SMAHADZIR
AYU memang ayu. Fatah Amin, Fazura - kisah Cinderalela
yang difitnah ibu tiri, Nelofa - pengacara genit Melodi di TV3 bersama pelawak Nabil, Maria Mercedes, Maria - cinta
yang hilang, Marimar, semua dia ikuti. Semua dia suka. Juga si manis Jambatan
Ancol, janda kembang, bahkan Wiro Sableng. Siapa lagi ya? Ha... Shah Rukh Khan,
Amir Khan, Pretty Zinta, Kajol dan ramai lagi. Lagi? Aktor dan aktress
Indonesia melalui drama nusantara Astro. Lagi? Aktor dan aktress telenovela -
Pobre Diable, Angie Capeda, Salvador Del Solar dan Arnoldo Andre. Ayu hafal -
Rebeca kecewa dan tidak mahu menerima penjelasan Andres dan ini menyebabkan
lelaki itu menyatakan bahawa dia mencintai Fiorella. Rebeca sakit hati dan
membenci Fiorella kerana menganggap wanita itu perampas hak miliknya. Pinchon
pula marah sebab Paula dan Joaquin akan berpindah dan dia mahu memberitahunya
kepada Andres. Sebenarnya, banyak lagi yang Ayu ingat, hafal dalam kepalanya.
Ayu memang mempersonakan. Genit. Dia
memang ayu. Rambutnya lurus sepunggung. Panjang, gaya rambutnya Paramitha
Rusady. Kulitnya bersih hitam manis. Bentuk wajahnya tidak lonjong seperti Erra
Fazira, Fauziah Latiff atau Maudy Kusnadi, tapi bulat seiras Siti Norhaliza
atau Desy Ratnasari. Cuma nasibnya berbeza. Ayu tidak secantik Amira Rosli, Aishwarya
Rai, Priyanka Chopra, Deepika Padukone, Paramitha Rusady, Desy Ratnasari atau
Maudy Kusnadi. Juga tentu tidak terkenal dan tidak juga kaya.
Bentuk matanya? Mirip
mata Nike Ardila. Sayu. Tapi, Ayu tidak bernasib malang seperti penyanyi genit
Indonesia itu yang meninggal dunia pada usia sangat muda. Buktinya? Sampai kini
Ayu masih hidup. Segar bugar, tidak pernah mengidap penyakit serius, tidak
pernah sakit, tidak pernah berjaga semalam suntuk untuk berdansa-dansi di kelab
malam.
Tapi sayang, Ayu
hanya seorang pembantu rumah. Pendidikan formal hanya sampai PMR. Lahir dan
besar di kampung kecil di Utara Kedah. Anak kedua dari enam bersaudara, dari
keluarga petani. Dan, hobinya itu tadi: menonton drama masyarakat ‘samarinda’
di TV3.
Nampaknya Ghazali
salah pilih, begitu fikir isterinya. Tapi bagi Ghazali sendiri itu adalah
pilihan yang tepat. Cari pembantu rumah pada masa sekarang tidak mudah. Ayu
tidak cerewet, masakannya sedap, soal cuci baju dan seterika beres, meski
sering ditunda-tunda lantaran dia lebih mementingkan menonton televisyen atau drama
berbanding menyelesaikan pekerjaannya, tapi akhirnya beres juga. Bersih rumah
juga langsai. Lantai merelit dan harum. Kaca jendela bersih dari debu.
“Tapi bang, Ayu tu
cantik. Terliur juga kalau salah-salah pandang. Saya bimbang, jangan-jangan
abang dah terpikat pada dia,” protes isterinya pada suatu malam.
Ghazali hanya tersenyum kala itu. Dalam
hati dia berkata, memang itulah yang kusuka. Itulah pembantu rumah idamanku.
Yang memang aku cari-cari selama ini. Boleh buat sumber hiburan kala fikiran
sedang rusuh oleh tugas pejabat yang membeban. Buat dipandang-pandang okeylah.
Suatu hari bulan Julai, Ayu membaca akhbar
Harian Metro, terbitan Berita Harian Sdn Bhd - dia paling suka baca akhbar
itu, lantaran banyak maklumat tentang pelbagai kejadian pelek. Ketika itu
isteri Ghazali, Puan Laila tiada di rumah, Ghazali pula sedang bekerja di
pejabat, si kecil Hana dan Epit sedang tidur. Ayu tertarik pada satu maklumat
di dalam akhbar tersebut. Dia segera mencari sebatang pen dan secarik kertas,
lalu mencatat.
Pada hari berikutnya,
setelah dia menerima gaji yang tidak seberapa besar, Ayu pergi ke kedai gambar
di hujung taman perumahan. Puan Laila kehairanan kerana cara berpakaian Ayu
begitu cantik sekali. Bergincu, berbedak dan wanginya semerbak mengharum.
Takkan nak pergi ke kedai hujung sana pun pakai macam tu? Mengalahkan artis nak
buat pertunjukkan pentas!
Ghazali terlalu sibuk
dengan pekerjaannya. Puan Laila pula sering merungut lantaran gelagat Ayu yang
semakin berubah. Jika ditanya, Ayu hanya menjawab: “Niaga sambilan! Cari wang
lebih!”
Niaga?
“Ayu, kerja kamu dah
selesai?” tanya Puan Laila yang kini sudah berusia 44 tahun.
“Sudah, puan!” Ayu
mengangguk.
“Cuci pakaian?”
“Sudah semuanya.
Seterika juga sudah. Masak sudah,” jawab Ayu.
“Habis kamu mahu ke
mana tu?” soal Puan Laila.
“Niaga,” jawab Ayu
tanpa sebarang ekspresi.
“Niaga apa, Yu?” Puan
Laila gesit melotot hairan. “Kamu di sini digaji sebagai pembantu rumah. Nak
berniaga buat apa lagi? Niaga apa sebenarnya kamu ni, Yu?” tambah wanita
sedikit temban itu lagi.
“Laa, yang penting
kerja saya kan dah selesai. Hanya sebentar saja, puan! Jam lima nanti saya
sudah sampai di rumah!” ujar Ayu.
“Saya tak kisah. Tapi
kalau ada apa-apa risiko, kamu tanggung sendiri.”
“Ini niaga barangan
halal, puan!”
Puan Laila tidak
berkata apa-apa lagi.
Itulah mulanya. Dalam
seminggu Ayu pergi ‘niaga’ tiga empat kali. Puan Laila kian kesal. Tapi Ayu
tetap bersahaja. Hairannya lagi Ayu sering dapat telefon dari seseorang yang
mengaku bernama Azam. Wah, Ayu bercinta dengan Azam mungkin. Ini berbahaya,
fikir Puan Laila. Kalau terjadi sesuatu, misalnya hamil, aku akan dipersalahkan
oleh keluarganya.
Hingga pada suatu
ketika... terjadilah sebuah kejutan.
* * *
Jam dinding menunjukkan pukul tujuh lebih tiga puluh
minit. Ghazali dan isterinya duduk-duduk santai di ruang tengah sambil membaca
majalah. Hana dan Epit sedang bermain kereta mainan di lantai. Di layar
televisyen Norazlina Redzuan, gadis penyiar TV3 itu, selesai membacakan pelbagai
berita dalam Buletin Utama. Dan, Ayu
duduk di lantai, dekat anak-anak majikannya, sambil menantikan slot Akasia - sebuah drama baru yang akan
ditayangkan oleh TV3.
Lagu sound track
mengalun. Di layar televisyen muncul judul drama: Setia Ke Hujung Nyawa.
Paduan animasi pengantar awal sebuah drama. Bintang-bintang utama tampil,
satu-satu - Amar Asyraf, Nelydia Senrose, Ryzal Jaafar, Talha Harith, Raja Ema,
Zila Bakarin. Lalu sekilas pelakon pembantu. Ayu berpeluh muka, walau ruang itu
dingin oleh pendingin udara. Sekilas wajahnya tampil. Hatinya berbunga-bunga.
Senang, gembira, bangga, dan sebagainya. Ghazali dan Puan Laila tidak
mempedulikannya.
Episod pertama
dimulai. Ghazali dan Puan Laila meletakkan majalah di tangan masing-masing.
Mereka mengalihkan perhatian ke televisyen, meski masih setengah-setengah.
Sebuah adegan: di
sebuah rumah mewah seorang lelaki berusia 40 tahun duduk di kerusi. Seorang
pembantu warga Indonesia dengan genit memicit-micit bahu dan lengan lelaki itu.
“Neng, picit ini!
Bahu ni! Nah, begitu,” kata lelaki itu.
“Saya ini pembantu
serba boleh, lo! Mampu memasak juga mampu mengurut. Mahu dipicit yang mana,
dong? Jempolnya atau kelingkingnya? Picit halus mampu, picit kasar mampu, picit
semua tempat juga mampu,” ujar pembantu rumah yang dilakonkan oleh Ayu itu.
“Ayu!” seru Ghazali
dan Puan Laila sambil terpana. “Itu kamu, ya?”
“Iya,” jawab Ayu
tersipu-sipu.
“Kamu berlakon drama
ya?” Puan Laila hampir tidak percaya.
“Iya, puan! Untuk
tambah pendapatan,” jawab Ayu.
“Jadi itu yang kamu
katakan niaga itu?” ujar Puan Laila.
“Ya, puan!”
“Astagfirullah’azim, Ayu,” Ghazali menggeleng-geleng. “Saya tak
sangka kamu boleh berlakon. Sejak bila?”
“Baru lagi, encik!”
Mereka pun lalu
menyaksikan drama di televisyen itu dengan penuh perhatian, sambil sesekali
berkomentar pendek tentang lakonan Ayu. Tentu berbagai macam perasaan berbaur
di hati Ayu, Ghazali, dan Puan Laila. Sampai akhirnya episod pertama selesai.
Program di televisyen berganti dengan Nighline.
“Luar biasa. Tidak
sangka kamu pandai berlakon. Macam mana mulanya, Yu?” tanya Ghazali masih
dengan kehairanannya.
“Saya kirim
permohonan lengkap dengan gambar. Itu, yang di akhbar Harian Metro tu:
diperlukan beberapa gadis untuk drama. Tidak tahunya saya dipanggil. Lalu diuji
bakat. Saya diterima jadi pelakon. Peranan pembantu rumah yang genit dan
miang,” jelas Ayu bangga. “Kata pengarahnya, saya sesuai pegang peranan itu.”
Ghazali dan Puan Laila
geleng-geleng kepala.
“Hari ini saya nak
beritahu Encik Ghazali dan Puan Laila. Kerana saya asyik sibuk shooting,
maka dengan terpaksa saya mahu mengundurkan diri sebagai pembantu di sini. Saya
nak jadi pembantu rumah dalam drama saja,” ungkap Ayu.
Ghazali dan Puan Laila
berpandangan sesama sendiri.
“Maafkan saya, saya
yakin nasib saya akan berubah. Mulai besok saya akan pindah dari sini. Saya
akan tinggal bersama beberapa orang rakan saya yang lain.”
“Ayu... Ayu, nasib
kamu memang akan berubah,” ujar Ghazali. “Kamu cantik, manis, kulit kamu
bersih, rambut kamu panjang, wajah kamu bulat....”
“Hai, lebih-lebih
pula dia,” cantas Puan Laila bagaikan kurang senang.
“Cemburu ke?” Ghazali tersengih.
“Tentulah!” si isteri
mencemek.
“Dengar dulu, ini
mungkin untuk yang terakhir saya menasihati Ayu,” kata Ghazali. Lalu dia pun meneruskan,
“Tubuh kamu tinggi semampai. Kamu memang tidak layak jadi pembantu rumah. Kamu
lebih layak jadi artis. Watak tidak jadi soal. Lama-lama kamu mampu jadi
pelakon utama. Kami doakan, semoga kamu jadi artis terkenal suatu hari kelak.
Tapi jangan lupa sama kami di sini. Sering-seringlah datang ke mari. Anggaplah
ini rumah kamu juga.”
“Apa? Kalau sudah
terkenal, tak payahlah kamu ke mari sini lagi, Yu!” tegas Puan Laila.
“Lagi-lagi cemburu,”
balas Ghazali. “Oh, iya, Yu, saya boleh datang ke tempat kamu, kan?”
“Makin miang, ya
abang ni!!” Puan Laila kian jengkel.
Ayu pun mulai
berlakon. Dia berdiri dan menghampiri Ghazali. Dengan genit dia memicit-micit
bahu Ghazali sambil berkata, “Saya pembantu yang serba boleh, lo! Bisa masak,
bisa micit. Tuan kepingin saya picit apa ya? Jempol atau kelingkingnya?”
“Ayu!” bentak Puan Laila
gerah. Dengan jengkel dia mencubit lengan Ayu. Ghazali tertawa terbahak-bahak.
Ya, pembantu rumah
idamanku harus pergi dari rumah ini. Ah, Ayu memang ayu, bisik Ghazali dalam
hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan