SMAHADZIR
PENYEBAB kemarahan Mohd Zubir Awwam sebenarnya
remeh saja. Dalam diskusi kesenian di sebuah pusat kebudayaan, moderator yang
menyediakan fakta perbincangan sebagai salah seorang penceramah menyebut
namanya secara lengkap, Prof Madya Dr Mohd Zubir Awwam Mahyudin. Dia tampil
sebagai penceramah setelah namanya dipanggil. Kemudian Mohd Zubir Awwam
menyampaikan ceramahnya dengan tenang dan meyakinkan.
Ketika Mohd Zubir Awwam
menyampaikan ceramahnya itu, orang yang hadir di ruang diskusi mengangguk
menyatakan persetujuan. Dan ketika dia selesai dalam sesi soal jawab, hadirin
bertepuk tangan tanda puas hati dengan hujah penyampaiannya.
Ketika itulah Mohd Zubir
Awwam menghampiri pengerusi penganjur diskusi, Wahab Hadian, sambil mengatakan
dengan tegas, “Saya akan mendakwa kamu ke muka pengadilan.”
Wahab Hadian yang kenal
betul dengan senda gurau dan kelakar Mohd Zubir Awwam menyambut kata-kata itu
sambil tertawa, kerana dia menyangka kata-kata itu hanya gurauan. Tetapi Mohd
Zubir Awwam tidak main-main dengan kata-katanya itu. Melalui seorang peguam dia
menuntut ganti rugi kepada Wahab Hadian.
Sebenarnya, sebelumnya
dia telah meminta ganti rugi itu tetapi dipandang sepi oleh Wahab Hadian. Sebab
itulah Mohd Zubir Awwam membawa tuntutan ganti rugi tersebut ke mahkamah. Di
mahkamah, pihak pendakwa tetap menuntut lima puluh ribu seperti yang diinginkan
oleh Mohd Zubir Awwam.
Sebaliknya Wahab Hadian
melalui peguam belanya tetap bertegas tidak bersedia memberikan walau sesenpun
terhadap tuntutan itu.
Kes mereka telah beberapa
kali dibicarakan, namun belum juga selesai. Kerana itu pada suatu pagi setelah
selesai perbicaraan kesekian kali dan hakim menunda sidang sehingga waktu yang
ditentukan nanti, peguam pembela mendekati Mohd Zubir Awwam dan mengatakan,
“Saya khuatir Wahab Hadian tidak akan bersedia memenuhi tuntutan tuan sampai
bila-bilapun. Dan hakim sendiripun berkemungkinan besar akan memenangkan Wahab
Hadian, kerana Wahab Hadian sebenarnya diragukan kesalahannya dalam kes ini.”
“Diragukan?” ujar Mohd
Zubir Awwam separuh menjerit. “Saya telah mengatakan kepadanya sebelum majlis
diskusi, agar menyebut nama saya Dr Mohd Zubir Awwam Mahyudin saja, tanpa gelaran
yang lain. Tetapi moderator gila itu menyebut nama saya sebagai Prof Madya Dr
Mohd Zubir Awwam Mahyudin.”
“Hanya kerana itu,” kata
peguam pembela. “Yang seharusnya kamu dakwa adalah moderator dan bukan Wahab
Hadian selaku pengerusi penganjur diskusi.”
“Semestinya dia,” tegas
Mohd Zubir Awwam. “Sebagai pengerusi penganjur diskusi, Wahab Hadian harus
mengatakan kepada moderator bahawa yang disebut hanyalah nama saya tanpa Prof
Madya. Saya sudah pun bersara dari universiti dan tak layak lagi memakai
gelaran Profesor Madya. Tetapi permintaan saya ternyata tidak dipenuhi Wahab
Hadian, padahal sebelumnya sudah saya katakan, saya akan dakwa dia di mahkamah,
atau menuntut ganti rugi kalau dia menyebut nama saya sebagai Prof Madya. Saya
kan telah memberi sanksi terlebih dahulu kepada dia, tetapi dia masih tetap
menyebut Prof Madya di depan nama saya. Kesalahan ini disengajakan dan bukan
satu kelalaian. Takkan dia tak tahu, sudah jelas ada dalam peraturan. Seseorang
Profesor Madya tidak boleh dipanggil ‘Professor’. Etikanya adalah salah. Jika seseorang
itu sudah memiliki PhD cukuplah dengan memanggilnya ‘Dr.’ sahaja. Jika belum
memiliki PhD atau bukan doktor perubatan, bolehlah dipanggil dengan saudara, encik,
tuan atau puan saja. Ungkapan yang tepat untuk saya adalah ‘Dr’ sebab saya
berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah, tetapi Prof Madya tak boleh dipanggil lagi
kerana saya sudah bersara dari menjadi pensyarah di universiti,” tambahnya lagi
panjang lebar.
Peguam terdiam lama.
Kemudian sambil menatap wajah Mohd Zubir Awwam dia mengatakan, “Kamu dan Wahab
Hadian adalah tokoh-tokoh kebudayaan di sekitar daerah ini. Mengapa perkara
begini tidak diselesaikan saja secara baik-baik?” ujarnya tenang dan waras.
“Saya telah berusaha
menyelesaikannya secara baik-baik dengan mendatangi Wahab Hadian dan meminta
ganti rugi lima puluh ribu ringgit. Tetapi dia keberatan. Sebab itu saya tidak
punya pilihan lain kecuali membawanya ke mahkamah,” tegas Mohd Zubir Awwam.
Peguam yang semakin hari
semakin ragu bahawa tuntutan Mohd Zubir Awwam akan dapat dimenangkan oleh
hakim, meninggalkan Mohd Zubir Awwam setelah mendengar kata-kata mantan
pensyarah universiti tersebut.
Di pinggir jalan Mohd
Zubir Awwam berdiri menunggu teksi. Sementara itu Wahab Hadian juga sedang
menunggu teksi di seberang jalan. Wahab Hadian lebih beruntung kerana tidak
lama kemudian sebuah teksi menghampirinya. Setelah tawar menawar dia menaiki
teksi tersebut.
Tetapi kemudian dia turun
pula. Sambil menjerit memanggil nama Mohd Zubir Awwam, dia melambaikan
tangannya. Mohd Zubir Awwam yang mendapat tawaran itu tidak menolak, dan segera
menghampiri Wahab Hadian. Lalu kedua-dua mereka masuk dalam satu teksi meninggalkan
kawasan mahkamah.
“Kamu dah keterlaluan,
Zubir!” kata Wahab Hadian. “Takkan kerana sebutan Prof Madya itu saja kamu tuntut
lima puluh ribu ringgit dari aku?”
“Kamu juga keterlaluan,
Wahab!” balas Mohd Zubir Awwam. “Takkan gelaran yang tidak aku sukai itu
disebut-sebut juga ketika memanggil nama aku. Aku kan dah pencen dari jawatan
pensyarah di universiti. Gelaran Prof Madya juga tak boleh digunakan lagi di luar
universiti. Takkan itupun kamu tak tahu. Sepatutnya moderator itu kamu beri
peringatan bahawa aku akan membawa perkara ni ke mahkamah kalau gelaran Prof
Madya masih juga disebut ketika memanggil nama aku.”
“Mengapa kamu keberatan
betul disebut Prof Madya?” soal Wahab Hadian ingin tahu.
“Kan aku dah cakap, sekarang
aku dah pencen dari menjadi pensyarah di universiti. Aku dah tak boleh lagi
menggunakan gelaran itu. Sekarang, gelaran Prof Madya tu bukan lagi milik aku,”
jawab Mohd Zubir Awwam polos.
“Betul. Tetapi kan
gelaran itu kamu perolehi dengan susah payah?”
“Jadi sebab itu gelaran
tersebut harus disebut setiap kali menyebut nama aku walaupun aku dah pencen?”
“Tentu saja. Untuk
menghormati taraf akademik kamu.”
“Tetapi etikanya salah,
Wahab! Kalau aku sebagai penyandang gelaran itu keberatan, apakah kamu harus
memaksa supaya aku memakainya juga?”
soal Mohd Zubir Awwam.
“Tidak.”
“Tahu pun kamu, sebab
itu, mengapa harus disebut juga oleh moderator itu?”
“Kerana aku terlupa nak sampaikan
pesan kamu kepadanya,” ujar Wahab Hadian.
“Sebab itu kamu yang
salah. Kamu yang harus menanggung akibatnya.”
Wahab Hadian diam. Mohd
Zubir Awwam juga diam. Pemandu teksi terus memandu dengan mata terkebil-kebil.
Setelah kedua-duanya berdiam diri selama lebih kurang sepuluh minit, Wahab
Hadian bertanya: “Kamu nak ke mana sebenarnya ni, Zubir?”
“Ke pusat kebudayaan,”
jawab Mohd Zubir Awwam.
“Kebetulan. Aku juga nak
ke sana.”
Kemudian kedua-duanya
berdiam diri lagi sehingga mereka tiba di pusat kebudayaan.
“Aku mahu melihat
pameran,” kata Mohd Zubir Awwam memecah keheningan suasana di antara mereka.
“Aku juga akan ke sana,”
ujar Wahab Hadian.
Kedua-dua tokoh
kebudayaan itu kemudiannya berjalan bersama menuju ruang pameran tanpa berkata
sepatahpun. Setibanya di ruang pameran, kedua-duanya menyaksikan
lukisan-lukisan yang dipamerkan dengan tekun. Satu setengah jam kedua-duanya di
sana.
“Aku nak ke kantin dulu,”
kata Mohd Zubir Awwam yang sudah berada di ambang pintu kepada Wahab Hadian
yang masih asyik memerhatikan lukisan terakhir di depan pintu.
“Kita sama-sama saja ke
sana,” sahut Wahab Hadian sambil mengalihkan perhatiannya dari lukisan dan mengekori
langkah-langkah kaki Mohd Zubir Awwam menuju kantin.
Di kantin itu mereka
duduk berhadapan sambil masing-masing menghadapi secawan kopi.
“Orang lain berlumba-lumba
pasang gelaran di depan nama masing-masing. Ada yang sanggup membeli gelaran,
tanpa perlu bertungkus-lumus belajar siang malam,” Wahab Hadian memulakan
perbualan.
“Kerana gelaran yang
mereka banggakan itu jadi inflasi,” balas Mohd Zubir Awwam dengan tenang sambil
menghirup kopinya.
“Inflasi atau tidak,
orang akan lebih menghormati kamu.”
“Ye ke, Wahab?” Mohd
Zubir Awwam mengerutkan sedikit keningnya.
“Ya, aku kata benda yang
betul,” jawab Wahab Hadian.
“Aku kira sebaliknya.
Orang jadi sinis.”
“Mengapa?” tanya Wahab Hadian
tercolek ingin tahu.
“Sebab nilainya tidak
lebih dari perhiasan,” jawab Mohd Zubir Awwam. “Aku tak suka perhiasan. Cincin
pemberian almarhum ayahku pun tak pernah aku pakai,”
“Baiklah,” balas Wahab
Hadian. “Suka atau tidak suka kepada perhiasan, itu urusan kamu. Tetapi mengapa
sampai sebanyak itu kamu tuntut ganti rugi? Apakah perhiasan yang dipakaikan di
depan nama kamu itu begitu merugikan kamu?”
Mohd Zubir Awwam diam.
“Realisitik le sikit, Zubir!
Aku kira kamu sekadar mahu cari publisiti murahan. Lalu orang semakin mengenali
kamu. Kemudian orang akan menganggap kamu sebagai tokoh kebudayaan yang rendah
hati.”
“Jangan terlalu prejudis,
cepat menuduh,” balas Mohd Zubir Awwam kurang senang.
“Habis, apa yang kamu
mahu sebenarnya, Zubir?”
“Sebenarnya, aku tak mahu
apa-apa pun. Aku tak perlukan wang lima puluh ribu ringgit tu!” Mohd Zubir
Awwam bersahaja.
“Habis kenapa kamu tuntut
sebanyak tu di mahkamah?”
“Kerana kamu telah
memasang perhiasan itu dengan maksud yang lain.”
“Maksud yang lain?”
“Tanyalah diri kamu
sendiri.”
Wahab Hadian diam. Mohd
Zubir Awwam menatap wajah Wahab Hadian dengan tajam seakan-akan menuntut
sesuatu.
“Kerana aku mengatakan,
agar orang lebih menghormati kamu dengan gelaran itu?”
“Ya.”
“Kan itu benar?”
“Justeru di situ letak
kesalahannya. Aku tidak memerlukan penghormatan orang kerana gelaran itu,”
tegas Mohd Zubir Awwam.
Wahab Hadian tidak dapat
menahan diri lagi. Dengan nada separuh menjerit dia bersuara, “Kamu memang munafik,
Zubir!!!”
Mohd Zubir Awwam menatap
Wahab Hadian dengan tenang, tanpa gejolak kemarahan sedikitpun. Mereka saling
bertatapan. Akhirnya Wahab Hadian menundukkan kepalanya.
“Seorang tokoh budaya, dengan
begitu mudah menuduh orang dan menyebutnya munafik. Bagaimana pula akan kamu
katakan kepada orang ramai yang sering kamu sebut tidak berbudaya itu?” tanya
Mohd Zubir Awwam dengan ketenangan yang mengagumkan.
Wahab Hadian kembali
menatap wajah Mohd Zubir Awwam. “Zubir, sebenarnya apa yang kamu mahu? Kamu
mahu agar aku minta maaf? Kamu ingin aku menyembah kaki kamu, agar kes itu
ditarik balik?”
“Errr, begitukah cara
kamu berfikir? Minta maaf, lalu segalanya selesai,” soal Mohd Zubir Awwam
bernada sinis.
“Habis, aku tak tahu apa
yang kamu inginkan.”
“Betul kamu tak tahu?”
“Sungguh, aku memang tak
tahu apa yang kamu mahukan.”
“Jujurlah terhadap diri
kamu, Wahab!”
“Demi Allah aku tak tahu,”
suara Wahab Hadian seperti merayu.
“Baiklah kalau begitu.
Aku tak memerlukan penghormatan seperti yang kamu sangka itu. Menyenangkan
orang lain boleh saja. Menghormati orang juga tak ada salahnya. Berlakulah dengan
wajar. Jangan melebihkan sesuatu. Hargailah manusia sebagaimana seharusnya.
Bobot manusia tidak akan bertambah sarat dengan atribut dan perhiasan. Itu saja,”
ujar Mohd Zubir Awwam dengan nada yang tenang.
Wahab Hadian menatap wajah
Mohd Zubir Awwam.
“Aku tak berkhutbah atau
berceramah. Aku cuma berkata dari hati ke hati kepada seorang rakan yang hampir
terperosok ke dalam jurang hanya kerana kegemarannya pada martabat palsu,
imitasi dan dibuat-buat.”
Lalu kedua-dua rakan itu
berdiam diri. Hening di sekitar mereka. Tidak lama selepas itu kedua-duanya
menghirup kopi terakhir dari dalam cangkir masing-masing.
“Puas?” tanya Mohd Zubir
Awwam.
Wahab Hadian mengangguk-angguk.
“Kita akan ke mahkamah
lagi,” kata Mohd Zubir Awwam. “Mungkin kamu menang, kerana hakim menganggap
tuntutan aku tak munasabah. Tetapi mungkin juga aku yang akan menang, kerana
hakim dapat melihat dengan jernih apa yang tersirat di sebalik tuntutan aku
itu. Bersiap sedialah dengan wang lima puluh ribu ringgit itu,” kata Mohd Zubir
Awwam sambil meninggalkan Wahab Hadian seorang diri di kantin.
Baru beberapa langkah
Mohd Zubir Awwam berjalan, dia berpaling sambil menatap wajah Wahab Hadian yang
kelihatan lesu.
“Kalau aku menang, sebaik
saja wang lima puluh ribu ringgit itu aku terima, sesaat kemudian semua wang
itu akan aku kembalikan kepada kamu semula. Aku sama sekali tak memerlukannya.
Kamulah barangkali yang paling menginginkan wang itu,” ujar Mohd Zubir Awwam
sambil mengangguk-angguk kecil.
Tanpa melihat bagaimana
reaksi Wahab Hadian terhadap kata-katanya itu, Mohd Zubir Awwam berpaling
semula dan meneruskan langkahnya. Matahari terik yang membakar tubuhnya tidak
menghalang Mohd Zubir Awwam untuk melangkah terus, langkah yang baginya menuju sebuah
kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan