SMAHADZIR
PAGI-PAGI lagi, Semaun sudah datang ke rumahku. Wajahnya cerah,
tersengih-sengih. Di tangannya ada kertas ungu. Aku terus mencium bau penting,
atau paling tidak, terlalu serius.
“Aku yakin, lepaih ni duit kita dalam bank akan bécambah, bégénuak dalam setbot, Raman! Pasai tu la aku cépéruih, canggah mai pagi-pagi buta
ni. Lepaih ni, hang tak payah lagi nak bédé-eh macam
lori balak nak ghabat, nak ghagaih bukit.”
Itulah ayat pertama yang
keluar dari mulut Semaun sebaik melabuhkan punggungnya atas sofa kulit di ruang
tamu rumahku pagi itu. Aku gesit melopong kerana tidak faham apa yang
dimaksudkan oleh Semaun.
“Kalau hang dengag cakap aku, kita kaya, Raman!” ujar Semaun lagi semakin
membeliakkan biji mataku.
“Aku tak paham apa maksud hang
ni,” aku sedikit mengerutkan dahi.
Semaun tersengih.
“Cuba hang habaq sikit apa maksud hang
ni?” aku seolah-olah mendesak, tidak sabar.
“Ni penting, Rahman! Hang dengaq baik-baik. Pagi ni aku bawak mai gagasan kuda,” ujar Semaun
sebaik sengihannya lenyap dari bibir.
“Gagasan kuda?” biji mataku
gesit saja terbeliak.
Selepas itu tanpa
banyak bercakap panjang Semaun terus ke persoalan pokok, dia usulkan sebuah
idea baru. Yang tadinya terasa penting, atau serius, terus terasa sedikit gila,
menurutku. Menurutnya? Idea hebat. Tak pernah dibuat orang dalam Malaysia ni
walaupun di Sabah atau Sarawak.
“Sat Semaun, hang rehat dulu. Gélut
sangat aku tengok. Bécéghau dahi hang. Hang nak kopi ka nak teh?” tanyaku cuba mententeramkan keadaan.
“Apa-apa saja,
rezeki, asaikan jangan kopi bakiaq dah la... akupun belum menyeghok lagi ni,” jawab Semaun agak
terkocoh-kocoh.
“Hang nak makan séghawa labu,
tak?”
“Labu apa? Kéghaih kédékiang ka gebu?
Kalau gebu aku nak la,”
“Labu manih gebu la… takkan yang kéghaih kédékiang aku nak buat séghawa,” ujarku.
“Béghadon aku buat semalam. Seperiuk besaq…”
“Pasai aku pernah makan labu yang kéghaih kédékiang. Pasai tu la aku tanya,”
“Dak aih, labu
ni gebu… lémbek dok dek,
boleh teruih
masuk perut,”
Semaun ketawa. “Kalau lagu bawak mai la, aku pun dah kébulog ni,”
Aku bergegas ke
dapur. Sejurus kemudian aku datang semula ke runag tamu bersama semangkuk
pengat labu untuk Semaun.
“Terima kasih Raman! Minta
maaf la tak sémawa hang makan
sama tadi. Sedap séghawa ni,” ujar Semaun sebaik habis makan dan meletakkan
mangkuk pengat di atas meja.
“Kémbang pungkog aku hang puji séghawa tu
sedap…”
“Memang sedap
sungguh,” cantas Semaun. “Hang
ni badan saja kughuih kélépiang
tapi kalau masak sedap nak mampoih,”
Aku ketawa.
“Sikit-sikit boleh la, Semaun! Nak celen
Chef Wan tak boleh la… belum sampai tahap tu lagi,”
“Aku pula céméghkap sikit
kalau masuk dapoq,”
akui Semaun.
“Eh, hang cerhita betui-betui la, awat
pagi-pagi lagi hang
dah téjéngoi ni?”
soalku sejurus kemudian.
“Laaaa.... kan aku dah cerhita tadi... soal kuda. Ni projek besag, Raman! Bésag gajah tok mia, projek
cemerlang. Aku tak main-main, aku sungguh-sungguh ni,” tegas Semaun sembari
meletakkan kertas ungu yang dibawanya ke atas meja.
Gesit saja aku merasa
ini pasti jadi masalah. Kalau yang satu menganggap cemerlang dan yang satu lagi
menganggap sedikit gila, itulah namanya masalah. Sungguh-sungguh Semaun menjual
gagasan kuda. “Sejak kemarin lagi dok ceghamok dalam kepala aku, aku dok pikiaq idea ini. Idea ni tak cekai,
Raman! Aku yakin, syarikat yang aku nak buat ni bakal jadi syarikat yang mampu
menghasilkan keuntungan yang besaq
pada kita. Kita akan jadi kaya, untung kita bedak-bedak sama rata. Kita akan kayaaaa.... Raman oi!” semangat Semaun
meluap-luap.
“Syarikat
kuda?”
“Ya! Syarikat
kuda!”
Aku mengeluh
panjang dan berat. Mataku terkesip-kesip.
“Awat hang mengeluh pulak? Mata macam cicak beghak kapoq saja?” soal Semaun sembari
membeliakkan biji matanya ke arah aku.
“Maksud hang... hang nak tubuhkan syarikat kuda di
Baling ni?” aku sungguh-sungguh ingin kepastian. “Hang nak ajak aku juai kuda? Méghawit sangat
aih!”
“Awat? Méghawit apa pulak? Tak boleh ka kita juai kuda di pekan Baling ni?” soal
Semaun sambil tersengih.
“Kuda yang koboi naik di padang pasiaq tu?” aku inginkan kepastian.
“Ya la... kuda
mana lagi... takkan kuda kepang kot... kuda yang ada empat kaki, yang boleh
lari laju macam pelesit tu!?” Semaun tersengih-sengih lagi.
“Hang ni banyak akai sungguh no... patut la mata hang ceme, bakop saja... seluaq baju pun ghédot, ghémot, bau pun dah macam bapak ghandok... hang tak mandi ka pagi tadi?”
Semaun terus
mengenyeh-genyeh biji matanya. “Sampai pagi aku tak boleh tidoq, asyik dok pikiaq
pasai kuda ni, hang tau dak? Pagi tadi aku mandi tapi tak dan nak sabun, nak cepat,”
Aku menggeleng-geleng
seraya mengeluh panjang dan dalam.
“Awat hang mengeluh pula?” tanya Semaun.
“Aku macam tak
percaya yang hang ni nak juai kuda,” ujarku. “Di pekan Baling ni,
belum ada lagi orhang yang juai kuda dan yang nak beli kuda...”
“Hang jangan jadi bodoh, Raman!” Semaun
gesit mencantas. “Kalau kita nak cepat kaya, jangan jadi mak ngot, jangan juga jadi mala’on,
kita kena buat sesuatu yang orhang lain tak buat. Kalau kita buat
apa yang orhang lain dah buat, kita
akan hadapi saingan yang sengit. Kalau kita buat sesuatu yang orhang lain tak buat, bermakna kita tak
ada saingan langsung,”
“Itu aku tau,
Semaun!” balasku bersahaja. “Tapi, kita kena pikiaq juga sapa
pembelinya...”
“Manusialah yang akan beli kuda kita,” cantas Semaun
lagi. “Kuda kita hanya akan digunakan oleh manusia dalam semua sektor, semua
bidang. Aku dah kaji semua aspek, sebab tu aku berani bawa cadangan ni kat hang. Hang tak sahlah bimbang dengan apa yang aku dah rancangkan ni. Aku bukannya ghodong sesuka
hati. Hang dengaq dulu. Kalau hang rasa tak nak ikut, aku tak
akan paksa hang. Tapi kalau hang rasa idea aku ni baguih, hang sokong la,”
Aku
mengangguk-angguk tetapi setagal kemudian aku bertanya lagi, “Betui ka hang nak buka syarikat juai
kuda?”
“Ya la... hang ingat apa? Hang ingat aku nak buka syarikat juai kamben? Juai lembu? Juai ayam serhama?”
Semaun tersengih. “Kepala otak aku ni briliant,
Raman! Bukan otak udang tapi otak Bill Gate. Di daerah Baling, Kedah ni tak ada
lagi orhang yang buka syarikat kuda.
Kalau kita buka syarikat kuda ni, kitalah orhang
pertama dalam negeri Kedah ni yang buka syarikat kuda. Hang paham dak?”
Aku mengeluh
panjang dan dalam.
“Hang tak usah mengeluh la...” ujar
Semaun. “Hang dengaq dulu idea briliant aku ni!”
“Okeylah... aku dengaq!” balasku dengan nada yang
jengkel.
“Langkah awai yang akan kita susun, iaitu
menjadikan kuda sebagai objek pelancongan di Baling ni. Kita akan buka sebuah
pusat penyewaan kuda. Dan pusat ini khusus menyewakan kuda-kuda yang kita
miliki. Cuba, cuba... hang
bayangkan, kawan! Daerah Baling ni jadi pelopor syarikat kuda di negara kita. Hang tak rasa bangga ka?”
“Méghepet sungguh hang ni, Semaun!”
“Méghepet pungkoq
hang...” Semaun bagaikan kurang senang dengan kata-kataku.
“Errrr, okey... sebelum
tu aku nak tanya hang sikit,”
balasku dalam hasrat menduga pengetahuannya.
“Ha, hang nak tanya apa?” soal Semaun.
“Hang tau ka jenis kuda yang baik dalam
dunia ni?” soalku.
Semaun gesit
ketawa. “Awat? Hang ingat aku ni bodoh sangat ka? Hang ingat aku ni semberono? Aku tak buat halai balai. Sebelum aku rancang nak buat projek ni, aku dah kaji
semua perkara tentang kuda, Raman!”
“Kalau hang dah kaji tentang kuda, bagitau la aku kuda-kuda terbaik yang hang nak juai tu!” balasku bersahaja.
“Kalau hang nak tau, untuk syarikat yang aku
rancang ni, aku hanya akan pilih kuda-kuda yang terbaik saja untuk dijuai. Aku dah pilih Kuda Akhal-Teke, Kuda Andalusia, Kuda Mustang, Kuda Don Rusia, Kuda Marwari, Kuda
Quater Amerika, Kuda Quarab, Kuda Appaloosa, Kuda Spanish Mustang, Kuda
Kiger Mustang dan Kuda Friesian. Ini semua kuda yang special, yang terbaik dalam dunia ni,”
Aku terkelu
mendengar nama-nama kuda yang disebut oleh Semaun. Dalam hatiku mulai yakin
yang Semaun begitu bersungguh-sungguh dengan rancangannya.
Semaun bergeser, mulai
duduk mendekatiku, mencoret-coret. “Ha, hang
puas hati kan bila dengaq nama
kuda-kuda pilihan aku tu?”
Aku hanya
menganguk-angguk kecil.
Semaun tersengih.
“Jika setiap orhang sewa sekoq kuda dengan harga RM50 per jam,
kalau ada lima puluh orhang yang sewa
setiap hari, berapa duit kita akan dapat?” Dia makin girang membayangkan wang
dari perniagaan itu.
Aku masih lagi diam.
“Yakinlah, usaha
ini tak akan sia-sia, Raman! Aku yakin, syarikat kuda kita ni akan diterima
oleh semua rakyat Malaysia pelbagai bangsa, Raman! Kalau betui-betui maju, kita lebarkan sayap perniagaan kita dari Baling, ke
seluruh Sabah dan Sarawak pula,”
Semaun menatapku,
setelah meneguk kopi. Dia serius. Menunggu kalimat apa yang akan keluar dari
mulutku. “Okey.. okey!! Aku faham idea gila hang yang buat aku méngkélan tu!”
Dia terperanjat,
tapi tidak bersuara.
“Kalau idea hang itu nak diwujudkan, di mana kita
nak buka syarikat tu. Kita perlu tempat yang strategik, Semaun!”
“Laa, awat hang bodoh piang sangat? Hang
kan ada tempat yang cukup besaq dan
strategik untuk buka niaga ini.”
“Maksud hang, opih aku?”
“Ya la! Awat?! Tak boleh ka?”
“Tidak, Semaun!
Itu opih atau pejabat persatuan
belia. Bukan opih kuda. Disewa dari
duit persatuan belia, bukan duit aku. Duit sewanya dari duit ahli belia. Bukan
dari poket aku sendiri!”
“Tapi, hang kan pengerusi persatuan belia daerah
Baling ni. Cakap saja perniagaan ini untuk kemajuan dan keuntungan persatuan
belia, kan beres.” Semaun mempolitikkan kepentingannya dengan persatuan belia
yang aku pimpin.
“Gila hang Semaun! Hang nak suruh aku méngkélayi dengan ahli-hali belia? Tak
boleh, Semaun.... tak boleh...!” ujarku dengan muka masam.
“Alaaah, jangan
cepat sangat buntu fikiran, hang nak
moncom pasai apa, Raman? Kita bukannya nak guna semua ruang. Yang bahagian
belakang, di situ kan boleh!” Semaun seperti sudah mengkaji sehingga dia tahu
semua bahagian pejabat itu. Memang, di situ ada ruangan kosong yang boleh
dipakai untuk apapun tujuan.
“Kalau usaha ini
berjaya, kita boleh sewa opih
sendiri. Setuju?!”
Ini sungguh gila,
tapi aku fikir soal ruangan boleh juga dipersetujui dan kalau berjaya,
berkembang maju, tentu jadi salah satu sumber kewangan buat persatuan belia.
“Baiklah!”
Semaun gesit bangkit
dari kerusinya, menyalami dan menggoyang-goyangkan tanganku beberapa kali,
seolah-olah aku yakin dengan perniagaan itu, walau sebenarnya aku berharap agar
besok dia akan lupa dan datang lagi dengan perniagaan baru, yang sama sekali
tidak perlu ruang pejabat.
“Setelah betui-betui maju, kita akan buka pula
syarikat juai beli kuda. Untuk
sementara waktu kita akan memasyarakatkan kuda sebagai kenderaan alternatif
yang bebas pencemaran,”
“Bebas
pencemaran?”
“Ya, bebas
pencemaran. Kuda kan tak macam bas yang mengeluarkan asap. Kalau cuma taik, itu mudah. Kita buat bekaih khusus di pungkoq kuda, kalau kudanya berak, masuk terus dalam bekaih tu. Taik kuda boleh kita kitaq
semula jadikan baja, dapat juga jadi peluang niaga kita. Yang penting banyak
la! Hang tak perlu bimbang kalau
kita rugi atau lingkop.”
“Soal kebenaran macamana?”
“Itu soal mudah. Hang kan termasuk orang yang
berpengaruh di daerah Baling ini. Sapa
yang tak kenai dengan nama dan
jawatan hang...”
“Hang yakin ka usaha ini akan berjaya?”
Aku tiba-tiba merasa kurang yakin pula. Aku bimbang, angan-angan Semaun ini
sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.
“Awat tak berjaya pulak? Strategi
pertama, kita buat kempen besar-besaran, kenderaan bermotor itu adalah
kenderaan yang menyebabkan pencemaran. Kita minta sokongan Jabatan Alam Sekitaq. Kita ajak depa turun padang. Lalu kita kaitkan juga dengan kenaikan harga
petrol. Jalan keluaqnya tak lain tak
bukan ialah berkuda. Kenderaan tanpa bahan bakaq
dan bebas pencemaran. Bereskan?!”
Aku mulai faham
dengan gagasan kuda ciptaan Semaun. “Tapi, semua ni kena dapatkan nasihat dari pihak kerajaan terlebih dulu. Kerajaan
tentunya ada prosedur-prosedur tertentu dalam soal ni terutama tentang cara
mendapatkan kuda serta penjagaannya. Dengan JPJ juga perlu diminta pandangan.
Misalnya, setiap penunggang kuda kena
ada lesen, kena masuk kelaih menunggang kuda terlebih dulu
sebelum boleh bawa kuda ataih jalan
raya. Paling penting ialah undang-undang berkuda.”
Sehingga selesai sembahyang
Zuhur, Semaun masih berceloteh tentang rancangan yang melambung itu. “Cuba hang bayangkan, pekan Baling ini sudah
dipenuhi kuda. Setiap pagi orhang
ramai akan melihat suri rumah ke market
naik kuda, budak-budak sekolah naik kuda, kakitangan kerajaan naik kuda, semua orhang naik kuda. Cuba hang bayangkan para eksekutif memacu
kuda. Pakaiannya kemaih, bergaya, segak, berkot, bertai, tetapi kenderaannya kuda tanpa pencemaran. Wah, hebat,
orang pakai tai, sambil berkuda...
ha... ha... haa! Bayangkan, Raman! Bayangkan!”
Aku ikut
tersenyum kecil membayangkan pegawai daerah dengan kudanya, pengetua sekolah,
wakil rakyat, guru besar, pegawai bank, pegawai bomba, pegawai agama, semua
pegawai pakai tali leher berkuda, suri rumah berkebaya dan bersanggul berkuda,
ustaz dan ustazah juga berkuda. Yang paling seronok mungkin melihat anggota
polis berpakaian seragam berkuda sedang mengejar remaja-remaja lumba haram kuda
di tengah jalan. Ada yang tonggang-langgang kerana melanggar sekatan jalan
raya. Ini pasti akan lebih menyeronokkan dari menonton Senario di TV3 atau Maharaja
Lawak di Astro. Lucu juga idea Semaun ini.
“Lepaih tu, kita akan buka sekolah untuk
kursus bagi para calon penunggang kuda. Dan yang luluih akan segera mendapat lesen. Depa disahkan boleh menunggang kuda.”
“Tapi kita kena
ada konsep yang jelas. Jangan cakap saja, nanti nanya orhang,” Aku membayangkan di depan sekolah kuda-kuda
diletakkan macam dalam filem-filem koboi. Bagaimana kalau ada pelajar yang
tersalah ambil kuda?
“Kalau perniagaan
ni makin berkembang, pasti harga kuda semakin tinggi. Dan waktu itu, kita buka show
room kuda kelaih ‘one’.
Teksi akan diganti dengan kereta kuda. Orhang-orhang
kaya akan berbondong-bondong, bédédam ke show room kita
untuk beli kuda pilihan. Kita akan lahirkan sebuah masyarakat yang mencintai
kereta kuda.”
“Sudah hang pikiaq protes pengusaha teksi, pengusaha bas?”
Semaun menyahut
dingin, sedikit cemas bimbang angan-angannya itu jadi lenyap begitu saja. “Kan
aku dah katakan tadi, kita hentam depa
dengan isu pencemaran. Lagipun, kita akan dapat sokongan orang ramai, NGO dan
banyak lagi organisasi.”
“Kalau depa mengancam nak racun kuda-kuda
kita? Kuda kita mampoih semua
misalnya?”
“Ini memang
risiko besaq. Aku dah pikiaq masak-masak soal tu, Raman!
Kalau semua orhang dah sokong kita,
kita minta kerajaan kuatkuasakan undang-undang membela hak-hak asasi haiwan. Sapa-sapa yang menyebabkan haiwan
sakit, cedera atau mampoih,
hukumannya 20 taun penjara, denda
RM150,000.00 atau kedua-duanya sekali. Kalau ini dapat direalisasikan, depa tak akan berani buat apapun pada
kuda kita. Hatta jentik sekalipun.”
Jawapan Semaun
membuatkan aku sedikit lega. Tetapi aku semakin banyak argumentasi untuk
menjelaskan kepada kepemimpinan belia tentang potensi meminjam, dan kelak
menyewa ruang kosong pejabat persatuan belia kepada syarikat kuda yang Semaun
impikan itu.
Semaun sendiri sudah melayah jauh, melepasi soal
teknik dan sebagainya. “Soal kélébog
dari kandang kuda bukan masalah besaq,
Raman! Kita akan buat kolam khas, kita juga boleh buat baja kompos atau kita
salirkan saja ke laut. Yang lebih penting kita kena buat atau kita kena bentuk satu
organisasi yang bertugas untuk memantau para penunggang kuda. Ya, kita namakan
Horse Watch, atau apalah yang penting ada watch-nya,
tak gitu.”
Soal lain seandainya kuda-kuda sakit, tentu
harus ada hospital kuda dan doktor pakar kuda. Semuanya sudah direncanakan Semaun
dengan rapi. “Ya, kalau dah cukup modai,
kita dirikan sebuah rumah sakit khusus untuk kuda. Kita sediakan rawatan apa
saja. Bermula dari pemeriksaan bunting
kuda, beranak, dan proses pembiakannya. Ini juga peluang untuk syarikat kita
berkembang. Kita akan buka sebuah syarikat yang menyediakan segala peralatan
dan aksesori kuda. Pelana, kasut kuda, tali, bekaih penampung taik,
tayar kereta kuda, minyak pelincir roda dan aksesori kuda lainnya.”
“Kalau
ada penyeludupan kuda liaq yang
kualitinya lebih baik dari kuda-kuda kita, macamana?”
“Ini memang agak susah
sikit. Tapi tak perlu diresahkan. Kita boleh minta kerajaan kuatkuasakan
undang-undang penyeludupan atau mengharamkan import kuda. Kita akan serapkan
dalam diri masyarakat kita untuk tak terima kuda import sebaliknya guna kuda
tempatan. Kalau nak import juga, kita ketatkan cara import. Contohnya, dalam
autonomi daerah, semua tindakan harus ditentukan oleh pegawai daerah. Termasuk
kebenaran import kuda.”
“Caranya?”
“Mudah saja.
Berikan peluang kepada masyarakat untuk bela
kuda. Dan kuda induknya harus dibeli dari show room kita. Kita bagitau masyarakat yang kuda kita
adalah kuda yang terbaik. Kita ada Kuda
Akhal-Teke, kita ada Kuda Mustang, Kuda Don Rusia, Kuda Marwari, Kuda
Quater Amerika, Kuda Quarab, Kuda Appaloosa, Kuda Spanish Mustang, Kuda
Kiger Mustang, Kuda Friesian, Kuda Andalusia… Kalau hang nak tau, Kuda
Andalusia ni ada sifat patuh pada arahan selain
cerdaih dan juga sensitif kepada tindak balas. Bila dikendalikan dengan
baik kuda ni akan mahir dengan cepat serta bagi kerjasama yang positif,” ujar
Semaun panjang lebar.
Aku dijerba kekaguman lagi dengan
pengetahuan Semaun tersebut. Aku yakin, memang dia telah membuat kajian yang
rapi tentang kuda sebelum datang ke rumahku.
Setagal kemudian Semaun bersuara lagi, “Kalau masyarakat
dah ramai jadi penternak kuda, akan mudah kita desak agar kerajaan tak keluaqkan surat kebenaran import kuda.
Kita boleh bagi alasan aktiviti ini akan merosakkan perekonomian masyarakat
terutama bagi para penternak kuda. Kan selesai satu masalah!”
Aku sebenarnya
sudah cukup lelah dan cemuih mendengar
ocehan Semaun sejak pagi, tapi sedikit tertarik juga dengan idea gilanya,
sekali gus mencari penjelasan yang lebih mantap kerana aku harus yakin sebelum
boleh meyakinkan orang lain dalam soal pejabat tadi. Untung isteriku pulang ke
kampung, jadi aku uji juga gagasan kuda ciptaan Semaun itu.
“Semaun, aku nak dengaq lagi jenis-jenis kuda terbaik
yang hang nak juai tu?”
“Laaaa... hang tak percaya aku ka?”
“Bukan tak
percaya tapi aku nak keyakinan yang lebih lagi. Aku nak tau juga jenis-jenis
kuda terbaik lain yang hang nak juai tu?”
“Baiklah, Raman,”
ujar Semaun sambil menarik nafas panjang. “Tadi aku dah cakap tentang Kuda Arab
dan Kuda Andalusia. La ni aku nak
cerita pula tentang Kuda Mustang. Kuda jenis ni ialah kuda liaq banyak di barat
Amerika Syarikat. Banyak orhang kata kuda ni berasai dari perkataan
Sepanyol Mesteño atau Monstenco liaq atau tersesat.”
Hampir setengah jam Semaun
bercerita panjang lebar tentang jenis kuda yang wujud
dalam perancangannya. Sungguh, aku begitu kagum dengan pengetahuannya tentang
kuda. Aku yakin, jika kertas kerjanya dibawa ke bank, agar sukar untuk
organisasi kewangan itu menolaknya.
Semaun tersengih
lebar sebaik sahaja menamatkan ceritanya tentang pelbagai spesies kuda yang
bakal dijualnya. Dia seolah-olah dapat menangkap rasa keterujaan aku terhadap pengetahuannya
tentang kuda.
Aku
mengangguk-angguk beberapa jenak sebelum bertanya, “Semaun, hang kata, kita akan dirikan sebuah
syarikat penyewaan kuda. Ramai pakai pekerja, macamana?”
“Itu tak jadi
masalah...” jawabnya bersahaja dan penuh yakin. “Kita boleh ambek pekerja dari Bangladesh, Nepal,
Vietnam...”
“Tapi aku dengaq orhang luaq ni bukannya rajin sangat... balog liat, penyegan nak mampoih…”
cantasku, sengaja nak menduga semangat Semaun.
“Hiish... hang tak boleh kata lagu tu,” Semaun kurang senang. “Sapa habaq kat hang depa malaih, balog
liat?
“Aku dengaq orhang kata depa macam tu...” aku bersahaja.
“Kalau depa malaih, kita balon, kita ghimbok la,”
ujar Semaun bersahaja, sembari tersengih.
“Hang nak mampoih ka? Hang
ingat negara kita ni tak dak
undang-undang ka? Kalau depa repot
kata hang balon depa, hang ghimbok depa,
tak pasai-pasai hang masuk lokap,” tegasku.
Semaun ketawa
kecil. “Tadi tu aku melawak saja,
Raman! Takkan la aku nak balon, nak ghimbok depa. Aku pun ada perasaan
juga. Hang tak sah risau la soal pekerja...”
“Sapa hang nak ambek kerja? La ni
bukannya senang kita nak ambek orhang
kerja dengan kita. Dalam hal ni aku bukannya tau sangat...”
“Tu hang tak sah bimbang la... aku ada
ramai kawan yang nak kerja. Kita boleh ambek
depa kerja. Soal gaji, itu boleh
dibincang. Kawan-kawan aku tak berapa endah sangat soal gaji. Rendah dulu pun tak pa, syarikat kita kan baru. Jadi,
soal pekerja tak usahlah hang nak
risaukan sangat.”
“Kalau sampai
gaji depa rendah sangat, itu sama
saja hang pakai ideologi kuda. Ini
sama halnya kita sedang mengkudai kawan sendiri, Semaun!”
“Err... bukan macam
tu maksud aku, Raman. Ini peringkat awai.
Kita akan naikkan gaji depa bila
kita dah maju nanti. Selain itu kita bagi depa
bonus setiap taun, kenaikan pangkat,
EPF, SOCSO dan kemudahan-kemudahan lain. Cuti sakit, cuti taun, cuti beranak dan semuanya. Aku rasa soal ini bukan masalah
yang besaq, Raman!”
“Tapi, aku rasa
bukan senang nak bangunkan syarikat ni, Semaun! Banyak risikonya. Aku bimbang,
idea hang ni akan ditertawakan oleh orhang. Hang ingat, para pemimpin yang ada sekarang ni tak nampak ka
isu-isu macam ni. Soal pencemaran, soal alam sekitar dah lama depa pikiaq. Guna kuda bukan satu alternatif yang baik. Kita kena
mansuhkan semua kenderaan berenjin yang menghasilkan pencemaran. Kalau
kenderaan dah tak ada, macam mana nak angkut kontena ke pelabuhan. Takkan nak
kerah kuda? Macamana nak ke utara, selatan,
pantai timoq dan sebagainya. Takkan
nak naik kuda. Berapa lama boleh sampai. Sanggup ka kuda berlari ribuan
kilometer sehari. Enjin lagi boleh meletup inikan kaki kuda. Aku rasa kalau
kuda berulang-alik dua tiga kali dari Aloq
Setaq ke JB, mahu hancoq tapak
kakinya. Lagi, mana nak dibuangnya industri kereta nasional kita? Mana nak
letak kereta yang ada sekarang? Kereta-kereta lain...”
“Sudah... sudah! Hang ni buat semangat aku ghéban saja, jadi ghélah, jadi ghélai, Raman!” cantas Semaun
seolah-olah tidak mahu dengar alasanku. Wajahnya jelas kecewa.
Aku tersengih. “Awat cepat sangat semangat hang ghéyup, ghuyub?”
“Dah hang cakap macam tu!”
“Aku sekadar nak
duga semangat hang, Semaun!”
Semaun tersengih.
“Apapun, kita cuba dulu. Nah, ini proposalnya,” katanya mantap. “Ini hang serahkan kepada pihak kerajaan.
Katakan saja usaha ni sebahagian dari perkembangan ekonomi rakyat melalui
persatuan belia pimpinan hang.”
Aku kembali
berfikir secara rasional. Ini bukan soal main-main, fikirku. Semaun nampaknya
betul-betul serius. Aku rasa tidak sanggup menerima tugas yang berat ini.
“Apa yang hang pikiaq lagi, Raman?” soal Semaun seraya matanya terkesip-kesip.
“Ini bahaya, Semaun!”
ujarku. “Kedudukan aku akan tergugat. Idea hang
ni bukannya tak baguih tapi mustahil
nak dilaksanakan. Kalau penggunaan kuda satu alternatif terbaik dalam semua
aspek, dah lama syarikat kereta motor dalam dunia ni gulung tikaq. Afghanistan dan Iraq tak kalah
dalam perang. Aku rasa, kalau askar Amerika naik kuda serang dua negara tu,
sampai kiamatpun depa tak akan
berjaya bunuh Osama dan Saddam....”
“Habis, hang tak mau ka?” cantas Semaun.
“Ya, Semaun! Aku
tak mampu nak realisasikan cita-cita hang
tu!”
“Ini hanya
tawaran, Raman! Lagipun, lima taun
akan datang, hang tak semestinya
jadi pengerusi persatuan belia lagi. Ya, kalau hang tak setuju dengan gagasan ni, aku akan cari orhang lain saja.”
Aku mengeluh
rengsa.
“Raman...” Semaun
menepuk pundaku cuba menenangkan kegalauan yang sedang berkecamuk. Antara
memilih ya dan tidak untuk memanjangkan proposalnya kepada pihak kerajaan
khususnya Menteri Belia, “Hang yakin
sajalah, pihak kerajaan tak akan pandang rendah usaha murni kita yang berstatus
belia ini. Depa akan bangga jika
usaha ni maju. Percayalah!”
Akhirnya aku
putuskan gagasan kuda ciptaan Semaun cuma sekadar cerita lucu ketika aku sedang
kesepian ditinggalkan isteri yang pulang ke kampung. “Semaun, sebenaqnya, aku tertarik dengan gagasan
hang itu. Tapi aku tak setuju dengan
akai pelanduk hang tu mengeksploitasi persatuan belia untuk kepentingan
peribadi.”
“Alaaah, idealis
lagi! Kerajaan saja yang mampu keluaqkan
surat sakti, Raman! Lebih-lebih lagi untuk hang
yang ada jawatan dalam persatuan belia. Awat
mesti takut?”
“Tak boleh, Semaun!’’
kataku tegas kerana waktu semakin beranjak ke tengah malam. Aku sudah sampai ke
puncak angan-angan tentang kuda dan angan-angan itu sudah makin kehilangan
lawaknya. Aku mahu masuk bilik dan tidur lelap. Minta-minta jangan mimpi kuda.
Semaun terdiam,
menghela nafas panjang dan pamit.
“Okey la, aku béghalah dulu,”
Longlai dia ambil
kembali proposalnya. Tanpa salam, dia meninggalkan rumahku. Kecewa sungguh.
Tapi dua tahun
kemudian, usaha Semaun benar-benar wujud. Tidak jelas bagaimana ceritanya.
Syarikat Kuda Baling wujud tidak jauh dari pejabat persatuan belia daerah.
Tetapi sebagaimana yang aku telah jangkakan, Semaun telah memperlakukan
kakitangannya seperti kuda. Dan aku tidak sedikit pun terkejut bila Semaun
diadili dengan dakwaan menipu para pekerja. Namun begitu, aku sebenarnya belum
puas. Syarikat Kuda Baling memang perlu ditutup, perlu dihancurkan atau dibakar
saja. Tetapi mentaliti memperkudakan orang lain untuk kepentingan sendiri,
mampukah dibanteras? Entah!
Glosari:
Aloq Setaq; Alor Setar (Ibu
negeri Kedah Darul Aman)
ambek; ambil
asaikan; asalkan
ataih; atas
awai; awal, mula
awat; kenapa, mengapa
ayam serhama; ayam serama
bagitau; memberitahu, bagi
tahu
baguih; bagus, baik
bakaq; bakar
bakiaq; basi
bakop; mata bengkak
sebab tak cukup tidur
balon; pukul dengan
tangan, tali pinggang atau rotan
balog liat;
malas
banyak akai; bijak, banyak berfikir yang
bukan-bukan, meragam
bapak ghandok; kambing jantan yang sudah
dewasa dan bertanduk
bawak mai; bawa ke mari, datang dengan
atau datang bersama
bécambah; dalam kuantiti yang banyak
bécéghau; berpeluh
bedak-bedak; membahagi-bahagikan
bédé-eh; bersusah payah nak menamatkan sesuatu kerja
bédédam; bersusun-susun atau rapat-rapat
béghadon; berbuat atau menyediakan sesuatu dengan banyak sampai
hampi-hampir
membazir
bégénuak; penuh sampai
melimpah
béghalah; minta diri
bekaih; bekas
bela; pelihara
besaq; besar, tidak
kecil
bésag gajah tok mia; besar gajah
betui; betul
bercampuq; bercampur
bodoh piang; bodoh sungguh
bunting; hamil
canggah mai; berusaha datang
céghamok; berkecamuk, keadaan sesak dalam kepala, rumah atau
bilik
yang bersepah atau tak teratur.
cekai; murah atau tidak kualiti
celen; bertanding
ceme; mata sepet
céméghkap; kata lawan bagi cekap, buat
kerja banyak salah
cemuih; jemu, jelak
cépéruih; bergegas
cerdaih; cerdas, bijak
cerhita; cerita
cicak berhak kapoq; terpinga-pinga,
bingung, terkedu sekejap
dapoq; dapur
dengaq; dengar
depa; mereka
habaq; beritahu
halai balai; buat sesuatu kerja secara lebih
kurang, ambil ringan,
ambil mudah
hancoq; hancur
hang; kamu, awak
gélut; kelam kabut
ghabat; panjat, mendaki
ghagaih; sama dengan ghabat, panjat atau
daki
ghéban; runtuh.
ghédot; berkedut
ghélah; koyak
ghélai; berderai
ghémot; kalau kereta ghémot maknanya
remuk, kalau
baju ghémot maknanya
tak diseterika
ghéyup; hilang, lenyap
ghimbok; pukul atau hentam orang. Secara khusus tumbuk di
bahagian perut.
Dalam semua perkataan Kedah yang membawa makna pukul, ghimbok
adalah yang paling teruk, maksudnya mengganyang.
ghodong; redah tanpa fikir panjang
ghuyub; kata dasarnya ghaib maknanya tak boleh nampak
juai; jual
pungkoq; punggung, jubur
kamben; kambing
kébulog; keinginan yang tinggi. Macam orang yang kebuluran
berhajatkan
kepada makanan. Kalau orang Kedah nak kata dia sangat-sangat tak nak, maka dia
kata, tak kébulog.
kelaih;
kelas
kélébog; air berselut
keluaq; keluar
kémbang pungkog; rasa bangga dipuji
kenai; kenal
kéghaih kédékiang; terlalu keras
kemaih; kemas
kena; mesti
kitaq; kitar
kughuih kélépiang; terlalu
kurus, macam papan
lagu; seperti, macam
la ni; sekarang ini
lémbek dok dek; lembik, lembut atau liut
lepaih; lepas
liaq; liar
lingkop; habis semua, bangkrap
lokap; penjara
luluih; lulus
macamana; bagaimana, macam
mana
mak ngot; orang yang terlalu perlahan dalam bekerja
malaih; malas
mala’on; orang tak berguna. Dalam bahasa Arab ialah mala'un, iaitu
orang
yang dilaknat.
mampoih; mati
manih; manis
market; pasar
méghawit; meracau atau melalut
méghepet; bakunya merepek, tapi dalam Bahasa Kedah maknanya
bermimpi
melawak; bergurau
méngkélan; makan tak lepas sebab tersangkut di kerongkong
méngkélayi; bergaduh, berkelahi
menyerok; sarapan pagi,
minum pagi
modai; modal
moncom; tarik muka masam
nak mampoih; nak mati
nanya; malang atau nasib tak baik, aniaya
opih; office atau
pejabat
orhang; orang
orhang luaq; orang luar
paham; faham, mengerti
pasai; sebab
pasiaq; pasir
penyegan nak mampoih; malas sungguh
pikiaq; fikir
repot; buat laporan di
balai polis
sapa; siapa
sat; sekejap, sebentar
sedap nak mampoih; sedap sungguh
segak; lawa, tampan
séghawa; bubur atau pengat
sekitaq; sekitar
sekoq; seekor
seluaq; seluar
sémawa; jemput, undang
setbot; almari
tai; tali leher
taik; tahi, tinja
tak dan; tak sempat
tak pa; tak apa
tak pasai-pasai; tak semena-mena, tanpa
sebab yang jelas
tak sah; tak usah
tau dak; tahu tak?
taun; tahun
téjéngoi; tiba-tiba muncul atau menjelma
teruih; terus, tanpa
halangan
tidoq; tidur
tikaq; tikar
timoq; timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan