
Lebih hina kita rasakan diri kita
di sisi Tuhan, maka lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan
lebih tinggilah darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan
diri kita, maka rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.
Hina diri itu ialah amalan hati.
Tidak payah disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut,
takut-takut ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia bukan datang dari hati,
maka ini riyak pula namanya.
Dalam kita menghina diri, tidak
payah kita tunjuk kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita
contohnya. Ini sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta
sedekah dan kaki dadah tetapi hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan.
Mudah sahaja mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.
Orang yang merasa dirinya mulia,
sebenarnya di sisi Tuhan adalah hina. Ini kerana bagi Tuhan, sepertimana yang
disebutkan-Nya dalam Al-Quran; orang yang mulia itu ialah orang yang bertakwa.
Di mana kemuliaan orang bertakwa? Kemuliaan itu letak pada hatinya. Hati yang
cukup tinggi rasa hamba dengan Tuhannya. Rasa hamba itu ada berbagai dan yang
paling menonjol adalah rasa hina dengan Tuhan.
Rasa hina ini, biasanya ia
menjadi subur di dalam sembahyang. Bila kita sembahyang, terutama pada waktu
sujud, pada waktu itulah benar-benar dirasakan diri kita ini terlalu hina di
sisi Pencipta-Nya. yang dirasakan dalam hatinya walaupun sukar untuk
diungkapkan dengan kata-kata tetapi bolehlah dimaksudkan sebegini: “Aku ini
hina, wahai Tuhan… Kau jadikan aku daripada tanah. Aku ini hina, Tuhan… Kau
jadikan aku daripada setitis air mani yang hina. Aku ini hina, Tuhan… Aku hina
seperti najis. Kau Tuhan yang Maha Tinggi, aku hamba yang hina. Aku menghina
diri di hadapan-Mu Tuhan dan itulah yang selayaknya buat aku sebagai hamba-Mu.”
Rasa hina seperti inilah yang
dipandang Tuhan. Rasa seperti inilah yang membuatkan kita dimuliakan Tuhan.
Kita tidak minta kemuliaan itu tetapi Allah muliakan kita. Allah iktiraf yang
kita itu mulia. Kita dalam kemuliaan di Akhirat, walau di dunia belum tentu.
Mungkin manusia memandang kita hina tetapi Tuhan memandang kita mulia. Orang
seperti ini, kalau ditakdirkan menjadi pemimpin, rasa hina inilah yang dibawa
dalam memimpin. Dia tidak sombong malah sangat berkasih sayang dengan anak
buahnya. Cakapnya mesra dan berlemah-lembut. Dia tidak minta dimuliakan biarpun
anak buah memuliakannya.
Malah, jika dia tidak dimuliakan
oleh mereka, dia tidak terasa hati. Sama sahaja hatinya sama ada dia diberi
layanan istimewa atau tidak. Tenang sahaja hatinya biarpun dia tidak dipuji
atau disanjung. Pujian atau sanjungan hanya akan mencemaskan hatinya kerana
takut-takut dia tidak layak menerimanya. Kalau dia ditakdirkan kaya, dia tidak
bermegah-megah dengan kekayaannya. Digunakan kekayaannya itu untuk membantu
perjuangan Islam. Juga kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.
Samalah juga jika dia ilmuan atau
ulamak, dia tidak sombong dengan ilmunya. Dia mengajar dan mendidik tetapi
penuh berhikmah. Dia tidak suka menunjuk-nunjuk yang dia itu seorang ilmuan
atau ulamak. Dia bercakap bila perlu sahaja. Cakap-cakapnya tidak membuatkan
orang sakit hati kepadanya.
Begitulah sifat-sifat orang yang
merasa diri hina. Tidak kira apa statusnya, walau diberi kelebihan oleh Tuhan,
dirinya tetap merasa hina di sisi Tuhan. Rasa inilah yang menjadikan dia mulia
di sisi Tuhan. Orang yang tidak ada rasa seperti ini, jangankan Tuhan,
manusiapun tidak suka kepadanya.
Tetapi janganlah pula kita merasa
diri kita hina dan tidak berguna di sisi manusia dan makhluk. Sifat begini
sangat ditegah oleh Allah SWT. Ia merupakan sifat terkeji yang patut dijauhi.
Firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah
kamu takut pada seseorang makhluk tapi takutlah kepada-Ku.” (surah
Al-Maidah: 44). “Janganlah kamu rasa
terhina dan sedih padahal kamulah yang tinggi selagi kamu beriman.” (surah
Ali Imran: 139)
Rasa hina dan rasa lemah hanya
dibenarkan oleh Allah SWT kepada kita ialah terhadap diri-Nya sahaja. Kita
diperintahkan supaya berasa hina dan lemah hanya di sisi Allah. Kita tidak
boleh merasa hina dan lemah di sisi manusia dan makhluk yang lain. Tiada sebab
mengapa kita mesti melihat ada manusia lain lebih hebat dari kita sehingga kita
takut dan rasa terhina di hadapannya.
Jangan sampai kita menghina diri
pada sebarang makhluk. Kerana di sisi Allah, manusia itu sama saja kecuali
hamba hamba-Nya yang bertakwa. Orang yang bertakwa lebih mulia daripada orang
yang tidak bertakwa. Siapa yang lebih takwanya, lebih tinggilah darjatnya di
sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.”
(surah Al-Hujarat: 13)
Maka kalau begitu tidak boleh
kita mengukur kemuliaan seseorang kerana ilmunya, jawatan, kekayaan, keturunan
dan lain-lain lagi. Lagilah tidak boleh kita merasa diri hina, lemah dan kurang
di hadapan seseorang yang lebih tinggi jawatannya, hartanya, kekayaannya atau
ilmunya dari kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan