SMAHADZIR
SEBUAH
negeri antah berantah, negeri yang para penghuninya sukakan hukum jahiliyah,
Negeri Ngok. Mengamalkan hukum jahiliyah ini dalam semua aspek kehidupan. Terletak
di sebuah mandala bawah sinar matahari. Panasnya sepanjang tahun. Hujannya
sepanjang tahun. Anginnya juga sepanjang tahun, bertiup, menari-nari dan selalu
menggoyang-goyangkan dedaunan di seluruh negeri. Negeri subur, rakyatnya
makmur.
Angin sentiasa menerjang tembok-tembok
panjang dan tebal sempadan. Pijaran matahari menerobos bumi, menyeruak ruang
jagat. Tetapi udara kini kian panas, bergerak dan berputar kencang. Sebahagian
beranggapan sebagai sambutan alam atas peralihan kekuasaan kerajaan.
Kisahnya bermula setelah seorang nabi wafat kemudian
kepemimpinan Dinul Islam jatuh ke tangan Maharaja Ngok; pilar-pilar Dinul Islam
diruntuhkannya dan dicampuradukan dengan ajaran monarki, padahal Khuza’ah
berserta seluruh warganya merupakan keturunan nabi yang masih menganut agama Tuhan.
Apa yang nyatanya ialah sejak kepemimpinan Maharaja Ngok ini, konstitusi,
pilar-pilar dan aspek-aspek Dinul Islam dihancurkannya kemudian diganti dengan
sistem pemerintahan Dinul Ngok yang berpedoman kepada ajaran monarki.
Negeri Ngok mengamalkan sistem aristokrasi, timokrasi
dan oligarki juga demokrasi. Pengertian demokrasi di negeri ini
termasuk dalam demokrasi secara langsung. Rakyat boleh mengikuti semua urusan
negara atau secara langsung menentukan tindakan kerajaan tetapi pada akhirnya
urusan peribadi juga dimasukkan sehingga timbullah perbuatan anarkis.
Kisah panjangnya begini…
Dulu Negeri Ngok ini pemerintahannya
dipegang oleh para cerdik pandai, menjalankan pemerintahan berpedoman pada
keadilan. Pemerintahan aristokrasi itu tidak lagi dijalankan untuk kepentingan
umum, dan tidak lagi berpedoman pada keadilan sehingga terjadilah perubahan
dari aristokrasi kepada timokrasi.
Dalam timokrasi ini
segala tindakan pemerintah hanya dilaksanakan untuk kepentingan pemerintah itu
sendiri. Sehingga kekayaan dan pendapatan negara jatuh ke tangan hartawan dan
menimbulkan milik peribadi, milik partikuler. Hingga satu ketika diwujudkan
undang-undang yang menentukan bahawa yang berhak memegang pemerintahan itu
hanyalah orang-orang kaya saja.
Dari timokrasi berubah
pula menjadi oligarki. Dalam oligarki, yang memegang pemerintahan ialah orang-orang
kaya yang mempunyai hasrat ingin menjadi lebih kaya lagi. Setelah rakyat yang
sebahagian besar terdiri dari orang-orang miskin menyedari keadaannya maka
mereka memberontak melawan hartawan yang memegang pemerintahan.
Setelah pemerintahan
jatuh ke tangan rakyat maka yang diperhatikan adalah kepentingan rakyat itu
sendiri atau kepentingan umum. Negara di mana pemerintahannya dipegang oleh
rakyat dan kepentingan umum yang diutamakan dinamakan demokrasi. Tetapi pada
akhirnya timbullah kemerdekaan dan kebebasan yang tidak terbatas, yang pada
akhirnya orang ingin merdeka semerdeka-merdekanya, ingin bebas sebebas-bebasnya.
Keadaan menjadi anarki, setiap orang dapat berbuat sesuka hatinya sendiri yang
mengakibatkan suasana kacau balau.
Dalam keadaan demikian,
hasrat dari penguasa adalah menjaga supaya tidak ada persaingan terhadap
dirinya, lalu berlakulah tirani, amat menekan kehidupan rakyat.
Itu sejarah ringkas
Negeri Ngok.
Sebelum Negeri Ngok menjadi tirani, untuk memusyawarahkan
dan memutuskan segala urusan masyarakat dan negeri, didirikan sebuah Lembaga
Majlis Permusyawaratan yang diberi nama Darun Ngok. Di
Darun Ngok inilah terbentuknya parlimen, majlis kabinet kementerian Negeri Ngok
dengan berpedoman kepada undang-undang dan hukum yang bersumber dari nenek
moyang jahiliyah mereka.
Darun Ngok berfungsi sebagai tempat untuk
memusyawarah, memutuskan segala urusan kenegaraan dan pemerintahan, seperti
memusyawarahkan masalah ideologi, politik, undang-undang, ekonomi, sosial, budaya, agama, pendidikan, perkahwinan, kesihatan,
akhlak, moral, waris, denda, kepolisan, ketenteraan, perang, ilmu pengetahuan, teknologi
dan sebagainya.
“Ada
apa dengan Negeri Ngok ini?”
“Maharaja
Ngok telah mengambil-alih kekuasaan!”
“Itu bagus!”
“Itu
tidak bagus…”
“Kita mesti ubah kerajaan dulu,”
“Maharaja Ngok lebih baik dari pemimpin
dulu,”
“Lebih baik kita kekalkan kerajaan
lama,”
Pelbagai pandangan, pelbagai pendapat.
Pasca
peralihan kerusi kekuasaan, sebuah khabar panas segera beredar. Negeri ini - Negeri
Ngok.
“Ada jabatan apa di negeri ini dibuat
oleh pemimpin baru - Maharaja Ngok?”
“Banyak… ada Jabatan Ngok 1, Ngok 2, Ngok
3, Ngok 4, Ngok 5, Ngok 6…”
“Apa tugas Jabatan Ngok 1?”
“Mengurus
makanan terutama jamuan bagi para orang besar yang datang dari luar negeri. Adapun
biaya untuk jamuan ini dipungut setiap tahun dari segenap rakyat semua bangsa yang
mendiami Negeri Ngok. Jabatan ini juga yang mengeluarkan surat kebenaran kepada
perasuah, pelacur, peminum arak, penipu, pembohong dan semua penjahat melakukan
perbuatan mereka. Jabatan ini diketuai oleh seseorang lelaki buta dan tidak
tahu mengira wang.”
“Jabatan Ngok 2 pula?”
“Membiarkan kehormatan rakyat dicabul sesuka hati dan
juga tidak mempedulikan ketenteramannya. Sesiapapun tidak dibenarkan
mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan hanya boleh bercakap perkataan yang
lucah-lucah sahaja terutama dalam majlis sewaktu Maharaja Ngok sedang berucap.
Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut akan dipenjarakan tanpa berpeluang
diadili di mahkamah. Jabatan ini juga akan bertindak membantu penjenayah jika
mereka dizalimi orang awam. Setiap warga Negeri Ngok mesti menghormati para
penjenayah kerana para penjenayah adalah sebahagian dari warganegara yang
mendiami Negeri Ngok.”
“Ada apa lagi dengan Negeri Ngok ini?”
Tidak jelas siapa yang bertanya dan
bertanya kepada siapa. Telah tersebar jutaan pamplet yang ditampal di semua
rumah ibadah dan pusat kegiatan keagamaan. Tentu saja berita tersebut pada
akhirnya bukan hanya tersebar melalui pamplet, melainkan juga dalam media cetak
mahupun elektronik, dalam internet, facebook, twitter, instagram, ramai
netizennya ramai follower-nya. Berita yang bukan lagi isu. Warta yang
diberitakan oleh semua media massa seluruh pelosok Negeri Ngok. Isinya pendek,
tetapi telah melahirkan sejumlah spekulasi dan pembicaraan setiap orang.
‘Dimaklumkan, bahawa maharaja baru telah
memerintahkan melalui semua ketua agama dan orang-orang suci di Negeri Ngok,
mulai saat ini, semua larangan serta syariat agama dicabut dan tidak diberlakukan!’
Berita
besar. Tentu saja, sebab untuk pertama kalinya hampir semua ketua agama sepakat
dengan keputusan maharaja, tanpa melakukan protes atau demonstrasi
besar-besaran. Tidak ada seorang pun yang berani menafikan perintah tersebut. Termasuk
golongan agamawan dan spiritualis di seluruh penjuru Negeri Ngok. Hal inilah
yang membuatkan semua rakyat setuju dengan perintah itu.
“Setuju?”
“Setujuuuuuuuuuu!”
“Bagaimana peraturannya?”
Semuanya
kebingungan.
“Apa tugas Jabatan Ngok 3 pula?”
“Mengurus masalah keselamatan istana Maharaja Ngok
dan memegang kuncinya. Jabatan ini juga mengendalikan urusan harta yang
dikumpulkan untuk kepentingan Maharaja Ngok dan konco-konconya. Orang yang
mengetuai jabatan ini ialah orang yang dipandang lebih tinggi kedudukannya dan
terhormat dari yang mengetuai jabatan-jabatan lainnya kerana dialah yang
berkuasa untuk membuka dan mengunci istana Maharaja Ngok. Jabatan ini diketuai
oleh seseorang lelaki yang berbadan besar, berwajah garang dan gemar membunuh.”
“Jabatan Ngok 4?”
“Mengurus masalah
politik, ketatanegaraan, kedaulatan, kepemimpinan dan pemerintahan. Jabatan ini
setara dengan Jabatan Undang-undang. Jabatan ini juga yang memilih, melantik
seterusnya memperakui sesiapa sahaja yang telah dipilih untuk menjadi pemimpin.
Selalunya pemimpin yang dilantik oleh jabatan ini adalah bekas-bekas banduan,
penjenayah dan juga para pelacur yang pernah dipenjarakan. Jabatan ini diketuai
oleh seseorang yang suka melanggar undang-undang.”
“Jabatan Ngok 5… apa tugasnya?”
“Sebagai pengurus tanggungan
jiwa dan harta benda yakni asuransi jiwa dan harta, misalnya urusan membayar
denda kerana kesalahan tidak mengambil rasuah, tidak merogol atau tidak membunuh
orang. Jabatan ini diketuai oleh seseorang lelaki yang suka menipu, mantan
peragut.”
“Err, bagaimana dengan
Jabatan Ngok 6?”
“Mengurus genderang
perang. Jika ketua jabatan ini telah memukul genderang, maka segenap penduduk
terutama kaum lelaki (warga Negeri Ngok) wajib bersiap-sedia menyiapkan perlengkapan
perang. Jabatan ini juga yang mengendalikan urusan pasukan berkuda dan kenderaan
lainnya untuk keperluan perang. Jabatan ini diketuai oleh seseorang pondan yang
takut mendengar bunyi senapang.”
Semuanya semakin kebingungan.
“Tenang, tenang!” Kebingungan itu tidak
berlangsung lama. Seterusnya mereka melakukan sesuatu yang sebelumnya mereka
anggap haram atau dilarang untuk dilakukan.
“Galakan
pelacuran dan perjudian!”
“Benarkan rasuah dan kronisme!”
“Relakan pesta seks dan festival
arak!”
“Setujuuuu!!!!!”
Demikian jerit orang ramai yang sebelumnya telah menjadi penegak syariat agama.
Mereka sangat gembira. Namun ketika para pencuri mahu melancarkan tindakan mereka,
mereka gesit digulat bingung. “Siapa yang mesti jadi korban? Semuanya sudah
jadi penjahat?” ujar mereka sambil menggaru-garu kepala. “Awas, jangan
cuba-cuba berbuat jahat kepada penjahat!” Tegas ketua pencuri, yang sebelumnya
adalah seorang spiritualis.
“Siapa
sasaran kami?” tanya sekelompok pemuda yang baru saja menukar kerjaya, dari
pekerja sosial menjadi penyamun kelas atasan. Tentu saja ketua pencuri bingung.
Tetapi setelah agak lama berfikir, dia pun tersenyum.
“Sasaran
kejahatan kita adalah para penjahat yang sudah sejak dulu jadi penjahat!”
“Setujuuuuuuu…!”
Para
penjahat senior terkejut. Termasuk orang-orang yang sebelumnya tidak percaya
kepada Tuhan, kini kesehariannya diselimuti oleh kebimbangan.
“Malapetaka!”
“Ya…
inilah malapetaka!”
“Ya
Tuhan, negeri ini sudah menjadi negeri tirani… anarki… keadaan sudah kacau
balau…”
“Ya, kita perlu mencari seorang pemimpin
sebenar...”
Hanya
berselang sepuluh tahun selepas itu, rumah-rumah ibadah dan pusat-pusat
kegiatan keagamaan kembali didatangi dan disesaki orang. Mereka adalah
orang-orang yang selama ini meremehkan, mengejek bahkan menganggap Tuhan tidak
ada. Orang-orang yang selama ini melakukan kejahatan dan penyelewengan. Mungkin
merasa telah direbut mata pencariannya, atau mungkin merasa terpanggil untuk
menjadi orang beragama. Yang pasti, mereka memohon kepada Maharaja Ngok, untuk
ditegakkan kembali syariat agama. Mereka berdoa supaya agama dan syariat segera
ditegakkan semula.
Mereka juga berdoa agar Maharaja Ngok
segera digantikan oleh lelaki lain. Lelaki yang mendapat petunjuk dari langit
kepada kebenaran. Mereka inginkan seorang lelaki yang usianya hampir mencapai
empat puluh tahun. Warna kulitnya coklat, hidungnya mancung, dahinya lebar, bahagian
tengahnya agak cembung dan indah dilihat. Gigi serinya berkilat indah.
Berjanggut tebal. Pada pipinya ada tahi lalat. Wajahnya seperti bintang bercahaya.
Postur tubuhnya tegap dan tergolong lelaki yang memiliki daging sedikit, tidak
gemuk. Bicaranya gagap, jika ucapannya lambat, ia memukul paha kirinya dengan
tangan kanan, sehingga ucapannya menjadi lancar. Lelaki yang akan memenuhi bumi
dengan keadilan, anak keturunan manusia terbaik yang meninggalkan kekhalifahan
kerana Allah dan belas kasih kepada umatnya. Lelaki yang hak ini akan diangkat kerana
benar-benar diperlukan oleh bumi yang telah dipenuhi oleh kebobrokan,
kejelekan, kezaliman dan ketidakadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan