SMAHADZIR
KASIHAN manusia ini, ramai antara mereka membuat
kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang
sia-sia. Kerja dunia yang sementara bersungguh-sungguh mereka mengerjakannya.
Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja
dunia tidak lama yang disangka lama, hiduppun tidak sampai ke tua, ramai yang
mati muda.
Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi
larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour
dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka ini ditipu oleh angan-angannya. Mereka
memburu nama dan glamour dengan
bermacam dan berbagai cara. Ramai orang kerana hendak nama dan glamour, sanggup memanjat gunung,
menyeberang sungai yang alirannya deras, merenangi lautan, mengembara ke kutub
utara atau selatan, menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang
sungguh mahal dan lain-lain lagi.
Apakah dapat bersembahyang atau
tidak, tidak diambil kira, mereka melakukannya dengan bersusah payah untuk
sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Sama
ada ketika mengejar nama dan glamour itu
melanggar syariat atau as-sunnah
tidak dipedulikan, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa
membuat berita, yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.
Begitulah manusia pada hari ini,
kerana nama dan glamour sanggup mati
untuk mendapatkannya. Tetapi kalau kerana Allah sanggup berbuat bermacam-macam
alasan untuk tidak melakukannya. Susahlah, sibuklah, tidak ada masa dan kerana
itulah solat Subuhpun ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat
tetapi setelah matahari naik. Begitulah orang memperkecilkan Allah kerana
berbagai-bagai alasan. Kerana nama dan glamour
tidak ada yang mustahil, boleh sahaja melakukan apa saja.
Segala yang diusaha dan
diperolehi di dunia ini bakal ditinggalkan, tidak boleh dibawa ke mati.
Sedangkan usaha untuk akhirat adalah kekal abadi. Tetapi untuk akhirat itulah
yang dicuaikannya. Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa
apa-apa. Bekalan ke sana waktu di dunia telah dilupakan seperti tidak beribadah
atau beribadah secara sambil lewa sahaja, tidak berjiwa langsung. Pemurahnya
tidak ada, bermaaf-maafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah
dilupa. Sabar dan redha tak usah dikata, bukan budaya hidupnya mengutamakan
orang lain. Ziarah-menziarahi bukan budayanya, menghormati hukum-hakam Allah
dalam hidupnya bukan disiplinnya.
Islamnya hanya syahadah dan
sedikit-sedikit ibadah lainnya, itupun bukan dari jiwa. Bertimbang-rasa tidak
dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga yang ada, dia memikirkan
kepentingan diri dan keluarga atau kroni-kroninya sahaja. Orang miskin, susah,
dapat bala peduli apa! yang dibawanya ke akhirat ialah sifat sombong, tamak,
bakhil, pemarah, zalim, megah, riyak, ujub, di samping lupa Allah, tidak takut
dan tidak cintakan Penciptanya.
Sewaktu hendak mati masih dalam
angan-angan lagi ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamour. Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang,
masih mengangkat diri, ajalpun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan,
dengan kata-kata lain tidak membawa sifat takwa sebagai bekalan. yang dibawanya
hanya sifat-sifat mazmumah yang
bernanah dalam jiwanya.
Aduh malang sekali, dia pergi ke
dunia akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke neraka, barang-barang
yang dibawa untuk ke syurga tidak ada, maka rugilah dia sepanjang masa buat
selama-lamanya. Semoga kita dijauhkan Allah dari memiliki sifat-sifat seperti
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan