SMAHADZIR
“APAKAH tidak ada ketenteraman jika hidup nyalar saja dilanda gundah, lara dan nestapa? Kenestapaan dan kekerasan hidup inilah yang membuatkan aku diternak kecewa, rasa terasing dan terkucil dari arus kemodenan.”
Sonder mengeluh.
“Apa yang ada di dada kota ini?
KLCC, Menara Berkembar Petronas, LRT, Menara KL, bangunan-bangunan pencakar
langit dan pelbacam lagi kecanggihan yang mencerminkan kota moden dan aku di
antara segelintir warganya yang dihempap kekerasan itu. Ya, kota ini sungguh
keras. Hidup ini sungguh keras.”
Sonder mengeluh lagi.
“Keras sekali hidup ini!” fikir
Sonder. Memang itulah yang nyalar Sonder fikirkan.
Sonder menguak kelopak mata.
Terjegil luas. Membiarkan ia terbeliak, terbelangah, merenung juzuk bilik khali
dan kosong. Tidak ada gambar-gambar bogel ditampal di situ. Hanya sawang
labah-labah berseronyeh. Persis rambut Sonder, terlekat sekitar ruang bilik.
Beberapa helai kain lusuh sebam berhapak berlonggok di tepi dinding juga
menjadi panahan mata Sonder. Segalanya keras, bagaikan objek-objek sinis
mengejek kegawatan yang melanyak hidup Sonder.
Sonder senyum. Senyum paling pahit
pernah dihadiahkan pada diri sendiri. Hmm… diri Sonder seperti gelandangan lain
juga. Ada tubuh tetapi tidak cukup zat. Kurang vitamin, protin. Diri Sonder
bersalut cabaran-cabaran hidup, berselirat dan terlalu keras. Inilah akibat
dari sebuah hidup di tengah-tengah metropolis yang keras dan membatu seperti
ini. Cabaran hidup terlalu keras itu memberi beberapa tindak balas negatif
kepada manusia. Membuatkan manusia hidup di kaki lima, bawah pokok, tepi
longkang, tidur bawah tangga. Menjadi gelandangan warawiri ke sana ke mari.
Tadah tempurung atas jejambat.
“Arghhh! Diamlah! Buat apa fikirkan
itu semua. Banyak berfikir membuat mata tak mahu lena.” Tiba-tiba saja hati
Sonder jadi berontakan.
Kala ini Sonder masih berkerekot
dalam gebar kumal lusuh berhapak dan berlubang sana sini. Sonder cuba melupakan
masalah diri dan cuba tidur puas-puas. Tiba-tiba hidung Sonder dijerba satu bau
tidak berapa enak. Pengit. Kohong. Entah bau apa! Sonderpun tidak tahu. Barangkali bau bangkai kucing,
anjing atau tikus atau juga apa saja.
Mungkin juga bau sampah sarap kumuh dari tong sampah di
belakang sana. Bila sesekali dibawa silir, bau itu akan menyerbu mengasak ke
segenap ruang hidung Sonder. Menyesakkan. Itulah bau rutin menerobos setiap
detik tidak kira masa terutama pada waktu-waktu bening. Urat saraf Sonder mulai
berasa tegang. Bau kohong itu sungguh menggigirkan seluruh juzuk tubuh Sonder.
Sekonyong-konyong membuatkan Sonder resah dan rimas.
Suasana musim semi sepi dan sunyi
amat sejuk sekali. Sejuknya mencokot tulang temulang. Gebar hapak kusam kumal
itu semakin dirapatkan ke tubuh. Pagi-pagi begini kalau melayan mimpi dalam
gebar panas paling enak sekali. Lantaran itu Sonder membiarkan mata berkelip,
buka dan katup. Terkebil-kebil, terkesip-kesip, klip-pop-klip-pop macam cicak
tertelan kapur barus. Memang enak dalam masa yang sama melayan nerawang
fikiran. Sonder membiarkan ia mengeluyur, segala yang indah nyalarnya
bergentayangan.
Sonder pandang kiri kanan. Semuanya
nihil. Tidak ada yang menyenangkan hati. Semuanya membosankan dan keras. Sonder
singkap gebarnya sampai paras pusat. Setengah tubuh terdedah kepada silir pagi
yang sejuk itu. Dibiarkan silir sejuk itu merayap dan mengusap manja ke seluruh
tubuh kurusnya. Eh, bukan! Tubuh Sonder yang tidak seperti tubuh manusia normal
yang lain. Lebih mirip, hmmmm… persis sekeping belulang kering yang bergerak.
Seolah-olah seekor kaldai cekeding cengkung yang tidak cukup gizi.
Atau lebih kepada sebuah kerangka baghal hidup yang
membuatkan Sonder sendiri amat takut melihat tubuhnya. Lalu Sonder tidak mahu
melihat wajahnya dalam cermin buat beberapa lama. Sonder mengunci diri dalam
bilik. Keluar hanya pada waktu kerja. Masa-masa lain sudah pasti amat payah
untuk melihat Sonder. Itulah Sonder, salah seorang manusia yang nyalar dihenyak
kehidupan yang keras sekeras hutan batu metropolis ini.
Gebar hapak kusam kumal itu dihela
kembali. Menutupi seluruh juzuk tubuh santak ke pangkal leher. Sonder
menghembuskan nafas turun naik perlahan. Sepagi itulah Sonder sudah bingkas
dari pembaringan, bukan kerana mimpi yang menggemankan tetapi kerana igauan
hidup yang keras itu. Sesungguhnya, kalau asyik melayan mimpi atau nerawang
fikiranpun tak enak juga. Desakan dan
keperluan hidup sebagai manusia gelandangan perlu juga Sonder fikirkan. Namun,
apa yang dapat Sonder lakukan sebagai manusia yang terkucil di henyak kekerasan
ini?
Demikianlah nasib yang melanda diri
Sonder. Kendati begitu, Sonder tidak pernah menyalahkan nasib. Sesungguhnya itu
semua sudah ditetapkan. Sonder aku tidak berdaya merobohnya. Sebenarnya, inilah
yang Sonder tidak rela berlaku. Bila Sonder menghimbau kembali segala ingatan
silam, tergambar bayang-bayang hidup dengan ikon-ikon yang amat menggemankan.
Merungsingkan, menjelirkan dan juga menggelisarkan. Akal tidak boleh, kalau
tidak mencari dan meneroka, mengenang atau mengingatkan semula sejarah-sejarah
hidup purba yang di luar jangkaan.
Bila kepala penat memerah fikiran, fikiranpun semakin tambah bercelaru. Libang-libu.
Yongyat. Bila penat berfikir pada sebelah siang, Sonder akan tidur
banyak-banyak, rehat puas-puas pada malam hari. Bila sampai waktu, Sonder akan
terjaga dan akan menyambung semula kerja dengan lebih keras lagi. Demikian yang
nyalar Sonder lakukan demi sebuah kehidupan kendati sekeras mana sekalipun alam
sekeliling.
Sonder cuba lena lagi. Sehingga
sampai ketika tertentu, Sonder akan bangun dan keluar dari bilik untuk bekerja.
Tetapi gangguan silir kohong pagi itu menyebabkan Sonder tidak nyedar tidur.
Fikiran melayang entah ke mana, menerawang dan mengeluyur. Sonder sendiri tidak
tahu kenapa. Apa sebabnya? Kenapa sonder jadi begini?
Mula-mula sekali ingat Sonder, dia
gagal dan kecewa untuk menjadi seorang soljar. Setelah berbuntil surat
panggilan temuduga diterima, semuanya gagal. Semuanya hanya ‘dalam perhatian’.
Langsung tidak berkesudahan. Sonder tahu, kegagalanlah yang menjadipun ca
segala-galanya. Ya, kegagalan itulah yang membuatkan Sonder jadi manusia
gelandangan seperti ini. Segala impian dan cita-cita tuntas melenyap.
Dalam surat-surat berikutnya juga
dengan terang bertulis jawapan; ‘Permohonan tuan untuk jawatan tersebut –
DUKACITA’. Sonder himpun semua surat-surat ‘dukacita’ itu di dalam buntil kain.
Bakal dihadiahkan entah kepada siapa. Entahlah! Mungkin juga akan dijadikan
sebuah kenangan abadi’ - inilah surat-surat celaka yang menjerumuskan aku dalam
dunia gelandangan.”
Sonder cuba menyingkap kembali seorang anak dara yang
pernah dikenali suatu waktu dulu. Seorang anak dara kampung yang genit, cantik,
menggoda, mempersona dan manis. Anak dara yangpun ya citra watak seorang jelita
tempawan. Punya bibir cantik nipis lunak, kening bagai dipantis. Sengum melirik
menggoda. Alis mata lentik dan panahan renung memikat. Gigi berjajar molek,
putih serlah. Dagu persis lebah bergayutan dengan hidung mancung seludang. Oh,
cantik sungguh anak dara itu! Satu kampung dengan Sonder, juga satu sekolah
satu ketika dulu.
Bila petang-petang, sewaktu mentari
hampir-hampir mahu beradu di jihat ghurub, mereka bertemu di bendang tepian
kampung. Alangkah seronoknya kala itu. Bahagia sekali Sonder rasakan. Sendalu
petang sepoi lunak mengalun irama bersenandung mersik lalu meliuk lentukkan julai
padi yang mulai menguning. Mega jerau melatari ufuk masyhrik. Tatkala gerimis
pagi baru saja berlalu.
Lantaran itu membuatkan suasana sarwajagat sepanjang hari
redup dan dingin. Bunga-bungapun memercup indah. Petang-petang seperti itulah,
sambil melihat petani mengetam padi malinja, Sonder mencuri kesempatan untuk
berbual dengan anak dara itu. Aduhai, alangkah seronok dan cerianya buana kala
itu. Segalanya sungguh karar.
“Der, bila habis sekolah nanti, kau
nak kerja apa?” Sambil duduk di atas permatang mengarah perbukitan hujung watas
bendang, anak dara itu meluahkan pertanyaan. Rambutnya yang panjang sampai kepun
ggung, melambai-lambai, terayun-ayun dan mengerbang ditolak silir petang.
Terbuai-buai lunak dan mengelus mencecah mesra ke muka Sonder. Suasana kala itu
dirasakan begitu harmoni sekali. Terasa maya miliknya dan mereka menghabiskan
petang yang karar itu dalam gelojak perasaan yang membuar.
“Aku tak suka membina anganan yang
belum pasti. Angan-angan macam Mat Jenin tak berfaedah. Aku tak suka mengigau
tentang hari depan yang entah apa-apa!”
Begitu hampas jawapan Sonder itu. Sesungguhnya itulah
jawapan polos yang terterjah dari dua ulas bibir Sonder. Jawapan itu bukan
hipokrit tetapi realiti. Sonder tidak suka berkhayal yang bukan-bukan. Merangka
anganan masa depan yang belum pasti samalah bermimpi siang hari.
Segalanya tentu akan mengecewakan jika gagal dicapai.
Sonder tidak suka membuang masa dan tenaga untuk berfikir tentang itu semua.
Sonder tidak suka jadi Mat Jenin yang akhirnya terhempas daripun cak kelapa,
segalanya kerana nerawang fikiran yang tidak berpijak di atas realiti.
“Sebagai manusia, tentu kau ada
cita-cita! Takkanlah kau tak ada cita-cita langsung! Orang yang tak ada
cita-cita umpama tunggul mati, menanti reput dan akhirnya akan tumbang!”
Anak dara itu pandai membidas. Tingkahnya bernada sinis
seraya menggetus sekuntum bunga kudup bayam hutan lalu dilambung-lambung ke
terjangan silir dan iseng tercampak ke alun air bendang. Sejenak bergumpal lalu
dibalun arus ke pinggir tebing. Anak-anak ikan sempilai dan cemperas tempiar
berselerak.
Bila usia bertambah dewasa,
kesempatan untuk mereka bertemu semakin tipis. Begitulah! Setiap petang Sonder
akan ke bendang itu lagi, tempat biasa mereka bertemu. Dengan harapan akan
bertemu lagi dengan anak dara ayu itu. Tetapi segalanya kecewa, tuntas dan
hampa sama sekali. Menjadi nihil bagai petak-petak bendang kala panen menuai.
Sonder tidak tahu apakah salahnya. Sewaktu bertembung di jalanan, anak dara itu
seolah-olah melarikan diri. Barangkali, pengaruh keluarga. Ya, barangkali.
Sesungguhnya Sonder yakin, pengaruh itulah yang
berperanan besar dalam memisahkan. Tanpa memikirkan erti sebuah persahabatan.
Keluarga anak dara itu dari golongan berada, kaya raya, orang baik-baik.
Sedangkan, Sonder miskin, jahil dan serba serbi kekurangan. Argh….., anak
seorang penoreh getah anak berganding dengan anak pengusaha kilang padi! Macam
pipit ingin terbang seiring kenyalang. Manakan bisa. Manakan setanding madi
buruk mengepak sejajar enggang di perut bumantara. Sonder sedar itu.
Sonder bergolek ke kiri. Berkerekot
macam sawa kenyang. Namun gebar berhapak kumal sebam itu tidak juga berupaya
memberi kendati secubit kehangatan pada tubuh. Di luar, bingar kenderaan yang
nyalarnya membingit belum lagi memecah hening pagi. Tidur Sonder juga serasa
masih belum jenuh. Tetapi Sonder rasa masih mahu menyambungkan tidur itu.
Bolehkah mata pejam bila fikiran berserabut dengan masalah? Bolehkah beradu
dalam damai kalau kekerasan hidup galak menghenyak?
Lalu gebar hapak kumal sebam itu disingkap lagi ke bawah
paras lutut. Tidak enak berselimut, Sonder terus berkain saja. Kaki
dilunjurkan, kejang-kejang. Bergerutup bunyi tulang temulang. Hilang segala
sengal dan lenguh seluruh kaki dan paha. Sonder mendengus puas. Seluruh tubuh bagai
disiram air suam dari pancuran elektrik.
Rasa lega dan segar iseng-iseng menyelinap ke seluruh
juzuk anggota. Sonder tambahkan lagi dengan menggeliat persis kucing bangun
tidur. Menggerutup lagi tulang-tulang belikat, pinggang dan belakang. Kedua-dua
tangan didepangkan dan disentap gesit. Aduh, enak sungguh. Menggerutup lagi
segala tulang temulang mengenyahkan lenguh dan sengal yang nyalar bermastautin
di situ. Sonder senyum.
Gebar hapak kumal sebam itu dicampak
ke atas lantai yang berlubang sana sini kerana dimakan asai. Sonder gesit
bangun. Tercegat seraya menggeliat lagi. Lega lagi seluruh badan. Urat-urat
terasa kendur semula. Beginilah, untuk melenyapkan masalah yang menghuni di
kotak fikir. Sonder cuba melupakan segala masalah itu.
Tetapi nyalarnya tidak berjaya. Masalah itu tetap cagun,
tetap menjerba mencurah-curah bagai air mencurah dari kolong atap sempit dan
akhirnya melimpah membuak. Seorang perempuan tiba-tiba berdiri di jenang pintu
bilik Sonder.
“Masuklah!” pelawa Sonder tanpa
dirancang. Memang lidah terlalu lancang.
Diam tetapi terus masuk.
Tergopoh-gapah pula.
“Pucuk dicita ulam mendatang,
sewaktu aku memang memerlukan seorang perempuan. Manusia gelandangan macam akupun
masih ada perempuan yang sudi? Cis,
mengapa ada perempuan yang semurah itu menjual maruah? Barangkali maruah dan
harga diri pada zaman multimedia ini sudah tercampak ke tepi longkang. Argh,
pedulikan dia! Soalnya sekarang, apa yang aku perlukan dari seorang perempuan
ialah sesuatu yang amat aku perlukan. Soal kenal atau tidak, itu tak perlu
ditanya dulu. Yang penting, perempuan itu sudi. Apa perlu aku tanya, lagipun perempuan sekarang memang amat murah. Macam
anak patung di pasar raya. Boleh dibeli kalau ada duit atau boleh juga dicuri kalau
tak berduit!”
Sonder ketawa selepas itu. Mula-mula
kecil kemudian berdekah-dekah sehingga bilik kotak terasa bergoyang. Ketawa
sonder menyebabkan penghuni bersebelahan terintai-intai melalui lubang dinding
yang ditebuk asai. Tetapi, mereka tidak berani berkata apa-apa. Semuanya diam.
Bila segalanya selesai, perempuan murahan itupun gesit pamit. “Pergilah, memang dia tidak
diperlukan lagi.”
Senyap. Semuanya senyap. Kenangan
lama kembali membuncah dan beragaman mengambil tempat dalam kotak fikir Sonder.
Sonder masih ingat, selepas gagal dalam persekolahan, dia merantau ke kota
mencari kerja. Kerja apa yang boleh dibuat selain dari jadi budak jaga parking
atau jaga panggung wayang. Atau sesekali berpeluang menjadi pembasuh
pinggan mangkuk di kedai mamak roti canai. Akhirnya Sonder tidak tahan lagi
lalu berhenti tanpa notis.
Sonder tersentak kala telinga
dijerba lolong anjing kurap membelah karar pagi. Barangkali anjing-anjing itu
berebutkan tulang ayam atau lembu atau sisa-sisa makanan yang dicampakkan dari
rumah pangsa bersebelahan bilik kotaknya. “Ah, pedulikan! Anjing-anjing kurap
itu seperti kanak-kanak kecil. Tidak punya apa-apa masalah sepertiku. Hidup
mereka tidak tertindas oleh masalah yang berat dan keras. Hidup mereka bebas
dan tidak selalu disergap keruwetan. Sesungguhnya anjing-anjing kurap itu agak
lebih baik dari kehidupan manusia gelandangan sepertiku.”
Beginilah! Sonder tahu semua itu.
Sonder tinggal di sini, di bilik kotak ini entah sudah berapa lama. Entah!
Sonder tidak pernah ambil tahu. Tetapi Sonder tahu benar semua menusia dan
lorong-lorong di sekitar kawasan ini. Macam-macam jenis manusia hidup di sini.
Semuanya macam Sonder juga - peminta sedekah koman, gelandangan cabuk merempat.
Bilik-bilik kotak ini dibuat sendiri. Tanpa permit, tanpa disuruh, malah nyalar
saja menjadi tempat serangan penguatkuasa membenteras aktiviti penagihan dadah.
Begitulah hina dan kerasnya kehidupan yang dilalui di sini. Sungguh, segalanya
terlalu keras.
“Sudahlah tuuuu!!” Sonder memujuk
hati. “Apa kuasaku membicarakan hal-hal begitu. Diriku sendiri lebih daif,
lebih papa, lebih kedana dari mereka. Aku sendiri tidak mampu berkahwin secara
sah, yang diberkati Tuhan. Malah terkonteng kantang bagai lelayang tersangkut
di wayar letrik. Sepatutnya, manusia setua aku sudahpun ya cucu atau cicit
tetapi, argh... nasib diriku ini terlalu keras.”
Bingar suara anjing yang membingit
membuatkan Sonder tidak dapat tidur dengan nyaman. Cagunnya amat meresahkan,
merimaskan kotak benak. Sonder bingkas. Mencapai tuala kusam terpelohong sana
sini, lalu disangkut kepun dak. Perlahan-lahan Sonder melangkah kaki keluar
pintu. Matahari pagi galak menerjahkan cahayanya ke dalam bilik kotak. Sonder
terus menuju ke sebatang sungai di pinggir jalan merentas kota metropolis canggih
itu. Nyalarnya, kalau pagi-pagi begini amat sukar untuk mandi.
Orang ramai selalu berebut-rebut mandi dan menceduk air
untuk dibawa ke rumah. Semuanya macam Sonder juga - gelandangan cabuk, peminta
sedekah koman, yang hidup dihenyak seribu masalah yang keras. Kebanyakkan mereka
orang perempuan. Bila mereka semua sudah pulang, barulah Sonder dapat mandi.
Begitulah nyalarnya jika bertamu ke sungai ini terlalu pagi. Tetapi, apa boleh
buat. Sungai inilah satu-satunya sumber air percuma di perut metropolitan ini.
Tidak berapa jauh dari sungai itu,
lebih kurang dua meter saja, mata Sonder tertancap pada beberapa orang
perempuan sedang menjinjing timba plastik menunggu giliran untuk menceduk air
masing-masing. Juga beberapa orang lelaki sedang menunggu untuk mandi. Barangkali!
Sesekali mereka menghala busar mata ke arah Sonder. Mereka tersenyum. Kemudian
tersengeh seraya membisik-bisik sesama mereka.
Sonder tidak pedulikan itu semua.
Biarlah mereka tersenyum atau berbisik-bisik. Tapi, bila saja Sonder semakin
hampir dengan mereka, bersipongang ledakan ketawa. “Mereka ketawakan aku?” Ini
amat menghairankan. Gesit pula rasa menyinga Sonder menggelecak. Dada mendadak
dijerba amarah. “Kenapa mereka ketawa tak tentu fasal?”
“Celaka!” Sonder membentak dalam
hati. “Apa yang ganjilnya aku? Peminta sedekah koman, keparat dan melarat.
Darjat mereka dan aku sama saja. Ah, persetankan mereka semua.” Sonder terus
melangkah dengan bersahaja. Beberapa orang kanak-kanak yang bermain di tepi
sungai juga tiba-tiba bersorak-sorak dan bertepuk tangan seraya menjerit;
“Lari! Lariiiiii!!” laungan
mencerlus serentak tempiar meninggalkan tebing sungai.
“Ada orang gilaaaaaa!!” suara yang
lain pula mencelah.
“Hoi, kenapa jadi begini?” tanya
seorang perempuan. Perempuan itu adalah perempuan yang mendatangi Sonder
semalam. Dia yang cagun dalam waktu-waktu yang amat Sonder perlukan. Dia
perempuan gelandangan cabuk murahan yang menyerahkan segala-galanya tanpa
diminta.
“Apa yang tak kena? Kenapa dengan
aku?” Sonder gesit bertanya kehairanan. “Kenapa aku diketawakan sampai begitu
sekali? Apa, aku tidak kelihatan lagi seperti manusia gelandangan? Apa, aku
sudah jadi segak persis manusia bangsawan?”
“Memang, memang pagi ini kau agak
luar biasa dari selalu. Kau nampak seperti seorang raja yang turun dari kayangan!”
perempuan itu ketawa di hujung kata-katanya. Gelandangan-gelandangan yang lain
turut melepaskan dekah ketawa.
“Hei, jangan cuba bergurau dengan
aku!” Sonder sungguh kurang senang.
“Kau lihat sendiri! Kau lihatlah,
Sonder! Pakaian jenis apa yang kau pakai ni, tak nampakpun benangnya!” perempuan itu bersuara lagi seraya
tersenyum. Gelak ketawa para gelandangan terus meriah.
Sonder gesit tunduk ke bawah.
“Alamak!” Dia terkejut besar. Rasa mahu pitam kala itu. Cepat-cepat Sonder menarik
tuala yang tersangkut di bahu lalu ditutup gesit bahagian itu. Tebal muka
Sonder macam kulit biawak. “Kenapa boleh jadi macam ni? Kenapa aku boleh
berbogel begini?”
Seingat Sonder, sewaktu tidur tadi, dia memakai sehelai
kain. Diikat kemas, melilit erat di pinggang. Sonder tidak perasan pula macam
mana kain itu boleh tertanggal. “Ah, bila dah tidur dengan isi kepala sarat
dengan masalah, manalah aku sedar semua itu. Mungkin juga ya, semasa perempuan
itu datang dan melontarkan maruahnya semalam.” Begitulah ingat Sonder, bila segala-gala
terlalu asyik, diri sendiri boleh lupa dan memalukan. “Sial! Perempuan itulah
yang menyebabkan aku jadi begini!”
Sonder merasakan hidup ini umpama
anak patung yang terlentang di atas lantai dan tidak akan bangkit-bangkit lagi
selagi tidak ada orang membangkitkannya. Hidup ini dirasakan seperti tunggul
statik atau punggur ara yang tidak hidup. Atau juga boleh diumpamakan
bayang-bayang yang mati, bergerak hanya mengikut tuannya saja.
“Aduh, betapa malunya aku kepada perempuan itu. Tapi, apa
nak dimalukan pula? Bukankah perempuan itu pernah kunikmati tubuhnya semalam?
Dia juga manusia sepertiku. Punya tujuan hidup yang sama, mahu makan, tidur dan
bernafsu. Apa lagi dia juga peminta sedekah seperti aku - koman, melarat dan
bergelandangan ke sana ke mari. Cuma kadang-kadang menyundal untuk sesuap
nasi.”
Memikirkan itu, rasa malu Sonder
gesit lenyap. Sonder turut ketawa bersama-sama orang yang ketawakannya. Dan
Sonder masih bertelanjang bulat tanpa mempedulikan pandangan mata yang
bergantang di pinggir sungai dan yang lalu lalang di kota metropolitan canggih
itu.
Begitulah, betapa kerasnya henyakan
hidup Sonder - manusia gelandangan di tengah-tengah kecanggihan multimedia.
Otak dan akal tidak berfungsi lagi jika saban detik dihunjam masalah.
Sonder berbogel terus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan