Selasa, 27 Disember 2011

Kenangan Indah Di Cameron Highlands

SMAHADZIR

Satu tabiat saya apabila pergi ke sesuatu tempat ialah membuat catatan perjalanan. Mungkin kerana minat terhadap penulisan membuatkan tangan saya berasa kekok untuk diam. Justeru saya akan menulis apa saja yang terlintas di kepala setelah melihat apa yang ada di depan mata saya. Sekiranya saya rasa perlu, saya akan cuba untuk mendapatkan maklumat tentang tempat tersebut dari sumber-sumber yang sah.

Bersarapan pagi di Cameron Valeys Tea Plantations

Pada tanggal 12-14 Disember 2011, saya sekeluarga diberi kesempatan oleh Allah s.w.t menjejak bumi Cameron Highlands dalam usaha untuk melarikan diri dari kesibukan tugas dan berehat bersama anak-anak. Sebelum ini saya memang selalu di Cameron Highlands memberi ceramah kepada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi NGO dalam aspek penulisan berita, rencana dan juga pengucapan awam. Jadi, tentunya suasananya agak berbeza bila bersama keluarga.

Ladang teh Cameron Valeys Tea Plantations

Sebagaimana yang kita semua ketahui, Cameron Highlands atau disebut juga sebagai Tanah Tinggi Cameron merupakan sebuah pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Menurut catatan sejarah yang berjaya saya selongkar, Cameron Highlands mendapat namanya setelah seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron menemuinya pada tahun 1885 ketika sedang membuat tinjauan pemetaan.

Bergambar di Cameron Valeys Tea Plantations

Cameron Highlands terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negeri yang kaya dengan khazanah hutan semulajadinya. Cameron Highlands terletak setinggi 1, 829 meter dari aras laut dan mempunyai suhu antara 100c hingga 200c. Keindahan Cameron Highlands pastinya akan memukau hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana. Kebetulan sewaktu saya sekeluarga tiba di Cameron Highlands, hujan sentiasa saja merengek dari pagi sepanjang perjalanan dari Banting, Selangor membuatkan suasana di sini amat sejuk sekali. Tetapi inilah suasana yang didambakan kerana sifatnya yang kontra dengan suasana di Banting.

Bergambar di sebuah ladang bunga-bungaan

Saya sekeluarga bergerak ke sini dari Tapah, Perak dan memilih jalan pulang melalui Simpang Pulai, Ipoh. Dari Kampung Raja kita boleh pergi ke Gua Musang di Kelantan. Dari Tapah, kita akan temui air terjun Lata Iskandar yang begitu mempersonakan. Sewaktu di sini saya teringat kampung halaman saya di Kampung Bukit Hijau, Baling yang mana lata atau air terjunnya juga begitu mengagumkan. Namun begitu, jalan dari Tapah ini berbengkang-bengkok atau berliku-liku membuatkan anak-anak pening dan termuntah. Juga sepanjang perjalanan banyak tanah runtuh yang agak membahayakan terutama jika bergerak pada waktu malam dan jika hujan lebat. Walaupun begitu, hati rasa terhibur juga melihat masyarakat orang Asli yang rajin berniaga di sepanjang tepian jalan. Pelbagai hasil hutan didagangkan untuk para pelancong seperti buah petai, madu lebah, pokok-pokok hiasan dan sebagainya.

Percutian begini boleh merehatkan minda dari memikirkan soal tugasan yang menjadi rutin harian

Sebetulnya saya memilih Cameron Highlands untuk berehat bersama keluarga kerana secara keseluruhan tempat ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling menarik di Malaysia. Keindahan di Blue Valley Tea Estate, Gunung Brinchang, Tringkap dan petempatan Orang Asli Sungai Ruil cukup memukau. Ladang yang menghijau dan indah di sini diusahakan oleh Sungai Palas Boh Tea Plantation. Lain-lain tarikan ialah Wild Orchid Farm, Green Farm, Rose Valley Village, Butterfly Farm, Butterfly Garden, Kea Farm, Pasar Sayur, Uncle Sam Farm, Cactus Point, Tokong Sam Poh , Cactus Valley, Strawberry Farm, rumah rehat dan padang golf.

Bergambar di ladang kaktus

Di puncaknya terletak Balai Polis Cameron Highlands dan Balai Bomba Cameron Highlands. Di hadapan balai polis ini ada pasar malam yang boleh dikunjungi untuk membeli apa saja seperti pakaian, makanan dan juga cenderamata untuk dibawa pulang. Di sini juga terletaknya Gunung Beremban, Gunung Jasar, Gunung Perdah dan Air Terjun Robinson. Lain-lain lokasi ialah Ringlet, Kampung Lembah Bertam dan Stesen Janakuasa Elektrik Cameron Highlands yang berfungsi sebagai pembekal elektrik.

Pelbagai spesies kaktus boleh dilihat dan dinikmati keindahan kewujudannya

Selain menjadi sebuah pusat peranginan, Cameron Highlands juga terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang bermutu tinggi dan ada yang jarang didapati di tempat lain. Ini kerana keadaan cuaca yang sejuk dan segar amat sesuai untuk tanaman-tanaman tertentu sahaja contohnya daun teh, bunga-bunga seperti bunga teluki dan buah strawberi. Tumbuhan iklim hawa sederhana juga boleh ditanam di kawasan ini.


Di sebuah ladang strawberi milik bumiputera

Di sini juga terdapat sebuah petempatan orang Melayu yang pertama di Cameron Highlands, iaitu Kampung Taman Sedia yang merupakan sebuah kampung yang terletak di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang. Di sini menawarkan pakej penginapan ‘homestay’ untuk para pengunjung. Dan jalan di Gunung Brincang merupakan jalan raya yang tertinggi di Malaysia.

Di hadapan kaunter ladang strawberi yang lazimnya menjadi tempat makan dan minum para pelancong diserikan juga oleh pelbagai tanaman bunga-bungaan hiasan

Daerah Cameron Highlands terdiri daripada sembilan pekan dan kampung iaitu Ringlet, Lembah Bertam, Tanah Rata, Brinchang, Kea Farm, Tringkap, Kuala Terla, Kampung Raja dan Blue Valley. Tempat-tempat yang boleh dikunjungi ialah seperti Cactus Point yang letaknya cuma 500 meter dari Kea Farm, Ladang Teh BOH, Bharat Tea, Sungai Palas Boh, Blue Valley Tea, kebun-kebun sayur yang terdapat di kebanyakan kampung seperti Kea Farm, Tringkap dan Kuala Terla. Kita juga boleh mengunjungi Rose Centre, Rose Valley, ladang strawberi, taman rama-rama, Tokong Sam Poh di Brinchang dan pelbagai tempat lagi yang boleh meninggalkan kenangan yang indah kepada para pengunjung.

Buah strawberi

Untuk tempat penginapan, Cameron Highlands menawarkan banyak tempat yang selesa dan mengikut kemampuan seperti Bala’s Chalet, Heritage Hotel, Century Pines Resort, Equtorial Hill Resort, Rosa Pasadena, Casa De La Rosa, De La Ferns, The Smoke House, The Lake House, Iris House, Star Regency, Rainbow Hotel, Shahzan Inn, Strawbery Park Resort, Cameron Highlands Resort (sebelumnya Merlin Inn Resort), Hillsview Hotel, Kavy Hotel (Budget Hotel), Sri Pahang House, Ye Olde Smokehouse, Shal’s Apartment, Parit Falls, New Garden Inn, Tanah Rata, Father’s Guest House, Heritage Hotel, The Cool Point Hotel, Lakehouse House, Kalai Villa Apartment (Tanah Rata) dan pelbagai lagi.

Bila sudah datang ke mari, apa lagi yang boleh diabadikan sebagai kenangan kalau tidak bergambar di tempat-tempat yang telah dikunjungi

Untuk percutian ini saya memilih De Cassa Della Jarzmin Apartement yang terletak di pekan Tanah Rata, sekitar 6 km dari Brinchang. Harganya tidak terlalu mahal iaitu RM200 untuk semalam tetapi sungguh selesa dan bertaraf tiga bintang. Cameron Highlands mempunyai 2 kawasan utama iaitu Brinchang dan Tanah Rata. Tanah Rata lebih kepada pusat pentadbiran daerah manakala Brinchang pula tempat peranginan. Walau bagaimanapun, Brichang dan Tanah Rata tidaklah terlalu jauh dan terpulanglah kepada pengunjung untuk memilih tempat untuk menginap di sini.

Di hadapan papan tanda YZ Agro Farm

Walaupun ada yang mengatakan di Cameron Highlands hanyalah tempat yang sejuk dan tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini, namun bagi saya sebagai seorang penulis, tempat beginilah yang boleh membuakkan ilham penulisan. Selain dari catatan perjalanan, cerpen dan puisi juga boleh digarap di sini. Banyak idea yang menerpa ke dalam benak tatkala melihat keindahan alam di sini. Bagi saya, sepanjang perjalanan dari Tapah, ilham dan idea sudah mulai cagun dan mengasak pintu minda. Saya sekadar menjerukkannya terlebih dahulu dan bercadang untuk menjalinanyamkannya ke atas kertas sebaik pulang dari bercuti nanti.

Di ruang tamu bilik penginapan - De Cassa Della Jarzmin Apartement, Tanah Rata

Percayalah, semakin banyak kita berjalan di muka bumi Allah s.w.t. yang luas ini, semakin banyak yang kita dapat pelajari. Syaratnya, niatkan kerana Allah untuk mendapat redha-Nya. Berlibur tiada salahnya kerana berlibur itu akan menambah pengalaman dan maklumat. Terima kasih kepada anak-anak dan isteri kerana memilih Cameron Highlands sebagai lokasi percutian dalam negara sendiri untuk kali ini. Insya-Allah, jika hayat masih ada, lain kali kita akan bercuti lagi.

Kaedah Membentuk Integrasi Kaum Di Sekolah

Sistem pendidikan yang ada di sesebuah negara boleh menjadi salah satu cara memupuk integrasi dan mewujudkan perpaduan di antara kaum. Sebagaimana yang kita tahu sekolah ialah sebuah organisasi berbentuk pendidikan yag mana kebanyakannya semua kaum atau kaum berada dalam satu bumbung yang sama. Dari situlah pelbagai kaum atau kaum dapat mempelajari nilai-nilai murni sesuatu kaum dan sterusnya menghayati proses sosialisasi secara mudah. Dengan cara tersebut bolehlah mereka mewujudkan perpaduan sebagaimana yang diharapkan oleh sekolah, masyarakat dan bangsa.

Pelbagai dasar telah dilaksanakan sejak merdeka hingga ke hari ini bagi mewujudkan integrasi di antara kaum. Walaupun banyak kemajuan dapat dilihat dalam hubungan antara kaum pada hari ini, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi memantapkan proses integrasi ini. Cabaran-cabaran dan masalah yang timbul, menunjukkan proses integrasi antara kaum di peringkat sekolah perlu dikemaskini dan dimantapkan lagi. Perlu ada dasar atau rancangan yang lebih konkrit bagi mencapai objektif integrasi antara kaum di sekolah. Ia hendaklah bukan sekadar di kulit luaran tetapi isinya.

Pada hari ini tidak dinafikan menerusi sistem dua aliran yang ada, integrasi antara kaum di sekolah telah mencapai banyak kemajuan. Walau bagaimanapun masih banyak yang perlu dilakukan lagi bagi memantapkan lagi proses integrasi antara kaum di sekolah. Proses integrasi yang berlaku pada masa ini kadangkala menghadapi pelbagai masalah yang timbul. Ini jika tidak diatasi boleh melambatkan proses integrasi di sekolah. Oleh pelbagai rancangan dan dasar haruslah difikir dan dikaji bagi menjadikan sekolah sebagai pusat integrasi antara kaum yang terbaik.

Definisi Integrasi Dan Kaum

Kaum atau etnos dalam bahasa asal Greek membawa makna kumpulan manusia atau bangsa. Ia merujuk kepada pengenalan diri seseorang ke dalam kumpulan yang mempunyai latar belakang keturunan nenek moyang yang sama. Mereka mempunyai keturunan dari segi sejarah, negara asal, bahasa, tradisi, budaya, struktur dan sistem nilai. Mengikut Kamus Dewan pula, kaum merujuk kepada sesuatu kaum atau masyarakat majmuk yang mempunyai kelompok, yang hidup berlainan tetapi di bawah sistem politik yang sama.

Mengikut Sufean Hussein (1996) integrasi bermaksud menyatukan kaum-kaum atau kelompok-kelompok yang terasing pada asalnya kepada satu bentuk lain yang tersendiri. Mengikut Khalid Yaakub (1982) pula, integrasi pula merupakan proses menyatupadukan secara budaya dan sosial kelompok-kelompok sosial yang berbeza-beza kepada satu unit yang mempunyai identiti yang umum dan tersendiri. Mengikut Mohd Salleh Lebar (1998), integrasi yang diterima atau yang biasa dikehendaki ramai adalah satu proses yang cuba menyatupadukan masyarakat majmuk atau pelbagai kaum dan mewujudkan pula pembentukkan kebudayaan kebangsaan atau nasional yang tersendiri di kalangan mereka.

Cara Memupuk Integrasi Kaum Di Sekolah

Memantapkan Lagi Perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan

Di Malaysia, pelbagai cara digunakan untuk mewujudkan perpaduan antara kaum di sekolah. Antaranya menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menggunakan sukatan pelajaran, buku teks, peperiksaan, pakaian seragam, sistem latihan guru dan bahasa penghantar yang sama. Sebagai contoh dalam matapelajaran Pendidikan Islam dan Moral pendekatan yang lebih baik digunakan agar pelajar dapat memahami tentang keperluan moral, sosial, agama dan kepercayaan kepada tuhan serta menjadi warga negara yang baik. Pelajar-pelajar juga sering bergaul antara pelbagai kaum secara lebih dekat semasa diadakan kegiatan ko-kurikulum, kerja luar dan juga semasa belajar dalam kelas. Dengan cara kegiatan tersebut agak mudah untuk guru memupuk semangat bekerjasama antara kaum dan saling faham dan memahami antara satu dengan lain.

Sebahagian daripada dasar dan tindakan strategik ini telah dilaksanakan dengan berkesan walaupun belum sepenuhnya. Misalnya dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, sekurang-kurangnya telah mewujudkan generasi dari pelbagai kaum yang lebih komunikatif antara satu sama lain dan lebih saling memahami. Walau bagaimana pada waktu ini cabaran terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara kaum kadangkala dapat dilihat jelas. Walaupun Dasar Pendidikan Kebangsaan membenarkan sekolah dua aliran tetapi kita hendaklah memastikan matlamat penggunaan bahasa Melayu di semua sebagai alat integrasi tercapai.

Sementara itu dalam Rancangan Malaysia Pertama, Kedua dan Ketiga, kerajaan terus memperkuatkan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan negara. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia Ketiga penekanan utama dalam proses integrasi ialah dengan penggunaa bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar utama, pembentukan keperibadian, pembahagian sumber-sumber negara dengan lebih saksama dan penyatuan sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak melalui sistem pendidikan kebangsaan pada akhir tahun 1960-an.

Oleh itu pembaharuan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang bertujuan untuk menggantikan kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam kurikulum yang sedia ada dengan unsur-unsur yang lebih mantap bagi memupuk integrasi antara kaum perlu disegerakan. Ini kerana Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah teras bagi sistem persekolahan di negara kita. Dasar-dasar yang tidak sesuai daengan kehendak semasa haruslah digantikan bagi memastikan integrasi di peringkat sekolah dapat dilaksanakan dengana baik.

Menjadikan Sekolah Sebagai Alat Perpaduan

Sistem persekolahan sekarang yang memisahkan pelajar mengikut bahasa penghantar dan perbezaan kumpulan kaum tidak dapat memainkan peranannya yang berkesan untuk memupuk perpaduan dan persefahaman dikalangan pelajar. Usaha-usaha yang gigih harus diambil untuk mengatasi segala bentuk pengasingan dan pemisahan yang sengaja diadakan.

Satu sistem persekolahan yang sama patut diperkenalkan dengan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar untuk membentuk satu generasi baru yang mempunyai keperibadian Malaysia. Di samping itu, hak-hak kebudayaan kumpulan-kumpulan kaum lain untuk mempelajari bahasa dan kebudayaan masing-masing patut dihormati dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Perubahan ini hendaklah dilakukan secara saksama dan adil. Perubahan-perubahan ini juga harus didasarkan di atas keinsafan bahawa kebaikan dan kepentingan masa depan genarasi muda negara ini adalah mengatasi segala kepentingan-kepentingan lain.

Pendidikan juga dapat memupuk integrasi kaum di sekolah dengan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya. Bahasa Melayu pelu diperkayakan sebagai bahasa ilmu yang lengkap. Usaha ini bukan saja meletakkan taraf bahasa Melayu di tempat sewajarnya, tetapi dapat membantu merapatkan hubungan antara kaum di sekolah dengan penggunaan satu bahasa. Bahasa Melayu sebagai alat untuk berinteraksi dapat mewujudkan semangat kekitaan di kalangan pelajar yang berbilang kaum.

Sekolah juga harus bertujuan menggalakkan pelajar-pelajar supaya boleh berfikir dan berani mengeluarkan pendapat. Pelajar-pelajar yang berlainan kaum perlu didedahkan kepada nilai-nilai bersama seperti perasaan kasih sayang, hormat menghormati, saling bantu membantu, berbudi bahasa, cintakan keamanan, bencikan kekejaman, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Melalui ko-kurikulum pula pelajar-pelajar dari semua kumpulan kaum hendaklaha digalakkan bercampur gaul dan memceburkan diri dalam menjalankan aktiviti-aktiviti di sekolah. Dengan ini sekolah akan melahirkan rakyat Malaysia bersatupadu dan mempunyai semangat kemalaysiaan yang kuat walaupun berlainan kaum.

Pendemokrasian Pendidikan

Pendemokrasian pendidikan juga dapat memupuk integrasi antara kaum Pendemokrasian Pendidikan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan adalah untuk memastikan agar semua kaum atau kaum dapat menikmati kemudahan yang sama dalam pendidikan sama ada mereka bersekolah di dalam bandar atau di luar bandar. Samada di bandar atau luar bandar rekabentuk sekolah-sekolah yang dibina adalah sama. Di samping itu alat-alat yang dibekalkan seperti kerusi, meja, almari adalah seragam di semua sekolah. Dengan ini tidak timbul perbezaan antara sekolah sama ada yang digunakan oleh kaum Melayu, Cina, India atau Bumiputera Sarawak dan Sabah.

Pelajar-pelajar dari pelbagai kaum tidak disekat untuk untuk bersekolah di mana-mana sekolah di negara kita. Mereka boleh memilih sekolah pilihan masiang-masing. Sekolah-sekolah yang berbeza aliran juga mendapat kemudahan-kemudahan yang sama. Walaupun mereka menggunakan bahasa penghantar yang berlainan tetapi sukatan, buku teks, jadual waktu dan peperiksaan diselaraskan secara berpusat.

Hak-hak kebudayaan kumpulan-kumpulan kaum lain untuk mempelajari bahasa dan kebudayaaan kumpulan kaum masing-masing patut dihormati dan diberi perlindungan yang sewajarnya. Perubahan ini haendaklah dilakukan secara saksama dan adil. Perubahan-perubahan ini harus didasrkan di atas keinsafan bahawa kebaikan dan kepentingan masa depan pelajar mengatasi kepentingan lain. Dengan ini pendemokrasian Pendidikan dapat memupuk proses integrasi antara kaum.

Perlaksanaan Sekolah Wawasan

Perlaksanaan Sekolah Wawasan merupakan antara cadangan bagi memupuk integrasi antara kaum di Malaysia. Sekolah Wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama. Di bawah konep ini, dua atau tiga sekolah rendah berlainan sekolah akan mempunyai bangunan yang bersambung antara satu sama lain. Matlamat penubuhan sekolah ini adalah untuk mewujudkan perpaduan atau integrasi diantara murid yang berlainan kaum dan agama. Ia juga untuk melahirkan sifat toleransi, persefahaman yang tinggi dan menggalakkan interaksi yang maksimum antara semua pelajar melalui perkongsian kemudahan sekolah dan perlaksanaan aktiviti.

Sekolah Wawasan ini tidak langsung mengubah sistem pembelajaran yang asal kerana tiap-tiap sekolah mempunyai nama yang tersendiri disamping urusan pentadbiran dan penguruasan kewangan yang dikendalikan oleh sekolah masing-masing. Sekolah Wawasan akan membolehkan pelajar-pelajar yang berlainan kaum menggunakan pelbagai kemudahan secara bersama seperti kantin, lapangan perhimpunan, gelanggang permainan dan padang. Satu jawatankuasa penyelaras yang terdiri daripada guru yang diwakili dari setiap sekolah akan diwujudkan untuk menyelenggarakan segala hal seperti pengurusan kebersihan, keceriaan dan keselamatan. Konsep Sekolah Wawasan ini diharap dapat merapatkan hubungan pelajar dari pelbagai kaum walaupun berlainan aliran persekolahan

Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan dalam semua aspek keperluan negara, khususnya dalam bidang politik, sosial dan ekonomi. Namun, keutuhan Malaysia mengekalkan konsep pemajmukan pelbagai kaum, jika tidak diimbangi dengan betul akan mewujudkan pertentangan kaum. Konsep Sekolah Wawasan yang kini dipraktikkan adalah satu usaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersifat cintakan negara. Jika kerangka konsep sekolah dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam dan selari dengan hasrat negara.

Pada hari ini masih wujud lagi sekolah yang berasaskan kaum iaitu sekolah Cina dan Tamil. Sekolah Wawasan boleh dicernakan sebagai pertembungan kaum dalam satu ruang yang sama. Penggabungan sekolah-sekolah yang berasaskan kaum ini dalam satu kawasan yang sama, akan menemukan pelajar yang pelbagai kaum secara kerap dan ini mewujudkan integrasi kaum dengan cepat.

Perlaksanan Sekolah Satu Aliran

Sistem Sekolah satu aliran merupakan satu lagi alternatif bagi memupuk integrasi di antara kaum di sekolah. Sistem sekolah satu aliran ialah sistem yang menggunakan satu bahasa penghantar saja di sekolah-sekolah. Dalam konteks Malaysia, bahasa penghantar adalah bahasa Melayu. Pada waktu ini, di negara kita terdapat tiga aliran sistem persekolahan iaitu sekolah kebangsaan iaitu berbahasa penghantar bahasa Melayu, sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Masalah yang timbul di sini ialah kurangnya interaksi diantara pelbagai kaum yang menggunakan pelbagai sistem ini. Ini menyebabkan proses integrasi antara kaum di peringkat sekolah berjalan agak perlahan dan lambat.

Menerusi sistem sekolah satu aliran, tidak akan menimbulkan masalah penghapusan bahasa ibunda lain-lain kaum.Alternatifnya ialah bahasa Cina dan Tamil perlu dijadikan subjek wajib bagi pelajar berkenaan dan subjek pilihan kepada pelajar Melayu atau sesiapa saja dari lain-lain kaum yang berminat. Melalui cara ini, disamping boleh bergaul secara meluas antara mereka, mereka juga boleh memahami budaya kaum atau kaum lain.

Jika ini dapat dipraktikkan masalah hubungan antara kaum yang lambat dapat diatasi dengan sendirinya melalui pergaulan antara pelajar dan saling faham-memahami. Kita dapat menyaksikan, keterasingan sekolah rendah ini telah menanam semangat perkauman atau kaum pelajar sekolah rendah dari awal lagi. Fenomena ini akan menular pula di peringkat sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi.

Menerusi sistem sekolah satu aliran ini, semangat perkauman atau kaum akan dapat dihapuskan sejak peringkat sekolah rendah lagi. Pergaulan di antara pelbagai kaum yang berlainan membuatkan mereka lebih mengenali antara satu sama lain dan dapat bertolak ansur jika timbul sesuatu masalah. Hal ini perlu diberi perhatian segera demi mewujudkan proses integrasi yang jitu antara pelbagai kaum demi masa depan negara yang makmur dan harmoni.

Penutup

Dasar yang dimainkan oleh pendidikan amatlah penting dalam proses integrasi dan pembangunan sesebuah negara. Dengan perkembangan ekonomi yang cepat menyebabkan keadaan mobiliti masyarakat terus berubah . Dalam masa yang sama, kita harus terus mempertahankan nilai-nilai perpaduan yang diasaskan sebelum ini. Bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat perpaduan antara kaum. Hanya menerusi pendidikan saja, rakyat malaysia yang berbilang kaum dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Oleh itu segala dasar dalam pendidikan yang dapat memupuk integrasi antara kaum haruslah disokong sepenuhnya oleh setiap rakyat malaysia.

Sesuai dengan perubahan masa, pelbagai dasar yang telah diwujud sejak dari kita merdeka hinggalah sekarang perlulah sering disemak bagi memastikan setiap dasar yang di rancang dapat melaksanakan proses integrasi antara kaum di sekolah dengan berkesan.

Sekolah merupakan unit yang terpenting dalam sistem pendidikan kita bagi mewujudkan integrasi di antara kaum. Kegagalan proses integrasi di sekolah, khasnya di peringkat rendah akan menyebabkan juga gagalnya proses integrasi peringkat menengah dan seterusnya universiti. Ini seterusnya akan menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja berlainan kaum tetapi tidak bersatupadu dan berlainan kefahaman.

Oleh itu pelbagai cara harus digunakan bagi memupuk integrasi antara kaum di sekolah. Cadangan-cadangan yang diutarakan seperti konsep Sekolah Wawasan atau Sekolah Satu aliran harus difikirkan bagi mewujudkan integrasi antara kaum. Sekolah adalah tempat bermula segalanya dan ia harus dijaga dengan baik dan sempurna. Sekolah juga harus relevan dengan kehendak semasa yang sentiasa berubah. Tetapi walaupun perubahan yang berlaku, sekolah sebagai pusat integrasi kaum terpenting jangan sesekali hilang upayanya. Ini adalah supaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum atau kaum dapat hidup bersatupadu, harmonis dan berjiwa Malaysia.

Senarai Rujukan:

  1. Amir Hasan Dawi, 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books,
  2. Tanjung Malim.
  3. Hussein Hj. Ahmad, 1993, Pendidikan dan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka,
  4. Kuala Lumpur.
  5. Mohd Salleh Lebar, 1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,
  6. Thinker’s Library Sdn. Bhd, Selangor
  7. Sanusi Osman, 1989, Ikatan Kaum dan Kelas di Malaysia, Universiti
  8. Kebangsaan Malaysia, Selangor.
  9. Sufean Hussin, 1996, Pendidikan Di Malaysia – Sejarah, Sistem dan Falsafah, Dewan
  10. Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  11. Kamus Dewan, Edisi ketiga, 1996
  12. Dewan Masyarakat, Oktober 2000, m/s 14-25
  13. Dewan Masyarakat, Januari 2001, m/s 50-51
  14. Massa, 14-20 April 2001, m/s 62-63.
  15. Dewan Masyarakat, Jun 2001, m/s 44-45.
  16. Massa, 29 Dis- 4 Jan 2002, m/s 12-13

Mendalami Penulisan Kreatif

SMAHADZIR

Penulisan kreatif ialah apa-apa penulisan yang bertujuan untuk menyatakan pemikiran, perasaan, dan emosi, berbanding dengan hanya memberikan maklumat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai:

  1. Pengungkapan pemikiran dan perasaan penulis dengan cara yang imaginatif, seringnya unik, dan indah bunyinya (takrif Sil.org);
  2. Satu bentuk kebebasan peribadi. Ia membebaskan kita daripada identiti khalayak yang mengelilingi kita. Pada hakikatnya, penulis menulis bukan untuk menjadi pujaan tetapi terutamanya untuk menyelamatkan diri supaya dapat hidup sebagai individu (takrif Don DeLillo);
  3. Mana-mana kerja yang kadangkala susah dan mencabar, tetapi boleh mendatangkan banyak kepuasan.

Saya akan menumpukan fiksyen kreatif dalam tulisam ini, terutamanya cerpen dan novel, walaupun puisi, autobiografi, biografi, dan karya kreatif bukan fiksyen juga merupakan bentuk tulisan kreatif.

Bagaimana Bermula

Ramai orang berfikir bahawa kerana mereka membaca banyak cerita (atau walau jika mereka tidak pernah membaca), mereka mesti berupaya menulisnya. Tetapi sebagaimana yang ditulis oleh Nigel Watts: ‘Terdapat kepercayaan umum bahawa oleh sebab kebanyakan daripada kita kenal huruf dan fasih, maka tidak adanya keperluan bagi kita menjalani perantisan jika kita ingin menjadi seorang tukang kata yang berjaya.’

Itu juga yang saya fikirkan sehingga saya cuba menulis novel yang pertama. Tidak lama kemudian, saya mendapati bahawa novel, seperti sebuah perabot, memiliki keperluan tersendiri, dengan hukum pembinaan yang perlu dipelajari. Kerana saya telah membaca banyak novel tidak bermakna bahawa saya berupaya menulisnya, iaitu sama logiknya dengan saya tidak semestinya berupaya membina kerusi hanya kerana saya selalu duduk di atasnya. Begitu cuplikan kata-kata yang saya petik dari Nigel Watts, melalui bukunya Teach Yourself Writing A Novel.

Sesungguhnya, jika anda berminat, anda boleh terus mencuba: tetapi jangan berasa terlalu kecewa jika usaha sulung anda tidak sebaik seperti yang diharap-harapkan. Bagi memperluaskan metafora Watt, anda mungkin mendapati bahawa kerusi yang anda bina itu tidak kukuh. Terdapat banyak buku bahasa Inggeris yang baik yang disasarkan pada penulis fiksyen baharu, dan saya amat mengesyorkan pembelian atau peminjaman salah satu daripada yang berikut:

  1. Wannabe a Writer? - Jane Wenham-Jones
  2. Teach Yourself... Writing a Novel - Nigel Watts
  3. How to Write Fiction and Think About It - Robert Graham
  4. On Writing - Stephen King

Saya juga mengesyorkan permulaan secara kecil-kecilan. Berbanding dengan memulakan sebuah trilogi fantasi epik, satu saga keluarga yang menjangkau lima generasi, atau satu siri pengembaraan... cubalah cerpen atau puisi. Dan jika anda mendapati bahawa anda menggigit-gigit pen anda atau merenung helaian kertas (atau skrin kosong) selama berjam-jam, cubalah cetuskan penulisan anda dengan latihan ringkas. Jangan terhenti-henti dan terlalu memikirkan tentangnya... cuma teruskan, jangan bimbang akan mutu karya yang anda hasilkan.

Petua Dan Cara Pintas Untuk Pemula

Buatlah sebilangan latihan ringkas untuk meregangkan otot penulisan anda - jika anda kekurangan idea, banyakkan membaca. Ramai penulis kreatif yang baharu tiba-tiba mendapati bahawa mencuci pinggan atau merumput di kebun kelihatan jauh lebih menarik, berbanding dengan usaha duduk dan menulis. Paksakanlah diri anda mengatasi keraguan yang awal dan usaha menulis benar-benar akan menjadi lebih mudah. Cubalah menjadikan penulisan setiap hari suatu kebiasaan, walau jika ia hanya selama sepuluh minit.

Jika anda menghadapi kesulitan untuk mendapatkan idea, bawalah buku nota ke mana-mana dan menulis pemerhatian anda. Anda akan mendapatkan ayat dialog yang unggul jika anda sentiasa memasang telinga di dalam bas atau di dalam kedai kopi, dengan frasa yang luar biasa kadang-kadang dicetuskan oleh sesuatu yang anda lihat atau hidu.

Rancanglah waktu anda yang paling kreatif. Bagi ramai penulis, waktu ini merupakan awal pagi - sebelum semua tuntutan hari bergelut untuk mendapatkan perhatian. Sebaliknya, ada juga yang menulis dengan paling baik pada lewat malam selepas kesemua anggota keluarga sudah tidur. Jangat takut menguji kaji!

Jangan rasa terseksa mendapatkan tulisan anda secara betul buat pertama kali. Semua penulis harus menyemak dan menyunting karya mereka - adalah jarang bahawa sesebuah cerita, adegan, atau juga ayat dapat dihasilkan dengan sempurna buat pertama kali. Setelah anda menyiapkan draf pertama, biarkannya selama beberapa hari. Kemudian kembali kepada draf anda dengan perasaan yang segar, pen merah di tangan. Jika anda berasa cerita anda bermasalah tetapi tidak dapat menentukannya, mintalah penulis sesama membaca dan memberikan maklum balas.

Berseronok-seronok! Kadang-kadang, kita selaku penulis boleh berasa bahawa karya kita merupakan kerja yang membosankan, sesuatu yang ‘mesti’ dilakukan, atau sesuatu yang perlu ditangguhkan selama mana yang mungkin. Jika jalan cerita anda tidak masuk akal, atau watak anda mengakibatkan anda menangis dan anda yakin bahawa seorang budak berumur lima tahun dengan krayon dapat menulis prosa yang lebih baik... hentilah sekejap. Mulakanlah projek yang baharu sama sekali, projek yang dilakukan semata-mata untuk keseronokan. Tulislah puisi atau ‘kisah mini’ sepanjang 60 perkataan. Karya yang ringkas sebegitu dapat membantu apabila cerita anda yang lebih panjang menghadapi kebuntuan.

Proses Penulisan Kreatif

Menghasilkan cerpen atau novel, seharusnya merupakan sesuatu yang menyeronokkan, biarpun agak sukar. Biarpun terdapat pelbagai panduan di sepanjang anda cuba menghasilkan karya, pada dasarnya semua pun bergantung pada anda juga.

Menghasilkan sebuah cerpen atau novel; tidak seperti menangani sebuah jentera mesin, misalnya, atau masak rendang ayam – ia bukan suatu kemahiran yang boleh dipelajari. Tiada satu pun piawai untuk menentukan cara bagaimana hendak melakukannya, juga sama ada apa yang buat itu yang terbaik ataupun tidak. Juga, tak bermakna sekali anda telah menghasilkan karya terbaik, tidak bermakna karya-karya anda yang seterusnya akan sebaik yang pertama. Yang pasti, hampir keseluruhan proses penulisan kreatif itu sendiri penuh dengan misteri, dan selalunya tanpa syarat.

Tetapi, itu tidak bermakna sebarang panduan penulisan itu tidak bermakna atau mempunyai nilai sama sekali. Malah, ia sama sekali sebaliknya. Mempunyai keinginan menghasilkan karya penulisan kreatif, terutama sekali apabila anda belum ada satu pun karya cerpen atau novel yang telah dicetak, sama seperti anda sedang mengidam untuk makan sesuatu yang sukar diperolehi, padahal anda belum pun hamil! Mujur juga, bukan anda seorang saja yang menghadapi masalah ini, kerana ramai lagi yang penderita yang menghadapi masalah yang sana di luar sana.

Setelah lebih 20 tahun saya menceburi bidang penulisan kreatif, setelah lebih 300 buah buku diterbitkan dalam pelbagai genre, ia banyak membantu mematangkan saya dalam dunia ini.

Kata John Irving; menulis novel, tanpa mengetahui akan penamatnya, adalah orang dungu dan pekak. Sebuah novel, katanya lagi, menceritakan sesuatu yang sudah berlaku dan untuk itu anda tidak boleh saja-saja mencipta sesuatu yang lain, di sepanjang penulisan novel tersebut.

Oh, betulkah? Soal saya, ketika membaca komennya. Nasib baik saya tidak membaca komen beliau tentang perkara itu, sebelum saya menghasilkan novel-novel saya. Bagaimanapun, saya rasa, setiap orang, mempunyai caranya yang tersendiri bagaimana hendak menghasilkan karya kreatifnya. Termasuk John Irving.

Kemudian, menurut El Doctorow pula; ‘Seseorang penulis perlu ada suara hati sendiri yang bergelora di dalam dadanya untuk mendorong dia untuk menyiapkan sesuatu karya dan berkarya terus. Ia adalah satu rahsia terpendam setiap penulis, bahawa bahasa mendahului niat.’

Saya tidak memulakan dengan apa-apa perancangan. Sebenarnya, inilah juga cara saya menghasilkan karya saya. Bukankah pendapat El Doctorow itu, sangat bertentangan dengan John Irving?

Namun, setelah difikir-fikirkan semula, mungkin apa yang mereka maksudkan sama saja; bentuk dan gaya penulisan sesebuah cerpen atau novel itu ditentukan oleh pemikiran yang sebelumnya, cara bagaimana sesuatu bahan cerita didekati dan diangkat dalam sesebuah karya, kiranya tidak kurang penting juga. Malah, mungkin lebih penting daripada bahan cerita itu sendiri.

Proses penulisan kreatif memang sangat sukar. Ibaratkan seorang wanita hamil; dia terpaksa melalui proses kehamilan 9 bulan 10 hari biasanya. Dari seorang wanita ke seorang wanita lain, melalui proses kehamilan itu dengan cara yang berbeza; ada yang muntah-muntah, migrain, mengidam makanan aneh-aneh atau yang terlarang dan sebagainya, di sepanjang waktu kehamilan. Begitu juga dengan penulis; juga menghadapi pelbagai masalah semasa dalam proses penulisan kreatifnya – bukan sekadar 9 bulan bulan dan 10 hari saja, mungkin bertahun-tahun yang menekan dan kadang-kadang mengecewakan; itu tidak termasuk diserang `writers block’ tiba-tiba, sewaktu sedang berkarya!

Kemudian, mungkin dengan tidak sengaja, apabila anda mula menulis, ada pula ahli keluarga yang berasa tersisih dan tidak dipedulikan oleh anda. Itu tidak termasuk dengan pengorbanan demi pengorbanan yang perlu dilakukan, terutama sekali bagi penulis yang baru menjinakkan diri dalam dunia penulisan kreatif ini. Misalnya, jika sebelum ini, sebaik pulang dari kerja dan menunaikan solat, masak, makan dan sebagainya - anda tidak boleh duduk santai sambil menonton tv atau menghantar posting di mana-mana forum seperti biasa. Sebaliknya, masa yang mungkin hanya 2 jam itu, anda gunakan sepenuhnya untuk ditumpukan kepada karya anda. Tidak perlu tulis banyak-banyak dalam satu masa, 5 muka surat sehari sudah memadai.

Yang pasti, hanya dengan keazaman yang teguh, kesabaran yang bukan alang kepalang dan percaya pada apa perjuangan/mesej yang ingin kita sampaikan lewat karya itu saja, yang boleh mempastikan sesebuah karya kreatif boleh siap dengan sempurnanya.

Mula Menulis Kreatif

Penulisan kreatif merupakan bagaimana cara seseorang melakukan peluang yang terdapat di dalam suatu pola fikir sehingga mampu membuat sebuah kerangka tulisan. Tulisan yang memiliki daya tarik tersendiri dan bahasa yang digunakan dalam penulisan enak untuk dilihat dan dibaca, sehingga tidak membuatkan para pembaca menjadi jemu dan jelak terhadap tulisan yang telah dibuat.

Dari apa yang telah saya alami setiap kali menghasilkan sesebuah penulisan, sehingga menjadi penulisan kreatif, penulisan memilik 6 langkah agar menciptakan tulisan yang kreatif dan mampu difahami pembaca.

  1. Pertama, penguasaan bahasa dan cara menulis. Seperti ketika kita menggunakan bahasa yang standard dengan ketentuan yang ada, boleh diperindahkan dalam melakukan penulisan namun dalam konteks yang mampu difahami oleh para pembaca. Dengan cara menulis yang baik kita harus mampu menempatkan tulisan sesuai dengan apa yang telah terjadi sehingga tulisan itu tidak bersifat lambat dan tidak membuatkan pembaca menjadi jemu.
  2. Kedua, menulis dengan bahan. Mulailah menulis dengan bahan yang diketahui dan disukai sehingga mampu membuat alur cerita di dalam tulisan menjadi berkesinambungan dan tidak berbelit-belit, sehingga mampu memadukan antara kerangka tulisan, dan mampu menghasilkan cara atau gaya penulisan menjadi tulisan kreatif yang subjektif.
  3. Ketiga, tulisan dengan paragraf yang pendek. Usahakan dalam melakukan tulisan kreatif bahasa penulisan yang digunakan pendek dan terus ke inti dari apa persoalan yang akan kita angkat.
  4. Keempat, kekuatan kata dalam tulisan. Hindarkan kata-kata yang boros dalam melakukan setiap kali penulisan, melakukan penulisan kreatif harus sesuai kaedah yang telah berlaku selama ini.
  5. Kelima, hindari pemborosan kata. Jangan terlalu banyak mengulang-ulang kata yang telah kita tulis sehingga pembaca menjadi jemu.
  6. Yang terakhir iaitu manfaatkan gaya penulisan. Gunakan bahasa sendiri dan jangan menggunakan bahasa atau gaya orang lain dalam melakukan penulisan sehingga tulisan kita mampu dikenali para pembaca dan menjadikan itu gaya bahasa dan ciri tulisan kita sendiri.

Kembangkan potensi menulis yang kita miliki sehingga mampu menciptakan sebuah tulisan yang kreatif sehingga tulisan itu mampu dikembangkan dan difahami oleh para pembaca.

Dari langkah-langkah yang telah dibuat di atas, penulisan kreatif itu merupakan sebuah inspirasi yang mampu timbul dalam sebuah refleks tertentu sehingga mampu menimbulkan idea-idea atau gagasan baru dalam pembuatan tulisan namun dalam kontens yang ada. Dalam membuat sebuah penulisan kreatif banyak kendala yang dihadapi dari seorang penulis, kendala yang membuatkan tulisan ini menjadi sukar untuk difahami erti dan makna bagi para pembaca.

Kecendurangan ini sering dirasakan, kerana penulis dalam mengeja dan menggunakan imbuhan yang ada sering berlebih-lebihan sehingga tulisan terkesan lebih membosankan bagi para pembaca. Seseorang yang baru belajar menulis, kemalasan yang dirasakan sering timbul akibat kurangnya kepercayaan diri dalam membuat suatu tulisan, sehingga memperlambankan kerja dan berita yang disampaikan lebih cenderung telah didahului oleh orang lain.

Tulisan di atas merupakan salah satu cara untuk berbahagi cerita di dalam melaksanakan sebuah cara melakukan penulisan kreatif sehingga mampu menyesuaikan dengan tulisan kreatif yang dahulu telah pernah dilakukan oleh orang lain.

Menguasai Bahasa Kreatif

Bagaimanakah keupayaan bahasa anda sebelum menulis? Adakah anda sudah berupaya menguasai bahasa dengan baik sebelum menghasilkan sesebuah novel umpamanya?

Ramai penulis menganggap novel Bumi Manusia, Rumah Kaca dan Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer memiliki keupayaan bahasa yang mengkagumkan. Walaupun anda tidak memiliki keupayaan bahasa yang tinggi, itu bukanlah satu masalah besar jika anda mahu menulis novel. Pengalaman menulis lama kelamaan akan memberikan input keupayaan dan penguasaan bahasa anda supaya lebih baik.

Oleh kerana menulis memerlukan daya ingatan yang kreatif, penguasaan bahasa yang kreatif juga perlu kerana penulisan kreatif berbeza dengan penullisan deskrektif. Penulisan kreatif memerlukan penguasaan bahasa yang baik kerana ia juga akan menghasilkan karya yang baik.

Penilaian sesebuah cerpen atau novel bukan sahaja bergantung kepada cerita, plot, tema dan sebagainya tetapi penguasaan bahasa juga penting. Sesiapa yang mendalami dunia penulisan kreatif akan merasai kelainan penguasaan bahasa yang digunakan di dalam bilik darjah. Ia amat berbeza dengan cara penulisan bercorak akademik atau keagamaan. Bagaimanapun, ini bukan bermakna penulisan kreatif mengetepikan hukum-hakam akademik dalam bahasa.

Cuma apa yang penting, teknik penulisan kreatif dan bukan kreatif mempunyai perbezaan yang dapat dikesan. Kebijaksanaan penulis memanipulasi bahasa bukan bermakna merosakkan bahasa tetapi bahasa akan menjadi lebih indah kerana kreatifnya penulis untuk menggambar sesuatu berbeza dengan bukan penulis.

Sebagai contoh:

  1. Bukan kreatif - Matahari telah terbit dari sebelah timur dan sinarnya tidak begitu panas. Embun sudah lama kering.
  2. Penulisan kreatif - Sinar mentari menguak dari sebelah timur. Cahayanya iseng-iseng menembusi pepohonan menghijau yang bertenggek di celah perbukitan. Titisan embun sudah lama melangkah pergi sebaik sahaja mentari perlahan-lahan menumpahkan sinarnya.

Proses Kreatif

Saya tidak pasti jumlah sebenar cerpen saya yang sudah disiarkan di pelbagai media sejak saya mula menulis sehingga kini. Cuma pada kali terakhir saya membuat anggaran kira-kira empat tahun lalu, lebih 120 buah cerpen sudah disiarkan termasuk dibukukan. Saya memang pernah membuat catatan mengenai penyiaran cerpen-cerpen saya seperti judul, tarikh disiarkan dan media yang menyiarkan. Tetapi catatan itu hilang dan sejak itu saya tidak mencatat tetapi keratan cerpen yang sudah disiarkan itu, saya ada menyimpannya untuk koleksi.

Manakala salinan cerpen asal (carbon copy) hampir separuh sudah hilang entah ke mana. Semua ini akibat berpindah rumah dan mengemas dan terlupa di mana disimpan. Bagaimanapun sebahagiannya masih dapat disimpan. Menggunakan mesin taip merupakan cara yang sangat popular ketika itu untuk menulis. Oleh kerana mesin fotokopi pun masih belum meluas penggunaannya ketika itu, apabila menaip cerpen terpaksa membuat salinan dengan menggunakan karbon. Salinan asal untuk dihantar ke akhbar atau majalah, sementara salinannya disimpan sebagai rujukan.

Apabila penggunaan komputer untuk menulis diperkenalkan, saya di antara yang tidak mahu ketinggalan memiliki set komputer waktu itu. Ketika itu komputer masih menggunakan Wordstar dan menggunakan disket yang besar. Kerja-kerja menulis lebih mudah sedikit kerana tidak mencetuskan bunyi bising berbanding mesin taip. Meskipun menggunakan komputer, masalah untuk menyimpan salinan cerpen, tetap timbul.

Biarpun dokumen boleh disimpan di cakera keras, cekera liut dan disket ada ketikanya komputer mengalami proses kehadiran versi terbaru menjadikan komputer lama menjadi kurang kelajuannya. Apabila bertukar kepada komputer yang lebih baru, adakalanya data-data di dalam komputer lama tidak dapat dipindahkan. Lebih menyedihkan, salinan cerpen yang disimpan di dalam cakera liut dan disket tidak dapat digunakan pada komputer baru. Saya masih menyimpan data-data cerpen yang sudah disiarkan di dalam disket tetapi malangnya, ia tidak boleh digunakan lagi. Ini bermakna satu lagi bahan dokumentasi sudah berkubur.

Apabila saya diminta untuk menulis bagaimana proses menulis cerpen bermula, saya tidak ada lagi salinan asal cerpen melainkan keratan akhbar yang menyiarkannya. Sikap saya sejak dahulu lagi, tidak gemar untuk menaip semula perkara yang sama kerana bagi saya, ia membuang masa.

Sememangnya di antara banyak-banyak cerpen yang sudah dihasilkan, proses kreatif untuk mengarang cerpen-cerpen itu tidak ada yang sama. Ada sebahagiannya, idea datang spontan malah ada juga yang terpaksa mendapatkan bahan-bahan rujukan sebelum menulis cerpen dilakukan.

Proses menulis cerpen sejak dahulu sehingga sekarang, saya boleh kategorikan dengan tiga tahap.

1. Tahap pertama: Tahap awal menulis ketika pengalaman masih baru, pemilikan ilmu bantu tidak mencukupi dan menggunakan mesin taip.

2. Tahap kedua: Tahap pertengahan menulis ketika terlalu ghairah menulis dan menghasilkan cerpen tanpa putus-putus ketika penggunaan komputer baru diperkenalkan.

3. Tahap ketiga: Tahap ketika sudah mencapai kepuasan menulis dan menggunakan komputer yang serba memudahkan.

Pada peringkat awalan menulis, tidak dinafikan proses kepengarangan begitu rancak. Ada sahaja idea hendak ditulis. Di mana sahaja ada akhbar dan majalah yang menyediakan ruangan cerpen, saya pasti akan menembusi akhbar dan majalah itu. Justeru pelbagai majalah dan akhbar sudah menyiarkan cerpen saya.

Manakala pada tahap kedua penulisan, proses mengarang semakin laju. Malah pada satu ketika dalam catatan yang pernah saya buat, sebanyak 15 buan cerpen disiarkan sepanjang tahun. Ini bermakna cerpen saya disiarkan setiap bulan adakalanya dua cerpen disiarkan dalam masa sebulan.

Boleh dikatakan, semua majalah dan akhbar yang pernah diterbitkan dapat saya tembusi malah ada majalah dan akhbar yang pernah menyiarkan cerpen saya ini, sudah lama berkubur tanpa nisan. Bagaimanapun kemunculan majalah-majalah baru mutakhir ini tidak mencetuskan minat untuk saya menulis cerpen.

Pada tahap ketiga pula, proses menghasilkan cerpen menurun mendadak. Ini kerana ingin mahu menjaga kualiti cerpen di samping hanya mengirimkan cerpen-cerpen ke ahbar-akhbar utama dan diantologikan. Malah sebagai penulis yang sudah menempa nama dan anugerah, kewajaran ini perlu diambil kira untuk menjaga mutu penulisan.

Pada tahap ini, kepentingan kualiti cerpen lebih diutamakan. Ini menyebabkan dalam setahun, kadang-kadang tiada satu pun cerpen disarkan di akhbar dan majalah. Saya hanya mahu menghasilkan cerpen-cerpen yang berkualiti sahaja untuk menjaga kredibiliti. Pada satu tahap apabila cerpen sudah menembusi majalah terbitam DBP, saya mula mengambil keputusan untuk tidak menulis cerpen ke majalah-majalah. Saya berpendapat, peluang harus diberikan kepada penulis baru mendapat tempat di majalah.

Bagaimanapun faktor-faktor lain seperti keterbatasan masa, jauh daripada galakan teman-teman kerana masing-masing sudah membina kehidupan sendiri dan sebagainya menjadi pendorong ‘kemandulan’ karya ditambah pula sekian lama menulis cerpen pelbagai tema sudah digarap sehingalah seolah-olah sudah tiada lagi yang hendak ditulis. Mana mungkin mahu menulis perkara yang sama sedangkan semua itu sudah ditulis ketika mula-mula menulis cerpen sebelum ini.

Sebagai penulis cerpen, saya terlalu mengharapkan ada perubahan-perubahan terhadap cerpen yang pernah saya hasilkan. Saya tidak mahu menghasilkan karya yang streotaip sejak dahulu sehingga sekarang.

Jika ada orang bertanya, adakah saya sudah puas menulis?

Ya, saya sudah puas menulis. Bukan bermakna saya tidak mahu menulis lagi. Saya masih mahu menulis tetapi saya akan menulis apa yang belum pernah saya tulis sebelum ini. Malah apabila ditanya, mengapa sudah lama tidak berkarya, saya lebih senang memberikan jawapan, agar peluang lebih diberikan kepada penulis baru yang berebut-rebut mendapatkan tempat. Apabila sudah sampai ke satu tahap, ada editor yang menelefon mahukan cerpen saya, bermakna saya bukan lagi sukar untuk mendapatkan tempat dan tidak perlu berebut dengan penulis yang baru menempa nama.

Saya tahu mereka juga sukar untuk bersaingan dengan penulis yang sudah mapan. Lalu apa salahnya beri mereka peluang mencipta nama?

Ada juga cerpen yang saya tulis memakan masa sebulan lebih atau dua tiga jam sahaja. Semuanya bergantung kepada idea, mood dan ilmu bantu yang mencukupi untuk menyiapkan sesebuah cerpen. Kebiasaan pada waktu malam, waktu yang sesuai untuk saya menulis cerpen. Saya tidak boleh menulis di dalam suasana yang agak bising. Malah sehingga kini pun saya masih menulis cerpen di dalam keadaan dan sunyi. Sunyi memudahkan idea datang dan menyelinap dalam ruang fikiran.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA