SMAHADZIR
PEREMPUAN itu, dengan blazer
biru, duduk di pojok membelakangi pintu. Mungkin sedang menunggu. Mungkin ingin
dibelai manja. Didekati dengan permintaan maaf romantis lalu bergurau-senda.
Mungkin. Menghadapi jus oren dan menghabiskan biskut coklat dengan perlahan.
Menghayatinya, seakan-akan tidak akan ada lagi ketika untuk makan minum. Tetapi
apakah kebahagiaan cuma itu? Sesederhana itu? Nur Habibah Dato Paduka Osman
Halimin muncul.
“Sudah
lama?” soalnya.
Aku menggeleng
mengisyaratkan tidak terlalu lama. Sekadar lebih kurang lima belas minit saja
lamanya. Aku menarik kerusi untuknya. Membiarkannya duduk sambil menyedut bau
pewangi yang menggerbak dari tubuhnya.
“Ganti
pewangi?” soalku.
Nur
Habibah tersenyum lesu. “Pakai pewangi yang sama pun jemu juga!” ujarnya
bersahaja. Kemudian tersenyum. Meraih menu dan memilih hidangan yang berkenan
di hati.
Aku
menyandar. Menyemak profil. Tersentak ketika dia tengadah.
“Kamu
sudah pesan?”
“Belum
lagi!” jawabku.
“Laa,
kenapa tak pesan? Kenapa tunggu aku?”
“Aku
fikir kamu mempunyai selera yang bagus? Tolong pilihkan untuk aku sekali!”
Nur
Habibah tersenyum lagi. Tangan teracung, telunjuk menuding, sambil menggelengkan
kepalanya. Menulis. Menyorongkannya sambil bersandar menunggu pelayan mengambil
pesanan. Aku menyemak tape, menyerap suasana tenang di restoran ketika
makan tengah hari akan dimulai, dan jalanan lengang.
Kota
menyembunyikan orang ramai dalam pejabat, tekun semuanya dalam usaha mencukupi
keperluan hidup. Ya! Tetapi perempuan di pojok itu, yang membelakangi pintu dan
sibuk dengan menu sederhana itu? Seorang penganggurkah dia? Seorang yang sedang
menghabiskan cuti tahunankah? Siapakah dia?
“Ada
apa, Fikri? Apa yang kamu sedang fikirkan?” soal Nur Habibah.
* * *
Di Mega Bookstore, di
bahagian buku sastera, aku melihat perempuan itu lagi. Blazer krem
dengan baju panjang span krem belahan belakang. Juga baju dalam tanpa leher.
Berdiri, memusatkan diri pada sebuah buku. Dibaca kulit belakangnya, hingga
kelihatan cover-nya. Hitam berbunga daffodil timbul. Antologi
cerpen penulis Pujangga Marhaen - Jalan Lengang.
Perlahan-lahan
aku mendekat. Meraih buku yang sama. Menyemak gambar kulit, memeriksa daftar
isi. Ada sembilan belas buah cerpen. Tiga darinya serasanya pernah dibaca dalam
majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Dia
pengarang yang bagus…” aku cuba bersuara.
Dia
gesit mengalihkan pandangan matanya kepadaku.
“Novel
Persembahan Terakhir karangannya diakui ramai pengkaji sastera sebagai
sebuah novel yang baik, mempunyai ciri-ciri yang dapat menarik minat pembaca
untuk menghayati ceritanya..” tokokku mengumpan perbualan dengannya.
Dia
mengangguk.
“Tema
yang dipaparkan hebat, tema ketabahan dan kegigihan seorang pemuda kampung
untuk mencapai kejayaan…” ujarku mulai bersemangat.
“Teruskan..”
katanya, lunak.
“Err,
Ikram yang tidak mempunyai pendidikan tinggi akhirnya telah menjadi seorang
penggubah lagu yang terkenal berkat ketabahan dan kegigihannya. Untuk
membuktikan kejayaannya, dia diberi penghargaan untuk memimpin Persembahan
Orkes Perdana yang telah dihadiri oleh Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan
Agong…”
“Saya
dah baca novel ni,” dia mencantas.
“Novel
ni mengetengahkan gaya bahasa yang menarik, dipenuhi diksi moden seperti
penggunaan bahasa Inggeris untuk menyokong latar masyarakat dalam cerita. Selain
itu watak antagonisnya juga berjaya menghidupkan jalan cerita. Penulis ini berjaya
menghidupkan watak antagonis dengan berkesan. Kekejaman yang dilakukan oleh watak
antagonis dan kebenciannya terhadap Ikram telah berjaya meninggalkan kesan yang
mendalam kepada pembaca. Contohnya, Ikram dilarang makan malam adalah antara
bentuk hukuman yang keras dijatuhkan oleh watak antagonisnya. Watak itu sanggup
menjatuhkan hukuman tersebut tanpa perikemanusiaan. Tindakan ini berjaya
menimbulkan rasa benci pembaca terhadapnya.” Panjang lebar aku mencerlus tentang
Persembahan Terakhir karya Pujangga Marhaen itu
Perempuan
itu memandang wajahku tunak-tunak.
“Maaf,
itu serba sedikit yang saya tahu tentang Persembahan Terakhir karangan
penulis Pujangga Marhaen ini. Kamu menyukainya?” aku bertanya.
Perempuan
itu tersenyum. Mengangguk kecil. Meletakkannya, meraih novel Pujangga Marhaen lagi
sebuah, Seleret Cahaya. Diterbitkan oleh Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd.
Ya! Perempuan itu membaca kulit belakang, dan melirik. Menunjukkannya sambil
mengangguk lagi.
Aku
tersenyum. Aku juga pernah menulis rencananya di dalam laman web Klik-web
DBP. Ya! Aku tersenyum. Aku menarik nafas, mengumpulkan ingatan. Tersenyum lagi
dan mengangguk kecil.
“Kamu
sudah membaca novel Seleret Cahaya ni?” soalnya kepadaku.
“Saya
yang menulis biografi penulis prolifik ini dalam laman web... novel ni juga
saya dah hadam plotnya.”
“Bagus
tak ceritanya?” soalnya lagi.
“Bagus
juga,” jawabku.
“Bagus
macam mana?”
“Seleret
Cahaya ni bukanlah sebuah cerita biasa kerana dalam kehalusan
ceritanya tersirat berbagai erti tentang masyarakat dan pengalaman tokoh
seniman dalam zamannya,” ujarku. “Tokoh seniman dalam novel ni adalah seorang
penglipurlara yang hidup sebelum dan sewaktu Perang Dunia Kedua. Novel ni
berkisar pada kehidupan Pak Dolah, seorang tukang cerita, yang menghadapi
saat-saat hidup yang memilukan. Zaman yang berubah mengancam kedudukan dan
peranan pentingnya kerana masyarakat tidak lagi meminati seni yang diwarisi,
terutama generasi muda, akibat dari perubahan nilai dan kemajuan material.
Perasaan dan harapan Pak Dolah menjadi bertambah pahit apabila kepandaiannya
itu tidak dapat dipindahkan kepada satu-satunya anak lelakinya yang cacat akal
sejak kecil.”
“Wau,
hebat ceritanya,” dia memuji seraya mengacungkan ibu jarinya kepadaku.
“Sebab
penulisnya hebat,” ujarku.
“Kamu
juga seorang penulis rupanya,” dia tersenyum manis.
“Sikit-sikit..”
Aku bersuara gembira sembari menghulurkan tangan dan perempuan itu menerimanya.
Kami bertukar nama - bertukar kad nama. Aku mengukuhi kompilasi cerpen Pujangga
Marhaen.
Aku
merancang membelinya untuk melengkapi koleksi buku sastera, sekali gus akan
membuat sebuah makalah di Dewan Sastera. Seperti biasanya. Menarik nafas
memperhatikannya menjauh - ke rak majalah hiburan. Kemampuannya ada di sana.
Cuma ingin dibawa oleh suspens, terumbang-ambing lupa segala. Terhibur
atau menghibur diri?
* * *
Siti Nordiana menelefon,
cerpen Belantara Cinta muncul di aroma. Aku terkejut. Pertama, aku belum
tahu bahawa cerpen yang dikirim tiga bulan lalu itu telah tersiar. Kedua, Siti
Nordiana ternyata masih ingatkan aku.
“Itu
bagus, tahniah Fikri!” katanya, menggoda.
Aku
tertawa. Aku tidak tahu berkata apa-apa lagi. Sebuah cerpen, yang ditulis tidak
serius, disediakan untuk majalah hiburan, tetapi diperlukan sebagai sesuatu
yang besar. Seharusnya cuma dianggap hiburan, diperlukan sebagai sesuatu yang
menghibur. Aku memindahkan telefon bimbitku ke pipi lain.
Aku
memerhatikan monitor komputer, tulisan memenuhi layar dan hilang diganti oleh
konfigurasi 3-D. Aku sedang menulis novelet dengan asas autobiografi Nur
Habibah Dato Paduka Osman Halimin.
“Tulisan
apa adanya,” katanya, di restoran, “Biar aku lega, bebas dari beban batin. Terus
terang, sudah lama aku ingin mengungkapkannya tapi tak mampu - tak ada bakat.
Apakah kamu mampu, Fikri?”
“Ya!
Serasanya mampu!”
Tetapi
apakah aku ingin menolong Nur Habibah melakukan katarsis atau aku usil ingin
mengetahui apa yang telah terjadi di dalam masa sepuluh tahun itu?
Perasaan-perasaannya, kepada Imran, setelah sepuluh tahun berpisah? Terutamanya
sebaik selesai seminar yang perih itu: Berkurang atau tetap membara?
Mereka
bercinta, berhasrat akan menikah. Tetapi orang tua Nur Habibah iaitu Dato
Paduka Osman Halimin dan Datin Muriyani Dato Khuzair memisahkannya dengan
kasar. Mengawalnya ke manapun pergi - dengan kereta dan pemandu tetap. Aku
merasa senang. Tenang. Aku berfikiran: Perasaannya akan dilindungi, aman
terisolasi, hingga aku akan memiliki kesempatan untuk menyelinap memasuki
hatinya.
Nyatanya,
meskipun Imran dijauhkan, Nur Habibah tetap merindukannya. Aku berundur,
memutuskan pergi ke Kuala Lumpur, cuba merintis jalan berjaya dan merengkuhnya.
Nyata - sepuluh tahun kemudian kami bertemu di dalam seminar, aku menangis
ketika menyedari dia masih merindui Imran, dan memilih mengekalkan cintanya
meski Imran sudah menikah dan mempunyai dua orang cahaya mata: Meleset!
Bahkan
dia minta agar aku menulis sebuah novel tentang cinta abadinya kepada Imran,
tentang penyesalannya kerana tidak berani menentang orang tua, dan pilihannya
untuk tetap bertahan membujang. Ya! Apa lagi yang mampu dilakukan? Apakah ikut
melaksanakan cinta terpendam, kepahitan gagal dicintai oleh orang yang sangat
dirindui, ke dalam cinta platoniknya Nur Habibah? Sebuah empati untuk semacam
melodrama kosong, yang tak punya apa-apa makna? Aku menelan liur. Memejam.
“Hello?”
“Sorry,
Diana, sorry. Aku sedang menulis ni! Selepas ingatan ada di dalam pen
drive, separuhnya dibawa kamu ke dalam cerpen yang separuh aku ingat
akannya..”
“Aku
mengganggu ya?” kata Siti Nordiana bernada kesal.
“Tidak..
lagi bingung menguraikan benang.. kusut.. fakta, fantasi dan emosi. Aku..
diminta kawan menfiksikan pengalamannya menjadi anak taat, lalu kehilangan jati
diri.”
“Kawan
kamu yang di Restoran Siti Khadijah itu ya?”
“Apa?”
“Aku
pernah melihat kamu bersamanya di Restoran Siti Khadijah tu! Ya kan?”
“Mengarut..”
“Heh,
kawan atau buah hati? Ayuh, jangan berahsia pula...”
* * *
Nur Habibah bertanya tentang
draf novelnya. Aku menarik nafas panjang. Bergentayangan di cepu kepala memori
masa di sekolah menengah sekali lagi. Aku berkawan dengan Imran, dan sama-sama
meminati Nur Habibah. Imran lebih agresif kerana memiliki segala syarat sebagai
lelaki yang kacak di hadapan Nur Habibah yang juga ayu.
Mereka
menjadikan aku sebagai posmen. Aku membawa surat Imran kepada Nur Habibah, aku
membawa surat Nur Habibah kepada Imran, dan juga menemani mereka menonton filem
Bobby atau makan ais krim di tepi sungai. Terpanggang kerana aku senantiasa
ingin menendang Imran, kerana aku selalu ingin merangkul Nur Habibah. Sekali gus
sedar bahawa aku cuma anak keempat seorang guru - ibu suri rumah sepenuh masa -
yang menyekolahkan anaknya dengan banyak menunggak lain-lain perbelanjaan. Aku
merasa terlalu kerdil. Seperti sampah. Lantaran itu aku bermimpi menjadi orang
besar dan dikenangi Nur Habibah. Sekarang aku dikenangi, sekadar penampung
ceria.
“Macam
mana, Fikri?”
“Susah...”
“Laa…
macam mana ni? Katanya mampu. Mudah...”
“Bukan
begitu. Aku tak mampu membuat jarak. Aku kenal kamu, aku kenal Imran, aku tahu
semua tokoh utama yang wujud dalam hidup kamu tu! Ini bukan cuma masalah orang
tua dengan anak. Ini masalah Dato Paduka Osman Halimin dan Datin Muriyani Dato
Khuzair - orang besar.”
“Wah,
sampai ke situ perginya..”
“Sastera
mesti berani menampilkan cerita sebenar meski watak boleh ditukar kepada nama
lain..”
“Jadi?”
“Apakah
wajar menepuk air di dulang lalu terpercik ke muka sendiri? Meski dengan nama
samaran?”
“Lupakanlah…”
Nur
Habibah menunduk. Kecewa. Dia menyatakan bahawa gagasanku itu mungkin benar,
bahawa semua keinginannya itu mungkin kerana dia terlalu lama mengharap dan
kehilangan harapan ketika mengetahui Imran tidak lagi mengingatinya.
“Barangkali
memang bodoh. Dungu mengharapkannya, kecewa dan menyalahkan orang tua yang
menyebabkan semua itu. Mengapa tidak melihatnya sebagai masa muda. Impian yang
harus dihapuskan. Cinta untuk dilupakan. Maafkan aku, Fikri!”
Aku
termangu-mangu. Apakah aku juga harus ikut melupakannya seperti sepuluh tahun
lalu, mengambil keputusan meninggalkan dia bersendirian? Melenyapkan segala, mencabut
akar kewujudan, dan membuang diri ke Kuala Lumpur?
Lantas
apa yang tersisa bila aku menghapuskan Nur Habibah, yang menjadi motivasi
aktualisasi ketika ini? Semangat aktualisasi diri. Energi dan tuntutan untuk
berjaya. Sauh kebanggaan, malah mengingkari diri, ketika dibawa ke seminar itu.
Fatamorgana
yang menyakitkan, sangat menyakitkan, ketika diminta cuma ditelan dan tidak
diungkapkan, kerana Nur Habibah menelan pil pahit? Mengapa Imran yang bebas dan
berbahagia? Apakah kini aku harus menulis dengan rasa sarat kebencian - selain
kesunyian dan rindu?
Aku
meraih dompet, mencari kad nama Siti Nordiana Hamdani. Berhasrat untuk sekadar
mengajaknya menonton dan berbual. Aku menghubunginya. Menunggu, terus menunggu.
Lalu terdengar suara yang amat mengantuk. Aku menggodanya. Siti Nordiana
menguap - mungkin telefon di sisi pembaringan.
“Sorry.
Aku sudah diajak tunangku ke Cameron Highlands. Dan mungkin lain kali saja, Fikri,”
katanya. Telefon ditangkupkan. Seberang mendengung.
Aku
memejam. Mengembalikan semula perhatian dan berhadapan dengan deretan huruf dan
angka telefon bimbit di tangan. Apakah aku harus menelefon orang lain pula?
Atau pulang dan kembali mengetik laptop-ku menyiapkan sajak, cerpen dan juga
artikel yang masih perlu diperbaiki? Atau menyiapkan kompilasi cerpen, menulis
rencana atau kritikan, menyusun artikel atau kolom, dan berpuisi. Dan macam-macam
lagi aku boleh lakukan.
Bergulat dengan sepi dan berpura-pura tidak
kesepian dengan menulis tentang kesepian secara teramat indah. Tertawa di dalam
kesedihan. Tidak muram kerana mampu mentertawakan kesedihan? Begitukah kudrat seorang
pengarang? Begitukah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan