SMAHADZIR
ILMU itu memang penting bagi manusia. dengan ilmulah
manusia mengenal Tuhan. dengan ilmulah manusia berakhlak. dengan ilmulah
manusia beribadah. dengan ilmulah manusia membina tamadun dan peradaban. dengan
ilmulah manusia membangun dan berkemajuan. dengan ilmulah manusia memburu
dunia. dengan ilmulah manusia memburu akhirat. Malahan ilmulah yang membezakan
antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain.
Manusia berlumba-lumba untuk
mencari ilmu kerana dengan ilmu manusia boleh jadi pemimpin. dengan ilmu,
manusia boleh jadi kaya. dengan ilmu, manusia disanjung dan dihormati. dengan
ilmu, manusia boleh mengawal, menjajah dan memperalatkan manusia lain. dengan
ilmu manusia boleh dapatkan kekuatan, pengaruh dan pengikut.
Namun begitu, kalau ilmu tidak
dikendalikan dengan betul, ia boleh mendatangkan mudarat. Ia boleh memakan
diri. Manusia boleh jadi rosak dan keseluruhan tamadun dan peradaban manusia
boleh musnah.
Dalam usaha mencari ilmu, Imam
Al-Ghazali telah menetapkan bahawa yang dahulu mesti didahulukan dan yang
kemudian mesti dikemudiankan. Mencari ilmu mesti mengikut tertibnya. Ada
keutamaan dan prioritinya.
Tertib dalam mencari ilmu ini penting sekiranya kita mahukan natijah yang baik dari ilmu itu sendiri. Kalau tertib ini tidak dijaga dan dilanggar, ilmu boleh memudaratkan dan merosakkan. Berikut adalah tertib susunan ilmu oleh Imam Al-Ghazali:
1. Ilmu fardhu ain.
2. Ilmu fardhu kifayah.
3. Ilmu sunat.
4. Ilmu harus.
5. Ilmu haram.
Fardhu Ain
Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu yang mukalaf. Kalau tidak, maka seseorang itu berdosa. Ia khususnya melibatkan ilmu agama yang merangkumi:
* Ilmu tauhid atau usuluddin
* Ilmu feqah
* Ilmu tasawuf atau akhlak
Ilmu fardhu ain ini bolehlah dianggap sebagai ilmu pendidikan. Ilmu ini ialah
asas bagi agama seseorang. Ia mengenalkan manusia kepada Tuhannya. Ia membina
peribadi dan akhlak melalui pengabdian diri dan ibadah kepada Tuhan.
Ilmu fardhu ain ini terutama
tauhid dan usuluddin wajib diselesaikan dahulu bagi anak-anak kita sebelum
mereka diberi ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu fardhu kifayah, ilmu sunat atau
harus. Ini sesuai dengan sebuah hadis: Maksudnya: Awal-awal agama ialah
mengenal Allah SWT.
Kalau Allah SWT sudah dikenali,
maka Allah-lah yang akan mengisi hati dan jiwa anak-anak itu. Allah-lah yang
akan menjadi matlamat hidup mereka. Allah-lah yang akan menjadi perkara utama
dalam apa sahaja yang mereka lakukan.
Kalau Allah SWT tidak dikenali,
mana mungkin mereka akan dapat berbuat sesuatu kerana-Nya. Kalau Allah SWT
tidak dikenali, apakah yang akan mendorong anak-anak kita untuk berbuat sesuatu
kebaikan, selain dari dorongan nafsu dan duniawi semata-mata atau untuk
mendapat pujian, glamour dan
sebagainya.
Kalau Tuhan tidak dikenali,
apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari terlibat dengan maksiat,
jenayah, pergaulan bebas, zina, rogol, bohsia, bohjan, black metal, budaya punk, gangsterism dan sebagainya. Apakah
yang akan menghalang anak-anak kita dari mengangkat Tuhan yang lain sebagai
Tuhan mereka atau dari meyakini ideologi-idelogi dan isme-isme ciptaan manusia
atau dari menjadi sekularis, komunis, sosialis, free thinker atau terus menjadi ateis.
Jika Allah SWT sudah mereka
kenali dan jiwa anak-anak diisi penuh dengan akidah dan ketauhidan, maka mereka
akan selamat ke mana sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka
tempuh dan pelajari. Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam
kekeliruan dan kesesatan, juga dari segala macam pengaruh, dugaan dan
pancaroba.
Setelah Allah SWT dikenali, anak-anak akan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari, untuk berbakti kepada Allah SWT dan untuk berkhidmat kepada sesama manusia, dan bukan untuk membuat kerosakan dan kemaksiatan di muka bumi ini.
Fardhu Kifayah
Bukan semua ilmu agama itu fardhu ain hukumnya. Ada
yang fardhu kifayah. Contohnya ilmu hadis, ilmu tafsir dan sebagainya. Ilmu
fardhu kifayah ialah ilmu yang wajib bagi sesuatu masyarakat. Mesti ada dalam
kalangan anggota masyarakat tersebut yang mempelajarinya, barulah ahli
masyarakat yang lain akan terlepas dari dosa.
Ilmu fardhu kifayah termasuklah
juga ilmu-ilmu akademik seperti perubatan, kejuruteraan, perindustrian,
perdagangan, pertanian, ketenteraan, perakaunan dan sebagainya. Ilmu agama
lazimnya dinamakan ilmu akhirat. Ilmu akademik pula dinamakan ilmu dunia. Ada
sesetengah pihak cenderung untuk menamakan ilmu akademik ini sebagai ilmu
sekular. Ini sebenarnya kurang tepat.
Sekular atau tidaknya sesuatu
ilmu itu bergantung kepada tujuan penggunaan dan matlamat pengamalnya dan bukan
kepada jenis ilmu itu sendiri. Ilmu sekular ertinya ilmu yang khusus digunakan
untuk tujuan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan
akhirat. Ilmu agama sekalipun, kalau tujuan penggunaan dan matlamatnya adalah
untuk dunia semata-mata seperti untuk dipuji, disanjung, dimuliakan, untuk
mendapat kerja dan jawatan dan sebagainya, maka jadi sekularlah ilmu itu.
Sebaliknya, kalau ilmu dunia digunakan dengan tujuan untuk berbakti dan mendapat keredhaan Allah SWT dan menepati pula syarat-syarat sebagai suatu ibadah, maka ia tidak boleh dianggap sebagai ilmu sekular kerana ada nilai akhiratnya.
Ilmu Sunat dan Ilmu Harus
Kalau sudah ada ahli masyarakat yang mempunyai ilmu fardhu kifayah yang cukup, maka bolehlah ahli masyarakat yang lain mempelajari ilmu yang sunat atau yang harus. Ilmu-ilmu yang sunat termasuklah ilmu bahasa, sejarah dan seumpamanya. Ilmu yang harus pula termasuklah ilmu melukis, sastera dan sebagainya. Sepertimana yang disebut di atas tadi, ilmu yang harus ini juga kalau menepati syarat-syaratnya maka ia juga boleh menjadi ilmu yang bernilai akhirat.
Ilmu Haram
Ilmu yang haram ialah ilmu yang ditegah kita mempelajarinya seperti ilmu sihir.
Perlunya Mengikut Tertib
Antara sebab rosaknya masyarakat dan anak-anak muda
kita hari ini ialah kerana mencari ilmu yang tidak mengikut tertibnya. Sebelum
mereka mengenal Tuhan dan sebelum jiwa mereka diisi dengan akidah dan
ketauhidan melalui pendidikan fardhu ain, mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu
akademik yang tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan atau tarbiah.
Di samping itu, mereka juga
terdedah kepada berbagai-bagai pengaruh liar seperti rock, metal, rap, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya, sama ada
di dalam mahupun di luar sekolah. Disebabkan jiwa mereka kosong,
pengaruh-pengaruh tersebut terus meresap masuk ke dalam hati mereka.
Mereka tidak disediakan untuk
menghadapi pengaruh-pengaruh jahat seperti ini. Mereka tidak diberi imuniti
atau pelalian dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan ini. Kita biasanya sibuk
memberikan anak-anak kita suntikan imuniti atau pelalian dari berbagai-bagai
penyakit seperti batuk kokol, difteria, polio dan cacar, tetapi kita ambil
ringan tentang kerosakan akidah, akhlak, peribadi dan kemanusiaan mereka.
Walhal kerosakan akidah dan akhlak ini neraka padahnya.
Ilmu dunia itu sifatnya seperti
pisau. Kalau digunakan untuk kebaikan maka baiklah jadinya. Kalau dihalakan
kepada kejahatan maka jahatlah jadinya. Segala bentuk ilmu dunia boleh
dijadikan modal atau alat untuk berbuat baik ataupun untuk berbuat jahat.
Oleh itu untuk mengelak dari
berlakunya kerosakan dan bala bencana, manusia yang hendak diberi ilmu dunia
ini mestilah dari kalangan orang-orang yang baik, yang kenal dan beriman kepada
Tuhan, yang berakhlak dan yang bertanggungjawab. Kalau tidak, mereka akan
gunakan ilmu, kepandaian dan kemahiran mereka untuk membuat kerosakan, untuk
memutar belit, untuk menipu dan untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Lagi banyak
ilmu dan kepandaian yang ada pada mereka, lagi besarlah kerosakan yang akan
mereka lakukan.
Sepertimana yang berlaku kepada
anggota-anggota keselamatan seperti polis dan tentera, perkara utama yang
ditekankan dan dididik sebelum mereka dibenarkan memegang senjata api ialah
disiplin dan tata tertib. Hanya dengan disiplin dan tata tertib barulah senjata
api di tangan anggota-anggota keselamatan itu dapat digunakan untuk menjaga
keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara.
Kalau orang yang tidak ada
disiplin diberi senjata api, ini sangat berbahaya. Begitulah juga orang yang
mempunyai banyak ilmu dunia tetapi jahat dan tidak kenal Tuhan. Mereka ini juga
berbahaya.
Justeru itu, tertib dalam mencari
ilmu seperti yang digariskan oleh Imam Al-Ghazali ini perlu dititikberatkan. Ia
perlu diserapkan ke dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak mesti mengenali
Tuhan terlebih dahulu sebelum mereka mengenali perkara-perkara lain. Barulah
mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menyeleweng.
Barulah segala ilmu yang
dipelajari dapat dijadikan alat untuk berbakti dan meninggikan kalimah Tuhan.
Kalau tidak, manusia akan menggunakan ilmu untuk kejahatan dan untuk melawan
Tuhan. Lebih dahsyat lagi, mereka akan ‘menyembah’ dan bertuhankan ilmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan