Ahad, 31 Disember 2023

JADILAH GENERASI BELIA PENCIPTA SEJARAH

SMAHADZIR

 

AHLI sejarah telah meletakkan kekuatan sesuatu bangsa dan tamadun bermula dengan penegasan identiti diri. Apabila seseorang individu itu kenal diri mereka sebaiknya, timbullah keyakinan dalam diri bahawa mereka secara tersendirinya adalah seorang yang hebat. Jika tidak dirasai kehebatan dan kewibawaan dirinya, maka di situlah mula generasi belia kita mengikuti orang lain yang dirasakan lebih hebat. Kata kunci di sini adalah ‘kagum’, iaitu kekaguman kepada kewibawaan orang lain menjadikan kita berasa diri kurang, seterusnya meletakkan harapan dan kepercayaan kepada ‘hero-hero’ di luar bangsa sendiri.

Belia sejati sebagaimana dinyatakan sajak Arab, bermaksud: “Bukan pemuda (sejati) mereka berkata dulu bapaku (begitu dan begini), tetapi ialah yang mengatakan inilah aku.” Ertinya belia tulen ialah belia bukan hanya bernostalgia dengan kegemilangan datuk neneknya atau sejarah masa lalu tetapi belia yang ‘berbangga’ dengan sumbangan bermakna atau belia yang mencipta sejarah tersendiri.

Sejarah telah mencatatkan bahawa Melaka pernah muncul sebagai Empayar Melayu terbesar. Sejarah penyebaran Islam besar-besaran di Nusantara juga bermula di Melaka. Bahasa Melayu juga menjadi lingua franca di rantau tersebut, digunakan oleh sesiapa sahaja yang datang menyinggah, saudagar-saudagar dan pendatang-pendatang asing lain. Mana mungkin bahasa itu dipertuturkan secara meluas sekiranya bangsa itu lemah! Kemakmuran dan kehebatan Kesultanan Melayu Melaka boleh dilihat kepada betapa pesatnya perkembangan tamadun Melayu Melaka.

Generasi belia adalah aset berharga kerana merekalah tonggak kekuatan serta pewaris kepemimpinan masa depan negara. Keadaan masyarakat akan datang bergantung pada keadaan dan pembinaan belia hari ini. Jika keadaan belia hari ini baik dan pembinaannya sempurna, besar kemungkinan masyarakat pada masa akan datang akan juga menjadi baik dan begitulah sebaliknya.

Pembabitan dengan aktiviti penagihan dadah, berzina, pembuangan bayi, minum arak dan gejala sosial lainnya berpunca daripada kegagalan mengawal gelora syahwat dan hawa nafsu yang boleh menjatuhkan kualiti akhlak manusia setaraf binatang. Oleh itu, golongan belia perlu memastikan kehidupan di dunia ini mendapat perlindungan Allah SWT kerana antara tujuh golongan dilindungi Allah di akhirat ialah pemuda yang hidup beribadah kepada Allah. 

Ramai di antara kita adalah pemuda yang beruntung kerana diberi nikmat pendidikan tinggi dan harta melimpah. Masih tidak terlambat untuk membina satu wawasan dan berusaha keras bagi mencipta sejarah tersendiri dan meninggalkan sesuatu bagi umat ini. Sesuatu yang bukan hanya dilihat sebagai legacy tetapi juga sebagai amal jariah yang akan menjadi saham berterusan hingga hari kiamat, sejajar dengan sabda Rasulullah SAW: “Jika mati anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Namun, kita tidak akan dapat mencipta sejarah dan meninggalkan legacy, sekiranya:

1.     Berjiwa kecil yakni tiada keyakinan pada diri sendiri, tidak mampu mengurus diri sendiri, tiada semangat ‘yakin boleh’, tidak berani mencuba.

2.     Berakal kecil yakni sibuk dengan perkara remeh, sibuk dengan masalah dari melihat peluang, tidak mampu mengekalkan idealisme wajar, tiada wawasan dalam hidup, pesimis.

3.     Beramal kecil yakni tiada kesungguhan dalam perjuangan, mudah putus asa, lokek dalam pengorbanan, berpuas hati dengan apa yang ada, mediocre dalam semua perkara.

Kita jangan bernostalgia dengan pencapaian umat lalu, kecuali sebagai dorongan untuk berlumba mencipta sesuatu bagi umat hari ini dan akan datang. Agar kita terus dikenang, agar doa umat akan terus melimpahi kita, pada ketika kita bersemadi di liang lahad sendirian.

Perlulah kita ingat bahawa Allah SWT tidak akan menyoal kita akan sumbangan mereka terdahulu, tetapi kita hanya akan ditanya mengenai sumbangan kita sendiri. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Mereka itu adalah umat yang telah lalu. Bagi mereka apa yang telah mereka lakukan dan bagi kamu apa yang kamu lakukan dan kamu tidak akan ditanya apa mereka (yang terdahulu) lakukan.” (surah Al-Baqarah : 141)

Selagi kita masih hidup, sejarah umat ini berada dalam diri dan di tangan kita. Ini bermaksud, nasib sesuatu bangsa akan bergantung pada apakah bentuk wawasan yang ada di minda belia mereka. Pencapaian wawasan berkenaan pula bergantung pada usaha keras mereka.

Oleh itu, adalah penting untuk para belia mempunyai wawasan. Wawasan ini haruslah sebuah wawasan besar bagi diri dan masyarakatnya. Islam menuntut setiap muslim untuk menjadi seorang yang soleh (baik) dan juga musleh (mampu membaiki orang lain). Maka generasi belia terutama yang beragama Islam dituntut untuk berwawasan bukan hanya berkaitan bagi dirinya sendiri seperti keinginan untuk menjadi doktor atau ahli perniagaan berjaya tetapi juga mempunyai wawasan berkaitan kesolehan, pembangunan dan kemajuan masyarakatnya. Mempunyai wawasan bagi hari muka adalah dianjurkan Islam.

Allah SWT berfirman, bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, bertakwalah pada Allah dan hendaklah setiap jiwa itu melihat apa yang akan ia kemukakan untuk hari esok, dan bertakwalah pada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (surah Al-Hasyr :18)

Ayat ini menganjurkan umat agar sentiasa melihat ke hadapan dan merancang untuk hari muka, ertinya membina wawasan untuk hari muka dan berusaha mencapainya. Belia yang tidak mempunyai wawasan ialah belia yang potensinya akan terbazir. Belia sedemikian akan terumbang-ambing hidupnya tanpa tujuan dan perancangan. Dalam banyak keadaan belia seperti ini hanya akan memenuhkan hidupnya dengan hiburan dan permainan semata-mata kerana dipengaruhi hedonisme Barat. Kegagalan belia seperti ini sebagaimana ungkapan berikut, “One who fails to plan, plans to fail.”

Masyarakat yang mempunyai belia seperti ini ialah masyarakat yang pasti akan menuju kehancuran. Sedangkan belia yang hanya berwawasan bagi manfaat dirinya dan hidupnya hanya dipenuhi sesuatu bagi memenuhi keinginan peribadi semata-mata, ialah belia yang mementingkan dirinya sendiri.

Maka jadilah belia yang berwawasan. Apa juga wawasan yang tinggi, besar dan bermanfaat adalah sesuatu yang digalakkan. Namun wawasan berkenaan mestilah dipandu oleh prinsip-prinsip berikut:

1.     Wawasan dalam rangka ibadah pada Allah SWT sejajar dengan firman-Nya: “dan Aku tidak jadikan Jin dan manusia kecuali untuk beribadah pada-Ku.” (surah Az-Zariyat : 56)

2.     Sesuatu itu hanya akan menjadi ibadah apabila dilakukan dengan hati ikhlas kerana Allah SWT dan mengikut hukum ditetapkan oleh-Nya, sejajar dengan Islam. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.” (surah Ali-Imran : 19)

3.     “dan barangsiapa mencari Islam sebagai agama (cara hidup), maka tidak akan diterima darinya dan dia di akhirat dari golongan yang rugi.” (Ali-Imran : 85). Ia adalah wawasan yang merealisasikan peranan sebagai khalifah di muka bumi. Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah. Firman-Nya: “Apabila Tuhan kau berkata pada malaikat, bahawa Aku akan mencipa di bumi ini seorang khalifah.” (surah Al-Baqarah : 30)

Peranan utama khalifah di muka bumi ialah untuk memakmurkan bumi ini dengan aturan yang telah ditetapkan Allah SWT, terkandung dalam ajaran Islam. Dalam kata-kata ringkas, wawasan seseorang belia haruslah merangkumi dua aspek iaitu untuk menegakkan agama dan memakmurkan dunia. Bukan salah satu darinya.

Bagi generasi belia terutama yang beragama Islam, wawasan sedemikian adalah satu kewajiban agama. Pengabaian terhadapnya merupakan pengabaian terhadap perintah Allah SWT. Sesiapa yang melakukannya dicela dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Namun wawasan sahaja tidak mencukupi. Wawasan berkenaan haruslah didokong oleh keperibadian yang baik. Hanya belia berperibadi sesuai sahaja akan benar-benar mampu menjayakan wawasan berteraskan prinsip di atas.

Dalam mendokong satu wawasan murni, belia Islam haruslah memastikan bahawa ia memiliki ciri-ciri asas iaitu akidah murni dari penyelewengan, ibadah benar dan bersih khurafat dan akhlak mulia. Ciri-ciri asas ini, didokong pula oleh ciri-ciri tambahan seperti:

1.     Sentiasa berusaha mempertingkatkan diri dalam semua bidang dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang diceburi. Ciri ini diasaskan kepada sabda Rasulullah SAW: “Manusia bijak ialah manusia yang sentiasa menghisab dirinya dan berusaha untuk hari matinya. Manusia lemah ialah manusia yang sentiasa mengikut nafsunya dan sentiasa berangan-angan terhadap Allah SWT.”

2.     Komited pada usaha untuk membangun masyarakat. Ciri ini diasaskan kepada dalil: “dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari mungkar dan merekalah orang-orang berjaya.” (surah Ali Imran : 104)

3.     Mampu bekerja secara kolektif dan berorganisasi. Ciri ini diasaskan kepada dalil: “Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam barisan seolah-olah satu binaan tersusun kukuh.” (surah As-Saf : 4)

4.     Sedia memimpin. Ciri ini didasarkan dari dalil: “Tuhan kami kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertakwa.” (surah al-Furqan : 73) Pengajaran dari ayat ini ialah Allah menggalakkan umat Islam membina sifat dan kemampuan kepimpinan yang dimanifestasikan dari amalan berdoa. Walaupun Islam tidak menggalakkan umat Islam menuntut jawatan kepimpinan tetapi ia tidak menghalang mereka dari membina kemampuan kepimpinan dalam diri mereka berdasarkan ayat ini.

5.     Kompeten dengan keperluan semasa. Ciri ini didasarkan pada sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang pakar.” (Muslim)

6.     Berminda luas dan berfikiran global dan universal. Ciri ini didasarkan pada dalil: “dan tidak kami utus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (surah Al-Anbiya’ : 107) Islam adalah agama universal, diturunkan untuk seluruh umat manusia bukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu atau umat Islam sahaja.

Seterusnya Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya: ‘Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain.’ (Riwayat Al-Tabarani)

Hadis ini menjelaskan bahawa manusia yang baik menurut pandangan Islam ialah orang yang hidup menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Generasi belia beginilah yang menjadi cita-cita negara untuk membentuk warga kreatif, pencetus dan pembina tamadun dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Justeru, golongan belia harus memastikan kehidupan mereka di dunia ini mendapat perlindungan Allah SWT. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bermaksud: ‘Bahawa terdapat tujuh golongan manusia dilindungi Allah SWT pada hari akhirat iaitu:

 

1.     Pemimpin adil

2.     Pemuda yang hidup dalam beribadah kepada Allah SWT

3.     Orang yang mengingati Allah SWT ketika bersendirian lalu menitis airmatanya

4.     Orang yang hatinya bergantung kepada masjid

5.     Orang yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT semata-mata

6.     Lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik tetapi mengatakan aku takut kepada Allah SWT

7.     Orang bersedekah dan memyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa dibuat oleh tangan kanan.

 

Lantaran itu, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan generasi belia negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya menjadi generasi belia pencipta sejarah, berjaya memainkan peranannya sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi ayat 10, bermaksud: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA